keberkesanan sekolah
TRANSCRIPT
Pengertian Keberkesanan Sekolah
Kajian-kajian sekolah efektif atau sekolah berkesan secara khusus mendefinisikan
keberkesanan sekolah melalui pemboleh ubah yang dianggap penting dan digunakan
untuk mengukur keberkesanan sekolah. Secara keseluruhan, tidak ada konsensus di
kalangan pengkaji tentang definisi keberkesanan. Secara umum terdapat dua criteria yang
digunakan, iaitu ‘outcome’ atau ‘output’ dan proses. Di Amerika Syarikat kebanyakan
pengkaji mengukur keberkesanan sekolah berasaskan ‘output’, iaitu pencapaian dalam
ujian piawaian bagi mata pelajaran matematik dan bacaan. Di United Kingdom,
pemboleh ubah proses seperti kedatangan, kelakuan pelajar dan peningkatan skor
pencapaian digunakan sebagai pengukur keberkesanan. Selain mengukur keberkesanan
dari segi kualiti ada juga pengkaji yang menggunakan kriteria kesaksamaan (equity).
Edmonds (1979) mendefinisikan keberkesanan bukan sahaja dari segi kualiti hasil
tetapi juga dari segi kesaksamaan (equity). Mengikut beliau, keberkesanan sekolah diukur
berdasarkan kejayaannya meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak kurang
beruntung sehinggakan kadar bilangan kanak-kanak kurang beruntung yang menguasai
akademik sama seperti bilangan anak-anak kelas menengah yang menguasainya. Juga,
sekolah tidak layak diiktiraf sebagai berkesan jika tidak memberi kesaksamaan peluang
pendidikan. Mengikut kriteria ini, pada pendapat beliau, bilangan sekolah di Amerika
Syarikat yang boleh dianggap berkesan amat sedikit.
Rowan (1983) pula menyarankan empat cara mengenalpasti sekolah yang
berkesan: (1) menentukan kriteria yang khusus seperti peratus pelajar yang mencapai
lebih daripada median kebangsaan, (2) analisis tren yang menunjukkan skor dalam gred
yang tertentu telah meningkat dari semasa ke semasa, (3) skor yang meningkat bagi
sesuatu kohort, dan (4) pencapaian sekolah berbanding dengan latar belakang pelajarnya.
Selain melihat hasil sebagai pengukur keberkesanan, pengkaji telah meluaskan
definisi keberkesanan dengan mengkaji peningkatan yang menjadi nilai tambahan yang
dialami oleh murid disebabkan keberkesanan sekolah. Maka keberkesanan sekolah bukan
hanya diukur dari segi hasil tetapi juga dari segi proses peningkatan yang dialami.
Mortimore (1991) merumuskan bahawa sekolah yang berkesan ialah sekolah yang
pelajarnya meningkat lebih daripada apa yang diharapkan jika diambil kira latar belakang
mereka. Mengikut Stoll dan Fink (1996) jika ditambah perkataan ‘semua pelajar’ dalam
rumusan Mortimore itu, maka konsep nilai tambahan dan kesaksamaan dapat disatukan
dalam mendefinisikan keberkesanan sekolah. Dari itu, jelaslah bahawa sekolah yang
berkesan itu, berkesan bagi semua pelajar tidak kira latar belakang mereka. Berdasarkan
definisi ini bolehkah kita katakan bahawa sekolah berasrama penuh yang sedia
mengambil pelajar yang memang berkebolehan itu berkesan berdasarkan prestasi mereka
dalam peperiksaan umum? Atau bolehkah kita anggap sekolah luar bandar yang telah
menunjukkan peningkatan tahun demi tahun walaupun prestasinya tidak sebaik sekolah
berasrama penuh, sebagai sekolah yang berkesan? Jelaslah jika sekolah berasrama penuh
tidak menunjukkan nilai tambahan dan prestasi pelajarnya hanya apa yang diharapkan,
maka sekolah itu belum boleh dianggap berkesan. Sebaliknya jika sekolah kampong itu
boleh menunjukkan nilai tambahan berserta dengan usaha menyamaratakan peluang
pendidikan dan pelajarnya mencapai lebih daripada apa yang diharapkan maka sekolah
ini boleh dianggap sebagai berkesan.
Sergiovanni (1987) juga mendefinisi keberkesanan sekolah berasaskan
peningkatan sekolah. Beliau menyenaraikan lapan criteria untuk mengukur keberkesanan:
(1) peningkatan dalam skor ujian, (2) peningkatan dalam kehadiran, (3) pertambahan
dalam bilangan tugasan penulisan dan kerja rumah, (4) pertambahan peruntukan masa
untuk Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Sejarah, (5) penglibatan komuniti dan
ibubapa, (6) penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, (7) ganjaran dan
pengiktirafan bagi pelajar dan guru, dan ( 8) sokongan yang berkualiti untuk pelajar
istimewa.
