pembelajaran sepanjang hayat

21
1.0 PENGENALAN Pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai visi negara untuk memperoleh status sebagai sebuah negara yang membangun dari segenap aspek ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu padu, liberal dan dinamik. Proses pemantapan modal insan murid memerlukan pembabitan dan usaha bersungguh-sungguh oleh semua peringkat pengurusan pendidikan terutamanya pihak guru. Justeru, sebagai pendidik yang berdedikasi, guru perlu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima perubahan pendidikan semasa lantaran guru merupakan agen transformasi pendidikan negara yang berperanan besar ke arah melahirkan modal insan kelas pertama yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Menurut Kamus Dewan (2005), ‘guru’ bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang guru merupakan pembimbing dalam proses pembelajaran. Menurut Mok Soon Sang (1996) pula, guru merupakan seorang ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan masyarakat berstatus. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawab untuk mendidik pelajar di sekolah. Mengikut Kamus Dewan (2005), ‘profesion’ ialah pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang- undang, seni bina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. Manakala ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru (Kamus Dewan, 2005). Oleh itu, sebagai individu 1

Upload: fatin-azlina

Post on 28-Sep-2015

1.599 views

Category:

Documents


41 download

DESCRIPTION

BUDAYA MENYELIDIK

TRANSCRIPT

1.0 PENGENALANPendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai visi negara untuk memperoleh status sebagai sebuah negara yang membangun dari segenap aspek ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu padu, liberal dan dinamik. Proses pemantapan modal insan murid memerlukan pembabitan dan usaha bersungguh-sungguh oleh semua peringkat pengurusan pendidikan terutamanya pihak guru. Justeru, sebagai pendidik yang berdedikasi, guru perlu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima perubahan pendidikan semasa lantaran guru merupakan agen transformasi pendidikan negara yang berperanan besar ke arah melahirkan modal insan kelas pertama yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Menurut Kamus Dewan (2005), guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang guru merupakan pembimbing dalam proses pembelajaran. Menurut Mok Soon Sang (1996) pula, guru merupakan seorang ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan masyarakat berstatus. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawab untuk mendidik pelajar di sekolah. Mengikut Kamus Dewan (2005), profesion ialah pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, seni bina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. Manakala keguruan pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru (Kamus Dewan, 2005). Oleh itu, sebagai individu yang berkecimpung dalam profesion keguruan ini, guru seharusnya mempunyai nilai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang tinggi seiring dengan peningkatan profesionalisme kendiri.

Sehubungan dengan itu, proses meningkatkan kualiti pendidikan dan status profesion keguruan ini memerlukan guru untuk senantiasa bersedia dalam menghadapi cabaran alaf baru lantaran kecanggihan teknologi pada masa kini turut memberi kesan terhadap perkembangan pendidikan semasa. Dalam proses ini, guru bukan sahaja perlu berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dan inovatif malahan turut bermotivasi dan menunjukkan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, konsep pembelajaran sepanjang hayat wajar dihayati dan diamalkan oleh pihak guru bagi melahirkan insan guru yang berilmu pengetahuan tinggi, berkemahiran dan kompeten sewaktu mendepani tugas harian di sekolah sekali gus dapat meningkatkan profesion keguruan di Malaysia.

Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang boleh dipelajari secara formal atau tidak formal ke arah peningkatan profesionalisme keguruan. Pembelajaran sepanjang hayat menekankan elemen-elemen antaranya ialah budaya membaca, budaya menyelidik, amalan reflektif, kolaborasi, komuniti pembelajaran professional (PLC), akses maklumat pelbagai sumber, pelan pembelajaran peribadi dan latihan dalam perkhidmatan. (Sumber: Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara).

Oleh itu, pembelajaran sepanjang hayat ataupun pembelajaran sepanjang umur melibatkan aktiviti pelajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang hayat khususnya orang dewasa. Dalam erti kata lain pembelajaran sepanjang hayat ini merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.

Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat kepada guru, salah satu elemen yang sangat berkait rapat dan dekat dengan guru ialah budaya menyelidik. Ini jelas ditunjukkan melalui ungkapan teacher is a researcher yang sering dilaungkan oleh para pakar pendidikan dalam mana-mana bengkel, kursus atau seminar, khususnya seminar penyelidikan pendidikan. Selain itu ungkapan lain yang sering dilaungkan adalah guru sebagai pengamal reflektif. Justeru, kupasan kajian adalah melibatkan kepentingan budaya menyelidik dalam memartabatkan profesion keguruan di Malaysia.

