kaedah penyelesaian masalah

Upload: lihui-goh

Post on 09-Jan-2016

79 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

kebaikan dan kelemahan kaedah penyelesaian masalah

TRANSCRIPT

2.0Kaedah Penyelesaian Masalah2.1PengenalanKaedah penyelesaian masalah merupakan salah satu kaedah pengajaran yang digunakan di dalam kelas. Ia merupakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan masalah berbentuk perkataan, masalah bukan mekanis, teka-teki, kuiz atau penggunaan pelbagai kemahiran dalam situasi yang sebenar dan memerlukan pelajar berfikir secara aktif. Dalam situasi bilik darjah, kaedah penyelesaian masalah digunakan dalam bentuk pencapaian konsep, pembinaan idea-idea yang kreatif serta membuat sesuatu keputusan dalam kumpulan. Teknik pelaksanaan kaedah ini biasanya dimulakan dengan aktiviti peyelesaian masalah diterangkan dengan jelas oleh guru, seterusnya murid-murid meneroka masalah dan akhir sekali guru dan murid membincangkan masalah dan merumuskan kesimpulan. Terdapat beberapa panduan teknik penyelesaian masalah iaitu:1. Mengenal pasti masalah2. Mencari maklumat3. Membuat hipotesis4. Menguji hipotesis5. Menilai dan membuat rumusan

