refleksi
Post on 21-Dec-2015
222 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
REFLEKSI KENDIRI-PROGRAM SINGGAH RAMADHAN
NUR RASYIDAH BT. BUJANG
910404-13-6020
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan
kurniaNya akhirnya kami dapat juga melaksanakan tugasan projek kami iaitu
“Program Singgah Ramadhan” yang telah diadakan pada 27 Julai 2013 bertempat di
Kampung Empila, Kota Samarahan. Projek ini merupakan projek persatuan kami
iaitu Persatuan Pendidikan Islam, di bawah bimbingan Ustazah Musliha Bt Ismail.
Pada awalnya, kami telah memilih untuk menjalankan program ini di
Kampung Tanjung Tuang. Namun, terdapat sedikit kekangan yang menghalang
kami untuk melaksanakan program ini di kampung tersebut. Setelah berbincang
bersama pensyarah dan rakan-rakan yang lain, akhirnya kami bersetuju untuk
memilih Kampung Empila sebagai pusat di mana kami akan melaksanakan program
ini. Kemudiaannya, kami mula membuat kertas kerja untuk diserahkan dan
diluluskan oleh pengarah serta mendapatkan kenderaan iaitu bas maktab untuk ke
sana kelak. Ketua kampung juga telah dimaklumkan mengenai kehadiran serta
tujuan kami datang ke kampung berkenaan.
Pada 27 Julai yang lepas, seawal jam 2.30 petang, kami berkumpul beramai-
ramai di Pusat Islam IPGKTAR untuk mendengar taklimat terakhir daripada
pensyarah pembimbing. Kemudian, kami mengangkat segala barang yang telah
disediakan ke dalam bas untuk di bawa ke Kampung Empila. Saya merasa sangat
bersyukur dan gembira kerana kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan
sangat memuaskan. Usai memindahkan segala barang ke dalam bas, kami
kemudiannya bertolak menuju ke Kampung Empila. Akan tetapi, bas yang
membawa barangan tersebut perlu bergerak menuju ke kedai runcit kerana beras
belum dibeli. Manakala, kami bertolak lebih awal ke kampung berkenaan
memandangkan kami menggunakan kenderaan sendiri. Setibanya di kampung, kami
dapati ramai penduduk kampung telah tiba di Masjid As-Sabirin Kampung Empila
tersebut. Mereka telah tiba seawal jam 2.30 petang lagi kerana ada di antara mereka
tinggal jauh dari kawasan masjid.
Sambil menunggu kedatangan bas, kami beramah mesra dengan penduduk
kampung untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Mereka semuanya
sangat peramah dan mudah di ajak berbual. Kemudian, pada jam 4.00 petang, baas
kami tiba di perkarangan masjid. Tanpa melengahkan masa, kami segera
mengeluarkan semua barang dari dalam bas ke dalam masjid. Sebelum memulakan
majlis, kami solat asar berjemaah terlebih dahulu. Usai solat berjemaah, kami
memulakan majlis penyerahan barang sumbangan kepada pihak kampung di mana
majlis ini telah bermula kira-kira jam 5.00 petang. Kelihatan penduduk sangat
gembira menerima barangan sumbangan tersebut. Saya merasa terharu melihat
kegembiraan yang terpancar dari wajah mereka menerima sumbangan tersebut.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, begitulah pepatah yang dapat
menggambarkan perasaan saya ketika itu. Kira-kira dalam jam 5.30 petang, majlis
kami selesai. Penduduk kampung bersurai dengan membawa segala barangan
mereka. Namun, terdapat juga dalam kalangan mereka yang datang ke masjid
berjalan kaki. Maka, dengan rasa tanggungjawab, saya dan rakan dengan sukarela
membantu mereka untuk menghantar mereka ke rumah. Kelihatan rumah mereka
sangat dhaif jika hendak dibandingkan dengan rumah saya. Rasa kasihan mula
menyelubungi hati saya apabila melihat kesusahan hidup mereka yang hanya hidup
bergantung kepada pendapatan dari kebun-kebun sayur dan buah-buahan mereka.
Kegembiraan anak-anak kecil menyambut kedatangan ibu bapa mereka dengan
membawa barang berbentuk makanan juga turut menggamit rasa kasihan dari lubuk
hati saya.
Program ini telah memberi saya beberapa kesedaran melalui kekuatan
pelaksanaannya. Antaranya ialah, melalui program ini, kami berpeluang untuk
mengenali orang-orang kampung yang berdekatan. Kami mampu beramah-mesra
dengan mereka untuk mengenali latarbelakang keluarga mereka dengan lebih baik.
Selain itu, kami juga berpeluang untuk membantu mereka yang hidup dalam
kesusahan. Hal ini menyedarkan saya erti kesyukuran. Tidak dinafikan, ramai antara
kita hidupnya senang dan mewah, namun tidak ramai yang kenal erti syukur yang
sebenarnya. Program ini menyedarkan saya untuk bersyukur dengan keadaan hidup
saya kini. Meskipun tidak hidup dalam keadaan mewah, namun saya masih mampu
makan makanan yang lazat dan enak walaupun tidaklah dikatakan kerap. Selain itu,
program ini juga melatih saya untuk menjadi lebih prihatin terhadap orang sekeliling.
Sejujurnya, walaupun sudah bertahun menetap di Samarahan, namun saya masih
belum mengenali penduduk-penduduk kampung berdekatan apatah lagi keadaan
hidup mereka kerana masa yang ada habis diluangkan di maktab sahaja. Namun,
dengan adanya program begini, ianya membantu kami untuk membina hubungan
yang baik dengan masyarakat sekeliling.
Di samping kekuatan, saya juga mendapati beberapa kelemahan program ini
iaitu pada hari tersebut, bas kami tiba lewat daripada masa yang telah dijangkakan.
Hal ini menyebabkan penduduk kampung menunggu terlalu lama kerana ada di
antara mereka telah tiba awal kerana kawasan rumah mereka terletak jauh dari
masjid. Bas kami tiba lewat dari waktu yang telah ditetapkan kerana masih
mengambil beras dari kedai runcit. Mungkin untuk program akan datang, kami
perlulah membeli segala barang yang diperlukan lebih awal. Walaupun begitu,
sehebat manapun kita merancang, hanya Allah yang menentukan. Selain itu,
kelemahan lain yang turut kami dapati ialah berlakunya perselisihan antara pihak
penganjur dengan penduduk kampung, Penduduk kampung telah dimaklumkan
untuk berkumpul di masjid sebelum jam 2.30 petang, manakala pihak penganjur pula
tiba pada jam 4.00 petang. Namun, kami telah meminta maaf atas kelewatan kami
dan juga atas kesilapan makluman mengenai majlis tersebut. Pada program akan
datang, kami hendaklah memastikan bahawa maklumat yang diterima oleh pihak
kampung adalah maklumat yang tepat supaya mereka tidak menunggu terlalu lama.
Saya merasa sangat gembira kerana akhirnya projrk ini berjaya dilaksanakan
pada waktu yang telah ditetapkan. Tanpa bantuan dan sumbangan daripada rakan-
rakan, kemungkinan besar projrk ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Oleh itu,
jutaan terima kasih saya kalungkan kepada pensyarah, rakan-rakan, warga
Kampung Empila serta pihak lain yang terlibat dalam membantu kami sepanjang
melaksanakan projek atau program ini. Selain itu, saya juga merasa sangat berpuas
hati dan gembira dengan kerjasama yang telah diberikan rakan-rakan saya.
Walaupun masing-masing mempunyai komitmen terhadap tugasan yang lain, namun
mereka masih mampu memberikan kerjasama yang sangat memberangsangkan
ketika pelaksanaan program ini. Setiap usaha dan ikhtiar yang telah dilakukan
sangat memberangsangkan. Kami bersyukur ke hadrat Illahi kerana Dialah yang
telah membantu kami dalam melaksanakan tugasan dan mengizinkan kami
menyempurnakannya dengan baik. Sekali lagi, saya merakamkan jutaan terima
kasih kepada semua yang telah membantu secara langsung ataupun tidak langsung.
Barakallahufikum Jami’an. Akhir kalam, hanya Allah sahaja yang mampu membalas
jasa-jasa kalian. Allahu’alam.
top related