nota tambahan mpu-3123 titas

Upload: yen-lee

Post on 06-Jan-2016

155 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

nota tambahan MPU

TRANSCRIPT

Teori-Teori Kedatangan Islam

NOTA TAMBAHAN MPU-3123 TAMADUN ISLAM DAN ASIA

BAB 3: Tamadun Melayu

Teori-Teori Kedatangan Islam ke Alam MelayuTerdapat tiga teori mengenai kedatangan Islam ke Alam Melayu. Namun begitu, terdapat satu persamaan dalam ketiga-tiga teori tersebut itu iaitu agama Islam berkembang melalui perdagangan.

Teori pertama mengatakan Islam dibawa dari India melalui Cambay (wilayah Gujerat dan Koromandel) pada abad ke-13. Pengasas teori ini ialah Snouck Hurgronje, seorang sarjana Belanda. Bukti yang dikemukakannya ialah wujudnya hubungan perdagangan di antara India dengan Alam Melayu. Pedagang Gujerat (Tamil Islam) berniaga sambil menyebarkan Islam. Batu nisan dan batu bersurat di Alam Melayu sama dengan sejenis batu yang terdapat di Gujerat dan Koromandel.

Teori kedua menyatakan bahawa Agama Islam datang dari negara China menerusi Canton (Khan Fu) dan Hainan (Abad ke-9 Masihi). Pengasas teori ini ialah Emanuel Gadinho de Eredia, seorang sarjana Sepanyol. Beliau mengemukakan bukti bahawa pedagang Islam dari keturunan Arab dan Parsi berdagang di Canton. Hubungan perdagangan antara pedagang Islam dan China dengan pedagang Arab sudah lama wujud. Islam sudah lama berkembang di kawasan pantai negara China. Penemuan Batu Bersurat di Terengganu, telah menguatkan lagi teori ini.

Teori ketiga pula mengatakan bahawa Agama Islam datang secara langsung dari Tanah Arab pada abad ke-7 Masihi. Pengasas teori ini ialah John Crawford. Bukti yang dikemukakannya ialah pedagang Arab sudah lama berdagang di Alam Melayu iaitu sejak Zaman Jahiliyah hingga ke Zaman Islam serta terdapatnya beberapa buah perkampungan orang Islam di Timur dan Barat Sumatera.

Pandangan Semesta Melayu (PSM)Pandangan Semesta Melayu atau Pandangan Dunia Melayu (Malay World View) boleh dilihat daripada pelbagai aspek:

a) Pandangan terhadap alam nyata - iaitu tentang alam luas yang meliputi pandangan dan cerapan (persepsi) manusia terhadap setiap objek alam seperti laut, sungai, hutan, gunung, langit dan bumi.

b) Pandangan terhadap alam ghaib - khususnya mengenai makhluk ghaib, pandangan tentang alam selepas mati, tentang konsepsi kuasa atau tenaga yang terdapat di alam seperti semangat, nyawa dan roh.

c) Pandangan terhadap sesama manusia - terhadap orang lain di dalam rangka hubungan kita-mereka (we-they).

Ketiga-tiga aspek di atas berpusat kepada manusia (man-centered), iaitu bagaimana manusia mengkonsepsikan kehidupan mereka, dalam rangka interaksi manusia dengan alam, sama ada nyata atau ghaib dan sesama manusia.

Namun begitu, pandangan semesta tersebut dapat dikesan melalui pelbagai ritual atau upacara di dalam kehidupan orang Melayu seperti upacara keagamaan, yang menyatakan interaksi manusia dengan kuasa ghaib. Pandangan semesta juga dapat dikesan dari pelbagai lambang di dalam sistem perlambangan mereka. Misalnya lambang bulan-bintang adalah lambang yang diwujudkan oleh manusia yang menyatakan hubungan manusia dengan agama Islam mereka. Pandangan semesta juga dapat dikesan daripada pelbagai cerita penglipur lara atau cerita asal-usul (mythology) orang Melayu. Di dalam cerita penglipur lara ada dinyatakan tentang makhluk di alam kayangan. Falsafah sosial orang Melayu seperti yang tergambar di dalam pantun, pepatah, perbilangan atau pelbagai ungkapan sosial mereka (social metaphores) yang menggambarkan cerapan mereka terhadap sesama manusia dan alam. Secara vertikal atau menegak, dikesani bahawa pandangan semesta itu mengarah kepada Tuhan dan secara horizontal atau mendatar, pandangan semesta itu mengarah kepada sesama manusia dan alam luas. Sesuai dengan pengaruh Islam di kalangan orang Melayu, Tuhan (Allah) adalah Maha Berkuasa dan dianggap sebagai penuh kekudusan atau kesucian (sacred). Alam pula dianggap sebagai anugerah Tuhan kepada manusia dan manusia sebagai khalifatulah fiI-ardhi atau wakil Tuhan di muka bumi (AI-Quran, 2:30) dituntut bertanggungjawab memakmurkan bumi. Interaksi orang Melayu dengan Tuhan boleh berlaku secara individual atau kolektif. Interaksi ini adalah interaksi yang abadi lagi sejati, suci atau kudus dan memerlukan keseluruhan kepasrahan kepada Tuhan yang berasaskan ketauhidan bahawa tiada Tuhan lain yang disembah melainkan Allah.

