ijtihad dan peranannya dalam pembangunan islam

19
IJTIHAD DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN ISLAM PENDAHULUAN Allah S.W.T telah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjadi panduan dan pedoman manusia. Al-Quran juga memberi keterangan-keterangan yang nyata serta membezakan di antara perkara yang baik dengan yang buruk. Di dalam al-Quran terdapat bahagian yang dikaitkan dengan akidah dan iman yang lurus. Terdapat juga bahagian hukum amali yang mengatur hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan sesama makhluk Allah yang lain. Aturan-aturan Allah ini adalah untuk menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat. Di dalam al-Quran juga terdapat hukum yang dijelaskan secara terperinci dan juga hukum yang dihuraikan secara am dan menyeluruh yang boleh dipadankan dengan keperluan manusia tanpa mengira masa dan tempat mahupun zaman yang berbeza. Di dalam kedua-dua bahagian hukum ini terdapat bidang ijtihad yang sangat luas untuk diharungi oleh mereka yang berkelayakan. Dalam sejarah pemikiran islam, ijtihad telah banyak digunakan sejak dahulu. Esensi ajaran Al-qur’an dan Hadits memang menghendaki adanya ijtiihad. Al-qur’an dan hadis kebanyakan hanya menjelaskan garis besarnya saja, maka ulama berusaha menggali maksud dan rinciannya dari kedua sumber tersebut melalui ijtihad. Setelah wafatnya Rasulullah islam semakin luas dan para sahabat menyebarkan dakwah Islam ke pelbagai penjuru dunia sehingga mereka dihadapkan pada berbagai persoalan yang tidak ditemukan hukumnya dalam Al-qur’an dan al-hadis. Hal itu, mengharuskan mereka menyelesaikannya dengan cara ijtihad.

Upload: humaira-mirza

Post on 22-Dec-2015

40 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

mmmmmmmm

TRANSCRIPT

Page 1: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

IJTIHAD DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN ISLAM

PENDAHULUAN

Allah S.W.T telah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjadi panduan dan pedoman manusia. Al-Quran juga memberi keterangan-keterangan yang nyata serta membezakan di antara perkara yang baik dengan yang buruk.

Di dalam al-Quran terdapat bahagian yang dikaitkan dengan akidah dan iman yang lurus. Terdapat juga bahagian hukum amali yang mengatur hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan sesama makhluk Allah yang lain. Aturan-aturan Allah ini adalah untuk menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.

Di dalam al-Quran juga terdapat hukum yang dijelaskan secara terperinci dan juga hukum yang dihuraikan secara am dan menyeluruh yang boleh dipadankan dengan keperluan manusia tanpa mengira masa dan tempat mahupun zaman yang berbeza. Di dalam kedua-dua bahagian hukum ini terdapat bidang ijtihad yang sangat luas untuk diharungi oleh mereka yang berkelayakan. Dalam sejarah pemikiran islam, ijtihad telah banyak digunakan sejak dahulu. Esensi ajaran Al-qur’an dan Hadits memang menghendaki adanya ijtiihad. Al-qur’an dan hadis kebanyakan hanya menjelaskan garis besarnya saja, maka ulama berusaha menggali maksud dan rinciannya dari kedua sumber tersebut melalui ijtihad.

Setelah wafatnya Rasulullah islam semakin luas dan para sahabat menyebarkan dakwah Islam ke pelbagai penjuru dunia sehingga mereka dihadapkan pada berbagai persoalan yang tidak ditemukan hukumnya dalam Al-qur’an dan al-hadis. Hal itu, mengharuskan mereka menyelesaikannya dengan cara ijtihad.

Permulaan sejarah ijtihad berlaku setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW wafat setelah baginda menyempurnakan dakwah agama kepada umat manusia. Dengan kewafatan baginda, maka terputuslah wahyu dan tamatlah zaman tasyri’ (penurunan hukum perundangan daripada Allah).

Antara sunnah Allah S.W.T. terhadap makhluk-Nya ialah menjadikan agenda hidup mereka berubah-ubah dan sentiasa berkembang. Isu-isu agenda tersebut tidak pernah terhenti atau terbatas. Di samping itu, manusia juga berselisih pendapat tentang urusan agama dan kehendak duniawi mereka, yang semakin kompleks dan rumit dari zaman ke zaman.

Page 2: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

Perselisihan dan perpecahan ini dijelaskan pada banyak tempat di dalam al-Quran. Antaranya pada ayat berikut :

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berikhtilaf (berselisih pendapat). Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Rabbmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka … .” (Hud : 118-119)

Berdasarkan maksud ayat 118-119 surah Hud, dapatlah difahami bahawa sekiranya Allah S.W.T mahu menjadikan semua hamba-Nya beriman, sudah pasti Dia menjadikan manusia semuanya sebagai satu umat yang berpegang kepada agama kebenaran yang satu. Namun begitu, Allah menjadikan beberapa hukum untuk dibahaskan oleh manusia, sebagai hikmah untuk membezakan di antara orang yang menggunakan akal, dan orang yang mengabaikannya.

Kesimpulannya, ijtihad hanya boleh dilakukan oleh golongan manusia yang benar-benar berkelayakan sahaja. Hal ini demikian, bagi memastikan umat manusia sentiasa berada di jalan yang benar dan diredhaiNya. Dalam konteks zaman selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, ijtihad amat perlu bagi memastikan kelansungan pembangunan Islam, yang merupakan agama yang benar.

Page 3: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

ISI KANDUNGAN

DEFINISI IJTIHAD

Menurut Dr. Muhammad Sayyid Tantawi perkataaan ijtihad adalah daripada kata dasar ‘jahada’ yang bermaksud percubaan seseorang pada tahap maksimum dan sedaya upaya untuk merealisasikan perkara tertentu yang diinginya,sama ada berbentuk hissi atau maknawi.

Sementara mengikut istilah fiqah, bererti, seseorang yang faqih mencuba sedaya upaya untuk mengeluarkan hukum syarak yang praktikal dan berkesan dengan cara membuat kesimpulan daripada dalil-dalil yang terperinci.

Dr. Kassim Salleh pula mendefinisikan ijtihad sebagai curahan tenaga dari seorang faqih yang mengkaji dalil-dalil untukmengeluarkan hukum-hukum syara’ bagi masalah furu’.

Menurut Imam Ghazali, ijtihad adalah pengerahan kemampuan oleh seorang faqih (mujtahid) dalam rangka menghasilkan hukum syarak.

RUKUN-RUKUN IJTIHAD

Rukun ijtihad ialah perkara yang perlu ada untuk menjayakan ijtihad yang diterima syarak dan mendapat penilaian oleh ulama’. Menurut Dr. Kassim Salleh dalam bukunya yang bertajuk ‘Ijtihad, Sejarah dan Perkembangannya’, rukun ijtihad terbahagi kepada empat perkara.

1) Peristiwa

Ijtihad adalah curahan tenaga untuk mencari hukum bagi peristiwa yang berlaku, atau dijangka akan berlaku dan peristiwa itu tidak diliputi oleh hukum dari nas al-Quran, hadis atau ijmak, maka peristiwa memerlukan hukum dari segi syarak melalui ijtihad.

2) Mujtahid

Mujtahid ialah faqih yang mencurah tenaganya untuk melaksanakan ijtihad. Ia mestilah seorang yang berbakat dan bersedia memahami peristiawa itu dan memahami juga hukum Allah mengenai peristiwa itu. Mujtahid perlu terdiri daripada golongan yang baligh, berakal, mempunyai kelayakan untuk mengeluarkan hukum.

Page 4: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

3) Dalil-dalil syara’

Dalil adalah panduan untuk mencapai tujuan. Dalil-dalil syara’ merangkumi kitab, sunnah, ijmak, qias atau dalil yang digunakan untuk kajian usul fiqh seperti istihsan, masoleh mursalah, istihab dan sebagainya.

4) Al-Waqi’ (Peristiwa atau masalah yang berlaku)

Masalah yang memerlukan ijtihad mestilah terdiri daripada masalah furu’ yang tidak diliputi oleh dalil qat’i. Hukum bagi masalah yang diijtihadkan mestilah bersifat zan (diragui hukumnya).

Sesetengah ulama menyatakan bahawa rukun ijtihad hanya terbahagi kepada tiga perkara sahaja, iaitu, ijtihad, mujtahid dan masalah berkenaan, Di antara mereka ialah Imam al-Ghazali dan Imam al-Zarkashiy.

