min_isu bi dlm mat & sains

30
Universiti Malaysia Sabah TP 6024 ORGANIZATIONAL DYNAMICS IN EDUCATION ULASAN PENULISAN : Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran Sains Dan Matematik Nama Pensyarah : Dr. Sabariah Sharif Nama Pelajar : Ramin Bin Pagi No.Matrik : PT20068443 Program : Master Of Education (Education Of Management)

Upload: jumardi-singare

Post on 31-Oct-2014

142 views

Category:

Documents


5 download

TRANSCRIPT

Universiti Malaysia Sabah

TP 6024ORGANIZATIONAL DYNAMICS IN

EDUCATION

ULASAN PENULISAN :Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran Sains Dan Matematik

Nama Pensyarah : Dr. Sabariah Sharif

Nama Pelajar : Ramin Bin Pagi

No.Matrik : PT20068443

Program : Master Of Education (Education Of Management)

Tajuk : Penggunaan Bahasa Inggeris Pengajaran Subjek Sains Dan Matematik

1.0 Pendahuluan

Sains dan Matematik adalah dua subjek yang sangat dititikberatkan oleh

Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melahirkan masyarakat yang mahir dalam

bidang Sains dan Matematik ini sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun

peringkat institusi pengajian tinggi. Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap

lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-

undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan

kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara

152, malah mampu menjadikan remaja khasnya untuk lebih fasih berbahasa

Melayu. Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan

identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia.

Keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menukar

istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan tempat di kawasan

Putrajaya harus diberikan pujian serta wajib untuk dilaksanakan (Muhammad

Bokhari Alias, 7 Disember 2005). Sebagai sebuah negara berdaulat dan mengiktiraf

peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tentu hairan apabila

melihat istilah-istilah asing seperti “Presint, Boulevard dan Parcel” digunakan

secara meluas di Putrajaya. Adakah dengan menggunakan istilah-istilah sedemikian

akan membantu perkembangan serta kemajuan pemerintahan negara? Adakah ianya

suatu yang dapat mengembangkan minda dan pengetahuan seseorang? Ataupun

2

adakah penggunaan bahasa Inggeris ini mampu untuk memberi kebaikan kepada

kebanyakan masyarakat yang kebanyakkannya bertutur dalam bahasa Ibunda,

bahasa Melayu dalam kehidupan harian. Jawapannya tentulah tidak. Penggunaan

bahasa Inggeris ini sebaliknya mungkin akan mendatangkan banyak masalah

kepada kepada kebanyakan orang. Penggunaan bahasa Inggeris ini mungkin akan

memebentuk dua krisis yang utama iaitu kekeliruan minda dan kerendahan jiwa.

Masalah ini menyumbang kepada kekeliruan minda melalui persoalan

apakah tidak ada langsung istilah-istilah ataupun nama-nama di dalam bahasa

kebangsaan yang boleh digunakan untuk dijadikan nama jalan dan tempat di negara

kita. Persoalan kedua pula adalah menyumbang kepada kerendahan jiwa apabila

kita secara terbuka menyokong dan berbangga terhadap penggunaan istilah-istilah

asing lebih daripada istilah dalam bahasa kebangsaan sendiri. Hal sedemikian bukan

sahaja berlaku di Putrajaya malah turut berlaku di segenap pelusuk negara dan

adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyatakan

keperihatinan terhadap perkara ini.

Keadaan diburukkan lagi apabila ada pihak yang cuba untuk menjadikan

bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam matapelajaran Sains dan

Matematik. Tindakan ini dilihat sebagai suatu yang boleh mendatangkan kebaikan

kepada kebanyakan pelajar dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan mereka

terhadap bahasa asing. Walau bagaimanapun, bagaimana pula dengan nasib bahasa

Melayu yang masih kurang dikuasai oleh kebanyakan pelajar. Sebelum tindakan ini

3

dijalankan, sesuatu pihak tersebut perlu memikirkan tentang beberapa perkara

seperti “adakah pelajar terutamanya pelajar Melayu benar-benar menguasai bahasa

Melayu? Sekirnaya tidak, adakah usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di

persada antarabangsa akan tercapai? Bagaimanakah nasib bahasa kebangsaan yang

hampir 50 tahun diperjuangkan nasibnya? Semua pesoalan ini perlu difikirkan

sebelum perlaksaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.

2.0 Bahasa Melayu dan Pejuangnya

Usaha untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik

mendapat bantahan daripada banyak pihak terutamanya bagi mereka yang sentiasa

berusaha untuk memartabatkan dan menjaga keistimewaan bahasa Melayu sebagai

bahasa penghantar di kebanyakan peringkat. Selain daripada digunakan dalam

pertuturan harian masyarakat, bahasa ibunda negara ini juga turut diguna pakai di

jabatan-jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sebagainya. Oleh yang

demikian, usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berfungsi

pada pelbagai tujuan harus diperluaskan penggunaannya. Walau bagaimanapun,

tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menginginkan bahasa Inggeris

digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik mendapat bantahan daripada

beberapa pertubuhan berpengaruh.

