pembinaan jatidiri melalui kegiatan seni budaya melayu serumpun

13
1 Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun Oleh: Azhar Abdul Latiff 1 M.A. (UM), B.Eng (UTM) Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) 1.0 Pendahuluan Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran yang memiliki warisan seni budaya yang sama dan hubungan serantau yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu. Warisan seni-budaya kedua-dua negara ini saling berkait rapat sehingga mewujudkan identiti Melayu Serumpun dalam bidang kesenian tradisi seperti muzik, tari dan puisi tradisional. Kegiatan seni budaya Melayu Serumpun memiliki pelbagai fungsi guna di dalam masyarakat. Pada masa kini kegiatan seni budaya bukan hanya digunakan untuk menghiburkan masyarakat malah menjadi alat untuk memantapkan dan membina jatidiri generasi muda. Program Latihan Insitut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan Pesta Gendang Nusantara (PGN) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah adalah contoh kegiatan seni budaya Melayu serumpun di Malaysia yang berperanan membina jatidiri generasi muda. Kegiatan-kegiatan ini melibatkan kerjasama institusi-institusi seni budaya Malaysia-Indonesia dalam rangka program yang dilaksanakan meliputi aktiviti-aktiviti seperti 1) pertemuan intelektual Seni Budaya, 2) persembahan dan latihan seniman serumpun, dan 3) pendokumentasian seni budaya. Proses pembentukan jatidiri ini dapat menghasilkan modal insan yang memahami realiti diri, reality bangsa dan kemudian memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Generasi muda akan menggunakan kekuatan jatidiri ini bagi mengharungi cabaran globalisasi sehingga mampu melahirkan masyarakat Melayu Glokal. Gagasan Glokal yang diperjuangkan oleh Dato’ Sri Mohd. Najib bersifat pemikiran yang bertaraf antarabangsa dan menjangkau seluruh dunia. Disamping itu, kita wajar bersifat nasional. Melayu Glokal yang berakar nasional dan berakal internasional. Berperanan diperingkat antarabangsa serta hebat dalam negara. Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran di Kepulauan Melayu Nusantara yang memiliki hubungan yang erat dari segi seni budaya. Kedua-dua negara memiliki teras kebudayaan yang sama iaitu kebudayaan dan ketamadunan Melayu yang telah wujud beratus-ratus tahun lamanya. Proses interaksi budaya kedua-dua negara telah wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Hindu-Majapahit, Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman penjajahan masyarakat Eropah (Inggeris di Malaysia dan Belanda di Indonesia). 1 Penulis adalah jurulatih muzik di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dari tahun 2002-2007. Pernah menyertai Pesta Gendang Nusantara (PGN) tahun 1995 – 2004 dan membuat pemerhatian ke atas PGN tahun 1995-2007.

Upload: aalazhar

Post on 11-Jun-2015

3.177 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran yang memiliki dasar budaya yang sama dan hubungan serantau erat yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu. Dari segi aspek seni budaya, kebudayaan kedua-dua negara ini saling berinteraksi sehingga mewujudkan identiti Melayu Serumpun di dalam kesenian-senian tradisi seperti muzik, tari dan puisi tradisional. Kegiatan seni budaya Melayu Serumpun memiliki pelbagai fungsi guna di dalam masyarakat. Pada masa kini kegiatan seni budaya bukan hanya digunakan untuk tujuan menghiburkan masyarakat malah menjadi alat untuk membina jatidiri generasi muda.Program Latihan Insitut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan Pesta Gendang Nusantara (PGN) Melaka Bandaraya Bersejarah merupakan di antara kegiatan-kegiatan seni budaya Melayu serumpun di Malaysia yang berperanan membina jatidiri generasi muda. Kegiatan-kegiatan ini melibatkan kerjasama institusi-institusi seni budaya Malaysia-Indonesia dan rangka program yang dilaksanakan meliputi aktiviti-aktiviti seperti 1) pertemuan intelektual Seni Budaya, 2) persembahan seniman serumpun, dan 3) program latihan seni budaya.Hasil daripada proses pembentukan jatidiri ini menghasilkan modal insan yang memahami realiti diri, reality bangsa dan kemudian memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Akhirnya generasi muda akan menggunakan kekuatan pemahaman ini untuk mengharungi cabaran globalisasi ke arah menghasilkan masyarakat Melayu Glokal.

TRANSCRIPT

Page 1: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

1

Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

Oleh: Azhar Abdul Latiff1 M.A. (UM), B.Eng (UTM)

Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)

1.0 Pendahuluan

Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran yang memiliki warisan seni budaya

yang sama dan hubungan serantau yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Warisan seni-budaya kedua-dua negara ini saling berkait rapat sehingga mewujudkan

identiti Melayu Serumpun dalam bidang kesenian tradisi seperti muzik, tari dan puisi

tradisional. Kegiatan seni budaya Melayu Serumpun memiliki pelbagai fungsi guna di

dalam masyarakat. Pada masa kini kegiatan seni budaya bukan hanya digunakan untuk

menghiburkan masyarakat malah menjadi alat untuk memantapkan dan membina jatidiri

generasi muda. Program Latihan Insitut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan Pesta

Gendang Nusantara (PGN) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah adalah contoh kegiatan

seni budaya Melayu serumpun di Malaysia yang berperanan membina jatidiri generasi

muda. Kegiatan-kegiatan ini melibatkan kerjasama institusi-institusi seni budaya

Malaysia-Indonesia dalam rangka program yang dilaksanakan meliputi aktiviti-aktiviti

seperti 1) pertemuan intelektual Seni Budaya, 2) persembahan dan latihan seniman

serumpun, dan 3) pendokumentasian seni budaya. Proses pembentukan jatidiri ini dapat

menghasilkan modal insan yang memahami realiti diri, reality bangsa dan kemudian

memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Generasi muda akan menggunakan

kekuatan jatidiri ini bagi mengharungi cabaran globalisasi sehingga mampu melahirkan

masyarakat Melayu Glokal.

