dondang sayang

Upload: azza-fantasiasakura

Post on 19-Jul-2015

2.201 views

Category:

Documents


7 download

TRANSCRIPT

PENGENALAN Pada dasarnya unsur-unsur kebudayaaan seperti tarian, alat muzik, permainan tradisional dan lagu-lagu asli merupakan sebahagian daripada warisan kesenian bangsa Melayu. Kewujudan pelbagai unsur seni tanpa disedari bukan sahaja telah memperkenalkan identiti bangsa bahkan negeri yang memilikinya. Dondang Sayang dan negeri Melaka merupakan dua gabungan yang cukup sinonim ibarat aur dan tebing/isi dan kuku di mana apabila kita menyebut tentang Dondang Sayang sudah pastilah kita akan teringat tentang negeri Melaka. Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya dikatakan bahawa Dondang Sayang merupakan salah satu khazanah budaya yang mencerminkan masyarakat negeri Melaka secara tidak langsung.

ASAL USUL DONDANG SAYANG Seni Dondang Sayang merupakan salah satu khazanah budaya yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya Melayu di mana seni Dondang Sayang merupakan lagu klasik yang diwarisi secara turun-temurun sejak dari dahulu lagi. Namun begitu, asal usul terciptanya seni Dondang Sayang itu pada dasarnya masih menjadi tanda tanya berikutan pencipta serta pengubah asal lagu Dondang Sayang masih belum diketahui mahupun dikenalpasti sehingga ke hari ini. Walaubagaimana pun, terdapat tiga fakta pendapat yang telah dikemukakan berhubung dengan sejarah awal kewujudan Dondang Sayang yang diklasifikasikan sebagai hampir tepat serta boleh diterima akan kebenarannya. Hal ini berikutan fakta pendapat-pendapat yang dikemukakan adalah berlandaskan kepada beberapa aspek seperti bentuk, struktur dan unsur Dondang Sayang itu sendiri yang kemudiannya dihubungkaitkan dengan faktor-faktor sekeliling seperti alam, manusia dan kepentingan-kepentingan yang wujud dalam seni Dondang Sayang bagi menyokong pendapat masing-masing. Pendapat pertama menyatakan bahawa seni Dondang Sayang dipercayai mula bertapak pada akhir tahun kurun ke-15 Masihi iaitu ketika zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka. Pendapat yang dikemukan merupakan andaian yang telah dibuat berdasarkan kepada dua sebab utama iaitu kepentingan runtunan kemahuan manusia serta peranan Kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu. Pada akhir tahun ke-15 Masihi, negeri Melaka merupakan sebuah kerajaan Melayu yang maju serta pesat di mana Melaka bukan sahaja mempunyai jumlah penduduk yang ramai malahan pada masa yang sama turut mempunyai perhubungan luar yang luas meliputi perhubungan diplomatik, perhubungan dagang dan perhubungan peribadi. Lantaran wujudnya perhubungan luar, maka negeri Melaka bukan sahaja selalu dikunjungi oleh pemerintah dan pedagang dari luar tetapi pada masa yang sama Sultan Melaka juga sering melakukan kunjungan ke negeri-negeri lain. Perhubungan luar yang wujud tanpa disedari telah melahirkan unsur-unsur seni bercorak hiburan iaitu Dondang Sayang yang bertindak sebagai halwa telinga dan santapan mata yang menyenangkan. Hal ini terbukti apabila para pedagang yang singgah ke pelabuhan negeri Melaka sebagai pusat tumpuan sering menyanyikan rangkaian lagu seperti :

Bandar Melaka, pisang jarum air Bukit China Bendahara Seri Maharaja.

Bukan itu sahaja, bukti kemunculan serta kewujudan seni Dondang Sayang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada akhir kurun ke-15 Masihi turut disokong menerusi penciptaan beberapa rangkap pantun yang tersisip dalam bukubuku lama tentang negeri Melaka seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Di antara pantun-pantun yang menyokong akan bukti kewujudan Dondang Sayang di Melaka pada tahun tersebut ialah sebagaimana yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah iaitu : Hang Jebat Hang Kasturi, Budak-budak raja Melaka, Jika hendak jangan dicuri, Mari kita bertentang mata.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Dondang Sayang berasal dari Pulau Sebang, Tampin, Melaka yang wujud sekitar akhir tahun 1400 Masihi hingga tahun 1510 Masihi hasil daripada tinjauan keterangan berdasarkan andaian. Seni Dondang sayang dikatakan wujud ekoran daripada lawatan Datuk Temenggung ke Pulau Sebang, Tampin Melaka. Oleh itu, seni Dondang Sayang dipercayai diciptakan khas sebagai tanda mengalu-alukan seterusnya menghargai kedatangan Datuk Temenggung memandangkan lawatan tersebut merupakan salah satu lawatan pembesar negeri ke luar daripada pusat pemerintahan negeri Melaka. Justeru itu, pelbagai persiapan yang telah dijalankan bagi memastikan bahawa sambutan adalah meriah. Maka seni Dondang Sayang dipercayai tercipta hasil daripada penciptaan alat-alat muzik berbentuk paluan daripada pokok laka seperti rebana dan gendang bertujuan untuk mengiringi nyanyian oleh penduduk kampung. Walau bagaimanapun, bentuk lagu yang dipersembahkan adalah bercorak lagu-lagu yang lahir dari khayalan yang mempunyai struktur lagu yang tidak tetap sama sekali sekadar untuk menjadikan majlis sambutan itu meriah semata-mata.

Pendapat ketiga pula berbeza jika dibandingkan dengan dua pendapat yang terdahulu yang pada dasarnya menyatakan bahawa Dondang Sayang berasal daripada negeri Melaka. Hal ini kerana pendapat ketiga pula menyatakan bahawa Dondang Sayang tercipta ekoran daripada kedatangan Portugis ke Melaka pada sekitar tahun 1500 Masihi. Pengaruh Portugis yang dibawa masuk oleh bangsa Eropah ke Melaka dipercayai telah melahirkan seni Dondang Sayang berdasarkan kepada dua faktor utama iaitu kegemaran bersuka-suka dan berhibur mesra merupakan hobi orang-orang Portugis yang kemudiannya diperkenalkan kepada orang-orang tempatan dan alat muzik biola yang dibawa masuk oleh orang Eropah ke Melaka. Tidak dapat dinafikan wujudnya kebenaran bahawa Portugis yang