4

2.1 Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi)

Salah satu pertubuhan yang sentiasa memperjuangkan dan memartabatkan bahasa

Melayu ialah Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Pertubuhan ini pernah

melahirkan rasa kesalnya dengan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk

menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar bagi matapelajaran Sains

dan Matematik di semua peringkat sekolah sama ada sekolah rendah mahupun

sekolah menengah (Yusof Ghani, 14 Mei 2005). Menurut ASASI, dasar

“penginggerisan” sistem pendidikan negara bukanlah penyelesaian berhikmah

kepada kemelut yang dihadapi pelajar khasnya pelajar Melayu yang rata-rata lemah

dalam menguasai bahasa perhubungan antarabangsa berkenaan. Dalam satu

kenyataan yang ditandatangani oleh presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Prof

Dr Shaharir Mohamad Zain, dan Setiausaha Agungnya, Prof Dr Wan Ramli Wan

Daud, telah menyangkal hujah sesetengah pemimpin dan masyarakat yang

mengaitkan bahasa Inggeris dengan sains dan teknologi serta bahasa tersebut

dengan kemajuan yang mampu dikecapi. Kenyataan ini seolah-olah

menggambarkan bahawa hanya bahasa Inggeris sahaja yang mampu membawa

kemajuan kepada sesuatu bangsa dan negara dan tugas dan tanggung jawab ini

seolah-olah di mampu direalisasikan menerusi penggunaan bahasa Melayu.

Menurut ASASI lagi, sejarah membuktikan bahawa penggunaan bahasa

Melayu bukan sahaja telah membantu penyebaran ilmu sejak zaman sebelum

merdeka, malah bahasa Melayu telah melahirkan ramai siswazah dalam bidang

sains dan teknologi seawal tahun 1967 sama ada di peringkat universiti seperti di

5

Universiti Malaya mahupun di peringkat sekolah. Terdapat juga pelajar sarjana

(yang beraliran bahasa Melayu) kini bertaraf dunia serta menerbitkan jurnal yang

terkenal dan memenangi Anugerah Hadiah Antarabangsa (Akademi Sains Islam

Malaysia, 14 Mei 2002). Dalam pada itu, ASASI juga menegaskan bahawa

penggunaan bahasa Melayu juga telah melahirkan ramai doktor dan jurutera

sehingga hampir memisahkan jurang tembok perkauman di negara ini. Kejayaan

bahasa Melayu membentuk bangsa dan identiti Malaysia adalah aspek terpenting

dalam sejarah negara yang mana ianya di harus dilupakan dan dibiarkan terkubur

ekoran daripada perubahan-perubahan semasa yang boleh mendorong kepada

penghapusan fungsi dan peranan sebagai bahasa peradaban dan bahasa ilmu sejak

dari zaman sebelum merdeka (Shaharir Mohamad Zain, 2002).

2.2 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Selain ASASI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang

menjadi wadah generasi muda menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan

syarikat swasta yang diberikan mandat di dalam menyelenggarakan sesebuah

penempatan supaya peka dan lebih bertanggungjawab mendaulatkan bahasa

kebangsaan. Bagi PKPIM, pihak yang mendapat mandat untuk membangunkan

sesuatu kawasan perlu menggunakan istilah-istilah Melayu untuk menamakan

sesuatu kawasan atau memberi gelaran kepada sesuatu tempat. Contohnya seperti

memberi nama jalan dan tempat di dalam kawasan seliaan mereka (Setiausaha

Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, 2005). PKPIM yakin dan

percaya bahawa untuk terus mengekalkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai

6

bahasa Melayu, adalah tidak cukup sekadar dianjurkan program-program bagi

memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di peringkat kementerian dan jabatan

sahaja, malah ia perlu mengakar ke segenap lapisan masyarakat terutamanya di

semua peringkat sekolah dan institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta..

Kempen dan gerakan massa untuk mendaulatkan bahasa Melayu perlu

dijalankan dan wajar mendapat perhatian semua pihak. Jikalau budaya berbudi

bahasa dijadikan kempen, maka sudah tentu kempen mendaulatkan bahasa Melayu

juga harus dijalankan kerana salah satu budaya orang Malaysia adalah bertutur serta

berbangga dengan bahasa Malaysia. Kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka

serta gabungan badan bukan kerajaan harus dijalankan bagi melihat bahasa

kebangsaan terus didaulatkan dan tidak ditelan arus pemodenan. Mungkin ramai

generasi muda hari ini tidak mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa

kelima terbesar di dunia dengan lebih 200 bahasa dalam rumpun bahasa Nusantara

dan menjadi antara bahasa berpengaruh yang berperanan dalam penyebaran agama

Islam, selain bahasa Arab, Parsi, dan Urdu.