Apabila orang Melayu berinteraksi dengan alam, khususnya alam nyata, ini mewujudkan satu hubungan yang cukup akrab. Dari alam, manusia memperoleh pelbagai petunjuk, pengalaman (peng+alam+an) dan ilmu pengetahuan. Konsepsi alam berkembang menjadi guru sudah rnerupakan satu pandangan semesta orang Melayu.

Alam memiliki sifat semulajadinya atau kefitrahannya. Sifat semulajadi ini memberikan iktibar dan panduan kepada orang Melayu iaitu alam memiliki hukumnya sendiri. Lantaran itu sifat kefitrahan dan hukum yang tersendiri ini disebut oleh orang Melayu Minangkabau di Sumatera Barat, di Negeri Sembilan dan Naning, Melaka sebagai adat yang sebenar adat, iaitu adat atau hukum alam (nature's law). Orang Melayu juga menyedari hakikat bahawa ada manusia lain yang wujud di samping mereka. Mereka memberikan persepsi mereka kepada manusia lain. Dalam interaksi tersebut berlaku proses cerapan dan penilaian. Secara sosial, orang Melayu melihat manusia itu berasal-usul iaitu ada sumber kejadian, berketurunan atau berbangsa. Maka orang yang berketurunan baik-baik diutamakan. Di dalam hal ini ada konsepsi hirarki sosial di dalam PSM terhadap manusia seperti kata perbilangan:

adat durian berpangsa-pangsa, adat sawah berpetak-petakOrang Melayu juga melihat manusia itu setaraf dan egalitarian tetapi yang dinilaikan ialah akhlak, moral, etika dan budi seseorang itu. Di dalam konteks ini persoalan keturunan tidak timbul tetapi yang diutamakan ialah budi bahasa, budi pekerti walaupun hirarki sosialnya rendah, seperti kata pantun Melayu,

Bunga melati bunga di darat,

Bunga seroja di tepi kali.

Hina besi kerana karat,

Hina manusia kerana tak berbudi.

Apabila orang Melayu berinteraksi dengan orang asing, mereka mengharapkan orang asing akan berusaha untuk menyesuaikan diri mereka dengan orang Melayu. Hukum alam yang berasaskan kenisbian khususnya kenisbian sosial dan budaya (social and cultural relativity) boleh berlaku kerana orang Melayu tahu dan sedar bahawa,

Masuk kandang kambing mengembek,

Masuk kandang kerbau menguak.

Apabila orang asing sudah dapat menyesuaikan diri, mereka hendaklah menerima hakikat, bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung yang menuntut ketaatsetiaan kepada wilayah baru mereka.

Sebelum Islam, orang Melayu melihat segala benda dalam alam ini mempunyai roh (selain manusia itu sendiri). Misalnya pokok, batu, sungai, laut, bukit, padi, binatang dll. (pandangan animisme). Roh-roh itu boleh mempengaruhi secara baik atau jahat terhadap manusia (pandangan dinamisme). Selain itu, roh nenek moyang yang telah mati atau 'poyang' atau 'Hyang' boleh juga memberi kesan ke atas kehidupan mereka. Oleh sebab itu, roh-roh itu perlu ditenteram atau dipuja bagi memanfaatkan mereka. Maka timbullah ritual penyajian, pemujaan dan penyembahan.