Aspek lain yang digunakan oleh pengkaji sebagai pengukur keberkesanan sekolah
ialah kelakuan murid, kehadiran, sikap dan konsep kendiri (Mortimore et al., 1988;
Teddlie dan Stringfield, 1993). Manakala Stoll dan Fink (1996) mendefinisikan
keberkesanan sekolah seperti berikut: (1) sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, (2)
menggalakkan peningkatan untuk semua pelajar lebih daripada apa yang dijangkakan jika
diambil kira latar belakang dan kebolehan asal mereka, (3) memastikan setiap pelajar
mencapai setinggi yang mungkin potensinya, dan (4) menggalakkan (enhance) semua
aspek perkembangan dan pencapaian pelajar.
Berdasarkan perbincangan tentang beberapa definisi keberkesanan sekolah,
bolehlah dirumuskan tentang pengertian keberkesanan sekolah ini seperti berikut:
Keberkesanan sekolah boleh diukur berasaskan ‘output’ atau hasil persekolahan.
Hasil ini berbentuk akademik (pencapaian akademik) dan bukan akademik;
(kelakuan murid, konsep kendiri dan sikap murid, kepuasan kerja guru dan
sebagainya).
Proses juga boleh menjadi criteria bagi mengukur keberkesanan: pentadbiran
sekolah, kerjasama di kalangan warga sekolah, proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan adalah antara criteria yang dinyatakan.
Keadaan sekolah, keceriaan, kebersihan, keadaan disiplin juga merupakan criteria
keberkesanan.
Kriteria keberkesanan sekolah berbeza mengikut Negara, budaya dan lokasi yang
berlainan.
Keberkesanan bukan hanya dicerminkan dari aspek kualiti bahkan dari aspek
ekuiti (kesaksamaan) juga.
Keberkesanan sekolah diukur dari segi progress atau peningkatan yang dialami,
iaitu nilai tambahan yang diperoleh.
Sekolah yang berkesan ialah sekolah yang meningkat lebih daripada yang
diharapkan jika diambil kira latar belakang pelajarnya.
Dalam konteks negara Malaysia, pengertian sekolah mestilah berlandaskan
aspirasi yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara, dan dalam Wawasan 2020.
Kita mahukan sekolah berwawasan, sekolah kecacatan sifar dan pendidikan bertaraf
dunia. Maka sudah semestinya pengertian keberkesanan diperluas. Selain perkara yang
telah diberi penekanan ada aspek lain yang perlu ditonjolkan.
Konsep kesaksamaan dipraktikkan sepenuhnya. Ini bermakna pelajar kurang
beruntung diberi peluang meningkat dalam semua aspek perkembangan melalui
program pengayaan mereka.
Negara kita mempunyai rakyat berbilang kaum. Sekolah yang berkesan secara
sengaja memupuk perpaduan melalui kurikulum, proses pengajaran dan
pembelajaran, amalan-amalan yang menggalakkan rasa hormat-menghormati dan
kerjasama antara satu dengan lain.
Jika terdapat kanak-kanak istimewa di sekolah, kebajikan dan perkembangan
mereka yang seimbang dan interaksi social mereka dengan pelajar lain di sekolah
perlu diberi perhatian.
Sekolah memainkan peranan yang berkesan dlam melibatkan ibu bapa, bukan
hanya melalui PIBG tetapi juga melalui usaha bersendirian dan berkelompok yang
melibatkan guru, pelajar, ibu bapa, komuniti dan pengetua. Sekolah yang
berkesan terbuka kepada cadangan dan bantuan rakan kongsinya.
Sekolah tidak lagi mengamalkan amalan yang membeza-beza dan melabel pelajar.
Sekolah benar-benar mengamalkan konsep sekolah penyayang, iaitu guru
mengambil berat tentang keperluan semua pelajar dan melibatkan mereka dalam
hal-hal yang berkaitan kepentingan mereka sendiri.
Sekolah menjalankan program pembaikan sekolah mengikut keperluannya dan
wawasan warganya, mengikut acuannya sendiri.
Sekolah yang guru-gurunya tidak berasa tertekan, malah seronok membantu
menjayakannya.
Sekolah yang menggalakkan muridnya menjadi kreatif, berfikiran kritis,
penyayang, mengikut ajaran agama dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
Sekolah yang menggalakkan budaya belajar bagi semua warganya, termasuk guru
dan ibu bapa.
