hubungan etnik

7
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa ini sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei. Selain itu, kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Dari sudut ekonomi pula, peristiwa 13 Mei banyak meninggalkan kesan negatif terhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Pengenalan ekonomi mengikut ras umpamanya adalah bukti jelas kepada persoalan ini. Keadaan ini merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British. Dasar Ekonomi Baru yang dirancang oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia. Antara punca-punca yang membawa kepada peristiwa 1969 ialah yang pertama; layanan berat sebelah tentera Jepun. Masyarakat Cina telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang Melayu dan Cina. Punca kedua ialah dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris. Contohnya, orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan aktiviti perlombongan. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India pula, kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang. Punca ketiga ialah latar belakang pendidikan yang berbeza. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Punca keempat ialah pertelingkahan parti politik. Kegagalan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) atau PAP Singapura menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu. Mereka mula membangkitkan isu tidak puas hati terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu juga turut dipersoalkan. Rentetan daripada peristiwa berdarah ini, status kestabilan negara Malaysia yang terkenal dengan keunikannya kerana mempunyai penduduk berbilang kaum

Upload: azmiaina

Post on 16-Nov-2015

19 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

ok

TRANSCRIPT

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa ini sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei. Selain itu, kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Dari sudut ekonomi pula, peristiwa 13 Mei banyak meninggalkan kesan negatif terhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Pengenalan ekonomi mengikut ras umpamanya adalah bukti jelas kepada persoalan ini. Keadaan ini merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British. Dasar Ekonomi Baru yang dirancang oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia.Antara punca-punca yang membawa kepada peristiwa 1969 ialah yang pertama; layanan berat sebelah tentera Jepun. Masyarakat Cina telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang Melayu dan Cina. Punca kedua ialah dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris. Contohnya, orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan aktiviti perlombongan. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India pula, kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang. Punca ketiga ialah latar belakang pendidikan yang berbeza. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Punca keempat ialah pertelingkahan parti politik. Kegagalan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) atau PAP Singapura menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu. Mereka mula membangkitkan isu tidak puas hati terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu juga turut dipersoalkan.

Rentetan daripada peristiwa berdarah ini, status kestabilan negara Malaysia yang terkenal dengan keunikannya kerana mempunyai penduduk berbilang kaum ini semakin pulih. Peristiwa ini telah menyedarkan banyak pihak tentang pentingnya perpaduan untuk keselamatan dan pembangunan negara. Banyak perancangan dibuat dan diimplimentasikan untuk mengukuhkan kestabilan dan keharmonian negara sama ada dari segi politik, ekonomi atau pun sosial. Malahan pada masa ini, ikatan kesetiaan etnik memainkan peranan yang amat penting. Hampir seluruh kegiatan, tindakan dan pergerakan adalah berasaskan kepada etnik (Sanusi, 1984: 43-44). Sebagai rakyat yang prihatin, di bahu kitalah tergalasnya tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini. Terdapat banyak kepentingan dan langkah yang dilakukan bagi memelihara hubungan etnik dan mengekalkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Kepentingan hubungan etnik ini boleh dikaitkan kepada 3 elemen utama yang menjadi teras dalam memastikan pembangunan dan perpaduan di Malaysia terus dikekal dan dipelihara. 3 elemen tersebut ialah dari segi ekonomi, budaya dan keselamatan. Yang pertama dari segi ekonomi, perpaduan dalam pelbagai etnik di Malaysia sangat penting bagi memberi dan membuka peluang kepada setiap golongan etnik untuk menceburi bidang ekonomi tanpa sebarang halangan dan rintangan. Setiap golongan etnik di negara ini layak untuk menjalankan sebarang aktiviti berteraskan ekonomi tanpa halangan daripada sesiapa pun kerana mereka semua adalah rakyat negara ini. Perpaduan antara kaum ini menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara kerana tiada sebarang pergaduhan dan perpecahan berlaku antara kaum yang boleh menggugat ekonomi negara. Seterusnya, menghapuskan penguasaan satu ekonomi untuk satu kaum sahaja. Semua kaum diberi kelayakan untuk menguasai pelbagai bidang dalam ekonomi dengan usaha masing-masing dan berjaya dengan kerjayanya.Seperti pada zaman sebelum era kemerdekaan, kaum yang menguasai ekonomi adalah kaum Cina yang kebanyakannya menetap di kawasan bandar-bandar besar. Kaum Cina ini telah dilatih untuk memegang ekonomi dan sehingga sekarang buktinya jelas kelihatan bahawa ekonomi negara kita masih dipegang kelihatan bahawa ekonomi negara kita masih dipegang oleh kaum Cina. Oleh itu, pendekatan kerajaan sekarang untuk memastikan kaum lain juga boleh memegang ekonomi dengan meningkatkan penguasaan kaum Melayu dalam bidang ekonomi supaya orang Melayu tidak terus membiarkan orang-orang Cina bermaharajalela dalam menguasai ekonomi negara kita. Dengan wujudnya hubungan baik antara etnik ini, sedikit sebanyak dapatmenjana ekonomi negara dengan pelaburan dari pelbagai bidang. Hal ini kerana, perpaduan dapat memberi manfaat dalam perkembangan ekonomi negara. Tanpa adanya perpaduan yang kita kecapi ini, kemungkinan besar negara kita tidak akan membangun dengan pesat seperti hari ini kerana perpaduan merupakan jambatan utama menuju kemajuan. Negara yang sejahtera membolehkan rakyatnya mengambil dan menikmati setiap peluang yang ada untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Semua pihak dapat berganding bahu memikul tugas masing-masing tanpa sebarang perasaan syak wasangka seperti kata pepatah Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hasilnya, negara kita akan membangun dengan stabil merangkumi segenap aspek kehidupan dan mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi setanding dengan negara-negara maju yang lain. Selain kepentingan dari aspek ekonomi, aspek budaya juga memainkan peranan yang sangat penting dan harus dipelihara dalam hubungan etnik supaya dapat menjamin kesejahteraan hidup bersama dalam masyarakat majmuk. Antara kepentingan perpaduan dalam aspek budaya ialah mewujudkan budaya yang pelbagai dalam negara. Sebagai negara yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, adat dan agama, perpaduan dari aspek budaya ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama etnik di negara kita. Selain itu, dengan wujudnya perpaduan yang sangat mantap ini, ia akan dapat merapatkan lagi jurang perbezaan antara kaum dan seterusnya melahirkan masyarakat berbilang etnik yang hidup dalam suasana kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni. Hubungan baik yang terjalin erat antara kaum bukan sahaja menjadi asas kehidupan yang tenteram bahkan juga menjadi tonggak kemakmuran negara.

