laporan ceramah
DESCRIPTION
Ceramah BIGTRANSCRIPT
LAPORAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT BINA INSAN GURU
SEMESTER III CERAMAH FASA III DI DEWAN SRI BUDIMAN
Program Bina Insan Guru Fasa 3 yang dijalankan pada semester 3 PISMP ini
adalah berteraskan kepada ceramah. Ini merupakan kali yang ketiga saya
melibatkan diri dalam Program BIG. Program ceramah ini diadakan di Dewan Sri
Budiman yang memuatkan semua pelajar semester 3 PISMP pada 23 Februari 2013
bersamaan hari Sabtu. Tajuk ceramah kali ini terbahagi kepada dua iaitu,
Pengurusan Majlis dan Etika di Meja Makan. Program bermula pada pukul 1.45
petang di mana setiap pelajar harus mendaftar terlebih dahulu di kaunter
pendaftaran yang dijaga oleh beberapa orang pelajar daripada opsyen Pendidikan
Khas. Setiap pelajar juga diberi sebatang pen sebagai cenderahati untuk
memudahkan membuat nota atau catatan. Setelah mendaftar, pelajar mengambil
tempat duduk di dalam dewan. Penceramah yang dijemput adalah Puan Rohana
Binti Mohamad dari Nur Beauty Academy.
Setelah semua pelajar mengambil tempat di dalam dewan, program
dimulakan dengan kata-kata aluan dari Pengerusi BIG iaitu saudara Sapuan dan
diteruskan dengan pengacara majlis iaitu Nancy yang bertanggungjawab
menguruskan majlis. Sebelum itu, suatu cetakan telah diedarkan berkaitan informasi
yang akan disampaikan bagi memudahkan pemahaman oleh pelajar. Puan Rohana
memulakan ceramah beliau dengan tajuk Etika di Meja Makan. Terdapat dua buah
meja yang disediakan bagi aktiviti praktikal. Saya telah mendapat banyak ilmu dari
hasil ceramah tajuk yang pertama ini. Puan Rohana telah menerangkan tentang
definisi etika dan juga etika ketika menghadiri majlis makan rasmi. Hal ini
merangkumi adab di meja makan sebagai contoh, menongkat dagu dan juga
menggunakan alat seperti garfu sehingga berbunyi bising adalah perbuatan yang
dianggap tidak sopan dan ditegah untuk dilakukan di meja makan. Selain itu, beliau
juga ada menerangkan mengenai perbezaan perkakasan dan juga peralatan.
Beliau juga memberitahu mengenai susunan peralatan bagi jamuan makan
dengan menu barat. Terdapat jenis garfu, sudu dan juga pisau yang mempunyai
kegunaan masing-masing. Beliau juga ada melakukan praktikal di hadapan dewan
dengan menjemput beberapa orang pelajar dan melakukan demonstrasi cara
memotong makanan menggunakan pisau dan juga sudu. Selain itu, lipatan napkin
juga ada di ajar, dan saya merupakan salah seorang antara peserta yang mendapat
napkin kerana bilangan napkin yang ada sangat terhad. Saya telah mempelajari cara
melipat napkin yang pelbagai serta menarik dan ilmu yang saya dapat akan
digunakan pada masa akan datang.
Kemudian setelah selesai membentangkan tajuk itu, Puan Rohana beralih
kepada tajuk kedua iaitu Pengurusan Majlis di mana ia merupakan tajuk yang
penting untuk dipelajari. Terdapat beberapa jenis majlis antaranya, Majlis Penuh
Istiadat, Majlis Rasmi dan Formal, Majlis Rasmi Tetapi Tidak Formal, Majlis Tidak
Rasmi Tetapi Formal dan juga Majlis Tidak Rasmi dan Tidak Formal. Selain dari itu,
beliau juga menerangkan tentang perancangan, persediaan, pelaksanaan dan juga
post mortem majlis. Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah perbezaan di
antara tentatif dan program kerana selama ini saya menyangka bahawa keduanya
adalah sama. Namun begitu, tentatif sebenarnya adalah buku program yang masih
boleh berubah-ubah mengikut keadaan sementara atur cara harus diikut seperti
yang telah diaturkan. Puan Rohana juga ada memberitahu bahawa sekiranya ingin
melakukan majlis rasmi melibatkan pihak atasan seperti Menteri seharusnya
dirancang seawal 3 bulan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Setelah membentangkan kesemua maklumat, Puan Rohana mengakhiri
ceramah beliau dengan pesanan agar sabar menjadi seorang guru kerana ianya
tidak mudah dan mengucapkan selamat berjaya kepada kami semua. Majlis
diteruskan dengan majlis penutup dan penyampaian cenderahati kepada wakil Kolej
Komuniti Batu Pahat yang telah bekerjasama dengan IPTHO untuk melaksanakan
program ini.
Refleksi
Bersyukur kepada Tuhan kerana Program Bina Insan Guru Fasa 3 yang
memerlukan kami untuk mengikuti ceramah ini berakhir dengan jayanya. Terima
kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa bagi ceramah ini yang
bertungkus lumus membuat perancangan dan mencari keputusan yang terbaik
dalam merancang ceramah ini.
Input yang didapati daripada ceramah ini juga amat menarik dan berguna
sekali terutamanya bagi kami sebagai bakal guru yang akan terlibat dalam majlis-
majlis formal yang memerlukan kami untuk mengaplikasikan adab di meja makan
yang betul. Oleh itu, kami tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang akan
dianggap tidak sopan atau boleh mendatangkan rasa kurang selesa tetamu-tetamu
lain ketika makan.
Selain itu, kami juga dapat mempelajari poin-poin penting dalam
menguruskan suatu majlis. Pengetahuan ini amat berguna pada masa kelak apabila
sudah rasmi untuk menjalankan tugas di sekolah malahan pada masa ini pun sudah
boleh diaplikasikan contohnya dalam perhimpunan dan program-program rasmi IPG.
Kesimpulannya, ceramah ini memeberikan kami suatu impak dan input yang
positif dan amat berguna sekali. Tidak rugi kami meluangkan masa kami untuk
program seperti ini malahan ini merupakan suatu contoh persediaan untuk
membentuk jati diri guru dalam diri kami.