Bibliografi
Edmonds, R. 1979. Effective Schools for the Urban Poor. Educational Leadership 37:15-18 & 20-24.
Mortimore, P.1991. The Nature and Findings of Research on School Ef fectiveness .Dlm.Changing Our Schools, sunt.A.Stoll and D.Fink. Buckingham.Open Universiyy Press.
Mortimore, P.et. al 1988. Schools matters: The Junior Years. Wells: Open Books. Reprinted 1994. London: Paul Chapman.
Rowan, B.,S.Bossert dan D.Wyer 1983. Research on Effective Schools: Cautionary Note. Educational Research 124:24-31
Stoll, A. dan D. Fink 1996. Changing Our Schools. Buckingham: Open University Press.
Pengertian Sekolah Berkesan
Secara literal, Kamus Dewan mentakrifkan terminologi sekolah sebagai tempat
untuk belajar dan mengajar. Manakala perkataan kesan ditakrifkan sebagai tanda yang
ditinggalkan oleh sesuatu. Lippitz dalam Mukhtar et al. telah mentakrifkan sekolah
berkesan sebagai "sekolah yang selamat dan teratur di mana kanak-kanak miskin dan
kelas pertengahan mendapat pencapaian akademik yang baik" (Hare, 1988: 413)
Manakala Felsenthal (1982) pula mentakrifkan sekolah berkesan di mana majoriti
pelajar mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan awam pada peringkat
kebangasaan. Menurut Levine dan Lezotte (1990), ukuran sekolah berkesan yang telah
digunakan oleh kebanyakan penyelidik ialah pencapaian dalam mata pelajaran tertentu
seperti matematik, sains atau bahasa, kehadiran pelajar ke sekolah dan kepuasan pelajar.
Al Ramaiah (1995) pula menyatakan konsep sekolah berkesan sepatutnya dalam konteks
memberi kesan positif terhadap pembelajaran pelajar bukannya berfokus kepada hasil
pencapaian akademik pelajaran semata-mata walaupun pencapaian kelulusan sekolah
adalah seratus peratus. Manakala Rahimah (1998) pula menegaskan konsep sekolah
berkesan seharusnya mempunyai cirri-ciri sekolah yang baik serta membawa hasil
pembelajaran, sekolah yang berupaya membina watak dan membuktikan ianya boleh
membawa perubahan kepada pelajar.
Pengertian sekolah berkesan berbeza-beza kerana berbagai-bagai pihak
mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang mereka kehendaki daripada
sekolah. Oleh kerana itu Stoll dan Fink (1996) dalam Abdul Malek menegaskan bahawa
untuk memberi definasi kepada keberkesanan, kita perlu memilih antara nilai yang
berbeza-beza. Kajian-kajian sekolah berkesan secara khusus mendefinisikan
keberkesanan sekolah melalui pembolehubah yang dianggap penting dan digunakan
untuk mengukur keberkesanan sekolah. Secara umum terdapat dua kriteria yang
digunakan oleh para pengkaji untuk mengukur keberkesanan iaitu, ‘outcome’ atau
‘output’dan proses. Levine dan Lezotte (1990) melihat sekolah berkesan dari segi hasil
yang dikehendaki (outcome). Edmonds (1979) mendefinisikan keberkesanan bukan
sahaja dari segi kualiti hasil tetapi juga dari kesaksamaan (equity). Mengikut beliau
keberkesanan sekolah diukur berdasarkan kejayaannya meningkatkan penguasaan
akademik kanak-kanak kurang beruntung sehinggakan kadar bilangan anak-anak kurang
beruntung yang menguasai akademik yang sama seperti bilangan anak-anak kelas
menengah yang menguasainya.
Mortimor (1991) telah merumuskan bahawa sekolah berkesan ialah sekolah yang
pelajarnya meningkat lebih daripada apa yang diharapkan jika diambil kira latar belakang
mereka. Schreens (1992) menjelaskan konsep keberkesanan mengikut perspektif tertentu.
Dari segi ekonomi sekolah dianggap berkesan jika ‘outcome; atau hasil yang diingini
dapat dicapai dengan kos yang rendah sementara perspektif hubungan kemanusiaan
dalam organisasi, organisasi yang berkesan ialah organisasi yang dapat mewujudkan
perasaan kepuasan dalam kalangan pekerjanya dan melibatkan mereka dalam organisasi.
Hasil tinjauan rambang Sharifah (2000) mendapati sekolah-sekolah di Malaysia
mengaitkan sekolah berkesan dengan kecemerlangan akademik yang telah dicapai.