Sebagai rakyat yang berbilang kaum, setiap kumpulan etnik hendaklah menanam semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain untuk mengelakkan timbulnya perasaan negatif seperti hasad dengki dan menghapuskan sikap pentingkan kaum sendiri seperti mengagung-agungkan budaya kaum masing-masing dan tidak mahu bekerjasama dalam apa juga aktiviti. Sebagai contoh, etnik kaum Melayu tidak dapat menerima kehadiran etnik kaum lain dengan memulaukan etnik kaum lain ini tanpa memberi bantuan sekiranya mereka dalam kesusahan. Perbuatan ini sama sekali tidak relevan lagi pada masa ini kerana masyarakat Malaysia sudah hidup aman dan harmoni dalam etnik yang berbilang kaum tanpa ada perbezaan budaya kerana semua etnik ini merupakan rakyat Malaysia. Selain itu, kepentingan perpaduan dari segi budaya ini adalah untuk mewujudkan kefahaman tentang budaya yang berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang etnik. Setiap masyarakat di Malaysia haruslah mempelajari budaya dan adat etnik yang terdapat di Malaysia supaya benar-benar memahami budaya masyarakat negara ini. Dengan itu, kita semua akan dapat menjaga keharmonian perpaduan antara kaum di negara kita dan dapat mengelakkan daripada berlakunya peristiwa yang tidak diingini.

