naskhah ilmu bedil dan renungan pada …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... ·...

11
1 NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA EPISTEMOLOGI MELAYU BERHUBUNG PENGGUNAAN SENJATA API 1 Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah Abstrak Naskhah ilmu bedil merupakan antara bahan penulisan tempatan yang tergolong ke dalam genre kepustakaan ilmu tradisional. Naskhah-naskhah ini berisi maklumat tentang ilmu pengetahuan orang Melayu pada zaman dahulu berhubung penggunaan senjata api. Sehingga kini, sebahagian besar daripada bahan naskhah ini masih belum benar-benar dikaji, walhal ia berpotensi menyumbangkan manfaat yang besar dalam usaha menggali kebudayaan Melayu zaman bahari. Signifikan yang dibawa oleh naskhah ilmu bedil ialah tentang epistemologi dan kompleksiti teknologi Melayu yang menonjolkan kepakaran penggunaan senjata api yang difahami menurut pengertian kebudayaan mereka. Tulisan ini cuba menggambarkan konteks epistemologi naskhah-naskhah tersebut untuk memperlihatkan bagaimana pendekar tembak Melayu menggunakan ‘perisian’ (software) pengetahuan budaya, dalam memberikan tindak balas terhadap stimuli teknologi senjata api yang asing. Konteks epistemologi dikira sebagai poin asas dalam memahami operasi teknikal alatan material (senjata api) dengan cara yang khusus, di mana kekhususan itu memberikan percanggahan makna teknologi hari ini. Dengan melihat pada konteks epistemologi naskhah ilmu bedil, tulisan ini cuba menegaskan bahawa teknologi (‘tekhnē’ dan ‘logia’) merupakan ilmu praktik yang lahir dalam setiap kebudayaan dengan ciri kekhususannya. Justeru, ia patut difahami menurut peramatan dan pemaknaan pihak yang mengadaptasinya selaku penerima dan pengguna alatan material (senjata api) itu sendiri. Kata kunci : epistemologi Melayu, kebudayaan, naskhah ilmu bedil, teknologi, senjata api. Ṣadru`l-kalām miftāḥu`l-ẓulām Salah satu keunikan sifat dan karekter kebudayaan zaman bahari orang Melayu (yang kurang difahami) adalah dari sudut ilmu pengetahuan teknikal dan teknologi mereka. Kedua-dua sudut ini jarang disentuh dalam mana-mana kajian naskhah Melayu, memandangkan sedikit sekali ditemui bahan-bahan naskhah yang mengandungi maklumat seumpamanya. Meskipun begitu, menerusi sejumlah kajian, telah dikenal pasti beberapa naskhah Melayu yang boleh dikatakan penting, dan mewakili wacana ilmu pengetahuan teknikal dan teknologi. Antaranya ialah sejumlah korpus bahan-bahan bertulis tangan yang disebut sebagai ‘ilmu bedil’. Bedil merupakan sebutan umum bagi orang Melayu zaman lampau untuk merujuk kepada senjata api, sama ada dari jenis senapang mahupun artileri. Oleh itu, ilmu bedil dapat dijelaskan sebagai ilmu pengetahuan orang Melayu yang berkait serba-serbi tentang cara, teknik, serta kaedah menggunakan senjata api (lihat Harun Mat Piah, et al., 2006). 2 1 Kertas ini dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 6-7 Mei 2014, yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. 2 Naskhah-naskhah ilmu bedil ini merujuk kepada MS101 Kitab Tib, MS31 Ilmu Bedil, Naskhah 85.48 Petua Menembak Meriam Istinggar, MSS1380 Mentera Menembak, MSS1922 bahagian B (Azimat). Sungguhpun begitu, dijangkakan bahawa masih terdapat banyak lagi naskhah-naskhah seumpamanya yang masih belum dijumpai, lihat Wan Mohd Dasuki (2013). Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Upload: doanphuc

Post on 20-Aug-2018

247 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

1

NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA EPISTEMOLOGI MELAYU BERHUBUNG PENGGUNAAN SENJATA API1

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah

Abstrak

Naskhah ilmu bedil merupakan antara bahan penulisan tempatan yang tergolong ke dalam genre kepustakaan ilmu tradisional. Naskhah-naskhah ini berisi maklumat tentang ilmu pengetahuan orang Melayu pada zaman dahulu berhubung penggunaan senjata api. Sehingga kini, sebahagian besar daripada bahan naskhah ini masih belum benar-benar dikaji, walhal ia berpotensi menyumbangkan manfaat yang besar dalam usaha menggali kebudayaan Melayu zaman bahari. Signifikan yang dibawa oleh naskhah ilmu bedil ialah tentang epistemologi dan kompleksiti teknologi Melayu yang menonjolkan kepakaran penggunaan senjata api yang difahami menurut pengertian kebudayaan mereka. Tulisan ini cuba menggambarkan konteks epistemologi naskhah-naskhah tersebut untuk memperlihatkan bagaimana pendekar tembak Melayu menggunakan ‘perisian’ (software) pengetahuan budaya, dalam memberikan tindak balas terhadap stimuli teknologi senjata api yang asing. Konteks epistemologi dikira sebagai poin asas dalam memahami operasi teknikal alatan material (senjata api) dengan cara yang khusus, di mana kekhususan itu memberikan percanggahan makna teknologi hari ini. Dengan melihat pada konteks epistemologi naskhah ilmu bedil, tulisan ini cuba menegaskan bahawa teknologi (‘tekhnē’ dan ‘logia’) merupakan ilmu praktik yang lahir dalam setiap kebudayaan dengan ciri kekhususannya. Justeru, ia patut difahami menurut peramatan dan pemaknaan pihak yang mengadaptasinya selaku penerima dan pengguna alatan material (senjata api) itu sendiri. Kata kunci : epistemologi Melayu, kebudayaan, naskhah ilmu bedil, teknologi, senjata api. Ṣadru`l-kalām miftāḥu`l-ẓulām Salah satu keunikan sifat dan karekter kebudayaan zaman bahari orang Melayu (yang kurang difahami) adalah dari sudut ilmu pengetahuan teknikal dan teknologi mereka. Kedua-dua sudut ini jarang disentuh dalam mana-mana kajian naskhah Melayu, memandangkan sedikit sekali ditemui bahan-bahan naskhah yang mengandungi maklumat seumpamanya. Meskipun begitu, menerusi sejumlah kajian, telah dikenal pasti beberapa naskhah Melayu yang boleh dikatakan penting, dan mewakili wacana ilmu pengetahuan teknikal dan teknologi. Antaranya ialah sejumlah korpus bahan-bahan bertulis tangan yang disebut sebagai ‘ilmu bedil’. Bedil merupakan sebutan umum bagi orang Melayu zaman lampau untuk merujuk kepada senjata api, sama ada dari jenis senapang mahupun artileri. Oleh itu, ilmu bedil dapat dijelaskan sebagai ilmu pengetahuan orang Melayu yang berkait serba-serbi tentang cara, teknik, serta kaedah menggunakan senjata api (lihat Harun Mat Piah, et al., 2006).2

