penemuan petroleum lebih memberi keburukan kepda kebaikan di sesuatu kawasan
TRANSCRIPT
Pada masa kini negara-negara yang mempunyai petroleum bolehlah dianggap
sebagai negara yang bertuah kerana pendapatan daripada hasil eksport adalah
tinggi. Penemuan dan penghasilan petroleum telah meninggalkan kesan-kesan
yang tertentu kepada ekonomi negara yang dapat dilihat dalam dua segi iaitu
kesan positif dan kesan negatif.
Petroleum merupakan bahan api yang penting sekali pada masa kini. Ia
memberikan sumber pendapatan kepada negara pengeluar dan digunakan untuk
membangunkan negara mereka. Sebagai contoh, pendapatan negara Brunei
Darussalam melalui eksport petroleumnya begitu besar sekali, menjadikan
ekonominya amat teguh. Begitu juga dengan Arab Saudi, menggunakan hasil
daripada pendapatan eksport petroleum untuk memajukan kawasan yang
dulunya kering kontang kini telah bertukar menjadi kawasan pertanian.
Sementara itu, bagi Malaysia pula eksport petroleum mentah pada tahun 2000
menyumbang kira-kira RM 14.2 billion, gas asli sebanyak RM 11.3 billion.
Begitu juga dengan negeri Terengganu yang mula menstrukturkan semula
ekonominya berikutan royalti petroleum yang mula diterima pada 1978.
Penubuhan perbadanan minyak negara merupakan titik tolak kepada
kawalan dan penglibatan negara yang lebih dalam industri petroleum. Petroleum
Nasional Berhad (PETRONAS), pada 2008 berada pada kedudukan kelapan
syarikat paling untung di dunia dalam senarai Fortune Global 500. Manakala di
Asia pula, muncul sebagai syarikat paling untung. Justeru, Petronas mampu
untuk memacu ekonomi negara dan meletakkan negara sebaris dengan negara-
negara lain di dunia. Antaranya, Petronas mampu untuk menaja pasukan
Sauber-Petronas dalam perlumbaan kereta Formula-1. Kejayaan lain Petronas
ialah dengan pembinaan menara Berkembar Petronas yang telah dibuka dengan
rasmi pada Hari Kebangsaan ke-42, 31 Ogos 1998.
Selain itu, petroleum juga menjadi bahan mentah kepada industri
petrokimia. Dengan adanya industri berat seperti ini di negara pengeluar
petroleum, maka pertumbuhan ekonomi maju selangkah ke hadapan. Di
samping dapat memperbanyakkan industri dalam negara, peluang pekerjaan
juga dapat diwujudkan dalam jangka masa yang sama. Perkara ini dapat
mengurangkan kadar pengangguran dalam negara. Peluang pekerjaan bukan
sahaja dihadkan kepada kilang-kilang perusahaan sahaja, malah peluang ini
diwujudkan sejak bermulanya kerja-kerja mencari gali, menggerudi,
pembersihan dan sebagainya. Di Malaysia contohnya, dengan adanya petroleum
negara mampu untuk memajukan kilang industri yang berasaskan sumber
petroleum dan gas asli seperti kilang menapis petroleum di Lutong, Miri dan
Kerteh Terengganu termasuk juga kilang mencairkan gas asli di Bintulu.
Kilang membuat baja urea di Bintulu yang merupakan yang terbesar di Asia
merupakan satu lagi petunjuk bahawa petroleum dan gas dapat memajukan
perindustrian di Malaysia.
Melalui penemuan petroleum juga, sesebuah negara dapat mewujudkan
serta memajukan rangkaian sistem pengangkutan seperti jalan raya, jala kereta
api, kemudahan pelabuhan, lapangan terbang dan lain-lain. Hal ini dapat
dilakukan hasil daripada pendapatan petroleum sebagaimana dapat dilihat di
negeri Terengganu. Lebuh raya Jerangau dibina dari Kuala Terengganu ke
Kuantan, rangkaian pengangkutan yang padat juga dibina di sepanjang pinggir
pantai Miri, Sarawak. Kewujudan kemudahan pengangkutan ini bertujuan untuk
mempercepatkan penghantaran petroleum dan gas asli ke kilang dan kawasan
pasaran serta mengangkut tenaga pekerja dan membawa masuk pelabur asing.