Namun begitu, ada juga konsep Sang Hyang Tunggal iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang berkuasa di atas segala-galanya dan timbullah upacara Sembah-Hyang. Kedatangan agama Hindu-Buddha menjadikan upacara agama lebih rapi dan formal, namun kesan pengaruhnya kepada masyarakat hanya pada golongan atasan sahaja iaitu golongan pembesar dan tidak menyerap ke segenap lapisan masyarakat yang masih tetap meneruskan dengan pandangan dan pegangan yang lama. Selain itu, pengaruh agama Hindu-Buddha tidak melibatkan keseluruhan doktrin yang terdapat dalam falsafahnya yang asli dan yang dipentingkan hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan selok-belok ritual dan ajaran yang mengagungkan dewa-dewa supaya dapat dikaitkan dengan kedudukan dan status raja sebagai penjelmaan dewa-dewa itu seperti terungkap dalam konsep dewa-raja.Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah memantapkan keseluruhan PSM. Islam memberi jawapan terhadap kejadian alam sebagai dalil kemahakuasaan Tuhan. Pandangan semesta tersebut bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan tentang kejadian alam, tetapi juga mempertingkatkan ketauhidan manusia kepada Tuhan. Selain itu, Islam turut juga memantapkan pandangan semesta terhadap sesama manusia. Selepas kedatangan Islam, Pandangan Semesta Melayu bukan sahaja berpusat kepada manusia (man-centered) tetapi juga terfokus dan terarah kepada Tuhan (God-centered).

Oleh itu, orang Melayu menyedari dan menyakini bahawa Allah S.W.T Maha berkuasa, Maha mengasihani dan alam ini adalah anugerah serta rahmat Tuhan kepada manusia. Islam memantapkan Pandangan Semesta Melayu kerana alam ini memiliki kefitrahannya atau Sunnatullah, bahawa hubungan ketauhidan dan interaksi manusia dengan Tuhan secara vertikal adalah hablumminallah dan interaksi sesama-sama manusia secara horizontal adalah hablumminannas. Setiap aspek pandangan itu tidak terlepas dari satu teras permasalahan pokok bahawa hidup di alam ini semata-mata kerana Allah jua, iaitu Lillah.

BAB 4: Tamadun India

Masyarakat dan Budaya

Pembangunan Ekonomi India

Persatuan-persatuan perdagangan dan perindustrian memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi .Terdapat bukti yang menunjukkan organisasi perdagangan telah wujud pada Zaman Vedik. Menjelang zaman Buddha, persatuan -persatuan pedagang terdapat di semua bandar utama di India. Persatuan-persatuan ini meliputi semua jenis perdagangan dan perindustrian seperti persatuan tukang-tukang kayu, tukang-tukang pelbagai jenis logam, tukang bagangan kulit dan tukang cat. Setiap persatuan pedagang mempunyai seorang ketua. Persatuan-persatuan mempunyai mahkamah untuk membicarakan kes-kes yang membabitkan anggotanya. Mahkamah ini juga mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah-masalah sosial di kalangan anggota-anggotanya.

Persatuan-persatuan pedagang juga mempunyai dana yang banyak dan memberi derma untuk tujuan keagamaan. Persatuan-persatuan berperanan sebagai bank, menerima deposit dan memberi pinjaman kepada pedagang dan orang-orang lain. Satu lagi perkembangan penting ialah penggunaan mata wang. Kemungkinan besar orang-orang India mempelajari penggunaan mata wang daripada orang Parsi. Mata wang yang paling awal diperbuat daripada perak atau gangsa dan mempunyai bentuk yang tidak sekata. Mata wang berkenaan mempunyai lambang-lambang diraja dan tanda-tanda kawalan pegawai dan pedagang tempatan.Mata wang yang diperbuat daripada emas dan plumbum juga digunakan. Kulit kowri digunakan sebagai mata wang oleh golongan miskin.Di samping persatuan-persatuan pedagang, raja juga bertindak memberi pinjaman kepada para petani dengan tujuan menggalakkan kegiatan pertanian dan pengairan. Selain itu, kuil-kuil yang besar juga turut terlibat dalam memberi pinjaman wang. Terdapat peminjam-peminjam profesional seperti ceti yang terdiri daripada pedagang yang kaya raya. Salah satu sumber ekonomi utama kerajaan pada Zaman Maurya adalah cukai. Terdapat pelbagai jenis cukai yang dikenakan ke atas rakyat. Cukai yang paling utama adalah levi yang dikenakan kepada para petani. Mereka dikehendaki menyerahkan satu perenam daripada hasil pertanian kepada raja.

