asemen kaunseling

8
1. Kemahiran Melayan Secara umumnya, kemahiran melayan berlaku pada awal sesi iaitu ketika klien menjejakkan kaki di bilik kaunseling. Kaunselor boleh menjemput klien masuk ke dalam bilik dengan cara yang mesra seperti memegang tangan klien. Selain itu, kaunselor juga boleh memberikan senyuman sebagai tanda mengalukan kedatangan klien. Cara layanan kaunselor yang mesra akan menimbulkan perasaan selesa dan selamat dalam diri klien. Namun, kemahiran melayan ini bukan sahaja digunakan oleh kaunselor atau guru pembimbing semata-mata, tetapi sesuai juga digunakan oleh guru biasa dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Penguasaan terhadap kemahiran ini diyakini menyumbang kepada keberkesanan pengajaran guru. Contohnya, Covey (2001) di dalam Mohammad Aziz Shah (2006) menyatakan salah satu elemen di dalam kemahiran tersebut adalah kualiti suara guru. Nada suara dan kelajuan percakapan guru adalah selesa dan mengikut kesesuaian situasi. Kadangkala guru perlu meninggikan suara supaya para pelajar memberi perhatian kepadanya, namun perlu diseimbangi dengan suara yang lebih perlahan pada situasi yang lain agar wujud kemesraan di antara mereka. Selain itu, berdasarkan pendapat daripada Ivey et al. (1993) terdapat 6 komponen yang diberi perhatian dalam sesuatu sesi kaunseling. Komponen tersebut adalah gestur badan, kontak mata,

Upload: farhana-rashid

Post on 23-Dec-2015

221 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

ss

TRANSCRIPT

Page 1: ASEMEN KAUNSELING

1. Kemahiran Melayan

Secara umumnya, kemahiran melayan berlaku pada awal sesi iaitu ketika klien

menjejakkan kaki di bilik kaunseling. Kaunselor boleh menjemput klien masuk ke dalam

bilik dengan cara yang mesra seperti memegang tangan klien. Selain itu, kaunselor

juga boleh memberikan senyuman sebagai tanda mengalukan kedatangan klien. Cara

layanan kaunselor yang mesra akan menimbulkan perasaan selesa dan selamat dalam

diri klien.

Namun, kemahiran melayan ini bukan sahaja digunakan oleh kaunselor atau

guru pembimbing semata-mata, tetapi sesuai juga digunakan oleh guru biasa dalam

menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Penguasaan terhadap kemahiran

ini diyakini menyumbang kepada keberkesanan pengajaran guru. Contohnya, Covey

(2001) di dalam Mohammad Aziz Shah (2006) menyatakan salah satu elemen di dalam

kemahiran tersebut adalah kualiti suara guru. Nada suara dan kelajuan percakapan

guru adalah selesa dan mengikut kesesuaian situasi. Kadangkala guru perlu

meninggikan suara supaya para pelajar memberi perhatian kepadanya, namun perlu

diseimbangi dengan suara yang lebih perlahan pada situasi yang lain agar wujud

kemesraan di antara mereka.

Selain itu, berdasarkan pendapat daripada Ivey et al. (1993) terdapat 6

komponen yang diberi perhatian dalam sesuatu sesi kaunseling. Komponen tersebut

adalah gestur badan, kontak mata, ekspresi muka, mengikuti dan memahami klien,

galakan dalam perbincangan dan elakkan melabel dan menilai. Kesemua komponen ini

juga jika digabungkan dan diaplikasikan dalam proses pegajaran dan pembelajaran di

dalam bilik darjah pasti akan mewujudkan hubungan yang mesra antara pelajar dan

guru. Pendekatan yang digunakan oleh guru tidak seharusnya bersifat mengancam dan

dijadikan satu prosedur rigid yang perlu dipatuhi kerana ia boleh memberi kesan

negative kepada para pelajar.

Page 2: ASEMEN KAUNSELING

2. Kemahiran Mendengar

Proses mendengar memerlukan penumpuan yang lebih kerana boleh memberi

pemahaman yang tepat terhadap sesuatu mesej yang disampaikan dan seterusnya

respon yang diberikan juga bergantung kepada ketepatan mendengar. Proses

mendengar ini sangat penting bukan sahaja kepada guru bimbingan dan kaunselor

malahan kepada guru biasa yang mengajar di dalam kelas. Ia satu proses yang aktif

kerana melibatkan keseluruhan deria mendengar iaitu telinga untuk mendengar, mata

untuk melihat perubahan tingkah laku, hidung bagi menghidu bauan di sekeliling dan

kadangkala deria sentuhan juga digunakan oleh kaunselor atau guru biasa ke atas klien

dan pelajar mereka.

