c-05-239-08-2014- rabidin bin satir vs pendakwa raya · pdf filedalam laporan bedah siasat...
TRANSCRIPT
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA
(BIDANGKUASA RAYUAN)
RAYUAN JENAYAH NO: C-05-239-08/2014
ANTARA
RABIDIN BIN SATIR … PERAYU
DAN
PENDAKWA RAYA … RESPONDEN
(Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh, Pahang Perbicaraan Jenayah No. 45B-03-03/2013
Antara
Pendakwa Raya
Dan
Rabidin bin Satir)
KORUM:
AZIAH ALI, HMR ROHANA YUSUF, HMR
DR. PRASAD SANDOSHAM ABRAHAM, HMR
2
PENGHAKIMAN MAHKAMAH
[1] Perayu telah dibicarakan dan didapati bersalah terhadap dua
pertuduhan di Mahkamah Tinggi di Temerloh Pahang. Kedua-dua
pertuduhan adalah di bawah seksyen 302 dan seksyen 376(4) Kanun
Keseksaan dan adalah seperti berikut:
Pertuduhan Pertama:
“Bahawa kamu, pada tarikh 7hb Mac 2009, antara jam 11.30 malam hingga
jam 1.50 tengah hari 8hb Mac 2009 bertempat di alamat Lot 4168
Kampung Ketari Bentong, di dalam Daerah Bentong, di dalam Negeri
Pahang Darul Makmur, telah membunuh seorang perempuan bernama
Annie Kok Yin Cheng KPT No: 920606-06-5098, dan dengan itu kamu
telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen
302 Kanun Keseksaan.”
Pertuduhan Kedua:
“Bahawa kamu, pada tarikh 7hb Mac 2009, antara jam 11.30 malam
hingga jam 1.50 tengah hari 8hb Mac 2009 bertempat di alamat Lot 4168
Kampung Ketari Bentong, di dalam Daerah Bentong, di dalam Negeri
Pahang Darul Makmur, semasa melakukan rogol ke atas Annie Kok Yin
3
Cheng KPT No: 920606-06-5098 telah menyebabkan kematiannya, dan
dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di
bawah seksyen 376(4) Kanun Keseksaan.”
Kes Pendakwaan
[2] Kes Pendakwaan bermula pada 08.03.2009 jam lebih kurang 1.50
petang apabila Helen Kor Ser Yin (SP5) kakak si mati balik ke rumah bapa
tiri mereka, Sew Kok Wee (SP6) di No. 4168, Kg. Ketari, Bentong Pahang.
Apabila sampai di rumah SP5 telah pergi ke bilik adiknya Annie Kok Yin
Cheng (si mati) yang berada di sebelah bawah rumah tersebut. SP5
mendapati bilik si mati tidak berkunci. Beliau nampak banyak darah di atas
katil dan tilam dan si mati berada di atas lantai. SP5 keluar dari bilik
tersebut. Beliau menyangka si mati datang haid dan menunggu si mati
bangun dari tidur.
[3] SP5 kemudian pergi semula dan mengetuk pintu bilik si mati. Apabila
tidak ada jawapan, SP5 masuk ke dalam bilik dan mendapati badan si mati
terasa keras dan sejuk. Pada masa itu, SP5 nampak kesan darah di
bahagian atas badan si mati manakala bahagian pusat ke bawah ditutupi
dengan selimut. Muka si mati pula ditutup dengan tisu putih. Keadaan baju
4
si mati terangkat sehingga ke bawah bahagian buah dada. Darah juga
terdapat di bahagian leher dan dada si mati yang terbaring dalam keadaan
terlentang. SP5 kemudian menjerit dan bapa tiri mereka (SP6) turun dari
tingkat atas rumah dan masuk ke bilik si mati. SP5 juga mendapati si mati
tidak bernafas lagi.
[4] Si mati kemudian dibawa ke Hospital Bentong menaiki kereta SP6.