2.3 Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) juga adalah antara badan yang membantah

keras penggunan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik ini.

Persatuan Linguistik Malaysia telah banyak kali menganjurkan forum,

perbincangan, penyediaan memorandum, surat dan pernyataan media tentang isu

tersebut tetapi tidak tampak reaksi dan respons yang positif daripada pihak yang

7

bertanggung jawab dalam perlaksanaan dasar ini. Pertemuan Dewan Bahasa dan

Pustaka dengan Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Dato’ Seri Dr. Mahathir

Mohamad dan timbalannya yang kini menjadi Perdana Menteri pada tahun 2002,

dan juga pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Perdana Menteri baru pada tahun

2005, di samping beberapa pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan beberapa

orang pemimpin lain, tampaknya tidak mendatangkan sebarang perubahan dalam

pelaksanaan dasar tersebut (Prof. Dr. Awang Sariyan).

Resolusi Kongres Pendidikan Melayu (RKPM) Kedua pada 26–27 Mac

2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik

dalam bahasa Inggeris juga masih tidak mendatangkan kesan yang boleh

menjadikan dasar ini ditangguhkan sebelum kajian terperincih dilaksanakan. Malah

beberapa hari sesudah tamat kongres tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang

mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu

akan diteruskan. Perjuangan RKPM ini dilakukan menerusi beberapa rundingan,

forum, perdebatan dan pelbagai bentuk bantahan agar pihak pentadbiran

memikirkan “semasak-masaknya” sebelum tindakan ini dilaksanakan. Bagi mereka,

mempelajari bahasa asing adalah penting tetapi mengamalkan bahasa asing

sehingga mengetepikan fungsi dan peranan bahasa sendiri adalah suatu yang tidak

boleh diterima. Hal ini kerana martabat dan kewibawaan bahasa Melayu akan

terancam sekiranya penekanan yang mendalam dalam menguasai bahasa Melayu

tidak dititikberatkan.

8

Dalam pada itu, kajian terperinci juga harus dibuat sebeleum dasar ini

dilaksanakan. Masa singkat iaitu kurang daripada sebulan yang diambil untuk

memikirkan tentang pelaksanaan dasar ini berkemungkinan akan mendatangkan

masalah kepada banyak pihak. Pembakuan bahasa Melayu misalnya yang cuba

diusahakan suatu ketika dahulu boleh dijadikan sebagai pengajaran agar segala

usaha yang dilakukan tidak akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat,

khasnya pelajar. Sepatutnya, usaha pembakuan bahasa Melayu ini adalah perlu agar

dapat menyeragamkan cara dan kaedah pertuturan bahasa Melayu yang betul sama

ada diperingkat sekolah, mahupun di semua peringkat masyarakat. Walau

bagaimanapun, usaha murni tidak dapat diteruskan ekoran daripada sikap

sesetengah pihak yang tidak memandang bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban

dunia. Mereka hanya melihat fungsi bahasa Melayu hanya di dalam Malaysia sahaja

sehinggakan ada pihak yang cuba menggantikan bahasa melayu dengan bahasa

Inggeris sebagai bahasa ilmu.

Pada hakikatnya, bahasa Melayu adalah bahasa yang mewarnai ilmu di

Malaysia dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Islam. Sejarah kedatangan

Islam ke Tanah Melayu juga telah mendorong perkembangan bahasa Melayu. Pada

masa tersebut, pedagang dari luar Tanah Melayu bersungguh-sungguh untuk

menguasai bahasa Melayu sehinggakan bahasa ini menjadi salah satu bahasa

perantaraan antara pedaganag di Tanah Melayu dengan pedagang yang datang

berdagang ke Tanah Melayu. Peranan dan fungsi bahasa Melayu semakin terserlah

apabila ramai pedagang yang bersunguh-sungguh untuk mendalami bahasa Melayu.

9

Kepentingan untuk menjaga dan mendaulatkan bahasa Melayu mendapat

perhatian dan keprihatinan daripada Asasi, PKPIM dan RKPM untuk menjaga dan

memartabatkan bahasa Melayu daripada terus dicemar oleh bahasa asing.

Tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa seseorang itu hanya mampu

menguasai bidang sains, matematik dan teknologi melalui penguasaan terhadap

bahasa Inggeris turut mendapat pembelaan daripada ketiga-tiga pertubuhan yang

sentiasa berusaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Tanggapan bahawa bahasa

Melayu sukar untuk membawa kemajuan dan perkembangan ilmu kepada

penuturnya harus disingkirkan daripada minda masyarakat sekiranya kita mahu

mengekalkan masyarakat yang sentiasa memartabatkan dan menguasai bahasa

Melayu secara total. Hal ini perlu agar bahasa kebangsaan ini tidak pupus ditelan

zaman dan teknologi tanpa sempadan.

3.0 Kebaikan dan Keburukan Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran

Sains Dan Matematik

Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mungkin mendatangkan

kebaikan kepada pelbagai pihak sama ada pelajar, guru mahupun pihak yang tidak

terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran ini. Salah satu aspek

yang boleh dilihat ialah penguasaan bahasa Inggeris yang boleh ditingkatkan di

kalangan pelajar terutamanya pelajar Melayu yang kebanyakannya lemah dalam

menguasai bahasa antarabangsa ini (Ahmad Tajuddin, 13 Mei 2002). Melalui

pertuturan bahasa Inggeris pada setiap sesi pengajaran, kemahiran bertutur pelajar

dalam bahasa Inggeris secara tidak langsung akan dapat dipertingkatkan.

10

Walau bagaimanapun, adakah ianya akan memberikan kesan kepada pelajar

kerana pengajaran subjek Sains dan Matematik ini mempunyai masa yang terhad

dan hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Sekiranya tiada subjek

Sains dan Matematik diajarkan dalam sehari, maka pelajar tidak akan bertutur

dalam bahasa Inggeris. Adakah ini akan menjadikan pelajar semakin mahir dalam

bertutur bahasa Inggeris. Ramai pihak yang tidak menafikan tentang kemampuan

pelajar Melayu khasnya yang lemah dan sukar untuk menguasai Matematik

walaupun ianya dilakukan dalam bahasa Melayu. Bagaimana pula nasib golongan

ini apabila bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran tersebut. Adakah mereka

akan menjadi lebih faham atau sebaliknya. Sekiranya pelajar-pelajar ini sukar untuk

menguasai Matematik dalam bahasa Melayu, apatah lagi untuk mengusai

Matematik dalam bahasa Inggeris. Tidakkah ini dilihat sebagai suatu yang akhirnya

akan mendatangkan banyak masalah kepada pelajar terutamanya pelajar Melayu.

Dalam pada itu, kemahiran guru juga harus dipertingkatkan terutamanya

dalam menguasai bahasa perantara Sains dan Matematik ini. Persoalannya

sekarang, adakah tenaga pendidik ini mahir dalam berbahasa Inggeris. Seseorang

guru itu tidak akan menghadapi masalah sekiranya mereka mampu untuk

menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Walau bagaimanapun, masalah akan wujud

bagi mereka yang kurang mahir berbahasa Inggeris. Bagaimana golongan pendidik

ini hendak menyampaikan ilmu dalam bahasa yang kurang difahami dan kurang

diketahui. Mampukah sistem pendidikan melahirkan golongan pelajar yang mahir

11

dan cerdit dalam bidang Sains dan Matematik ini sekiranya tenaga pengajar tidak

mampu untuk mengusai bahasa Inggeris secara total.

Untuk mengatasi masalah ini, guru-guru seperti ini perlu mendapat

bimbingan dan latihan bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi agar mereka dapat

menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik. Penganjuran

latihan dan bimbingan ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos pendidikan

di Malaysia. Hal ini kerana Kementerian Pendidikan Melaysia terpaksa

menyediakan satu dana khas hanya untuk melatih guru yang kurang fasih dalam

bertutur bahasa Inggeris. Tidakkah ini silihat sebagai suatu yang akan membazir

masa guru. Sekiranya mampu menghasilkan tenaga pengajar yang baik dan

berkualiti, maka ianya perlu diteruskan. Bagaimana pula jika sebaliknya berlaku.

Perlukah kementerian meneruskan usaha ini.

Oleh yang demikian, penyelidikan dan kajian secara terperinci harus

dilakukan untuk memastikan segala usaha yang hendak dilakukan akan menjanjikan

hasil yang lumayan. Pihak berwajib tidak seharusnya melihat keadaan ini dari satu

sudut semata-mata iaitu untuk meningkatkan penguasaan kemahiran pelajar untuk

menguasai bahasa Inggeris. Terdapat banyak aspek lain yang harus

dipertimbangkan. Walau bagaimanapun, usaha ini dilihat sebagai suatu yang akan

membentuk pelajar untuk mahir berbahasa Inggeris. Dalam masa yang sama juga,

penguasaan pelajar terhadap bahasa ibunda juga tidak harus dilupakan.

