cerpen : cinta yang pudar

Upload: onemahmud

Post on 30-May-2018

287 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    1/17

    Cerpen : Cinta Yang Pudar

    Selepas perkahwinan Kak Long, majlis perkahwinan akulah yang dianggap paling

    meriah. Sekurang-kurangnya meriah bagi seluruh keluarga. Semua anggotanya hadir.

    Akulah yang paling gembira. Gembira, walaupun saat-saat bahagia itu ku nanti dengan

    penuh debar. Dan yang paling utama inilah kali pertama aku dapat merasakan semua

    orang memberi perhatian kepada ku.

    Kerana aku lelaki, kenduri di pihak ku kecil sahaja. Tetapi di pihak bakal isteri ku, aku

    tahu, pasti lebih besar lagi. Masakan tidak. Anak bongsu mereka merupakan anak

    kesayangan keluarga. Dan untuk melepaskan anak perempuan termuda mereka tentulah

    memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

    Tetapi bukanlah soal belanja itu yang penting. Aku tidak pernah mempersoalkannya

    walaupun ibu menentang keras pada mulanya. Bagi ku soal kebahagiaan ku yang lebih

    utama. Lagi pun aku bukannya tidak mampu. Gaji empat angka ku tentunya tidak

    menimbulkan sebarang masalah.

    Yang menimbulkan masalah ialah bagaimana hendak memelihara kebahagiaan yangterbina itu. Berapa lama ? Atau setakat mana ?

    Ketika Kak Teh, kakak ku yang keempat dalam keluarga dan adik perempuan ku, sibuk

    membuat bunga telur dengan rakan-rakannya, aku cuba menolong. Aku bukanlah pakar

    di bidang itu. Cuma kerana sudah tiada kerja lain yang dapat ku lakukan, ku cuba juga.

    Emak menyuruh aku berihat saja malam itu. Malam esok, saat yang menggembira dan

    mendebarkan itu akan bermula.

    "Abang tak payah tolonglah," tingkah adik perempuan ku sambil merampas bunga telur

    yang hampir siap di tangan ku. "Tengok ni. Macam bunga dimakan ulat saja," tambahnya.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    2/17

    "Yalah. Mengacau saja," sokong Kak Teh tanpa memandang ke arah ku. Kemudian

    tersenyum. Lucu agaknya.

    Aku terhenti seketika. Tapi tangan ku tidak dapat duduk diam. Aku sedar mereka cuma

    bergurau.. Lama benar kami tidak bersama. Cuma sesekali apabila Hari Raya. Aku

    bekerja jauh di tengah kesibukan ibukota. Sedang Kak Teh pula bekerja di bandar

    berhampiran dan tinggal bersama rakan-rakan. Cuma adik perempuan ku yang tinggal

    bersama ibu di desa kelahiran ku ini.

    "Macam mana abang boleh kenal Kak Su 'tu ?" Tanya adik perempuan ku secara tiba-

    tiba. Aku nampak terkejut dengan pertanyaan yang tidak di duga itu. Ini adalah kerana

    suara adikku agak lantang. Tentulah bukan aku seorang sahaja yang mendengar

    soalannya itu.

    "Apalah susahnya. Bukankah dia saudara dua pupu kita ? Neneknya dan nenek kita adik-

    beradik." Aku bersuara jujur dengan wajah yang selamba. Cuba melindungi kejutan di

    hati ku.

    "Yalah. Tapi bagaimana ? Bukan selalu Man kerumahnya. Kalau ada pun cuma ikut

    keluarga. Itu pun Man tak banyak berbual semasa di sana," potong Kak Teh.

    "Siapa yang kata begitu ?" Bantah ku. Namun di dalam hati aku mengakui kebenaran

    kata-kata Kak Teh itu.

    Aku tahu aku bukanlah seorang yang peramah. Sifat pendiam ku yang keterlaluan

    selalunya membosankan orang lain. Tentu mereka hairan bagaimana aku boleh bertemu

    jodoh ku dengan gadis yang jarang ku temui ? Inilah soalan yang selalu diungkapkan.

    Selalu benar. Terutama oleh adik perempuan ku yang baru mengenal remaja.

    Kerapkali ketika berkunjung ke rumahnya, rumah nenek saudara ku, bersama keluarga

    sebagai mengeratkan silaturrahim, aku tidak menjadi tumpuan utama. Abang-abang serta

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    3/17

    kakak-kakak ku yang telah dewasa dan ayah serta ibu ku lebih menarik perhatian

    keluarga mereka. Aku sering menjadi pendengar kepada perbualan antara dua keluarga

    itu.