Gagasan Glokal yang diperjuangkan oleh Dato’ Sri Mohd. Najib bersifat

pemikiran yang bertaraf antarabangsa dan menjangkau seluruh dunia. Disamping itu, kita

wajar bersifat nasional. Melayu Glokal yang berakar nasional dan berakal internasional.

Berperanan diperingkat antarabangsa serta hebat dalam negara.

Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran di Kepulauan Melayu

Nusantara yang memiliki hubungan yang erat dari segi seni budaya. Kedua-dua negara

memiliki teras kebudayaan yang sama iaitu kebudayaan dan ketamadunan Melayu yang

telah wujud beratus-ratus tahun lamanya. Proses interaksi budaya kedua-dua negara telah

wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Hindu-Majapahit, Zaman Kesultanan

Melayu Melaka dan zaman penjajahan masyarakat Eropah (Inggeris di Malaysia dan

Belanda di Indonesia).

1 Penulis adalah jurulatih muzik di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dari tahun 2002-2007. Pernah

menyertai Pesta Gendang Nusantara (PGN) tahun 1995 – 2004 dan membuat pemerhatian ke atas PGN

tahun 1995-2007.

Page 2: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

2

Dewan Bahasa dan Pustaka (1994) melalui Kamus Dewan mendefinisikan budaya

sebagai kemajuan fikiran dan akal budi. Satu definisi yang telah dipersetujui masyarakat

antarabangsa melalui Deklarasi Universal Pelbagai Budaya Unesco (2002) iaitu “budaya

merangkumi kelompok bersama spiritual, kebendaan, intelektual dan emosi masyarakat

atau kumpulan sosial, ditambah dengan seni, kesusasteraan, gaya hidup, cara hidup

bersama, sistem nilai, tradisi dan kepercayaan.” Hakikatnya budaya memiliki isi berupa

tujuh unsur kebudayaan yang universal iaitu ; i) bahasa ii) sistem teknologi iii) mata

pencarian dan ekonomi iv) organisasi sosial v) sistem pengetahuan vi) agama vii)

kesenian (Muhammad Takari, 2006:1). Antara bidang budaya yang telah lama

berkembang di dalam proses hubungan Malaysia Indonesia ialah kesenian.

Sejak dari dahulu lagi, seni budaya di Malaysia mempunyai persamaan dan

menerima pengaruh daripada Indonesia terutama dalam bidang seni persembahan. Bidang

seni persembahan muzik, tarian, puisi dan teater tradsional yang ada di Malaysia

memiliki pelbagai persamaan dengan sama ada dari segi struktur persembahan mahupun

fungsinya dalam terhadap masyarakat Melayu.

Kesenian seperti muzik caklempong di Negeri Sembilan, Malaysia dibawa

daripada daerah Sumatera Barat, Indonesia oleh masyarakat Minangkabau yang berhijrah

ke Tanah Melayu. Wayang Jawa yang wujud di sekitar negeri Johor dikenali sebagai

Wayang Purwa tanah Jawa, Indonesia dan dibawa daripada tanah Jawa oleh masyarakat

Jawa yang berhijrah ke Tanah Melayu. Tarian joget dan zapin yang sering

dipersembahkan di Malaysia turut ada di kepulauan Melayu Riau. Muzik Gamelan di

Istana Pahang dan muzik nobat yang ada di Istana Terengganu pula berasal daripada

Kerajaan Riau-Lingga di Indonesia. Kewujudan kesenian-kesenian ini di kedua-dua

negara memaparkan hubungan budaya kedua-dua negara yang bersatu sebagai bangsa

serumpun iaitu bangsa Melayu yang memiliki identiti budaya yang sama.

Terdapat pelbagai jenis fungsi seni budaya di dalam masyarakat. Alan P.Merriam

(1964:210) telah menggariskan 10 fungsi seni muzik di dalam masyarakat iaitu 1)

meluahkan emosi, 2) penghayatan estetika, 3) hiburan, 4) komunikasi, 5) perwakilan

simbolik, 6) tindak balas fizikal, 7) penguatkuasaan nilai-nilai tradisi dan norma sosial, 8)

institusi sosial, 9) menyumbang kepada kesinambungan dan kestabilan budaya,dan 10)

menyumbang kepada integrasi sosial. Kewujudan fungsi-fungsi ini di dalam seni budaya

Melayu Serumpun mampu menyumbang kepada pembinaan identiti masyarakat dan

pembinaan jatidiri generasi muda.

Sehingga kini, Malaysia banyak menganjurkan pelbagai kegiatan seni budaya

Melayu serumpun yang dijalankan bukan sahaja tujuan untuk menghiburkan masyarakat

malah berusaha membina jatidiri generasi muda Antara program yang bertujuan

mendukung misi tersebut ialah Program Latihan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)

dan Pesta Gendang Nusantara (PGN) anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah

(MBMB).

Page 3: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

3

2.0 Kegiatan Seni Budaya di Institut Seni Malaysia Melaka

Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) merupakan sebuah institusi seni budaya yang

mendapat sokongan Kerajaan Negeri Melaka. Insitutsi ini berperanan sebagai pusat

kegiatan dan pengembangan bidang kebudayaan kebangsaan terutama seni warisan yang

menggambarkan jati diri Melaka.

