islam dan falsafah sains adi setia

Upload: muhammad-hanief-awang-yahaya

Post on 13-Jul-2015

129 views

Category:

Documents


16 download

TRANSCRIPT

Islam dan Falsafah Sains-Dr. Adi Setia Mohd DomBismillahirrahmanirrahim. Verbatim dari blog lama saya. RINGKASAN SIDANG 2 ISLAM DAN FALSAFAH SAINS Dr Adi Setia Mohd Dom (UIAM) 1.PENGENALAN Sains Islam merupakan satu disiplin ilmiah yang mengkaji semula gagasan Pengislaman Sains; sebagai satu program penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang; bagi melaksanakan nilai-nilai Islam dalam kegiatan sains dan teknologi masakini. Sains Islam adalah satu perancangan besar, untuk menjadikan ilmu Sains selari dengan Pandangan Alam Islam, sekaligus menyingkirkan unsur-unsur Barat dalam ilmu Sains itu sendiri. Selain itu, ini adalah untuk menjadikan ahli sains (dan yang berkaitan) untuk berpegang teguh dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber sains yang berotoriti, di samping merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan Islam terdahulu, dan bukan lagi Barat. Dalam erti kata lain, Pengislaman Sains merupakan kerangka faham asas bagi mewujudkan Sains menurut acuan sendiri ini. 2.TIGA PENGERTIAN SAINS ISLAM Pengertian Pertama: Displin ilmiah yang mengkaji sejarah perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun Islam serta hubungkaitnya dengan perkembangan awal sains dan teknologi di Barat. Kepentingan untuk mengkaji semula sejarah perkembangan Sains Islam yang terdahulu, serta pengaruh Sains Islam ke atas Barat seperti budaya ilmu, budaya pertukangan, kejuruteraan serta pencapaian ahli sains Islam yang terdahulu. Pengertian Kedua. Displin ilmiah dalam bidang Falsafah Sains dan Falsafah Islam yang merumuskan falsafah dan tatakaedah sains yang telah, sedang atau yang semestinya mengawalpandu kegiatan sains dalam tamadun Islam. Kepentingan Sains Islam dijadikan sebagai salah satu cabang bidang falsafah sains, sejarah pemikiran dan falsafah secara umum. Perlunya kepada kajian kepada sejarah pemikiran, mantik dan falsafah Islam yang terdahulu melalui sumber-sumber asli sekaligus dapat melahirkan falsafah dan kaedah sains dan teknologi yang berpandukan Islam, serta dapat dihubungkaitkan dan membantu menyelesaikan permasalahan masakini. Pengertian ketiga Displin ilmiah yang mengkaji perumusan Sains Islam sebagai satu rencana penyelidikan

tajribi/amali/empiris jangka panjang yang bertujuan mengamalkan serta melaksanakan nilai-nilai adab dan ilmu Islam dalam semua kegiatan sains dan teknologi masakini. Sains Islam dijadikan sebagaikan kerangka baru bagi semua kegiatan sains masakini agar terbina sains dan teknologi yang mengikut cirri-ciri Pandangan Alam Islam ke alam nyata. Baik dalam amalan sains dan teknologi semasa dan juga kehidupan masyarakat seharian. Ini juga bermakna, Pandangan Alam Islam dijadikan sebagai Kerangka Induk (KI) utama alam Sains Islam ini. KI ini diperkukuhkan dengan teori-teori sains yang bersifat sebagai Faham Pelindung (PL), Faham Pemeta (FP), dan Faham Penghurai (FH). Sains Islam, melalui pengertian ketiga ini boleh dirumuskan sebagai rencana penyelidikan akli dan tajribi terhadap kejadian alam tabii yang merupakan penjelmaan dayacipta ketuhanan ke dalam alam inderawi, dan demikian dengan penyelidikan itu menguatkan lagi keyakinan kita terhadap Kekuasaan dan Kebijaksanaan Pencipta. Pengertian ini juga lebih menekankan kepentingan ilmu dan kognitif daripada kebergantungan kepada peralatan atau sifat kebergunaan. Ini adalah kerana dalam Islam, matlamat akhir sains adalah ilmu yakini tentang kebenaran mutlak, tentang hakikat tertinggi, tentang aspek numena (noumenon) di sebalik fenomena (phenomenon), tentang makna-diri insan dan makna-diri alam, tentang kesyukuran dan pengabdian diri kepada Pencipta, yang mana semua itu adalah aspekaspek kemakrifatan akan hakikat tertinggi sekadar yang termampu dicapai insan. Sedang aspek kebergunaan atau kealatan sains (kebergantungan kepada alat-alat sains) sebagai teknologi untuk membawa kemakmuran hidup di dunia fana, hanyalah merupakan sifat pengantara kepada matlamat yang lebih kepada demi kerana Allah Taala, dan demi mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Juga tugas kita sebagai insan adalah untuk menzahirkan rasa syukur terhadap Allah Taala. 3.CABARAN PALING BESAR Cabaran utama ahli sains Muslim hari ini berkaitan dengan pengertian Sains Islam yang ketiga iaitu displin ilmiah yang mengkaji perumusan semula Sains Islam sebagai suatu rencana penyelidikan tajribi/amali/empiris jangka panjang yang beryujuan mengamal-laksanakan nilainilai adab dan ilmu Islam (tatanilai ilmu dan tatanilai adab Islam) dalam semua kegiatan sains dan teknologi masakini. Kata kunci utama: Rencana penyelidikan tajribi

