penggunaan bahasa ibunda secara inklusif dalam … · pendidikan memerlukan masyarakat untuk...

21
1 PENGGUNAAN BAHASA IBUNDA SECARA INKLUSIF DALAM PENDIDIKAN DENGAN RUJUKAN KEPADA BAHASA MELAYU Salinah Jaafar Norhisham Osman Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Kuala Lumpur [email protected] Abstrak Bahasa ibunda merujuk kepada bahasa pertama yang dipelajari oleh seseorang bermula dari saat dia dilahirkan sehinggalah dia pandai berkata-kata. Atau dengan kata lain bahasa yang dipelajari dari ibubapa atau orang yang memelihara yang digunakan dalam komunikasi seharian. Terdapat pelbagai bahasa ibunda yang boleh dikenal pasti di negara ini, antaranya seperti bahasa Melayu (termasuk juga dialek-dialek bahasa Melayu yang digunakan di Semenanjung seperti dialek Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Penang, Negeri Sembilan dan Johor), bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa-bahasa daerah yang dituturkan di Sabah dan Sarawak. Pelbagai idea dan pendapat dihasilkan oleh pengkaji bahasa mengenai penggunaan bahasa ibunda secara inklusif dalam pendidikan. Ramai yang mengatakan bahawa mutu pencapaian dan penerimaan pelajar yang diajar dengan menggunakan bahasa ibunda lebih baik berbanding dengan pendidikan yang dibuat menggunakan bahasa lain. Kertas ini akan membicarakan penggunaan bahasa ibunda secara inklusif dalam pendidikan dengan rujukan kepada bahasa Melayu. Kata kunci: bahasa ibunda, bahasa Melayu, pendidikan, inklusif, negara.

Upload: lenga

Post on 12-Mar-2019

255 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

1

PENGGUNAAN BAHASA IBUNDA SECARA INKLUSIF DALAM PENDIDIKAN DENGAN RUJUKAN KEPADA BAHASA MELAYU

Salinah Jaafar

Norhisham Osman Akademi Pengajian Melayu

Universiti Malaya Kuala Lumpur

[email protected]

Abstrak

Bahasa ibunda merujuk kepada bahasa pertama yang dipelajari oleh seseorang

bermula dari saat dia dilahirkan sehinggalah dia pandai berkata-kata. Atau dengan

kata lain bahasa yang dipelajari dari ibubapa atau orang yang memelihara yang

digunakan dalam komunikasi seharian. Terdapat pelbagai bahasa ibunda yang

boleh dikenal pasti di negara ini, antaranya seperti bahasa Melayu (termasuk juga

dialek-dialek bahasa Melayu yang digunakan di Semenanjung seperti dialek

Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Penang, Negeri Sembilan dan Johor),

bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa-bahasa

daerah yang dituturkan di Sabah dan Sarawak. Pelbagai idea dan pendapat

dihasilkan oleh pengkaji bahasa mengenai penggunaan bahasa ibunda secara

inklusif dalam pendidikan. Ramai yang mengatakan bahawa mutu pencapaian

dan penerimaan pelajar yang diajar dengan menggunakan bahasa ibunda lebih

baik berbanding dengan pendidikan yang dibuat menggunakan bahasa lain.

Kertas ini akan membicarakan penggunaan bahasa ibunda secara inklusif dalam

pendidikan dengan rujukan kepada bahasa Melayu.

Kata kunci: bahasa ibunda, bahasa Melayu, pendidikan, inklusif, negara.

2

PENGENALAN

Pendidikan di sekolah wajar dilakukan dalam bahasa ibunda sesebuah negara

kerana pengajaran dalam bahasa tersebut dapat memberi kesan yang lebih baik

terhadap pencapaian pelajar. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan,

Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara

prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa ibunda

terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah.i Merujuk kepada Penyata Razak

1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 tercatat bahawa dalam sistem pendidikan di

Malaysia terbentuk dalam satu sistem yang dikenali sebagai sistem pendidikan

kebangsaan dengan matlamat akhir ialah bahasa Melayu sebagai bahasa

pengantar utama. Sejak merdeka negara Malaysia telah menggunakan bahasa

Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sebagai

bahasa pengantar dalam pendidikan. Penggunaan bahasa Melayu sebagai

bahasa pengantar adalah bertujuan untuk melengkapi falsafah pendidikan

kebangsaan yang berbunyi “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha

berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh

dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi

intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan

kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu

pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan

berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap

keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.ii

Kamarudin Hj Kachar (1989) mengatakan bahawa konsep pendidikan

dengan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Pendidikan memerlukan masyarakat

untuk dijadikan asas falsafah, matlamat,dan tujuan. Masyarakat pula memerlukan

pendidikan sebagai alat terpenting menyediakan individu-individu untuk menjadi

masyarakat terlatih, terpelajar dan berbudi bahasa. Mohd Amin Arshad (2005 :13)

mengatakan istilah bahasa Melayu tinggi itu memang mendukung pengertian

sosial yang tertentu yang dapat dibezakan dengan bahasa rendah. Di kalangan

budayawan, budaya tinggi ditafsirkan sebagai budaya ilmu, pemikiran dan

teknologi. Dengan kata lain, bahasa Melayu tinggi adalah ragam bahasa yang

3

digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi,

bahasa baku dan bahasa standard.

