pemerkasaan bahasa melayu di arena...
TRANSCRIPT
1
PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DI ARENA ANTARABANGSA DEMI KEMAJUAN NEGARA BANGSA MALAYSIA DI PERSADA DUNIA
Hashim Haji Musa
(Malaysia)
Pendahuluan: Isu Cabaran Kini ke atas Bahasa Melayu dan Pemerkasaannya
Bahasa Melayu (BM) kini sedang menghadapi cabaran yang sengit daripada bahasa
Inggeris, iaitu bermula sejak tahun 1996, apabila Parlimen Malaysia meluluskan Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550, Seksyen 17 (1)) dan Akta IPTS 1996 yang memberikan kuasa
kepada Menteri Pendidikan atau Pelajaran Malaysia untuk mengecualikan penggunaan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan tunggal negara. Susulan
daripada itu, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) mula ditubuhkan dan sehingga kini
beratus-ratus IPTS dengan ratusan ribu pelajar telah didirikan yang menggunakan
sepenuhnya bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Ini telah menimbulkan gejala
dualisme pendidikan yang genting.
Satu lagi kejutan besar yang melanda negara bangsa Malaysia ialah penggunaan
bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains di semua sekolah di Malaysia
bermula pada tahun 2003. Mata pelajaran Matematik dan Sains merupakan asas bagi
semua kursus dalam bidang sains dan teknologi yang membawa implikasi bahawa semua
pengajian dalam bidang sains dan teknologi di semua IPT termasuk IPTA berkemungkinan
besar akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Ini akan
membawa bahana yang serius ke atas sistem pendidikan dan seterusnya ke atas
sosioekonomi, integrasi dan masa hadapan negara bangsa Malaysia. Isu ini akan menjadi
bidang tumpuan kertas kerja ini, dan seterusnya akan dikemukakan juga keperluan dan
strategi memperkasa kembali bahasa Melayu supaya terus menjadi bahasa yang terulung di
Malaysia dan di rantau Asia Tenggara dan seterusnya menjadi satu daripada bahasa dunia.
2
Pemerkasaan bermaksud menjadikan sesuatu itu berwibawa, dominan, kuat, hebat,
terkenal, berdaulat, dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005:1189–1190). Oleh
itu pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan di dunia, hebat dari segi kandungan ilmunya,
keintelektualannya, keluasan penggunaannya, nilai ekonominya, dan keterbacaannya.
Apakah kedudukan begini boleh dicapai oleh bahasa Melayu memandangkan cabaran yang
sengit sedang mengancam keberlangsungan statusnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa
pengantar pendidikan di Malaysia kini? Kedua-dua isu ini akan cuba digarap dan
dibincangkan dalam kertas kerja ini.
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia dan Bahasa Antarabangsa serta Kendala-
Kendala
Tidak dapat dinafikan bahawa BM dalam sejarahnya telah menjadi bahasa antarabangsa
yang luas digunakan di rantau Asia Tenggara, iaitu sejak zaman Empayar Srivijaya sekitar
abad ke-7 sehingga ke abad ke-19 apabila BM menjadi lingua franca bagi seluruh wilayah
ini dalam urusan perdagangan dan perhubungan antarabangsa dan juga menjadi bahasa
rasmi dan bahasa persuratan bagi pusat pemerintahan di seluruh rantau ini. Apabila orang
Barat sampai ke wilayah ini, mereka mendapati bahawa BM sangat luas digunakan oleh
pelbagai suku kaum, etnik, dan pusat-pusat kerajaan sama ada dalam perhubungan
perdagangan ataupun surat-menyurat rasmi dan juga persuratan sehingga wilayah ini
secara keseluruhan terkenal sebagai Kepulauan Melayu atau the Malay Archipelago.
William Marsden seorang Paderi Kristian yang telah mengkaji BM dan menulis kamus dan
tatabahasa BM, ketika mula-mula sampai di wilayah ini pada awal abad ke-19 mendapati
bahawa:
“The Malayan language (BM) prevails throughout a very extensive portion of what is vaguely termed as the East Indies including the Malayan peninsula, together with the islands of Sumatra, Java, Borneo, Celebes and innumberable others, as far as to the eastward as the Moluccas, to the southward as the island of Timor,
3
and to the northward as the Phillipines, formally collectively (called) the Malayan Arhipelago...the Malayan language (BM) is generally employed... as the medium of commercial and foreign inercourse, and every person of whatever nation, who frequents a port of trade must negotiate his business in this tongue, either speaking himself or employing an interpreter. From hence it is that, by comparison with a similar prevalence of a dialect of Italian or Catolonian along the shores of the Mediterranean, it has commonly received the appleation of the lingua franca of the East. ”
(William Marsden, 1812, A Grammar of the Malayan Language)
Suasana penggunaan BM sebagai lingua franca of the East berterusan berlaku
sehinggalah permulaan abad ke-20 apabila kuasa penjajah Barat, iaitu Inggeris bagi
Semenanjung Tanah Melayu dan utara Bornea, Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa,
selatan Borneo, Sulawesi, Maluku, Madura, dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina,
telah memaksa penggunaan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar
pendidikan ke atas jajahan takluk mereka itu. Maka bermulalah kemerosotan status BM
sebagai lingua franca wilayah ini, dan sebagai bahasa rasmi kerajaan dan bahasa
pengantar pendidikan. Bahasa penjajah, iaitu Inggeris di Malaya dan Borneo Utara, Belanda
di Indonesia, dan Sepanyol di Filipina (kemudian bahasa Inggeris Amerika digunakan
apabila dijajah oleh Amerika Syarikat) telah mengambil alih peranan itu. Hanya apabila
kemerdekaan dicapai oleh Indonesia (1945), dan Tanah Melayu (1957), maka bahasa
Melayu (bahasa Indonesia) telah mula dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan lingua franca di wilayah ini.
Namun di Malaysia kini, setelah 50 tahun merdeka dan 30 tahun pelaksanaan
sepenuhnya dasar BM sebagai bahasa pengantar pendidikan di semua peringkat pengajian
(sejak 1997). Dua perubahan besar telah berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Pertama sejak tahun 1996 apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan
Parlimen, maka penubuhan ratusan IPTS dengan jumlah pelajar yang melebihi 300 000
menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris sebagai pengantar pendidikan. Kedua ialah
penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains di semua sekolah di
4
Malaysia bermula pada tahun 2003. Mata pelajaran matematik dan sains merupakan asas
bagi semua kursus dalam bidang sains dan teknologi, yang membawa implikasi bahawa
semua pengajian dalam bidang sains dan teknologi di semua IPT termasuk IPTA
berkemungkinan besar akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantarnya.
Penggunaan bahasa Inggeris yang meningkat di IPTA terutama sekali dalam kursus
berasaskan sains dan teknologi dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di IPTS
akan mengakibatkan pembudayaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, iaitu bidang
yang kritikal dalam pembentukan pembangunan negara dan tradisi ilmu dan peradaban
akan dilakukan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa tempatan atau indigenus. Dengan
demikian telah muncul kembali suasana dualisme pendidikan seperti yang berlaku pada
zaman penjajahan. Ini akan menimbulkan implikasi dan kesan yang serius ke atas dasar
bahasa dan sosioekonomi rakyat jelata negara Malaysia, iaitu:
1. Nilai ekonomi bahasa Inggeris akan naik, statusnya akan meningkat dan
seterusnya akan mengetepikan status bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi yang terunggul dan tidak lagi dihormati rakyat
jelata kerana kejatuhan nilainya, seperti yang diluahkan oleh YB Datuk Sri Dr.
Rais Yatim “beberapa dasar yang diwujudkan secara mengejut meletakkan
bahasa Melayu seolah-olah berada di tangga kambing, tidak lagi di tahap
perdana.” (Utusan Malaysia Rabu 7 November, 2007, hlm. 27).
2. Proses pengintelektualan bahasa Melayu akan terbantut kerana tidak lagi
digunakan sebagai pengantar ilmu tinggi dan tidak dapat berkembang selaras
dengan perkembangan ilmu pengetahuan. Ini memerosotkan lagi kedudukan
dan status bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa yang rendah untuk
komunikasi harian yang rendah tarafnya, manakala interaksi dalam wacana
ilmiah dan ilmu pengetahuan yang tinggi, bahasa Inggeris akan digunakan yang
5
menjadikannya bahasa terunggul di Malaysia secara de facto mungkin tidak
secara de jurer.
3. Bahasa Melayu yang sehingga kini telah menjadi bahasa kebangsaan negara
yang memainkan peranan sebagai bahasa penyatuan dan integrasi nasional,
bahasa yang membentuk asas jati diri negara Malaysia, sedikit demi sedikit akan
kehilangan peranan itu kerana nilai, status dan penghormatan rakyat jelata
terhadapnya akan menjadi semakin luntur dan seterusnya akan menghilang.
4. Penguasaan bahasa Inggeris secara cekap hanya terhad kepada segelintir
penduduk elit yang tinggal di bandar-bandar utama kerana konteks
penggunaannya yang meluas. Maka ilmu pengetahuan dan teknologi tinggi akan
berkisar hanya dalam kalangan mereka, manakala majoriti rakyat jelata yang
tidak dapat menguasai bahasa Inggeris sebaiknya, akan tertahan daripada
memperoleh ilmu pengetahuan dan teknologi tinggi dalam bahasa Inggeris,
dengan itu sains dan teknologi tinggi tidak dapat mengalami proses
pembudayaan yang meluas yang amat perlu untuk mencetuskan pembangunan
menyeluruh sesebuah negara yang ditimba daripada Sumber Daya Tenaga
Manusia seluruh rakyatnya.