memperkenalkan Dondang Sayang. Ini kerana sebelum Portugis menjajah Melaka, orang-orang Portugis telah datang telebih dahulu untuk berdagang di Melaka. Oleh itu, dalam memastikan barang dagangannya mendapat sambutan serta tidak berlakunya sebarang kekacauan sepanjang mereka singgah untuk berniaga, justeru orang Portugis telah memperkenalkan kegemaran bersuka-suka dan berhibur mesra yang mana pada dasarnya merupakan hobi orang-orang Portugis. Kebijaksanaan orang Portugis dalam menggunakan ruang serta peluang yang ada dengan sebaik mungkin menyebabkan penduduk tempatan berminat dengan kegemaran bersukasuka yang bukan sahaja melekakan bahkan mengkhayalkan penduduk-penduduk tempatan. Kegemaran yang diperkenalkan oleh orang Portugis tanpa disedari telah menyebabkan mereka terselamat daripada sikap benci penduduk-penduduk tempatan terhadap orang luar. Selain itu, faktor yang menyatakan alat muzik biola dibawa masuk ke Melaka dari Eropah turut menyumbang kebenaran yang Dondang Sayang lahir hasil daripada pengaruh Portugis. Hal ini berikutan kerana orang Portugis merupakan satu bangsa yang berjiwa seni iaitu menggemari seni muzik dan nyanyian. Pada masa yang sama, bangsa Portugis dipercayai memiliki daya kreatif seni jika dibandingkan dengan bangsa Eropah yang lain seperti bangsa Inggeris dan Belanda. Justeru tidak mustahil sekiranya bangsa Portugis dikatakan bangsa yang bertanggungjawab membawa masuk alat muzik biola ke Melaka. Kemasukkan alat muzik biola tidak dapat disangkal bahawa seni Dondang Sayang telah

diperkemaskan dengan lebih sempurna di mana bentuk asalnya yang tidak teratur dan menentu disusun dengan menggunakan melodi biola. Namun begitu, terdapat beberapa kepincangan yang boleh dilihat sebelum bersetuju untuk menyatakan bahawa orang Portugis yang mencipta seterusnya memperkenalkan Dondang Sayang ini. Ini terbukti terutamanya jika diteliti dari aspek sifat semulajadi bangsa Eropah itu sendiri seperti iklim negeri asal dan bentuk lagu klasik Barat. Pada dasarnya kedudukan Negara Portugal yang terletak dalam lingkungan kawasan sederhana dunia telah mempengaruhi dengan gaya hidup masyarakatnya yang kebiasaannya sentiasa bergerak cergas dan pantas. Situasi ini sama sekali menyangkal bahawa bangsa Portugis yang bertanggungjawab untuk mencipta Dondang Sayang yang bersifat lemah-lembut serta melintuk-liuk sedangkan bangsa Portugis terkenal dengan sifat semulajadinya yang sentiasa bertenaga, ligat dan aktif. Bukan itu sahaja, bentuk lagu klasik Barat yang

cenderung bersifat melankolik langsung tidak mencerminkan bahawa seni Dondang Sayang merupakan hak milik kepunyaan bangsa Eropah sama sekali

memandangkan lagu Dondang Sayang bersifat lembut. Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal bahawa terdapat lagu lama yang diwarisi oleh orang-orang Portugis yang menetap di Melaka mempunyai persamaan dengan beberapa buah lagu klasik milik orang Melayu. Persamaan kedua-dua buah lagu boleh dilihat dengan jelas khususnya dari segi rentak dan nyanyiannya. Contohnya, dua buah lagu lama Melayu iaitu Serampang Laut dan Serampang Pantai dikatakan mempunyai persamaan dengan sebuah lagu lama orang Portugus yang dikenali sebagai Branyo. Lagu Branyo merupakan lagu yang berentak joget sama seperti lagu Serampang Pantai dan Serampang Laut. Secara keseluruhannya, seni Dondang Sayang boleh dikatakan lahir melalui gabungan serta adunan dua buah negara iaitu Barat dan Timur berdasarkan kepada unsur-unsur yang wujud dalam seni Dondang Sayang itu sendiri. Walau bagaimanapun, kebenaran tentang dari mana asal usul Dondang Sayang masih belum menemui jawapannya memandangkan ketiadaan bukti-bukti yang kukuh seperti pengasas serta pencipta sebenar lagu Dondang Sayang. Oleh itu, terdapat tiga pendapat yang telah dikemukakan berdasarkan kepada andaian setelah kajian serta tinjauan keterangan dijalankan dengan mengambil kira beberapa aspek

penting seperti unsur, bentuk dan struktur Dondang Sayang serta perkaitannya dengan faktor sekeliling.

PANTUN DAN DONDANG SAYANG Pada dasarnya, pantun dan Dondang Sayang merupakan dua unsur yang dipercayai bukan sahaja tidak dapat dipisahkan bahkan saling mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Tanpa pantun maka tidak wujudlah seni Dondang Sayang sama sekali. Hal ini berikutan kerana pantun menjadi tunjang kepada seni Dondang Sayang itu sendiri di mana pantun berperanan sebagai seni kata kepada Dondang Sayang. Lantaran itu, pantunlah yang menghidupkan nyanyian lagu Dondang Sayang . namun begitu, bukanlah kesemua jenis pantun sesuai untuk dijadikan seni kata bagi lagu Dondang Sayang sebaliknya hanya terhad kepada pantun jenis empat kerat sahaja. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, pantun boleh diinterpretasikan sebagai puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap. Selain itu, pantun juga boleh didefinisika sebagai puisi atau karangan berangkap kepunyaan bangsa Melayu yang diwarisi turun-temurun. Pernyataan yang menyatakan bahawa pantun merupakan hak milik serta warisan turun-temurun orang Melayu turut disokong oleh beberapa orang tokoh sarjana dari Timur dan juga Barat. Antara tokoh yang menyokong bahawa pantun merupakan warisan orang Melayu ialah Zuber Usman, seorang pengarang terkenal Indonesia, dalam bukunya KESUSASTERAAN LAMA INDONESIA telah menekankan bahawa : Pantun ialah puisi Melayu lama, sebab dia boleh terus kekal bentuknya kerana diciptakan oleh masyarakat lama yang kukuh dan padu. Masyarakat lama itu mempunyai persatuan yang lebih rapat, lebih padu tidak pecah-belah berderai-derai seperti masyarakat moden.

Pendapat yang dikemukan oleh Zuber Usman turut disokong oleh ramai pengarang terkenal Indonesia yang lain. Selain itu, menurut Harun Aminurrashid dalam bukunya KAJIAN PUISI MELAYU pula menyatakan bahawa :

Memang pantun menjadi puisi Melayu yang sangat terkenal di Tanah Melayu dan kepada persuratan Melayu serta kepada masyarakat Melayu. Boleh dikatakan tiaptiap anak Melayu dari kanak-kanaknya hingga kepada orang tua-nya, dari orang kebanyakan hinggalah kepada orang-orang besarnya semua tahukan pantun dan boleh berpantun.