Seterusnya, perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara pada masa sekarang dan akan datang. Hal ini adalah untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali seperti rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat Negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu, perpaduan sangat penting dalam kalangan etnik di negara kita untuk memastikan perkara yang sama atau pergaduhan yang melibatkan kaum berlaku lagi di negara kita tidak akan berlaku lagi. Perpaduan yang terbina antara pelbagai etnik akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara dari luar dan dalam negara. Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita Malaysia. Semangat cintakan tanah air ini mestilah wujud dalam diri setiap kumpulan etnik di negara kita bagi memastikan kesemua golongan etnik ini bekerjasama dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara supaya negara Malaysia akan terus membangun dan berjaya mencapai wawasan 2020 dan mengekalkan semangat perpaduan ini. Menyedari kepentingan hubungan etnik ini, maka beberapa langkah yang efisien perlu dijalankan bagi mengekalkan perpaduan kaum di negara ini. Hal ini kerana, masalah-masalah yang berkaitan dengan isu perkauman dan perpaduan ini wujud bukan kerana perbezaan warna kulit atau warna mata tetapi disebabkan oleh prejudis, stereotaip dan diskriminasi yang wujud akibat daripada perbezaan cara dan nilai hidup.Perpaduan di sini berkait rapat dengan integrasi. Integrasi di sini bermaksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Manakala, perpaduan pula boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Jika digabungkan kedua-dua perkataan ini, integrasi perpaduan bermaksud mewujudkan satu masyarakat bersatu padu dengan satu identiti nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik. Menurut Ting Chew Peh (1987), proses mencapai sebuah masyarakat integrasi bukanlah sesuatu yang mudah. Integrasi adalah suatu proses yang kompleks.Langkah yang pertama ialah kerajaan Malaysia telah mewujudkan Sekolah Wawasan. Konsep sekolah wawasan ini adalah untuk memelihara perpaduan kaum yang dipupuk sejak awal lagi iaitu dalam kalangan kanak-kanak. Institusi pendidikan dengan corak perpaduan kaum ini membantu masyarakat untuk saling mengenali dan menghormati kebudayaan serta adat resam kaum-kaum yang lain. Neena Sharma (1985) meletakkan peranan penting pendidikan formal dalam proses sosialisasi. Pendidikan formal akan membezakan antara orang yang mempunyai ilmu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Langton (1969) menyokong hujah ini dengan mengatakan bahawa sekolah berperanan untuk menanamkan kepercayaan politik secara formal melalui perancangan secara sedar dan secara tidak sedar melalui pengalaman. Bagi pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang politik dan sosial, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Menurut Kayveas, dalam membentuk bangsa Malaysia melaui sistem pendidikan dan bahasa pengantar yang sama, pemimpin BN mestilah berani dalam membuat keputusan berkaitan dengannya. Beliau percaya 90 peratus rakyat akan patuh dan mengikutinya. Untuk membentuk bangsa Malaysia, tidak perlu banyak aliran dalam pendidikan. Satu masa dahulu kita ada satu sistem aliran sahaja. Satu sistem yang baik. Satu kesalahan besar yang kita buat ialah tukar sistem, tukar bahasa pengantar di sekolah. Inilah kesilapan besar yang telah berlaku. Kayveas (1xxx) memberi contoh negara India. Tidak ada sekolah tamil yang diwujudkan. Semua sekolah menggunakan Bahasa Inggeris. Tetapi bahasa Tamil dibenarkan untuk dipelajari. Hasilnya, India telah muncul sebagai negara dunia ketiga hebat walaupun ia negara yang paling miskin. Beliau mencadangkan agar mencontohi negara Singapura. Mulai tahun 1978, mereka telah menukar aliran menjadi satu sahaja. Ketika itu, ada yang menyatakan bahawa pemimpin akan kalah pilihan raya tetapi keadaan berlaku sebaliknya (Siasah 2006). Hal ini secara tuntasnya menjamin kestabilan negara dengan adanya hubungan yang erat antara kaum. Selain itu, kemakmuran negara yang wujud dengan resepi perpaduan ini juga adalah hasil daripada matlamat misi dan visi negara. Sebagai contoh, langkah kedua yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ialah dengan melancarkan Dasar Ekonomi baru dan Wawasan 2020. DEB yang dilancarkan menjadikan perpaduan nasional sebagai matlamat utama untuk dicapai. Matlamat ini akan cuba dicapai melalui strategi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Salah satu daripada program yang dijalankan melalui strategi ini ialah program perindustrian. Melalui perindustrian, dasar kerajaan ialah ... bertujuan hendak membantu bumiputera bergiat secara aktif di dalam perindustrian