Tanpa perumusan rencana penyelidikan tajribi yang jelas dan terperinci, gagasan Sains Islam dalam pengertian pertama dan kedua hanya akan kekal sebagai satu gagasan akliah, ilmiah dan akademik semata-mata, tanpa penjelmaan secara amaliah atau amal nafi pada alam nyata. Pengertian ketiga dalam makalah ini akan diberi tumpuan dan sokongan dari contoh-contoh tertentu daripada sejarah falsafah, sejarah sains dan sejarah teknologi arab serta Melayu-Islam. Falsafah Sains Barat yang dilihat sebagai yang paling serasi dalam pendekatan Dr. Adi Setia dan

berkait dengan permasalah pengertian ketiga ialah falsafah sains oleh Imre Lakatos, yang cuba menyerasikan antara falsafah sains Karl Popper dan Thomas Kuhn serta menawarkan jalan pertengahan antara kerasionalan Popper dan kenisbian Paul Feyerabend. Pendekatan lakatos juga boleh digunakan untuk memerikan rencana penyelidikan ilmiah oleh para pujangga Islam silam, baik dalam bidang yang dikatakan naqliyyat atau aqliyyat. Selain itu, wujud juga permasalahan dalam wacana falsafah sains arus perdana kerana terlalu menekankan aspek tatakaedah sehingga mengabaikan aspek ontologi dan axiologi sains. Peranan ilham atau intuisi, serta keberdampingan dengan pakar dan aspek pengkhabaran mantiq pengkhabaran benar dalam kegiatan dan penemuan sains hampir terlepas pandang dan tidak dikupas melainkan oleh Michael Polanyi: Personal Knowledge. Failasuf sains Muslim diharap dapat mengisi kekosongan ini berdasarkan kerangka tatailmu sains dalam Islam yang menggabungkan tatanilai kognitif dengan tatanilai etika. Penyelidikan rapi perlu untuk melihat bagaimana pemupukan sains dan teknologi menurut acuan sendiri dalam budaya Islam masih sihat sehingga pertengahan abad-20Kasus India, Mesir dan Melayu-Islam Nusantara. Selain itu, wujud juga ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi yang secara tersurat atau tersiratnya mengandungi petunjuk-petunjuk tertentu tentang perkaitan sains dalam memakmurkan hidup insan di bumi fana, di samping pemupukan keinsafan dan renungan terhadap ciptaan dan Kekuasaan dan Kebijaksanaan Pencipta; Penyepaduan antara kemakmuran duniawi yang fana dan kebahagiaan akhirat yang baqa. 4.KERANGKA INDUK (KI), FAHAM PELINDUNG (FL), FAHAM PEMETA (FP), FAHAM PENGHURAI (FH) Kerangka Induk (KI) al-Attas dalam Prolegomenaadalah unsur-unsur asasi Pandangan Alam Islam (fundamental elements of the Worldview of Islam) yang terdiri dari : 1. Faham agama, faham akhlaq ( tata-adab Islam=Islamic ethics) 2. Faham ilmu atau tatailmu (Islamic epistemology) 3. Faham akal (atau ilmu jiwa Islam=Islamic psychology) 4. Faham bahasa (Islamic linguistic theory or philosophy of language) 5. Faham kebahagiaan (tatanilai Islam=Islamic axiology) 6. Faham alam atau falsafah sains Islam (Islamic philosophy of science/Islamic sociology) 7. Faham kewujudan (ilmu tawhid=Islamic ontology) Kesemua isikandungan tataadab=pengadaban falsafah dan (kewarasan program akal pendidikan Islam berteraskan faham mengatasi kerakusan nafsu).

