naskah ranjau sepanjang jalan

Upload: sulocana-sheila

Post on 14-Apr-2018

414 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

  • 7/27/2019 Naskah Ranjau Sepanjang Jalan

    1/2

    Naskah Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) hampir-hampir mengandungi segala jenis cabaran, dugaan dan

    masalah yang lazimnya dihadapi oleh para petani yang miskin dan serba kekurangan dari segi peralatan

    untuk membuat sawah dan keperluan harian yang lain. Pengarang, Shahnon Ahmad dilihat berjaya

    mengetengahkan kehidupan yang sukar para petani ini dengan cara yang cukup kreatif dan

    menginsafkan.

    Dengan mengambil latar belakang tempat yang beliau sendiri alaminya sedari kecil, Kampung Banggul

    Derdap, Sik, Kedah yang kaya dengan kemiskinan, maka plot-plot dalam RSJ diatur dengan cara yang

    biasa tetapi permainan emosi yang dicipta cukup luar biasa dan menggugat emosi sekaligus menyentak

    akal fikiran tentang kelompok masyarakat yang hidupnya asyik berjuang bukan untuk mencari sesuap

    nasi untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk menyediakan nasi yang akan disuap oleh seluruh lapisan

    masyarakat yang lain pula. Shahnon dalam naskah ini berupaya menyelinap ke dasar kehidupan petani

    yang sulit hidupnya dan walaupun berulangkali diingatkan bahawa ujian hidup ini adalah ujian dari Allah

    namun adakalanya manusia itu kadangkala tertewas menghadapinya.

    Shahnon dalam naskah ini mengolah dengan menggunakan hanya latar masa sewaktu musim menanam

    padi dan menuai. Disinilah sebuah keperitan yang sukar ditanggung dipamerkan sehingga mencetuskan

    perasaan simpati pembaca kepada keluarga Lahuma, seorang ketua keluarga yang memiliki tujuh orang

    cahaya mata. Isterinya pula Jeha, seorang yang setia mendiami sebuah teratak buruk yang sekian lama

    menampung kehidupan mereka sekeluarga. Anak-anaknya Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan

    Kiah walaupun tidak semuanya berperanan penting dalam naskah ini namun memiliki anggota keluarga

    yang ramai sememangnya menjadi sesuatu yang biasa bagi keluarga Melayu apatah lagi mereka

    memegang kepercayaan agama bahawa anak itu adalah rezeki dari Allah yang mesti dipelihara dengan

    penuh kasih sayang.

    Musim menanam padi yang datang lagi menuntut Lahuma dan Jeha turun ke bendang mereka yang

    berjumlah 14 relung untuk disemai anak benih padi. Dahulunya 20 relung tetapi kerana jual janji, enam

    relung terlepas ke tangan tauke Cina, satu keadaan yang senantiasa berlaku dalam kehidupan orang

    Melayu. Bendang yang terbiar itu perlu segera dibersihkan dengan menebas menerung, rumput bulu

    landak dan segala semak samun lain yang merajai kawasan bendang itu.

    Cadang Lahuma mahu ditabur benih padi Malinja, padi Siam, padi Serindit dan pulut sedikit. Bukan

    sedikit kesulitan yang terpaksa ditempuh oleh Lahuma dan Jeha. Menebas kawasan semak di bendang itu

    satu hal, berhadapan dengan entah binatang berbisa yang lain juga satu hal hingga Jeha nyaris dipatuk

    ular tedung senduk ketika memetik pucuk-pucuk kayu di paya. Duri nibung yang mencucuk tapak kaki

    Lahuma antara permulaan yang mengikat Jeha dan anak-anaknya dalam kesusahan yang berterusan di

    mana bisa duri nibung itu akhirnya meragut nyawa Lahuma secara perlahan-lahan.

    Tanggungjawab mengetuai keluarga kini dipikul pula oleh Jeha dengan dibantu oleh Sanah selaku anak

    sulung. Bantuan menajak dengan traktor yang atas ihsan Tuk Penghulu hanyalah bantuan yang bersifat

    sementara justeru ketika padi mula disemai begitu banyak lagi ujian yang terpaksa mereka tempuhi.

  • 7/27/2019 Naskah Ranjau Sepanjang Jalan

    2/2

    Serangan burung tiak yang memagut buah-buah padi, ketam-ketam putih yang memotong batang-batang

    anak padi hinggakan semua ujian ini terpaksa mereka tempuhi sehingga memaksa mereka terpaksa

    berada di bendang hingga hari malam untuk melindungi padi-padi yang sedang membesar, bencana alam

    yang menenggelamkan segala padi yang semakin membesar di sawah.

    Ujian-ujian ini begitu perit untuk dilalui sementara Jeha pula mengalami tekanan jiwa dan menyebabkan

    dia terpaksa dikurung hinggalah dihantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak dan bebanan terpaksa

    dipikul oleh Sanah selaku anak sulung Lahuma dan Jeha. Segala bencana yang terpaksa ditempuh oleh

    seluruh penduduk Kampung Banggul Derdap tanpa kecuali menghampakan harapan mereka untuk

    berkenduri besar sempena musim menuai padi. Padi kali itu tidak menjadi seperti yang semua harapkan.

    Walaupun begitu kehidupan perlu diteruskan dengan keyakinan yang penuh kepada Allah Ta'ala sebagai

    Pemberi rezeki paling utama.

    Pada saya, novel ini penuh dengan kesungguhan untuk menampilkan watak perempuan seperti Jeha dan

    Sanah yang terus berani berjuang untuk mencari rezeki sekalipun tahu bahawa kudrat wanita kadangkalaada lemahnya namun semua itu bukan alasan apatah lagi tempat mereka bergantung yakni Lahuma

    sudah tiada. Kesungguhan wanita juga adakalanya tertewas seperti yang dialami oleh Jeha yang

    mengalami tekanan mental namun begitu perjuangannya diteruskan oleh Sanah yang mengambil alih

    sepenuhnya peranan sebagai seorang ayah, ibu, kakak sulung dan penyara kehidupan dia dan adik-

    adiknya.

    Disini jelas kelihatan bahawa Sanah sebagai watak yang harus diketengahkan sebagai wira yang tidak

    didendang. Kekuatan dan kualiti wanita yang dimiliki olehnya sangat mencerminkan ketegaran jiwa

    seorang wanita walaupun dia masih belum bersuami. Naskah RSJ ini juga pernah diolah untuk layar

    perak pada tahun 1983 dan pernah memenangi filem terbaik, lakon layar terbaik, jurukamera terbaik,penataan seni terbaik dan anugerah khas Juri dalam pertandingan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-4

    pada tahun 1983.

    Sejurus saya menikmati dan menginsafi naskah ini, seringkali ketika melalui lebuh raya Utara-Selatan di

    Kedah yang berhias indah pemandangan sawah dan bendang dikiri dan kanan, ingatan saya terhimbau

    kepada episod tragis yang melanda keluarga Lahuma. Dari jauh seakan-akan terpandang Lahuma, Jeha

    dan anak-anak mereka membanting tulang untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.