SP5 memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya Tan Siew Lin (SP4)
yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. SP4 balik dan terus ke bilik mayat
Hospital Bentong dan telah mengecam mayat si mati.
[5] Mengikut SP6 sehari sebelum kejadian iaitu pada 07.03.2009 beliau
berada di rumah bersama anak-anaknya Sew Li Teng, Sew Li Weng, Sew
Wei Keat dan juga si mati. Pada malam tersebut SP6 nampak si mati
bermain komputer seorang diri di luar biliknya. SP6 menonton TV di tingkat
atas. Kali terakhir SP6 nampak si mati ialah pada 11.30 malam semasa si
mati sedang bermain komputer. Kira-kira jam 12.30 pagi SP6 terdengar
satu bunyi macam ada barang terjatuh di dapur. SP6 turun dari tingkat atas
untuk melihat apa terjadi. Pada masa itu beliau mendapati si mati tidak lagi
berada di meja komputer, walaupun lampu masih terpasang. Seterusnya
5
pada lebih kurang 7.30 pagi esoknya SP6 membuka pintu bilik si mati
dengan menghulur tangannya dari luar bilik untuk menutup suis lampu,
yang terletak berhampiran dengan pintu tersebut. SP6 tidak masuk ke
dalam bilik tersebut. Selepas itu SP6 keluar minum bersama anak-anaknya
Sew Li Teng, Sew Li Weng dan Sew Wei Keat. Mereka balik semula ke
rumah jam 9.30 pagi. Pada jam 11.30 pagi SP6 keluar lagi bersama
kawannya dan pulang ke rumah pada jam 12.30 tengahari.
[6] Apabila SP6 terdengar SP5 menjerit, beliau pergi ke bilik si mati dan
mendapati si mati dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan
badannya ditutupi dengan selimut sehingga ke leher. Beliau kemudian
menghantar si mati ke Hospital Bentong.
[7] Kpl Rohani bt Muhamad (SP1) memberi keterangan yang beliau
menerima panggilan telefon daripada Medical Officer Hospital Bentong
pukul 2.02 petang pada hari yang sama. SP1 dimaklumkan bahawa
seorang perempuan Cina telah meninggal dunia akibat dibunuh.
Berdasarkan maklumat tersebut SP1 membuat laporan polis, Bentong Rpt
1168/09 (P5).
6
[8] DSP Azhar bin Musa (SP9) pada hari yang sama telah dimaklumkan
tentang laporan polis P5. SP9 bersama-sama dengan jurugambar
pasukannya pergi ke tempat kejadian. Beliau menghubungi pihak Forensik
PDRM dan Doktor Pakar Forensik Hospital Kuantan untuk hadir ke tempat
kejadian dan membantu siasatan. Cif Inspektor Nizam bin Hussain (SP13)
daripada pasukan Forensik PDRM datang menjalankan pemeriksaan di
tempat kejadian dengan mengambil sebanyak 37 barang kes yang
diserahkan kepada SP9. Senarai barang adalah saperti di dalam Borang
Serah Menyerah (P34). Di antara barang kes termasuklah satu swab cecair
disyaki air kencing di dalam tandas yang ditandakan “15” dan di‘seal’
Forensik (P55). SP9 juga telah menerima daripada ibu si mati beberapa
barang milik si mati, pakaian yang digunakan oleh ahli keluarga si mati
termasuk satu T-Shirt kekuningan jenama “Jikani” yang ditandakan “A48”
(eksibit P68(a)). SP9 turut menerima daripada Dr. Zahari bin Noor (SP8)
barang-barang kes dan beberapa spesimen pada si mati seperti tersenarai
dalam laporan bedah siasat (P16) selepas bedah siasat dilakukan untuk
dianalisa. SP9 telah menyerahkan semua barang kes yang diterima
kepada Inspektor Ismantie bin Ismail (SP14).
7
[9] SP8 telah menjalankan bedah siasat atas mayat si mati. Pemeriksaan
luar mayat si mati dijalankan oleh SP8 dan laporannya dikemukakan di
Eksibit P16. SP8 berpendapat bahawa punca kematian adalah kecederaan
pada leher akibat daripada senjata tajam. SP8 mendapati bahawa
kematian si mati adalah kematian homisid dan dilakukan oleh orang lain
berdasarkan jenis, bilangan dan keparahan kecederaan dan terdapat
kecederaan lain yang menunjukkan “defence wounds”.
[10] SP8 juga telah membuat satu prosedur pemeriksaan kemaluan si
mati dengan menggunakan “Foleycartheter” yang boleh mengumpulkan
cecair terdapat dalam vagina perempuan. SP8 mendapati banyak cecair
yang terkumpul pada hujung “catheter” dan telah diserahkan kepada pihak
polis untuk diuji oleh ahli kimia (eksibit P29).
[11] Dua tahun selepas kejadian ini iaitu pada 14.11.2012 kira-kira jam
6.00 petang Inspektor Mohd bin Mustafa (SP11) telah menerima panggilan
daripada L/Kpl. Fadzly Sham bin Aziz memaklumkan tentang satu peristiwa
seorang lelaki bergelut dengan anggota polis di atas bukit Taman
Sahbandar, Kuantan. SP11 pergi ke tempat kejadian dan mendapati
seorang lelaki (Lelaki Tersebut) yang memakai baju celoreng dalam
8
keadaan meniarap di atas tanah dengan muka berlumuran darah.
Sementara L/Kpl. Fadzly Sham, Kpl. Suhaimi, Konst. Izwan bin Nordin
berada di atas badan Lelaki Tersebut. Lelaki Tersebut ditangkap. SP11
mengambil barang-barang kes daripada Lelaki Tersebut yang
mengandungi 3 beg silang mengandungi beberapa barang kes. Turut
dijumpai berhampiran lelaki tersebut adalah sepucuk senapang buatan
sendiri, sebatang kuku kambing serta sebilah pisau bersarung. Lelaki
Tersebut dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan. SP11
kemudian membuat Report Bentong 5343/12 (P83) tentang penangkapan
dan rampasan barang-barang kes dan diserahkan kepada SP14.
[12] Semasa dalam tangkapan 18.11.2012, SP14 telah mendapatkan
Lelaki Tersebut untuk menandatangani Borang Kebenaran Pemeriksaan
Untuk Mengambil Spesimen Darah Tertuduh seperti di eksibit P88. SP14
telah membawa Lelaki Tersebut ke Hospital Bentong bagi mengambil
spesimen darahnya. Selepas itu SP14 telah menerima satu sampul surat
mengandungi 2 botol spesimen darah milik Lelaki Tersebut yang ber ‘seal’
Unit Perubatan Forensik Hospital Bentong seperti pada Borang Serahan
Spesimen (eksibit P89). SP14 telah menandakan sampul surat
9
mengandungi 2 botol spesimen darah sebagai ‘Y65’ (berlabel “Rabidin
Satir”) berkaitan kes Bentong Report P83.
[13] Pada 19.11.2012, SP14 telah menghantar barang kes hasil
rampasan SP11 dan spesimen darah Tertuduh ‘Y65’ kepada ahli kimia Dr.
Yunaneswari C. Swaran. Resit rasmi penerimaan barang kes telah
dikeluarkan kepada SP14 sebagai P10. Dr. Yunaneswari C. Swaran
mengesahkan kesemua barang kes termasuk sampul bertanda ‘Y65’ yang
diterima dalam keadaan baik.
[14] Dr. Yunaneswari C. Swaran (SP7) telah juga menerima surat
daripada SP14 bertarikh 19.11.2012 (P12) meminta untuk membuat
perbandingan keputusan DNA profil spesimen darah ‘Y65’ dengan
keputusan DNA dalam 7 laporan kimia yang lain termasuklah (PJ)FOR
2565/09-0 (Eksibit P7). Eksibit P7 adalah laporan kimia oleh Pegawai
Kimia, Puan Nor Aidora (SP10) yang dibuat berkait dengan kematian si
mati (Laporan Polis P5).
[15] Setelah menjalankan analisis perbandingannya SP7 mendapati
bahawa profil DNA yang diperoleh daripada spesimen darah ‘Y65’ (berlabel
10
“Rabidin Satir”) adalah berpandangan dengan profil DNA yang diwakil oleh
‘Male 1’ dalam laporan DNA dalam eksibit P7 yang berkaitan dengan
Laporan Polis di P5 mengenai kejadian kematian si mati. Laporan
perbandingan DNA oleh SP7 adalah di eksibit P11. Lanjutan daripada
laporan perbandingan ini pihak pendakwa menghujahkan bahawa Lelaki
Tersebut adalah orang yang sama yang didapati terlibat dalam kes
kematian si mati iaitu perayu. Di atas keterangan DNA itu YA Hakim bicara
menerima hujahan pendakwa raya bahawa perayu adalah orang yang
terlibat dalam kes pembunuhan si mati.
Kes prima facie
[16] Di akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan bawah seksyen 302
Kanun Keseksaan YA Hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah
berjaya menimbulkan satu kes prima facie terhadap perayu. YA Hakim
bicara mendapati segala intipati kesalahan di bawah seksyen 302 telah
terbukti setelah menilai keterangan pihak pendakwa secara maksima,
seperti kehendak seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah dan prinsip-prinsip
yang mantap yang diputuskan di dalam kes Looi Kow Chan v PP [2003] 1
MLJ 734; Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 83 serta PP v Sidek bin
Abdullah [2006] 1 CLJ 314.
11
[17] Intipati pertama bahawa si mati Annie Kok Yin Cheng telah mati, jelas
dibuktikan daripada pengecaman oleh ibunya SP4, dan juga pengesahan
SP8 yang menjalankan bedah siasat ke atas si mati. Pihak pendakwa juga
telah membuktikan kematian si mati adalah akibat bencana tubuh atau
kecederaan tubuh yang dialaminya. Keterangan SP8 menjelaskan bahawa
si mati mengalami kecederaan yang teruk di leher iaitu tetakan atau hirisan
dengan senjata tajam pada leher. Akibatnya salur darah “carotid” dan
“jugular” terpotong yang mengakibatkan kehilangan darah dan
menyebabkan kematian. Adalah jelas mengikut SP8, punca kematian
adalah kecederaan pada leher si mati akibat daripada senjata tajam.
[18] Identiti perayu pula ditentukan melalui perbandingan DNA profil yang
dibuat daripada spesimen darah ‘Y65’ dalam kes Laporan Polis P83
dengan Laporan DNA dalam kes si mati P5.
[19] YA Hakim bicara mendapati profil DNA “Male 1” adalah berpadanan
dengan profil DNA daripada spesimen darah yang diambil daripada Lelaki
Tersebut “Y65” (berlabel “Rabidin Satir”) seperti analisa dan perbandingan
yang telah dijalankan oleh SP7 dan dilaporkan di Laporan Perbandingan
P11. Dengan itu, profil DNA yang terdapat pada barang-barang kes yang
12
dijumpai pada pakaian dan kemaluan serta di paha kiri dan kanan si mati
serta di dalam bilik air tempat kejadian adalah milik (“Male 1” dalam kes
P5) ialah perayu. Melalui keputusan DNA ini adalah jelas terbukti yang
perayu adalah orang yang bersama-sama si mati semasa kejadian.
[20] Mengenai pertuduhan di bawah seksyen 376 pula, SP8 disoal balas
tentang berkemungkinan si mati telah dihiris dahulu atau dicederakan
dahulu sebelum dirogol. SP8 dalam keterangannya semasa disoal balas
mendapati bahawa terdapat kemerahan di bahagian “labia minora” si mati
yang menunjukkan berlaku penetrasi. Ini menunjukkan kejadian rogol baru
berlaku. Keterangan-keterangan tersebut menjurus kepada satu
kesimpulan bahawa kejadian rogol dan membunuh berlaku dalam masa
yang sama.
[21] Berdasarkan keterangan-keterangan DNA yang menemui profil DNA
perayu di pakaian dan dalam kemaluan serta di badan si mati serta
keterangan SP8 menunjukkan bahawa orang yang melakukan rogol adalah
orang yang sama yang melakukan kecederaan menyebabkan kematian si
mati; atas penilaian maksima keterangan-keterangan saksi pendakwaan,
Mahkamah mendapati pihak pendakwa telah berjaya membuktikan satu
13
kes prima facie bagi kedua-kedua pertuduhan terhadap perayu dan
memanggil perayu membela diri. Perayu telah memberikan keterangan
secara bersumpah tanpa mengemukakan saksi-saksi lain.
Kes Pembelaan
[22] Mengikut perayu dia dilahirkan di Limbang Tambunan Indonesia,
datang ke Malaysia melalui ejen pekerja. Beliau kata beliau ditipu oleh ejen
pekerja tersebut. Beliau telah bekerja di berbagai tempat dan seterusnya
perayu pergi ke Bentong dari Kuala Lumpur. Perayu bekerja di
supermarket di Bentong dan kemudian diberhentikan. Perayu selepas itu
memungut tin kosong untuk dijual.
[23] Pada hari sebelum kejadian iaitu 7.3.2009 kira-kira jam 6.00 pagi
perayu berkata beliau telah pergi ke suatu tempat untuk memancing ikan
dan kemudian menjual ikan di bandar. Hasil daripada jualan ikan, perayu
membeli arak dan mabuk dan seterusnya tertidur di kaki lima. Pada waktu
subuh 8.3.2009, perayu dikejutkan oleh seorang penjual sayur berbangsa
Cina berambut hitam dan memakai topi. Menurut perayu tempat yang
beliau tertidur ialah pasar sayur Bentong. Namun perayu tidak mengingati
siapa perempuan Cina tersebut.
14
[24] Perayu seterusnya menceritakan bahawa pada bulan Mac 2009
sewaktu ingin mengambil buah jering, seorang yang tidak dikenali telah
datang membawa kayu dan memukul beliau di bahagian tengkok dan
berlaku pergelutan. Orang tersebut telah duduk di atas badan perayu.
Perayu kata beliau tidak tahu sama ada orang tersebut cedera atau tidak
tetapi perayu selepas itu telah dipukul di kepala sewaktu beliau ditangkap.
[25] Semasa di lock-up, perayu kata beliau telah dipukul, dipijak di
pinggangnya oleh 4 orang polis. Beliau kemudian dibawa ke hospital untuk
rawatan. Menurut perayu juga ingatan beliau mula kurang sejak dipukul di
bahagian kepala.
[26] Perayu berkata tidak mengenali si mati apabila ditunjuk gambar di
eksibit P6(1) dan (2). Katanya beliau tidak pernah nampak dan tidak
pernah pergi ke tempat kejadian seperti dalam gambar di eksibit P8(1), (2)
dan (3). Perayu menafikan merogol si mati, menafikan pernah pecah
masuk ke rumah tersebut pada 7.3.2009 ataupun pada 8.3.2009.
15
Dapatan Hakim Mahkamah Tinggi
[27] Di akhir kes pembelaan YA Hakim bicara mendapati pembelaan
perayu adalah hanya penafian semata-mata. Keterangan perayu tidak
mempunyai apa-apa penjelasan yang munasabah. Perayu hanya
menafikan pernah masuk ke rumah si mati pada 7 dan 8 Mac 2009 dan
seterusnya menafikan merogol si mati serta tidak pernah mengenali si
mati. Dengan itu YA Hakim bicara berpendapat keterangan perayu hanya
satu penafian kosong sahaja. Berdasarkan kes PP v Ling Tee Huat [1982]
2 MLJ 326; PP v Tan Hon Tong [1993] 3 CLJ 232) penafian semata-mata
bukan suatu pembelaan.
[28] YA Hakim juga mendapati tiada apa-apa notis alibi diberikan oleh
perayu kepada pendakwa raya untuk menunjukkan bahawa perayu tidak
berada di tempat kejadian, dan perayu tertidur kerana mabuk dari 7.3.2009
sehingga subuh 8.3.2009. Perkara tersebut juga tidak dibangkitkan oleh
perayu semasa saksi-saksi pendakwa memberikan keterangan. Dengan itu
YA Hakim mendapati pembelaan perayu adalah satu pembelaan yang
berbentuk pemikiran terkemudian (afterthought).
16
[29] Tiada penjelasan juga diberikan oleh perayu tentang bagaimana
terdapat kesan air mani perayu di bahagian kemaluan, pakaian dan paha
kiri dan kanan si mati seperti yang dinyatakan dalam keterangan saksi-
saksi pendakwaan. Kewujudan air mani perayu tersebut juga tidak pernah
dipersoalkan semasa saksi-saksi pendakwaan memberikan keterangan.
[30] Mahkamah juga memerhatikan tingkah laku perayu semasa
memberikan keterangan. YA Hakim mendapati perayu sering mengambil
masa yang lama untuk menjawab sesuatu soalan dan kebanyakan soalan
dijawab dengan “tidak ingat” dan “tidak tahu”.
[31] Dengan itu YA Hakim bicara memutuskan yang keterangan perayu
tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes
pihak pendakwa sebaliknya pihak pendakwa telah berjaya membuktikan
kesnya melampaui keraguan yang munasabah bagi pertuduhan bawah
seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perayu didapati bersalah dan disabitkan
dengan kesalahan bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perayu juga
dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
17
[32] Berhubung dengan pertuduhan kedua di bawah subseksyen 376(4)
Kanun Keseksaan, pihak pembelaan membangkitkan bahawa terdapat
bukti yang menunjukkan perbuatan rogol itu berlaku semasa si mati telah
mati dan merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan Rudy bin Jupri v PP
[2012] MLJU 1447.
[33] Berdasarkan hujahan yang dibangkitkan, YA Hakim bicara merujuk
semula kepada keterangan SP8 semasa disoal balas oleh peguam yang
mengatakan beliau berpendapat berkemungkinan juga si mati disembelih
atau dihiris dahulu kemudian berlaku penetrasi. Oleh itu, Mahkamah
mendapati timbul keraguan sama ada si mati dirogol ketika masih hidup
atau setelah mati. Berdasarkan nas kes Mahkamah Rayuan tersebut, YA
Hakim bicara mendapati telah timbul satu isu yang meragukan kes
Pendakwaan, terhadap pertuduhan bawah seksyen 376(4) Kanun
Keseksaan. Oleh itu, perayu dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan di
bawah seksyen 376(4) Kanun Keseksaan. Keputusan ini tidak dirayukan
oleh pendakwa raya.
18
Rayuan
[34] Walaupun di dalam Petisyen Rayuannya beberapa alasan telah di
kemukakan, di hadapan kami peguam perayu hanya berhujah atas satu
alasan sahaja. Peguam perayu berhujah bahawa terdapatnya keraguan
berkenaan dengan integriti keterangan DNA yang dikemukakan di
Mahkamah. Peguam perayu berhujah atas 3 sebab kenapa laporan DNA
yang disandarkan untuk membuktikan identiti perayu adalah meragukan.
Pertamanya, terdapat kemungkinan yang DNA yang diperolehi pada masa
kejadian tahun 2009 sudah tercemar apabila dibandingkan dengan DNA
yang di perolehi dua tahun kemudiannya iaitu pada tahun 2012. Keduanya
YA Hakim bicara gagal mengambil kira terdapatnya percampuran DNA
yang lain dan seterusnya ada terdapat penyumbang lain yang tidak dapat
dikenal pasti.
[35] Berikutan daripada isu mengenai DNA, peguam perayu berhujah
bahawa tiada keterangan yang benar-benar kukuh untuk mengaitkan
perayu dengan kematian si mati dan tiada bukti kukuh dikemukakan untuk
menunjukkan bahawa DNA yang ditemui semasa kejadian pada tahun
2009 telah disimpan dengan baik dan tidak tercemar. Tiada keterangan
19
berhubung langkah-langkah penyimpanan yang telah diambil oleh Pegawai
Forensik untuk memastikan DNA tersebut terjamin daripada tercemar.
[36] Peguam perayu juga berhujah bahawa terdapat DNA asing yang
ditemui di tempat kejadian yang tidak dapat dikenal pasti. Lagi pun
mengikut peguam laporan P11 ialah laporan yang cacat kerana SP7 hanya
menerima satu sampel sahaja iaitu ‘Y65’ dalam membuat perbandingan
dengan laporan kimia dalam kes P5. Kewujudan banyak penyumbang lain
bagi DNA dan ketiadaan sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian
menambahkan kecacatan pendakwaan kes ini.
[37] YA Hakim bicara di dalam Alasan Penghakimannya juga telah
meneliti isu mengenai perbandingan DNA seperti berikut:
“ [23] Lapuran perbandingan (P11) oleh SP7 adalah boleh diterima
memandangkan ia bertujuan membincangkan profil DNA darah ‘Y65’
(berlabel “Rabidin Satin”) dengan keputusan profil DNA yang
diperolehi dari barang-barang kes yang dianalisa oleh SP10
berkaitan kes ini. Menurut SP7 dan SP10 bahawa perbandingan
DNA darah ‘Y65’ dengan profil DNA “Male 1” dalam lapuran SP10
(PJ)FOR 2365/09-0(P7) adalah tepat. Ketepatan SP10 mendapatkan
20
profil DNA “Male 1” dan profil DNA dari barang-barang kes ini dan
ketepatan SP7 menjalani profil DNA dari darah ‘Y65’ tidak tergugat
dan tidak pernah dicabar oleh pihak peguam. Oleh itu Mahkamah ini
menerima lapuran perbandingan (P11) yang dijalankan oleh SP7.”
Kami bersetuju dengan dapatannya dan tidak ada sebab bagi kami
mengubah satu dapatan berlandaskan alasan yang kukuh.
[38] Mengenai borang kebenaran mengambil darah P88 peguam berhujah
bahawa ia tidak boleh diterima kerana tidak dibuat melalui borang khas
tetapi menggunakan kepala surat Polis Diraja Malaysia. Kami dapati
hujahan ini tidak bermerit. Apa yang pentingnya ialah kebenaran perayu
telah diperolehi untuk mengambil sampel darahnya. Perayu tidak
mencabar yang kebenarannya telah diperolehi. Malah kalau pun
kebenarannya tidak diperolehi dan dihujahkan bahawa keterangan ini di
perolehi secara tidah sah, namun keterangan tersebut masih boleh di
terima asalkan ianya relevan sebagaimana diputuskan di dalam kes Hanafi
bin Mat Hassan v PP [2006] 4 MLJ 134. Tiada cabaran daripada pihak
peguam perayu bagi perkara tersebut di Mahkamah Tinggi.
21
[39] Mengenai hujahan peguam perayu yang kemungkinan spesimen
DNA perayu adalah bercampur, kami dapati isu ini telah juga diberi
penelitian yang terperinci oleh YA Hakim bicara di perenggan 22 Alasan
Penghakiman seperti berikut:
“ [22] Walaupun terdapat satu profil DNA bercampur yang terdiri
daripada profil DNA mangsa dan profil DNA seorang individu yang
tidak dikenali yang bukan dari profil DNA ‘Male 1’ pada baju T-Shirt
bertanda ‘A48’ (eksibit Mahkamah P68(a)) sepertimana yang
dinyatakan dalam analisa SP10, namun berdasarkan keterangan
SP9 yang menyatakan ibu si mati pada 9/3/2009 jam 5.00 petang,
selepas kejadian, telah menyerahkan barang-barang milik si mati dan
pakaian yang digunakan oleh ahli keluarga si mati iaitu termasuk T-
Shirt bertanda ‘A48’, menunjukkan bahawa T-Shirt itu bukan T-Shirt
yang dipakai oleh si mati semasa kejadian. Menurut SP8 baju kemeja
yang dipakai oleh si mati telah diambil semasa bedah siasat
dijalankan dan diserah kepada polis yang kemudian ditandakan
sebagai ‘A23’ (eksibit Mahkamah P18(b)). Menurut SP10 pula barang
kes ‘A23’ ini mempunyai kesan darah si mati. Berdasarkan
keterangan-keterangan saksi SP8 menunjukkan T-Shirt ‘A48’ bukan
pakaian yang dipakai oleh si mati semasa kejadian. Di samping itu
22
dari analisa SP10 terhadap seluar pendek ‘A25’ mendapati terdapat
kesan darah dan kesan air mani yang mana kesan darah itu dari milik
si mati dan kesan air mani milik “Male 1” iaitu Tertuduh. Sementara
itu terdapat kesan air mani milik “Male 1” iaitu Tertuduh pada seluar
dalam ‘A26’ yang dipakai oleh si mati. Dengan kesan air mani
Tertuduh ditemui di seluar dalam dan seluar pendek si mati di
samping kesan air mani Tertuduh ditemui di kemaluan dan paha kiri
dan kanan si mati serta kesan kemerahan dan geselan baru di
kemaluan mangsa dan juga kejadian bunuh serta rogol dilakukan
dalam masa yang sama seperti dijelaskan oleh SP8, menunjukkan
bahawa tiada orang lain selain Tertuduh adalah orang yang terakhir
bersama si mati. Dengan itu keujudan profil DNA orang lain pada T-
Shirt ‘A48’ yang tidak dipakai oleh si mati, tidak menjejaskan kes
pihak pendakwaan…”
[40] Manakala peguam perayu tidak pernah mempersoalkan keujudan
profil asing ini dan tidak pula membangkitkan keujudan orang lain selain
daripada perayu semasa kejadian. Kami setuju dengan dapatan YA Hakim
bicara bahawa keujudan orang lain selain perayu tidak berbangkit sama
sekali. Dengan itu, kami mendapati hujahan perayu terdapatnya DNA
23
bercampur dengan DNA perayu telah dijelaskan dengan teliti oleh YA
Hakim bicara. Kami tidak ada sebab untuk memutuskan sebaliknya
sepertimana yang dikatakan oleh YA Hakim bicara.
[41] Setelah kami meneliti rekod rayuan kami tidak mendapati apa-apa
kekhilafan daripda segi fakta atau undang-undang untuk kami mengubah
keputusan YA Hakim bicara. Di atas keterangan di dalam rekod rayuan
kami dapati sabitan terhadap perayu adalah wajar dan selamat. Kami
dengan itu menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman
oleh Mahkamah Tinggi.
t.t. ROHANA YUSUF Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh: 11 Februari 2016 Peguam Perayu: Puan Suzanawati binti Ismail Tetuan Suzana Ismail & Partners Peguambela dan Peguamcara No.26 Jalan Galena 7/24, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan Peguam Responden: Puan Tetralina binti Ahmed Fauzi Timbalan Pendakwa Raya
Bahagian Perbicaraan & Rayuan Aras 5, No. 45, Lot 4G7 Presint 4, Persiaran Perdana 62100 PUTRAJAYA.
24