1 Kertas ini dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 6-7 Mei 2014, yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. 2 Naskhah-naskhah ilmu bedil ini merujuk kepada MS101 Kitab Tib, MS31 Ilmu Bedil, Naskhah 85.48 Petua Menembak Meriam Istinggar, MSS1380 Mentera Menembak, MSS1922 bahagian B (Azimat). Sungguhpun begitu, dijangkakan bahawa masih terdapat banyak lagi naskhah-naskhah seumpamanya yang masih belum dijumpai, lihat Wan Mohd Dasuki (2013).

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 2: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

2

Apakah sumbangan dan kepentingan yang boleh diberikan oleh sebuah karya arkaik seperti naskhah ilmu bedil? Secara jelas, naskhah ilmu bedil mempunyai beberapa keistimewaan. Ia merupakan bahan sejarah yang mewakili etos dan pemikiran orang Melayu dalam cakupan zaman dan kebudayaannya, dengan mempamerkan ilmu pengetahuan dan teknologi dalam pernyataan kolokial yang dianggap dapat memberikan pemahaman yang lebih berwibawa dan relevan dengan kebudayaan setempat. Dalam kes ini, ia menampilkan kerangka epistemologi tradisi yang memperjelaskan sikap dan pandangan orang Melayu (secara lebih tepat pendekar tembak Melayu) terhadap teknologi penggunaan senjata api. Mungkin dengan sebab itu maka naskhah-naskhah ilmu bedil harus dipandang sebagai wahana yang dapat dikenderai dalam memasuki sudut pandangan dunia orang Melayu, demi untuk mempertimbangkan bagaimana mereka memahami dan mengaplikasi teknologi, khususnya teknologi senjata api. Dengan memahami kerangka epistemologi naskhah ilmu bedil, mungkin berupaya memberikan lebih penjelasan dan justifikasi tentang bagaimana teknologi senjata api yang asing itu dimaknai dan diaplikasi oleh orang Melayu menurut sudut kepercayaan dan pandangan dunia mereka. Dengan demikian, tulisan ini akan menggalurkan beberapa refleksi kerangka epistemologi naskhah ilmu bedil dalam memberikan suatu gambaran tentang ‘teknologi’ Melayu; ataupun lebih sesuai di sini dinyatakan sebagai konteks pemahaman mereka mengenai aspek teknikal penggunaan senjata api. Hal ini dibuat berdasarkan kesimpulan yang telah diambil daripada tulisan-tulisan terdahulu,3

dalam usaha untuk menegaskan lagi pernyataan Lorge (2008) dan Wan Mohd Dasuki (2013) bahawa kepenggunaan teknologi dibentuk atau terhasil daripada penyesuaian menurut interpretasi tempatan dalam lingkungan spatial–temporal masyarakat itu sendiri ke atas alatan material yang diterima. Justeru, tulisan ini cuba menyatakan bahawa dalam proses menerima dan menyesuaikan senjata api ke dalam kehidupan, orang Melayu menyikapinya dengan tindak balas yang dinamik dalam usaha mengimbangi, mengekal, serta meneruskan nilai kebudayaan sendiri dengan caranya yang khusus.

Teknikaliti Penggunaan Senapang Berdasarkan penemuan dan rekonstruksi data, dapat dikatakan bahawa secara teoretikalnya orang Melayu memang memahami kaedah mengendalikan senjata api, iaitu daripada jenis (senapang) istinggar dan terakul. Ia berlandaskan pemaknaan mereka pada aspek material dan mekanikal kedua-dua jenis senapang, termasuk peluru dan ubat bedilnya. Hal ini sama seperti yang pernah berlaku dalam kebudayaan-kebudayaan lain yang menerima dan mengadaptasi teknologi senjata api. Sebagai misalan, kaum Indian di New England pada kurun ke-17 telah memanfaatkan alatan material senjata api yang mereka terima daripada para imigran Inggeris sehingga menghasilkan teknik tembakan yang tersendiri pula (lihat Malone, 2000). Dalam konteks naskhah ilmu bedil, ketiga-tiga aspek alatan materialnya, iaitu: senapang, peluru, dan ubat bedil memperlihatkan dengan jelas bentuk dan sifat pengetahuan teknikal orang Melayu berhubung keseluruhan cara mereka mengoperasikan senjata api. Keseluruhan cara pengoperasian ini seperti yang dapat dilihat dalam figur 1, dapat dibahagi kepada peringkat persediaan dan peringkat penggunaan. Peringkat pertama, iaitu persediaan; merupakan kerja yang dilakukan untuk mempersiapkan alatan material (senapang, peluru dan ubat bedil) yang hendak digunakan. Pada peringkat ini, kerja-kerja tersebut dapat dianggap sebagai proses untuk menyesuaikan hubungan antara fungsi alatan material dengan perlakuan

3 Untuk memahami hal ini secara lebih mendalam, sila lihat tulisan-tulisan terdahulu Wan Mohd Dasuki (2008, 2010, 2012, 2013), Wan Mohd Dasuki, et al. (2012), Wan Mohd Dasuki & Othman Mohd Yatim (2013), dan Wan Mohd Dasuki & Siti Radziah (2014a, 2014b).