12

4.0 Implikasi Kepada Bangsa Dan Negara

Beberapa kajian ilmiah di peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu

tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baru itu telah menunjukkan tanda

awal bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera

dirasakan merebak daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains

dan Matematik terutamanya oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang majoritinya

orang Melayu. Terdapat beberapa kesan atau implikasi yang boleh dilihat ekoran

daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains adan matematik.

4.1 Penguasaan Pelajar Semakin Sukar

Salah satu impak yang boleh dilihat kesan daripada penggunaan bahasa Inggeris

dalam pengajaran Sains dan Matematik ini ialah gangguan kepada pelajar dalam

penguasaan ilmu Sains dan Matematik disebabkan oleh penggunaan bahasa

Inggeris yang sukar untuk difahami oleh kebanyakan pelajar terutamanya pelajar

Melayu. Sebelum ini, adalah senang untuk memehamai konsep-konsep sains

khasnya kerana ianya dipelajari dalam bahasa Melayu. Namun begitu, penukaran

konsep pengajaran dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris telah

mendatangkan sedikit masalah kepada kebanyakan pelajar. Pelajar terpaksa

memindahkan konsep-konsep Sains dan Matematik daripada bahasa asing ke

dalam bahasa ibundanya terutamanya bagi pelajar tidak tahu atau belum

menguasai sepenuhnya bahasa asing itu.

13

Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran Sains

dan Matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang

(Abdul Rahim Bakar, 2005). Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di

kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1

juta (0.94 juta), terutamanya pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah

pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (Awang Sariyan, 2005).

Hakikat yang penting yang perlu dilihat dalam aspek ini ialah bahawa golongan

pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut

terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu. Adakah masyarakat Melayu khasnya

mahu pelajar-pelajar Melayu ini gagal dan terpaksa menamatkan pengajian

sehingga di peringkat menengah. Bagaimanakah nasib mereka selepas

menamatkan pengajian.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia,

Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar

yang belum bersedia mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kenyataan tersebut tergambar pada dapatan kajian Dr. Nor Hashimah di mana

75% pelajar tidak setuju Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris,

77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan pengajaran Sains dan

Matematik dengan berkesan, 71% meminati Sains dan Matematik kerana

diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam Sains dan

Matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Data-data ini menunjukkan

bahawa fungsi dan peranan bahasa Melayu dalam penyampaian Sains dan

14

Matematik juga setaraf dengan bahasa Inggeris. Selain digunakan dalam sesi

pengajaran dan pembelajaran, penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran

Sains dan Matematik ini secara tidak langsung akan dapat menarik dan

meningkatkan minat pelajar untuk terus mendalami ilmu Sains dan Matematik.

Keadaan ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pencapaian dan

prestasi pelajar terutamanya pelajar Melayu. Tidakkah ini akan mendatangkan

kebaikan kepada sistem pendidikan negara.

Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Kebangsaan Malaysia

(DBP-UKM) pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa

amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran Sains dan

Matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar Sains dan

Matematik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5%

(untuk matematik). Lebih malang lagi apabila kajian yang dijalankan oleh DBP-

UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam

kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran Sains, Matematik, bahasa

Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun

Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar Sains dan

Matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris) menunjukkan

bahawa peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata

pelajaran Sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran Matematik hanya 16.9%.

Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal

dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris

15

pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai

gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% daripada

pelajar ini gagal dalam matapelajaran tersebut dengan mendapat gred E. Tidakkah

ini dilihat sebagai suatu keadaan yang memalukan. Bagaimana boleh wujud

16.7% yang gagal dalam matapelajaran bahasa Melayu sedangkan ianya

dipertuturkan setiap hari. Sekiranya penguasaan pelajar terhadap bahasa Melayu

mashi berada pada tahap yang kurang memuaskan, bagaimana golongan lemah ini

ingin mendalami ilmu Sains dan Matematik. Tidakkah ianya akan merumitkan

lagi keadaan terutamanya bagi golongan pelajar yang berada di kawasan

pedalaman.

Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu

berkemungkanan disebabkan oleh kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga

pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut ekoran daripada pelaksanaan

bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Pihak yang sangat

penting dalam pelaksanaan dasar tersebut iaitu guru sendiri menghadapi masalah

yang amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada

tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran Sains

dan Matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan

bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970

(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003). Dengan pelaksanaan dasar tersebut

secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi

oleh guru-guru. Oleh itu, bagaimana guru-guru ini mengajar Sains dan Mateamtik

16

dalam bahasa Inggeris sekiranya mereka sendiri tidak menguasai bahasa ini

dengan baik.

Dalam kajian lain yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di

242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak

mempunyai kesediaan untuk mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa

Inggeris. Hanya 54.7% guru Sains dan 62.2% guru Matematik yang mampu

menerangkan konsep Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Satu kajian

lain yang dijalankan pada tahun tersebut juga dengan jelas menunjukkan bahawa

81% guru mahu Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72%

mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik akan lebih

cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa

pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran tersebut

diajarkan dalam bahasa Melayu.

Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik

dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar

kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan

mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan

dasar baru ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang

pencapaiannya dalam Sains dan Matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti

pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu. Implikasi

ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang sememangnya

17

masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini jika dibandingkan

dengan pelajar bangsa lain seperti Cina dan India yang lebih demerlang dalam

setiap lapangan yang diceburi. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat

melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang

menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.

4.2 Kesan Kepada Politik Dan Sosial

Dari segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baru

ini boleh menggoncang kestabilan sosial dan politik negara. Hal ini adalah

disebabkan oleh kewujudan ketidakseimbangan pencapaian akademik yang

akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat antara Malayu,

Cina dan India. Usaha sesetengah pihak untuk menyeimbangkan pencapaian

pelajar-pelajar Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang

profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada

keupayaan dan keyakinan mereka untuk menguasai ilmu ini akan menurun.

Dalam masa yang sama juga, motivasi para pelajar yang kurang berminat dengan

dasar ini terhadap pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik turut akan

terjejas. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan bangsa Melayu

yang diharapkan dapat menjamin keutuhan generasi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, terdapat beberapa pertikaian yang pernah wujud berkaitan

dengan pelaksaan dasar ini. Pada awal pelaksanaannya, terdapat sesetengah

sekolah terutamanya sekolah jenis kebangsaan yang mengajarkan subjek Sains

18

dan Matematik ini dalam bahasa mereka selain dariapda menggunakan bahasa

Inggeris sebagai bahasa penghantar lain. Persoalan yang cuba dikupas adalah

berkenaan pelaksaan dasar ini secara total di semua peringkat sekolah sama ada

ianya sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan. Sekiranya terdapat

sekolah jenis kebangsaan yang mengajarkan subjek ini dalam bahasa ibunda

mereka, mengapa sekolah kebangsaan tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Bagaimana dengan matlamat yang ingin dicapai melalui dasar ini. Adakah ianya

akan terlaksana sepenuhnya atau sebaliknya.

Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang sememangnya ditubuhkan untuk

memajukan bahasa kebangsaan, menjelang pelaksanaan dasar baru itu telah

dilarang menerbitkan buku teks pilihan dalam bahasa Melayu bagi Sains dan

Matematik untuk kepentingan pelajar-pelajar Melayu di luar bandar. Kini

peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institusi

Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti awam telah mula melaksanakan

dasar ke arah pengajaran subjek-subjek Sains dan Teknologi dalam bahasa

Inggeris sebagai suatu kelanjutan logis daripada dasar yang dilaksanakan di

peringkat semua sekolah.

Keadaan ini menyebabkan pihak pentadbira universiti tidak mempunyai

pilihan lain kerana ‘pelanggan’ yang diterima merupakan mereka yang telah

dilatih dalam bahasa Inggeris. Namun begitu, terdapat pertentangan berkenaan

dengan dasar ini apabila Naib Canselor Universiti Putra Malaysia pada ketika itu

19

membuat pengumuman pada sekitar bulan Ogos 2004. Beliau mengatakan

bahawa pihak pendidik universiti berkenaan akan melaksanakan sistem

pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi kursus-kursus sains dan teknologi. Walau

bagimanapun, terdapat pihak yang menyangkal kenyataan Naib Canselor

berkenaan dengan menyatakan bahawa langkah itu bertentangan dengan dasar

pendidikan negara. Tidakkah dua fakta ini adalah bertentangan. Dalam pada itu,

kenyataan akhbar sekitar bulan Jun atau Julai 2005 pula menyiarkan teguran

kepada universiti awam yang lewat melaksanakan pengajaran kursus sains dan

teknologi dalam bahasa Inggeris. Apakah maksud bagi ketiga-tiga fakta ini?

Tidakkah ianya saling bertentangan? Yang manakah harus diberi keutamaan sama

ada ingin menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam subjek

Sains dan Teknologi di semua institusi pengajian tinggi awam atau sebaliknya?

Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan sebagai mercu tanda asar dan

Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa

penghantar utama juga telah bersedia untuk melaksanakan dasar baru itu.

4.3 Akibat Kepada Bahasa Melayu Dan Ilmu Pengetahuan

Proses menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden akan

tersekat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan semakin

berkurangan. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu akan terperosok sebagai

bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah hampir satu

juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, dengan

pelibatan beratus-ratus pakar bidang ilmu, tidak akan digunakan dan istilah baru

20

tidak akan dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan

dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada

lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama

dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke

nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

4.4 Akibat Kepada Media Massa Berbahasa Melayu

Tahun 60-an dulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Akibatnya, hari

ini ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dulu menjadi

lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan

nazak, tidak lagi mampu menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu.

Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang.

Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan,

ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya.

Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam

bahasa Melayu. Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan,

kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan. Melayu. Itulah

gambaran masa depan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun,

di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu

jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris.

Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata

pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris. Adakah akhbar yang menjadi

wadah perjuangan Melayu sejak dahulu akan terkubur dan tidak berfungsi sebagai

21

suatu aset yang mampu memperjuangkan bangsa Melayu. Aspek-aspek ini tidak

akan dapat dirasakan pada masa sekarang. Ianya hanya akan terlihat dapat sepuluh

atau dua puluh tahun akan datang iaitu selepas fungsi dan peranan bahasa Melayu

tidak relevan lagi dalam dunia pendidikan di Malaysia.

5.0 Antara Pengangguran, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

Ramai pendapat yang menyatakan bahawa salah satu faktor penyebab

pengangguran di kalangan mahasiswa adalah disebabkan oleh kegagalan golongan

ini untuk menguasai bahasa Inggeris. Keadaan diburukkan lagi apabila tidak ramai

pelajar yang berminat menceburkan diri dalam bidang sains dan teknologi sebagai

kerjaya mereka pada masa akan datang. Kebanyakan daripada pelajar lebih suka

mendalami ilmu sastera kerana dikatakan mudah untuk difahami dan mudah untuk

lulus. Keadaan seperti inilah yang menyebabkan ramai pelajar terutamanya pelajar

Melayu gagal untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana

kegagalan mereka untuk bersaing. Dalam pada itu, pelajar Melayu khasnya yang

dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi pula sukar untuk

bersaing dengan pelajar lain yang lebih cerdik dan pintar dalam pelbagai lapangan

ilmu.

Keadaan ini jugalah yang menyebabkan ramai pelajar lepasan ijazah gagal

untuk mendapatkan pekerjaan. Salah satu faktor yang menyumbang ke arah ini

ialah kegagalan mahasiswa untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Dunia

pekerjaan hari sangat memerlukan pelajar untuk berhadapan dan berurusan denga

22

pelbagai peringkat masyarakat dan pelbagai budaya sama ada dari dalam negara

mahupun dari luar negara. Keadaan ini memaksa pekerja untuk memahami setiap

budaya dan bahasa yang dipertuturkan oleh individu lain. Oleh yang demikian,

salah satu kaedah yang paling mudah untuk mengatasi masalah ini ialah dengan

mendalami dan menguasai bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, isu pengangguran mahasiswa ini tidak hanya

disebabkan oleh masalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan

pelajar Melayu khasnya. Terdapat berberapa faktor lain yang lebih penting yang

menyumbang ke arah permaslahatan ini yang jauh lebih kompleks. Salah satu

daridanya ialah kecenderungan majikan yang mahu mengekalkan budaya berbahasa

Inggeris yang tidak berlaku di negara-negara maju kecuali di United Kingdom,

Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal

Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Abdul Halim

Ahmad).

Faktor kedua adalah masalah perkauman ynag masih menebal. Kebanyakan

majikan berbangsa Cina misalnya hanya mengambil pekerja daripada kaum Cina

sahaja. Begitu juga halnya dengan kaum Melayu, India dan beberapa kaum

bumiputera di Sabah dan Sarawak yang hanya mengambil pekerja dari kaum dan

bangsa mereka sahaja. Keadaan seperti ini selalu berlaku pada syarikat-syarikat

besar seperti bank. Oleh kerana taburan majikan mengikut kaum di negara ini masih

23

jauh daripada seimbang, maka ianya sudah tentu turut mempengaruhi

ketidakseimbangan pengangguran siswazah mengikut kaum.

Walau bagaimanapun, masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan

mahasiswa Melayu merupakan antara faktor utama dalam menyumbang

peningkatan kadar pengangangguran mahasiswa di Malaysia. Ekoran daripada

masalah ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut

baik cadangan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri

Ainuddin Wahid agar siswazah menganggur ditawarkan jawatan guru bahasa

Inggeris. Exco Pendidikan pertubuhan itu, Azwiralbukhairi Abd Aziz, berkata

cadangan itu akan membantu menyelesaikan masalah pengangguran graduan dan

penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Menurut beliau, penggunaan

kaedah pengajaran yang berkesan dan kualiti guru yang baik sepertimana di dalam

persediaan pelajar ke Jepun dan Jerman, wajar dijadikan faktor dalam penguasaan

bahasa asing tanpa meminggirkan bahasa Melayu..