    Sebenarnya aku sendiri tidak pandai memperdengarkan cerita-cerita yang menarik.

    Ketika itu aku masih belajar. Alam kehidupan semasa menuntut ilmu cuma suatu ruang

    yang kecil. Walaupun pengetahuan bertambah, tetapi pengalaman hidup terlalu sedikit.

    Dan pastilah menghairankan kedua-dua pihak apabila tiba-tiba aku dan gadis itu, cucu

    nenek saudara ku, menyuarakan hasrat kami. Lebih-lebih lagi keluarga ku. Mereka

    menjangka itu cuma gurauan ku semata apabila aku menyuarakan keinginan hendak

    berumah-tangga. Agaknya mereka terlupa pada beberapa buah diari yang terbiar di atas

    meja tulis di dalam bilikku yang jarang berpenghuni.

    Masih terbayang jelas tika saat manis itu bermulaHari Raya Puasa kali ini adalah

    merupakan kali pertama seluruh keluarga ku berkumpul sejak sepuluh tahun dulu. Sejak

    Abang Ngah meninggalkan desa dan berhijrah ke Utara kerana keputusan peperiksaannya

    yang tidak memuaskan. Ayah dan ibu kecewa kerana Abang Ngah anak lelaki tertua.

    Abang seakan merajuk dan tidak mahu pulang ke desa walaupun hubungan melalui surat

    terjalin sekali atau dua kali setahun.

    Pada hari raya pertama kami sekeluarga berhari-raya di desa. Tetapi pada hari raya kedua,

    kami mengunjungi rumah nenek dan nenek saudara ku termasuk rumah ibu dan bapa

    saudara ku. Datuk tidak sempat ku lihat wajahnya.

    Oleh kerana jarak yang memisahkan agak jauh dan tentunya rumah nenekku dan ibu

    saudara ku lebih utama, kami sampai ke rumah nenek saudara ku agak lewat malam. Jadi

    kami singgah sebentar sahaja sekadar melepas penat.

    Ketika kereta Abang Ngah dan kereta abang iparku, suami Kak Long, berhenti di

    hadapan rumah mereka, aku telah membayangkan tiada suatu apa pun yang menarik

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    4/17

    perhatian ku. Seperti yang ku nyatakan, aku bukanlah orang yang utama dalam keluarga

    ku walaupun usiaku mendekati angka lapan belas. Aku cuma cebisan kecil dari seluruh

    keluarga ku yang seramai sembilan orang itu.

    Kami disambut meriah kerana kunjungan begitu tentunya tak dijangka oleh mereka.

    Kami terus bersalaman sebagai menambah erat persaudaraan. Oleh kerana ramai yang

    perlu disalami, aku tergesa-gesa melakukannya.

    Tiba-tiba aku terpaku pada gadis kecil yang ku kira usianya tidak melebihi enam belas

    tahun. Dia baru sahaja bersalaman dengan adik perempuan ku. Senyumnya masih belum

    hilang ketika dia hendak menyambut tangan ku. Seperti juga aku, senyumnya tiba-tiba

    mati. Aku bersalaman dengannya seolah-olah tanpa kerelaan. Tiada kata terucap

    melainkan getar hati yang menyentap.

    Keluarga ku di beritahu bahawa nenek saudara ku sakit. Jadi kami tergesa-gesa menemui

    nenek, bersalaman dan bertanya khabar.

    Kunjungan ke situ amat singkat kerana hari telah larut malam. Dalam pada itu entah

    kenapa aku dan gadis kecil itu sering berpandangan. Kami bukanlah saling mengenali.

    Kami tak pernah berjumpa sebelumnya. Berat rasa hati ku untuk memulakan perkenalan

    itu walaupun aku amat mengingininya. Perasaan malu turut menyelubungi hati ku. Tiada

    kata yang dapat kulafazkan padanya sepanjang berada di situ.

    Semasa pulang, kami dua keluarga bersalaman lagi. Tapi kali ini aku tidak berupaya

    menghulurkan tangan pada gadis kecil itu melainkan melalui pandangan mata. Aku sedar

    aku belum cukup dewasa untuk mengerti perasaan itu. Dan aku juga sedar gadis itu masih

    mentah dalam soal perasaan ini. Tentulah kami cuma akan bermain dengan perasaan

    kelak.