Mengikut Mizan Adilah dan Halimatun Halaliah Mokhtar di dalam Mohammad

Aziz Shah (2006), pemahaman yang tepat hanya dapat diperolehi dengan adanya

pendengaran yang baik. Perkara yang didengari oleh individu biasanya isi, perasaan

dan juga pengalaman. Kemahiran mendengar yang baik di kalangan guru diyakini

mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bukan lagi

sesuatu yang membosankan. Hal ini kerana, murid sentiasa berpeluang melontarkan

sebarang idea dan pendapat dan guru akan mendengarinya. Pelajar akan berasa

bangga, gembira dan dihargai jika pendapat mereka itu didengari oleh guru. hal ini

seterusnya menggalakkan lagi pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam sesi

pengajaran dan pembelajaran yang akan datang.

Di samping itu juga, kemahiran mendengar yang dimiliki oleh guru menunjukkan

keprihatinan mereka kepada keperluan dan kehendak pelajar di dalam kelas. Guru

akan menjadi lebih peka terhadap keadaan pelajar terutamanya jika terdapat pelajar

yang kurang sihat. Guru yang mampu mendengar luahan hati pelajar akan lebih disukai

berbanding guru yang tidak ambil kisah tentang pelajar. Pelajar akan lebih selesa

menceritakan masalah yang dihadapi kepada guru baik masalah akademik mahupun

masalah berbentuk peribadi. Hal ini akan mewujudkan hubungan yang selesa dan

selamat di antara guru dan pelajar.

Page 3: ASEMEN KAUNSELING

3. Kemahiran Menginterpretasi Tingkah Laku

Bagi membina hubungan sama ada antara kaunselor dan klien atau guru biasa dan

pelajar haruslah merangkumi aspek komunikasi bukan lisan. Kemahiran komunikasi

bukan lisan digunakan bagi melengkapkan sesuatu pernyataan yang dikatakan ataupun

hanya bagi menjelaskan sesuatu keadaan. Ia biasanya ditunjukkan melalui ekspresi

muka, sentuhan, gesture, postur dan gerakan anggota badan. Justeru, individu mungkin

boleh menipu semasa komunikasi lisan tetapi tidak di dalam komunikasi bukan lisan

kerana segala kebenaran mampu dipaparkan melalui riak wajah dan tingkah laku

mereka.

Contohnya, dalam kemahiran menginterpretasi tingkah laku ini ekspresi muka

dapat menggambarkan segala perasaan, emosi dan fikiran manusia. Ekspresi muka

membantu menjelaskan mesej yang ingin disampaikan oleh guru ataupun pelajar. Jika

sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran, guru mendapati seorang pelajar hanya

diam dan menunjukkan raut wajah yang muram sudah pasti interpretasi yang mampu di

buat adalah pelajar terbabit mempunyai masalah. Jadi, wajar bagi guru membantu

pelajar menyelesaikan masalah yang di hadapi bukan memarahi mereka kerana tidak

memberi tumpuan semasa pengajaran.

Seorang guru harus bijak dan mahir menginterpretasi tingkah laku pelajar serta

mentafsir komunikasi bukan lisan yang ditunjukkan oleh mereka. Setiap tingkahlaku

yang dipamerkan oleh pelajar akan membawa makna dan maklumat yang tersendiri

bagi membantu menjelaskan sesuatu keadaan. Namun begitu, bukan mudah hendak

memahami semua tingkah laku pelajar kerana bahasa bukan lisan yang ditunjukkan

oleh setiap individu adalah berbeza mngikut budaya, agama dan latar belakang

persekitaran mereka. Ada falsafah yang berbunyi ‘mata merupakan jendela kepada jiwa

dan muka merupakan gambaran kepada hati’ yang bermaksud setiap tingkahlaku

individu akan menzahirkan perkara yang tersirat di dalam diri mereka.

Page 4: ASEMEN KAUNSELING

4. Kemahiran Memberi Tindak Balas

Kemahiran memberi tindak balas dalam komunikasi lisan mahupun bukan lisan adalah

satu kelebihan bagi mewujudkan hubungan yang baik dan menggalakkan penglibatan

masing-masing dalam interaksi tersebut. Kemahiran ini adalah penting bagi seseorang

guru bagi memberi perhatian kepada perasaan dan pernyataan lisan pelajar ketika sesi

kaunseling mahupun dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Seorang guru yang bagus mampu memberikan tindak balas yang positif terhadap

segala maklumat yang diberikan oleh pelajar mereka.

Antara contoh tindak balas yang boleh dilakukan oleh seorang guru ialah

memberikan pujian yang setimpal dan memberikan reaksi seperti anggukan kepala,

tepukan mahupun sekadar senyuman. Banyak faedah yang diperoleh jika seorang guru

mempunyai kemahiran memberi tindak balas ini. Suasana pembelajaran akan menjadi

lebih kondusif dan selesa. Selain itu juga, tindak balas positif dari guru sudah mampu

meminimumkan tekanan yang wujud sepanjang sesi pembelajaran berlaku. Perkara

seperti ini pastinya akan meningkatkan lagi kefahaman terhadap sesi pengajaran dan

pembelajaran seterusnya mampu melonjakkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan

yang mereka hadapi.

Bukan mudah untuk memberi tindak balas yang diharapkan oleh semua pelajar

dalam satu masa, namun guru perlu bijak menanganinya. Pelajar tentu akan gembira

dan memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran guru. Mereka akan melibatkan

diri secara aktif dalam segala aktiviti yang dilaksanakan. Guru yang mempunyai

kemahiran memberi tindak balas juga sudah pasti akan meningkatkan semangat ingin

tahu di kalangan pelajar. Banyak perkara baru yang akan mereka pelajari di mana guru

akan bertindak sebagai pemudah cara. Oleh hal demikian, wajarlah seorang guru

memiliki kemahiran memberi tindakbalas agar potensi pelajar dapat dikembangkan

secara optimum.

Page 5: ASEMEN KAUNSELING

5. Kemahiran Mengenalpasti Masalah

Setiap pelajar mempunyai masalah mereka yang tersendiri. Terdapat pelbagai jenis

masalah pelajar yang boleh diklasifikasikan kepada lima kategori seperti konflik

interpersonal dan intrapersonal, kekurangan maklumat tentang diri dan persekitaran

serta kurang kemahiran. Guru mestilah sentiasa prihatin dan cakna terhadap semua

masalah yang dihadapi oleh pelajar. Antara alat bagi mengenal pasti masalah yang

boleh digunakan oleh guru ialah seperti senarai semak, sosiogram, hasil karya pelajar,

foto, serta audio dan video. Pemerhatian adalah kaedah yang biasa digunakan oleh

guru untuk mengenalpasti masalah di kalangan pelajar.

Kemahiran mengenalpasti masalah harus dimiliki oleh semua guru biasa kerana

memberikan banyak faedah terutamanya sepanjang proses pengajaran dan

pembelajaran berlangsung. Seorang guru yang berkemahiran tinggi dalam

mengenalpasti masalah sudah pasti dapat mewujudkan suasana kelas yang kondusif

dan ceria. Kepekaan guru terhadap masalah pelajar ini dapat mengelakkan berlakunya

masalah yang lebih besar lagi. Contohnya, guru akan mengenalpasti masalah yang

dihadapi oleh pelajar yang sering muram di dalam kelas. Guru akan cuba

menyelesaikannya supaya pelajar tersebut tidak melakukan tindakan yang lebih

memudaratkan masa depannya.

Selain itu, apabila guru mampu mengenalpasti masalah dengan lebih awal

mereka akan lebih bersedia untuk mengahadapi proses pengajaran dan pembelajaran.

Jika guru mendapati masalah yang dihadapi adalah pelajar tidak minat untuk belajar,

maka guru akan menyediakan satu set aktiviti yang lebih menyeronokkan dan

membangkitkan keinginan belajar di kalangan pelajar. Mungkin kaedah berpusatkan

pelajar akan digunakan supaya semua pelajar dapat melibatkan dir secara aktif.

Page 6: ASEMEN KAUNSELING

RUMUSAN

Kemahiran asas kaunseling ini mungkin lebih mengutamakan pengaplikasian

sepanjang proses kaunseling berlaku. Namun, masih wujud persamaan di antara situasi

berlakunya sesi kaunseling dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Oleh hal demikian, wajar bagi seorang guru memiliki kemahiran ini sebagai salah satu

kelebihan yang sangat berguna. Perbincangan di atas serba sedikit menceritakan

faedah yang diperolehi oleh guru dan pelajar jika kemahiran asas kaunseling diguna

pakai semasa di dalam kelas.

Banyak lagi faedah yang mungkin dirasai oleh guru dan pelajar impak

menggunakan kemahiran asas kaunseling ini secara langsung atau tidak. Namun, guru

perlu bijak menyesuaikannya dengan situasi di dalam kelas serta mengikut tahap

kognitif, psikomotor dan afektif pelajar. Pengaplikasian kemahiran-kemahiran ini secara

berkesan diyakini dapat memberi kesan positif kepada pencapaian pelajar mahupun

guru terbabit. Oleh itu tiada ruginya guru biasa memiliki kelebihan ini walaupun tidak

mungkin berperanan sebagai guru kaunseling atau guru pembimbing yang terlatih.