SKOP IJTIHAD

Ijtihad tidak boleh dilakukan pada hukum yang telah jelas diketahui dalam agama. Ia termasuk nas-nas yang mempunyai dalil-dalil qat’i atau yang telah tetap hukumnya.

Contohnya,nas-nas yang memerintahkan supaya ikhlas beribadat kepada allah dan mengikuti rasullullah,menunaikan kewajipan yang telah ditentukan allah pada kita seperti solat, mengutamakan perbuatan baik,dan menjauhkan diri daripada perbuatan buruk seperti zina,minum arak dan lain-lain yang ditegah dalam Islam.

Skop ijtihad yang sebenarnya ialah pada nas-nas yang masih ada keraguan tentang ketetapannya, seperti sesetengah hadis nabi yang selalu dibincangkan oleh ahli hadis tentang sanad dan matannya dari segi sahih,hasan,da’if atau kajian lain yang berhubung dengan hadis nabi.

Ruang skop ijtihad juga merangkumi nas-nas yang bersifat zanni (diragui), seperti sesetengah ayat al-Quran atau hadis yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran bergantung kepada pemahaman susunan bahasanya atau dalil-dalil syarak.

Page 5: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

Hakikatnya,terdapat puluhan malah ratusan ayat al-quran yang diyakini oleh semua orang muslim bahawa ia adalah kata-kata Allah. Sudah pastinya,kata-kata ini tidak mengandungi kebatilan biar dari arah mana sekalipun. Dan ia adalah nyata dan tetap sebagai nas. Oleh itu, perbezaan pendapat para ulama bukanlah pada benar atau tidaknya ayat ini kerana ia adalah dari Allah, tetapi pusaran perselisihan adalah pada pemahaman terhadap nas-nas ini,disebabkan lafaz serta petunjuknya boleh membawa pelbagai pengertian.

Begitu juga apa yang terjadi kepada hadis Nabi. Antara ratusan hadis baginda yang diyakini kesahihannya itu,terdapat juga yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Contohnya mengenai maksud hadis ‘ Salah satu tanda kiamat adalah apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya’. Perbezaan pendapat yang timbul antara ulama di sini adalah dalam memahami maksud beberapa lafaznya. Ada sesetengah pentafsir hadis berpendapat maksud ayat tersebut ialah seorang anak yang bersikap derhaka terhadap ibu bapanya. Sesetengah yang lain pula berpendapat bahawa maksud ayat ini ialah orang yang mengambil perempuan yang berstatus khadam sebagai isteri adalah ramai.

SYARAT-SYARAT IJTIHAD (MUJTAHID)

Selain memiliki kesempurnaan akal dan agama,seorang mujtahid juga perlu memiliki ciri-ciri yang berikut:

1.Mengetahui secara mendalam tentang ilmu-ilmu bahasa arab serta cara-cara pencarian petunjuk untuk membongkar maksud sebenar.

Menurut Allahyarham Syeikh Muhammad Nur al-Hasan, mujtahid perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang bahasa Arab sama ada dari segi nahu (tatabahasa), sorf (morfologi) dan balagahah, dengan pengetahuan yang cukup sebagai rujukan yang diperlukan, dan dapat membezakan kata-kata yang nyata, zahir atau ringkas, terperinci, am atau khas, hakikat dan majaz (kiasan) serta tempat-tempat yang patut diwasal (sambung).

Page 6: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

2.Hafal al-Quran dan faham dengan baik makna-maknanya.

Imam al-Zarkashiy menyatakan bahawa “Bukanlah menjadi syarat untuk mengetahui semua isi kitab al-Quran, memadai dengan nas nas yang berkaitan dengan hukum sahaja”.Imam Ghazali dan Ibn Arabi berkata “Ayat yang perlu diketahui adalah pada kadar 500 ayat”. Imam Mawardi turut bersetuju dengan pendapat ini. Namun, Ibn Daqiq al-‘Ayd membantah pembatasan ini dengan mengatakan bahawa ia sebenarnya tidak terhad pada bilangan tertentu, sebaliknya ia berbeza-beza mengikut perbezaan akal masing-masing, ditambah dengan penanugerahan Allah S.W.T kepada hambaNya dalam melakukan istinbat. Kebanyakan ulama berpandangan seorang mujtahid perlu mengahafal al-Quran kerana seorang hafiz memahami maknanya lebih mandalam daripada seorang yang hanya membaca. Menurut pendapat lain, seorang mujtahid tidak semestinya menghafal al-Quran kerana tauladan dan pengajaran ada di dalamnya.

3.Berpengetahuan luas tentang sunnah nabi dan hukum-hukumnya.

Menurut al-Mawardi, ada yang berpendapat hadis yang perlu diketahui adalah sebanyak 500 hadis. Ibn ‘Arabi pula berkata sebanyak 3000 hadis. Bagi Imam Ahmad Hanbal pula, mujtahid perlu menghafal hadis lebih daripada itu. Mungkin pendapat ini adalah sebagai langkah berhati-hati. Menurut Dr. Muhammad Sayyid Thantawi, mujtahid tidak perlulah mengahafal semua hadis, termasuk juga hadis-hadis hukum. Ini disebabkan menghafalnya adalah sesuatu yang susah dan menyulitkan. Apa yang perlu hanyalah selalu membelek kitab-kitab tersebut supaya mudah bagi mujtahid untuk mendapatkan hadis sahih yang ingin diistinbatkan hukum darinya.

4.Memahami matlamat penetapan hukum syarak oleh Allah.

5.Mengetahui keadaan masyarakat dan adat kebiasaan mereka serta perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada mereka.

6.Mengetahui dengan jelas ilmu fiqah dan usulnya serta biasa melaksanakannya secara praktikal.

Hal ini supaya dia mendapat kecerdasan minda dan kekuatan akal yang dapat membantunya mengeluarkan hukum-hukum syarak secara sempurna,.Bakat begini adalah hasil kurniaan Allah yang hanya dianugerahkan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

7.Mengetahui qiyas, iaitu dengan pengetahuan menyeluruh yang merangkumi syarat, rukun, pembahagian, illah serta bangkangannya.

Kesemua perkara di atas adalah landasan ijtihad. Daripada qiyaslah ilmu fiqah berkembang dan ia kadangkala diambil sebagai jalan untuk mengeluarkan hukum dalam beberapa kes.

Lebih-lebih lagi, pada zaman mutakhir ini, pelbagai masalah baru yang timbul yang tidak pernah ada pada zaman dahulu.

Page 7: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

8.Mengetahui hukum-hukum al-Nasaikh dan al-Mansuh yang terdapat di dalam al-Quran.

Hal ini bagi memastikan mujtahid tidak mengeluarkan hukum dengan menggunakan nas yang telah mansuh (dipadamkan).

9.Mengetahui tahap perawi, sama ada kuat atau lemah, membezakan antara hadis sahih dan yang sebaliknya, maqbul (diterima) atau mardud (ditolak).

HUKUM IJTIHAD

Sesiapa yang benar-benar mengkaji al-Quran akan mendapati bahawa ia menggalakkan manusia supaya menuntut ilmu. Ini dapat dibuktikan apabila pada surah pertama lagi yang diturunkan kepada nabi,Allah telah memulakannya dengan perintah membaca. Oleh itu, umat manusia digalakkan membaca dan mengakaji, dengan menggunakan anugerah akal yang diberikan oleh Allah serta dipandu dengan al-Quran dan hadis.

1.Fardhu Ain

Apabila seseorang mujtahid ingin menyimpulkan hukum untuk dirinya sendiri supaya tenang hatinya dan mendapat keredaan Allah atau dalam keadaan apabila seseorang mujtahid ditanya tentang hukum sesuatu masalah syarak yang boleh dilakukan ijtihad,sedangkan ketika itu tidak ada mujtahid lain yang boleh diharapkan untuk menerangkan hukum selain dirinya.

2.Fardhu kifayah

Apabila ada mujtahid atau mujtahid-mujtahid lain selain dirinya dan masalahyang ingin diketahui pula tidak dibimbangi luputnya. Dalam hal ini,apabila salah seorang mujtahid mengeluarkan ijtihad tentang masalah itu,gugurlah bebanan pada mujtahid lain.Sebaliknya, apabila tidak ada seorang pun mujtahid yang mengeluarkan ijtihad, semua mujtahid yang ada mendapat dosa.

3.Sunat

Apabila hukum yang ingin disimpulkan adalah berkenaan masalah-masalah akan dating dan belum lagi terjadi pada ketika itu.

4.Haram

Apabila ia berkenaan dengan masalah yang telah tetap hukumnya dalam agama,dan ia tidak boleh menerima ijtihad atau ijtihad itu berlawanan dengan dalil qat’i yang berupa nas atau ijmak.

Page 8: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

PERINGKAT IJTIHAD

Di dalam buku yang bertajuk Tarikh al-Tashri’ al-Islami, Syeikh Muhammad al-Khudri telah membahagikan peringkat-peringkat dalam sejarah tasyri’ Islam dan ijtihad yang mengiringinya kepada enam peringkat. Setiap peringkat mempunyai peranan, imej, keadaan dan permasalahan yang tersendiri.

Peringkat pertama : Zaman Nabi s.a.w, yang merupakan zaman mengikut sahaja apa yang dikatakan dan dibawa oleh baginda.

Para ulama setuju sebulat suara mengatakan bahawa Nabi Muhammad diharuskan melakukan ijtihad dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah duniawi, tanpa ada pembatasannya. Akan tetapi, dalam perkara yang berkaitan dengan urusan agama, ada ulamak yang berpendapat, permasalahan agama akan dijelaskan baginda mengikut wahyu, berdasarkan firman Allah yang bermaksud ;

(an-Najm : 3-4)

Huraiannya : Apa-apa sahaja yang diucapkan oleh baginda adalah bersumberkan wahyu dan oleh sebab itu, ruang untuk baginda berijtihad tentang urusan agama sebenarnya tidak ada.

Hal ini jelas kelihatan apabila baginda ditanya oleh sahabat atau sesiapa pun, baginda menunggu sehingga wayhu diturunkan sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan. Sekiranya baginda dibenarkan melakukan ijtihad, sudah tentu baginda tidak menunggu turunnya wahyu.

Namun begitu, kebanyakan ulama berpendapat sebaliknya. Bagi mereka, Rasulallah s.a.w diharuskan melakukan ijtihad dalam perkara berkaitan agama dan hukum-hukum syarak sebagaimana hukum duniawi. Antara hujah mereka ialah Allah berfirman kepada manusia agar berfikir dan mengambil iktibar. Mereka mengatakan, jika Nabi tidak dibenarkan ijtihad, bererti ia melemahkan pemikiran akal manusia. Hal ini kerana, ijtihad memerlukan pengkajian dan pemikiran teliti yang dapat menajamkan akal dan menggerakkan minda ke arah pemikiran yang sihat. Mereka juga berhujah, bagi pendapat pertama yang mengatakan Rasulullah menunggu wahyu (untuk memberi jawapan), bahawa keadaan itu hanya berkenaan perkara-perkara yang tidak dibolehkan melakukan ijtihad , atau berkenaan perkara-perkara yang hukumnya masih terdapat kesamaran , yang tidak akan diketahui kecuali melalui wahyu. Berbeza halnya dengan perkara-perkara yang boleh diketahui hukumnya melalui ijtihad dan perkara-perkara yang tiada kesamaran. Dalam perkara-perkara begini, baginda mengeluarkan hukum dengan berijtihad.

Page 9: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

Jumhur ulama mengatakan terdapat perkara yang dapat diselesaikan Nabi dengan menggunakan ijtihad. Jika ijtihad baginda betul (selalunya begitu) maka Allah S.W.T mendatangkan wahyu sebagai sokongan. Jika ijtihad baginda silap (amat jarang berlaku) maka Allah S.W.T menurunkan wahyu untuk membetulkannya.

Peringkat kedua : Zaman Khalifah al-Rashidin dan sahabat-sahabat terkemuka yang menerima tunjuk ajar Nabi s.a.w.