    Aku lalu membina harapan semoga suatu waktu dapat bertemu lagi dengannya. Atau

    sekadar melihat wajahnya dan rambut panjang mengurainya. Tetapi pertanyaan yang

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    5/17

    utama ialah bila dan di mana ? Aku tak menemui jawabannya. Mungkinkah buat selama-

    lamanya. Aku mengikut Kak Long dan suaminya melihat-lihat tanah pusaka ibu

    berhampiran rumah nenek. Tanah itu telah terbiar sejak ibu berpindah ke desa ku kini

    semasa aku di dalam kandungan lagi. Jadi suaminya bercadang mengusahakan tanah itu.

    Ketika itu aku baru saja bertukar sekolah selepas berjaya dalam peperiksaan SPM ku

    kerana di sekolah ku dulu tiada kelas tingkatan enam. Sekolah baru ku itu merupakan

    tempat suami Kak Long mengajar.

    Aku ditawarkan tinggal di asrama tetapi kerana desakan Kak Long, aku tinggal di

    rumahnya dan menumpang kereta suaminya bila ke sekolah. Tetapi tak lama kemudian

    aku memohon tinggal di asrama kerana merasa kurang selesa semasa hendak

    mengulangkaji pelajaran. Tiada teman berbincang.

    Waktu itu nenekku sebelah ayah, yang tinggal bersama ibu saudara ku, baru saja

    meninggal dunia. Oleh kerana sudah terlanjur lalu depan rumah nenek saudara ku yang

    tak jauh dari situ, lalu kami singgah bertanya khabar. Aku tidak banyak bercakap dan

    membiarkan suami Kak Long berbual mesra dengan kelaurga di situ. Mungkin aku ini

    masih terlalu muda dan mentah untuk turut sama dalam perbualan mereka.

    Paling menghairankan ku ialah aku terpaksa diperkenalkan buat kali kedua. Sungguh

    menghairankan. Hati ku tertanya-tanya sebabnya. Tetapi kemudian aku menyedarkan diri

    ku bahawa aku cuma cebisan kecil dari seluruh keluarga dan saudara-mara ku yang besar

    itu. Sepanjang hidup ku, aku jarang berada di rumah. Aku dibesarkan di sekolah

    berasrama sejak di tingkatan satu.

    Ketika pulang, malah sepanjang kunjungan itu, aku tidak nampak sekilas pun wajah gadis

    kecil yang menarik perhatian ku dulu. Aku merasa kecewa kerana tidak dapat melihat

    rambut panjang mengurainya. Aku mereka-reka di dalam hati. Ah, barangkali dia ke

    sekolah petang ini. Bukanlah sesuatu yang luar biasa kiranya dia aktif dalam aktiviti

    persatuan di sekolah. Aku merasa sedikit terhibur dengan jangkaan-jangkaan yang ku

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    6/17

    buat sendiri.

    Tapi ketika kereta suami Kak Long meninggalkan perkarangan rumah nenek saudara ku

    itu, aku yang duduk di belakang kehairanan kerana tiba-tiba Kak Long melambaikan

    tangannya. Aku menoleh dan ternampak gadis kecil itu sedang mengayuh basikal dalam

    pakaian seragam sekolah. Dia berpaling ke arah kami. Lalu aku pantas melarikan

    pandangan mata ku walaupun aku tahu dia memandang ke arah Kak Long dan bukan

    pada ku.

    Setelah agak jauh barulah aku menoleh ke belakang dan nampak dia di samping ayah dan

    ibunya memerhatikan kenderaan kami berlalu. Terasa sesuatu menyentuh perasaan ku

    setelah dia hilang dari pandangan. Perasaan yang sukar ditafsirkan. Aku sedang bersiap-

    siap menghadapi peperiksaan STP ketika datang telegram menyatakan nenek ku sebelah

    ibu meninggal dunia. Aku hanya pulang tiga hari kemudian kerana sibuk dengan

    pelajaran tetapi tidak kembali ke desa. Aku singgah di rumah Mak Ngah, kakak ibu ku,

    untuk menziarahi kubur nenek. Kenduri arwah di rumah Mak Ngah telah masuk hari ke

    tiga.

    Aku tidak merasa sedih kerana aku sedar tentang nenek yang telah uzur dan sakitnya

    yang agak teruk. Tetapi apabila aku sampai di rumah Mak Ngah, aku disambut dengan

    tangisan. Menyedari aku salah seorang cucu kesayangan nenek, tiba-tiba airmata ku

    menitis. Serta-merta aku mendakap ibu ku dan Mak Ngah kerana aku tahu mereka lebih

    merasa hiba atas pemergian ibu mereka. Kesedihan seperti itu tidak terlihat pada ayah

    ketika kematian ibunya dulu. Sebaliknya, ada ku lihat ayah marah kerana lambat di

    beritahu.