ISMMA2 pada awalnya dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan

nama Akademi Seni Melaka (ASM) pada tahun 1994. Aktiviti yang dijalankan pada masa

itu ialah mengurus tadbir Kumpulan Kebudayaan Briged Seni dan menjalankan kursus

kemahiran seni jangka pendek. Bermula 1996 ASM telah menjalankan program Diploma

dalam bidang seni. Pada tahun 1997 nama ASM ditukar kepada Institut Teknologi Seni

Malaysia (ITTSM) dan insitusi ini berperanan mengembangkan program Diploma yang

menjurus ke arah teknologi seni. Bagi merealisasikan pembangunan yang seimbang nama

ITTSM telah ditukar kepada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) pada tahun 2001

dengan harapan dapat melahirkan warga seni Melaka yang mempunyai jati diri dalam

pelbagai bidang yang diamalkan penuh dengan disiplin dan kesopanan.

Bermula pada tahun 2001 ISMMA yang di pengerusikan oleh Prof. Datuk Dr.

Abdul Latiff Abu Bakar telah mula memperluaskan aktiviti-aktiviti yang dijalan meliputi,

1) persembahan, 2) latihan amali, 3) bengkel, 4) seminar, dan 5) penerbitan. Berikut ialah

program-program3 seni budaya Melayu Serumpun yang disertai dan dan anjurkan

ISMMA.

2.1 Persembahan

ISMMA telah menyertai dan menganjurkan pelbagai persembahan kesenian sama

ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara persembahan-

persembahan yang telah disertai dan dianjurkan ISMMA ialah:

i. persembahan kebudayaan di acara-acara seperti Konsert ISMMA 2006, seminar

dan kem latihan seni budaya anjuran ISMMA,

ii. persembahan jemputan pihak dalam dan luar negara seperti persembahan

kesenian sempena Pertemuan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam di provinsi

Bangka-Belitung, Bengkalis dan Kalimantan Barat di Indonesia sert Festival Seni

Tari Serumpun di Singapura,

iii. persembahan acara-acara kerajaan negeri Melaka seperti persembahan

kebudayaan sempena Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam, Pesta Gendang

Nusantara,Festival Songket dan Batik dan Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat

negeri Melaka, dan

iv. Perkampungan Seniman Melayu Serumpun (2002-2006) dan Pertemuan

Pemimpin Adat Melayu Serumpun (2003-2006).

2 Bersumberkan laman web: ismma.melaka.org.my

3 Berdasarkan pemerhatian penulis ke atas aktiviti-aktiviti ISMMA sepanjang tahun 2006-2007.

Page 4: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

4

Kumpulan kesenian ISMMA menerapkan unsur-unsur seni budaya serumpun apabila

membuat persembahan daripada yang berskala kecil menggunakan ensambel muzik asli

sehingga ke persembahan yang berskala besar menggunakan ensambel Orkestra Simfoni

Warisan. Persembahan yang dibuat biasanya menggunakan muzik dan tradisional seperti

persembahan dondang sayang, zapin, inang dan joget. Lagu-lagu yang sering dimainkan

sewaktu persembahan terdiri daripada lagu-lagu asli Melayu Serumpun seperti Dondang

Sayang, Zapin Budi, Makan Sirih, Gunung Banang, Aladom dan Joget Serampang Laut.

Persembahan kumpulan kesenian ISMMA turut memuatkan persembahan puisi

tradisional Nazam dalam perbagai bentuk seperti nazam asli, nazam Tangjung dan nazam

kreatif.

Persembahan yang diadakan ISMMA turut disertai bersama-sama dengan kumpulan-

kumpulan kesenian daripada Institusi-institusi seni budaya daripada Indonesia khususnya

yang datang daripada Kepulauan Melayu seperti Riau, Bangka-Belitung, Aceh,

Palembang, Jambi, Medan, Sumatera Barat, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau dan

Bandung. Irama muzik Melayu Serumpun yang popular ialah zapin, joget, inang dan

senandung(asli).

2.2 Latihan dan Bengkel

ISMMA telah menyusun beberapa program latihan dan bengkel seni budaya untuk

generasi muda bagi memenuhi objektif untuk menghayati, mendidik dan

memperkembangkan warisan seni budaya kepada generasi muda. Antara program yang

telah diadakan ialah 1) program sekolah angkat ISMMA, 2) Kem Muzik Satu Parlimen

Satu Orkestra (Tarian, Biola dan Rebana Keras), 3) Bengkel Nazam Peringkat DUN, 4)

Bengkel Marhaban dan Berzanji, 5) Bengkel Qasidah, 6) Bengkel Silat, 7) Bengkel

Mengenali dan Penggunaan Songket, dan 8) bengkel tarian serumpun.

Pada awalnya, latihan seni budaya ISMMA boleh dibahagikan kepada tiga iaitu

latihan biola, latihan gendang dan latihan tarian. Latihan ini dijalankan secara mingguan

bertempat di sekolah-sekolah sekitar negeri Melaka dan studio latihan ISMMA. Bermula

daripada tahun 2001, ISMMA telah pun mengambil seramai 4 orang jurulatih daripada

Indonesia bagi memperkasakan program latihan seni budaya yang dianjurkannya.