Dasar Pendidikan India

Pendidikan di India bermula dengan kemunculan Tamadun Indus sekitar 2500 S.M. Penduduk Indus menggunakan sistem tulisan piktograf. Kewujudan sistem tulisan menandakan muncul satu sistem pendidikan dalam kalangan masyarakat Indus. Sementara itu dengan kemunculan Brahmanisme di kalangan penganut Hindu matlamat pendidikan adalah menyediakan manusia bagi menghadapi kehidupan selepas mati. Dengan demikian pendidikan menjadi saluran untuk mendidik pelajar tentang hukum agama dan seterusnya mengajar mereka mempraktikkan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian. Pendidikan yang diberikan melahirkan insan yang alim dan salih. Pendidikan ini juga merupakan alat untuk mencapai kesempumaan dalam ilmu keagamaan. Pelajar-pelajar daripada kasta atasan iaitu brahmin, khastriya dan vaisya dikehendaki mendalami pengetahuan tentang kitab-kitab suci Veda. Kasta Brahmin yang terdiri daripada paderi-paderi mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang agama.

Sementara itu kasta Khastriya diberikan ilmu ketenteraan. Golongan Khastriya menjadi askar yang bertanggungjawab melindungi dan menyelamatkan negara. Kasta vaisya diberikan pengetahuan tentang pertanian dan perdagangan. Golongan ini amat penting dan dihormati kerana menjamin bekalan makanan kepada semua manusia. Dalam pada itu, kasta sudra tidak dibenarkan untuk mendapatkan pendidikan. Jika seseorang memberi pendidikan kepada golongan sudra maka ia akan menjadi satu kesalahan. Golongan sudra dijadikan sebagai pekerja-pekerja bawahan dan mereka menjadi orang suruhan kepada kelas-kelas atasan.Dalam masyarakat India klasik, semua kasta kecuali sudra dibenarkan mempelajari kemahiran menulis, membaca dan mengira. Di samping itu mereka juga mempelajari adat dan hukum agama yang dipraktikkan oleh setiap kasta. Pengetahuan tentang adat, tradisi dan budaya kasta diperolehi menerusi institusi keluarga. Sekolah-sekolah rendah juga merupakan institusi-institusi yang penting dalam memberikan kemahiran-kemahiran asas dalam bidang pendidikan. Sekolah-sekolah ini terdapat di setiap kampung dan dijalankan di bawah pokok. Pelajar-pelajar didedahkan dengan cerita rakyat dan cerita-cerita yang mengandungi unsur didaktik. Antara koleksi cerita yang terkenal adalah Pancha-tantra.Pendidikan tinggi bermula sejak tahun 1000 S.M. Pendidikan ini dikendalikan oleh kolej-kolej Brahman yang dikenali sebagai Panishad. Sebelum kolej-kolej Brahman ditubuhkan, khususnya pada zaman Vedik, rumah-rumah guru dan istana diraja memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama. Pada zaman Pertengahan, matlamat utama pendidikan adalah menambahkan ilmu pengetahuan dan mengatasi masalah buta huruf. Namun begitu sebilangan besar masyarakat pada zaman ini menganggap pendidikan sebagai persediaan untuk mendapat jawatan dalam pentadbiran negara. Dengan itu, pendidikan merupakan sumber mencari pendapatan dan meningkatkan lagi status dan kemewahan seseorang.

Pencapaian dalam Pelbagai Bidang

Sumbangan Tamadun India AstronomiDalam Tamadun India salah satu daripada cabang pengetahuan Vedik adalah astronomi. Pengetahuan astronomi memainkan peranan penting dalam menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk menjalankan upacara pengorbanan kepada dewa-dewi. Pengetahuan tentang astronomi pada zaman Vedik dapat diketahui daripada petikan-petikan dalam teks Vedik. Umpamanya dalam Rig Veda terdapat penerangan tentang lintasan perjalanan tahunan matahari. Berpandukan kepada perjalanan matahari mereka menetapkan jumlah hari setahun kepada 360 hari atau 12 bulan. Matematik India