5. Penguasaan bahasa Inggeris dan pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi
tinggi oleh segelintir penduduk akan menjadikan mereka golongan elit, akan
mengasingkan mereka daripada majoriti rakyat jelata dan menimbulkan jurang
dan ketegangan sosial yang dahsyat, seperti yang pernah dinyatakan oleh
Indian Education Commission 1948, iaitu:
“[the] use of English… divides the people into two nations, the few [English-speaking Indians] who govern and the many [non English-speaking Indians] who are governed”.
6
Empat puluh tahun kemudian (pada tahun 1980-an) situasi ini telah mencetuskan
ketegangan kelas “stimulating tensions between the minority at the top who know
English, and the many millions – armed with the vote – who do not” (dipetik oleh
S. Huntington, 1996:64). Situasi ini melahirkan dualisme pendidikan yang
melahirkan pula dualisme sosial, iaitu golongan elit berpendidikan Inggeris dan
golongan rendah tidak berpendidikan Inggeris, seperti dalam zaman penjajah.
6. Ketegangan sosial berdasarkan kelas dan golongan yang disebutkan tadi, akan
menjadi pemangkin pula pada ketegangan dan konflik dalam bentuk yang lain,
misalnya prasangka dan kebencian etnik dan perkauman, agama, mazhab dan
ideologi, daerah dan wilayah, seperti yang berlaku di Pakistan, India, dan di
negara-negara Afrika dan Amerika Selatan.
7. Penguasaan ilmu, sains dan teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran
secara meluas dalam kalangan rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam
pembangunan Sumber Daya Tenaga Manusia sesebuah negara secara
menyeluruh, yang menjadi faktor utama pada pembangunan dan kemajuan
negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu pengetahuan, sains, teknologi
dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah
dengan perantaraan bahasa kebangsaan atau tempatan rakyat jelata itu sendiri,
bukannya sebuah bahasa asing. Inilah yang telah berlaku di negara-negara
Eropah, Jepun, Korea, Cina Taiwan dan Republik Rakyat China, yang telah
menggunakan bahasa kebangsaan atau tempatan mereka sendiri untuk
menyampaikan segala ilmu pengetahuan kepada rakyat jelata mereka. Oleh
yang demikian tulang belakang bagi pembangunan sumber daya tenaga
manusia seluruh rakyat sesebuah negara ialah bahasa kebangsaan atau
tempatan bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei ialah bahasa Melayu, bukannya
7
bahasa Inggeris. Apabila bahasa Inggeris digunakan untuk menyampaikan ilmu
pengetahuan, sains dan teknologi maka ilmu pengetahuan akan terhad kepada
segelintir golongan elit Englophile dan sumber daya tenaga manusia seluruh
rakyat jelatanya tidak dapat dibangunkan dan kemajuan serta pembangunan
negara secara menyeluruh tidak akan tercapai.
8. Penggunaan bahasa Inggeris ataupun bahasa-bahasa bekas kuasa penjajah
yang lain sebagai bahasa pengantar pendidikan tinggi dan seterusnya bahasa
rasmi dan bahasa utama di nagara-negara membangun termasuklah Malaysia,
akan selama-lamanya menjadikan negara-negara demikian mengalami sindrom
“mentaliti budak jajahan” (colonised mentalitiy). Ini disebabkan misi dan visi “tuan
penjajahnya” (colonial master), seperti yang berlaku di negara-negara Asia,
Afrika dan Amerika Selatan dan Amerika Tengah yang menggunakan bahasa-
bahasa bekas penjajah mereka (Inggeris, Sepanyol, Perancis atau Portugis)
sebagai bahasa pengantar pendidikan tinggi dan bahasa rasmi. Walaupun
sudah merdeka dari segi politiknya, tetapi dari segi ekonomi, pendidikan, sains,
teknologi, nilai dan aspirasi, negara membangun senantiasa menjadikan
senantiasa London, Washington, Paris, Lisbon dan Madrid sebagai sumber
ilham dan panduan. Ringkasnya negara bangsa yang menggunakan bahasa
asing sebagai pengantar pendidikan dan ilmu tinggi terutama sekali bahasa
bekas penjajahnya, tidak mampu menjadi negara bangsa yang besar, bahkan
sekadar meniru dan memimik secara palsu, lesu dan kaku negara tuan
penjajahnya tanpa mempunyai jati diri, maruah, daya usaha, kreativiti dan
citranya sendiri. Juga ciri-ciri peradaban Barat seperti ideologi, nilai, gaya hidup,
seni dan rekreasi mereka akan ditebarkan secara global yang boleh menuju ke
arah pembentukan satu peradaban sejagat atau universal.
8
Usaha yang menekankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
pendidikan tinggi dan bahasa rasmi negara-negara membangun, pada hakikatnya sedang
menganjur gagasan penyejagatan tamadun Barat yang berbahasa Inggeris sebagai sebuah
tamadun universal kerana seperti yang dinyatakan tadi, jati diri dan identiti serta aspirasi
sesuatu negara bangsa dan sebuah tamadun boleh dikenal pasti melalui penggunaan
bahasa utamanya.
Mengikut pengkaji dan ahli fikir semasa (umpamanya S. Huntington sendiri (Op cit,
1996:318), gerakan dan gagasan ke arah penubuhan sebuah tamadun sejagat yang
berasaskan sebuah tamadun yang terkuat (kini ialah Barat), merupakan satu gerakan yang
amat berbahaya dan paling mencabar pada kestabilan dan keselamatan dunia dalam alaf
baru ini.
S. Huntington menegaskan:
“Universalism abroad threatens the West and the world (h. 318)… [It] is dangerous to the world because it could lead to a major intercivilizational war between core states, and it is dangerous to the West because it could lead to defeat of the West (h. 311)… What is unversalism to the West is imperialism to the rest”.
(hlm:184)
Mengikut S. Huntington lagi (Op cit:63), gagasan demikian sebenarnya digerakkan
secara definitif oleh para pemimpin dan golongan elit negara-negara bekas jajahan kuasa
barat itu. Ketika negara-negara itu bergerak ke arah kemerdekaan dan seterusnya
mencapainya, kempen dan gerakan penggunaan bahasa tempatan sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi negara dan penolakan bahasa penjajah, merupakan satu
strategi para pemimpin dan golongan elitnya membezakan diri mereka daripada golongan
penjajah supaya mendapat sokongan dan penerimaan rakyat jelata. Namun sesudah
mencapai kemerdekaan dan negara sedang membangun, maka para pemimpin dan
golongan elit itu perlu pula menonjolkan diri mereka sebagai golongan yang terdidik dan
9
terpandai dengan mengidentifikasikan diri pada unsur-unsur tamadun terkuat semasa, iaitu
(kini tamadun Barat). Ini dilakukan melalui kefasihan dan kecekapan menggunakan bahasa
tamadun Barat yang utama, iaitu bahasa Inggeris. Dengan usaha demikian mereka akan
terus mendapat kedudukan dan sanjungan yang tinggi oleh rakyat jelata kerana mereka
mendakwa merekalah orang-orang yang paling mampu untuk membawa negara bangsa ke
arah pembangunan dan kemajuan kerana mereka ada hubungan yang erat dengan sumber
dan khazanah tamadun terbesar dan terkuat semasa, iaitu tamadun Barat pada masa kini.
Pemimpin-pemimpin dan golongan elit ini akan menganjurkan penggunaan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan tinggi di IPT, supaya dapat melengkapkan
para graduan untuk berperanan secara berkesan dalam persaingan global yang sengit bagi
memperoleh modal dan pelanggan asing. Ini diperkukuhkan lagi oleh autoriti politik dan
media barat. Namun pada masa yang sama masyarakat umum terutama sekali golongan
bawahan dan rakyat jelata yang memiliki majoriti kuasa undi, akan menekan supaya negara
terus menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan tinggi
kerana ketidakupayaan mereka untuk bersaing dalam menguasai bahasa Inggeris. Ini akan
menimbulkan ketegangan dalam negara yang memberi peluang pula pada sentimen-
sentimen perkauman, kumpulan etnik, agama, mazhab, kedaerahan dan lain-lain digembar-
gemburkan sehingga menjadi permusuhan yang akan memuncak pada keganasan dan
pertumpahan darah sesama sendiri seperti yang berlaku di Pakistan, India, dan kebanyakan
negara Afrika dan Amerika Selatan bekas jajahan kuasa penjajah Eropah.
Di India (dan juga di Pakistan) seperti yang dinyatakan tadi, penggunaan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan tinggi dan bahasa pemerintahan dan
pentadbiran, telah memecahbelahkan rakyat India (dan juga Pakistan) kepada golongan elit
minoriti (boleh berbahasa Inggeris) yang memerintah dan golongan majoriti rakyat jelata
(tidak berbahasa Inggeris) yang diperintah, yang mengakibatkan wujudnya ketegangan dan
konflik sosial yang berterusan.
10
Oleh yang demikian gerakan dan usaha untuk meneruskan atau mengembalikan
penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan tinggi dan bahasa sains
dan teknologi, dilakukan golongan elit pada masa jangka panjang, sedang menempah dan
mengundang bahaya perpecahan, keretakan dan kemunduran negara bangsa, walaupun
mungkin pada masa jangka pendek, manfaat segera boleh didapati.
Sesungguhnya usaha dan gerakan yang mempromosikan bahasa Inggeris atau mana-
mana bekas bahasa penjajah sebagai bahasa pengantar pendidikan tinggi dan bahasa
rasmi serta bahasa sains dan teknologi sesebuah negara membangun, sebenarnya
merupakan gerakan yang bertentangan dengan arus perkembangan negara bangsa dan
budaya masa kini.