Jurulatih-jurulatih yang dimaksudkan ialah:

i) jurulatih biola - Rita Dewi (Banda Aceh) dan Yade Suraya (STSI Padang

Panjang),

ii) jurulatih orkestra dan gendang – Drs Andranova (STSI Padang Panjang),

Muhammad Takari dan Fadlin Djafar (Universitas Sumatera Utara), dan

iii) jurulatih tarian – Rezal (Lhoksumawe Aceh) dan Dr. Nefi Imran (Universitas

Negeri Padang).

Jurulatih-jurulatih daripada Indonesia ini telah berkongsi kepakaran dan

pengalaman dengan jurulatih-jurulatih tempatan dalam membina jatidiri para pelajar

kearah menghayati seni budaya Melayu Serumpun.

Page 5: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

5

Bagi melengkapkan lagi program latihan seni budaya Melayu Serumpun di

ISMMA, beberapa sesi bengkel seni budaya telah diadakan pada musim cuti sekolah

berpusat di Kompleks Seni Budaya Muara Sungai Duyong. Bengkel ini berperanan

menyelaraskan program latihan mingguan yang telah diadakan sepanjang sesi

persekolahan. Di dalam bengkel ini latihan intensif biola, gendang, tarian dan serunai

diadakan secara tiga sehingga tujuh hari berturut-turut dengan bantuan jurulatih-jurulatih

ISMMA (tempatan dan Indonesia).

Selain daripada bengkel muzik (biola, gendang dan serunai) dan tarian, ISMMA

turut mengadakan beberapa siri bengkel yang bertujuan memartabatkan puisi tradisional

nazam, qasidah, marhaban, permainan rebana keras dan silat untuk generasi muda.

Beberapa kumpulan nazam, qasidah, marhaban, rebana keras dan silat daripada sekitar

negeri Melaka telah dikumpulkan dan diberikan latihan secara berpusat dengan bantuan

jurulatih-jurulatih ISMMA dan pakar-pakar jemputan yang diundang khas (dalam dan

luar negara).

Pengisian bengkel-bengkel seni budaya ISMMA diisi dengan ceramah pakar,

latihan praktikal berkumpulan dan latihan praktikal individu. Selain daripada latihan

kesenian, program bengkel ISMMA turut memasukkan elemen membina jatidiri serta

melahirkan individu yang berdisiplin melalui program berkawad dan senam silat.

Diakhir sesi bengkel, satu persembahan dan sesi ujian akan diadakan bagi

mengenal pasti tahap keberkesanan program-program yang dilaksanakan. Sesi ujian dan

persembahan ini juga ada kalanya diadakan dalam bentuk pertandingan antara kumpulan.

Hasil daripada program-program latihan dan bengkel seni budaya ISMMA ialah modal

insan yang berkualiti dan memiliki jatidiri Melayu Serumpun selaras dengan moto

ISMMA iaitu ‘Seni yang berilmu dan bersopan’.

2.3 Seminar

Selain daripada persembahan dan bengkel, ISMMA turut menganjurkan bersama

beberapa seminar seni budaya yang bersifat keilmuan. Program ini bertujuan bagi

percambahan ilmu kepada penggiat seni dengan menjemput tokoh - tokoh seni dalam dan

luar negara terutama daripada negara jiran Indoenesia sebagai penceramah. Ia juga

menghimpun semua penggiat seni terutamanya sasaran kepada penuntut sekolah dan

belia sebagai 'pewaris seni' serta pemimpin semua peringkat.

Topik seminar anjuran ISMMA biasanya menfokus kepada aspek-aspek seni

budaya Melayu Serumpun. Antara seminar-seminar yang telah diadakan ialah Seminar

Sosio-Budaya sempena Pertemuan Dunia Melayu Dunia Islam (Mac 2006), Seminar

Songket (September 2006), Seminar Adat Melayu (2004-2006), Seminar Jatidiri Seni

Budaya Melaka dan lain-lain.

Page 6: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

6

2.4 Penerbitan

Hasil penulisan ilmiah sarjana seni budaya yang telah dibentang di dalam seminar-

seminar ISMMA biasanya akan diterbitan dalam bentuk buku. Sehinggan tahun 2007,

ISMMA telah menerbitkan empat buah seni budaya iaitu:

i) Buku Kepimpinan Adat Perkahwinan Melayu Melaka (Abdul Latiff Bakar &

Hanipah Husin – 2004),

ii) Buku Kepimpinan Adat Melayu Serumpun (Abdul Latiff Abu Bakar 2004),

iii) Buku Pantun dan Ungkapan Indah Perkahwinan Melayu (Abdul Latiff Abu

Bakar & Rosli Salehuddin 2004), dan

iv) Buku Busana Melayu Serumpun (Abdul Latiff Bakar & Nefi Imran 2004).

Buku-buku yang telah diterbitkan ini menjadi rujukan kepada pelbagai pihak terutama

para pengkaji seni budaya dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi. Buku-buku, kaset

serta DVD terbitan ISMMA bukan sahaja memainkan peranan penting mengembangkan

ilmu seni budaya serumpun dan mempertingkatkan lagi penghayatan jati diri masyarakat

terhadap seni budaya Melayu Serumpun.

Selain daripada penerbitan buku, ISMMA juga pernah menerbitkan dua album

rakaman audio iaitu rakam kaset muzik dan puisi-puisi tradisional Melaka. ISMMA juga

telah menerbitkan kesenian tradisional negeri Melaka dalam bentuk dokumentasi audio

visual iaitu DVD Mari Belajar Nazam, Rebana Keras, Marhaban/Berzanji/Qasidah dan

Silat Bunga.