Semenjak zaman Rasulullah lagi, baginda mengizinkan para sahabat untuk berijtihad. Baginda akan menyokong ijtihad mereka, sekiranya ia betul dan dapat diterima. Sekiranya ijtihad mereka salah, baginda akan membimbing mereka ke arah yang lebih tepat dan lebih baik. Dalam hal ini, ijtihad mereka, sama ada betul atau silap tidak menjadi persoalan. Dinyatakan melalui hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim, Sunan Abu Daud, al-Tarmidhi dan al-Nasa’I daripada ‘Amru ibn al-‘As daripada Nabi Muhammad s.a.w bahawa : “Apabila seorang hakim menghukum dengan menggunakan ijtihad, lalu ijtihadnya itu betul, maka dia memperoleh dua pahala. Sebaliknya apabila seorang hakim menghukum dengan menggunakan ijtihad, lalu ijtihadnya salah, maka akan memperoleh satu pahala”. Huraiannya : Apabila seseorang mengerah segenap usahanya untuk sampai kepada kebenaran, lalu ijtihadnya itu betul, maka dia memperoleh dua pahala, satu pahala kerana ijtihadnya dan satu lagi pahala kerana dia sampai kepada kebenaran. Sebaliknya apabila ijtihadnya salah, maka dia akan memperoleh satu pahala kerana ijtihadnya sahaja.

Ketua para mujtahid pada zaman Rasulullah dan selepas kewafatan baginda ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.

Peringkat ketiga : Zaman para tabi’in yang terkemuka yang menerima tunjuk ajar dan menuntut ilmu daripada para sahabat.

Peringkat keempat : Zaman tabi’ al-tabi’in yang belajar dari para tabi’in bermula dari awal kurun pertama hijrah hingga akhir kurun ke-3.

Peringkat kelima : Bermula dari awal kurun ke-4 hingga kejatuhan Negara Abassiyah di Baghdad di tangan Tartar pada tahun 656 Hijrah.

Peringkat keenam : Bermula daripada kejatuhan kerajaan Abassiyah di Baghdad sehingga zaman kini.

Para sahabat Nabi yang faqih telah mewariskan ilmu yang ada pada mereka kepada murid-murid mereka; kalangan tabi’in untuk disebarkan dengan ikhlas dan amanah. Dan sebagaimana yang diharapkan, para tabi’in telah menurunkan ilmu kepada generasi berikutnya; tabi’ al-tabi’in.

Demikianlah putaran ilmu yang baik, yang merangkumi ilmu fiqah dan ijtihad. Putarannya terus bersambung. Generasi ulama dan fuqaha’ yang terkemudian menjadi murid kepada generasi sebelumnya. Maka pintu ijtihad terbuka sehinggalah hari ini.

Page 10: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

IJTIHAD DAN PERANANNYA DALAM PEMBANGUNAN ISLAM.

Setelah meneliti perkembangan ijtihad pada setiap zaman, jelaslah bahawa ijtihad merupakan elemen penting dalam mencari hukum bagi sesuatu permasalahan. Hal ini kerana pada zaman selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, wahyu sudah tidak diturunkan. Sekiranya ijtihad penting pada zaman-zaman terdahulu, maka pada zaman kini, ijtihad lebih perlu dan wajib, memandangkan permasalahan pada zaman kini lebih luas dan pelbagai.

Menurut al-Qardhawi, para fuqaha terdahulu sentiasa menegaskan tentang keperluan perubahan fatwa disebabkan perubahan masa, tempat, kelaziman dan keadaan. Sebagai contoh, terdapat dua bidang ilmu yang sangat memerlukan kepada ijtihad dan fatwa baru sekarang iaitu bidang ekonomi dan kewangan serta sains dan teknologi kerana terdapat pelbagai perubahan baru sama ada meliputi kaedah atau bahan dalam bidang-bidang tersebut.

Menurut Saidina Ali ibn Abi Talib, ‘Janganlah kamu bebankan anak-anak kamu supaya hidup kamu mengikut jalan fikiranmu kerana sesungguhnya mereka dicipta untuk zaman yang tidak sama dengan zamanmu’.

Berikut merupakan peranan ijtihad dalam pembangunan Islam ;

1) Memudahkan umat Islam pada masa kini untuk menentukan sesuatu hukum dan memastikan hala tuju pembangunan sentiasa dipandu dengan agama Islam.

Secara umumnya, pada zaman yang semakin giat dengan pembangunan dan kemajuan, ijtihad sangat diperlukan dalam menentukan pelbagai hukum seiring dengan pelbagai jenis ciptaan dan permasalahan baru yang timbul. Oleh itu, ijtihad amat perlu untuk mencari sesuatu hukum, agar kehidupan orang Islam pada zaman kini dipandu oleh hukum yang betul serta berada dalam keadaan yakin (tidak syubhah).