Apabila empayar Komunis Soviet Rusia pecah, maka negara-negara bekas
jajahannya yang mencapai kemerdekaan telah mengembalikan bahasa indigenus mereka
sendiri sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mereka. Bahasa-bahasa Estonia,
Latvia, Lithunia, Ukraine, Georgia dan Armenia telah dijadikan bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi negara masing-masing. Dalam kalangan republik Islam pula negara-negara
seperti Azerbaijan, Kyrgystan, Turkemenistan dan Uzbakistan telah menggunakan bahasa
mereka sendiri sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan juga telah menukarkan
sistem tulisan Cyrillic Rusia kepada sistem tulisan Rumi. Manakala Tajikistan pula yang
secara tradisi menggunakan bahasa Farsi bukan sahaja telah mengembalikan bahasa Farsi
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, bahkan juga telah
menukarkan sistem ejaannya pada huruf Arab-Farsi. Negara Muslim Bosnia di Eropah pula
telah mengembalikan penggunaan perkataan Turki dan Arab yang telah diketepikan semasa
berada di bawah pemerintahan negara Yugoslavia (Huntington, ibid.:64).
Oleh itu kata S. Huntington lagi:
“Language is realigned and reconstructed to accord with the identities and contours of civilization (Bahasa disejajarkan dan dibentuk berselari dengan citra dan alunan naik turun peradabannya).”
(ibid.:64)
11
Pengaruh sesebuah tamadun tinggi dan besar ke atas negara-negara yang rendah
tahap kemajuannya, amat kuat dan mendalam, apatah lagi jika tamadun yang besar itu
pernah menakluki negara kecil itu. Keadaan begini berlaku berulang-ulang kali dalam
sejarah manusia. Inilah sebenarnya agenda hegemoni Barat, iaitu untuk terus mendominasi
dunia sejagat, seperti yang ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr.
Mahathir Muhamad (2002:19):
“Globalization, as it is formulated and presented today, is an invention of the North Atlantic countries (the West), and we can take it for granted that it is intended to enrich them further and enhance their domination of the world. They already dominate the world, of course. But they want to strengthen that domination to ensure they will not be successfully challenged either by the big East Asian countries or even the weak Muslim countries”.
Gejala globalisasi yang didefinisikan sebagai keberhubungan (interconnectedness)
aktiviti-aktiviti manusia secara global dalam aspek pengaliran modal dan buruh, teknologi
dan kemahiran, pemikiran dan nilai, gaya hidup dan cita rasa, yang merentasi sempadan
negara dan bangsa dengan cara yang tidak dapat dikawal rapi oleh negara bangsa itu,
sedang menyejagatkan tamadun sekular Barat, iaitu tamadun yang terkuat dan paling
berkuasa pada masa kini. Mereka juga mempunyai agenda hegemoni dan pendominasian
sejagat seperti yang diperoleh daripada retorik dan aksi mereka yang mengisytiharkan
dengan angkuh “either you are with us or with the terrorist”, dan melabelkan negara-negara
yang tidak bersekongkol dengan mereka sebagai “the axis of evil”. Pengeboman besar-
besaran ke atas Iraq dan seterusnya Afghanistan yang menghancurkan kerajaan Taliban
termasuklah tanah airnya secara total, atas alasan ingin mengajar rejim Taliban kerana tidak
mematuhi ultimatum mereka menyerahkan Usamah bin Laden, membuktikan dasar
hegemoni mereka yang ketara. Demikian pengaruh dan dasar hegemoni peradaban Barat
ke atas dunia sejagat, dan selagi dasar pendidikan dan pembudayaan ilmu, sains dan
teknologi kita dalam acuan dan kerangka mereka dengan penggunaan bahasa Inggeris,
12
maka selagi itu kita akan terkongkong dalam ideologi mereka sebagai budak jajahan
mereka. Oleh itu persoalan yang kritikal ialah dengan berdasarkan suasana ancaman dan
tekanan daripada bahasa Inggeris yang sengit seperti demikian, apakah masih boleh dan
mampu BM diperkasakan untuk menjadi sebuah bahasa dunia?
Kedudukan Bahasa Melayu Kini sebagai Sebuah Bahasa Dunia
Para ahli kajian bahasa menggariskan beberapa kriteria utama yang perlu dipenuhi oleh
sebarang bahasa untuk mengangkatkannya sebagai bahasa dunia, iaitu seperti berikut
(lihat: Anne-Marie de Meija, 2002, Power, Prestige, and Bilingualism: International
Perspectives on Elite Bilingual Education. ISBN 185359590X)
(en.wikipedia.org/wiki/World_languages):
1. jumlah penutur yang besar.
2. jumlah penutur bukan ibunda yang agak besar.
3. ada satu bentuk baku laras rasmi yang diajar secara meluas sebagai bahasa
pertama dan bahasa asing.
4. masyarakat bahasanya merentasi pelbagai etnik atau suku kaum.
5. sebagai bahasa rasmi beberapa buah negara.
6. sebagai bahasa perdagangan dan hubungan antarabangsa.
7. sebagai bahasa organisasi antarabangsa.
8. sebagai bahasa masyarakat akademik antarabangsa.
9. ada sejumlah khazanah persuratan yang agak besar dalam pelbagai bidang
ilmu.
10. dikaitkan dengan kedudukan bahasa yang berprestij.
Dengan berdasarkan 10 kriteria tadi, para ahli bahasa telah menyenaraikan sembilan
bahasa sebagai tergolong dalam kelas bahasa dunia, iaitu enam bahasa rasmi Pertubuhan
13
Bangsa-Bangsa Bersatu (China, Inggeris, Perancis, Rusia, Sepanyol dan Arab) dan tiga
lagi, iaitu Jerman, Hindi atau Urdu dan Portugis dengan jumlah penutur dan penyebarannya
seperti dalam Jadual 1 yang berikut (lihat: en.wikipedia.org/wiki/World_language):
Jadual 1 Bahasa Utama di Dunia, Penutur dan Penyebarannya.
Jenis Bahasa Penutur Ibunda
Jumlah Penutur
Penyebaran
China Mandarin 600 juta 1051 juta Tanah besar China dan diaspora seluruh dunia
English 350 juta 1000 juta Anglosfera dan seluruh dunia
Hindustani (Hindi, Urdu) 460 juta 650 juta Benua kecil India, diaspora Hindi, Urdu seluruh dunia
Sepanyol 322 Juta 500 juta Sepanyol, Argentina, Mexico, dan lain-lain
Arab 200 juta 300 juta Timur Tengah dan Afrika Utara
Rusia 165 juta 280 juta Rusia, Eropah Timur, dan lain-lain
Portugis 190 juta 230 juta Portugal, Brazil, Angola, dan lain-lain
Jerman 100 juta 150 juta Eropah berbahasa Jerman
Perancis 65 juta 115 juta Perancis, Utara Afrika, dan lain-lain
Jika diteliti 10 kriteria bahasa dunia dalam Jadual 1, maka bahasa Melayu sudah
memperoleh beberapa cirinya, iaitu seperti dalam senarai yang berikut:
1. Jumlah penutur BM ialah sekitar 250 juta.
2. Jumlah penutur bukan ibunda BM yang agak besar termasuk etnik Jawa, Sunda,
Madura, Aceh, Minang, Batak, Banjar, Cina, India dan lain-lain.
3. BM bahasa rasmi untuk empat buah negara: Malaysia, Indonesia, Brunei dan
Singapura.
4. BM ada laras rasmi baku yang diajar sebagai bahasa pertama dan bahasa
asing.
14
5. penutur BM tidak terhad kepada satu kumpulan etnik atau suku kaum.
6. BM digunakan sebagai bahasa perdagangan dan hubungan antarabangsa
misalnya di negeri Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina, walaupun
fungsi ini semakin merosot disebabkan diambil alih oleh Bahasa Inggeris (BI).
7. BM mempunyai khazanah persuratan yang agak besar dalam pelbagai bidang
ilmu seperti yang terdapat di Malaysia dan Indonesia.
Namun tiga kriteria lagi sehingga kini belum dapat dipenuhi oleh BM, iaitu:
1. BM belum menjadi bahasa organisasi antarabangsa.
2. BM belum dikaitkan dengan bahasa yang berprestij di dunia.
3. BM belum menjadi bahasa masyarakat akademik antarabangsa yang digunakan
dalam perhubungan antarabangsa dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan
kegiatan.
Ketiga-ketiga syarat ini berkaitan dengan kedudukan BM di arena antarabangsa dari
segi kewibawaan dan statusnya pada mata masyarakat dunia. Kewibawaan dan status
sesuatu bahasa ditunjangi pula oleh kewibawaan dan status masyarakat pengguna bahasa
itu, iaitu dari segi kedudukan sosioekonominya, khazanah ilmu pengetahuannya (termasuk
pemenang hadiah antarabangsa misalnya Nobel Prize), kestabilan politik dan keutuhan
budayanya, sumber penyelidikan dan pembangunannya terutama dalam bidang sains,
teknologi, infrastruktur dan sebagainya.
Paul Kennedy dalam bukunya yang termasyhur Preparing for the Twenty-first Century
(1994:334–335) setelah membuat tinjauan ke atas negara-negara di dunia secara ekstensif
telah membuat kesimpulan tentang negara yang berada dalam kedudukan yang terbaik
untuk terus maju dan berstatus tinggi dalam abad ke-21, iaitu:
“Of those (countries) covered in this survey, the most likely at the moment (to be well-positioned in the twenty-first century) appear to be Japan, Korea, and
15
certain other East Asia trading states, Germany, Switzerland, and some of the Scandinavian states, and perhaps the European Community as a whole. What they have in common, more or less, are high saving rates, impressive levels of investment in new plants and equipment, excellent educational systems (especially for those not going to college), a skilled work force and good retraining systems, a manufacturing culture with many more engineers than lawyers, a commitment to producing well-designed, high-added –value manufactures for global market, and fairly consistent trade surpluses in “visible” goods..(and) enjoy cultural homogeneity and ethnic coherence... It is obvious that the societies (or nations) which possess technical and educational resources, ample funds, and cultural solidarity are better positioned for the next century than those lacking all those strength”.