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 3: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

3

teknikal penembak. Di sini, ia turut melibatkan pemakaian sejumlah ritual persediaan (pre-activity ritual) dengan menggunakan jampi-jampi tertentu yang dikenakan pada senapang, peluru, dan ubat bedil, dalam usaha untuk membangkitkan kesan psikologikal yang tentu sekali bertujuan meningkatkan ketenangan dan keyakinan sewaktu tembakan dilepaskan. Orang Melayu menitikberatkan ciri fizikal senapang yang sempurna agar penggunaannya menjadi lancar tanpa membahayakan keselamatan. Oleh itu, setiap senapang yang hendak dipakai perlu dipilih untuk disesuaikan dengan keadaan fizikal si penembak. Pertimbangan ini penting kerana ia dapat mempengaruhi aspek psikologikal penggunaan, iaitu keyakinan terhadap proses pengendalian serta pemfokusan pada teknik. Selain itu, wujud pula ritual ‘menapakan’ senapang hasil kesejajaran fikiran mereka yang memahami tentang adanya (atau perlunya) pengaruh kekuatan ghaib senjata api. Ritual tersebut membantu fokus penembak dalam menghasilkan tembakan yang efisien. Peringkat persediaan juga memperlihatkan kepakaran mereka dalam membuat peluru. Peluru yang diperbuat daripada timah putih perlu sepadan dengan kaliber senapang. Ia dilakur dan dicampur bersama bahan-bahan tertentu sebelum dirajah dan dijampi, selain disentuhkan dengan sejumlah medium yang dianggap memiliki kekuatan ghaib, misalnya air mani, darah, batu lintar, ataupun minyak jarak yang pokoknya tumbuh dari serkupan tengkorak harimau atau manusia. Idea yang jelas daripada keseluruhan proses pembuatan peluru, atau dalam bahasa teks disebut sebagai ‘menunang’ ialah untuk mengaktifkan kekuatan ghaib pada peluru tersebut. Hal ini kerana orang Melayu memahami bahawa hakikat keberkesanan fungsi senapang terletak pada peluru yang tugasnya menembusi sasaran. Peluru harus memiliki kekuatan tersendiri, iaitu dimaksudkan kepada kekuatan ghaib yang akan mengukuhkan sifat fizikal timah hitam peluru dalam usaha untuk menembusi figur sasaran tersebut.

Figur 1 : Bentuk keseluruhan pengoperasian senjata api menurut naskhah ilmu bedil

(dipetik daripada Wan Mohd Dasuki, 2013).

Menerusi naskhah ilmu bedil, dapat diketahui bahawa orang Melayu mempunyai kepakaran membuat dan mengendalikan ubat bedil. Mereka memahami bahawa konteks ubat bedil itu terbahagi kepada dua; iaitu jenis yang dimasukkan ke dalam lubang penggalak (primer), dan jenis yang diisi ke dalam senapang melalui mulut laras (propelan). Dengan cara itu, mereka mengetahui pula teknik mengadun ubat bedil seperti yang ditunjukkan oleh susunan formula sukatan sendawa (potasium nitrat), arang dan belerang (sulfur) di dalam naskhah. Proses ini bukan hanya sekadar menonjolkan kearifan tentang sukatan dan kimiawi ubat bedil, malah memperlihatkan juga secara fizikal bahawa orang Melayu dapat menjangka pelepasan peluru

recoiling

Senapang Peluru Ubat Bedil

memilih

melakur + menunang [ritual]

membuat

memegang [ritual] mengisi [ritual penuju] mengisi [ritual penuju]

menggamak

membidik

asap dikeluarkan

memetik jarum

Penggunaan

Persediaan

menuju [ritual] +

melepaskan peluru bersama

peluru dilepaskan

jangkaan jarak pelepasan peluru

posisi badan: berdiri tegak

sasaran > menetapkan pejera

konsentrasi > [nafi –isbat] > nafas

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 4: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