Dengan adanya budaya menyelidik dalam diri guru dapat meningkatkan kualiti intelek serta profesionalisme seseorang guru. Kepentingan budaya menyelidik dalam memartabatkan profesion keguruan ini antaranya ialah dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan potensi intelek, rohani, emosi dan jasmani murid serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru di dalam dan luar bilik darjah. Penyelidikan juga dilihat dapat membantu guru meningkatkan hasil kerja sekali gus mengubah amalan pengajaran melalui penambahan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang proses menyelidik.

Budaya menyelidik juga penting dalam memberi ruang kepada guru sebagai penyelidik untuk mencuba idea-idea baru seterusnya menimbulkan motivasi yang tinggi untuk guru bekerja selain membawa kepada kewujudan perkongsian pintar sesama pengkaji yakni guru. Selain itu, perbincangan yang bakal dikupas juga adalah melibatkan langkah-langkah guru dalam menghayati budaya menyelidik ini. Guru yang mahir bukan sahaja menjalankan penyelidikan tindakan bagi memperbaiki amalan pengajaran, malahan juga sentiasa melakukan refleksi, aktif dalam menyertai seminar, bengkel serta kursus berkaitan penyelidikan.

2.0 KONSEP BUDAYA PENYELIDIKAN Usaha merealisasikan hasrat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju mengikut acuan sendiri amat bergantung pada sistem pendidikan. Menyedari hakikat ini, usaha melahirkan modal insan minda kelas pertama telah menjadi agenda teras kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (Misi Nasional) dan seterusnya telah menggerakkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) sebagai langkah untuk menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berkeperibadian tinggi.

Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan PIPP (2006-2010) menunjukkan kesungguhan KPM dalam meningkatkan kualiti perguruan di Malaysia. Salah satu teras yang secara langsung menyentuh mengenai aspek ini ialah teras kelima iaitu memartabatkan profesion keguruan. Teras ini memberi fokus untuk menghasilkan guru yang kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan dan memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru (Lee Soon Guan, 1997). Antara aspek yang diberi penekanan dalam elemen memantapkan latihan perguruan ialah penyelidikan sebagai budaya kerja pendidikan guru. Objektif ini dijangka akan meningkatkan bilangan guru yang terlibat dalam penyelidikan pada tempoh pelaksanaan RMK-9.

Bagi memenuhi proses penambahbaikan secara kompherensif atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan serta pembelajaran sepanjang hayat maka budaya penyelidikan amat perlu dipertingkatkan dan dibudayakan di kalangan pendidik. Penyelidikan boleh ditakrifkan sebagai kerja-kerja menyelidik atau perbuatan menyelidik (Kamus Dewan, 2005). Dalam konteks pendidikan, penyelidikan adalah suatu proses membuat refleksi terhadap masalah-masalah pendidikan (Mok Soon Sang, 1996) seperti pelaksanaan polisi dan program pendidikan di peringkat makro manakala di peringkat mikro, refleksi dilakukan terhadap masalah yang berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa penyelidikan adalah satu usaha menyelidik untuk mencari jawapan kepada permasalahan dalam bidang pendidikan dengan mentafsir dapatan-dapatan baru, membaharui teori dan membuat kesimpulan bagi penyelesaian masalah yang dikaji. Guru sebagai penyelidik ialah guru yang mengkaji keadaan sosial yang boleh memberi gambaran untuk membaiki rasionaliti, tabiat berfikir, kefahaman dan amalan-amalan pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme perguruan.

Manakala, budaya pula menurut Kamus Dewan (2005) berkait dengan tamadun, peradaban, kemajuan fikiran serta akal budi yakni cara berfikir, berkelakuan, dan sebagainya. Justeru, budaya menyelidik guru melibatkan perilaku guru membuat refleksi serta penyelidikan terhadap amalan pengajaran mereka dalam bilik darjah. Budaya menyelidik ini mampu meningkatkan keberkesanan guru dan seterusnya dapat menyumbang kepada kualiti pendidikan negara.