Pelbagai kajian dan penyelidikan mengenai penggunaan bahasa ibunda

dalam pendidikan telah dijalankan oleh pelbagai agensi pendidikan sama ada

yang bersifat kerajaan mahupun bukan kerajaan. Pelbagai hasil juga telah

dikemukakan, antaranya Ho Chiu Chung (1989) telah mengkaji pencapaian

pelajar di sebuah sekolah di Hongkong yang menggunakan bahasa Inggeris

sebagai bahasa pengantar mendapati bahawa pencapaian pelajar terjejas akibat

daripada pertukaran bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris. Norhashimah

Jalaludin (2004) yang mengkaji penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa

pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik mendapati bahawa terdapat

masalah dalam kalangan guru yang mengajar dan juga minat pelajar untuk

mempelajari subjek tersebut menurun. Shaharir Mohd Zain (2002) mengatakan

terdapat kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pelajar (terutamanya

peringkat sekolah rendah) akan dapat menerima pelajaran dan pengetahuan

dengan lebih mudah dengan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa

pengantar.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga telah banyak

dikaji oleh pengkaji-pengkaji tempatan. Profesor Isahak Haron (2007) yang telah

membuat kajian terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan

Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah

telah mendapati bahawa pertukaran dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris

telah menyukarkan pelajar mempelajari dua mata pelajaran tersebut. Pretasi

pelajar bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut merosot dan penguasaan bahasa

Inggeris mereka juga tidak meningkat. Datok Abdul Raof Hussin yang mengetuai

penyelidik dari UPSI juga turut melaporkan bahawa dasar pengajaran dan

pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris hanya mampu

meningkatkan sebanyak 4 peratus sahaja penguasaan bahasa Inggeris, tetapi

minat terhadap memahami mata pelajaran Sains dan Matematik merosot. Kajian

tersebut telah merumuskan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa

Inggeris untuk pemerolehan ilmu telah melunturkan semangat, minat dan

keinginan murid-murid terhadap subjek Sains dan Matematik sejak dari sekolah

4

rendah lagi. Oleh sebab itu kertas ini akan membicarakan tentang penggunaan

bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam inklusif pendidikan di Malaysia dan

juga meneliti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam

sistem pendidikan di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada fungsi dan

peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

FUNGSI BAHASA MELAYU

a) Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan telah

termaktub dalam dasar pendidikan negara Malaysia. Dasar pendidikan negara

telah menggariskan bahawa pendidikan formal peringkat sekolah rendah

kebangsaan, menengah, dan pengajian tinggi (selain daripada kursus bahasa

asing dan bahasa Inggeris) harus diajar menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan telah dicatat

dan dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi-

institusi pendidikan tinggi swasta mengalami pengubahsuaian atau

penambahbaikan apabila pihak Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan

1996. Seksyen 2 dalam Akta Pendidikan 1996 jelas mengatakan bahawa bahasa

kebangsaan dapat dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan

dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, Seksyen 17 (1) telah

memberi satu kelonggaran dengan memberi kuasa kepada menteri untuk

mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di

sesebuah institusi pendidikan. Kelonggaran tersebut tertakluk kepada asas

penubuhan universiti swasta tersebut.

b) Bahasa Melayu bahasa perpaduan.

Asmah Omar (2008) menyatakan bahawa bahasa Melayu telah dipilih sebagai

bahasa kebangsaan atas peranan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa

pemersatu. Bahasa pemersatu di sini bermaksud bahasa yang digunakan untuk

menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Semua sekolah yang terdiri

daripada sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular di Malaysia menggunakan

5

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, malah institusi-instusi

pengajian tinggi juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan

agen perpaduan negara, dalam Penyata Razak 1957 dinyatakan bahawa bahasa

Melayu harus dijadikan asas dalam pengajaran dan pembelajaran. Menurut

penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk

meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang

berbilang kaum. Ini juga berkaitan dengan pendapat Garvin & Mathiot (1968)

menyatakan bahawa fungsi simbolik sesuatu bahasa standard ialah fungsi

penyatuan, bahasa juga boleh menjadi alat yang menghubungkan semua dialek

dengan satu bahasa yang sama.

Bahasa pengantar utama yang sama di sekolah-sekolah juga akan

merealisasikan hasrat negara Malaysia yang ingin mewujudkan satu bangsa yang

dinamakan bangsa Malaysia. Seperti mana yang dilancarkan oleh kerajaan

Malaysia dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia untuk kesejahteraan rakyat

dan negara. Kesefahaman di dalam politik dan agama sahaja tidak memadai

untuk menyatupadukan rakyat. Bahasa adalah alat yang terbaik untuk

menyatupadukan rakyat kerana bahasa merupakan alat untuk melahirkan

pendapat dan fikiran. Hasrat kerajaan untuk melihat rakyat bersatu padu,

terutama dalam pelaksanaan konsep 1Malaysia memerlukan satu bahasa yang

sedia ada iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi antara setiap golongan

masyarakat, tidak kira tua atau muda, yang berpangkat mahupun tidak.