Dalam Tamadun India, masyarakat memberikan sumbangan yang besar dalam bidang matematik yang mengalami perkembangan yang pesat dan mencapai tahap yang tinggi pada zaman Gupta. Ahli-ahli matematik India berjaya kerana mempunyai konsepsi yang amat jelas tentang perbezaan antara nombor abstrak dengan kuantiti berangka bagi suatu objek atau keluasan ruangan. Perlu ditegaskan bahawa ahli-ahli matematik India telah mengetahui konsep-konsep geometri dan sains tentang ukuran kawasan lebih awal daripada masyarakat Yunani. Dengan menggunakan satu sistem penomboran yang simpel, mereka mengasaskan algebra. Ini membolehkan mereka melakukan pengiraan yang kompleks. Dalam inskripsi-inskripsi India yang awal, tarikh dan nombor ditulis dengan sistem sembilan digit dan sifar. Sistem ini tersebar ke Syria dan Vietnam. Ahli-ahli matematik India juga mencipta sistem perpuluhan. Ini adalah merupakan satu sumbangan yang amat besar kepada perkembangan ilmu matematik dunia. Perubatan IndiaAhli-ahli perubatan India klasik mempunyai pengetahuan tentang saraf tunjang dan sistem saraf. Di samping itu mereka juga mencapai kemajuan dalam bidang pembedahan yang berkembang sejak zaman Gupta. Mereka juga boleh membuat pembedahan mata bagi mengubati penyakit katarak, mengubati patah tulang dan hidung. Mereka juga mahir dalam pembedahan caesarean. Pembedahan plastik telah berkembang pada zaman klasik. Pakar-pakar pembedahan India kuno mahir dalam memperbaiki kecacatan pada bahagian-bahagian badan seperti hidung, telinga dan bibir. Ubat-ubatan yang digunakan dihasilkan daripada produk haiwan, tumbuhan dan bahan-bahan mineral.

BAB 5: Tamadun China

Masyarakat dan Budaya

Pembandaran China

Proses urbanisasi di China bermula pada Zaman Shang. Pada zaman ini kemajuan dan perkembangan dalam bidang ekonomi meletakkan asas bagi kelahiran pusat-pusat bandar. Bandar-bandar ini memainkan peranan sebagai pusat perdagangan dan keagamaan. Kawasan-kawasan petempatan yang utama terletak di lingkungan bulan sabit subur bermula dari barat Loyang menganjurke arah timur melalui tebing selatan Sungai Kuning. Sementara itu di sebelah utara ia menganjur ke arah utara hingga Cheng Chow sebanyak lebih kurang 250 batu.Kajian menunjukkan proses urbanisasi bermula di dataran lanar berhampiran Loyang yang dikelilingi oleh Sungai Kuning di utara dan banjaran Chin Ling di selatan. Kampung-kampung berkembang sebagai pusat-pusat pengeluaran hasil pertanian dan juga pusat pertukaran barang-barang pertanian dengan barang-barang seperti batu, bijih, minyak dan binatang ternakan daripada penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan. Di samping Loyang, Anyang dan Cheng Chow juga pernah menjadi ibu kota Dinasti Shang.

Ciri-ciri Bandar

Umumnya bandar-bandar di China terdiri daripada bandar-bandar terancang dan tidak terancang. Bandar-bandar terancang mempunyai corak yang khusus. Bandar-bandar ini dibina untuk memenuhi kehendak sesuatu dinasti ataupun didirikan untuk berfungsi sebagai pusat kediaman atau pentadbiran kerajaan yang baru. Sementara itu, bandar-bandar tidak terancang muncul secara semula jadi dan berkembang pesat dan maju kerana sumbangan daripada pihak swasta. Bandar-bandar ini berkembang apabila penduduk bertambah ramai. Penduduk dari luar bandar datang untuk bekerja di sektor perindustrian, perdagangan dan komunikasi yang berkembang pesat. .