3.0 KEPENTINGAN BUDAYA MENYELIDIK DALAM MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN

Dalam konteks pendidikan di Malaysia, usaha untuk mencapai mutu dan kecemerlangan pendidikan selaras Falsafah Pendidikan Negara, Rukun Negara dan Wawasan 2020 dapat dilakukan dengan lebih efektif lagi sekiranya guru dan pengurus pendidikan mengamalkan research thinking and orientation dan research-based decision making dalam tugas harian mereka (Mahpor, 1997). Pentingnya amalan penyelidikan dalam meningkatkan profesionalisme keguruan antaranya dinyatakan oleh Shitford et al. (1987) yang menegaskan bahawa:action research as vehicle for increasing the professionalism of teachers. Throught action research, teacher begins to value research and develop a professional culture that values reflection.(Artikel: Guru Sebagai Penyelidik)Antara kepentingan penyelidikan ialah dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan potensi intelek, rohani, emosi dan jasmani murid serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru di dalam dan luar bilik darjah. Ini kerana, kajian terhadap amalan pengajaran atau pedagogi yang diamalkan oleh guru dapat membantu guru menyelesaikan masalah pendidikan seterusnya tindakan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dapat dilaksanakan. Hal ini selari dengan pendapat Mogana (1996) yang menyatakan bahawa keberkesanan pembangunan profesional guru dapat dilihat dalam proses membaiki pengajaran dan pembelajaran.

Penyelidikan juga dilihat dapat membantu guru meningkatkan hasil kerja sekali gus mengubah amalan pengajaran melalui penambahan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang proses menyelidik. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan profesion keguruan lantaran aktiviti menyelidik ini memerlukan guru untuk sentiasa berusaha gigih meningkatkan komitmen dan prestasi kerja harian. Hal ini penting bagi menunjukkan bahawa seorang guru yang berjiwa penyelidik tidak mudah berasa puas pada satu tahap selesa sebaliknya sentiasa komited dalam mengembangkan potensi diri melalui amalan pengajaran yang berkesan seiring perkembangan semasa. Penglibatan guru dalam penyelidikan secara aktif dalam mencari penyelesaian masalah di dalam bilik darjah dapat meningkatkan komitmen dan prestasi kerja guru tersebut.

Hal ini disokong oleh Covey (1989) dalam artikel Isu Penyelidikan yang menyatakan bahawa penglibatan seseorang untuk memenuhi tuntutan keperluan yang memaksa mereka komited dan jika tiada penglibatan maka komitmen tidak mungkin wujud. Proses penyelidikan guru banyak membantu guru mempertingkatkan hasil kerja mereka melalui penambahan pengalaman dan kemahiran. Selain itu, guru adalah insan berpotensi dan berkemampuan untuk memperkembangkan kemahiran dan pengetahuan untuk menjadi manusia yang positif dan proaktif dalam menjalankan tugasnya.

Budaya menyelidik juga penting dalam memberi ruang kepada guru sebagai penyelidik untuk mencuba idea-idea seterusnya menimbulkan motivasi yang tinggi untuk guru bekerja. Tanpa aktiviti penyelidikan, kebanyakan guru kurang peka terhadap penambahan ilmu melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian ilmu. Guru yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan lazimnya dapat melihat nilai tambah ilmu yang diperoleh hasil daripada dapatan penyelidikannya kepada perkhidmatan mereka. Dalam kajian yang dilakukan oleh Madzniyah (2006) mendapati guru yang menjalankan penyelidikan berpendapat bahawa penyelidikan dapat memperkembangkan profesionalisme mereka terutama dalam pertambahan ilmu pengetahuan.

Peri pentingnya amalan menyelidik dalam meningkatkan profesionalisme guru dalam negara ini juga turut ditekankan oleh Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan yang berucap sempena Seminar Jiwa Penyelidik di IPG Kampus Temengggong Ibrahim (IPGKTI):

"Kita tidak mahu warga pendidik hanya menumpu perhatian untuk mengajar anak murid, sebaliknya mereka perlu menyumbang sesuatu kepada negara melalui bidang penyelidikan. Ini kerana cintakan ilmu, dahagakan pengetahuan dan belajar sepanjang hayat merupakan sifat yang harus ada pada diri setiap warga pendidik" (Azizi Majid, 2011)

Menurut beliau, bidang penyelidikan seharusnya diberi penekanan sewajarnya dalam bidang pendidikan di negara ini kerana ia bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada pendidik malah kepada masyarakat. Seluruh warga pendidik khususnya yang berada di Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu meningkatkan budaya penyelidikan dalam kerjaya masing-masing kerana ia mampu meningkatkan integriti dan kredibiliti mereka seterusnya memartabatkan lagi profesion perguruan.