Seperti yang kita ketahui asas dalam pembentukan perpaduan itu harus

dipupuk sedari awal, iaitu bermula dari kanak-kanak sehinggalah seseorang

dewasa. Bagi membentuk rasa cintakan negara dan bangsa Malaysia, kanak-

kanak dari peringkat prasekolah, sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian

tinggi perlu memahami dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Ini

kerana dalam budaya yang berbilang kaum, bahasa Melayu adalah wadah utama

bagi rakyat Malaysia untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa Melayu

bukan saja dipelajari sekadar untuk melayakkan diri masuk ke pusat pengajian

tinggi ataupun sebagai syarat untuk melayakkan diri mendapat bantuan kerajaan,

6

tetapi sebaliknya harus dijadikan bahasa utama dalam menyatupadukan

warganegara yang berbilang kaum ini.

c) Bahasa Melayu bahasa ilmu.

Sejak dari zaman dahulu lagi bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa

perhubungan dan menjadi lingua-franca. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa

ilmu sejak Tanah Melayu mula kenal ilmu pengetahuan, bermula dengan bahasa

kuno, menjadi bahasa klasik sehinggalah bahasa Melayu diangkat sebagai

bahasa moden, bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa ilmu

pengetahuan. Sungguhpun nilai dan taraf bahasa Melayu dilihat mengalami

kemerosotan pada zaman pemerintahan British, akibat daripada pengaruh

kolonialisme, namun setelah Malaysia mencapai kemerdekaan bahasa Melayu

telah diangkat menjadi bahasa Kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu

yang dituturkan oleh cerdik pandai bemula dari sekolah kebangsaan, sekolah

menengah serta institusi-institusi pengajian tinggi. Dasar bahasa Kebangsaan

menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi semua sekolah

bermula dari peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah dan pengajian

tinggi telah meningkatkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

d) Bahasa Melayu bahasa komunikasi.

Bahasa merupakan alat perhubungan bagi manusia menyampaikan perasaan

atau pemikiran dalam bentuk tulisan, lisan atau isyarat. Negara Malaysia yang

mempunyai berbilang bangsa dapat disatukan dengan menggunakan bahasa

komunikasi yang dapat difahami oleh semua masyarakat. Bahasa komunikasi

yang dapat difahami oleh semua masyarakat amat penting bagi mengutarakan

sesuatu idea. Setiap idea perlu disampaikan dalam bentuk yang gramatis serta

berkualiti untuk diterima dan diguna pakai di dalam masyarakat. Jelaslah, bahasa

komunikasi yang satu amat penting dan akan dapat mempertingkatkan hubungan

dan menambah kualiti komunikasi antara satu sama lain.

e) Lingua-franca

Bahasa Melayu ialah lingua-franca di rantau Melayu dan Indonesia. Sejarah

Melayu menceritakan bahawa para pedagang berusaha untuk mempelajari serta

7

menguasai bahasa Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan

pemimpin dan masyarakat di Tanah Melayu untuk berdagang. Berdasarkan

penelitian dan kajian yang terperinci, bahasa Melayu telah diterima sebagai

lingua-franca atau bahasa komunikasi utama sejak lima abad yang lalu iaitu

zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke – 15 lagi. Bahasa ini digunakan

secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Melaka

telah berperanan sebagai pusat pengembangan bahasa, kebudayaan, dan

kesusasteraan. Tiada bahasa lain yang dapat menandingi taraf bahasa Melayu

sebagai bahasa komunikasi yang luas di rantau ini. Pada ketika itu bahasa

Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk penjajah British, Portugis

dan Belanda (Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin, 2007 ). Surat-surat rasmi dan

dokumen perjanjian turut menggunakan bahasa Melayu sebagai dengan

menggunakan tulisan Jawi. Dokumen-dokumen berkenaan boleh kita temui

dalam undang-undang tubuh bagi negeri-negeri Melayu juga menggunakan

bahasa Melayu dan ditulis menggunakkan tulisan Jawi.

f) Kepentingan Bahasa Melayu Sebagai Simbol Permuafakatan Antara Etnik

Bahasa Melayu yang telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan perbualan

harian, sebagai bahasa komunikasi, dan bahasa persuratan maka telah

dipersetujui dan disepakati oleh peminpin pelbagai kaum di Negara ini agar

bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia yang

telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Permuafakatan pelbagai kaum ini

dirakam dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara

seperti yang termaktub dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi

Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENDIDIKAN

Pelbagai langkah dan kaedah pelaksanaan telah dibuat oleh kerajaan Malaysia

dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam

pendidikan. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan boleh dilihat

melalui fungsi bahasa Melayu itu sendiri dalam perlembagaan Malaysia. Dalam

8

Dasar Pendidikan Kebangsaan 2012 (57059), Kementerian Pelajaran Malaysia

telah meletakkan satu garis panduan dalam perkara 38 terhadap penggunaan

bahasa Melayu dalam pendidikan iaitu seperti berikut:

38.0 Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris

(Mbmmbi)

38.1.1 Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris

(MBMMBI) bermaksud mengangkat martabat bahasa Melayu pada tempat yang

sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti

yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.

38.1.2 Tujuan utama Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) adalah untuk

mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang

menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah

membina negara bangsa.