Organisasi Sosial Masyarakat China

Dari segi sosial, raja menduduki hierarki yang teratas dalam susun lapis masyarakat China. Raja merupakan sumber kekuasaan dan mempunyai supreme authority. Segala arahan dan perintah raja mesti dilaksanakan. Raja juga merupakan ketua pentadbiran. Baginda memerintah dengan bantuan kakitangan awam. Di samping itu, raja juga merupakan ketua dalam bidang keagamaan. Raja diikuti oleh golongan aristokrat. Golongan aristokrat merupakan kelas yang amat berpengaruh. Mereka terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan. Golongan aristokrat dikatakan memonopoli penggunaan gangsa dalam bentuk alat-alat ritual dan senjata. Selain itu mereka juga membina rumah-rumah yang besar berhampiran dengan rumah-rumah ibadat. Rumah-rumah tersebut juga dikelilingi oleh tembok. Sementara itu, golongan kelas bawahan khususnya para petani tinggal dalam rumah-rumah yang dibina di bawah tanah. Berdasarkan kepada jenis pekerjaan, masyarakat China dibahagikan kepada empat peringkat iaitu: sarjana, petani , artisan dan pedagang.Di antara keempat-empat kategori ini, golongan sarjana atau cerdik pandai dianggap amat penting dalam masyarakat China. Mereka boleh memberikan nasihat kepada raja dan masyarakat tentang pentadbiran dan tingkah laku. Dalam konteks ini guru adalah antara lima elemen penting yang dipuja oleh masyarakat selain syurga, bumi, maharaja dan ibu bapa. Golongan yang kedua penting adalah petani. Mereka dianggap sebagai kumpulan yang mulia kerana membekalkan makanan yang merupakan asas kepada kehidupan manusia. Kategori yang ketiga adalah golongan artisan yang terdiri daripada tukang-tukang yang mahir. Golongan yang menduduki tangga yang terbawah sekali adalah pedagang. Mereka dianggap sebagai penipu dan mengaut keuntungan daripada orang ramai.Sementara itu, para pelakon, pelacur dan hamba dianggap sebagai golongan yang paling rendah sekali. Hamba-hamba bekerja sebagai pembantu rumah.

Dasar Pendidikan China

Orang China memang dikenali sebagai suatu bangsa yang menghormati golongan intelektual. Sejak zaman awal lagi kerajaan China bertanggungjawab untuk menyediakan keperluan-keperluan asas untuk pendidikan. Pada zaman Confucius, terdapat sekolah-sekolah di kampung kecil (hamlet), kampung (village) dan negeri-negeri feudal.

Pendidikan dalam masyarakat Cina bukan bertujuan untuk memajukan individu atau kchidupan sosial rakyatnya tetapi untuk memungkinkan murid-muridnya lulus peperiksaan mengikut keperluan-keperluan tertentu yang telah ditetapkan beberapa abad sebelumnya. Oleh itulah sistem pendidikan China selalunya dirujuk sebagai bentuk pendidikan statik, berketurunan, atau pendidikan formal yang paling sempuma. Satu ciri nyata pendidikan tradisional China ialah hubungan eratnya dengan sistem pemilihan pegawai-pegawai awam melalui peperiksaan am. Sistem yang digunakan sebelum kemunculan sekolah-sekolah moden ini menyediakan pelajar-pelajar untuk tiga peringkat ijazah akademik dan tiga tahap peperiksaan. Sebelum pelajar menduduki peperiksaan untuk ijazah pertama, dia perlu mengambil peperiksaan kelayakan di daerahnya sendiri. Selepas lulus peperiksaan ini pelajar tersebut akan bersedia untuk peperiksaan rasmi pertama di bandar utama di kountinya. Jika dia lulus peperiksaan ini dia akan menerima ijazah pertama iaitu Xiu Cai yang disamakan dengan ijazah pertama atau sarjana muda zaman moden.

Tahap persaingan kedua adalah peperiksaan di peringkat ibu kota provinsi yang dibuka kepada mereka yang telah memperolehi ijazah pertama. Calon-calon yang berjaya akan dianugerahkan ijazah Chun Ren. Peperiksaan peringkat ketiga dan yang paling tinggi diadakan di ibu kota empayar melalui peperiksaan istana dengan kehadiran maharaja. Ijazah paling tinggi yang diberikan dalam peperiksaan ini dikenali sebagai Jin Shi.

Penghormatan diberikan kepada tiga ahli akademik dan yang memperolehi penghormatan paling tinggi diberi gelaran Zhuang Yuan dan diiktiraf sebagai ahli akademik terkemuka negara. Individu-individu lain yang memperolehi kedudukan yang hampir sama dengan Chin Shih dilantik sebagai ahli-ahli akademik Han Lin, sebuah majlis ahli-ahli akademik terkemuka yang disokong oleh kerajaan. Ia diasaskan pada abad ke-8 M sebagai sebuah badan penasihat dan penyunting.