4

untuk mencapai sasaran dalam jarak tertentu menurut sukatan-sukatan yang telah dikhaskan. Mereka memahami bahawa ubat bedil yang diformulasi itu mempengaruhi daya dan jarak tembakan (effective range), walaupun dari sudut yang lain, pertimbangan terhadap ketepatan dan penembusan peluru disahkan menerusi kekuatan ghaib. Pada peringkat yang kedua, dapat dilihat pula pemahaman orang Melayu berhubung asas kepenggunaan senapang, dengan cara mereka membentuk sekuen teknikal yang dikaitkan dengan aspek mekanikal senapang, iaitu dengan adanya kaedah menggamak (memposisikan), membidik (memandang ke sasaran), serta memetik picu (jarum) senapang (melepaskan tembakan). Ketiga-tiga sekuen itu merupakan ‘syarat’ yang membolehkan peluru dilepaskan ke sasaran dengan sempurna. Aspek menggamak dikaitkan dengan kepandaian memposisikan senapang dengan cara mempertimbangkan kedudukan alat mekanikal dan bentuk senapang dengan keadaan fizikal tubuh badan mereka. Aspek membidik menunjukkan tentang proses menguting sasaran, iaitu dengan memanfaatkan teknik pemakaian pejera pangkal dan pejera hujung berdasarkan prinsip teknikal trajektori peluru, jarak, dan cahaya. Aspek pelepasan tembakan pula melibatkan teknik menghela nafas dan membina konsentrasi yang bukan sahaja difokuskan oleh mata, tetapi melalui keseluruhan perlakuan teknik untuk memberikan kesan keyakinan (nafi–isbat) dan ketenangan pada hati. Berdasarkan ketiga-tiga syarat tersebut, dapat dijelaskan bahawa naskhah-naskhah ilmu bedil mengajar tentang praktik tembakan dalam postur badan berdiri tegak menerusi ‘rukun dua belas’. Praktik ini dimanfaatkan bagi tujuan pelepasan peluru dalam jarak melebihi 600 meter seperti yang tertulis dalam formula ubat bedilnya. Sungguhpun begitu, secara keseluruhannya dapat difahami bahawa kemahiran dalam pengoperasian senapang secara hakikatnya telah dilakukan dalam ‘cara’ yang terkhusus menurut sistematikanya yang tersendiri. Hal yang demikian diperlihat menerusi ritual penggunaan (specific-activity ritual) yang dilakukan ketika memegang senapang, mengisi ubat bedil dan peluru, membidik (menuju), dan akhirnya semasa melepaskan tembakan, dengan tujuan untuk memastikan proses pelepasan peluru berlaku dalam konteks yang dikehendaki agar keberkesanan tembakan diperoleh. Epistemologi Melayu dan Pemikiran Holistik Naskhah-naskhah ilmu bedil memperihalkan tentang struktur pengetahuan yang memandu cara orang Melayu menggunakan senapang. Struktur ini melibatkan bahagian-bahagian item yang telah dihubung dan diinteraksikan bersama, mengikut suatu bekas takungan yang kukuh, di mana interaksi dan hubungan antara item-item itu terpola mengikut keadaan bekas takungan sehingga berdiri sebagai rekonstruksi yang khusus dan mantap. Rekonstruksi itu dinamakan sebagai ‘perisian’ (software). Ia mengandungkan sejumlah item, iaitu alatan material (hardware) senjata api yang terdiri daripada senapang, peluru, dan ubat bedil. Melalui perisian, kesemua item dijalinkan hubungannya mengikut kesesuaian bekas takungan yang juga dapat difahami di sini sebagai pengetahuan budaya. Dengan erti kata lain, perisian merupakan susunan pengetahuan yang menata cara bertindak ke atas senjata api seperti yang telah ditentukan oleh takrifan pengetahuan budaya. Pengetahuan budaya menjadi ranah penghasilan tekhnē (cara tindakan). Ia menstrukturkan perisian sebagai suatu ‘himpunan makna’ yang boleh difahami dalam erti logia, menjadi pemikiran yang terancang dan praktis berasaskan rasionaliti sebagaimana difahami oleh kebudayaan menurut idea, pandangan dunia, kepercayaan dan nilainya, iaitu dari segi matlamat tekhnē yang dikhususkan untuk memperoleh keberkesanan penggunaan alat material seperti yang ditakrifkan. Logia ini membawa tradisi episteme (pengetahuan) yang

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 5: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