38.1.3 Tujuan utama Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBI) adalah supaya bahasa

komunikasi antarabangsa ini dikuasai dengan baik dan berkesan bagi

membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan

global.

38.1.4 Matlamat MBMMBI adalah untuk melahirkan murid yang fasih dan yakin

menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

38.1.5 Penguasaan murid dalam kedua-dua bahasa tersebut diharapkan berada

pada tahap tinggi. Penguasaan bahasa ialah penguasaan secara sistematik, iaitu

penguasaan bahasa secara keseluruhan bukannya setakat penguasaan lisan

sahaja.

38.2 Pernyataan Dasar

38.2.1 Memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar

utama di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.

38.2.2 Memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia (BM) dan bahasa

Inggeris (BI) dengan fasih dan betul.

9

38.3 Strategi Pelaksanaan

38.3.1 Mengangkat martabat BM dengan menggunakannya secara meluas dan

berkesan sebagai bahasa ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah

kebangsaan dan sekolah menengah.

38.3.2 Memperuntukkan tambahan waktu pengajaran dan pembelajaran BM dan

BI di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah. Peruntukan waktu BM bagi

sekolah jenis kebangsaan adalah antara 30 minit hingga 90 minit. Peruntukan

waktu pengajaran BI di sekolah kebangsaan ditambah antara 60 minit hingga 90

minit seminggu. Peruntukan waktu pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah

jenis kebangsaan ditambah antara 30 minit hingga 90 minit seminggu. Peruntukan

waktu BI bagi Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima ditambah sebanyak 40 minit

seminggu.

38.3.3 Memperkukuh penguasaan asas kemahiran berbahasa murid melalui

pendekatan kurikulum modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.

Pendekatan ini dilakukan melalui modul pengajaran dan pembelajaran yang

memberi tumpuan kepada perkara asas berbahasa, didik hibur, apresiasi bahasa

melalui Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa yang memberi tumpuan

kepada pengajaran dan pembelajaran secara bersepadu berasaskan sistem

bahasa. Aktiviti ini disokong dengan bahan bacaan estetika seperti sastera

kontemporari kanak-kanak, bahan program awal berstruktur dan bacaan ekstensif

yang mendedahkan murid kepada bahan bacaan yang indah dan berkualiti.

38.3.4 Memastikan BM dan BI diajarkan oleh guru mengikut opsyen sepenuhnya.

Sementara guru bukan opsyen BM dan BI akan ditempatkan semula mengikut

keperluan opsyen di sekolah. Guru-guru bukan opsyen juga akan diberikan kursus

tambah opsyen.

38.3.5 Meningkatkan kapasiti guru melalui pelaksanaan latihan guru

praperkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan.

38.3.6 Menggunakan khidmat penutur jati BI sebagai jurulatih utama kepada

pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan guru di sekolah. Di samping itu

10

perkhidmatan guru BI yang telah bersara diambil secara kontrak bagi menampung

kekurangan guru BI.

38.3.7 Memperluas perkongsian dan jaringan guru hingga ke peringkat global

sebagai satu mekanisme guru berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang

pengajaran dan pembelajaran yang terkini dan berkesan melalui

forum/seminar/persidangan antarabangsa.

38.3.8 Memperluas integrasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran BM dan

BI.

38.3.9 Menaik taraf makmal komputer sekolah dengan perkakasan dan perisian

TMK supaya boleh berfungsi sebagai makmal bahasa.

38.3.10 Meningkatkan penguasaan BM dan BI murid melalui program peningkatan

minat dan penyertaan murid dalam aktiviti bahasa. Penyertaan menyeluruh murid

dalam aktiviti pengucapan awam seperti ucapan, syarahan, pidato, choral

speaking, perbahasan dan kepengacaraan.

38.3.11 Memartabatkan sepuluh buah IPGM sedia ada sebagai Pusat

Kecemerlangan Bahasa Malaysia (PKBM) dan Pusat Kecemerlangan Bahasa

Inggeris (PKBI) bagi latihan dan kursus praperkhidmatan dan dalam

perkhidmatan. Lima buah PKBM ialah IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala

Lumpur; IPG Kampus Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang; IPG Kampus Tun

Abdul Razak, Sarawak; IPG Kampus Ipoh, Perak dan IPGM Kampus Kent, Sabah.

Manakala lima buah PKBI ialah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala

Terengganu; IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak; IPG Kampus Gaya,

Kota Kinabalu, Sabah; IPG Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur dan English

Language Teaching Centre, Kuala Lumpur.

38.3.12 Memantapkan kerjasama pintar dengan agensi luar dalam meningkatkan

bilangan program atau aktiviti bahasa yang menarik.

Dua belas (12) strategi yang disediakan oleh kerajaan dalam Dasar

pendidikan 2012 di atas jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mencari

jalan dan menyediakan kaedah-kaedah tertentu dalam memastikan bahasa

Melayu mampu mendukung falsafah pendidikan negara dan secara tidak langsung

mampu menjadi bahasa ilmu di dalam pendidikan secara menyeluruh. Dengan

11

adanya strategi tersebut dan juga pelaksanaan yang mengikut garis panduan

yang disediakan tidak mustahil penggunaan bahasa Melayu secara inklusif dalam

pendidikan boleh menjadi wadah dan wahana untuk memandaikan warganegara

Malaysia.

Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan medium utama dalam pembentukan

masyarakat yang ideal di negara ini, terutamanya dalam kalangan pelajar. Bahasa

Melayu yang digunakan dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang

penting sama ada bahasa itu akan berkembang atau terus pudar ditelan zaman.

Dari sehari ke sehari peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan

masyarakat dunia kian ketara sehingga wujud banyak bidang pengajian Melayu di

pelbagai universiti luar mahupun dalam negara. Bahasa Melayu dikatakan

merupakan antara enam bahasa di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh

100 tahun lagi malahan mampu hidup untuk selama-lamanya terutama jika

bahasa Melayu mempunyai kuasa ekonomi. Bahasa Melayu pernah menjadi

bahasa bertaraf dunia satu ketika dahulu seperti bahasa Inggeris sekarang.

Walaupun keadaannya berbeza sekarang, bahasa itu akan terus memainkan

peranan penting dalam pembinaan bangsa dan negara.

Slogan ‘Bahasa Melambangkan Bangsa dan Bahasa Jiwa Bangsa’ adalah

antara slogan yang dapat menaikkan semangat patriotisme dan kemerdekaan

daripada penjajah yang lebih mengutamakan bahasa mereka. Slogan ini begitu

dihayati oleh pejuang bahasa yang mahu bahasa Melayu diangkat semula

sebagai bahasa intelektual, bahasa falsafah serta bahasa ilmu. Tiada bahasa lain

yang dapat membentuk ketamadunan sesuatu bangsa itu melainkan bahasa

bangsa itu sendiri termasuk ketamadunan bangsa Melayu oleh bahasa Melayu.

Justeru, cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi oleh bahasa Melayu hari

ini haruslah ditangani dengan sewajarnya oleh semua golongan khususnya pihak

kerajaan.

Memartabatkan bahasa Melayu merupakan satu proses pembinaan bahasa

yang dijalankan secara berterusan. Pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai

usaha ke arah memantapkan Bahasa Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem

ejaan, sebutan, tatabahasa, peristilahan, kosa kata dan laras bahasa. Menurut Nik

Safiah Karim (2004), pemantapan sistem bahasa sebagai persediaan menjadi

12

bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu,

teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang

kukuh, walaupun proses ini masih berterusan dan masih memerlukan pemantapan

untuk memartabatkan bahasa Melayu. Awang Sariyan (2006) mengatakan

bahawa usaha-usaha perlu dilakukan oleh pihak pemerintah negara agar lebih

proaktif dalam memartabatkan bahasa Melayu jika ingin melihat bahasa Melayu

itu terus berkembang maju dan seterusnya menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu

seharusnya telah diangkat menjadi sebuah bahasa yang unggul dan tidak

seharusnya dipertikai kewujudannya. Manakala, Berdasarkan pendapat tokoh

bahasa di atas dapat disimpulkan bahawa untuk memartabatkan bahasa Melayu,

banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak khususnya pihak

kerajaan. Perkembangan bahasa Melayu dapat dipraktikkan dalam sistem

pendidikan negara. Melalui pendidikan sesuatu perancangan itu dapat

dilaksanakan mengikut perancangan yang telah diatur oleh pihak kerajaan.

Pemantapan dari segi pembinaan bahasa itu sendiri perlu seiring dengan

perkembangan pendidikan. Jika kedua-dua konsep ini dapat digabungkan

nescaya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan

sebaik mungkin.

KEKANGAN DAN LANGKAH PENYELESAIAN

Sungguhpun telah jelas bahawa untuk memandaikan anak bangsa, pengajaran

dan pembelajaran haruslah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa ibunda,

namun terdapat juga kekangan yang terpaksa dihadapi disebabkan oleh faktor-

faktor tertentu, antaranya ialah:

i) Pengaruh Bahasa Inggeris

Pemodenan telah membawa pengaruh globalisasi secara menyeluruh ke seluruh

dunia. Dasar bahasa tidak berubah tetapi orientasi terhadap bahasa Inggeris

sebagai wadah kemajuan globalisasi atau sebagai alat untuk mencapai matlamat

itu mula mengabui mata masyarakat dan penggubal dasar. Peranan bahasa

13

Melayu dalam agenda pembangunan negara dan pendidikan juga turut terkena

bahang globalisasi. Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu diseru supaya

menguasai bahasa Inggeris jika mereka hendak menjadi bangsa yang maju.

Proses globalisasi digunakan sebagai alasan bangsa Melayu dan seluruh rakyat

Malaysia mesti mengetahui bahasa Inggeris. Pada hal sudah ada dasar sejak

tahun 1957 yang diperakukan oleh Laporan Razak sendiri bahawa bahasa

Inggeris ialah bahasa kedua yang wajib diajarkan di sekolah. Menurut Omar Mohd

Hashim (1993: 13) kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris

mula menjadi isu negara seolah-olah bahasa Inggeris itu merupakan bahasa

pengantar utama di sekolah mahupun di universiti manakala kelemahan pelajar

dalam menguasai bahasa Melayu dipandang sepi. Tiada tindakan mahupun usaha

untuk memantapkan bahasa Melayu. Hakikatnya, penguasaan pelajar terhadap

bahasa Inggeris tidak meningkat dan pemahaman mereka terhadap bahasa

Melayu pula semakin merosot.