    Saudara-mara ku yang jauh kebanyakannya telah pulang. Cuma tinggal saudara-mara ku

    yang terdekat di rumah Mak Ngah pada malam ketiga kenduri arwah nenek. Yang tinggal

    termasuklah nenek saudara ku, anak-anak dan cucu-cucunya.

    Sepanjang berada di situ aku menyedari bahawa aku sering di perhatikan oleh seseorang.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    7/17

    Aku pura-pura tidak nampak kerana aku tidak mengenali siapa dia. Cuma yang ku tahu

    gadis itu rambutnya separas bahu.

    Malam itu ketika mengangkat makanan selepas majlis tahlil, aku menjadi penyambut

    dulang hidangan di ruang tamu. Ruang tamu cuma dipenuhi orang lelaki. Aku tersintak

    bila berhadapan dengan gadis itu. Dia menghulurkan hidangan kepada ku sambil

    tersenyum. Aku turut tersenyum tanpa memikirkan apa-apa dalam keadaan terpaksa.

    Tapi, tiba-tiba aku merasakan aku pernah melihat gadis itu. Tetapi di mana ?

    Memang benar, dialah gadis yang ku lihat di rumah nenek saudara ku dulu. Dialah gadis

    kecil berambut panjang yang menarik perhatian ku dulu.

    Ketika betembung untuk kali kedua, aku menegurnya dengan perasaan gementar.

    "Sejak bila rambut 'ni dipendekkan ?" Suara ku agak tertahan-tahan.

    "Dah lama..." Jawabnya perlahan sambil tesenyum.

    Itulah kali pertama aku mendengar suaranya sejak dia menjadi semakin dewasa dan

    matang. Suaranya tidak lagi kedengaran keanak-anakan. Cuma aku masih tidak

    mengetahui namanya melainkan nama timang-timangannya yang ku dengar dari

    perbualan adik perempuan ku. Kak Su, panggil adik ku. Aku pulang bercuti setelah

    menamatkan tahun pertama pengajian ku di universiti. Sebagaimana biasa, aku

    menghabiskan cuti panjang itu di desa sahaja. Bagi ku cuti itu terlampau panjang

    disebabkan kurangnya perkara-perkara menarik yang dapat ku lakukan. Kadang-kadang

    aku merasa bosan di rumah sendirian. Terasa kesal juga di hatiku kerana tidak turut serta

    dalam beberapa aktiviti semasa cuti di kampus.

    Abang-abang ku kini semuanya berada di rantauan. Kak Long mengikut suaminya.

    Sedang Kak Teh pula turut meninggalkan desa bekerja di bandar. Yang ada di rumah

    cuma aku, ayah, ibu dan adik perempuan ku. Adik lelaki bongsu ku tinggal di asrama

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    8/17

    sekolah berhampiran mengikut jejak langkah ku.

    Di pertengahan cuti ku, Kak Long pulang bersama suami dan dua anaknya. Barulah

    kedengaran riuh sedikit rumah kami. Dan barulah rasa sunyi dan bosan di hati ku hilang

    sedikit.

    Seperti biasa, apabila keluarga ku telah berkumpul beramai-ramai, banyaklah cerita

    menarik yang dibualkan. Kebetulan, esoknya, Kak Teh pula pulang bercuti dua hari.

    Semakin banyaklah cerita yang dibawa.

    Dalam sibuk bercerita itu tiba-tiba sampai ke soal kahwin. Pada mulanya Kak Long cuma

    menyindir Kak Teh yang masih tak mahu kahwin walaupun usianya sudah melebihi dua

    puluhan. Tapi akhirnya sampai kepada persoalan yang menjadikan aku terpegun

    mendengarnya. Dan aku sedikit pun tak upaya menambah.

    "Jangan nak jadi macam anak Pak Long sudahlah," sindir Kak Long. " Tak mahu kahwin-

    kahwin."

    "Siapa dia, Mak ?" Potong adik perempuan ku yang selalu menganggap ibu mengenali

    seluruh saudara-mara kami.

    "Kak Su kaulah," kata ibu mendatar. "Sudah dua kali dipinang orang. Tapi dia menolak.

    Entah apa sebabnya, tak siapa pun tahu," terang ibu lagi.