di semua peringkat pemilikan dan guna tenaga (Ahmad Atory, 1985:171). Di negara kita, perkembangan industri juga telah memberi peluang kepada rakyat pelbagai etnik untuk bekerja di bawah satu bumbung yang sama. Lantaran itu, melaui penglibatan orang Melayu dalam industri, peluang mereka untuk berinteraksi dengan etnik lain sudah tentu lebih banyak jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya. Sungguhpun begitu, jika peluang ini digunakan atau dimanfaatkan sepenuhnya barulah ia dapat mengubah pola hubungan etnik di negara ini atau setidak-tidaknya dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri. Jika tidak, peluang akan hanya tinggal peluang seperti yang dikatakan oleh Williams, R. (1964; 161). Cetusan visi para pemimpin ini menyemarakkan lagi usaha mengekalkan perpaduan kaum. Ini jelas dibuktikan dengan konsep keadilan dari segi memperolehi kekayaan. Semua kaum berpeluang menceburi bidang ekonomi mengikut kemahiran dan usaha masing-masing. Kesannya, kestabilan dari segi ekonomi turut memperkembangkan kemajuan negara sehingga menjadi contoh kepada negara jiran iaitu Indonesia.Langkah ketiga untuk mengekalkan perpaduan antara kaum di negara ini ialah dengan meletakkan peranan keluarga yang utama dalam pembentukan sikap politik dan tingkah laku politik sejak zaman kanak-kanak lagi. Semua perkara yang dilalui ini akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi (Langton 1969). Menurut Hynan (1959), dengan mendengar perbualan ibu bapa ketika bersarapan, anak-anak mula membentuk corak pemikiran mereka. Pengaruh keluarga memainkan peranan dalam membentuk hubungan mereka dengan jiran, orang lain, undang-undang tempatan dan masyarakat amnya. Langton (1969), mengatakan bahawa keluarga adalah kumpulan sosial yang pertama dalam mempengaruhi kehidupan seseorang kanak-kanak. Ibu bapa dan saudara mara adalah antara terdekat yang mendidik dan berinteraksi dengan mereka dalam proses sosialisasi. Menurut kajian terdahulu menunjukkan peluang untuk berinteraksi memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Ini bermakna semakin banyak peluang yang diterima oleh sesebuah komuniti, maka berkemungkinan semakin banyak berlakunya interaksi antara kumpulan. Menurut Rabushka (1071:106) interaksi yang kerap akan menghasilkan kadar integrasi yang lebih tinggi. Interaksi yang kerap dan mendalam juga akan dapat mengurangkan prejudis (Williams, 1964: 168; Wan Hashim, 1984: 78; Allport, 1954: 264). Di Malaysia, satu kajian telah dijalankan oleh Abdullah, Sanusi dan Abu Hassan (1981) yang memberi penekanan meluas kepada kepentingan peluang interaksi. Kajian mereka membandingkan keadaan hubungan etnik di bandar Johor Bahru dengan Kuala Terengganu. Peluang interaksi di antara etnik dalam kalangan ibu bapa di kedua-dua bandar tersebut wujud di tempat kerja dan pasar. Dalam kalangan pelajar pula, sekolah, aktiviti sukan, kawasan kediaman dan tempat hiburan merupakan tempat yang menyediakan peluang interaksi yang terbaik kepada mereka.Langkah-langkah lain yang perlu dilaksanakan untuk mengekalkan perpaduan antara kaum di Malaysia termasuklah dari aspek sosial. Memandangkan rakyat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, India, Cina serta Sabah dan Sarawak, masyarakat pelbagai kaum ini perlu melibatkan diri dalam setiap aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran dan bersama-sama menyambut kedatangan pemimpin negara di kawasan kediaman. Rukun tetangga juga hendaklah dianggotai oleh rakyat pelbagai kaum demi menjaga keselamatan tempat tinggal. Di samping itu, amalan kunjung-mengunjung pada hari perayaan perlu sebati dalam masyarakat pelbagai kaum. Ibu bapa juga seharusnya membawa dan melatih anak-anak menziarahi rakan mereka yang berlainan bangsa jika berlaku kematian atau sakit. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenai kesedaran betapa pentingnya memecahkan benteng perpaduan kaum. Kerajaan juga perlu memberikan peringatan berulang-ulang kali kepada rakyat berkaitan musibah yang akan diterima jika tiada perpaduan kaum. Pemimpin-pemimpin negara tidak dibenarkan sama sekali memainkan isu-isu yang melibatkan perkauman terutama menjelang pilihan raya semata-mata untuk meraih populariti mereka. Kerajaan menjadi tonggak utama yang perlu memberikan kesedaran kepada generasi muda tentang pentingnya perpaduan kaum. Tidak dilupakan juga kepada peranan media massa yang perlu banyak memaparkan rencana mengenai kepentingan perpaduan kaum.

Kesimpulannya, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara itu amat bergantung pada hubungan baik yang terjalin antara masyarakat. Perumpaan; bersatu teguh, bercerai roboh begitu sinonim dengan usaha mengekalkan perpaduan kaum demi kesejahteraan hidup.