5

mengandungi kekhususan tekhnē sebagai suatu titik permulaan (starting point) – yang dapat meletakkan asas pemahaman secara ‘rasional’ mengikut inferensi logik mereka. Perisian atau logia dibentuk berdasarkan pola fikir holistik yang membolehkan pengalaman dimaknai secara berhubungan antara ruang fizikal–bukan fizikal. Orang Melayu memperkukuhkan pengalaman empirikal dengan unsur bukan fizikal melalui intuisi untuk mencapai abstraksi bagi memahami keseluruhan pengalaman itu. Di sinilah timbulnya kesepaduan unsur fizikal–bukan fizikal. Unsur bukan fizikal yang melibatkan sistem kepercayaan dan asas metafizik tasawwuf mengikut pandangan dunia mereka akhirnya menjadi alat inferensi logik dalam menselaraskan makna pengalaman fizikal tersebut. Keselarasan ini memberikan erti bahawa alatan material senjata api sebagai realiti fizikal turut dimaknai secara simbolik. Oleh itu, pemberian makna pada ‘senjata api’, ‘ubat bedil’, dan ‘peluru’ secara abstrak dan konseptual dilahirkan menerusi rasional akal dan diperkukuh secara intrinsik sehingga keyakinan dapat disuntikkan ke dalam cara tindakan (tekhnē). Mengapakah hal ini berlaku? Tidak lain tidak bukan kerana pola fikir orang Melayu yang secara tradisionalnya bersifat holistik menerbitkan pemaknaan yang tidak bersifat dikotomi (lihat Hassan, 2003). Ia sebaliknya mewujudkan kesepaduan antara ruang fizikal yang berada di luar bahagian diri dengan ruang bukan fizikal yang dialami dalam diri mereka. Dalam konteks ini, orang Melayu menyelaraskan pemaknaan yang terjelma dari sumber empirikal dengan menggunakan analisis mengikut inferensi logik yang diterima dalam kebudayaan, iaitu dengan melibatkan asas kepercayaan dan dasar metafizik tasawwuf menurut pandangan dunia mereka. Dengan menjangkau keterbatasan ruang fizikal untuk memahami keseluruhan pengalaman, intuisi diterapkan sehingga makna secara abstrak dan konseptualnya dilahirkan melalui akal rasional, dan diperkuat secara intrinsik. Justeru, pengalaman yang pada awalnya dicerap secara empirikal kemudian telah difahami mengikut pertimbangan intrinsik individu itu sendiri menerusi intuisi atau renungan hati. Intuisi yang wujud dalam ruang bukan fizikal (hati) menanggapi makna dari dalam diri sehingga sumber empirikal dapat diperkukuh untuk mencapai abstraksi yang tinggi terhadap keseluruhan pengalaman tersebut. Di sinilah terletaknya formasi unsur bukan fizikal dalam menyesuaikan alatan material agar tidak bercanggah dengan makna dan nilai tekhnē yang difahami dalam kebudayaan mereka. Unsur bukan fizikal menjelaskan hakikat wujud teknologi yang difahami sebagai memiliki hubungan dengan alam dalam lingkungan kebudayaan yang bukan sahaja ditanggapi secara fizikal (alam nyata), malah mengenengahkan komponen supernatural (kuasa ghaib) yang diterima menjadi sebahagian daripada elemen kepercayaan dalam lingkungan kebudayaan tersebut. Bersandarkan intuisi, kudrat fizikal diintegrasikan bersama kekuatan ghaib sehingga alatan material dan cara tindakan ke atasnya mampu diteksturkan ke dalam makna yang selari dengan apa yang ditanggapi dalam kebudayaan sendiri. Dengan erti kata lain, teknik yang dipelajari secara perantis dikultivasikan lagi dengan unsur bukan fizikal sehingga kesedaran terhadap proses mengoperasikan alatan material, dengan makna dan falsafah pandangan dunia, menjadi kesedaran yang penuh berisi dengan kekuatan ghaib (lihat Razha, 1990). Justeru, pengertian istilah teknologi (tekhnē, dan logia) dengan jelas dapat didasarkan kepada suatu kerangka epistemologi yang dipertegas oleh kesepaduan unsur fizikal–bukan fizikal yang membawa kepada pewujudan tekhnē yang tersendiri. Pola pemikiran holistik inilah yang menjadikan teknologi tidak hanya difahami dari sudut alatan material, malah dilihat memiliki hubungan dari sudut sebaliknya – yang mengungkapkan makna-makna khusus. Dari situ, dapat dikatakan bahawa keseluruhan aspek fungsional alatan material direpresentasi oleh interpretasi lokal yang bersifat intrinsik. Sifat intrinsik menjadikan tindakan fizikal (tekhnē) wujud dalam lingkungan makna dari sudut intipati dalaman (inner) yang tertakluk kepada

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 6: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

6

pemaknaan yang diselaraskan oleh rohani (hati) melalui intuisi. Sudut ini memperlihatkan ilmu pengetahuan orang Melayu diwakili oleh sifat kerahsiaan (spiritual secrecy) dalam pengertian kesakralan, kebatinan, dan kekuatan ghaib. Sifat sakral atau (ke)batin(an) yang memiliki kesan yang khusus dari segi implementasi kuasa supernatural, merupakan sesuatu yang sulit difahami oleh orang awam, sehingga ia dianggap begitu eksklusif. Ia tidak boleh dikongsi kecuali dengan cara menuntut. Hanya dengan proses menuntut sahaja yang akan membolehkan sifat intrinsik itu diperturunkan mengikut tradisi perkaedahan yang dianggap sah (lihat Cuisinier, 1936). Oleh kerana teknik pengendalian senjata api merupakan suatu ilmu empirik, ia dipelajari melalui tunjuk ajar (dengan meniru perlakuan guru) secara berperingkat sehingga mahir. Namun proses ini tidak hanya terletak dalam bentuk string of beads dengan memerhati dan menghafal cara-cara perlakuan (lihat Wynn, 1994), malah sebaliknya merangkumi proses yang bersepadu dalam usaha menguasai (mastery) makna (hakikat wujud) perlakuan itu. Rangkuman proses tersebut menjadikan ilmu pengetahuan menggunakan senjata api, yang tercatat di dalam naskhah ilmu bedil disimpan dalam ruang kerahsiaan dan keluarbiasaan yang tidak boleh ditunjukkan kepada orang lain. Hal ini pernah dipesankan dengan kata-kata: “..hubaya-hubaya jangan ditunjukkan pada orang yang tiada tahu akan lemikiannya ilmu segala arif itu (akan) membukakan rahsia yang berbuat..” (Naskhah 85.48, 20). Dengan itu, pengijazahan atau pemberian autoriti untuk mempraktikkannya akan meletakkan penuntut ke dalam tradisi aliran ilmu pengetahuan tersebut, di mana ia dikehendaki menjaga kerahsiaan pengetahuan dan alirannya. Hal ini menggambarkan pula seolah-olah wujud suatu kultus bagi tradisi aliran ilmu pengetahuan yang diperkukuh dengan ritual sebagai ciri khusus yang lahir daripada sifat intrinsik berkenaan dalam aplikasi formulaik yang tertentu.4

Melalui ritual, kultus memberikan pengesahan pada perlakuan teknikal yang dihasilkan, di mana ia dikonstruksikan dalam konteks ‘kuasa’ berasaskan kekuatan ghaib yang dibentuk menerusi nilai ikatan rabitah penuntut–guru dan amanat menjaga kerahsiaan. Inilah nilai pengasasan ilmu yang paling dititikberatkan sebagai syarat untuk menjadikan aplikasi ilmu pengetahuan itu berkesan. Justeru, sifat kerahsiaan di sini dapat difahami dalam erti kata ‘rahsia (sirr) menerbitkan kuasa (hikmat)’. Oleh kerana kuasa diinterpretasi dari aspek kekuatan ghaib sebagai prospek penting dalam kaedah mengendalikan senjata api, ia menjadi prioriti yang perlu dikawal dan dirahsiakan, kerana ditakuti ‘salah pakai’ oleh mereka yang berada di luar lingkungan kultus, ataupun mereka yang tidak pernah diijazahkan (lihat Razha, 1990).