Proses pendokumentasian seni budaya Melayu Serumpun melalui penerbitan buku

dan kaset telah melengkapkan misi pembinaan jati diri Melayu Serumpun melalui

kegiatan-kegiatan ISMMA bermula dengan latihan seni budaya, bengkel seni budaya,

persembahan seni budaya seterusnya seminar keilmuan Melayu Serumpun.

3.0 Pesta Gendang $usantara

Pesta Gendang Nusantara (PGN)4 merupakan sebuah program seni budaya

Melayu Serumpun bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan para seniman daripada

Malaysia, Indonesia dan Singapura di dalam satu acara persembahan menggunakan alat

muzik rumpun Melayu gendang sebagai elemen persembahan dengan tema ‘Serentak

Sebudaya, Senada Seirama’. Program ini diadakan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak tahun 1995 dan menjadi acara

tahunan sehingga tahun 2007. Diadakan pada 14 April setiap tahun, PGN menjadi acara

kemuncak sempena sambutan pengiystiharan Melaka Bandaraya Bersejarah.

4 Berdasarkan pemerhatian yang dibuat penulis ke atas Pesta Gendang Nusantara (PGN) tahun

1995 – 2007.

Page 7: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

7

Kumpulan-kumpulan yang menyertai PGN datang dari negeri-negeri di seluruh

Malaysia seperti Melaka, Wilayah Persekutuan KL, Selangor, Negeri Sembilan,

Terengganu, Perlis, Kelantan, Pahang, Perak dan Sarawak. Manakala kumpulan-

kumpulan daripada Indonesia datang daripada provinsi-provinsi seperti Aceh, Sumatera

Barat, Riau, Bangka-Belitung, Sumatera Selatan , Kalimantan Barat dan Sumatera Barat.

Selain itu turut diundang ialah kumpulan daripada negara Singapura.Turut dijemput

untuk menyertai PGN ialah kumpulan daripada negara Thailand dan Filipina.

Terdapat pelbagai program yang diadakan sempena temasya PGN dan semua

delegasi yang terlibat menyertai program-program yang dijalankan sepanjang PGN

berlangsung selama lebih kurang 1 minggu. Antara aktiviti yang disusun penganjur ialah

1) Perkampungan Seniman, 2) Persembahan Perdana, 3) Persembahan Kumpulan, dan 4)

Bengkel dan Seminar anjuran ISMMA.

3.1 Perkampungan Seniman PG$

Para peserta yang menyertai PGN diundang seminggu lebih awal bagi menyertai

Perkampungan Seniman. Di dalam perkampungan seniman para peserta akan berkumpul

bersama-sama dan menyertai pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh penganjur. Antara

aktiviti yang dijalankan di Perkampungan Seniman PGN ialah pertemuan seniman

serumpun serta seminar PGN, latihan bersama untuk Persembahan Perdana PGN dan

latihan kumpulan.

Pada tahun 1995 and tahun 1997, Perkampungan PGN yang diadakan di

Kompleks Muara Sungai Duyong telah mengadakan Seminar PGN. Seminar ini

berperanan mengumpulkan ahli-ahli seni budaya Melayu Serumpun yang terdiri daripada

tokoh-tokoh, ahli-ahli akademik dan para seniman seni budaya rumpun Melayu dari

Malaysia, Indonesia dan Singapura. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang seminar

berlangsung ialah diskusi dan pembentangan kertas kerja.

Topik-topik yang dibincangkan di dalam seminar PGN meliputi aspek sosio-

budaya dan seni persembahan rumpun Melayu seperti muzik, tarian dan puisi tradisional.

Antara tajuk-tajuk pembentangan kertas kerja seminar PGN 1995 ialah:

i. Hikayat Prang Sabi Gendrang Prang Nusantara,

ii. Rentak dan Pukulan Gendang Sebagai Muzik Pengiring Lakon dan

Pengantar Agenda Dalam Teater Tradisional Rumpun Melayu di Riau,

iii. Seni Gendang – Ke mana arahnya?,

iv. Peralihan Rentak Gendang,

v. Jenis dan Irama Gendang Melayu Riau,

vi. Muzik Gendang di Minangkabau,

vii. Transformasi Sosio-Budaya dan Kaitannya Dalam Menghasilkan Rentak,

Pelbagai – Tipe Gendang Melayu Pesisir Timur Sumatera Utara, dan

viii. Ensambel Muzik Gendang di Minangkabau.

Page 8: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

8

Di dalam PGN 1997 pula terdapat empat kertas kerja yang dibentangkan iaitu:

i. Penggunaan Pantun, Tari dan Seni Muzik Sebagai Sistem Komunikasi ada

Konteks Upacara Perkahwinan Dalam Kebudayaan Melayu Sumatera

Timur,

ii. Dari Mak Inang, Ronggeng, Chalti sampai ke Dangdut,

iii. Seni Pertunjukan Sebagai Ekspresi Komunikasi pada Kebudayaan

Masyarakat Nusantara, dan

iv. Pengembangan Muzik Tradisional Minangkabau Sebagai Kreativiti

Muzik.