Terdapat berbagai-bagai jenis penyelesaian masalah yang boleh digunakan sebagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan moral di bilik darjah. Kaedah-kaedah yang sering digunakan ialah kaedah penyelesaian masalah sendiri, kaedah dapatan, sumbangsaran dan Teknik TOC. Untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah ini dengan berkesan guru haruslah memberikan soalan bermasalah sebaik sahaja murid telah memperolehi ilmu pengetahuan atau menguasai kemahiran yang berkaitan. Seterusnya, guru harus membimbing murid memahami dan mengenal pasti sesuatu masalah sebelum proses penyelesaian masalah dimulakan. Guru juga perlu sentiasa berbincang dengan murid-murid berbagai-bagai cara yang membolehkan mereka menyelesaikan masalah. 2.2Kelebihan penggunaan kaedah penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan MoralKaedah penyelesaian masalah merupakan suatu proses pengajaran yang berpusatkan murid. Ini bermakna melalui kaedah ini murid berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan merangsang minda pelajar untuk lebih kreatif dan kritis. Melalui kaedah ini, murid dapat melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran untuk mendapat pengalaman yang sebenar. Sehubungan dengan itu, murid akan mendapat kefahaman dan ingatan yang lebih kukuh mengenai isi kandungan pembelajaran disebabkan mempunyai pengalaman yang sebenar. Hal ini secara langsung boleh membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.Semasa proses aktiviti penyelesaian masalah, kemahiran berfikir murid digalakkan kerana mereka perlu memikirkan penyelesaian yang berbeza tanpa bantuan guru. Murid-murid perlu memikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Dalam pada itu, murid-murid berpeluang untuk memaparkan kreativiti, bakat dan potensi masing-masing. Melalui proses ini, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif murid akan dapat dikembangkan. Antaranya termasuk menganalisis, menilai, membuat keputusan, menjana idea, menghubung kait, membuat hipotesis dan mensintesis. Melalui latihan yang sebegini, kemahiran berfikir aras tinggi murid dapat dipertingkatkan dan seterusnya meningkatkan prestasi murid dalam pembelajaran.Selain kebaikan di atas, pendekatan penyelesaian masalah turut membolehkan murid akan menjadi lebih berani di mana murid akan mencuba menyelesaikan masalah hingga berjaya walaupun murid tidak tahu sama ada berjaya atau tidak. Daripada keberanian yang ada ini biasanya akan menimbulkan keyakinan kepada murid untuk menyelesaikan setiap masalah yang diberi. Ini kerana salah satu ciri kaedah ini ialah kesanggupan murid menerima cabaran. Menerima cabaran ini bermaksud murid itu sanggup berusaha mencari cara atau kaedah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dalam hal ini, proses ini akan melatih murid belajar secara berdikari dan berinisiatif kerana tidak hanya mengharapkan guru untuk memberi jawapan sahaja. Secara tidak langsung, sikap belajar yang baik ini dapat dipupuk dalam kalangan murid dan diamalkan semasa proses pembelajaran. Dengan komitmen yang diberi oleh murid, maka guru dapat mengajar dengan lebih lancar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Seterusnya, kaedah ini juga memberi peluang kepada murid untuk mempersembahkan idea-idea atau cadangan mereka yang belum difikirkan oleh orang lain dalam proses penyelesaian masalah. Sememangnya kanak-kanak menginginkan perhatian mahupun penghargaan daripada guru. Sehubungan dengan itu, murid-murid sentiasa mengharapkan peluang untuk mempersembahkan kebolehan sendiri. Oleh yang demikian, sekiranya mereka mempunyai peluang untuk menunjukkan kebolehan sendiri, maka mereka akan berusaha untuk mencari jawapan. Ini dapat meningkatkan keyakinan kendiri murid-murid khasnya apabila mereka dapat menyelesaikan masalah. Dengan itu, murid akan mempunyai keyakinan untuk mengikuti pengajaran yang lebih sukar lagi.Dalam proses penyelesaian masalah, perasaan ingin tahu murid dapat dipupuk. Murid terdorong untuk menyiasat mengapa dan bagaimana sesuatu perkara berlaku. Dalam hal ini, sikap suka menyiasat turut menyebabkan murid kerap bertanya