Pemilikan puisi pantun sebagai hak orang Melayu turut diperakui oleh seorang Sarjana Barat iaitu R.O. Winstedt berdasarkan kajian beliau tentang kesusasteraan Melayu. Beliau telah menegaskan dalam bukunya PANTUN MELAYU bahawa : Orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar.

Pemilihan puisi pantun sebagai senikata kepada lagu Dondang Sayang merupakan suatu pemilihan yang tepat meskipun orang Melayu terkenal dengan pelbagai jenis puisi seperti syair, gurindam dan sebagainya. Namun begitu, pantun empat kerat tetap menjadi pilihan yang utama sebagai senikata lagu Dondang Sayang berbanding dengan puisi lama orang Melayu yang lain disebabkan oleh ciriciri istimewa yang terdapat pada pantun empat kerat itu sendiri. Setiap pantun empat kerat turut dikenali sebagai serangkap. Memandangkan lagu Dondang Sayang melibatkan proses jualbeli serta berbalas-balas pantun, maka tidak hairanlah sekiranya pantun empat kerat menjadi pilihan berikutan kerana setiap serangkap pantun akan terdiri daripada dua bahagian iaitu pembayang maksud dan juga maksud pantun di mana dua baris bahagian atas ialah pembayang maksud dan dua baris bahagian bawah adalah maksud pantun. Pembayang maksud berfungsi sebagai membayangkan maksudnya iaitu

menyediakan orang untuk mendengar isi yang sebenar yang akan dikatakan manakala maksud pantun pula ialah isi tujuan yang hendak disampaikan atau dilahirkan oleh pencipta atau pemantunnya. Dengan adanya pembayang maksud serta maksud pantun maka proses berbalas-balas pantun dipercayai akan berlaku

antara satu pihak dengan satu pihak yang lain bersesuaian dan bertepatan dengan konsep Dondang Sayang itu sendiri. Bukan itu sahaja, pemilihan pantun sebagai senikata lagu Dondang Sayang juga bertepatan dengan definisi serta konsep Dondang Sayang yang cenderung merujuk kepada pelakuan yang bersifat lemah-lembut. Penyampaian maksud menerusi pantun yang bertindak sebagai senikata lagu Dondang Sayang adalah bersesuaian dimana pemantun-penyanyi boleh menyatakan hasrat hati dengan kias ibarat tetapi pada masa yang sama orang yang mendengarnya masih senang untuk menangkap seterusnya memahami maksud atau isi yang diutarakan. Sebagai contoh, penggunaan pantun sebagai medium penyampaian maksud dalam seni Dondang Sayang diklasifikasikan bersifat lemah-lembut dan merendah diri di mana semasa proses penyampaian maksud, pendengarnya akan lunak mendengar dan terusik sedikit daripada tersentak secara mendadak. Hal ini kerana hasrat serta malsud yang ingin disampaikan terselindung disebalik keindahan pantunnya. Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa pantun serta seni Dondang Sayang mempunyai perkaitan yang sangat kuat di mana kedua-duanya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Pantun sebagai unsur yang terpenting dalam seni Dondang Sayang turut diperakui oleh seorang pengarang Indonesia iaitu Harun Aminurrashid dalam bukunya yang bertajuk KAJIAN PUISI MELAYU. Dalam buku tersebut, beliau telah menegaskan bahawa : Dalam buku-buku Melayu, pengarang-pengarang Melayu selalu menyelitkan pantun untuk menjadi perhiasan karangannya. Cuba lihat buku-buku Sejarah Melayu dan Hikayat Abdullah yang telah terkarang berabad lamanya ada terdapat pantun di dalamnya. Begitu juga dalam majlis-majlis jamuan yang diadakan oleh masyarakat Melayu selalu kita dengar pantun menjadi perhiasan ucapan yang dihamburkan dalam majlis itu. Hampir tiap-tiap nyanyian Melayu, senikatanya berbentuk puisi pantun, terutamanya dalam nyanyian Dondang Sayang.

DEFINISI DONDANG SAYANG Umumnya, istilah Dondang Sayang berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu Dondang dan juga Sayang. Perkataan dondang boleh

diinterpretasikan sebagai nyanyian atau lagu yang menghiburkan hati. Secara konseptualnya, istilah dondang juga mempunyai pengertian yang hampir sama dengan istilah dindang atau dendang. Hal ini berikutan kerana dendang membawa maksud nyayian untuk bersuka-suka manakala berdendang pula bermaksud bernyanyi dan berlagu. Manakala perkataan sayang dalam istilah Dondang Sayang pula bermaksud kasih. Namun begitu, dalam konteks Dondang Sayang, perkataan sayang cenderung merujuk kepada pelakuan iaitu melakukan perbuatan yang lembut dan penuh mesra. Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya pemantun-penyanyi yang menyanyikan serta mendendangkan lagu Dondang Sayang boleh diibaratkan seperti orang yang sedang bersayang-sayang dan berkasih-kasih bersesuaian dengan rentak muzik yang dialunkan oleh pemuzik. Contohnya, di negeri Melaka, sekiranya terdapat seseorang atau kumpulan yang sedang duduk bersenang-senang hati dan bersukaria seperti bersiul-siul atau bernyanyian-nyanyian kecil mengalunkan lagu, situasi ini dikenali sebagai sedang berdendang sayang. Pada dasarnya, situasi sedang berdendang sayang ini bukan sahaja dapat diperhatikan pada individu-individu diperingkat muda malahan turut dapat dilihat diperingkat tua. Pada peringkat tua, kebiasaannya, individu-individu tersebut akan bersiul atau menyanyi lagu Dondang Sayang selepas mereka penat bekerja, semasa bersendirian sambil melayan perasaan dan mengenang masa muda atau ketika meraut rotan di anjung rumah atau hujung serambi. Oleh itu, secara keseluruhannya Dondang Sayang boleh didefinisikan sebagai lagu kasih atau nyanyian kasih. Berdasarkan pengertian tersebut, jelas menunjukkan bahawa Dondang Sayang merupakan suatu seni yang bersifat lembut, indah serta mempunyai kesan yang mendalam bertepatan dengan maksud Dondang Sayang itu sendiri. Dalam konteks keindahan dan kelembutan seni Dondang Sayang terbukti jika dilihat daripada beberapa aspek seperti rentak muzik, lagu dan intonasi yang beralun-alun seolah-olah tidak boleh diceraikan atau dipisahkan sama sekali. Justeru, tidak hairanlah sekiranya nyanyian Dondang Sayang mampu melahirkan