4 Kultus secara umum difahami sebagai suatu bentuk organisasi keagamaan. Pandangan pertama melihat ia sebagai pelencongan dalam mengemukakan idea-idea tentang agama, berbanding dengan institusi agama itu sendiri. Pandangan yang lain pula melihat ia sebagai agama individu, iaitu kepercayaan persendirian tanpa adanya bentuk-bentuk organisasi tersusun seperti yang terdapat pada institusi agama. Kultus lebih cenderung kepada gabungan dan penerapan idea, amalan serta ajaran pemimpin atau guru (lihat Norazit, 1989). Pengertian kultus dalam kes ini lebih mendekati makna yang kedua, iaitu selaras dengan apa yang diterapkan menerusi pengajaran yang terkandung di dalam naskhah ilmu bedil, di mana memperlihatkan suatu perkumpulan sulit yang mendalami tentang hikmat penggunaan senjata api daripada guru yang memimpin murid-murid tersebut secara fizikal dan spiritual, dengan menerangkan tentang rahsia-rahsia yang hanya patut diketahui kumpulan (kultus) berkenaan sahaja. Hal ini meletakkan suatu pemahaman bahawa apa yang diajarkan menerusi naskhah-naskhah ilmu bedil merupakan kerahsiaan yang dijaga dan bukan sebarangan orang mampu mempelajarinya. Untuk memahami tentang ajaran-ajaran kultus dan hubungannya dengan manusia dan masyarakat itu sendiri, lihat misalnya Hill dan Williams (1965).

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 7: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

7

Inkuiri dan Implikasi Jalinan interaksi antara unsur fizikal–bukan fizikal secara dinamik menghasilkan suatu penyelarasan nilai dan makna teknologi sehingga ia difahami dalam konteks ‘keseluruhan’. Orang Melayu tidak pernah menolak realiti fizikal, malah sebaliknya menganggap bahawa pemahaman terhadap hakikat realiti fizikal bergantung pada unsur bukan fizikalnya (lihat Hairuddin, 2006). Berasaskan pola fikir holistik ini orang Melayu memfokuskan hubungan antara unsur fizikal (alatan material) dengan unsur bukan fizikal (kuasa luarbiasa pada alatan material) sehingga memahaminya sebagai suatu kesepaduan, seperti yang dimetaforakan menerusi ritual-ritual dalam keseluruhan teknik pengendalian senapang (alatan material). Hal ini menunjukkan bahawa dengan adanya proses pemilihan, penyesuaian, dan pengintegrasian menurut interpretasi tempatan, teknologi senapang (misalnya istinggar) yang pernah dikenali dalam sebuah kebudayaan lain (sebagai espingarda) akan dimaknai dan dioperasikan dalam cara yang lebih relevan menurut konteks kebudayaan sendiri. Hal yang demikian dapat merumuskan suatu penjelasan penting tentang gambaran teknologi seperti yang pernah dikonsepsi dan dipraktikkan oleh orang Melayu pada masa lalu, seperti yang termuat dalam naskhah-naskhah ilmu bedil. Naskhah-naskhah tersebut memperlihatkan betapa representasi tekhnē dalam pengendalian senapang istinggar dan terakul – yang pada peringkat awalnya diperkenal oleh bangsa Eropah sejak pertengahan kurun ke-16 atau ke-17 – telah melalui proses perkembangan menurut citarasa dan kepakaran tempatan. Representasi tekhnē itu ternyata bercanggah daripada maknanya yang asal, iaitu berhubung proses teknikal seperti yang difahami umum dalam operasi pengendalian senjata api, kerana ia diterapkan menurut pola fikir holistik yang membentuk kesepaduan makna daripada hubungan perlakuan fizikal dengan unsur bukan fizikalnya. Kerangka epistemologi yang dipertegas menerusi pengintegrasian unsur fizikal–bukan fizikal membawa kepada pewujudan karekter teknikal yang tersendiri, di mana ia menampilkan kelainan perspektif dalam aplikasi teknologi. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa penyesuaian teknologi senjata api merupakan proses tindak balas dinamik orang Melayu terhadap rangsangan kebudayaan asing dalam usaha mengimbangi, mengekal dan meneruskan nilai kebudayaan mereka sendiri dalam cara yang khusus. Inilah antara beberapa implikasi penting naskhah ilmu bedil, yang dikira sebagai sumbangan yang diperlukan terhadap pembinaan data dalam kajian-kajian mengenai ilmu pengetahuan dan teknologi Melayu zaman bahari, terutama sekali mengenai teknologi senjata api yang diwakili oleh penggunaan (senapang) istinggar dan terakul. Oleh kerana korpus naskhah ilmu bedil tidak pernah dibangkitkan dalam kajian-kajian terdahulu, segenap aspek teknikal orang Melayu dalam aplikasi senjata api dan ubat bedil tidak pernah diketahui dengan jelas. Hal ini merupakan sesuatu yang cukup dikesali, sedangkan naskhah-naskhah ilmu bedil berupaya melengkapkan body of knowledge teknologi dan kebudayaan Melayu pada masa lampau. Apatah lagi jika ia dihubungkan dengan wacana Othman Yatim dan Mohd Zamberi (1994), begitu juga dengan sorotan Hanizah (1997) dan beberapa sarjana yang lain. Malah naskhah ilmu bedil kemungkinan dapat memberikan refleksi terhadap analisis Andaya (1999) dan Sun (2003) tentang adaptasi teknologi yang memperkukuhkan lagi hujah Lorge (2008) berkenaan teknologi senjata api dan kaitannya dengan kebudayaan secara khusus. Dalam melihat teknologi dan hubungannya dengan kebudayaan, naskhah ilmu bedil lebih bermaksud untuk memahami perlakuan manusia sebagai pencipta, pengadaptasi dan juga pengguna teknologi dalam lingkungan kebudayaannya. Orang Melayu telah menerima dan memahami teknologi istinggar dan terakul yang diadaptasi daripada budaya material bangsa Eropah sejak abad ke-16 dan ke-17 dalam ‘cara’ tersendiri tanpa mengabaikan prinsip dasar