dan berinteraksi dengan guru. Dengan kata lain, perhubungan guru dan murid akan bertambah baik. Sememangnya perhubungan guru dan murid yang baik amat penting untuk memastikan perlaksaan pengajaran yang lancar. Murid-murid akan memberi kerjasama yang baik dengan guru untuk menghabiskan pengajaran sekiranya mereka mempunyai satu perhubungan yang mesra. Di samping itu, hubungan baik ini menyebabkan murid tidak malu atau tidak takut untuk bertanya sekiranya terdapat keliruan. Oleh itu, hubungan baik antara guru dengan murid dapat menjamin kebaikan kepada dua pihak iaitu guru dapat menghabiskan pengajaran dengan lancar dan murid dapat mencapai objektif pembelajaran.Kelebihan kaedah penyelesaian masalah yang seterusnya adalah menggalakkan interaksi sosial yang positif dalam kalangan murid. Biasanya, kaedah penyelesaian masalah akan dijalankan dalam bilik darjah dalam bentuk kumpulan. Oleh itu, murid-murid akan berinteraksi antara satu sama lain untuk mendapatkan jawapan. Dalam perbincangan, murid turut dapat belajar menerima pendapat orang lain dan mewujudkan sikap bekerjasama dan saling bergantungan dalam kumpulan masing-masing. Secara tidak langsung, kemahiran berkomunikasi dan penggunaan bahasa murid-murid juga dapat dipertingkatkan. Sekiranya kita lihat daripada sudut lain, pembelajaran koperatif turut berlaku dalam kumpulan. Murid yang lebih cerdik dapat membimbing murid yang kurang cerdik semasa menyelesaikan masalah. Sememangnya murid-murid dapat memajukan diri dengan lebih mudah sekiranya mendapat bantuan rakan sebaya. Bagi murid-murid yang biasa pula, mereka berpeluang untuk mendengar pelbagai cadangan lain daripada rakan untuk menambah ilmu sendiri. Dengan kata lain, kerjasama antara murid akan memberi hasil yang memuaskan dalam proses pembelajaran.Sekiranya kita meneliti kelebihan-kelebihan yang telah disebut, didapati bahawa kaedah penyelesaian masalah ini amat sesuai dilaksana dalam kelas khususnya dalam pendidikan Moral di sekolah. Hal ini disebabkan kaedah ini melibatkan pembelajaran kognitif dan emosi yang merupakan antara dua aspek yang dititikberatkan oleh pendidikan moral. Kaedah ini bukan sahaja mempertimbangkan penambahan ilmu pengetahuan murid melalui proses penyelesaian masalah, maka juga mementingkan aspek afektif murid termasuk sikap belajar yang positf, perhubungan dan komunikasi yang berkesan, dan penghargaan diri murid. Sekiranya kaedah ini dilaksana dalam pendidikan Moral, pelbagai teknik juga boleh digunakan oleh guru dalam proses penyelesaian masalah seperti inkuiri, sumbangsaran, perbincangan dan simulasi. Teknik-teknik ini merupakan teknik yang biasa digunakan dalam pendidikan Moral. Dengan itu, kaedah pengajaran pendidikan Moral dapat dipelbagaikan dan memberi peluang kepada murid untuk menimba ilmu dalam suasana pembelajaran yang tidak bosan.Dari aspek afektif pula, kaedah penyelesaian masalah dapat melatih aspek emosi murid yang positif. Seperti yang sudah dinyatakan, aspek emosi murid merupakan aspek yang penting untuk dikembangkan khususnya dalam pendidikan Moral. Subjek ini sememangnya bertujuan melahirkan murid yang mempunyai perkembangan mental yang sihat di samping perkembangan kognitif. Melalui kaedah ini, murid dapat melatih diri untuk mengamalkan sikap belajar yang positif seperti berdikari, bertanggungjawab dan sanggup menerima cabaran. Di samping itu, murid-murid turut menjalin hubungan sosial yang positif kerana peluang interaksi telah dwujudkan. Murid-murid akan belajar untuk bercakap dengan sopan, menerima pandangan orang lain dan sedia membantu murid yang lemah. Selain itu, keyakinan diri murid dapat dibina apabila mereka mencapai kejayaan dan usaha mereka diiktiraf oleh guru. Semua yang disebut ini terkandung dalam nilai-nilai yang ingin diterapkan dalam pendidikan Moral. Contoh nilainya termasuk nilai berdikari, nilai kerajinan, nilai bertanggungjawab, nilai hormat-menghormati, dan nilai baik hati. Oleh itu, boleh dikatakan kaedah penyelesaian masalah dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Moral melalui penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ini dalam kalangan murid.