Perbandingan negara maju dengan negara membangun dari segi jumlah ahli sains
dan jurutera yang merupakan penggerak pada pembangunan negara dapat dilihat dengan
jelas daripada perangkaan yang diberikan oleh Paul Kennedy seperti dalam Jadual 2 yang
berikut (Paul Kennedy, 1994:216):
Jadual 2 Jumlah Ahli Sains dan Jurutera Setiap Sejuta Penduduk.
Negara Jumlah
Jepun 3548
Amerika Syarikat 2685
Eropah (keseluruhan) 1632
Amerika Latin 206
Negara Arab 202
Asia (tolak Jepun) 99
Afrika 53
Tiga syarat umum yang disebutkan oleh Paul Kennedy untuk menyediakan wadah dan
suasana yang membolehkan sesebuah negara melonjak ke status negara maju dan
melestarikannya sangat penting diteliti dengan mendalam, iaitu:
1. memiliki sumber-sumber teknikal dan pendidikan yang sesuai.
16
2. memiliki solidariti budaya yang kukuh.
3. memiliki biaya atau tabungan yang mencukupi.
Pendidikan merupakan keperluan asasi bagi pembangunan sesebuah masyarakat
atau negara kerana melalui pendidikan dua perkara akan dibangunkan, iaitu:
1. ilmu pengetahuan dan teknologi, iaitu diperlukan untuk mengerti, mengetahui,
mencipta, mengolah, memproses dan meneroka perkara, benda, maklumat,
fakta, dan realiti yang baharu ataupun memahami dan mengerti kembali dengan
mendalam dan jelas lagi perkara-perkara yang lama, yang dengan demikian
akan membawa pada pencapaian yang lebih tinggi dalam kehidupan manusia,
2. kemahiran, kecekapan dan kemantapan daya tenaga manusia yang
membolehkan manusia menggunakan peralatan, sumber alam, sumber manusia
dan sumber budaya sebaik dan seoptimum yang mungkin, yang dengan itu dapat
memanfaatkan sepenuh dan setepatnya pembangunan ilmu dan teknologi yang
dicapai tadi. Kalau sumber daya tenaga manusia ini tidak dimantapkan maka
segala kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi tinggi yang dicapai itu sama
ada tidak dapat digunakan seoptimumnya ataupun disalahgunakan untuk
membinasakan yang lain, seperti yang dilakukan oleh Hitler demi ideologi
Nazisme telah mempergunakan senjata canggih pada masa itu untuk
membinasakan jutaan nyawa dan harta benda dalam Peperangan Dunia Kedua.
Ilmu pengetahuan dan teknologi boleh diterokai, dicipta, ditimba dan dicapai dalam
apa bahasa sekalipun dalam kalangan bangsa manusia. Dalam sejarah kemunculan ilmu
pengetahuan, pelbagai penemuan dan penciptaan baharu telah dibuat oleh pelbagai
peradaban manusia dengan menggunakan pelbagai bahasa. Antaranya penciptaan alat
astronomi pertama di Mesopotamia dalam bahasa Sumeria, kaedah matematik, astronomi
17
dan perubatan dicipta di Mesir Purba dalam bahasanya, penemuan dalam ilmu-ilmu
anatomi, zoologi, botani, mineralogi, geografi, matematik, dan astronomi oleh peradaban
Yunani Purba dalam bahasanya, penemuan dalam matematik, astronomi, dan metalurgi di
India dalam bahasa Sanskrit, penciptaan kompas, ubat bedil, kertas dan percetakan di
China dalam bahasanya, pelbagai penemuan dalam astronomi, matematik, algebra, kimia,
perubatan, optik, fizik, mekanik, dan sebagainya oleh ilmuwan Muslim dalam bahasa Arab,
dan pelbagai penemuan dan penciptaan baharu dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan di
Eropah dalam zaman Renaissance, pramoden dan moden Eropah dengan menggunakan
bahasa-bahasa Eropah misalnya Latin, Sepanyol, Inggeris, Perancis, Itali, Jerman, Belanda,
dan lain-lain.
Jika ditinjau senarai pemenang Nobel Prize, iaitu anugerah terulung dunia dalam
bidang-bidang sains, kesusasteraan, ekonomi dan Keamanan, sejak 10 tahun yang lalu
(1997–2007), maka kita dapati pemenang-pemenangnya terdiri daripada pelbagai bangsa
dan negara, bukan terhad atau dimonopoli oleh tokoh-tokoh berbahasa Inggeris, khususnya
dalam bidang fizik, kimia dan fisiologi (rujuk Wikipedia the Free Internet Encyclpedia), iaitu:
Jadual 3 Senarai Pemenang Nobel Prize
Tahun Bidang Nama Pemenang
1997 Fizik Claude Cohen Tannoudji (Perancis)
Jens Skon (Denmark)
1998 Kimia Horst Stormer (Jerman)
Fizik Daniel Tsui (China)
Fizik Gerardis ‘t Hooft (Belanda)
1999 Martinus Veltman (Belanda)
Kimia Ahmad Zewail (Mesir)
Fizik Zhores Alferov (Rusia)
18
Tahun Bidang Nama Pemenang
2000 Herbert Kroemer (Jerman)
Fisiologi Arvid Carlsson (Sweden)
2001 Fizik Wolfgang Ketterie (Jerman)
Kimia Ryoiji Noyori (Jepun)
Fizik Masatoshi Koshibo (Jepun)
2002 Kimia Koichi Tanaka (Jepun)
Kurt Wiethrich (Switzerland)
2003 Fizik Alexei Abrikosov (Rusia)
Vitaly Ginzburg (Rusia)
2005 Fizik Theodor Hansch (Jerman)
Kimia
Yves Chauvin (Perancis)
Fizik Albert Fert (Perancis)
2007 Peter Grunberg (Jerman)
Kimia Gerhard Ertl (Jerman)
Fisiologi Mario Capecci (Itali)
Ringkasnya penerokaan, penemuan dan penulisan ilmu pengetahuan dan segala
penciptaan dan penemuan baharu telah dilakukan dalam pelbagai bahasa manusia, dan kita
boleh menimba dan memperolehnya daripada pelbagai bahasa itu. Namun penyampaian,
pengajaran, dan pembudayaan ilmu pengetahuan itu kepada anak bangsa dan rakyat jelata
bagi setiap negara bangsa agar dapat difahami, dihayati dan digunakannya secara meluas
dan praktikal dalam kehidupan mereka telah dilakukan dalam bahasa indigenus atau
peribumi, bahasa tempatan atau bahasa kebangsaan negara bangsa itu sendiri. Suasana ini
berlaku di semua negara maju, baik di Eropah, di Amerika Utara mahupun di Asia Timur.
Oleh sebab dengan penggunaan bahasa tempatan atau indigenus sendiri maka segala ilmu
19
pengetahuan, sains dan teknologi dapat dimengerti, diguna, dan dibudayakan sepenuhnya
secara meluas di kalangan rakyat jelatanya. Dengan demikian dapat membangunkan
sumber daya tenaga manusia yang cekap, mahir dan berpendidikan secara menyeluruh di
dalam negara bangsa itu. Seperti kata Mathew B. Ward seorang pegawai ekspatriat di
Taiwan:
“Saya perhati bahawa kejayaan ekonomi abad ke-20 bagi Jerman, Jepun dan Taiwan tidak menggunakan pengantar bahasa Inggeris dalam pengajaran, manakala banyak negara yang berbuat demikian (misalnya Filipina, Nigeria, India) masih tinggal miskin. Laporan kajian linguistik dan pendidikan banyak menyokong gagasan bahawa kanak-kanak menguasai ilmu pengetahuan lebih cekap dalam bahasa indigenusnya sendiri. Oleh itu saya mencadangkan agar kanak-kanak dibenarkan berbuat demikian [belajar ilmu dalam bahasa indeginusnya], kerana kejayaan ekonomi adalah lebih penting daripada kejayaan bahasa Inggeris”.
(Asiaweek, 20–27 August, 1999:10) (terjemahan oleh penulis)
Jelaslah dalam negara-negara maju kini yang menjadi pengantar ilmu pengetahuan,
pendidikan dan pembudayaan sains dan teknologi kepada rakyat jelatanya ialah bahasa
indigenus atau bahasa tempatannya sendiri. Dengan demikian ilmu pengetahuan dan taraf
pendidikan tersebar secara meluas dalam kalangan rakyat jelatanya yang mampu
membangunkan golongan kelas menengah sebagai majoriti penduduknya.
Struktur masyarakat negara maju berbentuk berlian seperti Rajah 1, iaitu golongan
atasan dan golongan rendah yang kecil, manakala golongan menengahnya yang
berpendidikan merupakan majoriti rakyat jelata, iaitu yang menjadi tonggak daya tenaga
mahir negara dan juga penyuaraan hati budinya (social conscience) yang lantang dan
bertenaga yang mampu memperkasakan masyarakat. Oleh yang demikian golongan kelas
menengah menjadi tonggak pembangunan mana-mana negara menuju ke arah status
negara maju.
20
Kelas atas
Kelas menengah
Kelas bawah
Rajah 1 Struktur Masyarakat Negara Maju.
Struktur penduduk negara yang sedang membangun atau mundur berbentuk piramid
seperti dalam Rajah 2, iaitu golongan atas dan menengah yang kecil, manakala golongan
bawahan merupakan majoriti, iaitu yang rendah taraf pendidikan, ilmu pengetahuan,
kemahiran daya tenaga pekerja dan kelas sosialnya yang dengan itu tidak berupaya
menggerakkan pembangunan negara dan memperkasa masyarakatnya, bahkan menjadi
beban dan risiko yang berat pada kemajuan, kestabilan dan pembangunan negara.
Kelas atas
Kelas menengah
Kelas bawah
Rajah 2 Struktur Masyarakat Negara Membangun atau Mundur.