Peri pentingnya budaya menyelidik ini juga dapat dilihat menerusi kewujudan perkongsian pintar dalam kalangan pendidik yang dapat membantu meningkatkan kualiti perguruan. Perkongsian pintar ini berlaku apabila penukaran dan aliran maklumat berlaku secara bebas. Melalui penyelidikan, para guru dapat menyuarakan pandangan berdasarkan dapatan kajian yang kukuh kepada pihak-pihak berkepentingan dan pembuat dasar untuk diambil perhatian dalam penyelesaian sesuatu masalah berkaitan dengan pendidikan. Dalam konteks mikro, perkongsian pintar ini berlaku apabila hasil dapatan penyelidikan dibincangkan dalam persidangan, seminar, bengkel dan penulisan jurnal. Perkongsian maklumat dan perbincangan-perbincangan dalam mengatasi permasalahan yang sama dapat mewujudkan pakatan strategi setelah membuat pertimbangan daripada pelbagai aspek pemikiran dan pengalaman para pengkaji yakni guru. Dengan cara ini, perkembangan idea dan daya cipta dalam kalangan guru turut dapat ditingkatkan.

Guru adalah sumber utama penyebaran pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar. Kalau dahulunya peranan guru adalah sebagai penyampai pengetahuan (provider of knowledge), kini peranan guru adalah sebagai pemudah cara pengetahuan (facilitator of knowledge). Oleh itu, untuk meningkatkan peranan guru, maka guru perlu kreatif dan efektif dalam penyampaian mereka. Bagi membolehkan guru efektif, maka mereka perlu sentiasa memikirkan pendekatan baru dan menyesuaikan amalan pengajaran mereka sesuai dengan kehendak pelajar. Penggunaan kaedah penyelidikan tindakan boleh menjadi satu platform kepada guru bagi menuju ke arah penambahbaikan keberkesanan pengajaran.

Kepentingan kajian tindakan dan amalan menyelidik kepada guru ini turut disokong oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar (EPRD) Kementerian Pelajaran Malaysia, Amir Mohd Salleh. Menurut beliau, setiap guru perlu mencontohi guru di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea yang membuat kajian tindakan terhadap bidang kerjaya mereka. Ia sebagai alat penilai dan perlu menganggapnya sebagai sebahagian daripada bidang tugas untuk meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Dengan kenyataan ini, maka terbuktilah bahawa untuk menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia, guru-guru yang perlu memulakan langkah untuk melakukan transformasi agar kualiti pembelajaran semakin berkualiti dan bertaraf dunia (Nur Fazeera, 2012).

Penyelidikan juga penting dalam membantu guru menghadapi cabaran dan masalah berhubung dengan amalan pengajaran dan pembelajaran. Apabila guru menjalankan penyelidikan, mereka dapat memperkembangkan kemahiran profesional seperti mengenalpasti teknik atau kaedah pembelajaran yang berkesan. Dengan adanya penyelidikan tindakan, dapat mengeluarkan guru tersebut dari kongkongan dan amalan-amalan rutin yang biasa dilaksanakan dan sekaligus dapat meningkatkan amalan-amalan profesional seperti memperkenalkan amalan-amalan yang lebih berkesan dalam membuat keputusan. Melalui pembaharuan ini, kemajuan dapat ditingkatkan melalui refleksi kendiri dan guru tersebut akan lebih yakin untuk berkongsi pengalaman, prestasi kerja dan memberi peluang kepada guru untuk menjadi agen perubahan dengan membuat refleksi mengenai kekuatan dan kelemahan diri. 4.0 LANGKAH GURU DALAM MENGHAYATI ELEMEN BUDAYA MENYELIDIKKejayaan seseorang guru dalam profesionnya bergantung kepada kesediaan guru berkenaan untuk terus memajukan dan meningkatkan profesionalisme diri melalui pelbagai aktiviti dan program pendidikan. Guru akan berhadapan dengan pelbagai bentuk perubahan sama ada di dalam atau di luar profesionnya. Antara tuntutan dalaman ialah kesediaan guru untuk mencuba pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan kreatif di samping menghadapi perubahan dari segi istilah, kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baharu. Hal ini memerlukan guru untuk melaksanakan kajian tindakan dalam usaha menghayati budaya penyelidikan.