seterusnya membangkitkan suasana yang damai, segar serta membuai perasaan harmoni hasil cetusan daripada penyampaian pemantun-penyanyi yang lazimnya dialun suarakan menggunakan dua tekanan suara yang berbeza dan berlawanan oleh dua pihak iaitu lelaki dan perempuan. Tambahan lagi seni kata Dondang Sayang digubah serta diilhamkan dalam bentuk pantun tanpa disedari turut menyerlahkan keindahan nyanyian Dondang Sayang. Pada dasarnya, penyampaian lagu Dondang Sayang dalam bentuk pantun sebenarnya bertujuan untuk melindungi pengucapan sekiranya keterlaluan. Justeru kelembutan yang ditonjolkan dalam nyanyian Dondang Sayang sekaligus tanpa disedari telah mencerminkan peribadi orang Melayi yang secara semulajadinya kaya dengan sifat-sifat ketimuran seperti lemah-lembut, budi bahasa dan sopan-santun.

CIRI-CIRI DONDANG SAYANG 3.1 Kumpulan Pemuzik Dalam konteks seni Dondang Sayang, jumlah ahli dalam sebuah kumpulan pemuzik adalah tidak tetap sebaliknya bergantung kepada bilangan alat muzik yang digunakan. Pada asasnya, kumpulan pemuzik Dondang Sayang boleh ditubuhkan dengan hanya terdiri daripada empat orang ahli pemuzik sahaja iaitu seorang penggesek biola, dua orang pemukul rebana dan seorang pemalu gong atau tetawak. Namun begitu kebiasaannya, dalam sebuah kumpulan pemuzik Dondang Sayang akan mempunyai lebih daripada empat orang ahli pemuzik. Jumlah ahlinya yang ramai adalah bertujuan membolehkan pemuzik yang kepenatan bertukar ganti antara satu sama lain. Contohnya, sesuatu persembahan Dondang Sayang akan mengambil tempoh masa yang agak lama, oleh itu, proses pertukaran pemain akan sering berlaku khususnya kepada pemain-pemain alat palu seperti rebana dan gong atau tetawak. Sepertimana kumpulan pemuzik yang lain yang biasanya mempunyai seorang ketua, kumpulan pemuzik Dondang Sayang juga tidak terlepas daripada diketuai oleh seorang ketua yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap ahli

kumpulan sentiasa bekerjasama, sepakat serta komited dengan tugas masingmasing bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah yang dipercayai mampu menguggat kredibiliti mereka sebagai sebuah kumpulan pemuzik Dondang Sayang. Umumnya, kumpulan pemuzik Dondang Sayang sering diketuai oleh pemain biolanya. Meskipun begitu, tidak mustahil sekiranya kumpulan pemuzik Dondang Sayang ini diketuai oleh pemain alat-alat muzik yang lain ataupun diketuai oleh pemantun-penyanyi itu sendiri bergantung kepada suara majoriti ahli yang memilih siapa yang layak untuk mengetuai atau memimpin mereka. Contohnya, .. 3.2 Peralatan Muzik Dari aspek peralatan muzik, lazimnya peralatan muzik yang asas yang akan digunakan untuk mengiringi sebuah persembahan Dondang Sayang terdiri daripada sebuah biola, dua buah rebana serta sebuah gong atau sebuah tetawak. Walau bagaimanapun, bukanlah kesemua alat muzik yang digunakan untuk mengiringi seni persembahan Dondang Sayang merupakan alat muzik tradisional (tempatan). Alat muzik tradisional yang digunakan hanyalah rebana, gong dan tetawak. Manakala alat muzik lain seperti biola dan tabur pula dipercayai merupakan alat muzik yang dibawa masuk oleh negara Barat ke Kepulauan Melayu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, persembahan Dondang Sayang hanya diiringi dengan paluan gendang dan juga rebana berikutan ketiadaan alat-alat melodi pada ketika itu. Namun begitu, kegemilangan negeri Melaka serta fungsinya sebagai pelabuhan entrapot telah menyebabkan orang-orang Barat mula membawa masuk seterusnya memperkenalkan alat-alat melodi seperti biola yang tanpa disedari akhirnya biola telah menjadi alat muzik yang paling penting untuk memelodikan lagu Dondang Sayang. Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya dikatakan bahawa biola merupakan nadi kepada Dondang Sayang memandangkan tanpa biola maka pincanglah persembahan Dondang Sayang sama sekali. Hal ini terbukti di mana antara banyak-banyak alat muzik melodi, hanya biola sahaja yang paling sesuai digunakan dalam seni Dondang Sayang. Contohnya menerusi gesekan biola, keaslian lagu Dondang Sayang yang dimelodikan lebih menyerlah. Ini kerana gesekan biola mempunyai ketepatan bunyi yang gemersik yang bukan sahaja mampu untuk menimbulkan dan membangkitkan kesegaran lagu

Dondang Sayang bahkan pada masa yang sama berupaya untuk menghidupkan persembahan sehinggakan penonton berasa ghairah, teruja serta seronok untuk terus menikmati persembahan tersebut. Selain itu ketiadaan alat muzik lain sama ada alat muzik melodi mahupun alat muzik paluan yang mampu untuk mengatasi biola dalam memelodikan lagu Dondang Sayang dengan sempurna menyebabkan biola dilihat sebagai alat muzik yang istimewa di mana biola dan Dondang Sayang merupakan dua unsur yang bukan sahaja tidak dapat dipisahkan malah saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Buktinya, dengan hanya menggesekan alat melodi biola bukan sahaja dipercayai sudah berupaya untuk membentuk dan menghasilkan lagu Dondang Sayang yang cukup sempurna tetapi pada masa yang sama juga mampu untuk menyerlahkan persembahan jika dibandingkan dengan alat-alat muzik yang lain yang turut sama digunakan dalam persembahan Dondang Sayang seperti rebana, gong dan tetawak. Kegagalan alat-alat muzik lain sama ada yang dipetik, ditiup dan dipalu bukan sahaja dipercayai tidak mampu untuk menjiwai lagu Dondang Sayang sebaliknya turut menampakkan unsur-unsur kehambaran seolah-olah persembahan Dondang Sayang telah hilang keasliannya serta nilai seninya. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa alat-alat muzik lain seperti rebana, gong dan tetawak masih tetap diperlukan berdasarkan kepada keperluan serta kemampuannya untuk mengiringi gesekkan biola bagi menjadikan persembahan Dondang Sayang lebih menarik.