(Abdul Latiff Abu Bakar. 2000)

Para pembentang kertas kerja seminar PGN terdiri daripada ilmuan seni budaya

rumpun Melayu yang pakar dengan bidang masing-masing. Antara pembentang-

pembentang kertas kerja seminar PGN ialah 1) Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar,

Universiti Malaya (UM), Malaysia, 2) Ahmad Usop dari Majlis Kebudayaan Negeri

Melaka, 3) Muhammad Takari & Fadlin Djaafar dari Universiti Sumatera Utara (USU),

Medan, Indonesia, 4) B.M. Syamsuddin dari Pekan Baru, Riau, 5) Elizar & Hanefi dari

Akademi Seni Kerawitan Indonesia (ASKI) Padang Panjang5, 6) Ahmad Azmi dari

Singapura

Pembentangan kertas kerja seminar PGN tidak hanya disampaikan secara teori

sahaja malah turut disertakan dengan contoh-contoh praktikal melalui persembahan

secara langsung oleh para penceramah. Persembahan ini dibantu peserta-peserta PGN

yang mewakili kumpulan-kumpulan persembahan dari negeri dan provinsi masing-

masing. Selepas mengadakan persembahan, pembentangan kertas kerja akan diakhiri

dengan sesi soal jawab dan peserta seminar akan menanyakan soalan, bertukar-tukar buah

fikiran dan berbincang mengenai sebagai isu yang berkaitan dengan seni budaya Melayu

serumpun.

Selain daripada seminar PGN, aktiviti Perkampungan Seniman PGN turut diisi

dengan sesi latihan bersama kumpulan-kumpulan kesenian. Latihan bersama ini dibuat

sebagai persediaan untuk menghadapi acara kemuncak temasya PGN iaitu Persembahan

Perdana. Saudara Bob Khalil dari Pusat Kebudayaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

(DBKL) diberi tanggungjawab untuk melatih dan memimpin latihan Persembahan

Perdana PGN yang dijalankan di Perkampungan Seniman. Latihan ini diadakan pada

setiap malam sepanjang temasya PGN berlangsung. Latihan penuh akan diadakan pada

malam terakhir sesi latihan bertempat dilokasi Persembahan Perdana PGN.

Latihan kumpulan yang diadakan di Perkampungan Seniman PGN dibuat bagi

memastikan setiap kumpulan yang menyertai temasya ini bersedia untuk membuat

persembahan kumpulan yang diadakan disekitar Bandar Melaka. Latihan ini dikendalikan

oleh sesama kumpulan dan dipantau oleh jawatankuasa penganjur. Selain itu latihan

5 Nama Akademi Seni dan Kerawitan Indonesia (ASKI) Padang Panjang kini telah ditukar kepada Sekolah

Tinggi Seni Indonesia (STSI) Padang Panjang.

Page 9: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

9

kumpulan juga digunakan untuk setiap kumpulan memantapkan persembahan yang bakal

dipersembahkan pada malam Persembahan Perdana PGN

3.2 Persembahan Perdana PG$

Malam Persembahan Perdana merupakan acara kemuncak PGN dan juga merupakan

acara kemuncak kepada sambutan Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah.

Persembahan diadakan di lokasi strategik dan bersejarah di negeri Melaka seperti Kota

A.Famosa (1995), Light and Sound Kota Melaka (1997), Dataran Sejarah Air Keroh

(2000–2005), Melaka International Trade Centre (MITC)(2006) dan Dataran Bandaraya

MBMB (2007).

Persembahan Perdana PGN menjadi acara rasmi Kerajaan Negeri yang dihadiri

pemimpin-pemimpin Melayu Serumpun seperti Tuan Yang Terutama Negeri Melaka,

Gabenor Provinsi-Provinsi daripada Indonesia, Ketua Menteri Melaka dan wakil-wakil

kerajaan daripada luar negara. Turut hadir menonton persembahan ini ialah orang ramai

yang terdiri daripada rakyat negeri Melaka, pelancong tempatan dan pelancong asing

yang pernah mencecah sehingga 20,000 orang pada satu malam persembahan.

Aturcara Persembahan Perdana PGN dipengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Abdul

Latiff dan dipimpin oleh Bob Khalil (DBKL) dan dibantu oleh ahli-ahli professional di

dalam bidang seni persembahan rumpun Melayu seperti Drs. Andanova (STSI Padang

Panjang), Muhammad Takari (USU Medan) dan Fadlin Djaafar (USU Medan). Semua

peserta akan berhimpun di atas pentas persembahan dan disusun mengikut kumpulan.

Persembahan Perdana PGN disusun secara berstruktur dan didahului dengan

penyampaian puisi (deklamasi sajak) dengan iringan paluan gendang gabungan

kumpulan-kumpulan yang menyertai temasya. Seterusnya ensambel gendang gabungan

(gabungan kumpulan-kumpulan peserta PGN) akan bersama-sama memainkan overture

persembahan yang terdiri daripada lagu-lagu tradisional Melayu Serumpun seperti lagu

Dondang Sayang dan Lancang Kuning. Overture ini turut diisi dengan persembahan

tarian oleh penari-penari PGN daripada kumpulan-kumpulan peserta.

Persembahan overture PGN akan disambung dengan persembahan solo

kumpulan-kumpulan secara satu persatu. Setiap kumpulan akan mempersembahkan

elemen muzik, tarian dan puisi tradisional rumpun Melayu selama lima minit. Setiap

kumpulan akan mempersembahkan kesenian yang bercirikan kebudayaan tempat

kumpulan tersebut samaada elemen-elemen yang dipersembahkan kepada penonton

adalah elemen tradisi mahupun karya kreatif (yang diilhamkan daripada unsur-unsur

tradisional).

Di akhir persembahan, kesemua kumpulan akan digabungkan semula membentuk

ensambel gendang serumpun dan ensambel ini akan memainkan lagu-lagu Melayu

serumpun yang berentak cepat seperti zapin (Zapin Ya Salam) dan joget (Joget Bercerai

Kasih). Persembahan ini bukan sahaja diiringi oleh semua pemuzik malah semua penari-

penari PGN.