Penyelidikan tindakan ialah inkuiri berbentuk refleksi kendiri yang dilakukan secara kolaboratif oleh peserta sesuatu situasi sosial untuk tujuan mempertingkatkan rasional dan keadilan sosial atau pendidikan yang mereka lakukan, serta mempertingkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan tersebut dan situasi atau persekitaran di dalam amalan tersebut dijalankan (McTaggart, 1988) dalam Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsudin (2011). Mc. Niff (1998) menerangkan bahawa kajian tindakan ialah satu pendekatan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan menjadi bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Menurut beliau, pendekatan ini melibatkan guru melaksanakan inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif (usaha sama) sewaktu mengadakan kajian. Beliau merumuskan konsep kajian tindakan dengan mengatakan bahawa:

Action research implies adopting a deliberate openness to new experiences and processes, and, as such, demands that the action of educational research is it self educational. By consciously engaging in their own educational development, teachers gain both professionally and personally, and it is this personal commitment that counts the process of human inquiry.Mc. Niff (1998) dalam Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsudin (2011).Terdapat lima proses penting dalam melaksanakan kajian tindakan iaitu idea permulaan, membina rancangan tindakan, melaksana tindakan, memerhati kesan pelaksanaan tindakan serta mereflek. Suatu kajian tindakan bermula dengan satu idea bahawa suatu perubahan atau penambahbaikan diperlukan dalam amalan guru. Idea tersebut akan terbit daripada rasa prihatin guru terhadap sesuatu perkara praktikal berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang dilakui, di mana suatu masalah sedang dihadapi. Kemmis & McTaggart (1988) dalam Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsudin (2011) menggariskan empat langkah penting bagi menjalankan kajian tindakan iaitu membina suatu rancangan tindakan bagi membaiki sesuatu yang sedang berlangsung, melaksana rancangan yang dibina, memerhati kesan pelaksanaan dalam konteks bilik darjah dan mereflek atau mengimbas kembali kesan yang terjadi sebagai asas untuk merancang tindakan seterusnya.

Di sekolah murid menghadapi pelbagai masalah pembelajaran. Berasaskan pertimbangan itu, kajian tindakan yang bertujuan untuk menangani pelbagai masalah pengajaran dan pembelajaran lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap cemerlang dalam pendidikan. Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan kajian tindakan perlu dihayati dan dijadikan amalan oleh guru supaya sebarang masalah pembelajaran yang timbul dapat ditangani serta dikesan seawal mungkin iaitu sebelum ia menjadi terlalu rumit untuk ditangani (Ng Kim Choy, 2001). Penekanan kepada guru untuk melaksanakan penyelidikan tindakan sebagai langkah memperbaiki amalan pengjaran mereka turut di tekankan oleh Dr. Wan Zahid (1993) sewaktu ucapan perasmian Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pendidikan:

Dalam konteks untuk mengenal pasti pencapaian matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kajian Tindakan perlu dijalankan di peringkat sekolah, terutama oleh guru-guru yang terlibat dalam kegiatan pengajaran di bilik-bilik darjah. Pihak guru-guru besar perlu menggalakkan guru-guru menjalankan Kajian Tindakan kerana melalui kegiatan tersebut, pihak guru-guru berkenaan boleh memperbaiki proses pengajaran mereka. (Lee Soon Guan, 1997)Penyelidikan tindakan dapat menyumbang kepada pembangunan profesionalisme keguruan. Sikap kritikal, pengamal yang reflektif, sikap bertanggungjawab serta penilai kendiri adalah asas kepada perkembangan profesionalisme keguruan. Ahli-ahli profesional adalah bertanggungjawab ke atas tindakan mereka. Oleh itu, melalui penyelidikan dan menyemak semula amalan secara berterusan, guru-guru boleh membuat justifikasi terhadap amalan mereka secara bertanggungjawab selepas melakukan refleksi kendiri dan penilaian kendiri.

Justeru, langkah lain bagi guru menghayati budaya penyelidikan ini adalah melibatkan pelaksanaan proses refleksi kendiri. Refleksi kendiri melibatkan guru untuk membuat muhasabah diri (cermin diri) dan mengkaji kelemahan dirinya sendiri yang mungkin menjadi punca kelemahan dan masalah murid-muridnya. Sachon (1983) menyarankan perubahan amalan guru dari berbentuk technical rationality kepada reflective rationality yang menekankan amalan refleksi sebagai asas perkembangan profesional. Schon juga mengemukakan konsep reflection-in-action dan knowing-in-action sebagai proses penyelidikan untuk perkembangan ilmu profesional dan peningkatan profesional perguruan. Konsep reflection-in-action dan knowing-in-action membantu guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan di samping memungkinkan idea-idea baru dicetus bagi membaiki amalan. Proses ini sebenarnya memerlukan seseorang itu mengesan maklumat dan menganalisis maklumat bagi membuat keputusan yang pantas bagi membaiki amalannya secara berterusan.

Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Guru profesional yang menghayati elemen penyelidikan juga akan sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran guru.

Penyelidikan tindakan berkait rapat dalam kehidupan guru, justeru beberapa langkah lain boleh diambil oleh pihak guru untuk menghayati budaya menyelidik ini. Antaranya ialah dengan melibatkan diri secara aktif dalam program pendidikan di institusi pendidikan yang mengadakan kursus wajib penyelidikan tindakan. Dengan cara ini, pengetahuan berkenaan penulisan kajian tindakan dapat dikuasai oleh guru. Guru juga boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti penyelidikan tindakan dengan menyertai bengkel, kursus, seminar penyelidikan tindakan dan penulisan. Guru perlu menyebarkan hasil kajian melalui buletin, jurnal serta menghadiri dan membentangkan hasil kajian dalam seminar atau persidangan berkaitan dengan pendidikan. Dengan ini, guru-guru akan berasa hasil penyelidikan mereka dihargai dan diiktiraf.

Dengan melibatkan diri dalam seminar kajian tindakan, bengkel penulisan laporan kajian tindakan dan sebagainya guru akan didedahkan mengenai penghasilan kertas kajian tindakan yang berkesan dan praktikal mengikut format yang betul, pendedahan kepada perkongsian pengalaman penceramah dan guru (peserta) dalam penghasilan kertas kajian tindakan, pengembangan potensi guru dalam penghasilan kertas kajian yang berkesan merangsang minda guru berfikir secara lebih kreatif dan kritis, menggalakan penghasilan penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran kepada guru seterusnya menjadikan kaedah pengajaran guru lebih up to date dari segi pengkaedahan dan penyampaian. Peserta kursus kajian tindakan turut didedahkan contoh-contoh kajian tindakan sebagai rujukan. Di akhir kursus, peserta kursus perlu membentangkan kertas kerja kajian tindakan yang dihasilkan mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan perlu menjalankan kajian di sekolah masing-masing sepertimana yang telah dibentangkan dalam proposal yang dihasilkan.

Tuntasnya, pembudayaan penyelidikan yang menyeluruh adalah perlu supaya penyelidikan dapat dijadikan sebagai amalan yang boleh membantu dalam membuat keputusan serta tindakan yang lebih baik. Penyelidikan bukanlah cara yang boleh menyelesaikan sesuatu masalah, tetapi penyelidikan dapat membantu dalam melihat masalah secara lebih terancang dan sistematik supaya penyelesaian kepada masalah itu dapat dibuat dengan lebih berkesan. Untuk membolehkan penyelidikan memberi sumbangan yang berkesan dalam meningkatkan kualiti pendidikan guru di setiap peringkat, metodologi, proses dan dapatan penyelidikan perlu dapat difahami dan digunakan sebaik-baiknya oleh pelbagai pihak yang terlibat dan berkepentingan.

4.0 PENUTUP

Guru perlu senantiasa bersedia dalam menghadapi cabaran alaf baru terutama berkaitan perkembangan pendidikan semasa bagi merealisasikan hasrat dan misi pendidikan. Profesionalisme keguruan ini dapat ditingkatkan melalui pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran sepanjang hayat penting dalam memastikan guru sebagai golongan profesional dapat melaksanakan tugas sebagai pendidik secara berkesan seiring dengan perkembangan pendidikan semasa yang memerlukan guru untuk sentiasa mengemas kini pengetahuan, kemahiran, nilai dan kompetensi.

Kefahaman dan kesedaran guru mengenai kepentingan budaya menyelidik dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat membolehkan guru sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan yang serba mencabar selain dapat menjayakan usaha pihak kementerian untuk melahirkan guru yang berilmu pengetahuan tinggi, berkemahiran serta peka terhadap sebarang tuntutan keperluan pendidikan semasa negara yang semakin berkembang maju. Penglibatan guru dalam penyelidikan terutama penyelidikan tindakan perlu dihayati oleh semua guru. Hal ini kerana penyelidikan tindakan akan membina kekuatan profesionalisme keguruan dan membentuk guru yang lebih profesional dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan organisasi sekolah. Ilmu boleh diperolehi melalui pengalaman dan amalan menyelidik ini seterusnya dapat melahirkan insan guru yang menjiwai watak teacher as researcher.

15