Contohnya bagi mengetahui hukum penggunaan electrical stunning dan pelalian water stunner semasa penyembelihan lembu dan ayam yang tidak pernah dilakukan pada zaman dahulu. Penggunaan kaedah tersebut adalah hasil pembangunan masa kini yang dapat mempercepat proses penyembelihan ayam dan lembu. Setelah Jabatan Mufti melakukan ijtihad dan mengesahkan bahawa hukumnya adalah harus, maka orang Islam dapat memakan daging ayam dan lembu hasil penyembelihan yang menggunakan kaedah tersebut dengan yakin.

Page 11: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

2) Membuktikan Islam bersifat syumul dan sesuai diamalkan pada setiap zaman.

Fatwa merupakan hasil daripada ijtihad seorang mujtahid. Fatwa dalam Islam bukan bertujuan untuk mengongkong umatnya sebaliknya jumlah fatwa yang sangat banyak itu adalah bukti yang menunjukkan kedinamikan fatwa itu sendiri. Setiap permasalahan baru yang timbul pada zaman ini mempunyai fatwanya sendiri hasil daripada ijtihad para mujtahid. Hal ini jelas menunjukkan bahawa agama Islam sentiasa memandu penganutnya kepada kehidupan yang lebih baik dan teratur, seterusnya menunjukkan kesempurnaan Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan dan Islam adalah agama yang relevan untuk setiap zaman. Islam merupakan agama yang sentiasa memandu penganutnya ke arah jalan yang benar. Manakala fatwa daripada hasil ijtihad akan sentiasa menangani masalah umat tanpa membelakangkan syariat.

3) Al-Quran dan as-Sunnah sentiasa menjadi panduan umat Islam tanpa mengira zaman.

Para mujtahid sentiasa merujuk al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan utama dalam melakukan ijtihad. Selain itu, kaedah qiyas, masoleh mursalah dan lain-lain juga digunakan dalam mencari hukum yang benar. Oeh itu, jelaslah bahawa pokok pangkal sesuatu hukum adalah merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Page 12: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

KESIMPULAN

Sebagai umat Islam pada masa kini,penggunaan ijtihad sangat diperlukan dalam menentukan hukum sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi pada zaman berteknologi tinggi yang serba moden ini, ijtihad amat diperlukan dalam membantu umat Islam menyelesaikan masalah syarak dan fiqah baru yang tidak pernah berlaku pada zaman dahulu sekaligus memudahkan umat Islam mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka dan beramal dengan sesuatu dengan keadaan yakin.

Setelah meneliti perkembangan ijtihad pada setiap zaman, jelaslah bahawa ijtihad merupakan elemen penting dalam mencari hukum bagi sesuatu permasalahan. Hal ini kerana pada zaman selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, wahyu sudah tidak diturunkan.

Sekiranya ijtihad penting pada zaman-zaman terdahulu, maka pada zaman kini, ijtihad lebih perlu dan wajib, memandangkan permasalahan pada zaman kini lebih luas dan pelbagai.

Seterusnya,ijtihad memainkan peranan yang penting dalam pembangunan Islam. Antara peranan ijtihad adalah membuktikan Islam bersifat syumul dan sesuai diamalkan pada sepanjang zaman, memastikan hala tuju pembangunan sentiasa dipandu dengan agama Islam serta menjadikan Al-quran dan As-sunnah sebagai panduan umat Islam tanpa mengira zaman.

Page 13: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam

RUJUKAN

1. Fazlur Rahman, (1965), Membuka Pintu Ijtihad terjemahan dari Islamic Methodology in History; Karachi : Central Institute of Islamic Research.

2. Dr Kassim Salleh, Ijtihad,Sejarah dan Perkembangannya; Al-Rahmaniah.

3. Dr Muhammad Sayyid Tantawi, (1994), Konsep Ijtihad Dalam Hukum Syarak, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia.

4. Mahmood Zuhdi Hj.Ab.Majid, Beberapa Pemikiran tentang Ijtihad,Islah dan Tajdid terjemahan oleh Fauzi Siregar dan Ahmad Rifa ‘l Hasan, Jakarta : Pustaka Hidayah.

5. Murthadha Muthahhar, Prinsip-prinsip Ijtihad Antara Sunnah dan Syiah.

Page 14: Ijtihad Dan Peranannya Dalam Pembangunan Islam