Cabaran paling serius terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa

ilmu. Di IPT berlaku apabila 600 lesen diluluskan kepada pihak swasta untuk

menubuhkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Walaupun Akta

Pendidikan Tinggi Swasta 1996 menyatakan bahawa semua IPTS di negara ini

hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, namun

dalam akta yang sama juga telah memberikan kuasa kepada Menteri Pelajaran

untuk membenarkan IPTS menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa

pengantar utamanya. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam

pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi bukanlah jalan

penyelesaian kepada pelajar dalam menguasai ilmu. Satu kaedah yang mungkin

boleh diaplikasikan dalam hal ini ialah memperkenalkan sistem bahasa ibunda

berasaskan dwibahasa (mother tongue-based bilingual programme) yang

dibincangkan oleh Carol Benson (2005). Melalui kaedah ini pengajaran dan

pembelajaran dilaksanakan dengan menggunakan dwibahasa (dengan andaian

bahawa pelajar menggunakan dwibahasa sebagai bahasa pertuturan dan bahasa

komunikasi di rumah). Pada hari ini penggunaan dwibahasa sebagai bahasa

pertuturan di rumah bukanlah perkara yang baru. Namun untuk melaksanakan

14

langkah ini memerlukan satu kajian dan penyelidikan yang teliti sebelum

diimplementasikan.

ii) Kegagalan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.

Satu lagi masalah yang menyebabkan merosotnya penggunaan bahasa Melayu

adalah kegagalan pelajar dan pengajar untuk menguasai bahasa Melayu sebagai

bahasa komunikasi. Terdapat ramai pelajar terutama pelajar bukan Melayu yang

lulus dengan agregat A+ atau A bagi mata pelajaran bahasa Melayu gagal

berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu. Mereka memperoleh gred

yang tinggi kerana mereka fokus terhadap subjek tersebut dan hanya belajar

untuk peperiksaan. Kekangan yang jelas ketara untuk memartabatkan bahasa

Melayu dalam pendidikan ialah kurangnya tenaga pengajar yang mahir dan tidak

menguasai bahasa Melayu dengan sebaiknya. Abdul Hamid Mahmood (1993)

menyatakan bahasa Melayu itu tidak dapat dimartabatkan jika guru-guru yang

mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu

dengan betul. Menurut kajian beliau, ramai guru masih menggunakan dialek

setempat semasa mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan bukannya

menggunakan bahasa standard. Budaya berbahasa yang sebenarnya tidak dapat

diterapkan oleh golongan pengajar dan tenaga pengajar tersebut. Ini

menyebabkan golongan pelajar akan mendapat input yang salah dan bercelaru.

Hal ini demikian menyebabkan golongan pelajar khususnya pelajar Melayu tidak

dapat mempelajari bahasa Melayu dengan betul.

Selain itu, masalah penggunaan dialek bahasa Melayu di bilik darjah masih

ada hingga hari ini. Tambahan pula, tidak semua pelajar dianggap sebagai orang

Melayu adalah orang Melayu. Misalnya, orang Jawa dan menggunakan bahasa

Jawa di rumah. Bahasa Melayu ialah bahasa kedua dan bahasa Inggeris ialah

bahasa ketiga bagi mereka. Bagi kebanyakan pelajar sebegini, bahasa Melayu

bukanlah bahasa ibunda mereka dan mereka terpaksa mempelajarinya. Menurut

Sufean Hussin (1996 ) mengatakan bahawa di sekolah murid-murid akan

diajarkan aspek tatabahasa di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa

Melayu kerana ia amat penting untuk melahirkan murid yang pintar berbahasa

15

selain dapat menggunakan tatabahasa dengan betul. Tujuan pengajaran

tatabahasa dijalankan di sekolah adalah untuk membolehkan murid-murid dapat

memahami dengan lebih jelas pengertian sesuatu perkataan atau ayat dengan

menganalisis kedudukannya. Selain itu, ia juga dapat membantu murid-murid

bertutur dengan lancar, terang dan mudah difahami oleh orang lain serta murid

dapat menggunakan frasa dengan jelas dan tepat.

Pengajaran tatabahasa ini sangat mencabar bagi seseorang guru bahasa.

Guru-guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu tentang tatabahasa itu sendiri.