21
Suasana ini berlaku di mana-mana sahaja di negara membangun atau mundur sama
ada di benua Asia, Afrika ataupun Amerika Selatan dan Amerika Latin. Golongan kelas
bawahan yang besar menjadi beban pada negara kerana boleh menimbulkan
ketidakstabilan sosial akibat daripada kadar pengangguran yang tinggi, guna tenaga dan
produktiviti yang tidak optimum, pendapatan dan gaya hidup yang meleset, ketegangan
kelas dan konflik sosial yang berpanjangan, seperti yang berlaku di India, Pakistan, Filipina,
Bangladesh dan negara-negara di Afrika dan Amerika Selatan.
Di negara Malaysia kini, prasarana pendidikan terutama sekali pasca persekolahan,
iaitu peringkat diploma dan ijazah sedang giat dibangunkan. Kini terdapat 20 buah institut
pendidikan tinggi awam (IPTA) yang menampung kira-kira 251 720 pelajar, iaitu ijazah 223
968, sarjana 30 300 dan PhD 8752. Manakala institut pendidikan tinggi swasta (IPTS)
berjumlah 515 pada tahun 2006 dengan enrolmen pelajar berjumlah kira-kira 323 787, iaitu
hampir 100 000 pelajar melebihi jumlah pelajar di IPTA. Jumlah keseluruhan pelajar di IPT
ialah 547 755 pelajar termasuk juga pelajar asing.
Namun apa yang menjadi isu dan cabaran yang besar dalam sistem pendidikan di
Malaysia ialah bukan dari segi kepesatan pertumbuhannya, tetapi dari segi bahasa
pengantar pengajarannya, iaitu penggunaan bahasa Inggeris yang meningkat di IPTA
terutama sekali dalam kursus berasaskan sains dan teknologi dan penggunaan bahasa
Inggeris sepenuhnya di IPTS. Berdasarkan perangkaan IPTA dan IPTS yang disebut tadi,
sebahagian besarnya akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
pengajaran. Jelaslah bahawa pembudayaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, iaitu
bidang yang kritikal dalam pembentukan pembangunan negara dan tradisi ilmu dan
peradaban akan dilakukan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa tempatan atau indigenus.
Ini akan menimbulkan implikasi dan kesan yang besar ke atas kedudukan BM dan
sosioekonomi rakyat jelata Malaysia seperti yang dibincangkan sebelum ini.
22
Faktor Solidariti Budaya yang Kukuh
Syarat yang kedua yang disebutkan oleh Paul Kennedy untuk menyediakan wadah dan
suasana yang membolehkan sesebuah negara melonjak ke status negara maju dan
melestarikan kemajuannya ialah solidariti budaya yang kukuh. Satu daripada elemen yang
mampu membina solidariti budaya sesebuah negara bangsa ialah struktur demografi yang
dibentuk oleh satu kumpulan bangsa, etnik atau keturunan yang dominan.
Kalau ditinjau dalam kalangan negara maju di dunia kini, secara umumnya negara
demikian mempunyai penduduk yang agak homogen, antaranya:
Jadual 3 Peratusan Struktur Demografi Negara Maju di Dunia.
Negara Peratus Struktur Demografi
Amerika Syarikat
United Kingdom
Perancis
Jerman
Itali
Spain
Switzerland
Rusia
Australia
New Zealand
Jepun
Korea Selatan
Taiwan
Republik Rakyat China
Singapura
80%
92%
92.5%
81%
95%
89%
90%
80%
90%
78%
99%
98%
98%
92%
75.2%
golongan kulit putih
golongan kulit putih
golongan kulit putih
golongan kulit putih
golongan kulit putih
golongan kulit putih
golongan kulit putih
golongan kulit putih Rusia
golongan kulit putih
golongan kulit putih
bangsa Jepun
bangsa Korea
bangsa China
bangsa China Han
bangsa China
(Wikipedia Free Internet Encyclopedia)
23
Walaupun golongan kulit putih mempunyai pelbagai bangsa atau etnik, tetapi secara
umumnya mereka mampu menyemai dan memupuk perasaan solidariti dan semangat esprit
de corps berdasarkan warna kulit yang serupa, misalnya di Amerika Syarikat, Australia, New
Zealand dan lain-lain. Negara Switzerland walaupun mempunyai empat kumpulan etnik dan
empat bahasa kebangsaan yang utama, iaitu Jerman 62.7%, Perancis 20.4%, Itali 6.5% dan
Romansh 0.5%, namun sebagai satu dasar bahasa yang dikuatkuasakan, iaitu setiap warga
negara mesti menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa, yang menjadikan mereka
penutur bilingual serentak mampu membina solidariti budaya. Tambahan pula keempat-
empat kumpulan etnik itu merupakan golongan kulit putih. Oleh itu golongan ini masih
mampu menempa perasaan dan semangat kekitaan atau espirit de corps yang padu melalui
warna kulit dan perwatakan Eropah yang hampir sama. Bagi negara-negara maju di Timur,
iaitu Jepun, Korea, Taiwan serta Singapura, satu kumpulan bangsa atau etnik yang utama
mendominasinya, iaitu bangsa Jepun di Jepun, Korea di Korea, China di Taiwan dan
Singapura. Ini juga membolehkan negara-negara itu membina solidariti budaya yang kukuh.
Bagaimana dengan suasana kependudukan di negara Malaysia? Struktur demografi di
Malaysia menunjukkan bahawa negara ini merupakan sebuah negara yang bersifat
heterogen, iaitu ketiadaan satu golongan etnik yang dominan, iaitu 70% ke atas melebihi
yang lain, tidak seperti dalam negara-negara maju yang disebutkan tadi. Jumlah penduduk
Malaysia pada tahun 2006 ialah 26.6 juta, dengan struktur demografi seperti yang berikut:
Jadual 4 Peratusan Penduduk Malaysia dari Segi Etnik.
Etnik Peratus
Bumiputera
Cina
India
Lain-lain
65% (Melayu, Iban, Kadazan-Dusun, Bajau, dan lain-lain)
26%
8%
1%
Jumlah 100%
24
Jadual 5 Peratusan Penduduk Malaysia dari Segi Agama.
Agama Peratus
Islam
Buddha
Kristian
Hindu
Cina tradisional
Lain-lain
60.4%
19.2%
9.1%
6.3%
2.6%
2.4%
Jumlah 100%
(Wikipedia Free Internet Encyclopedia)
Negara yang bersifat heterogen dengan jumlah penduduk yang bersifat jamak etnik,
budaya, bahasa dan agama amat sukar untuk membentuk satu keadaan solidariti budaya
yang menjadi satu daripada tiga syarat utama untuk menyediakan wadah pembangunan ke
arah negara maju. Bahkan kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama yang besar
demikian mempunyai potensi yang tinggi pula untuk mencetuskan ketegangan dan konflik
sosial berasaskan perkauman, agama dan budaya. Contohnya, rusuhan perkauman 13 Mei
1969, parti politik berasaskan kaum, (UMNO, MCA, MIC), sekolah kebangsaan (Melayu),
sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, dan akhbar Melayu, Cina dan Tamil, yang
mengukuh dan meneruskan amalan perbezaan kaum dan budaya. Kemunculan beberapa
isu dan perasaan ketidakpuasan yang ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)
yang didominasi oleh parti Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
UMNO seperti guna kuasa dalam kerajaan dan badan kehakiman, inflasi, jenayah, hak
istimewa Bumiputera yang dianggap menguntungkan golongan tertentu sahaja dan
meminggirkan golongan yang lain, isu penukaran agama, dan lain-lain.
25
Semua kejadian dan insiden seperti yang dinyatakan akan menjejaskan dengan
seriusnya perpaduan rakyat dan tentu sekali menjadi penghalang pada pembentukan
solidariti budaya Malaysia yang akan menjadi pemangkin pada pembinaan sebuah negara
maju seperti yang disebutkan oleh Paul Kennedy itu.
Oleh itu soalan yang paling kritikal kini ialah apakah usaha yang boleh kita lakukan
untuk membina satu asas yang kukuh bagi membentuk soldariti budaya yang kuat demi
menjadi pemangkin pada pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam abad ke-
21 ini? Untuk menjawab soalan ini kita mesti mencari apakah satu-satunya milik sepunya
negara bangsa Malaysia yang boleh dijadikan asas atau teras pembinaan keutuhan budaya
kita? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah bahasa kebangsaan Malaysia, iaitu
bahasa Melayu yang satu-satunya dipunyai bersama oleh semua warga negara Malaysia.
Bahasa Melayu telah berjaya dijadikan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa
pengantar pendidikan, bahasa pentadbiran dan bahasa ilmu tinggi sejak tahun 1987 apabila
pengendalian semua kursus dalam semua bidang di sekolah, kolej dan universiti awam
dilakukan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada semua tahap, termasuklah Syarahan
Perdana bagi pengukuhan jawatan Profesor. Sejak pelaksanaan sepenuhnya dasar bahasa
kebangsaan itu selama 20 tahun yang lalu, maka telah terbina satu generasi rakyat jelata
Malaysia yang fasih menggunakan bahasa Melayu. Dalam wawancara, ceramah, ucapan
dan forum di TV, radio dan majlis-majlis rasmi seperti Parlimen, Dewan Undangan Negeri,
dan sebagainya, kita dapat saksikan betapa rakyat Malaysia daripada berbilang kaum dan
lapisan masyarakat terutama sekali golongan muda, secara umumnya dapat menggunakan
bahasa Melayu dengan fasihnya.
Oleh yang demikian menjadi satu tanggungjawab dan amanat bersama bagi kita
semua untuk mengolah strategi dan langkah-langkah bagi mengembalikan dan melestarikan
kewibawaan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, ilmu, sains,
26
teknologi, pembangunan negara, penyatuan, jati diri dan pemupuk semangat esprit de corps
dan patriotisme dalam kalangan masyarakat dan rakyat jelata Malaysia.
Bahasa Melayu sebagai Asas Pembentukan Solidariti Budaya Rakyat Malaysia dan
Pemangkin Pembinaan Negara Maju
Fungsi bahasa bukan setakat menjadi alat komunikasi, tetapi bahasa juga amat besar
peranannya dalam membentuk jati diri, memupuk semangat kekitaan (esprit de corps),
perpaduan dan maruah masyarakat penuturnya, mencerminkan kehalusan dan kesopanan
budi bahasanya dan ketinggian adab susilanya, iaitu asas dan unsur yang utama dalam
pembentukan sesebuah peradaban.
Bahasa juga menjadi alat pencatat, perakam, penimbun, penyebar dan pewaris
khazanah ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan sesuatu masyarakat dan bangsa dari
generasi ke generasi, iaitu seperti kata S. Huntington bahawa bahasa disejajarkan semula
dan direkonstruksi supaya selari dengan citra dan alunan naik turun peradabannya.
Kebudayaan dan bahasa amat rapat hubungannya kerana bukan sahaja bahasa
merupakan satu elemen budaya tetapi bahasa juga mencatat, mendukung, menghimpun,
mencerminkan, mewariskan dan melangsungkan elemen-elemen budaya sesebuah
masyarakat. Madah dalam bahasa Melayu bahawa “Bahasa jiwa bangsa, bahasa
menunjukkan bangsa” membayangkan hakikat ini. Bahasa tidak akan pupus selagi ada
masyarakat dan budayanya yang menggunakan bahasa itu, tetapi sebaliknya apabila
bahasa itu tidak digunakan lagi maka budaya dan masyarakatnya akan pupus, iaitu dari segi
citra dan identitinya, dan kumpulan manusia itu akan menyerapkan budaya lain dari
masyarakat lain, misalnya orang-orang Hawaii dan Maori yang telah mengambil bahasa
Inggeris dan budaya Inggeris sepenuhnya, dan sedikit demi sedikit melunturkan bahasa dan
budaya indigenus mereka sendiri.
27
Teori Sapir-Whorf (Edward Sapir (1884–1939) dan Benjamain Lee Whorf (1897–
1941)) menyatakan bahawa bahasa menentukan cara kita berfikir (linguistic determinism)
dan perbezaan sistem pengekodan dalam sesuatu bahasa tidak akan didapati dalam
bahasa yang lain (linguistic relativism). Sapir menyatakan bahawa struktur semantik bahasa
yang dituturkan oleh seseorang telah ditentukan atau dibatasi oleh cara-cara dan juga
keadaan di mana mereka membentuk pandangan dunia di tempat mereka hidup. Alam
persekitaran dan keadaan dunia tempat manusia hidup seperti topologi, cuaca, fauna dan
flora, jenis pekerjaan dan penyaraan hidup, dan segala elemen budaya amat kuat
menentukan pembentukan dan penggunaan bahasa dari segi kosa kata, bentuk dan struktur
tatabahasa, semantik dan sebagainya. Bahasa Inggeris dan bahasa Arab mempunyai
sistem kala, jantina, jamak, dan infleksi (akusatif, subjektif, posesif) yang amat rumit, yang
tidak ketara atau tiada dalam bahasa Melayu.
Bahasa juga amat rapat dengan pemikiran dan hati budi sesebuah masyarakat.
Masyarakat yang maju dari segi peradabannya, iaitu yang mempunyai sistem politik,
pemerintahan, ekonomi, pentadbiran, perundangan, pertahanan, pendidikan, ilmu, sains,
teknologi, dan komunikasi yang canggih, mempunyai sistem bahasa dan persuratan yang
tinggi dan canggih juga. Bahasa merupakan wadah dan wahana peradaban, dan peradaban
dicorakkan dan diwarnai oleh sistem bahasa dan persuratannya. Segala kandungan dan
elemen peradaban dapat difahami dan dibudayakan ke dalam masyarakatnya melalui
bahasa indigenusnya yang dapat difahami dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh
rakyat jelatanya. Suasana dan keadaan alam pemikiran dan ilmu pengetahuan sesebuah
masyarakat sangat rapat kaitannya dengan keadaan bahasanya.
Oleh yang demikian penggunaan bahasa indigenus atau bahasa tempatan sendiri
sebagai wadah dan wahana ilmu pengetahuan, sains, teknologi, pendidikan, persuratan dan
pentadbiran negara dapat mengolah, membentuk dan mewarnakan seluruh pencapaian,
kemajuan dan ketinggian peradabannya dalam acuan budaya tempatan sendiri. Ini akan
28
membina kekuatan dalaman dan keyakinan diri yang mampu memupuk pula jati diri, maruah
dan rasa kebanggaan pada elemen budaya dan masyarakat kita sendiri. Inilah bibit-bibit
yang akan dapat membina semangat kekitaan atau esprit de corps dan patriotisme di
kalangan rakyat jelata yang boleh menuju ke arah pembentukan keutuhan atau solidariti
masyarakat dan budayanya, demi pembangunan ke arah negara maju. Inilah peranan yang
mesti dan boleh dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi,
bahasa ilmu, sains, teknologi dan bahasa penyatuan rakyat dan negara Malaysia.
Memperkasakan Masyarakat dan negara Malaysia melalui Bahasa Melayu
Masyarakat dan warga negara Malaysia yang berbilang kaum, kumpulan etnik, budaya,
agama dan bahasa tidak mungkin dapat membentuk satu kebudayaan kebangsaan
Malaysia yang homogen, seperti yang cuba dianjurkan oleh satu badan yang ditubuhkan
oleh kerajaan pada tahun 1970 hasil daripada Seminar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia.
Badan itu telah mengusulkan tiga dasar asasi untuk mengolah Kebudayaan Kebangsaan
Malaysia, iaitu:
1. berdasarkan unsur indigenus atau peribumi, iaitu Melayu dan kaum Bumiputera
yang lain sambil menyerap unsur positif non-indigenus,
2. berteraskan bahasa kebangsaan Malaysia, dan
3. berasaskan nilai-nilai Islam.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu gagal untuk membentuk satu kebudayaan
kebangsaan Malaysia yang utuh, kerana mengikut kata Datuk Dr. Hassan Ahmad (1999,
bab 10, nota 16), golongan bukan Melayu telah menolaknya sejak permulaan dasar itu
diolah. Oleh itu mengikut beliau lagi, kerajaan telah membentuk satu lagi badan, iaitu Majlis
Penasihat Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1996 untuk meninjau kembali konsep
29
kebudayaan kebangsaan berpandukan Wawasan 2020, yang bercita-cita untuk membentuk
sebuah negara bangsa Malaysia yang maju.
Dalam Wawasan 2020, konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam
kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan
melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa mengikut
Wawasan 2020, menjadi prasyarat pada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai
satu perasaan kepunyaan bersama sebagai satu negara dan bangsa, sebarang bentuk
kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan
negara, kesetiaan pada negara, keharmonian dan toleransi antara kaum menjadi fokus
penekanannya, bukan lagi pada satu kebudayaan kebangsaan yang utuh. Oleh itu mengikut
Datuk Dr. Hassan Ahmad lagi, satu gagasan baru telah dikemukakan, iaitu “gagasan
Kebudayaan Negara” menggantikan konsep Kebudayaan Kebangsaan, iaitu ciri-ciri
kebudayaan itu dikaitkan dengan kenegaraan Malaysia bukan dikaitkan dengan bangsa atau
kaum tertentu.
Negara bangsa Malaysia yang maju mengikut Wawasan 2020, mempunyai ciri-ciri dan
matlamat yang berikut, iaitu berdasarkan sembilan cabarannya:
• Bangsa Malaysia yang bersatu
• Masyarakat yang merdeka, kuat dan yakin diri
• Masyarakat yang demokratik secara matang
• Masyarakat yang berakhlak, beretika dan teguh agama
• Masyarakat yang matang dan bertoleransi
• Masyarakat saintifik yang progresif
• Masyarakat yang kaya dengan nilai murni dan sifat penyayang
• Masyarakat yang saksama dari segi pencapaian ekonomi
• Masyarakat yang makmur
30
Ada dua perkara yang akan diteliti daripada ciri dan matlamat negara bangsa maju
yang hendak dicapai oleh Wawasan 2020. Pertama, dalam gagasan Wawasan 2020 fokus
pembangunan ialah pembentukan negara bangsa Malaysia berdasarkan ciri-ciri masyarakat,
bukan berdasarkan ciri bangsa atau kaum tertentu. Oleh itu tidak timbul persoalan tentang
pembinaan kebudayaan kebangsaan yang utuh, tetapi pembinaan masyarakat yang
bercirikan sembilan sifat asasi itu, iaitu negara bangsa yang rakyatnya tidak dapat
diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit.
Gagasan demikian sememangnya sesuai dan serasi dengan suasana negara bangsa
Malaysia yang heterogen, iaitu jamak bangsa, suku kaum, keturunan, budaya dan agama,
yang mustahil untuk dibentuk satu kebudayaan kebangsaan yang utuh.
Namun soalan yang penting, iaitu yang merupakan perkara kedua yang hendak
dibahaskan tentang gagasan Wawasan 2020 itu ialah apakah medium, saluran dan
pengantar bagi pembentukan sebuah negara bangsa yang bersatu? Perdana Menteri pada
masa itu yang mengusulkan Wawasan 2020, telah menyenaraikan perkara-perkara berikut
sebagai asas membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu (Mahathir Muhamad, 1991,
Malaysia: The Way Forward, 22):
1. Satu destini yang dirasai sepunya dan dikongsi bersama
2. Satu bangsa yang aman di dalamnya
3. Berintegrasi dari segi wilayah dan suku kaum
4. Hidup berharmoni sebagai rakan kongsi dan saksama
5. Taat setia yang tidak berbelah bagi dari segi politik dan dedikasi terhadap
negara
(Terjemahan oleh penulis)
31
Sekali lagi soalan yang sama boleh dibangkitkan, iaitu apakah saluran, medium dan
pengantar yang hendak digunakan untuk menjadi wahana dan wacana pengucapan,
pengungkapan dan penyebaran unsur-unsur yang digariskan itu, iaitu
1. gagasan dan idea sepunya,
2. asas integrasi dan saling persefahaman antara wilayah dan kaum,
3. asas dan pengantar usaha membudayakan sains dan teknologi kepada rakyat
jelata supaya menjadi masyarakat yang saintifik dan progresif,
4. asas menyampaikan dan memupuk nilai akhlak, etika dan budi bahasa yang
santun supaya masyarakat kaya dengan nilai murni dan sifat penyayang,
5. pembangunan ekonomi dan modal insan yang saksama dan menyeluruh di
segenap lapisan masyarakat di seluruh negara supaya masyarakat menjadi
makmur.
Kalau ditinjau di seluruh negara maju di dunia baik di Barat mahupun di Timur, maka
asas, saluran, medium dan perantara bahasa bagi penyampaian, pemupukan,
pengungkapan, pengucapan, penyebaran dan pengukuhan perkara-perkara yang
dinyatakan tadi adalah dengan perantaraan bahasa indigenus atau bahasa peribumi mereka
sendiri. Ini ialah satu lumrah alam seperti yang ditegaskan oleh pepatah Melayu “Di mana
bumi dipijak di situ langit dijunjung”. Untuk keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran
seseorang atau satu kumpulan manusia yang mendiami satu penempatan, perkampungan,
perbandaran, negeri dan wilayah, mereka mesti menyesuaikan diri dengan landskap alam
sekitar dan budaya persekitaran mereka. Dari segi alam sekitar mereka mesti menyesuaikan
diri dengan iklim, cuaca, topografi, fauna dan flora di persekitarannya untuk hidup dengan
selamat dan sejahtera. Dari segi budaya, mereka mesti menyesuaikan diri dengan
peraturan, adat istiadat, undang-undang, dan bahasa pertuturan tempatan itu demi
keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran mereka.
32
Oleh itu untuk menyampaikan gagasan dan idea sepunya, mengeratkan integrasi dan
saling persefahaman antara wilayah dan kaum, membudayakan sains dan teknologi kepada
rakyat jelata supaya menjadi masyarakat yang saintifik dan progresif, menyampaikan dan
memupuk nilai akhlak, etika dan budi bahasa yang santun supaya masyarakat kaya dengan
nilai murni dan sifat penyayang, dan membangunkan ekonomi dan modal insan yang
saksama dan menyeluruh di segenap lapisan masyarakat di seluruh negara supaya
masyarakat menjadi makmur, maka tidak ada jalan lain melainkan saluran dan mediumnya
mesti disampaikan dalam bahasa indigenus atau bahasa peribumi atau bahasa
kebangsaannya sendiri. Bagi negara bangsa Malaysia yang telah mengisytiharkan dan
melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa
pengantar pendidikan dan bahasa perpaduan nasional dengan berjayanya sejak 20 tahun
yang lalu (1987), maka saluran bahasanya untuk menyampaikan kesemua perkara yang
dinyatakan itu, hanya dengan menggunakan bahasa Melayu.
Pemilihan bahasa Inggeris untuk membudayakan semua perkara itu didorong oleh
pemikiran golongan elit yang menginginkan manfaat dan keuntungan dalam masa yang
singkat atau segera, tanpa memikirkan keretakan dan perpecahan yang boleh berlaku
dalam kalangan rakyat jelata Malaysia yang berbilang kaum, budaya, agama dan bahasa
pada masa hadapan. Telah muncul satu persepsi atau satu perasaan dalam kalangan
pemimpin dan golongan elit masyarakat bahawa untuk cepat membangun dan maju seperti
negara-negara di Amerika Utara, Eropah, Australia dan New Zealand maka strategi yang
paling cepat adalah memanfaatkan khazanah ilmu, sains, teknologi dan perdagangan yang
ada dalam negara maju itu secara langsung dan segera. Oleh sebab semua khazanah ilmu
demikian tercatat, tersimpan dan tersebar dalam bahasa Inggeris, maka strategi yang paling
rasional dan praktikal adalah mempelajari, menguasai, mengembang dan menyebarkan
ilmu-ilmu itu dalam bahasa Inggeris juga.
33
Andaian kejayaan demikian boleh disamakan dengan kejayaan perniagaan francais
makanan segera seperti McDonald, Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut dan lain-lain yang
pesat dilaksanakan di seluruh dunia. Andaian demikian menganggap bahawa sumber
tenaga manusia tidak lebih daripada bahan-bahan makanan segera yang boleh diolah, diuli,
diadun dan dikeluarkan secara produksi massa (mass-production) tanpa mengambil kira
maruah, martabat, keperibadian dan hati budi manusia dan masyarakatnya.
Persepsi dan perasaan demikian sebenarnya bukanlah berdasarkan hasil kajian
yang konkrit, tetapi kebanyakannya berdasarkan pengalaman pemimpin sendiri dan
golongan elit itu dan juga realiti kemajuan dan pembangunan negara-negara itu di persada
dunia sekian lama, seperti kata Holborow (1999:56–57):
“[…] the dominance of English today is the continuation of a process started in the earliest days of capitalism, deepened by the expansion of the British Empire and given further impetus by the commanding position of the American capitalism in this century […]”
(Hashim Haji Musa dan Mohd Rashid Mohd Saad, 2005)
Strategi Memperkasakan Bahasa Melayu
Tidak syak lagi kedudukan dan kewibawaan bahasa Melayu kini sebagai bahasa pengantar
pendidikan dan ilmu tinggi sedang tercabar dengan sengitnya apabila bahasa Inggeris
dijadikan bahasa pengantar matematik dan sains di sekolah, dan bahasa pengantar
pendidikan sepenuhnya di IPTS dan juga dengan kadar yang meningkat di IPTA.
Perancangan dan usaha yang gigih perlu dilakukan segera untuk membendung lonjakan
pengaruh dan kewibawaan bahasa Inggeris yang begitu kuat dengan mengembalikan
martabat, kewibawaan dan keyakinan pada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
pendidikan, sains dan teknologi di Malaysia dan juga sebagai satu daripada bahasa dunia
yang utama.
Berikut disenaraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat
menjadikan BM sebagai bahasa dunia, yang mengandungi beberapa strategi, iaitu (1) untuk
34
mengatasi masalah sikap negatif terhadap keupayaan dan kewibawaan bahasa Melayu
sebagai pengantar sains, teknologi dan pendidikan tinggi, (2) membina budaya ilmu, sains
dan teknologi dalam bahasa Melayu sehingga ke perbatasan terkedepan dalam penerokaan
ilmunya, (3) mengantarabangsakan Bahasa Melayu, dan (4) mempercekap penguasaan
bahasa utama dunia untuk tujuan khusus.
1. Mengatasi masalah sikap negatif terhadap keupayaan dan kewibawaan bahasa
Melayu sebagai pengantar sains, teknologi dan pendidikan tinggi melalui:
a) mengadakan kempen, konvensyen dan syarahan umum pada peringkat
kebangsaan dan antarabangsa oleh kerajaan dan juga badan-badan
swadaya supaya semua pihak terutamanya mereka yang mempunyai
kuasa dan pengaruh dan juga rakyat jelata dapat menyedari betapa
pentingnya menjamin dan memastikan kedudukan dan kewibawaan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita dan sebagai
bahasa pengantar pendidikan, sains dan teknologi dikekalkan dan
ditingkatkan dengan mengembalikan pengajaran sains dan matematik
dalam BM, demi perpaduan negara, bangsa dan rakyat jelata, demi jati
diri dan pemerkasaan masyarakatnya dan demi wibawa antarabangsanya.
b) melibatkan secara aktif dan produktif dalam kalangan perancang ekonomi
negara, ahli perniagaan dan industri yang utama, ahli sains terkemuka,
para ketua IPT yang terkemuka, dan sebagainya dalam pengurusan,
perancangan dan pelaksanaan Bahasa Melayu. Ini memerlukan wibawa
kepimpinan negara (political will).
2. Membina budaya ilmu, sains dan teknologi dalam bahasa Melayu sehingga ke
perbatasan terkedepan dalam penerokaan ilmunya melalui:
35
a) Peruntukan kewangan dana yang semaksimum dalam bentuk belanjawan
kerajaan dan sumbangan daripada pihak sektor swasta sebagai usaha
memenuhi tanggungjawab sosial, hendaklah diwujudkan untuk
menggalakkan pengkaryaan dalam segala bidang ilmu termasuk sains dan
teknologi dalam bahasa Melayu, sama ada karya asli mahupun
terjemahan; dan segala peruntukan kewangan itu hendaklah dianggap
sebagai pelaburan untuk membangunkan bidang ilmu dan sumber
manusia jangka panjang, bukan sebagai pelaburan komersial jangka
pendek yang dikira berapa untung dan ruginya.
b) Dengan wujudnya dana dan peruntukan kewangan yang mencukupi, maka
skim penggalakan dan insentif yang menarik hendaklah ditawarkan kepada
para ilmuwan dan ahli sains untuk menulis dan menterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu buku dan artikel ilmiah dan profesional dalam bidang
pengkhususan masing-masing.
c) Menubuhkan sebuah Majlis Buku Ilmiah Bahasa Melayu Kebangsaan dan
Antarabangsa (National and International Malay Academic Books Council)
yang bertanggungjawab terus kepada Menteri Pendidikan Tinggi dengan
tugas-tugas antaranya seperti yang berikut:
(i) merancang dan melaksanakan penghasilan, penulisan,
penterjemahan, penyebaran, penggalakan, penggunaan dan
penilaian buku-buku dan bahan-bahan rujukan dalam pelbagai media
dalam semua bidang sains, teknologi dan ilmu pengetahuan
peringkat tinggi. Majlis ini harus ada pakar dan ahli bahasa serta
penterjemah yang bertugas khusus untuk meneliti dan menilai
penerbitan-penerbitan penting dari seluruh dunia dalam bidang
masing-masing, dan seterusnya merancang dan menyelaraskan
36
penterjemahan, penulisan, percetakan dan penyebaran serta
penggunaannya dalam kalangan komuniti para sarjana dan
profesional di dalam dan di luar negara.