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 8: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

8

serta maksud asas kepenggunaannya. Cara tersebut memperlihatkan kekhususan teknologi yang dibentuk, diaplikasi dan dipertahan oleh mereka. Namun begitu, ia kini telah membawa percanggahan makna dengan pengertian secara umum berhubung apa yang difahami sebagai ‘teknologi’. Dalam konteks ini, perlu dipertegas bahawa teknologi hendaklah difahami dari suatu titik permulaan (starting point) menurut perisiannya (logia) yang terjadi hasil interaksi kebudayaan mereka dengan teknologi (alatan material) berkenaan. Dengan erti kata mudah, perisian (logia) menuntut agar perhatian dapat diberikan terhadap aspek pemikiran orang Melayu zaman bahari yang tidak memperlihatkan sifat dikotomi, dan memperdalamkan pandangan mengenai bagaimana mereka memahami pengalaman fizikal secara asosiatif dengan perhitungan yang lebih bersandarkan kepada sifat kesamaan dan saling berhubungan antara ruang fizikal dan bukan fizikal. Hal yang demikian akan dapat memperincikan lagi kerangka teoretikal yang telah dicadangkan oleh Hassan (2003) dan juga Nisbett dan Norenzayan (2002). Unsur bukan fizikal hendaklah jangan dilihat sebagai faktor yang boleh menghukum ilmu pengetahuan orang Melayu sebagai tidak rasional, sehingga keberkesanan teknologinya diragui. Unsur bukan fizikal tidak pernah menghalang minda mereka untuk menerima ‘rasionaliti yang sepatutnya’. Ia sebaliknya difahami dan diterima menurut inferensi logik mereka, yang dilihat sama penting dengan unsur fizikal kerana mereka memahami setiap bentuk peralatan material itu dalam keadaan wujud bersama dengan unsur bukan fizikal. Jelas bahawa permasalahan antara rasional–tidak rasional hanya didukung oleh kelainan perspektif yang menekankan tentang prinsip ‘kebenaran’ bagi setiap ilmu pengetahuan yang hanya dianggap layak untuk dilihat oleh sesetengah pihak menerusi ontologi sains. Di sini, dapat dilihat betapa bermaknanya teguran Hodgson (2004) yang cuba menjelaskan bahawa tiada sebarang standard mutlak yang mampu dipakai untuk menilai kecemerlangan dan pencapaian sesebuah kebudayaan masyarakat, termasuk juga aspek-aspek teknologi. Usaha memahami teknologi Melayu mengarah kepada deskripsi ideografik dan inkuiri relativisme, di mana teknologi itu cuba dilihat dalam kebudayaan secara parokial, iaitu dengan berasaskan kriteria-kriteria yang wujud menurut konteksnya. Memahami sejenis teknologi ratusan tahun yang tidak lagi dipraktikkan sekarang, iaitu sebagai sesuatu yang sudah dianggap asing kini, jelas sekali memerlukan pemerhatian berdasarkan konteks kebudayaan untuk memperluaskan horizon mengenai kewujudan, keunikan dan kepentingan teknologi itu terhadap masyarakat lampau yang mempraktikkannya. Oleh yang demikian, teknologi tidak dapat diukur menurut skema seperti yang difahami dalam kebudayaan Barat. Dengan meletakkan rasionaliti saintifik Barat pada teknologi kerana semata-mata hendak menjelaskan tentang kausaliti, menguji kesahan, dan kaitannya dengan keberkesanan teknik, atau supaya ia mampu ditanggapi dalam erti kata saintifik atau empirik, hanya menyebabkan ia menjadi tidak relevan (lihat Tambiah, 1985). Teknologi patut ditangani dari sudut pandangan dalaman (emik) menerusi kerangka pemikiran masyarakat itu sendiri seperti yang telah diperlihatkan oleh naskhah ilmu bedil. Akhīru `l-kalām Memahami ilmu pengetahuan teknikal dan teknologi penggunaan senjata api orang Melayu, serta kaitannya dalam menentukan corak kepenggunaan dengan kebudayaan mereka, dapat dilakukan menerusi tinjauan khusus ke atas naskhah-naskhah ilmu bedil. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa pendekar tembak Melayu mempraktikkan corak kepenggunaan dalam bentuk teknikaliti yang spesifik berdasarkan pemahaman mereka sendiri, yang diolah

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 9: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

9

menerusi hubungan adaptasi teknologi senjata api yang datang daripada kebudayaan asing, dengan pengetahuan budaya mereka. Dengan demikian, tulisan ini menegaskan bahawa teknologi senjata api Melayu merupakan suatu kekhususan yang perlu difahami menurut makna alternatif dengan menggunakan sumber tempatan, di mana ia dibentuk berasaskan ‘starting point’ mereka sendiri yang menampilkan kelainan perspektif dalam kepenggunaan teknologi berkenaan. Untuk itu, penekanan yang diberikan dalam tulisan ini adalah berupa pemahaman (verstehen) seperti yang telah diertikan sendiri oleh mereka berhubung sifat dan karekter teknologi yang digunakan itu. Naskhah ilmu bediI merupakan sumber alternatif berhubung pembicaraan secara teoretikal tentang teknologi dari kacamata pengguna dan penerimanya, yang turut memperlihatkan ciri kompleksiti bentuk dan kepakaran teknologi Melayu. Oleh itu, analisis mengenai teknologi dan hubungannya dengan kebudayaan dapat dipertajam lagi dalam tekstur pandangan yang mengutamakan penggunaan teks-teks ilmu pengetahuan tempatan (local knowledge) sebagai sumber yang signifikan. Secara tidak langsung, naskhah ilmu bedil menekankan implikasi penggunaan teks-teks kepustakaan ilmu tradisional yang masih lagi kurang diteliti. Teks-teks seperti ini, sudah sampai waktunya untuk dibincangkan dengan lebih giat dan mendalam. Rujukan Andaya, L.Y. 1999. Interaction with the outside world and adaptation in southeast Asian