Guru-guru tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengajarkan tatabahasa

kepada murid-murid tanpa membuat sebarang rujukan berkaitan kandungan

dalam tatabahasa itu sendiri. Ini bersesuaian dengan zaman sekarang di mana

murid-murid perlu menguasai tatabahasa untuk diaplikasikan dalam menjawab

soalan peperiksaan. Bagi mengatasi masalah ini, antara langkah yang

dimasukkan dalam Dasar pendidikan kebangsaan (2102) adalah mempertingkat

kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui:

i. memperbanyak istilah Matematik, Sains dan Teknologi:

ii. meningkatkan aktiviti sokongan bahasa seperti pertandingan/kempen/

kursus; dan

iii. meningkatkan bantuan dalam pembinaan kapasiti guru seperti munsyi

bahasa/kursus/bengkel dan sebagainya.

iii) Pengaruh Bahasa Slanga

Slanga wujud sebagai satu bentuk kekacauan bahasa. Kekacauan bahasa ini

sebenarnya berlaku tanpa disedari oleh penuturnya. Ismail Jusoh (2000)

mengatakan bahawa bahasa slanga dilahirkan oleh sesuatu kumpulan. Kumpulan

ini mencipta istilah dan kata-kata yang bermakna dan hanya difahami oleh

kumpulan itu sahaja. Mereka menggunakan istilah-istilah tersebut dalam

berkomunikasi. Apabila wujudnya bahasa slanga secara tidak langsung terbinalah

pelbagai golongan mengikut identiti mereka. Dalam menangani masalah

memartabatkan bahasa Melayu, golongan pelajar sepatutnya menunjukkan

contoh yang baik dalam berbahasa. Tetapi sejak akhir-akhir ini, banyak rungutan

16

mengatakan bahawa golongan pelajar universiti lebih suka menggunakan bahasa

slanga dalam pertuturan mereka tidak kira secara formal mahupun tidak formal.

Bahasa Slanga adalah satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh perbendaharaan

kata yang baru digubal dan cepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh

golongan muda seperti kumpulan rock dan kawanan melepak, atau pelajar

universiti seperti di UPM atau golongan profesional untuk menghindarkan

daripada diketahui oleh anggota komuniti bahasa yang lain. Bahasa Slanga ini

cepat merebak dan cepat pula hilang mengikut peredaran zaman. Antara contoh

bahasa Slanga yang menjadi ikutan pelajar universiti ialah seperti cun, buat dek,

bengang, geng, melepak, buat pot dan lain-lain lagi. Para pensyarah sering

merungut tahap penguasaan bahasa Melayu pelajar universiti semakin merosot

dan hal ini tidak sepatutnya berlaku. Jika keadaan ini tidak dibendung nescaya

proses untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan tercapai kerana golongan

pelajar universiti inilah yang akan menjadi tunggak kepada pembangunan negara.

iv) Kurang buku rujukan dalam bahasa Melayu.

Masalah yang dihadapai oleh golongan pelajar mahupun pendidik dewasa ini ialah

kurangnya buku-buku ilmiah yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam

pengajaran dan pembelajaran yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Kebanyakan buku-buku yang terdapat di pasaran semuanya menggunakan

bahasa Inggeris. Keadaan ini sangat menyukarkan terutamanya golongan pelajar

universiti. Para pelajar universiti sukar membuat rujukan tentang sesuatu perkara

kerana tidak terdapat penterjemahan dari segi istilah. Buku-buku ilmiah ini

didatangkan dari luar negara untuk rujukan para pelajar. Dasar mempercayai

budaya orang luar telah menular di dalam diri masyarakat di negara Malaysia.

Para penerbit buku seharusnya lebih agresif untuk menerbitkan buku-buku ilmiah

yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya.

Abdullah Hassan (1987) mengatakan bahawa langkah pertama yang perlu

dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu ialah dengan

melantik sebuah badan berkanun seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan

Bahasa dan Pustaka merupakan satu badan berkanun yang berperanan penting

17

dalam memartabatkan bahasa Melayu. DBP berperanan untuk memupuk dan

memperkaya bahasa kebangsaan, memperluas bidang pengetahuan masyarakat

terhadap penggunaan dan perkembangan bahasa Melayu, menerbitkan,

menggalakkan dan menyelaraskan penerbitan buku dan jenis penerbitan lain yang

berkaitan dengan kajian dan pembinaan bahasa Melayu, membakukan sistem

ejaan dan sebutan, mencipta istilah saintifik yang sesuai dengan bahasa

kebangsaan, menyusun dan menerbitkan kamus dalam bahasa kebangsaan.

Dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka sedikit sebanyak dapat membantu

pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran untuk memantapkan bahasa

Melayu dalam bidang pendidikan.

vi) Bahasa Melayu bahasa ilmu tinggi.

Dalam Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan

Malaysia (UKM) Bangi (2005) iii Wan Hashim Wan Tehiv mengatakan bahawa,

perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara telah

tiba di kemuncaknya apabila bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama

dalam sistem pendidikan sehingga ke universiti. Menurut beliau, ia menunjukkan

kesungguhan serta komitmen yang tinggi pihak kerajaan untuk menjadikan

bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Mohd Amin Arshad (2005 :13)

mengatakan istilah bahasa Melayu tinggi itu memang mendukung pengertian

sosial yang tertentu yang dapat dibezakan dengan bahasa rendah. Bagi golongan

budayawan, budaya tinggi ditafsirkan sebagai budaya ilmu, pemikiran dan

teknologi. Dengan kata lain, bahasa Melayu tinggi adalah ragam bahasa yang

digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi,

bahasa baku dan bahasa standart. Sehubungan dengan hal itu, amat wajarlah

bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat Malaysia kini diiktiraf sebagai

bahasa ilmu tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa pembentuk

budaya. Pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai usaha ke arah memantapkan

bahasa Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem ejaan, sebutan. tatabahasa,

peristilahan, kosa kata dan laras bahasa. Pemantapan sistem bahasa sebagai

persediaan menjadi bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap

18

hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah

mencapai tahap yang kukuh, walaupun proses ini masih berterusan dan masih

perlukan pemantapan. Kemajuan pendidikan dalam bahasa Melayu telah berlaku

dengan pesatnya apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah berbahasa

pengantar Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di institusi-institusi pengajian

tinggi (IPT). Usaha memperkasa Bahasa Melayu di IPT adalah menggunakannya

dalam situasi-situasi rasmi dan memupuk semangat cintakannya.