Begitu juga dengan pembinaan pelabuhan-pelabuhan baru seperti Pelabuhan
Kemaman, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Bintulu. Malahan, Bandar Kerteh
yang suatu masa dulu adalah sebuah kawasan petempatan nelayan telah berubah
kepada sebuah bandar perindustrian yang berasaskan petroleum. Sebuah
lapangan terbang telah dibina di Kerteh untuk kemudahan pekerja di bidang cari
gali petroleum di luar pantai. Fungsi bandar Kerteh juga telah berubah daripada
sebuah kampung nelayan menjadi sebuah bandar perindustrian yang lengkap
dengan infrastruktur moden dan terancang serta kemudahan perbankan dan
insuran. Nilai hartanah di bandar Kertih juga turut meningkat secara tidak
langsung dapat meningkatkan taraf hidup penduduk.
Perusahaan petroleum memerlukan modal yang besar, baik pada
peringkat awal mencari gali mahupun pada peringkat pengeluaran. Di samping
modal yang besar, kerja-kerja ini juga memerlukan teknologi yang tinggi dan
kemahiran. Di Malaysia, usaha sama dengan syarikat dari luar negara pada
peringkat awal banyak membantu di bidang teknologi tinggi. Sebelum 1974,
operasi mencari gali dan memproses petroleum di Malaysia dijalankan oleh
syarikat multinasional yang memegang konsesi seperti Shell dan Exxon Mobil.
Kerjasama ini menggalakkan pemindahan teknologi dan kepakaran melalui
pelbagai projek usaha sama, perkongsian pintar dan latihan lanjutan. Usaha
penyelidikan dan pembangunan (R&D) sentiasa dijalankan oleh Petronas dalam
konteks teknik baru mengesan dan mengeluarkan sumber serta teknik baru bagi
menghasilkan pelbagai produk berkualiti. Misalnya teknologi seismik dan
satelit digunakan dalam mengesan lokasi medan petroleum.
Industri petroleum dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada
pendudud sesebuah negara. Bidang pekerjaan seperti ahli geologi petroleum,
jurutera, ahli oceaneografi, juruteknik, pegawai tadbir dan buruh terbuka luas
kepada penduduk. Contohnya, pada tahun 2000 peluang pekerjaan sebanyak 39
900 diwujudkan dalam sektor perlombongan petroleum di Malaysia.
Namun begitu terdapat juga beberapa kesan yang negatif akibat daripada
perlombongan petroleum. Kesan yang amat ketara ialah pencemaran laut.
Tumpahan minyak dan pembuangan sisa terutamanya dari atas pelantar ke laut
dan kerja penggerudian minyak dan gas di dasar laut adalah penyebab utama.
Selain itu, ia juga berpunca daripada kerosakan kapal tangki yang mengangkut
minyak di laut dan kerja-kerja pemunggahan petroleum mentah di sekitar
terminal atau pelabuhan. Pencemaran laut ini seterusnya menyebabkan
keseimbangan ekosistem marin terjejas.
Aktiviti pemprosesan petroleum dan gas asli di Kerteh dan Lutong
menyebabkan peningkatan kadar pencemaran udara dan pembebasan bahan-
bahan pencemar udara seperti sulfur dioksida, karbon monoksida dan beberapa
jenis hidrokarbon. Bahan-bahan pencemar udara ini pula bertindak sebagai
nukleus kondensasi yang menyerap wap-wap air lalu menurunkan hujan asid.
Selain itu, peningkatan suhu persekitaran dan kejadian pulau haba boleh
berlaku kesan daripada aktiviti pembakaran gas berlebihan di kawasan pelantar
minyak dan kawasan loji pemprosesan gas asli. Keadaan ini amat dirasai di
kawasan Bintulu dan Kerteh.
Kerja-kerja pembinaan bandar baru, kilang industri pemprosesan
petroleum dan gas, jalan raya dan sebagainya telah menyebabkan hakisan tanah,
pemusnahan litupan bumi seperti hutan paya bakau.
Secara keseluruhan penemuan dan penerokaan petroleum meninggalkan
kesan yang positif dan negatif terhadap sesebuah negara. Bagi mengatasi kesan
yang negatif, maka peranan kitalah sebagai khalifah di atas muka bumi ini
mengambil langkah mengurangi kesan-kesan yang negatif bagi mengatasi
kemudaratan yang bakal berlaku. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah
dalam surah Ar-Rum yang menunjukkan berlakunya kemusnahan terhadap alam
sekitar sama ada di laut dan di darat yang berpunca dari manusia itu sendiri.
Rujukan:
http://harithdzakwan.blogspot.com/2012/02/sejarah-petronas.html (muat turun
pada 12 Mei 2012)
Jamaluddin Md. Jahi (1996), Impak Pembangunan Terhadap Alam Sekitar,
UKM, Bangi
Katiman Rostam (2005), Transformasi Ekonomi dan Pembandaran di Koridor
Kemaman-Dungun, Terengganu: Keterlibatan Isi Rumah Melayu, Sari 23
(2005) 15-36