2.3Kelemahan penggunaan kaedah penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan MoralKekurangan kaedah penyelesaian masalah termasuklah memerlukan banyak masa perancangan. Hal ini kerana terdapat banyak langkah-langkah yang terlibat dalam kaedah ini seperti peringkat memahami soalan bermasalah, peringakt merancang strategi, peringkat melaksanakan strategi serta peringkat menyemak jawapan dan penyelesaiannya. Oleh itu, ia telah memakan masa yang panjang untuk melaksanakanya. Memandangkan subjek Pendidikan moral mempunyai 14 topik dan nilai yang perlu dihabiskan mengikut masa yang telah ditetapkan iaitu maka banyak aktiviti tidak dapat dijayakan di mana adakalanya pelajar tidak sempat membentangkan hasil projek mereka. Hal ini secara tidak langsungnya akan menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kelas. Bukan itu sahaja, murid-murid juga akan sentiasa berasa tertekan kerana terdapat banyak masalah yang hendak diselesaikan dalam masa yang singkat. Seterusnya, kaedah ini tidak sesuai untuk murid-murid yang lemah. Murid-murid yang lemah tidak dapat berfikir jawapan ataupun jalan penyelesaian masalah yang sesuai berkenaan dengan masalah yang diberikan oleh guru. Contohnya, kalau strategi ini dijalankan oleh satu kumpulan pelajar, maka pelajar yang cerdas sahaja yang akan memikirkan langkah-langkah yang perlu dijalankan, manakala pelajar yang lemah mungkin dipingirkan ataupun diabaikan kerana mereka tidak dapat memberikan sumbangan kepada kumpulan mereka. Kesannya, mereka akan berasa malu dan sedih dan akhirnya kehilangan semangat untuk belajar. Selain itu, ia juga menjejaskan kebekesanan pengajaran dan pembelajaran kelas kerana objektif pencapaian yang ditetapkan oleh guru juga akan gagal dicapai disebabkan hanya pelajar yang cemerlang sahaja yang berjaya mencapainya tetapi tidak dicapai oleh pelajar-pelajar yang lebih lemah. Contohnya, dalam pendidikan moral, semasa guru memberikan satu masalah iaitu menghuraikan kepentingan adab dalam pergaulan dengan jiran untuk dibincangkan dalam kumpulan. Maka, sudah tentulah murid-murid yang lemah tidak dapat menyuarakan pandangan mereka kerana masalah yang diberikan adalah sukar kepada mereka.Lain daripada itu, kaedah ini tidak akan berjaya dilaksanakan jika terdapat murid-murid yang malas serta tidak memberi komitmen kepada guru dan rakan sekumpulan. Hal ini kerana kebanyakkan kaedah penyelesaian masalah dijalankan menggunakan aktiviti berkumpulan maka di sini akan timbul pelajar yang tidak membuat kerja iaitu hanya pada nama sahaja. Mereka yang berperanan sebagai penumpang sahaja akan membebankan tugas-tugas ahli kumpulan mereka yang lain. Selain itu, murid-murid yang malas mungkin akan mengikut sahaja langkah-langkah yang dibincangkan oleh guru dan tidak memikirkan langkah-langkah penyelesaian masalah itu secara sendiri. Akibatnya, mereka tidak akan memperoleh pengetahuan baharu semasa proses penyelesaian masalah dijalankan. Hal ini juga sedikit sebanyak menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kerana murid-murid yang malas tidak akan dapat mengikuti proses pembelajaran yang dijalankan oleh guru dan rakan-rakan mereka yang lain. Di samping itu, bahan-bahan rujukan yang diperlukan ada kalanya tidak didapati merupakan salah satu kekurangan kaedah penyelesaian masalah. Bahan rujukan sebenarnya penting kepada murid-murid kerana mereka perlu merujuk kepada bahan-bahan tersebut untuk mencari idea dan cara-cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diberikan. Namun, bukannya segala masalah yang diberi dapat ditemui di bahan rujukan terutamanya subjek Pendidikan Moral. Mereka yang tidak dapat medapatkan maklumat daripada bahan-bahan rujukan terpaksa memikirkan cara yang lain untuk menyelesaikan masalah. Contohnya, apabila guru mengemukakan masalah-masalah aras yang tinggi, maka agak mustahil murid-murid dapat mencari maklumat di bahan-bahan rujukan tersebut. Oleh itu, jumlah bahan-bahan rujukan yang kurang akan menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kerana mungkin murid-murid tidak dapat memahami sesetengah situasi itu tidak dapat mencari maklumat yang mereka ingini di pada bahan-bahan rujukan. Akhir sekali, penilaian pembelajaran adalah sukar. Dalam kaedah ini, guru menghadapi masalah semasa menilai prestasi murid-murid. Hal ini kerana terdapat pelbagai cara dan teknik penyelesaian masalah yang akan dikemukakan oleh murid-murid dalam subjek pendidikan, guru yang tidak berpengalaman tidak dapat memastikan cara penyelesaian masalah yang baik ataupun kurang baik. Akibatnya, keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kelas tidak dapat dikenal pasti kerana guru tidak berjaya melakukan penilaian pembelajaran dengan baik. Oleh itu, guru perlu merujuk kepada beberapa guru yang lain yang berada dalam bidang yang sama untuk memberi idea kepada mereka semasa kerja penilaian dilakukan.

2.4KesimpulanSecara keseluruhannya, kelebihan dan kelemahan penggunaan kaedah penyelesaian masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral dapat dirumuskan kepada jadual di bawah:

Merujuk kepada jadual di atas, jelas bahawa penggunaan kaedah penyelesaian masalah dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran khususnya pendidikan Moral di sekolah. Walau bagaimanapun, perancangan yang rapi amat penting bagi memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai oleh semua murid. Tuntasnya, guru perlu sentiasa peka dengan keperluan dan situasi murid supaya semua murid mendapat kebaikan atau pengetahuan baharu melalui aktiviti penyelesaian masalah yang dijalankan.