KESIMPULAN

Bahasa ibunda merupakan bahasa pertama yang dipelajari oleh manusia

ketika mula mengenal dunia. Bagi warganegara Malaysia, bahasa Melayu

seharusnya menjadi bahasa utama yang menjadi lambang dan jatidiri sebagai

rakyat Malaysia. Penggunaan bahasa Melayu secara inklusif dalam pendidikan

seharusnya diberi perhatian yang serius, bukan sahaja oleh kerajaan dan pihak

sekolah serta pihak institusi pengajian tinggi, sebaliknya seluruh warga Malaysia

seharusnya memberikan kerjasama yang serius dalam menjadikan bahasa

Melayu sebagai bahasa pendidikan di negara ini. Ikrar yang sering dilafazkan

dalam Rukun Negara yang mengatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia semua

warganegara telah berikrar untuk nencapai perpaduan yang lebih erat dalam

kalangan seluruh masyarakatnya serta berikrar menumpukan seluruh tenaga dan

usaha dalam mencapai cita-cita berdasarkan prinsip keluhuran perlembagaan

perlulah dipraktikkan dalam bentuk amalan yang jujur dan ikhlas sebagai

warganegara Malaysia.

Sejajar dengan hal itu, seperti kata Abdullah Hassan (1987) generasi muda

terutama pelajar sekolah harus dipupuk jati dirinya terhadap bahasa kebangsaan

sejak di bangku sekolah. Usahlah dibebankan mereka dengan bahasa yang lain

untuk mempelajari ilmu pengetahuan moden. Kuasailah bahasa Melayu terlebih

dahulu kemudian barulah kuasai bahasa kedua. Dengan cara ini, Malaysia akan

melahirkan rakyat yang dwibahasa menjelang tahun 2020. Bahasa Melayu

sebagai bahasa kebangsaan harus sentiasa dipelihara. Dalam usaha

19

mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kita harus lebih dahulu

memupuk jati diri dalam kalangan masyarakat terutama golongan yang tiada jati

diri terhadap bahasa, yang terlalu kuat sentimennya terhadap bahasa Melayu dan

golongan yang kurang kepercayaan dan keyakinan diri terhadap bahasa Melayu.

Bahasa menunjukkan bangsa dan maju bahasa majulah bangsa.

20

Bibliografi Abdullah Hassan , 1987. Isu-isu Perancangan Bahasa – Pengintelektualan

Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abd. Hamid Mahmood, 1993. Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media

Printed (M). Asmah Haji Omar, 2008. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan , 2006 . Bahasa Melayu dalam Mendepani Era Globalisasi: Upaya

dari Sudut Pengayaan Khazanah Ilmu. Dalam Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Carole Benson, 2004 . The importance of mother tongue-based schooling for

educational quality in Paper commissioned for the EFA Global Monitoring

Report 2005, The Quality Imperative, UNESCO.

Dasar Pendidikan Kebangsaan, 2012. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ismail Jusoh (2000). Bahasa dan Masyarakat. Dalam Monograf Bahasa, Sastera,

dan Budaya Melayu. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Junaidi Awang Besar dan Mohd Fuad Mat Jali, 2010. Pemansuhan dasar PPSMI:

Tinjauan daripada persepsi parti politik, ahli akademik dan NGO serta

pengalaman di sekolah. Dalam Jurnal Melayu, halaman 177-197. Bangi:

Penerbit UKM.

Juriah Long, 2002. Pendidikan Bahasa Melayu: Antara Hasrat dengan

Perlaksanaan. Bangi: Penerbit UKM.

Kamarudin Kachar, 1989. Pendidikan Dan Masyarakat. Edisi Pertama. Kuala

LumpuR: Teks Publishing sdn. Bhd.

Mohd Amin Arshad , 2005. Bahasa Melayu Tinggi. UPM Serdang, Selangor.

Nik Safiah Karim, 2004. Bahasa Melayu Sedekad Yang Lalu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa.

Omar Mohd. Hashim, 1993. Pendidikan Persoalan, Penyelesaian dan Harapan.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sufean Hussin, 1996. Pendidikan di Malaysia – Sejarah Sistem dan Falsafah.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

21

i http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0513&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm. Akhbar Utusan Melayu 13 Mei 2011. Pendidikan bahasa ibunda beri kesan. Diakses pada 17 Mac 2015. ii www.moe.gov.my/v/falsafah-pendidikan-kebangsaan.Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Diakses pada 17

Mac 2015. iii Artikel

Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1031&sec=sastera&pg=sa_01.htm#ixzz3UeICFAc4© Utusan Melayu (M) Bhd