Unsur-unsur ini terpancar dari metafizik Islam (Islamic Metaphysics)= faham Islam tentang hakikat sebenar di sebalik kejadian alam, sepertimana yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah serta dihuraikan ahli ilmu paling mutabar dalam sejarah pemikiran Islam dari kalangan ulama, failasuf, mutakallim, hukama dan sufi sepanjang masa.

Lakatos

the

hard

core

of

the

research

programme

Faham Pelindung (FL) Hal-hal yang berkaitan kewajipan ahli sains Muslim untuk membina teori sains baru bagi menyanggah, lalu menggantikan, mana-mana teori sains Barat moden yang mempersoalkan mana-mana bahagian dalam Kerangka Induk Sains Islam. Contoh: Teori Darwin mempersoalkan faham keterlibatan Tuhan dalam penciptaan dan keberlangsungan alam semesta yang merupakan KI dalam Sains Islam, jelas termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah serta diperhujahkan secara akliah dalam bidang ilmu kalam dan falsafah Islam. Sebagai ahli sains Islam, kita perlu membangunkan teori pengganti (teori alternatif) yang turut merujuk kepada dalil-dalil kejadian alam tabii bagi menyokong lalu melindungi kepercayaan kita terhadap hakikat kewujudan Pencipta agar kepercayaan kita tidak tergugat malah mampu pula mengutarakan tatakaedah dan penemuan baru. FL agak bersifat pasif dan reaktif serta apologetik. Namun ini akan membawa kepada FP. Faham Pemeta (FP) Usaha ilmiah kita untuk membina teori-teori pengantara atau sokongan tertentu (Lakatos auxillary hypotheses) yang mampu membantu kita menemui serta menghurai segi-segi tertentu dalam kejadian alam tabii yang boleh mengesahkan secara tajribi lagi terperinci segi-segi tertentu dalam KI kita. FP berfungsi sebagai faham pengantara untuk memetakan KI ke atas kejadian tabii. Contoh: KI kita mengatakan alam ini ciptaan Pencipta Maha Kuasa, Maha Bijaksana, maka apakah cirriciri fizikal tertentu dalam kejadian alam tabii (natural phenomena) yang boleh dikatakan sebagai dalil tajribi (empirical evidence) bagi mengesahkan fakwaan KI kita tentang penciptaan alam oleh Pencipta? Antara contoh teori oleh ilmu terdahulu adalah teori keatoman/kejawharan/kezarahan alam (atomism) dan teori rekacipta pintar (intelligent design) adalah antara teori-teori mengenai hakikat alam tabii yang telah dibina para mutakallim silam demi menyokong lalu menghuraikan lagi KI mereka tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, Maha Bijaksana, Maha Berkuasa lagi Maha Mencipta. Faham Penghurai (FH) Usaha ilmiah untuk memberikan isikandungan tajribi/empiris (empirical content) kepada pelbagai segi KI kita, seperti KI mengenai kewujudan ruh/nyawa/nafsu/akal sebagai jatidiri atau hakikat keinsanan serta teras kepada kesedaran diri insane sebagai makhluk yang berdayacipta. Ulama silam seperti al-Hakim al-Tirmidhi, ibn Sina dan al-Ghazali telah membina teori kejiwaan Islam (Islamic psychology) yang bersifat falsafi tajribi demi menghuraikan lagi makna sebenar terkandung dalam istilah-istilah kejiwaan dalam al-Quran. Penguasaan berdayacipta ke atas kerangka induk ilmujiwa Islam ini akan memberi suatu neraca untuk menentukan mana