(ii) menubuhkan perhubungan, jaringan dan kerjasama akademik
dengan institusi-institusi, pusat-pusat penyelidikan, penerbitan buku
dan jurnal dan perpustakaan yang terkemuka di seluruh dunia untuk
mengemaskinikan pengetahuan dalam semua bidang sains dan
teknologi ke tahap “state of the art”, dan seterusnya untuk meneroka
ke tahap terkedepan perbatasan ilmu pengetahuan. Perjanjian
persefahaman dan kontrak boleh dibuat dengan penerbit-penerbit
jurnal dan buku terkemuka supaya proses penterjemahan yang
serentak dengan penerbitannya dapat dilakukan.
(iii) menubuhkan kerjasama yang erat dengan Indonesia, Brunei dan
Singapura berdasarkan keperluan dan tanggungjawab bersama
untuk memajukan bahasa Melayu, iaitu Bahasa Kebangsaan bagi
keempat-empat negara yang mempunyai jumlah penutur lebih
daripada 250 juta manusia, supaya meningkatkan penerbitan,
penyebaran dan penggunaan bahan-bahan rujukan pelbagai media
dalam semua bidang ilmu sains dan teknologi di keempat-empat
buah negara, dan menggalakkan pengaliran bahan-bahan itu
sebebas-bebasnya antara negara-negara itu.
(iv) menubuhkan hubungan dan kerjasama yang erat dalam bentuk
penyelidikan, penerbitan, pengalaman, penyebaran dan promosi
tentang semua perkara yang berkaitan dengan bahasa, sastera,
budaya, sains, teknologi, perindustrian, perdagangan, perhubungan
antarabangsa dan diplomasi dengan negara-negara dan institusi
37
seluruh dunia yang mempunyai tradisi pengajian Melayu dan
komuniti Melayu, misalnya Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam,
Kampuchea, Sri Langka, Afrika Selatan, Australia, Belanda, England,
Surinam, Jepun, Korea, China, dan lain-lain, dengan tujuan untuk
memperteguh dan menyebarkan bahasa Melayu, kebudayaan
Melayu dan segala bentuk khazanah ilmu dan persuratan Melayu
dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
3. Mengadakan gerakan promosi yang gigih, agresif dan meyakinkan untuk
mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Association of
Southeast Asian Nations (ASEAN) mengambil alih bahasa Inggeris
memandangkan bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur terbesar dalam
ASEAN, dan juga sebagai satu bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) yang digunakan dalam sidang-sidangnya atas dasar bahasa
Melayu ialah bahasa keempat terbesar di dunia dari segi jumlah penuturnya,
4. Penubuhan beberapa buah Akademi Pembelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa
Moden Wilayah yang dilengkapkan dengan segala kepakaran dan peralatan
canggih dengan staf yang profesional untuk melatih anak bangsa Malaysia
secara intensif penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa moden yang
lain ke taraf yang paling tinggi untuk kumpulan tertentu bagi melaksanakan
tugas-tugas khusus misalnya penimbaan ilmu dan pemindahan teknologi tinggi,
perdagangan antarabangsa, diplomasi dan hubungan antarabangsa,
persidangan dan bengkel antarabangsa dan sebagainya.
38
Kesimpulan
Kesimpulannya dengan melihat banyak hasil kajian, pendapat ahli akademik, para ilmuwan
dan peramal masa depan, maka dengan tegasnya kita menyatakan bahawa penyampaian
ilmu pengetahuan dalam bahasa indigenus atau tempatan penduduknya, demi kecekapan
pembelajarannya, pembinaan daya sumber manusia rakyat jelata, pemupukan jati diri dan
perpaduan negara bangsa dan pemerkasaan rakyat jelatanya, dan pada masa yang sama
mengadakan program pengajaran bahasa utama dunia (Inggeris, Jerman, Perancis, China,
Jepun, Arab) yang cekap demi pemerolehan dan penimbaan ilmu pengetahuan, teknologi,
perdagangan dan diplomasi antarabangsa.
Sememangnya setiap negara dan bangsa mesti berusaha untuk meningkatkan daya
juang, daya saing, daya tahan, daya kreatif dan kecemerlangan bangsa dan rakyat jelatanya
dalam persada antarabangsa supaya dapat mencapai kemajuan yang tinggi dan boleh
bersaing dengan negara-negara utama di dunia. Untuk mencapai matlamat ini seluruh
sumber daya tenaga manusia rakyatnya harus digerakkan (bukan hanya segelintir golongan
elit) melalui pembudayaan ilmu, sains dan teknologi terkini yang disampaikan dalam bahasa
rakyat jelata sendiri bukannya satu bahasa asing. Inilah yang berlaku di negara-negara maju
di Barat termasuk negara-negara Eropah dan juga di Jepun, Korea dan Taiwan. Langkah
dan strategi demikian amat perlu untuk memperkasakan masyarakat dan rakyat jelatanya
secara menyeluruh dan saksama.
Gagasan yang menganjurkan supaya pendidikan tinggi, sains dan teknologi
disampaikan dalam bahasa Inggeris didorong oleh sama ada fahaman pragmatik yang
keterlaluan yang hanya mementingkan faedah segera bagi golongan elit dalam jangka masa
pendek tanpa memikirkan keretakan, perpecahan dan kemunduran rakyat jelata yang boleh
berlaku dalam jangka masa panjang, ataupun didorong oleh minda kerdil (small minds) yang
tidak ada keyakinan diri pada ciri-ciri budaya kita sendiri dalam pembangunan dan
pembinaan sebuah negara bangsa dan peradaban negara dalam acuan kita sendiri.
39
Bahawasanya bahasa indigenus atau tempatan sendirilah yang merupakan penapis
dan penangkis yang kebal untuk melawan badai negatif globalisasi yang boleh
menghancurkan nilai-nilai tradisi yang murni, dan juga merupakan unsur yang kental untuk
menyemai rasa kekitaan, keakraban, kemesraan dan kasih sayang sesama penuturnya
demi perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara bangsa dan pemerkasaan
masyarakatnya. Bahawasanya bahasa indigenus atau tempatan merupakan satu elemen
utama yang mengungkap dan menunjangi pembangunan dan kemajuan sesuatu
masyarakat dan negara bangsa dalam acuannya sendiri yang akan menjamin kestabilan,
ketekalan, keperkasaan dan kelangsungannya.
40
Bibliografi
Abdullah Hassan, 1987. Isu-Isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdulllah Hassan, 1996. “Pendidikan dan Patriotisme Malaysia” dlm. Asraf (ed.), Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Akta Pendidikan, 1996. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Bhd.
Asmah Hj Omar, 1992. The Linguistic Scenery in Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asraf (ed.), 1996. Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Barnett, Jeffery, R., 1994. “Exclusion as National Security Policy”, Parameters, 24 (Spring 1994), 54.
Barnett, J., and John Cavanagh, 1994. Global Dreams: Imperial Corporations and the New World Order. New York: Touchstone Books.
Braudel, F., 1993. A History of Civilizations. New York: Penguin Books.
Coulmas, F. (ed.), 1991. A Language Policy for the European Community. Berlin: Mouton de Gruyter.
Drucker, Peter, 1994. Post-Capitalist Society. New York: HarperCollins.
Hashim bin Haji Musa, 1997. Pengintelektualan dan Pemapanan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan dan Penyekapan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua. Kuala lumpur: Laporan Kajian IRPA.
Hashim bin Haji Musa, 2001. Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam: Ke Arah pembentukan sebuah Tamadun Dunia Alaf Baru. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
Hashim bin Haji Musa, 2002. Agenda Melayu: Ke Arah Pembinaan Peradaban Melayu Bertaraf Dunia Alaf Ketiga. Petaling Jaya: INMIND.
Hashim Haji Musa dan Mohd Rashid Bin Mohd Saad, 2005. Suara Hati Guru Matematikdalam Pelaksanaan Polisi Bahasa Inggeris dalam Subjek Sains dan Matematik: Satu Tinjauan Ringkas. Kertas kerja dalam SKALI 2005, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Hashim Haji Musa, 2008. Hati Budi Melayu: Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad ke-21. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Hassan Ahmad, 1997. “Dasar bahasa kebangsaan dan cabarannya” dlm. Nik Safiah Katim dan Nuwairi Khaza’ai 1997, Bahasa Melayu dalam Cabaran: Kumpulan Syarahan Raja Ali Haji 1991–1997. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
41
Hassan Ahmad, 1999. The Language Policy of Malaysia. Tesis PhD Leiden University.
Holborow, M., 1999. The Politics of English. London: Sage Publications.
Huntington, S., 1996. The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. NewYork: Simon and Schuster.
Kennedy, Paul, 1989. Rise and Fall of the Great Powers. New York: Vintage Books.
Kennedy, Paul, 1993. Preparing for the Twenty-First Century. New York : Vintage Books.
Mahathir Mohamad, 2002. Globalisation and the New Realities, Putra Jaya: Pelanduk Publications.
Shaharir Mohd Zain, 1996. Pembangunan Sains dan Teknologi di Malaysia Menerusi Bahasa Melayu, Syarahan Raja Ali Haji. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.