Persembahan Pada hakikatnya, setiap peralatan muzik yang digunakan dalam Dondang Sayang sama ada biola, rebana, tetawak atau gong adalah saling bergantungan antara satu sama lain kerana kesemua alat muzik yang digunakan masing-masing mempunyai pernan serta fungsinya yang tersendiri. Dalam sebuah persembahan Dondang Sayang, lazimnya persembahan akan dimulakan dengan gesekan biola bagi melahirkan melodi lagunya seterusnya sebagai tanda menyulungi alunan pembukaan lagunya. Gesekan biola kemudiannya diikuti pula dengan paluan rebana

bertujuan untuk menyusun serta memulakan rentak disamping paluan gong atau tetawak pula adalah bertujuan untuk meningkah rentak tersebut. Sebagai contoh, dalam konteks paluan rebana, biasanya rebana akan dipalu dalam dua cara. Justeru tidak mustahillah sekiranya terdapat dua buah atau lebih rebana yang digunakan untuk persembahan Dondang Sayang. Rebana yang pertama akan dipalu dengan nada yang mendatar sahaja bertujuan untuk menimbulkan serta pada masa yang sama untuk membetulkan ketepatan rentak asasnya. Manakala rebana yang lain pula dipalu untuk membungkai rentaknya. Paluan rebana pada ketika ini juga diklasifikasikan sebagai menitir yang mana lazimnya dilakukan oleh seorang pemalu rebana yang mahir supaya bunga paluannya tidak lari daripada rentak dasarnya. Selain itu, gabungan kedua-dua cara paluan iaitu paluan secara mendatar dan diikuti dengan titirannya tanpa disedari telah menghasilkan dua bentuk bunyi iaitu rendah dan tinggi yang seterusnya akan menimbulkan rentak yang lebih tersusun serta teratur.

Tema Pantun Dalam nyanyian Dondang Sayang, tidak terdapatnya penekanan mahupun pengkhususan terhadap satu tema sahaja. Hal ini berikutan kerana tema pantun bagi nyanyian Dondang Sayang adalah bergantung kepada pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam isi maksudnya. Antara tema pantun yang terdapat dalam nyanyian Dondang Sayang ialah kasih, budi, kias-ibarat, jenaka, burung, ayam, harimau, pokok, gajah, sejarah, laut dan sebagainya. Kebiasaannya, pemilihan tema atau tajuk pantun akan dibuat oleh pemantunpenyanyi yang memulakan nyanyian. Apabila pemantun-penyanyi lelaki telah mengemukakan sesuatu tema, maka secara automatiknya, pemantun-penyanyi wanita akan menjawab berdasarkan kepada tema pantun tersebut. Contohnya, jika pemantun-penyanyi memulakan persembahan Dondang Sayang dengan pantun kasih maka pantun kasih jugalah yang akan dibalaskan. Oleh itu, pada dasarnya, pemantun-penyanyi mempunyai peluang iaitu bebas untuk memilih tema yang akan didendangkan dipersembahan Dondang Sayang. Contoh pantun budi yang dinyanyikan pada permulaan persembahan Dondang Sayang ialah :

Tukar baju tukar seluar, Turun ke sawah menanam padi, Saya seorang dagang di luar, Cuba-cuba menabur budi.

Walau bagaimanapun, penukaran tema pantun disaat persembahan Dondang Sayang dijalankan merupakan perkara yang biasa. Namun begitu, penukaran tema dibuat dengan cara hormat di mana pemantun-penyanyi sama ada lelaki atau wanita terlebih dahulu meminta persetujuan antara satu sama lain sebelum penukaran tema pantun dibuat bagi mengelakkan berlakunya perbalahan. Contoh pantun yang didendangkan sekiranya hendak bertukar dari tema bunga ke tema butrung ialah : Buat sampan kemudinya lentik, Terendak Cina dibuat tudung, Serata taman bunga dipetik, Ingin pula menjerat burung.

Tempat Pada dasarnya persembahan Dondang Sayang bukanlah suatu bentuk persembahan yang bersifat formal yang mana persembahan Dondang Sayang tidak memerlukan sama sekali tempat serta masa yang khusus mahupun majlis-majlis tertentu. Sebaliknya Dondang Sayang boleh dipersembahkan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat serta jenis majlis. Hal ini bertepatan dengan tujuan sebenar Dondang Sayang diperkenalkan iaitu untuk menghiburkan orang ramai seterusnya memeriahkan sesuatu majlis. Contohnya,. Bukan itu sahaja, Dondang Sayang juga turut diklasifikasikan sebagai seni persembahan yang bersifat fleksibel kerana boleh dipersembahkan di mana-mana sahaja sama ada di halaman rumah, di atas rumah, di dalam balai serta di majlis-

majlis terbuka. Contohnya, sekiranya Dondang Sayang dipersembahkan di perkarangan halaman rumah, kebiasaannya akan dibina sebuah balai yang serba ringkas yang juga dikenali sebagai bangsal dikalangan masyarakat Melayu. Bangsal yang didirikan untuk persembahan Dondang Sayang sekadar hanya mempunyai atap tanpa perlu ada lantai atau pentas yang khusus. Manakala sekiranya persembahan Dondang Sayang diadakan di temasya-temasya yang bercorak terbuka pula persembahan Dondang Sayang ini akan dijalankan sekadar di atas kereta kuda memandangkan ketiadaan bangsal. Namun begitu, lokasi yang sering dijadikan pilihan yang sesuai untuk mengadakan persembahan Dondang Sayang ialah rumah. Persembahan Dondang Sayang ini boleh diadakan di mana-mana bahagian rumah seperti di ruang dapur dan anjung rumah. Walau bagaimanapun ruang rumah yang sering menjadi pilihan utama untuk diadakan persembahan Dondang Sayang ialah di serambi dan sengkuap. Persembahan Dondang Sayang cenderung untuk diadakan sama ada di serambi, anjung rumah dan sengkuap memandangkan pada zaman dahulu hanya ahli-ahli kumpulan pemuzik serta pemantun-penyanyi lelaki sahaja yang dapat ditonton oleh orang ramai. Manakala pemantun-penyanyi wanita pula sekadar dapat didengari suaranya sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya persembahan Dondang Sayang dijalankan di serambi, sengkuap mahupun anjung rumah bagi membolehkan pemantunpenyanyi wanita untuk terus berada didalam rumah dengan duduk di ruang tengah rumah atau dibalik pintu. Namun begitu, tidak mustahil sekiranya terdapat segelintir pemantun-penyanyi wanita yang duduk dibahagian muka pintu rumah bergantung kepada dua keadaan iaitu di atas kerelaan sendiri atau dalam situasi-situasi tertentu. Sebagai contohnya, semasa persembahan Dondang Sayang dijalankan iaitu ketika berlangsungnya sesi jualbeli pantun, pemantun-penyanyi lelaki cenderung untuk berada bersama-sama dengan golongan kumpulan pemuzik ditangga ataupun dicelah-celah penonton atau tetamu yag ramai, tatkala pemantun-penyanyi wanita hanya berada di dalam ruang rumah seperti dibalik pintu. Situasi ini menjelaskan bahawa proses jualbeli pantun berlangsung tanpa mementingkan muka berdepan serta mata berpandangan sebaliknya hanya kedudukan kumpulan pemuzik serta

muzik sahaja yang menjadi medium perantaraan yang menghubungkan antara pemantun-penyanyi lelaki dan pemantun-penyanyi wanita.