    Memanglah aku benar-benar tersintak mendengar berita pinangan itu. Hati ku tertanya-

    tanya. Mengapa ? Mungkin usianya masih terlalu muda untuk itu. Barangkali baru

    sembilan belas tahun.

    Kalau dia berkahwin, aku tidak dapat membayangkan apa-apa. Tetapi kekecewaan pasti

    melanda hati ku.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    9/17

    Namun kadang-kadang aku tertanya-tanya sendirian. Mengapa dia menolak pinangan

    itu ? Kerana akukah, tanya hati ku lagi. Ah, tidak mungkin. Jauh benar dari kenyataan.

    Walaupun aku ada menaruh perasaan terhadapnya, tetapi ia cuma cebisan perasaan. Aku

    bukanlah kenal pasti dengannya. Sedangkan namanya yang sebenar pun masih tidak ku

    ketahui. Hendak ku tanyai ibu, apa pula anggapan anggota keluarga ku yang lain nanti.

    Entah apa pula sindiran mereka kelak. Hari Raya Haji tahun itu tidak di sambut meriah.

    Walaupun keluarga ku tidak lengkap kerana Abang Ngah tidak dapat pulang,

    kegembiraan dan keharuan di pagi raya tetap terasa. Terutama ketika bersarapan pagi dan

    bermaaf-maafan sesama keluarga sebelum menunaikan sembahyang raya. Raya Haji

    tahun itu disambut sederhana seperti tahun-tahun sebelumnya kerana keluarga ku sering

    menganggapnya sebagai menumpang raya.

    Tapi kunjungan ke rumah saudara-mara ku tidak dilupakan. Paling menggembirakan hati

    ku ialah tarikh hari raya itu berhampiran dengan tarikh harijadi ku yang keduapuluh dua

    tahun. Buat pertama kali seluruh keluarga meraikan ulang tahun kelahiran ku itu.

    Ibu mencadangkan agar menziarahi kubur nenek pada hari raya kedua. Cadangan ibu

    memang jarang dibantah. Dengan dua buah kereta kami bertolak pada keesokan harinya.

    Dalam perjalanan pulang tengahari itu kami singgah di rumah nenek saudara ku.

    Sesampainya di situ barulah diketahui nenek saudara ku tidak berupaya lagi bergerak dari

    katil tempat beliau berbaring. Ku lihat tubuh nenek terlalu kurus. Ketika bersalaman ku

    dapati nenek sudah tidak dapat mengenali kami lagi. Namun beliau tetap tersenyum. Ibu

    hampir menitiskan airmata melihat keadaan emak saudaranya

    Aku beralih ke serambi kerana tidak senang hati melihat suasana pilu begitu. Mata ku liar

    mencari-cari dengan harapan gadis berambut panjang itu ada di situ. Ku lihat dia duduk

    memangku bayi di kerusi berhampiran tangga dan pintu masuk. Ku hampiri dia.

    "Anak siapa 'ni ?" Soal ku sekadar menjadi sebab memulakan perbualan. Ku cuba

    mendukung bayi itu. Tapi aku agak kekok.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    10/17

    "Anak kakak," ujarnya. "Hei... jangan. Nanti terjatuh."

    "Tak apalah." Aku melepaskan pegangan ku ke atas bayi itu. Tapi serta-merta aku

    kehilangan idea. Tak tahu apa lagi yang dapat diperkatakan.

    Aku terdiam di atas kerusi di sebelahnya. Suasana hening seketika. Ku lihat dia selamba

    dan berpura-pura sibuk dengan bayi itu.

    Tiba-tiba cahaya terang seperti kilat memancar di depan kami. Aku tersintak. Begitu juga

    dia. Ku lihat jauh di hujung berhampiran pintu tengah Kak Long tersenyum riang dengan

    kamera di tangannya. Aku menjadi serba-salah. Gadis itu cepat-cepat berlalu

    meninggalkan ku.

    "Nanti dulu," kata ku cuba menahan.

    "Nak tukar lampin budak 'ni," potongnya pantas.

    Aku tahu itu alasannya sahaja. Agaknya dia merasa malu bila dilihat berduaan dengan ku

    (atau bertiga termasuk bayi itu).

    Sewaktu menghadapi hidangan tengahari aku cuma makan sedikit sahaja kerana selera ku

    tersangkut di tekak ku oleh rasa malu seolah-olah semua mata tertumpu pada ku. Kami

    dua keluarga makan beramai-ramai serentak. Tentulah aku menyedari dia berada

    bersama. Paling menggelisahkan hati ku ialah gambar yang telah di rakam oleh Kak

    Long. Aku khuatir akan adanya anggapan-anggapan lain kemudian nanti. Anggapan yang

    menyinarkan harapan ku.