Page 10: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

10

Finale persembahan ialah persembahan lagu Joget Serampang Laut yang

dimainkan secara beramai-ramai. Pantun lagu yang disampaikan oleh para penyanyi

daripada yang mewakili delegasi-delegasi yang dipilih samaada daripada tuan rumah

(Melaka) mahupun tetamu daripada Indonesia.

Trancang akan dimainkan secara crescendo di akhir lagu Joget Serampang Laut

akan menutup tirai persembahan. Melodi trancang yang semakin lama semakin laju akan

meningkatkan nilai espresif dan kemeriahan persembahan yang diiringi dengan muzik

gendang dan tarian. Selepas melodi trancang berakhir peserta PGN beramai-ramai akan

melaungkan tema PGN iaitu ‘Serentak Sebudaya Senada Seirama’.

3.3 Persembahan Kumpulan PG$

Setiap kumpulan-kumpulan peserta PGN akan mengadakan persembahan kumpulan di

beberapa lokasi di sekitar Bandar Melaka sepanjang temasya PGN berlangsung.Lokasi

persembahan kumpulan PGN ialah pusat tumpuan orang ramai dan tumpuan pelancong

seperti 1) tempat-tempat bersejarah iaitu Kota Melaka dan Istana Melaka, 2) pusat-pusat

membeli-belah iaitu Mahkota Parade, Jaya Jusco dan Kota Mas, dan 3) tempat-tempat

rekreasi orang ramai iaitu Pantai Puteri dan Taman Mini Malaysia.

Persembahan kumpulan PGN dikenali sebagai pocket show dipersembahkan pada

waktu pagi bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 5.00 petang dan setiap kumpulan

membuat persembahan mengikut jadual yang disediakan oleh pihak penganjur.Setiap

kumpulan akan membuat persembahan kumpulan selama 1 jam di atas pentas yang

disediakan oleh penganjur sambil disaksikan oleh orang ramai yang terdiri daripada

rakyat negeri Melaka, pelancong tempatan dan pelancong luar negara.

Elemen yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan ialah kesenian tradisional

seperti muzik, tarian dan puisi tradisi yang dibawa daripada tempat asal kumpulan-

kumpulan tersebut. Sebagai contoh, delegasi daripada Aceh mempersembahkan tarian

Rapae Geleng, Seudati dan Dabus yang berasal daripada daerah-daerah Nangroe Aceh

Dar-al Islam. Delegasi daripada Padang (Sumatera Barat) mempersembahkan tari piring,

muzik taklempong dan randai. Delegasi daripada Johor (Malaysia) pula

mempersembahkan tarian zapin tegelu, zapin pekajang dan muzik ghazal.

4.0 Proses Pembinaan Jatidiri Melalui Kegiatan Seni Budaya

Erik Erikson merupakan salah seorang daripada ahli psikologi Barat terawal yang

berminat mengkaji identiti manusia. Kerangka Eriksonian yang dikenali sebagai ego

identity membahagikan identiti kepada dua iaitu 1) identiti personal: idiosinkresis

personal yang memisahkan individu daripada yang lain dan, 2) identiti budaya atau

identiti sosial: peranan-peranan sosial yang dimainkan oleh seseorang. Pembinaan identiti

budaya yang kuat berlaku apabila ego identity berinteraksi dengan masyarakat dan

Page 11: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

11

budaya yang kukuh. Kesan daripada penolakkan identiti budaya akan membawa kepada

krisis dan kekeliruan identiti. (Cote 2002:17)

Malaysia dan Indonesia merupakan dua buah negara yang memiliki rumpun

budaya yang sama iaitu kebudayaan Melayu. Melalui kegiatan seni budaya bersama,

rakyat kedua-dua negara yang dipisah oleh sempadan politik dapat disatukan melalui

medium-medium penyatuan seperti muzik, tarian dan puisi tradisional Melayu.

Penyatuan rakyat kedua-dua negara melalui kegiatan-kegiatan ini khususnya dikalangan

generasi muda menggalakkan pembinaan identiti budaya yang dikenali sebagai jati diri

Melayu serumpun.

Kegiatan seni budaya Institut Seni Malaysia Melaka dan temasya Pesta Gendang

Nusantara merupakan contoh kegiatan seni budaya yang dapat membina jati diri yang

mampu memperkukuhkan hubungan Melayu serumpun terutama Malaysia-Indonesia.

Berdasarkan kedua-dua kegiatan ini, maka langkah-langkah pengukuhan jati diri Melayu

serumpun dapat dikenalpasti seperti berikut:

i) Menggalakkan pertemuan intelektual seni budaya Melayu serumpun

Para intelektual seni budaya Melayu serumpun yang terdiri daripada tokoh-tokoh budaya,

ahli-ahli akademik dan professional dalam bidang kebudayaan harus dipertemukan dan

berdikusi menerusi majlis-majlis ilmu seperti seminar, persidangan dan konvensyen seni

budaya.

