ulasan dan analisis artikel
Post on 30-Jul-2015
2.479 Views
Preview:
TRANSCRIPT
ULASAN DAN
ANALISIS ARTIKEL :KSSR kurangkan tekanan
peperiksaan, bina modal insan
berkesan
1
1.0 PENGENALAN
Pada tahun 2020, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju
mengikut acuan sendiri dengan mencapai kemajuan yang seimbang dari aspek
ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Di peringkat negara, Misi
Nasional (2006-2020) telah dirangka bagi mencapai wawasan dan matlamat
negara maju (KPM, 2006). Misi Nasional (MN) mengandungi lima teras yang
menekankan pembangunan modal insan sebagai pendekatan utama bagi
melonjak Malaysia ke status negara maju.
Di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pula, Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah dirangka dan dilancarkan pada bulan
Februari 2007 yang bertujuan menjadi landasan utama pembangunan sistem
pendidikan negara dengan menggariskan strategi pelaksanaan, pelan tindakan
dan indikator pencapaian bagi membangunkan modal insan. Jelas sekali dapat
dilihat bahawa wujud keseiringan antara strategi KPM dengan aspirasi Misi
Nasional dalam agenda membangunkan modal insan. Berdasarkan kertas kerja
pembentangan Teras 2 bertajuk Membangun Modal Insan yang dibentangkan
Pengarah Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM), Ali Ab Ghani di Konvensyen Nasional Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) KPM, pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak
bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran yang tinggi bagi
penyediaan guna tenaga dalam pelbagai sektor pekerjaan. Kelangsungan hasrat
ini telah membawa kepada pembangunan strategi bagi menerapkan pelbagai
jenis kemahiran merangkumi kemahiran komunikasi berkesan, berkebolehan
menggunakan ICT dengan baik, keupayaan berfikir secara kreatif dan kritis serta
keupayaan menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.
Menyedari pembangunan modal insan merupakan aset penting untuk
membangunkan negara ke arah mencapai sasaran status negara maju, KPM
melalui Teras 2 PIPP (2006-2010) telah merangka cadangan transformasi
2
kurikulum pendidikan prasekolah dan sekolah rendah yang berorientasikan
kurikulum. Memetik kata-kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam
Perutusan Hari Guru 2011, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku.
Hal ini kerana perubahan dan perkembangan dalam masyarakat sentiasa
berjalan seiring dengan perkembangan dunia semasa. Justeru, bagi menjana
satu sistem pendidikan berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik dan
relevan dengan kehendak semasa atau masa akan datang kerana kurikulum
merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan
datang.
Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah telah
mendapat kelulusan mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada
2 Oktober 2009. Justeru, KPM telah membangunkan Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK). Berdasarkan FPK, pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha
berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Sehubungan dengan dasar yang telah ditetapkan oleh KPM, satu surat
pekeliling ikhtisas telah dikeluarkan ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2010 ini bertujuan untuk
memaklumkan tentang pelaksanaan KSSR di semua sekolah bermula pada
tahun 2011. KSSR akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan
Tahun 1 (Harian Metro, 8 April 2011). Menurut Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, KSSR tidak akan menggantikan tetapi
beriringan dengan KBSR.
KSSR yang diperkenalkan ini merupakan transformasi yang dilakukan
Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding
3
piawaian global (Berita Harian, 30 Januari 2011). KSSR mengambil kira cabaran
abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini serta
mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara
maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan yang dilaksanakan adalah memberi
penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan
menaakul. Pembaharuan lain yang diperkenalkan adalah Sistem Pentaksiran
Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang mempunyai matlamat khusus dalam
membangunkan pendidikan di Malaysia.
2.0 PERKEMBANGAN
Peperiksaan merupakan kaedah utama yang digunakan untuk mengukur
pencapaian pelajar dalam sistem pendidikan di Malaysia untuk tempoh lebih
daripada 50 tahun (Rohaya Talib, 2009). Justeru, isu pendidikan berorientasikan
peperiksaan sering dibincangkan oleh masyarakat sejak kebelakangan ini.