teori-teori kejiwaan Barat yang boleh diserapkan secara kritis ke dalam kerangka kejiwaan Islam. Contoh 1: Kita mengatakan bahawa siang hari adalah untuk bekerja, malam adalah untuk berehat seperti yang disebutkan di dalam ayat 9, Surah An-Naba. Sepatutnya kita mampu membina teori perubatan tabii (naturotherapy) yang berteraskan pendekatan rawatan tidur umpamanya, untuk mengatasi rasa penat, tekanan jiwa dan gangguan jasmani atau emosi lain, yang mampu diamalkan oleh semua orang tanpa memerlukan wang yang banyak untuk membeli ubat-ubatan kimia yang mempunyai pelbagai kesan sampingan. Contoh 2: Bidang penyelidikan Viviseksi (vivisection=ujikaji potong secara hidup-hidup atas pelbagai jenis haiwan seperti kera, tikus dll untuk penemuan ubat baru) perlu dikaji semula dan diganti dengan tatanilai rahmah lebih-lebih lagi apabila terbukti dari segi analisa Barat sendiri bahawa amalan viviseksi tidak mempunyai sebarang nilai ilmu (have no cognitive value), maka tiada nilai perubatan (have no medical resemblance) langsung kerana andaian wujud persamaan fisiologi (physiological resemblance) antara haiwan dan insan terbukti palsu. Ahli perubatan Muslim seharusnya berani dan bertanggungjawab untuk menilai semula secara menyeluruh tatakaedah sistem perubatan Barat arus perdana berdasarkan neraca falsafah, tatakaedah dan amalan sistem perubatan Islam dan sistem perubatan tradisional lain yang terbukti mujarabnya tanpa kesan sampingan seperti sistem perubatan Yunani Kuno, Ayuverdic India, acupuncture Cina, kampo Jepun serta sistem tradisional Melayu-Islam yang turut diamalkan oleh ulama Melayu-Islam. Pendekatan amali-falsafi ini akan dikembangkan sehingga meliputi bidang-bidang sains social seperti ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran, perundangan hatta meliputi bidang-bidang naqliyyat seperti fiqh, usul fiqh, tafsir dan sebagainya dengan penglibatan ilmiah alim ulama ahli agama yang kritis dan tajam pemikirannya yang mahu menghidupkan ilmu-ilmu naqliyyat dan menyepadukan semula dengan ilmu-ilmu aqliyyat (seperti Nuh Ha Mim Keller) agar sistem ilmu Islam akan mampu membina kembali tamadun Islam dalam erti kata sebenarnya di atas runtuhan tamadun Barat yang muflis tatailmu dan tatanilai sebenar. Usaha ini memerlukan kerjasama ilmiah yang erat antara ahli agama dan ahli sains sehingga suatu masa nanti, akan lenyap pemisahan di antara apa yang dikatakan ilmu agama dan sains itu, dan menjadi satu, sepertimana zaman kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang terzahir pada peribadi pujangga agung seperti al-Biruni, ibn Sina, dan Fakhr al-Din al-Razi. 5.KESIMPULAN Demi mewujudkan sains menurut acuan sendiri, ketiga-tiga pengertian Sains Islam ini harus difahami dan dikuasai oleh pendokong Pengislaman Sains. Daripada falsafah, kita serasikan rasa ingin tahu dengan sifat ingin bahagia di dunia dan akhirat agar sains dan teknologi yang dicetuskan kita menjadi factor membina, bukan meruntuh, dalam tamadun Melayu-Islam kita. Kita juga perlu merenung kembali keperluan untuk meniru dan mengambil pendekatan sains oleh barat yang kononnya maju, tapi mungkin mundur di timur. Usaha Pengislaman Sains memerlukan penyelidikan jangka panjan, di samping perlunya kepada pemikiran dan renungan

serta merencanakan penyelidikan peribadi, tanpa bergantungharap pada dana-dana penyelidikan rasmi oleh kerajaan atau swasta. Adalah amat penting untuk mewujudkan program-program ilmiah dan pembudayaan ilmu secara terus menerus serta keperluan untuk berkorban oleh ahliahli sains Muslim bagi menjayakan gagasan Sains Islam dan Pengislaman Sains yang berdasarkan faham Pengislaman Ilmu oleh Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

**************************************************************** *kertas kerja ini dipersembahkan oleh Dr Adi dalam Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam dan Syarahan Perdana Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada 13 disember 2009 di Institut Integriti Malaysia dan telah telah diringkaskan oleh saya--Syed Putra Iqmal untuk edaran ahli PKPIM Kampus. jadi mungkin ada kesilapan, kerana saya bukanlah orang yang memahami sepenuhnya. Wallahua'lam.