Kepelbagaian Falsafah dan Agama Tamadun China

KonfusianismeAjaran-ajaran Confucius boleh diperoleh daripada dua buah buku, pertama buku Klasik Confucius dan sebuah lagi yang disusun oleh pengikut-pengikutnya yang dinamakan Lun Yu atau Analekta. Beliau menulis buku-buku ini setelah menyedari kelemahan-kelemahan yang wujud dalam masyarakat akibat pegawai-pegawai kerajaan yang berlaku curang dan keadaan moral orang ramai yang sangat rendah. Confucius berpendapat jika semua orang berkelakuan baik dan mengikut peraturan maka keadaan negara akan aman.Ajaran Confucius adalah mengenai keperluan menjaga keharmonian manusia dengan alam dan masyarakat. Manusia mesti mengikut perubahan alam. Keharmonian masyarakat ialah peraturan yang harus diikuti oleh setiap rakyat dan juga pemerintah dalam mewujudkan satu keadaan yang sesuai bagi kehidupan. Oleh kerana manusia tidak dapat hidup berseorangan atau terasing daripada masyarakat maka diajar cara-cara bagaimana mereka harus bertindak dalam masyarakat. Beliau menggalakkan masyarakat mengadakan upacara adat istiadat atau Li. Beliau juga mementingkan muzik kerana pada pandangannya seni muzik dapat mengajar atau menolong seorang itu hidup berbaik antara satu sama lain.

Untuk menghasilkan satu kerajaan yang aman dan makmur, pemerintah mesti menunjukkan budi pekerti yang baik supaya dapat dicontohi oleh rakyat. Tambahan pula kedudukan raja adalah disifatkan seolah-olah sebagai utusan dari langit dan bumi. Istana pula tempat tersimpannya kuasa-kuasa ghaib. Sekiranya raja dapat mengikuti arahan ini, maka amanlah dunia ini. Mengenai hubungan dalam masyarakat, Confucius membahagikannya kepada lima bentuk: (Dun J. Li, 1967:71)

1. Hubungan bapa dengan anak iaitu bapa harus berhati baik dan anak harus berkewajipan terhadap orang tua.

2. Hubungan suami isteri di mana suami harus jujur terhadap isteri dan isteri harus tunduk dan dengar serta patuh.

3. Hubungan saudara tua dengan saudara muda iaitu yang tua harus bermurah hati dan membantu dan yang muda harus tunduk dan hormat.

4. Hubungan raja dengan pegawai iaitu raja mesti bersifat perikemanusiaan dan pegawai harus taat.

5. Hubungan antara sahabat di mana kejujuran menjadi pedoman

Tegasnya hubungan-hubungan ini menitikberatkan kejujuran dan kebaikan dan sekiranya keadaan ini tidak dipatuhi nescaya keadaan kucar-kacir akan wujud. Penulisan-penulisan utama Confucius ditulis sebelum abad ke-2 S.M. apabila Confucius diisytiharkan sebagai ahli falsafah negara. Sesetengah daripada kerjanya dipanggil Jing atau klasik. Klasik bermaksud hasil karya yang terbaik dan suci. Lima klasik utama yang dihasilkan oleh Confucius ialah. Book of Odes, Book of History, Book of Changes, Book of Rites dan Spring and Autumn Annals. Book of Music yang merupakan salah satu daripada klasik asal yang telah hilang pada abad ke-3 S.M, sewaktu kempen pembakaran buku Dinasti Chin di bawah Shih Huang Ti. Taoisme/DaoismePengasas ajaran ini ialah Hi Erh atau lebih dikenali sebagai Lao Zi yang secara literal bermaksud Old Master. Buku yang ditulis oleh Lao Zi yang dikenali sebagai Tao De Jing atau Book of Taoist Virtue. Lao Zi mengkritik keganasan dengan sekeras-kerasnya. Baginya setiap jeneral adalah seorang pembunuh kerana kejayaannya terbina daripada kematian beribu-ribu nyawa manusia yang tidak bersalah. Bagi Lao setiap wira adalah seorang manusia yang jahat kerana heroisme diukur daripada cara bagaimana dia membunuh lebih rarnai orang dengan lebih cekap (Dun J. Li, 1967:85).Keseluruhan penulisannya mengkritik kesemua nilai yang dipandang tinggi oleh masyarakat semasa. Ia menyemak semua konvensyen dan tradisi yang sebelum ini dipandang dan dianggap mudah oleh manusia. Taoisme menegaskan bahawa pemerintahan dan peradaban terhasil daripada perbuatan manusia yang dibuat-buat dan ia tidak sesuai dengan tabii manusia yang bersifat bebas. Kekuasaan adalah sumber bagi segala keburukan dalam hidup manusia. Taoisme mengajar bahawa pemerintahan yang baik ialah yang sesuai dengan alam tabii tanpa diganggu oleh undang-undang buatan manusia kerana semakin banyak undang-undang, maka rakyat semakin miskin. Makin kaya negara, maka semakin kacau sesebuah masyarakat itu. Pendukung-pendukung konsep ini kebanyakannya terdiri daripada tuan-tuan tanah feudal yang telah kehilangan tanah akibat daripada peperangan yang berlanjutan, tegasnya mereka yang telah hilang kekuasaan. Mereka takut menghadapi suasana yang kucar-kacir. Taoisme inginkan seorang individu suci yang tidak dirosakkan oleh masyarakat. Individu ini tidak tahu tentang keuntungan, kerugian, kemegahan, rasa malu, cita-cita dan kegagalan (Dun J.Li, 1967:86). Falsafah Taoisme dikatakan sesuai untuk diterima pada zaman China melalui kepayahan hidup. Contoh ketika China menghadapi masalah kekurangan bahan makanan akibat kemarau.