Pelbagai masalah dan isu yang timbul ekoran daripada pelaksanaan sistem
pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan. Sebagai contoh, artikel
bertajuk Penipuan UPSR Memalukan yang ditulis oleh Mohd Azmi Abdul Hamid
dalam laman web Malaysiakini.com adalah berkisarkan tentang dakwaan 10
orang murid tahun lima yang telah dipaksa menduduki UPSR bagi pihak murid
lain di sebuah sekolah kebangsaan di Kedah. Sekiranya peristiwa ini benar-
benar berlaku, ianya merupakan satu perkara yang amat memalukan kepada
dunia pendidikan. Mengulas kepada isu tersebut, salah satu punca berlakunya
kejadian seumpama itu adalah ekoran daripada sistem pendidikan yang terlalu
berorientasikan pendidikan (Utusan Malaysia, 30 Januari 2004). Pelajar yang
berjaya memperoleh keputusan cemerlang atau lebih tepat lagi mempunyai lebih
banyak bilangan A dianggap sebagai pelajar yang berjaya. Memandangkan
betapa pentingnya peratus lulus yang tinggi bagi sekolah, guru dan pentadbir
sekolah sanggup melakukan apa sahaja untuk meningkatkan prestasi murid
sehingga tercetusnya isu penipuan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR).
4
Selain itu, terdapat pelbagai lagi masalah yang timbul membabitkan
institusi pendidikan seperti insiden pelajar bunuh diri kerana gagal mendapat
keputusan yang baik dalam peperiksaan, mahasiswa bunuh diri kerana tidak
dapat kursus pilihannya, kakitangan jabatan yang menjual dan membocorkan
soalan peperiksaan, sekolah yang mengurung pelajar lemah agar tidak
mengambil peperiksaan untuk memastikan pencapaian sekolah tidak terjejas
serta mahasiswa yang sanggup membeli sijil untuk mendapat peringkat sarjana
di universiti (Malaysiakini, 4 Februari 2004).
Menurut Adi Badiozaman (The Star, 27 May 2007), peperiksaan dikatakan
membunuh keseronokan dan kemeriahan alam persekolahan sehingga
bersekolah disamaertikan dengan belajar untuk menghadapi peperiksaan.
Pendapat ini bertepatan dengan kata-kata Dr. Jamil Adimin dari Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) yang dipetik dalam Portal Pendidikan Utusan
bahawa peperiksaan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar
tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang
dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan.
Murid-murid dikatakan belajar dan guru-guru mengajar mengikut kurikulum
hanya untuk menghadapi peperiksaan.
Di samping itu, sistem peperiksaan juga menyebabkan kematangan
pelajar terhad, kelihatan jumud dan pelajar kurang kemahiran tambahan.
Kenyataan ini telah disokong oleh Ketua Pusat Kajian E-Komuniti, University
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Norizan Abdul Razak. Tambah
beliau, rata-rata pelajar hanya akan mempunyai motivasi sewaktu menjelangnya
musim peperiksaan. Menurut Prof Dr. Sidek Baba dalam artikel beliau bertajuk
‘Sistem Pendidikan Negara Perlu Transformatif’ yang dipetik dari Majalah
Pendidik Bil 59 / April 2009, pendidikan bukan sekadar pembelajaran yang diukur
kecapaiannya dengan peperiksaan semata-mata. Peperiksaan adalah satu cara
bagaimana akal dan upaya berfikir manusia diukur dan ia tidak menjadi titik akhir
dalam mengukur kecemerlangan yang sifatnya holistik.
5
Ekoran timbulnya masalah serta rungutan dan dakwaan pelbagai pihak
bahawa sistem pendidikan negara terlalu berpaksikan peperiksaan, maka
kerajaan melalui KPM telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan satu
pendekatan baru dalam bidang pendidikan yang juga sebahagian daripada
Program Transformasi Pendidikan. Pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan
Kebangsaan (SPPK) merupakan salah satu pembaharuan yang diperkenalkan
dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Ia merupakan langkah bijak
yang diatur kerajaan bagi menangani isu sistem pendidikan di Malaysia yang
terlalu mengutamakan peperiksaan. SPPK yang berfokus untuk memantapkan
sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik telah merencana tiga
strategi perubahan iaitu menyediakan pentaksiran alternatif, mengkaji semula
sistem pentaksiran berorientasikan peperiksaan dan memantapkan kualiti sistem
pentaksiran dan penilaian. Matlamat SPPK ini ialah untuk mengurangkan
tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan
serta membina modal insan dengan lebih berkesan
KSSR yang telah dilaksanakan tahun ini telah mendatangkan impak positif
terhadap dunia pendidikan. Pelaksanaan kurikulum ini telah menerima maklum
balas yang positif daripada para guru dan ibu bapa, yang antara lain menyatakan
bahawa proses pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan KSSR telah
berjaya meningkatkan minat murid untuk belajar bahasa Inggeris (Utusan
Malaysia, 25 September 2011). Transformasi yang dilaksanakan kerajaan ini
disifatkan sebagai langkah tepat bagi melahirkan modal insan holistik (Utusan
Malaysia, 19 April 2009). Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr. Zainal Kling, transformasi ini memberi
peluang yang seimbang kepada pelajar terutamanya mereka yang kurang
cemerlang dalam akademik untuk menonjolkan diri dalam aspek kepimpinan,
sahsiah diri dan komunikasi. Di samping itu, Prof Madya Dr. Norizan Abdul
Razak turut memuji langkah transformasi itu dengan menyatakan bahawa sistem
pendidikan yang tidak berorientasi sepenuhnya peperiksaan mampu
6
memperkasa pelajar dalam aspek kemahiran tambahan dan melahirkan pelajar
yang bermotivasi sepanjang masa.
Disebalik maklum balas positif yang diterima, terdapat juga beberapa
pihak yang kurang menyokong dengan dasar KSSR yang diperkenalkan
kerajaan ini. Menurut Dr. Jamil Adimin dari LPM dalam penulisan beliau bertajuk
Peperiksaan Vs Pentaksiran, rata-rata peserta Seminar Sistem Pentaksiran
Kebangsaan yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat pendidik,
pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan serta parti politik tidak bersetuju
dengan pemansuhan peperiksaan berpusat iaitu UPSR, PMR dan SPM. Mereka
bersepakat menyatakan bahawa peperiksaan perlu ada dan menganggap
penekanan kepada peperiksaan atau exam oriented hanya merupakan persepsi
masyarakat sahaja. Di samping memberi ulasan positif terhadap transformasi
pendidikan yang dijalankan oleh kerajaan, Dekan Fakulti Sastera dan Sains
Sosial UM, Prof Datuk Dr. Zainal Kling turut mengingatkan bahawa Kementerian
Pelajaran perlu memberi tumpuan yang khusus kepada sekolah-sekolah luar
bandar agar transformasi yang dilaksanakan tidak akan memberi kesan negatif
kepada pelajar di pedalaman. Menurut beliau, sistem baru ini adalah baik namun
berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, pelajar di sekolah luar bandar
sering menjadi mangsa setiap kali pembaharuan dalam bidang pendidikan
dilaksanakan.
7
3.0 IMPLIKASI
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak
sama ada dalam akhbar harian, majalah mahupun blog-blog rasmi tentang isu
pelaksanaan KSSR bagi mengurangkan tekanan peperiksaan, terdapat
beberapa implikasi yang dilihat mendatangkan manfaat kepada para pendidik
selaku penggerak sistem pendidikan negara. Jika sebelum ini sistem pendidikan
di Malaysia terlalu berpaksikan peperiksaan, kini Kementerian Pelajaran sedang
giat menjalankan usaha bagi memastikan sistem pendidikan kurang
berorientasikan peperiksaan (Utusan Malaysia, 4 Februari 2004). Pelaksanaan
SPPK dilihat mampu mengatasi isu yang timbul di mana sistem ini bertujuan
untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik.
Perkataan holistik diistilahkan sebagai bersifat saling berkait antara satu sama
lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh dan bukan sekadar
menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja. Justeru, lima bentuk pentaksiran yang
wujud di bawah pelaksanaan SPPK merupakan pentaksiran menyeluruh yang
terdiri daripada pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran
sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat.
Pentaksiran berasaskan sekolah yang bersifat holistik dianggap
berkemampuan untuk menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani)
dan psikomotor (jasmani) selaras dengan FPK dan KSSR. Berdasarkan
pelaksanaan sistem pentaksiran di peringkat sekolah, guru-guru telah memberi
tindak balas yang positif. Hal ini kerana pembaharuan yang diperkenalkan telah
mendatangkan impak positif terhadap bidang tugas guru dalam mendidik dan
memantau perkembangan murid. Menerusi pembaharuan ini, guru akan
merekodkan segala kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi
persekolahannya dalam bentuk portfolio. Antara maklumat yang akan disimpan
dalam portfolio murid ialah hasil kerja mereka serta dokumen-dokumen yang
berkaitan dengan ujian dan peperiksaan yang dijalani oleh murid. Langkah yang
8
dijalankan ini akan membolehkan guru memantau segala perkembangan murid
dan sebagai rujukan kepada pihak ibu bapa dan guru itu sendiri.
Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan portfolio atau sistem fail
akan membantu guru dalam memudahkan tugas mereka untuk menyemak rekod
pembelajaran murid yang telah disimpan. Kaedah pendokumentasian yang betul
dan tersusun akan mewujudkan sistem pengumpulan hasil kerja murid yang
lebih sistematik dari sebelumnya. Tambahan lagi, dokumen-dokumen yang telah
disimpan dapat menjadi bukti kepada setiap perkembangan murid sepanjang
tempoh pembelajarannya di sekolah.
Seterusnya, pendekatan baru yang diperkenalkan ini juga membolehkan
guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur. Kenyataan ini telah
disokong oleh Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Li.
Murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam
masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi
diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Guru tidak dibenarkan membuat
perbandingan dalam kalangan murid dan meletakkan skala yang menunjukkan
kedudukan mereka seperti yang pernah digunakan sebelum ini. Melalui
pengenalan dan dasar pelaksanaan KSSR, guru akan mengukur tahap
pembelajaran murid menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan
tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.
Dalam pada itu, penggunaan band seperti yang telah ditetapkan akan
memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang
kebolehan murid dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di
dalam kelas serta mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan yang
dihadapi murid. Keadaan ini adalah selaras dengan tujuan sistem ini
diperkenalkan iaitu untuk membantu guru mengenalpasti kekuatan dan
kelemahan murid semasa proses P&P berlangsung.
9
4.0 CADANGAN
Seiringan dengan senario yang telah dibincangkan berkaitan sistem
pendidikan Malaysia berpaksikan peperiksaan dan pelaksanaan KSSR bagi
mengatasi isu ini, terdapat cadangan daripada beberapa pihak bagi memastikan
pelaksanaan dasar kerajaan ini mampu dilaksanakan dengan lebih kukuh lagi.
Dalam bidang pendidikan, untuk menjana pendidikan yang berkualiti, sasarannya
bukan sahaja tertumpu kepada golongan murid tetapi juga termasuk para guru.
Untuk melaksanakan transformasi kepada murid, guru terlebih dahulu harus
ditransformasikan. Kenyataan ini turut disokong oleh Professor Emeritus Tan Sri
Dr. Khoo Kay Kim yang menegaskan bahawa kerajaan perlu melakukan
perubahan kepada guru-guru terlebih dahulu. Bagi menjayakan transformasi
dalam pendidikan, ia banyak bergantung kepada komitmen yang dimainkan oleh
para guru. Menurut beliau, guru seharusnya ditransformasi terlebih dahulu agar
mereka boleh menjadi pendidik dan bukannya sekadar tenaga pengajar bagi
membolehkan murid lulus dalam peperiksaan. Stiggins (1995) dalam Rohaya
Talib, 2009 menegaskan bahawa ketidakjelasan guru dalam memahami dan
menterjemah maksud dan visi kecemerlangan akademik sebenarnya akan
membantutkan usaha membantu murid ke arah mencapai visi tersebut. Justeru,
guru perlu diterapkan dengan elemen sahsiah diri dan kemahiran tambahan
terlebih dahulu bagi memastikan dasar yang telah dirangka dapat terlaksana
dengan baik. Jika tidak, transformasi bagi melahirkan insan holistik seperti yang
digembar-gemburkan oleh kerajaan pasti sukar untuk direalisasikan.
Sementara itu, sistem atau dasar yang telah diperkenalkan seperti KSSR,
SPPK dan PBS harus dilaksanakan dengan baik dan terancang supaya dapat
mewujudkan persekitaran pendidikan yang harmonis dalam usaha
membangunkan perkembangan individu murid dan mendatangkan banyak
manfaat serta mampu mengurangkan beban tugas guru.
10
5.0 RUMUSAN
Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian bertajuk ‘KSSR
mengurangkan tekanan peperiksaan, bina modal insan berkesan’ serta
perbincangan mengenai isu ini oleh pelbagai pihak, secara keseluruhannya saya
berpendapat bahawa transformasi pendidikan yang direncanakan oleh kerajaan
khususnya pihak Kementerian Pelajaran dalam usaha meletakkan Malaysia
sebagai sasaran sebuah negara maju merupakan langkah yang bijak dan
cemerlang. Sesuai dengan pandangan Menteri Pelajaran Malaysia, Yang Amat
Berhormat Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin bahawa matlamat transformasi
pendidikan adalah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan
menyediakan peluang seluas-luasnya supaya matlamat akhir pendidikan ialah
melahirkan generasi ulul albab mampu dicapai dan seterusnya mengisi
keperluan pembangunan negara.
Konklusinya, saya bersetuju dengan pelaksanaan dasar yang
dikemukakan oleh kerajaan kerana ia dilihat membawa satu anjakan paradigma
kepada dunia pendidikan di Malaysia. Walaubagaimanapun, saya melihat
pelaksanaan KSSR ini perlu diperkukuhkan lagi dengan lebih terancang dan
sistematik supaya matlamat akhirnya dapat melahirkan generasi yang
berkembang secara holistik dan menyeluruh serta memberi manfaat bukan
sahaja kepada murid malahan kepada warga pendidik itu sendiri. Pada masa
yang sama, warga pendidik atau golongan guru juga perlu diperkemaskan lagi
dari segi komponen amalan nilai profesionalisme guru, pengetahuan dan
kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran seperti yang
terkandung dalam Standard Guru Malaysia (SGM) yang menjadi rujukan dan
panduan piawaian kualiti guru. Kenyataan ini adalah selaras dengan pandangan
Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim bahawa guru perlu ditransformasi
terlebih dahulu. Keberhasilan sesuatu sistem adalah bergantung kepada
komitmen yang dimainkan oleh penggerak sistem itu sendiri.
11
REFLEKSI
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana
dengan limpah dan kurnianya dapat juga saya menyiapkan kerja kursus yang
diberikan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Berdasarkan kehendak soalan bagi tugasan EDU 3108 yang telah
diedarkan, saya dan rakan-rakan dikehendaki mengulas dan menganalisis satu
artikel berkaitan dunia keguruan. Kehendak tugasan ini amat menepati dan
berkait rapat dengan dunia pendidikan kini yang semakin mencabar dari semasa
ke semasa. Pelbagai isu yang berkait dengan guru dan keguruan sering
dibincangkan melalui media massa. Setelah membuat penelitian terhadap isu
semasa kini, saya memilih untuk menganalisis dan mengutarakan pendapat
berkaitan artikel yang dipetik dalam akhbar Berita Harian bertarikh 30 Januari
2011 yang bertajuk ‘KSSR kurangkan tekanan peperiksaan, bina modal insan
berkesan’.
Melalui pembacaan saya terhadap artikel yang dipilih, secara jujurnya ia
amat menguji pengetahuan saya terhadap isu-isu semasa dalam dunia
pendidikan seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Sistem
Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Saya bukanlah seorang individu
yang terlalu mengambil berat tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam
dunia pendidikan. Justeru, artikel yang dipilih ini amat mencabar buat saya. Saya
menghadapi masalah untuk memahami, mengulas dan menganalisis artikel
tersebut. Saya juga kurang arif untuk menyusun atur isi-isi dalam esei yang
ditulis. Masalah yang dihadapi ini bukanlah penghalang buat saya untuk
menyiapkan tugasan yang diberikan. Saya telah mengambil beberapa inisiatif
untuk mengatasinya. Antara langkah-langkah yang telah saya lakukan untuk
menyelesaikan masalah ini ialah dengan mengadakan perbincangan bersama
rakan-rakan sekelas bagi mendapatkan pendapat dan cadangan daripada
12
mereka. Perbincangan yang dijalankan bukan sahaja dapat memberi kefahaman
dan penjelasan mengenai isu yang dipilih malahan dapat menjana idea-idea
baru. Selain itu, saya juga telah cuba mendapatkan maklumat-maklumat
tambahan daripada buku dan laman web sebagai bahan sokongan untuk
tugasan ini. Pada masa yang sama, saya turut berjumpa dengan pensyarah
pembimbing untuk berbincang bagi mendapatkan pendapat dan bimbingan
daripada beliau. Setiap tindakan yang telah saya jalankan telah banyak
membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini.
Dalam melaksanakan tugasan ini, terdapat beberapa cabaran yang perlu
saya hadapi seperti masalah kekurangan sumber. Seperti yang kita sudah sedia
maklum, KSSR merupakan antara isu terbaru dalam kurikulum bagi 2 tahun
kebelakangan ini. Jadi, sumber rujukan yang saya peroleh adalah agak terhad
kerana saya banyak bergantung kepada internet dan akhbar. Namun, masalah
ini dapat diselesaikan apabila saya cuba mendapatkan maklumat dalam
beberapa laman web rasmi. Selain itu, cabaran kedua yang saya hadapi ialah
tugasan menghasilkan sebuah blog sebagai satu ruang laman ilmu. Kemahiran
membina blog bukanlah satu kemahiran yang mudah kerana ia merupakan
proses pembelajaran yang memerlukan daya usaha yang tinggi. Selain itu,
membina sebuah blog juga memerlukan kesabaran yang tinggi dan ia
merupakan proses cuba jaya supaya blog yang dihasilkan kelihatan kemas dan
mudah dibaca oleh para pembaca. Secara individu, tugasan menghasilkan blog
ini tidak terlalu membebankan saya kerana saya juga pernah mempunyai blog
peribadi. Justeru, kemahiran dan ilmu yang dimiliki dapat membantu saya dalam
tugasan ini. Bagi menepati kehendak tugasan ini, saya dan rakan-rakan telah
mengadakan perbincangan untuk menghasilkan sebuah blog yang sesuai. Kami
juga ada merujuk kepada blog-blog yang lain untuk melihat bagaimana
menghasilkan sebuah laman ilmu yang baik dan sesuai. Hasilnya, blog bagi
kumpulan saya dapat dihasilkan dan berjaya memuatkan esei untuk ahli
kumpulan saya.
13
Tugasan yang diberikan dalam subjek EDU 3108 ini telah memberi ilmu
baru buat saya. Saya dapat mempelajari cara-cara untuk menghasilkan sebuah
penulisan ilmiah yang betul di mana setiap penulisan perlu disokong oleh rujukan
ilmiah. Di samping itu, saya juga memperoleh kemahiran baru iaitu dapat
membina sebuah blog. Walaupun saya sudah mempunyai blog peribadi, namun
ia tidak sama kerana blog yang perlu dibina lebih kepada satu ruangan laman
ilmu. Hal ini amat bertepatan dan sesuai buat saya sebagai seorang bakal
pendidik kelak.
Secara keseluruhan, dapat disimpulkan bahawa tugasan ini amat
bermanfaat dan berfaedah kepada saya. Ulasan dan analisis terhadap artikel
berkaitan isu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah banyak
membantu dan menambahkan ilmu pengetahuan saya. Pengetahuan ini akan
membantu saya untuk digunakan apabila berada di sekolah kelak supaya saya
tidak akan menjadi seorang guru yang cetek ilmu mengenai dunia pendidikan.
Selain itu, proses pembelajaran mengenai penghasilan blog juga telah banyak
membantu saya. Blog seperti ini dapat digunakan kelak sebagai satu ruang
untuk berkongsi ilmu dengan pembaca-pembaca di internet. Ia juga akan
menjadikan kita sebagai seorang guru yang mengintegrasikan teknologi ICT
dalam dunia pendidikan selaras dengan perkembangan teknologi kini.
Akhir kalam, saya sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk
menimba pengalaman yang sangat berharga ini. Saya berharap kerja kursus
yang telah saya siapkan ini bukan sahaja memberi faedah kepada diri saya
sendiri namun juga kepada sahabat-sahabat serta individu yang lain. Semoga
perkongsian ilmu ini mendapat restu dan keredhaan dari Allah s.w.t. InsyaAllah.
Sekian, wassalam...
Disediakan oleh:
Nurul Hana bt Daud
890711-14-5060
14
BIBLIOGRAFI
BUKU:
Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan
Pedagogi Pendidikan. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A.
Majid. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor Darul Ehsan: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.
Prof Dr Sidek Baba. Sistem Pendidikan Negara Perlu Transformatif. Majalah
Pendidik Bil 59 / April 2009.
Rohaya Talib. (2009). Pembinaan Dan Pengesahan Ujian Literasi Pentaksiran.
Diakses dari http://eprints.utm.my/13641/7/RohayaTalibPFP2009CHAP1.
Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. (2011). Kuala Lumpur: Institut Terjemahan
Negara Malaysia.
6 Tunjang Transformasi Kurikulum Kebangsaan. Kertas Kerja Pembentangan
Teras 2 PIPP oleh Ali Ab Ghani. Majalah Pendidik Bil 59 / April 2009.
15
SUMBER INTERNET:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/
KSSRkurangkantekananpeperiksaan_binamodalinsanberkesan/Article/
index_html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0130&pub=utusan_malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm&arc=hive
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120806/pe_01/Pentaksiran-secara-holistik
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm
http://sppkkedah.blogspot.com/2009/10/peperiksaan-vs-pentaksiran.html
http://www.tutor.com.my/dunia.asp?y=2010&dt=0112&pub=DuniaPendidikan&sec=Isu_Semasa&pg=is_01.htm
http://www.malaysiakini.com/letters/26994
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/1287978975.pdf
http://kssr.bpk.my/
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
16
top related