laporan program keselamatan jalan raya
DESCRIPTION
notesTRANSCRIPT
Laporan Program Keselamatan Jalan Raya
Bersama Kanak-kanak Prasekolah Seri Melewar.
Pada 6 Februari 2015, Program Keselamatan Jalan Raya bersama Kanak-kanak
Prasekolah Seri Melewar telah diadakan. Objektif program ini adalah untuk memberi
pendedahan awal kepada kanak-kanak prasekolah berkaitan dengan cara-cara dan
kepentingan keselamatan jalan raya. Oleh hal yang demikian, program ini telah disertai
seramai 25 orang kanak-kanak prasekolah dibawah kelolaan guru-guru pelatih unit
prasekolah semester 5 dan dipantau oleh beberapa orang pensyarah penasihat.
Seawal jam 8.00 pagi, kanak-kanak prasekolah telahpun bersedia untuk mengikuti
program ini. Program ini dimulai dengan dengan ucapan alu-aluan pengacara majlis oleh
saudari Nur Efzanzuraily dan diikuti dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Ajmal Amin
bin Ahmad. Setelah itu, program diteruskan dengan tayangan video animasi yang telah
disediakan. Video animasi yang ditayang menunjukkan beberapa situasi kesalahan sebagai
seorang pengguna jalan raya dan akibat serta kesan yang timbul ekoran keingkaran
mematuhi undang-undang jalan raya.
Setelah tayangan video animasi, program diteruskan lagi dengan slot yang lebih
santai yang disampaikan oleh saudara Muhammad Firdaus bin Jusoh. Sepanjang slot ini,
guru pelatih yang bertanggungjawab telah menerangkan beberapa kepentingan
keselamatan jalan raya kepada kanak-kanak prasekolah. Hal ini bertujuan untuk memberi
gambaran mengapa mereka perlu menjaga keselamatan di jalan raya. Sepanjang slot ini
berlangsung, kelihatan kanak-kanak prasekolah berlumba-lumba untuk menjawab segala
pertanyaan dan soalan yang diutarakan guru pelatih di samping kanak-kanak prasekolah
turut berkongsi pengalaman mereka sebagai seorang pengguna celik jalan raya.
Seterusnya, program keselamatan jalan raya diteruskan dengan slot ceramah yang
disampaikan oleh saudara Mohd Ajmal Amin bin Ahmad. Slot ceramah ini menjurus kepada
pendedahan beberapa simbol papan tanda yang terdapat di jalan raya seperti simpang
empat, bonggol, lampu isyarat, berhenti dan dilarang masuk. Bukan itu sahaja, kanak-kanak
prasekolah juga turut diberi pendedahan berkaitan tindakan yang perlu diambil seandainya
melihat simbol-simbol ini semasa menggunakan jalan raya. Hal ini demikian kerana
pendedahan seumpama ini amat penting agar kita dapat membentuk dan melahirkan
pengguna jalan raya yang mengutamakan keselamatan sedari mereka kecil lagi.
Bagi mencapai objektif program ini, aktiviti berupa amali juga diketengahkan di mana
beberapa checkpoint telah disediakan dan setiap checkpoint mengandungi satu simbol
jalanraya iaitu checkpoint yang pertama adalah bagi simbol berhenti, checkpoint kedua
adalah bagi simbol simpang empat, checkpoint ketiga adalah bagi simbol dilarang masuk,
checkpoint keempat adalah bagi simbol lampu isyarat dan checkpoint terakhir adalah bagi
simbol bonggol.
Di setiap checkpoint, terdapat guru-guru pelatih yang bertugas dan
dipertanggungjawabkan untuk memberi penerangan yang lebih lanjut serta perlu melakukan
demonstarasi. berkaitan dengan simbol jalan raya yang dipegang. Oleh hal yang demikian,
kanak-kanak prasekolah telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan setiap kumpulan
dikehendaki untuk melawat ke setiap checkpoint yang telah disediakan secara bergilir-gilir
dengan dipantau oleh guru pelatih.
Tepat pukul 9.10 pagi aktiviti amali berkaitan simbol-simbol jalan raya selesai
dijalankan. Kanak-kanak prasekolah dikumpulkan semula untuk menjalani sesi refleksi.
Semasa sesi refleksi, dua orang kanak-kanak telah berkongsi pengalaman mereka
sepanjang program keselamatan jalan raya berlangsung. Kanak-kanak tersebut ialah adik
Irfan dan juga adik Puteri. Kedua-dua kanak-kanak ini menyatakan kegembiraan dan
seronok semasa menjalani aktviti-aktiviti yang terkandung dalam program ini.
Secara keseluruhannya, terdapat kekuatan dan kelemahan sepanjang merancang
dan mengendalikan program keselamatan jalan raya ini. Antara kekuatannya ialah kami
dapat menimba pengalaman dalam merancang dan mengendalikan program di mana
pengalaman ini amat bermakna apabila sudah bergelar guru kelak. Bahkan, mampu
membantu guru pelatih dalam merancang, mengendali dan menguruskan sebuah program
serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerjasama antara satu sama lain bagi
memastikan program berjalan dengan lancar.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang turut dikesan di mana
dapat dilihat melalui aspek kekangan masa. Hal ini demikian kerana masa untuk merancang
program ini adalah terlalu singkat. Justeru, penambahbaikan perlu dilakukan agar masalah
seperti ini tidak acapkali berlaku dan akan memudahkan tugas pihak lain. Walau
bagaimanapun, atas kerjasama semua pihak, soal kekangan masa dapat diatasi dan
program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kesimpulannya, majlis yang dijalankan berjalan seperti yang dirancang. Pelbagai
input dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program berlangsung. Oleh hal yang
demikian, diharapkan kesemua guru pelatih dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh
sepanjang program keselamatan jalan raya berlangsung bagi menjalani kehidupan seharian
terutamanya apabila sudah bergelar guru kelak.
Tarikh : 7 Februari 2015 Disediakan oleh,
( ) Setiausaha, Program Keselamatan Jalan Raya, Prasekolah Seri Melewar