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah

mengatakan bahawa 94 peratus siswazah menganggur terdiri dari kaum Melayu

(Harian Metro, 2005). Hal ini berlaku ekoran daripada kecenderungan mahasiswa

Melayu yang hanya menjurus kepada bidang sastera dan agama semata-mata tanpa

mengendahkan kepentingan bahasa Inggeris, sains dan teknologi maklumat. Beliau

juga mencadangkan agar sekolah aliran bahasa Inggeris diperkenalkan semula

untuk membolehkan rakyat menguasi ilmu berkaitan dengan sains dan teknologi.

24

Perdana menteri turut mendakwa bahawa kegagalan menguasai bahasa tersebut

turut menjadi punca pengangguran terutamanya di kalangan pelajar Melayu.

6.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, pelaksanaan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam

pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik perlu dikaji sedalam-dalamnya

agar masalah tidak wujud di kemudian hari. Pelaksanaan ini adalah suatu yang perlu

dan sesuai dengan keperluan semasa yang memerlukan pelajar dari semua peringkat

pengajian mendalami bahasa utama dunia ini. Walau bagaimanapun, kajian demi

kajian perlu dilakukan agar peranan bahasa Melayu tidak diketepikan. Bahasa

Melayu adalah bahasa yang pernah menjadi bahasa penyatuan pelbagai bangsa di

Malaysia suatu ketika dahulu terutamanya pada awal kemerdekaan Tanah Melayu.

Dalam pada itu, pengaplikasian bahasa Inggeris ini dalam pengajaran Sains

dan Matematik perlu mendapat pandangan dan pendapat daripada pihak yang

terlibat secara langsung dalam pelaksaan dasar ini terutamanya golongan pelajar

dan guru. Sekiranya mereka masih tidak bersedia untuk melaksanakan dasar ini,

maka dasar ini perlu ditangguhkan buat seketika waktu sehingga dua golongan ini

benar-benar bersedia untuk mengaplikasikan bahasa Inggeris dalam aktiviti

pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

25

7.0 Bibliografi

Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.), Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 2005

Asraf (Ed.), Manifesto Budaya : Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 1996

Awang Sariyan, Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000

Awang Sariyan, Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002

Keranda 152, Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 2002

Kumpulan Prihatin, Implikasi Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Penghantar Matrematik dan Sains, Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 2005

Siri Bicara Bahasa Bil 1 – 20, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia, Kuala Lumpur 2002-2004

Muhammad Bukhori Alias, Angkatkan Martabat Bahasa Melayu, MalaysiaKini.Com, 7 Disember 2002 ( http://www.malaysiakini.com )

Yusof Ghani, Isu Bahasa Inggeris : Perjuangan ASASI, MalaysiaKini.Com, 14 Mei 2002 ( http://www.malaysiakini.com )

Nor Shsh bin Mohamed, Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Dunia Informasi, Komunikasi dan Teknologi (ICT) : Isu dan Cabaran, Kuala Lumpur, 2001

Portal Pendidikan Utusan Melayu, Matematik : Kegelisahan Jejas Prestasi, 16 Jun 2005 ( http://www.tutor.com.my )

Portal Pendidikan Utusan Melayu, Pengangguran Tidak Harus Lemahkan Semangat Belajar, 13 Jun 2005 ( http://www.tutor.com.my )

Baki Minuddin, Portal Pendidikan Utusan Melayu, Atasi Masalah Keciciran Pelajar Orang Asli, Ampang, Selangor, 2005 ( http://www.tutor.com.my )

Prof. Dr. Awang Sariyan, Isu Bahasa Melayu Dalam Sistem Pemdidikan Negara : Bahagian II, PTS Publications & Distribution Sdn Bhd, Selangor, 2006

Mohd Zukri Bin Aksah, Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran Subjek Matematik Dan Sains, Kuala Lumpur, 2002

26

Mohd Taufik Bin Abdul Aziz, Uni Bahasa, Dilema Integrasi dan Pengupayaan Bahasa Ibunda : Antara Agenda Penting Malaysia, Timbalan Presiden University of Thinker ( UNITE ), Kuala Lumpur, 2006

27

Senarai Kandungan

Bil Kandungan Muka Surat

1.0 Pengenalan 2

2.0 Bahasa Melayu dan Pejuangnya 4

2.1 Akademi Sains Islam Malaysia 5

2.2 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia 6

2.3 Persatuan Linguistik Malaysia 7

3.0 Kebiakan dan Keburukan Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Sains dan Matematik

10

4.0 Implikasi Kepada Bangsa dan Negara 13

4.1 Penguasaan Pelajar Semakin Sukar 13

4.2 Kesan Kepada Politik dan Sosial 18

4.3 Kesan Kepada Bahasa Melayu dan Ilmu Pengetahuan

20

4.4 Kesan Kepada Madia Massa Berbahasa Melayu 21

5.0 Antara Penganggur, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

22

6.0 Kesimpulan 25

7.0 Bibliografi 26

28