Legalisme atau Aliran FaAliran ini muncul demi kepentingan undang-undang sebagai satu-satunya cara untuk mencapai kecekapan dalam kerajaan dan ketertiban dalam masyarakat. Salah satu daripada hasil karya golongan ini ialah Kuan-tzu yang ditujukan atau diabadikan kepada Kuan Chung, ketua menteri Qi.Satu lagi sumbangan utama golongan ini ialah Book of Lord Shang atau Shang-Chiin Shu yang diabadikan kepada Shang Yang. Pemikir unggul legalis adalah Han Fei yang menulis Han-fei-tzu yang merupakan falsafah legalis yang komprehensif. Han Fei mencadangkan penguatkuasaan undang-undang untuk mengelakkan manusia bertindak liar. Han Fei berpendapat nilai-nilai yang dicadangkan oleh Confucius adalah hipokrit dan digunakan untuk kepentingan sendiri. Bagi mereka tidak akan wujud nilai yang baik tanpa ada sifat berkepentingan sendiri. Bagi Han Fei nilai-nilai baik hanya boleh dinilai dalam dua bidang, pertama ketekunan dalam kerja dan keberanian dalam medan petempuran. Suatu masyarakat yang ideal bagi beliau adalah yang terdiri daripada petani dan tentera yang ditadbir dan dikawal oleh sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang raja yang maha kuasa. Semua lelaki haruslah menjadi petani yang baik pada zaman aman dan tentera yang berani pada zaman perang (Dun J. Li, 1967:93).Pencapaian dalam Pelbagai Bidang

Feng ShuiFeng Shui merupakan satu bidang sains yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan masyarakat Cina sejak zaman kuno lagi. Apakah itu sebenarnya Feng Shui? Secara literal, Feng bermaksud angin dan Shui bererti air. Feng Shui sebenarnya adalah satu bidang sains yang mementingkan pemilihan alam sekeliling yang sesuai diduduki agar elemen-elemen di alam ini mencapai keseimbangan. Lantaran itu, kehidupan sekeliling yang baik diharapkan akan membawa kebaikan dalam hidup kepada penghuni.

Feng Shui juga merupakan satu seni dan satu kemahiran menyusun kehidupan dan pekerjaan seseorang untuk menguatkan keharmonian antara elemen-elemen di alam ini. Masyarakat Cina lazimnya mempercayai amalan Feng Shui kecuali sesetengah golongan yang kurang memahami Feng Shui akan menganggap amalan Feng Shui adalah satu kepercayaan karut.

Feng Shui bukanlah satu amalan spiritual seperti yang difikirkan oleh orang ramai. Feng Shui tidak mencipta kekayaan kepada seseorang. Sesiapa yang inginkan kekayaan dengan kepercayaan bahawa Feng Shui boleh mendatangkan kemakmuran dan kekayaan adalah golongan yang tidak mengetahui falsafah-falsafah Feng Shui. PAGE 13