    Dua minggu berikutnya, ketika berada di kampus, surat dari Kak Long tiba. Di dalamnya

    tertera dua keping gambar ku dan gambar gadis itu yang diambilnya dulu. Katanya dalam

    surat itu, jangan bimbang, gambar itu cuma ada dua keping sahaja. Dan hanya dia dan

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    11/17

    suaminya yang telah melihatnya.

    Aku merasa lega kerana aku tahu Kak Long sentiasa jujur pada ku. Tapi aku tidak tahu

    cara hendak mengirimkan sekeping gambar itu kepada gadis itu tanpa diketahui oleh

    orang lain. Aku benar-benar tidak tahu ! Ini bukanlah kali pertama aku mengikut Abang

    Lang menziarahi saudara-mara pada Hari Raya. Kalau abang mengajak, aku tak pernah

    menolak. Aku sebenarnya bukanlah rakan yang sesuai buat Abang Lang. Aku jarang

    berbual panjang dengannya. Tapi kerana aku anak lelaki tertua selepas dia dan Abang

    Ngah baru sahaja beberapa bulan berumahtangga, Abang Lang tiada pilihan lain.

    Ketika dalam perjalanan, kata abang, dia hendak melawat tunangnya di pinggir Pantai

    Selat Melaka sana. Tunang yang diikatnya enam bulan lalu. Aku pada mulanya

    membantah. Hujah ku, abang tadi mengajak aku melawat saudara-mara. Selepas itu nanti,

    abang cuba mematikan perbualan. Kita singgah rumah nenek nanti, aku mengusulkan.

    Nak buat apa, bantah abang, bukan nenek kita. Nenek saudara kita, tingkah ku.

    Tapi kami singgah juga dalam perjalanan pulang pada petangnya. Bagi ku tiada lain yang

    ku harapkan selain dapat bertemu dengan gadis itu. Macammana rupanya sekarang ? Dan

    berbagai-bagai perkara lagi yang ingin ku ketahui.

    Aku tidak hampa kerana gadis itulah yang keluar ke ruang tamu menghidangkan

    minuman. Ku lihat wajahnya tidak banyak berubah. Cuma tubuhnya nampak kurus

    sedikit. Kau sakitkah, ingin ku tanya demikian, tapi tentunya nampak tidak sopan kerana

    ayahnya ada bersama kami. Hasrat ku membeku di hati.

    Ayahnya, Pak Long saudara ku itu, memang seorang yang peramah. Apabila bercerita

    tentang zaman Jepun, aku dan abang tiada peluang mengeluarkan kata selain dari

    tersenyum, ketawa dan mengangguk-ngangguk kepala tanda kagum dan setuju. Ceritanya

    lancar dan jelas. Makan malam di sini nanti, pelawanya, jangan tolak-tolak. Abang

    melihat jamnya dan menoleh pada ku mencari alasan. Tapi aku segera menyetujuinya.

    Seronok mendengar kisah keperwiraannya ketika menentang tentera Jepun.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    12/17

    "Hari langsungnya bila ?" Soalnya kepada abang apabila perbualan bertukar tajuk.

    "Cuti penggal tiga sekolah nanti," jawab abang.

    "Orang mana ?" Soalnya lagi.

    "Waris kita juga," jawab abang.

    "Adik kau 'ni bila pula ?" Dia meneruskan.

    Abang menoleh pada ku mengharapkan aku menjawabnya kerana sejak tadi aku hanya

    menjadi pendengar sahaja.

    "Pelajaran belum tamat," jawab ku.

    "Kalau mahu, Pak Long boleh carikan. Di rumah 'ni pun ada sorang," Dia berseloroh.

    "Kak Su 'tu belum ada ke yang berkenan ?" Soal abang. Walaupun abang memanggilnya

    kak, tapi abang lebih tua dari gadis itu. Itu cuma nama timangan sahaja.

    "Dah tiga. Bulan lepas baru masuk merisik. Serupa sahaja jawabannya. Tak mahu

    kahwin," jelas Pak Long saudara ku itu.

    Sampai di situ hati ku tersentuh. Mengapa, tanya hati ku. Mengapa gadis itu masih

    menolak pinangan yang datang. Tetapi di hati ku keriangan itu lebih jelas terpancar.