Seminar PGN, Perkampungan Seniman PGN,Seminar Songket dan Seminar

Sosio-Budaya DMDI merupakan contoh-contoh kegiatan seni budaya yang berbentuk

keilmuan. Melalui kegiatan-kegiatan ini juga ahli-ahli seni budaya Melayu serumpun

berpeluang bertukar-tukar dan berkongsi pengetahuan. Peningkatan pengetahuan

terhadap seni budaya ini mampu mengukuhkan lagi kesedaran individu dalam usaha

mengenal identiti budaya sendiri.

ii) Mengadakan kegiatan kesenian, persembahan dan latihan seni budaya

bersama

Aktiviti-aktiviti seperti persembahan bersama dan latihan bersama melalui kegiatan

kesenian boleh mengeratkan hubungan sesama ahli serumpun. Persembahan Perdana

Pesta Gendang Nusantara (PGN) dan Konsert ISMMA merupakan contoh aktiviti

bersama Malaysia-Indonesia menerusi bidang kesenian yang menggunakan muzik, tarian

dan puisi tradisional Melayu sebagai media tradisional dan seni yang menjadi warisan

Melayu serumpun.

Rakyat Malaysia dan Indonesia juga boleh disatukan menerusi program-program

berbentuk pendidikan seni budaya seperti latihan seni budaya ISMMA, bengkel-bengkel

Page 12: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

12

seni budaya ISMMA dan latihan persembahan Persembahan Perdana PGN. Melalui

kegiatan-kegiatan ini rakyat kedua-dua negara khususnya generasi muda dapat mengenali

identiti budaya bersama yang dikenali sebagai jati diri Melayu serumpun.

ii) Mendokumentasian unsur-unsur seni budaya Melayu serumpun

Aktiviti mendokumentasi seni budaya Melayu serumpun boleh membantu individu

memahami dan menghayati identiti-identiti yang ada pada kebudayaan Melayu. Proses

pendokumentasian ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk sebagai sama ada buku, jurnal-

jurnal ilmiah atau pun rakaman audio-visual.

Selain daripada boleh membantu proses pembinaan jatidiri Melayu serumpun,

proses pendokumentasian turut bertujuan untuk memelihara dan memulihara seni budaya

yang semakin terancam dengan pengaruh budaya negatif Barat yang tidak bersesuaian

dengan norma-norma kehidupan masyarakat Melayu dan bercanggah dengan ajaran

agama Islam dan budaya Melayu.

5.0 Penutup

Antara ancaman kepada kesinambungan identiti budaya Melayu serumpun ialah proses

globalisasi. Dato’ Seri Najib Tun Razak (2005) menerusi idea Melayu Glokal6 telah

menggariskan beberapa cadangan sebagai persedian orang Melayu untuk menghadapi

cabaran globalisasi dan antaranya ialah memperkuatkan jati diri Melayu Glokal melalui

transformasi budaya.

Proses pembinaan jatidiri Melayu serumpun kini memerlukan formula baru yang

lebih dinamik agar perubahan budaya yang berlaku bersifat tempatan (lokal) dan mampu

bersaing diperingkat global. Kegiatan seni budaya Melayu serumpun seperti kegiatan-

kegiatan ISMMA dan temasya Pesta Gendang Nusantara (PGN) dapat disimpulkan

bahawa kegiatan seni budaya Melayu serumpun memerlukan pembaharuan sebagai

persedian mengharungi arus globalisasi.

Kerjasama pelbagai pihak daripada kedua-dua negara Malaysia-Indonesia

terutama pihak kerajaan kedua-dua negara, NGO-NGO dan Institusi Pengajian Tinggi

amat diperlukan dalam usaha mengukuhkan jati diri Melayu serumpun yang menjadi

milik kedua-dua negara. Melalui kegiatan seni budaya, pembinaan jatidiri Melayu

serumpun dapat direalisasikan melalui tiga formula iaitu 1) pertemuan intelektual seni

budaya, 2) aktiviti kesenian bersama melalui persembahan dan latihan seni budaya, dan

3) mendokumentasi seni budaya.

6 Glokal: Ia adalah gabungan antara dua perkataan iaitu global dan lokal. Global bermaksud, antarabangsa,

internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, Melayu Glokal ialah Melayu

yang berakar nasional dan berakal internasional.

Page 13: Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun

13

Semoga gagasan Glokal yang disarankan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak

dapat direalisasikan dalam kegiatan seni budaya Melayu serumpun bagi memantapkan

lagi jatidiri Melayu Malaysia dan Indonesia. Negeri Melaka di bawah kepimpinan Y.A.B.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka telah berjaya melaksanakan usaha

murni ini dengan mengadakan program Pesta Gendang Nusantara (PGN) dan

mewujudkan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) sebagai medan memartabatkan

seni budaya dan memperkasakan warisan tamadun Melayu yang bersifat GLOKAL.

Rujukan

Abdul Latiff Abu Bakar, 2000. Media dan Seni Warisan Melayu Serumpun Dalam

Gendang usantara. Media dan Seni Warisan Melayu Serumpun dalam Gendang

Nusantara. Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya & maslis Perbandaran

Melaka Bandaraya Bersejarah.

Alan P. Merriam, 1964. The Anthropology of Music. Northwestern University Press,

United States of America.

Cote, James E. and Charles Levine (2002). Identity Formation, Agency, and Culture.

New Jersey: Lawrence Erlbaum Associates.

Kamus Dewan , Edisi Ketiga, 1994. Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur.

Muhammad Takari. 2005. ‘Studi Banding antara Tangga ada Pentatonik dan Diatonik’ dalam

Jurnal Etnomusikologi, Department Etnomusikologi Universiti Sumatera Utara, Medan,

Indonesia.

Mohd Najib Tun Abd Razak. 2005. Ucapan Perasmian Serentak Persidangan

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UM O 2005, Pusat Dagangan Dunia

Putra (PWTC), Kuala Lumpur

UNESCO. 2002. Universal Declaration on Cultural Diversity.

www.unesco.org/education/imld_2002/unversal_decla.shtml