Pemantun-penyanyi Pada dasarnya, pemantun-penyanyi iaitu lelaki dan wanita yang terlibat dalam persembahan Dondang sama ada secara langsung atau tidak langsung sebenarnya tidak saling mengenali antara satu sama lain. Meskipun begitu, kerancakkan sesi berbalas pantun tanpa disedari tetap wujud iaitu proses tanya-menaya serta jawabberjawab antara kedua-dua belah pihak. Menerusi proses jualbeli pantun akhirnya pemantun-penyanyi lelaki dan wanita yang pada mulanya tidak mengenali akan saling berkenalan seterusnya akan mengenali antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, proses jualbeli pantun dalam persembahan Dondang Sayang bukanlah sesuatu yang dirancang sebaliknya proses ini berlaku secara spontan dan juga semulajadi. Hal ini jelas terbukti apabila sekiranya ada pemantunpenyanyi sama ada lelaki atau wanita yang tidak dapat menjawab atau lambat menjawab pantun yang dijual, maka secara automatiknya, tempat pemantunpenyanyi asalnya akan diambil alih oleh seorang yang berada dalam majlis itu yang berupaya untuk membalas semula pantun yang dijual tanpa berlengah-lengah. Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa nyanyian jualbeli pantun dalam persembahan Dondang Sayang bukanlah bercorak sehala yang hanya melibatkan seorang penyany-pemantun lelaki dan wanita sahaja sebaliknya cenderung bercorak dua hala iaitu melibatkan lebih daripada seorang pemantunpenyanyi lelaki dan juga wanita dalam satu tempoh masa yang sama. Hal ini kerana perkara yang dititikberatkan yang seterusnya menjadi penanda aras kepada kemeriahan persembahan Dondang Sayang ialah kecepatan serta kepantasan antara pihak lelaki dan pihak wanita atau siapa sahaja yang cepat memahami dan menguasai pantun yang dijual seterusnya bersedia membalas pantun tersebut. Contohnya, walaupun pemantun-penyanyi lelaki dan wanita sama sekali tidak pernah bersua muka serta tidak mengenali antara satu sama lain, namun, tidak dapat dinafikan bahawa proses jualbeli pantun dalam persembahan Dondang Sayang tetap berjaya menimbulkan sikap tolong-menolong sesama mereka seolah-

olah persembahan ini telah dirancang daripada awal seperti mereka berada dalam satu kumpulan yang sama sehinggakan mereka dilihat sangat serasi dan selesa sepanjang sesi jualbeli pantun dijalankan. Pada masa yang sama, ahli dalam kumpulan pemuzik Dondang Sayang berhak untuk terlibat sama dalam sesi jualbeli pantun sebagai pemantun-penyanyi. Justeru itu, penglibatan ahli kumpulan pemuzik sebagai pemantun-penyanyi adalah sama sekali tidak dapat disangkal meskipun kedudukan pemuzik dan penyanyi adalah berasingan. Contohnya, sambil memukul gong atau menitir rebana, pemalu boleh menyumbangkan suara untuk mendendangkan nyanyian pantun.

Pakaian Dalam konteks seni Dondang Sayang, faktor pemakaian bukanlah dilihat sebagai sesuatu yang bersifat rasmi. Hal ini dapat dilihat menerusi ketiadaan penekanaan yang khusus dalam aspek pemakaian sama ada dari segi keseragaman, jenis pakaian, warna pakaian, corak pakaian dan sebagainya. Oleh itu, pakaian yang sering digayakan serta disesuaikan oleh pemantun-penyanyi serta ahli kumpulan pemuzik Dondang Sayang adalah sekadar pakaian yang biasa sahaja. Pada dasarnya, pakaian yang digunakan dalam suatu bidang kesenian serta kebudayaan adalah wajah yang mencerminkan bangsa yang mewarisi bidang seni tersebut lantaran akan wujudnya penyesuaian antara pewaris dan bentuk persembahan seni dan kebudayaan. Justeru itu, pakaian yang cenderung digunakan dalam persembahan Dondang Sayang oleh kebanyakkan ahli kumpulan pemuzik dan juga pemantun-penyanyi ialah pakaian tradisi orang-orang Melayu Melaka. Pemakaian pakaian tradisi dalam persembahan Dondang Sayang bukan sahaja disifatkan sebagai pakaian yang sopan dan lengkap bahkan sedap mata memandang memandangkan pakaian tradisi ini adalah bersesuian untuk semua tempat, majlis serta suasana. Bukan itu sahaja, pemakaian pakaian tradisi juga dalam seni persembahan Dondang Sayang sekaligus memberikan gambaran yang tepat tentang ciri-ciri peribadi orang Melayu itu sendiri yang lemah-lembut, berperkerti tinggi serta kaya dengan nilai-nilai ketimuran.

Hakikatnya, kehebatan persembahan Dondang Sayang tidak terletak sama sekali pada pakaian yang cantik, sedondon serta warna atau corak pakaian yang seragam. Sebagai contoh, dalam sebuah kumpulan Dondang Sayang, tidak wujudnya isu yang berkaitan dengan aspek pakaian khususnya tentang penentuan serta pemilihan warna dan corak pakaian. Hal ini kerana pemilihan warna serta corak pakaian adalah terpulang kepada hak individu itu atas pilihan sendiri berikutan pakaian yang akan dipakai dan digayakan adalah milik kepunyaan masing-masing. Dalam konteks seni persembahan Dondang Sayang, pakaian yang sering dipakai oleh orang lelaki terdiri daripada baju Melayu leher Teluk Belanga, seluar Melayu sama ada potongan pantelun atau potongan Cina, kain samping, songkok dan juga capal sebagai alas kaki iaitu kasut. Manakala pakaian yang sering dipakai oleh wanita pula ialah baju kurung leher Teluk Belanga atau baju kebaya, kain sarung iaitu sama ada kain batik sarung atau kain batik lepas, selendang dan juga kasut seret sebagai alas kaki iaitu kasut. Lazimnya, orang-orang yang terlibat dalam persembahan Dondang Sayang lebih gemar untuk menggenakan pakaian tradisi memandangkan pemakaian pakaian tradisi tidak menghalang sama sekali pemantun-penyanyi serta ahli pemuzik untuk bergerak bebas. Meskipun ketiadaan pemilihan serta penetapan yang khusus berhubung dengan aspek pakaian dalam seni persembahan Dondang Sayang, namun kekemasan pakaian adalah diutamakan bergantung kepada keadaan majlisnya. Contohnya, orang lelaki yang terlibat dalam persembahan Dondang Sayang akan memakai baju Melayu serta seluar seperti lazimnya. Manakala kain samping labuh pula akan diikat sehingga menutup bahagian tubuh dari pinggang sampai ke lutut atau kadang-kadang hampir menyamai labuh seluar serta menutup kepala dengan menggunakan songkok dan juga menggunakan capal sebagai alas kaki.

Rentak lagu Secara umumnya, jenis lagu yang didendangkan oleh pemantun-penyanyi serta kumpulan pemuzik Dondang Sayang adalah bersifat universal. Ini bermaksud bahawa jenis lagu yang didendangkan atau dimainkan oleh kumpulan pemuzik Dondang Sayang bukanlah terhad kepada satu jenis lagu sahaja tetapi pada masa

yang sama pemantun-penyanyi serta kumpulan pemuzik Dondang Sayang mempunyai bakat serta kemahiran dalam mempersembahkan pelbagai jenis lagu seperti lagu joget, lagu asli dan lagu nasib. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa pemantun-penyanyi dan kumpulan pemuzik merupakan dua gabungan yang unik serta istimewa kerana berupaya serta berkemampuan dalam memenuhi kehendak dan juga selera para pendengar dan penggemar yang menggemari seni persembahan Dondang Sayang. Contohnya, antara lagu yang sering

dipersembahkan oleh kumpulan Dondang Sayang dalam sesuatu majlis ialah Serampang Laut, Serampang Pantai, Jambu Merah, Bercerai Kasih, Johor Sport Club dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bakat serta kemampuan kumpulan pemuzik Dondang Sayang boleh dilihat menerusi kebolehan mereka dalam mempersembahkan lagulagu yang terdiri daripada pelbagai rentak terutamanya rentak-rentak yang terdapat dalam lagu Melayu seperti inang, zapin, masri dan ghazal. Pada dasarnya, rentak lagu Dondang Sayang adalah bercorak rentak lagu Melayu asli. Namun begitu, kepelbagaian rentak muzik dalam lagu-lagu Melayu serta kesediaan dan kesesuaian rentak-rentak ini tanpa disedari telah memberikan nafas baru kepada seni Dondang Sayang di mana rentak-rentak seperti zapin, ghazal dan inang ini telah dipadankan serta diserap masuk ke dalam lagu Dondang Sayang. Umumnya, lagu Dondang Sayang bukan sahaja boleh dipadankan serta disesuaikan dengan rentak lagu Melayu sahaja tetapi pada masa yang sama lagu Dondang Sayang boleh dipadankan dengan rentak lagu yang berasal daripada negara Barat seperti rentak mambo. Walau bagaimanapun, lagu Dondang Sayang yang berentak mambo dikatakan mempunyai rentak lagu yang lebih moden jika dibandingkan rentak asal lagu Dondang Sayang itu sendiri. Sebagai contohnya, penyerapan masuk rentak muzik daripada negara Barat ke dalam lagu Dondang Sayang iaitu rentak mambo telah menghasilkan Dondang Sayang yang berentak lebih moden yang dikenali sebagai Dondang Sayang Mambo sekitar tahun 50-an. Penggabungjalinan pelbagai rentak lagu ke dalam seni Dondang Sayang tidak dapat dinafikan bukan sahaja telah memberi nafas baru bahkan turut mendapat tempat dihati pendengar serta peminat lagu Dondang Sayang. Pada masa yang sama kepelbagaian rentak muzik dalam lagu Dondang Sayang juga dipercayai telah

berjaya mengubah suasana persembahan supaya bersifat lebih segar, meriah dan tidak membosankan.

Proses Penyampaian Lagu Dondang Sayang Dalam konteks seni Dondang Sayang, lazimnya persembahan akan dimulakan dengan pantun-pantun yang bersifat merendahkan diri. Pada ketika ini, pemantun-penyanyi masing-masing merasakan dirinya serba kekurangan iaitu tidak tahu apa-apa seolah-olah mereka belum pernah atau baru kali pertama masuk gelanggang, mahu mencuba nasib dan sebagainya. Memandangkan kebiasaannya pemantun-penyanyi lelaki merupakan pihak yang datang bertandang maka secara automatiknya pihak pemantun-penyanyi lelaki yang akan memulakan nyanyian pantun terlebih dahulu. Antara pantun yang biasa didendangka sebagai tanda gelanggang dibuka seterusnya persembahan Dondang Sayang bermula ialah : Sayang bangau bulunya putih, Bersama dengan siburung undan, Saya datang perahu upih, Hendak menumpang permainan tuan.

Sayang Cik Sulung membawa perca, Perca bernama sepotong kain, Surat belum habis dibaca, Hajat dihati tumpang bermain.

Dalam persembahan Dondang Sayang, pantun-pantun yang dinyanyikan dipercayai berlaku dalam bentuk yang spontan iaitu lahir hasil daripada cetusan idea

dan ilham pemantun-penyanyi secara serta-merta. Nyanyian pantun ini berlaku secara dua hala dalam bentuk berbalas-balas pantun antara satu pihak dengan pihak yang lain melibatkan pihak lelaki dan juga pihak wanita. Kebolehan serta bakat pemantun-penyanyi dalam menyanyikan pantun soal dan pantun jawab seolah-olah bersahaja dan bukaannya secara paksaan telah menjadikan persembahan Dondang Sayang menjadi lebih menarik serta meriah. Berdasarkan pemerhatian menerusi kebolehan serta bakat berbalas pantun yang dimiliki oleh pemantun-penyanyi, tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa mereka yang terlibat terdiri daripada orang-orang yang mempunyai bakat semulajadi, handal serta bijak dalam berpantun. Situasi ini dapat dilihat menerusi cara mereka menyampaikan dan menyanyikan lagu Dondang Sayang yang pada dasarnya, mereka berbicara tentang apa yang sebenarnya tersirat di hati mereka ke dalam bentuk pantun. Contohnya, kecekapan serta kemampuan pemantun-penyanyi terbukti jika diperhatikan sepanjang proses jualbeli pantun dijalankan di mana setiap pantun yang disoal pasti aka nada pantun jawabnya. Walaupun proses jualbeli pantun berlaku secara bersambung-sambung, namun kedua-dua pihak sama ada penjual pantun dan pembeli pantun haruslah terlebih dahulu memahami maksud pantun yang dijual sebelum membeli atau membalas pantun tersebut. Ini bertujuan untuk menggelakkan pemantun-penyanyi sama sekali membeli pantun yang dijual dengan membalas pantun yang tidak kena maksudnya. Kesilapan pemantun-penyanyi dalam memahami pantun yang dijual akan mengakibatkan pemantun-penyanyi tersebut akan menerima pantun balasan yang bersifat seperti memukul teruk. Antara pantun balasan yang bersifat memukul akibat kesilapan tidak memahami maksud sebenar pantun tersebut ialah : Putik pisang buah mempelam, Masak sekerat di kain perca, Lama pegang kertas dan kalam, Lain surat lain dibaca.

Persembahan Dondang Sayang diklasifikasikan sebagai seni persembahan yang mempunyai keistimewaan serta keunikkannya yang tersendiri jika

dibandingkan dengan seni kebudayaan yang lain. Keunikkan yang dimiliki oleh seni Dondang Sayang berbanding dengan seni budaya lain ialah wujudnya unsur-unsur tatatertib dalam nyanyian Dondang Sayang. Ini terbukti sekiranya dilihat pada permulaan persembahan Dondang Sayang di mana pihak yang meminta orang menyanyi terlebih dahulu berpantun sebagai tanda menjemput sesiapa yang sudi untuk turut sama menyanyi sebaik sahaja muzik bermula. Antara pantun yang akan sering dinyanyikan ialah : Buah berembang buah pidada, Dibuat jeruk musim padi, Tikar dibentang sudahpun ada, Silalah duduk kalau sudi.

Ketatatertiban dalam persembahan Dondang Sayang turut dapat diperhatikan tatkala pemantun-penyanyi yang bukan terdiri daripada golongan pemain atau pemuzik yang sedia ada atau berasal dari luar kawasan tetapi berhajat ingin tumpang menyanyi bersama-sama terlebih dahulu akan berpantun dengan pantunpantun yang berbunyi memohon izin sebagai tanda meminta kebenaran untuk tumpang bermain. Antara pantun yang akan dinyanyikan adalah berbunyi seperti : Putik pauh dari permatang, Sirih melintang di dalam puan, Dari jauh ke mari datang, Hendak menumpang permainan tuan.

Selain itu, ketatatertiban persembahan Dondang Sayang juga dapat dilihat ketika pemantun-penyanyi ingin menamatkan pemantunannya. Kebiasaannya, pantun yang digunakan untuk menamatkan persembahan Dondang Sayang sering

bersifat menyerahkan kepada Tuhan sahaja iaitu yang melibatkan segala perbincangan yang tidak dapat diselesaikan atau segala perbincangan yang tidak ada siapa yang sanggup mengaku kalah, marajuk atau membawa diri sepanjang sesi berbalas pantun ini dijalankan. Contoh pantun tanda berakhirnya proses berbalas-balas pantun seterusnya persembahan Dondang Sayang ialah : Mari direndang lada sulah, Hendak memasak ikan tenggiri, Sudah suratan takdirnya Allah, Susah senang kutanggung sendiri.

Salah satu keistimewaan Dondang Sayang ialah dari segi gaya nyanyiannya yang tersendiri iaitu tidak seperti gaya nyanyian seperti dalam lagu Melayu asli telah berjaya menambat pendengar serta penonton untuk terus menyukainya. Hal ini berikutan kerana gaya nyanyian Dondang Sayang bercorak bebas jika dibandingkan dengan penyampaian lagu-lagu asli yang hanya terikat pada satu bentuk, lenggok serta gaya nyanyian sahaja. Oleh itu, penyampaian lagu Dondang Sayang serta gaya nyanyian adalah bergantung kepada kebolehan serta keupayaan pemantunpenyanyi masing-masing. Situasi ini menggambarkan bahawa pemantun-penyanyi bebas untuk menggayakan bentuk, lenggok serta gaya nyanyian mereka sendiri. Justeru itu, tidak hairanlah sekiranya terdapat sedikit perubahan serta perbezaan dari aspek bentuk serta gaya nyanyian oleh seorang pemantun-penyanyi terpulang kepada kebolehan, kepercayaan serta keyakinan pemantun-penyanyi itu sendiri untuk menukar-nukar seterusnya mempelbagaikan bentuk serta gaya nyanyian. Sebagai contohnya, pemantun-penyanyi lama seperti Bachik Bakar telah

menggunakan kebolehan serta pengetahuannya yang luas dan mendalam dalam bidang seni muzik telah berjaya menghasilkan suatu gaya serta bentuk persembahan yang ideal serta menonjol dengan cara mengawal nada suara supaya setara dengan pemuzikannya. Kepelbagaian gaya, bentuk serta lenggok yang berbeza hasil daripada kebolehan seorang pemantun-penyanyi akan menimbulkan berbagai-bagai rencam

bentuk nyanyian. Meskipun begitu, kepelbagaian jenis gaya nyanyian yang wujud dipercayai tidak sama sekali mampu untuk menguggat keistimewaan dan keunggulan seni Dondang Sayang. Sebagai contoh, di Melaka terdpat berbagaibagai gaya nyanyian Dondang Sayang seperti mengikut terus kehendak lagunya seperti alunan melodi, menggantung lagunya dengan menyingkatkan sebutan perkataan dalam pantun, perkataan ketiga baris pertama pantun dipanjangkan sebutannya, perkataan keempat baris pertama dipanjangkan sebutannya, meleretleretkan nyanyian maksud pantun dan berbagai-bagai lagi. Secara semulajadinya, menyanyi lagu Dondang Sayang bukanlah sematamata mengeluarkan suara dengan cara dipaksa-paksa mahupun diteran-teran sebaliknya melontarkan suara dengan cara bersahaja. Dalam konteks lontaran suara secara bersahaja bermaksud mengeluarkan suara dengan penuh rasa ketenangan supaya akan menghasilkan suara yang lunak lembut. Pemantunpenyanyi yang mengawal suara dengan cara berlebih-lebihan tanpa disedari akan mengakibatkan suara yang dilontarkan seolah-olah kedengaran seperti keras dan mengigil.