    Senja itu ayahnya ke surau. Agak lambat pulangnya. Abang ke pekan berhampiran kerana

    ada kerosakan kecil pada lampu keretanya. Dia khuatir kerana pulang nanti waktu malam.

    Takut timbul masalah di tengah jalan. Aku tidak dibenarkan ikut. Sebentar sahaja pun nak

    ikut, tegah abang. Abang memang tidak suka kalau aku melambatkan tujuannya.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    13/17

    Waktu itulah aku berpeluang menemui gadis itu dan berbual-bual dengannya menantikan

    abang ku dan ayahnya pulang. Kami berbual di ruang tamu yang diterangi lampu

    kalimantang, di tempat yang sama gambar kami pernah dirakamkan.

    "Bila habis kuliah ?" gadis itu memulakan.

    "Setahun lagi," aku menjawab pendek.

    Serta-merta percakapan itu terhenti seolah-olah penulis kematian ilham. Setelah beberapa

    ketika barulah aku meneruskan apabila teringat sesuatu.

    "Gambar kau ada aku bawa," ujar ku.

    "Gambar yang mana ?" Dia kehairanan. Mungkin terlupa.

    "Tengoklah nanti. Ah... Tertinggal dalam kereta abang. Tunggulah bila dia pulang nanti."

    Perbualan terhenti lebih lama dari tadi.

    "Aku dengar kau dipinang orang," kata ku perlahan. Suara ku lemah.

    Dia menoleh pada ku. Tidak menggeleng dan tidak mengangguk. Dari wajahnya yang

    sayu seolah-olah ada sesuatu yang ingin di perkatakannya kepada ku. Tapi dia kelihatan

    tak dapat melafazkannya.

    "Datang nanti ya, di hari perkahwinan abang ku. Lagi pun kau belum pernah ke rumah

    ku." Aku mempelawa, mengalihkan perbualan kerana hati ku cepat gelisah dengan

    suasana muram seperti itu.

    Dan perbualan itu terus mati di situ.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    14/17

    "Adik !" Satu suara lembut kedengaran memanggilnya.

    "Ibu panggil 'tu. Saya masuk ke dalam dulu. Nak tolong ibu hidangkan makanan." Dia

    tergesa-gesa meninggalkan ku sendirian di ruang tamu itu.

    Aku pura-pura membaca sebuah majalah yang baru ku capai dari atas meja di sebelah ku.

    Nampak ibunya menjenguk di pintu tengah. Aku menegurnya seperti biasa seakan tiada

    apa-apa yang berlaku. Aku bercuti dua minggu serentak dengan cuti penggal ketiga

    persekolahan. Majlis perkahwinan Abang Lang di pertengahan cuti ku. Tahun itu adalah

    tahun keempat dan terakhir ku di universiti. Bermakna di usia ku yang hampir sesuku

    abad ini aku masih lagi menuntut. Bermakna hutang budi ku kepada seluruh keluarga

    masih belum berbayar.

    Gadis itu datang sehari lebih awal bersama ibunya untuk membantu semasa kenduri

    perkahwinan abang. Sudah menjadi adat dan kebiasaan kami adanya pertolongan seperti

    itu dari saudara-mara terdekat.

    Tapi aku tiada berpeluang berbual dengannya. Di rumah ku setiap waktu, siang dan

    malam, penuh dengan saudara-mara ku, lelaki dan perempuan. Barulah aku dapat melihat

    betapa ramainya saudara-mara ku. Aku juga mula menyedari betapa eratnya hubungan

    persaudaraan dan kekeluargaan kami. Dengan sepupu ku sendiri terasa seakan adik-

    beradik.

    Sesekali aku dan gadis itu saling berpandangan. Tetapi kami seolah-olah saling mengerti

    dengan keadaan sekeliling waktu itu. Dan aku hampir-hampir merasa kecewa setelah

    kenduri perkahwinan abang selesai. Tiada peluang bagi ku berbual lama dengannya selain

    tegur-sapa ketika berselisihan di dalam rumah ku, di tengah orang ramai itu.

    Akhirnya kesempatan tiba di akhir majlis persandingan Abang Lang. Ketika bergambar

    kenangan bersama kedua pengantin, aku sengaja menghampiri dan mengambil tempat di

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    15/17

    sebelahnya.

    "Susah benar hendak bercakap dengan kau," kata ku.

    "Seganlah. Jangan cakap di sini. Nanti semua orang tahu," katanya sambil cuba beralih

    tempat. Aku dapat menghalangnya.

    "Biarlah. Biar semua orang tahu," kata ku penuh yakin. "Sebelum pulang nanti jangan

    ambil gambar yang dulu. dah lama benar aku simpan," sambung ku lagi.

    Aku sedar hubungan ku dengan gadis itu mula disedari oleh sebahagian anggota keluarga

    ku. Tetapi sikap ku yang bersahaja mengurangkan keyakinan mereka. Tambahan pula aku

    sering membayangkan bahawa pelajaran ku lebih penting dari segala-galanya.

    "Bukankah aku masih menuntut ? Kalau aku mahu, di kampus ada beribu yang sepadan,"

    ulang ku selalu apabila kakak-kakak atau abang-abang ku mengusik ku tentang hubungan

    dengan gadis itu. Pecah perkhabaran itu hanya beberapa bulan selepas aku memulakan

    alam pekerjaan. Aku akan bertunang. Memang aku telah merancangkanya dengan teliti.

    Tetapi kerumitan itu tetap timbul. Soal hantaran belanja perkahwinan menjadi bualan

    hangat dalam keluarga ku. Sebab utama ialah aku lepasan universiti dan tentunya bergaji

    besar.

    Dalam soal hantaran belanja, hubungan kekeluargaan tidak langsung dikaitkan. Aku

    merasa hairan sedangkan aku dan gadis itu besaudara dua pupu. Namun aku tidak dapat

    berbuat apa-apa. Semuanya adalah urusan ibu dan bapa saudara ku.

    Kekecohan itu bermula apabila aku secara terus-terang menemui ayah gadis itu, Pak

    Long saudara ku itu, dan menyatakan hasrat hati ku. Tentulah pada pandangannya aku

    telah melanggar adat. Dan kekecohan itu bertambah kerana gadis itu tidak pula menolak.

    Ini memeranjatkan seisi keluarganya. Kami telah berjanji lama dulu, jelas gadis itu

    kepada ibunya dalam ceritanya kepada ku di satu pertemuan. Jadi kau juga telah berterus-

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    16/17

    terang dengan ibu mu, balas ku gembira.

    "Tapi ada lagi masalah. Ibu bercadang meletakkan harga yang tinggi," katanya lagi.

    "Berapa ?" Aku gelisah.

    "Empat ribu sekurang-kurangnya. Kata ibu, 'kan abang pegawai tinggi. Takkan tak

    mampu," jelasnya lagi.

    Aku terdiam. Terpegun dengan situasi yang jarang ku hadapi. Tetapi di hati ku perasaan

    yang lain lebih kuat menguasai. Perasaan ku terhadap gadis itu.

    "Soal wang memang tiada masalah. Tapi hubungan kekeluargaan kita kemudian kelak.

    Inilah kali pertama abang dengar hantaran sebanyak itu dalam keluarga kita. Apa pula

    kata orang nanti sedangkan kita bersaudara," kata ku.

    "Pendapat abang bagaimana ?" Soalnya pada ku.

    "Begini saja. Katakan kepada ibu mu, berapa sahaja, abang akan setuju. Nanti abang akan

    jelaskan pada ibu abang," aku mencadangkan. Dia tidak membantah.

    "Sepatutnya soal kebahagiaan kita yang lebih utama." Kata ku sebelum berpisah.

    Dia merenung ku penuh simpati. Sebaik sahaja majlis perkahwinan ku berakhir, seluruh

    keluarga ku berkumpul. Beberapa orang saudara-mara ku serta jiran-jiran terdekat masih

    berada di rumah ku. Soalan utama yang ditujukan kepada ku ialah tentang hubungan

    silam ku dengan isteri ku. Bagaimana, kami semua langsung tak menduga, soal Abang

    Lang.

    "Abang mesti ceritakan. Mesti. Abang janji dulu," desak adik perempuan ku.

  • 8/14/2019 Cerpen : Cinta Yang Pudar

    17/17

    "Tanya Kak Su kau," kata ku. "Berapa lamanya hubungan kami..."

    Isteri ku hanya tersipu-sipu. Aku mengerti perasaan hatinya. Begitu juga kemurniaan dan

    ketabahan hatinya. Aku cuma mengharapkan kebahagiaan hidup bersamanya.

    "Berapa lama ?" Adik perempuan ku mendesak lagi.

    "Hampir enam tahun..." Kata ku perlahan

    Dan aku tak dapat lagi membayangkan wajah mereka yang seakan tidak percaya.

    [ TAMAT ]