society 1500-1800. Dlm. Nicholas Tarling (ed.), the Cambridge history of Southeast Asia, 345-401. Cambridge: Cambridge University Press.

Anon. t.t. Naskhah 85.48, Petua menembak meriam istinggar. Naskhah asal yang disimpan di

bahagian sejarah, Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Cuisinier, J. 1936. Danses magiques de Kelantan. Paris: Institut d'Ethnologie. Hanizah Jonoh. 1997. Senjata-senjata di zaman kesultanan Melayu Johor. Johor Bahru:

Yayasan Warisan Johor. Hairuddin Harun. 2006. Kosmologi Melayu dalam era teknologi maklumat. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa & Pustaka. Harun Mat Piah, et al. 2006. Sejarah kesusasteraan Melayu tradisional. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa & Pustaka. Hassan Ahmad. 2003. Metafora Melayu: Bagaimana pemikir Melayu mencipta makna dan

membentuk epistemologinya. Bangi: Akademi Kajian Ketamadunan. Hill, D. & Williams, P. 1965. The supernatural. London: Bloomsbury Books. Hodgson, M.G.S. 2004. Kebangkitan Islam: Gambaran dan sejarah dalam tamadun dunia,

jilid ketiga (diterjemahkan oleh Mohd Razali Masrun). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 10: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

10

Lorge, P.A. 2008. The Asian military revolution from gunpowder to the bomb. Cambridge: Cambridge University Press.

Malone, P.M. 2000. The skulking way of war: Technology and tactics among the New

England Indians. Lanham: Madison Books. Muhd Yusoff Hashim. 1993. Peperangan Melayu di dalam tradisi persejarahan Malaysia:

Satu telaah awal. Dlm. Ismail Hussien, Aziz Deraman, et al. (ed.), Tamadun Melayu, jilid satu, 188-210. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Norazit Selat. 1989. Konsep asas antropologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Nisbett, R.E. & Norenzayan, A. 2002. Culture and cognition. Dlm. D.L. Medin & H. Pashler

(ed.), Stevens' handbook of experimental psychology, edisi ketiga, jilid kedua: Memory and cognitive processes, 561-597. New York: John Wiley & Sons.

Othman Yatim & Mohd Zamberi Abd Malek. 1994. Meriam dalam sejarah kebudayaan

Melayu Nusantara. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium & Antikuiti. Razha Rashid. 1990. Martial arts and the Malay superman. Dlm. Wazir Jahan Karim (ed.),

Emotions of culture, 64-95. Singapore: Oxford University Press. Sun, L. 2003. Military technology transfers from Ming China and the Emergence of northern

mainland Southeast Asia (c. 1390-1527). Journal of Southeast Asian Studies 34(3): 495-517.

Tambiah, S.J. 1985. Culture, thought and social action: An anthropological perspective.

Massachussets: Harvard University Press. Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah. 2008. Peluru petunang dan orang Melayu. Dewan

Budaya 30(4): 43-45. Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah. 2010. Tasawwuf dalam manuskrip Melayu: Tinjauan

awal menerusi koleksi naskhah ilmu bedil. Dlm. Hashim Ismail (ed.), Tinta di dada naskhah, 405-418. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Malayu.

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah. 2012. Naskhah 85.48: Manuskrip ilmu menembak dari

Terengganu. Jurnal Filologi Melayu 19: dalam proses cetakan. Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, et al. 2012. Gunpowder technology: General remarks

from Malay manuscripts MSS31 and MSS85.48. Dlm. Chaiwat Meesantan (ed.), UM-TU-UGM: 1st international conference on Southeast Asian language and culture, 82-95. Bangkok: Thammasat University, Prachan Campus.

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah. 2013. Pengetahuan dan teknologi Melayu berhubung

penggunaan senjata api: Analisis naskhah ilmu bedil. Disertasi sarjana Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah & Othman Mohd Yatim. 2013. Teknologi istinggar:

Beberapa ciri fizikal dalam aplikasi teknikalnya. IMAN: Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu 1(3): 51-59.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 11: NASKHAH ILMU BEDIL DAN RENUNGAN PADA …myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1639/1/... · Konteks epistemologi kira sebagai poin di dalam measas mahami operasi teknikal

11

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah & Siti Radziah Mustafa. 2014a. Kearifan Melayu dalam pembinaan konsentrasi dan ketepatan: Aplikasinya dalam ritual menembak. Dlm. Nazarudin Zainun & Darlina Md. Naim (ed.), Merekayasa kearifan tempatan: Budaya, pelancongan, arkeologi dan sejarah, 24-45. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah & Siti Radziah Mustafa. 2014b. Manuskrip ilmu bedil:

Sumber etnosejarah teknologi senjata api Melayu. KEMANUSIAAN: The Asian Journal of Humanities 21(1): dalam proses penerbitan.

Wynn, T. 1994. Tool and tool behaviour. Dlm. Tim Ingold (ed.), Companion encyclopedia of

anthropology, 133-161. London and New York: Routledge.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia