bukit besi hangitmyrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1412/1/jwik_1996_bil08... ·...

4
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8 - 1996 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis BUKIT BESI HANGIT Oleh : ALWI SUDIN Pentas Sunda pada masa lima belas ribu tahun dahulu Semenanjung Tanah Melayu terletak di penghujung selatan Tanah Besar Asia. Tataletaknya yang menganjur jauh ke selatan boleh diumpamakan sebagai jambatan yang menghubungkan Tanah Besar Asia dengan pulau-pulau di selatan dan Lautan Pasifik. Justeru demikian, gerakan merantau atau pengembaraan yang merupakan aktiviti tradisi orang-orang purba khususnya dari Tanah Besar Asia ke selatan semuanya terpaksa melalui atau menempuhi Semenanjung Tanah Melayu. Sayugia diingatkan menurut catatan sejarah pada zaman awal dunia kira-kira 15,000 tahun dahulu, pelantar Benua Asia (Pentas Sunda) yang menganjur ke selatan belum dilimpahi air laut yang dalam. Oleh yang demikian, pengembara zaman itu dapat menjelajahi ke pulau-pulau yang bertaburan hanya dengan berjalan kaki terutama pada ketika pada ketika air laut surut. Dan pada sesetengah tempat hanya perlu menggunakan rakit atau batang kayu sahaja. Perlis negeri kecil di utara Semenanjung Tanah Melayu yang terletak di pergentingan merupakan tangkai atau pintu masuk ke negeri-negeri lain di bahagian selatan. Situasi ini telah menjadikan Perlis; negeri kecil terkeutara ini memiliki banyak peninggalan sejarah purba yang telah ditemui. Adalah dipercayai bukan sedikit khazanah purba yang termusnah secara tidak disedari atau sengaja dimusnahkan akibat ketiadaan kesedaran mengenai pentingnya penemuan atau jumpaan dari segi persejarahan dan ada pula yang memusnahkan jumpaan atau penemuan sejarah berpunca daripada kepercayaan dan ketakutan yang menjadi pegangan masyarakat ketika itu. Dan dari maklumat-maklumat awal yang diperolehi dipercayai masih banyak lagi bahan-bahan peninggalan purba yang masih tersorok di celah-celah Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Upload: buicong

Post on 29-Mar-2019

253 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8 - 1996

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis

BUKIT BESI HANGIT Oleh : ALWI SUDIN

Pentas Sunda pada masa lima belas ribu tahun dahulu Semenanjung Tanah Melayu terletak di penghujung selatan Tanah Besar Asia. Tataletaknya yang menganjur jauh ke selatan boleh diumpamakan sebagai jambatan yang menghubungkan Tanah Besar Asia dengan pulau-pulau di selatan dan Lautan Pasifik. Justeru demikian, gerakan merantau atau pengembaraan yang merupakan aktiviti tradisi orang-orang purba khususnya dari Tanah Besar Asia ke selatan semuanya terpaksa melalui atau menempuhi Semenanjung Tanah Melayu. Sayugia diingatkan menurut catatan sejarah pada zaman awal dunia kira-kira 15,000 tahun dahulu, pelantar Benua Asia (Pentas Sunda) yang menganjur ke selatan belum dilimpahi air laut yang dalam. Oleh yang demikian, pengembara zaman itu dapat menjelajahi ke pulau-pulau yang bertaburan hanya dengan berjalan kaki terutama pada ketika pada ketika air laut surut. Dan pada sesetengah tempat hanya perlu menggunakan rakit atau batang kayu sahaja. Perlis negeri kecil di utara Semenanjung Tanah Melayu yang terletak di pergentingan merupakan tangkai atau pintu masuk ke negeri-negeri lain di bahagian selatan. Situasi ini telah menjadikan Perlis; negeri kecil terkeutara ini memiliki banyak peninggalan sejarah purba yang telah ditemui. Adalah dipercayai bukan sedikit khazanah purba yang termusnah secara tidak disedari atau sengaja dimusnahkan akibat ketiadaan kesedaran mengenai pentingnya penemuan atau jumpaan dari segi persejarahan dan ada pula yang memusnahkan jumpaan atau penemuan sejarah berpunca daripada kepercayaan dan ketakutan yang menjadi pegangan masyarakat ketika itu. Dan dari maklumat-maklumat awal yang diperolehi dipercayai masih banyak lagi bahan-bahan peninggalan purba yang masih tersorok di celah-celah

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8 - 1996

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis

batu yang tersembunyi di bawah timbunan tanah di gua-gua batu kapur yang berselerak di seluruh negeri Perlis. Sebagaimana dibuktikan oleh ahli-ahli sejarah bahawa penduduk terawal yang berhijrah ke Semenanjung dan Kepulauan Selatan termasuk Benua Australia adalah terdiri daripada Kaum Negrito. Kaum Negrito masih kekal di Malaysia hingga ke hari ini. Di Kedah dan Perak dikenali sebagai ‘Orang Semang’, manakala di Kelantan dikenali sebagai “Orang Pangah”. Di Kepulauan Filipina, kaum Negrito ini dikenali sebagai “Aetas” dan di Australia, kaum Negrito ini disebut “Orang Hitam”. Kaum terbesar dan utama yang merantau dan menetap di Semenanjung Tanah Melayu selepas kaum Negrito ialah kaum “Mongoloid”. Kaum ini merupakan nenek-moyang orang-orang yang tinggal di Malaysia, Indonesia, Filipina, Taiwan, Kepulauan Easter dan Malagasy. Di Tanah Melayu, kaum ini pada peringkat awalnya dikenali sebagai Orang Jakun, Orang Laut dan Orang Bersisi. Berbalik kepada penemuan-penemuan di gua-gua batu kapur di negeri Perlis, secara umumnya boleh dikategorikan kepada “Zaman Batu Baru” atau “Neolitik”. Hanya satu penemuan di Gua Sami, Bukit Kurung Batang yang menampakkan kehadiran pengaruh Hindu, manakala peninggalan yang ditemui di Gua Bintong, Bukit Chuping pula tergolong di dalam “Zaman Hoabinh” bertarikh antara 5,000 – 10,000 S.M. Dalam rencana pendek ini saya akan cuba ketengahkan penemuan di Gua Gergasi, Bukit Besi Hangit di Mukim Bintong, Perlis. Bukit Besi Hangit merupakan salah sebuah daripada bukit tunggal yang tumbuh di tengah-tengah tanah datar yang luas. Berhampiran dengan bukit tersebut di bahagian timur terdapat sebuah anak sungai yang mengalir masuk ke Sungai Perlis. Pada masa dahulu kawasan ini dipenuhi dengan hutan belantara dan didiami oleh pelbagai binatang buas, unggas dan cengkerik. Kedudukan dan persekitaran Bukit Besi Hangit adalah bersesuaian dan menarik kaum purba menghuni kawasan tersebut. Sungai merupakan keperluan utama bagi orang purba mendapat bekalan air dan menangkap ikan. Bukit Besi Hangit kini terletak berhampiran dengan Jalan Raja Muda dan jarak kira-kira 1 kilometer dari bandar Kangar iaitu ibu negeri Perlis. Persekitaran bukit ini telah dipugar menjadi sawah padi. Terdapat beberapa buah rumah di sebelah timurnya manakala di bahagian barat pula terdapat istana DYTM Tuanku Raja Muda Perlis serta kawasan perumahan. Menurut sumber, bukit ini mendapat namanya ketika Perlis di bawah kekuasaan dan ancaman Siam. Ketika itu, bukit ini merupakan salah sebuah bukit yang menjadi benteng kota yang dibina dari Mukim Kurung Batang ke Bukit Lagi dan terus ke Kampung Nyiur Manis di Utan Aji. Berhampiran dengan bukit ini terdapat “Pintu Kota” untuk keluar masuk. “Pintu Kota” ini terletak di “Kampung Kota” (berhampiran Padang Katong) sekarang. Di kaki bukit yang disebut tadi tinggal seorang tukang besi atau “Pandai Besi” yang menjalankan kerja-kerja membuat alat-alat senjata, pisau, parang dan lain-lain. Kawan-kawan yang berkunjung ke rumahnya sering berkelakar mengatakan “Besi Hangit”: bila melihat tukang besi ini membakar besinya untuk dicanai. Oleh kerana bukit berhampiran belum mempunyai nama maka ada di antara mereka mengaitkan bukit

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8 - 1996

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis

tersebut dengan “Besi Hangit”. Dan akhirnya nama tersebut menjadi serasi dan orang ramai mula menyebut bukit tersebut “Bukit Besi Hangit” dan berkekalanlah sehingga ke hari ini. Ketenangan “Bukit Besi Hangit” sejak zaman berzaman bergegar pada tahun 1985 apabila berita penemuan “Kapak Besi” oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Putra terpapar di muka depan akhbar “Berita Harian”. Lebih kurang jam 12.00 tengah hari, rombongan pengkaji dari Muzium Arkeologi Lembah Bujang tiba di Sekolah Menengah Putra untuk mendapat kepastian dan maklumat lanjut. Kajian ringkas mengenai lokasi gua tersebut dilakukan pada sebelah petangnya; tiada sebarang penemuan baru ditemui.

Di Bukit Besi Hangit ini terdapat dua buah gua, Gua Gergasi tempat lapan bilah kapak batu bersama periuk dan tembikar berkaki ditemui terletak di tengah bukit bahagian sebelah timur iaitu berhampiran dengan sungai. Ukuran gua ini lebih kurang 4 meter memanjang ke dalam, 3 meter lebar dan 2 – 3 meter tinggi, serta terletak setinggi 1.5 dari paras tanah. Di dalamnya terdapat ruang seperti bilik, di bahagian pintu gua terdapat seketul batu yang seolah-olah menjadi pintu bagi menghadang tiupan angin kencang dan binatang buas masuk ke dalamnya. Penemuan kapak batu di Gua Gergasi ini adalah secara kebetulan atau secara tidak sengaja oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Putra yang tinggal berhampiran dengan kaki bukit tersebut. Menurut cerita seorang pelajar, Ahmad Syah, suatu hari beliau dan tiga orang rakannya pergi ke bukit yang hanya lebih kurang 100 meter jaraknya dari rumah mereka tanpa tujuan tertentu. Ketika berjalan-jalan di kaki bukit tersebut mereka ternampak sebuah gua, lalu masuk ke dalam gua tersebut untuk meninjau keadaan di dalamnya. Memandangkan keadaan di dalam gua itu agak gelap, mereka menyalakan api, dan dengan bantuan cahaya api itu, mereka terus masuk ke dalam dan ternampak susunan batu yang menyerupai kapak, sebiji periuk tembikar berkaki terletak di tepi dinding gua.

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8 - 1996

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis

Semua penemuan dibawa pulang tanpa menyedari bahan-bahan tersebut amat berharga dari segi sejarah. Adalah amat malang dan menyedihkan kerana kebanyakan penemuan tersebut telah dimusnahkan. Hanya yang sempat diselamatkan ialah setengah (1 ½) bilah kapak batu. Kapak tersebut telahpun diserahkan kepada Tuan Haji Adi Haji Taha, Kurator Muzium Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Menurut pelajar tersebut kapak yang ditemui tersusun di dinding gua bersaiz besar, kecil, sehingga saiz yang paling kecil. Semasa saya dan Tuan Haji Adi Haji Taha membuat lawatan ke beberapa buah gua di Perlis, kami sempat membuat pemerhatian ringkas di sekitar dan dalam gua tersebut. Dalam pemerhatian itu, kami telah menemui cebisan tulang dagu manusia bersama sebatang gigi. Pihak Muzium Negara berhasrat untuk membuat kajian lanjut serta sistematik termasuk kerja-kerja “Galicari”. Tetapi sayangnya hingga ke saat ini belum lagi dilaksanakan walaupun kawasan Gua Gergasi ini diisytiharkan sebagai kawasan larangan. Diharapkan dengan wujudnya Muzium Negeri Perlis, keaktifan menyelongkar dan membongkar khazanah yang berupa bahan sejarah dapat dipergiatkan agar ia tidak akan musnah dan lenyap begitu sahaja. Menurut pandangan sepintas lalu Tuan Haji Adi Haji Taha ketika saya bersamanya di gua tersebut, beliau berpendapat gua tersebut bukan gua tempat tinggal orang-orang “Neolitik”. Gua tersebut hanya tempat pemujaan dan persemadian mayat. Adalah jelas masyarakat purba yang mendiami kawasan tersebut terdiri daripada “Orang Zaman Batu Baru” peringkat akhir iaitu bertarikh antara 2,000 – 3,000 tahun sebelum Masihi. Ketika itu, kaum ini tinggal di rumah-rumah pondok, bercucuk tanam dan memelihara binatang. Rumah pondok mereka berdekatan dengan sungai bagi memudahkan mereka mengambil air dan menangkap ikan. Akhirnya dapatlah disimpulkan bahawa Bukit Besi Hangit merupakan salah sebuah daripada bukit-bukit di negeri Perlis yang menjadi tumpuan orang zaman Neolitik, Jumpaan awal di Gua Gergasi menguatkan pernyataan di atas. Justeru demikian, adalah diharapkan pengkaji sejarah dan pihak-pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian serius dan membuat kajian selanjutnya. Mudah-mudahan dengan adanya usaha daripada semua pihak yang berkaitan akan bertambahlah koleksi sejarah negeri Perlis. SUMBER

1. Adi Haji Taha Penemuan Artifek Arkeologi dan Bersejarah di Negeri Perlis (kertas kerja).

2. M. Thambirajah. Malaysia dalam Sejarah 1, Federal KL 1977.

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis

Hakcipta Terpelihara © 1996 – Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis