perlembagaan malaysia full
Post on 27-Nov-2015
93 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
PENGENALAN PERLEMBAGAAN :
Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta
prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada
kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara
Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga
tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh
perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom.
Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan
pentadbiran dan kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas,
telus dan adil serta menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada Negara.
PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Ia
merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan
kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan
Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.
Ia merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada
semua undang-undang. Semua undang-undang lain hendaklah tidak bertentangan
dengan perlembagaan :
“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama
Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang
diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang
berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah
terbatal setakat berlawanan dengan itu”.
Perkara 4(1)
Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan terhadap hak asasi dan
kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini. Selain itu ia
menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Sejarah Ringkas Perlembagaan Malaysia
Sejarah perlembagaan moden Malaysia bermula pada akhir abad ke 19, ketika
kerajaan British menguasai Tanah Melayu.
Kronologi ringkasnya adalah seperti berikut:
1905 – sebuah badan perundangan pusat yang dikenali sebagai Majlis
Mesyuarat Persekutuan (MMP) ditubuhkan. Semua undang-undang yang
dibuat oleh mana-mana negeri mestilah bersesuaian dan tidak bertentangan
dengan undang-undang yang dibuat oleh MMP. Sungguh pun begitu MMP tidak
mempunyai kuasa ke atas hal ehwal agama Islam dan kedudukan Raja-raja
Melayu.
1927 – melalui pindaan Perjanjian Persekutuan bagi anggota-anggota MMP,
MMP diberi kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh negeri-
negeri Melayu Bersekutu. Raja-raja Melayu tidak lagi mengambil bahagian
dalam perbincangan MMP. Ini menjadikan kuasa kerajaan pusat menjadi kuat.
Sementara itu kedudukan Dewan Negeri diperkuat dan beberapa kuasa yang
dulunya dijalankan oleh Ketua Setiausaha (Pegawai British) diserahkan kepada
Dewan Negeri. Jawatan Ketua Setiausaha ditukar kepada Setiausaha
Persekutuan
Di bawah Malayan Union pula, segala kuasa terletak di tangan gabenor
termasuk kuasa memberi ampun pada orang salah. Gabenor boleh
membatalkan segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Perundangan. Majlis
Perundangan Negeri di setiap negeri pula hanya boleh membuat undang-undang
tentang perkara tempatan sahaja dan ia boleh dibatalkan oleh Majlis
Perundangan Malayan Union.
1948 – Malayan Union dimansuhkan dan Persekutuan Tanah Melayu
ditubuhkan pada 2 Februari 1948. Majlis Perundangan Persekutuan
ditubuhkan di mana ia mempunyai kuasa membuat undang-undang.
Pesuruhjaya Tinggi pula mempunyai kusa veto (pembatal) untuk menghalang
rang undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.
Sementara itu Majlis Perundangan Negeri mempunyai kuasa yang terhad seperti
yang disebuat dalam Jadual Kedua bagi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
1948.
Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-
masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal
lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai
dengan kehendak Perjanjian Persekutaun 1948.
Jun 1955 – pilihanraya pertama diadakan bagi memilih anggota-anggota
Majlis Perundangan Persekutuan – mengandungi 52 anggota yang dipilih, 34
anggota yang dilantik dan 12 pegawai kerajaan, dan seorang Pengerusi dilantik
oleh Pesuruhjaya Tinggi dengan persetujuan Raja-raja.
Mac 1956 – Jawatankuasa Perlembagaan telah dibentuk yang diketuai oleh
Lord Reid. Jawatankuasa ini diberi tugas merangka Perlembagaan
Persekutuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat.Jawatankuasa ini
mula menjalankan tugasnya pada Jun 1956, dan telah menggemukakan
laporannya pada Disember 1956. Laporan ini dikaji, diteliti dan kemudiannya
digubal menjadi Perlembagaan Persekutuan.
Pembentukan perlembagaan telah diluluskan pada 27 Ogos 1957 dan
dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957.
Julai 1963 – Perjanjian Malaysia ditandatangani di London oleh kerajaan
British, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Mengikut perjanjian ini Parlimen British akan meluluskan satu undang-
undang untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan
Sarawak yang masing-masing akan mempunyai perlembagaan baru. Bagi
Persekutuan Tanah Melayu, Parlimen Persekutuan akan meluluskan satu
undang-undang yang dipanggil Akta Malaysia untuk meminda Perlembagaan
Persekutuan. Akta Malaysia ini telah diluluskan pada 26 Ogos 1963.
Kandungan Perlembagaan Persekutuan
Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 Perkara beserta dengan 13
Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci
sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.
Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi beberapa perkara yang tidak
boleh dipersoalkan seperti:
- agama Islam sebagai agama rasmi;
- kedududkan istemewa Raja-raja Melayu dan bumiputera di Sabah dan
Sarawak;
- kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan,
- soal kerakyatan.
KEPENTINGAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA KEPADA BEBERAPA ASPEK
PENTING
Pemerintahan Beraja
Pemerintahan beraja memang telah sedia wujud dalam sistem sosial di
negeri¬negeri Melayu sejak berabad-abad lamanya. Menurut sistem beraja ini, raja
mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan
dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik, khususnya sebelum penjajahan British.
Namun semasa penjajahan British. kuasa mutlak raja mula terhad iaitu raja mesti
menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali dalam adat istiadat
Melayu clan agama Islam. Hal yang sama juga berlaku apabila British memperkenalkan
Malayan Union yang turut menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu. Tetapi selepas
Malayan Union mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu, kuasa Raja-Raja
Melayu dikembalikan semula apabila Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan.
Setelah negara mencapai kemerdekaan, institusi beraja terus dikekalkan di
bawah konsep raja berperlembagaan selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan
di Malaysia. Menurut konsep Raja Berperlembagaan ini, raja-raja bertindak mengikut
perlembagaan yang telah ditetapkan.
RASIONAL PERKARA 153
Perkara utama yang perlu diambil perhatian dan dihayati ialah semasa proses
penggubalan Perlembagaan terdapat semangat persefahaman, akomodatif, berkongsi
kuasa dan sedia berkorban yang begitu tinggi dalam kalangan orang Melayu dan bukan
Melayu. Sebagai rakyat, kita perlu menghayati perkara ini kerana Perlembagaan
merupakan undang-undang tertinggi negara dan menjadi rujukan kepada sesiapa
sahaja.
Semasa proses penggubalan Perlembagaan dilakukan, beberapa cadangan
diberi pertimbangan untuk disepakati. Dalam proses ini, semangat akomodatif yang
tinggi berlaku antara orang Melayu dan bukan Melayu berkaitan dengan kepentingan
masing-masing atau dikenali sebagai kontrak sosial. Sebagai contoh, kaum Melayu
melonggarkan syarat kerakyatan bagi bukan Melayu sementara kaum bukan Melayu
menerima hakikat kedudukan istimewa kaum Melayu. Pada ketika itu, kaum Melayu
menerima prinsip jus soli iaitu dengan mengurniakan kerakyatan bagi mereka yang lahir
selepas merdeka dan kerakyatan yang lebih longgar bagi etnik bukan Melayu yang
dilahirkan sebelum merdeka. Pelaksanaan prinsip ini telah memberi hak kerakyatan
kepada lebih 800,000 orang bukan Melayu (Jadual 6.5).
Bagi sebuah negara demokrasi, kewarganegaraan amat berharga kerana setiap
warganegara mempunyai hak untuk mengundi dalam setiap pilihan raga bagi
menentukan kerajaan yang memerintah. Selain itu, hak kewarganegaraan ini juga
meliputi semua hak yang sah di sisi undang-undang. Hak kewarganegaraan pula
merupakan manfaat yang dinikmati serta merta oleh orang bukan Melayu, sedangkan
hak istimewa orang Melayu perlu mengambil masa yang lebih lama untuk dinikmati
manfaatnya. Hal ini jelas apabila jumlah pengundi bukan Melayu meningkat daripada
15.6 peratus pada tahun 1955 kepada 43.7 peratus pada tahun 1959. Sebaliknya,
jumlah pengundi Melayu telah berkurangan daripada 84.2 peratus pada tahun 1955
kepada 56.2 peratus pada tahun 1959 (Suruhanjaya Pilihan Raya 1959). Hak istimewa
orang Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan meliputi jawatan dalam
perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang
diberikan. Perkara 153 tidak boleh dipinda, diubah atau dilucutkan tanpa mendapat
persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.
Perkhidmatan Awam
Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa menjadi
tanggungjawab Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan rizab bagi orang Melayu
dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan suatu kadar bilangan
jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan yang baginda fikirkan perlu. Namun
dalam melaksanakan tanggungjawabnya, baginda tidak boleh melucutkan jawatan
awam yang dipegang oleh seseorang. Hal yang sama juga bagi semua orang (tidak
mengira golongan etnik) yang menyandang jawatan dalam perkhidmatan awam
mestilah diberi layanan yang sama rata.
Terdapat rasional yang munasabah bagi merizabkan untuk orang Melayu dan
Bumiputera Sabah dan Sarawak suatu kadar bilangan dalam perkhidmatan
persekutuan kerana pada zaman penjajah dan pada awal kemerdekaan sedikit sangat
bilangan orang Melayu yang bekerja dengan kerajaan (Mohamed Suffian Hashim,
1987).
Ekonomi
Rata-rata orang Melayu yang terdiri daripada golongan pesawah padi, penoreh
getah dan nelayan berada dalam kemiskinan (64.8 peratus) berbanding bukan Melayu
(26 peratus) pada tahun 1970 (Banci Penduduk 1979, Jabatan Perangkaan). Keadaan
ini menunjukkan majoriti orang Melayu berada dalam kemiskinan, terutamanya di
kawasan luar bandar. Kesan daripada peninggalan pemerintahan penjajah inilah, orang
Melayu tertinggal sebagai pemerhati di sebalik kegiatan ekonomi dan perubahan yang
sedang berlaku di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu (Haris Md. Jadi, 1990).
Jurang pendapatan antara golongan Bumiputera dengan bukan Bumiputera
masih lagi tinggi. Sebagai contoh, RM1 pendapatan bagi orang Melayu berbanding
RM2.3 bagi orang Cina dan RM1.8 bagi orang India pada tahun 1970. Begitu juga
dengan negeri-negeri yang majoritinya ialah Melayu dan Bumiputera mempunyai kadar
kemiskinan yang tertinggi, iaitu melebihi 60 peratus pada tahun 1970. Majoriti orang
Melayu ini terdapat di negeri-negeri Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan. Dari segi
pemilikan kekayaan negara pula pada tahun 1970 bagi orang Melayu ialah 2.4 peratus
dan bukan Melayu ialah 34 peratus. Ternyata hal ini masih lagi berterusan sehingga
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan juga, matlamat pencapaian sebanyak 30
peratus pemilikan kekayaan negara oleh orang Melayu masih belum tercapai.
Oleh itu, orang Melayu masih perlu dibantu dan dibimbing terutamanya dalam
melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Pembangunan MPPB akan diteruskan sebagai pendekatan utama dalam menyusun
semula masyarakat dan memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih luas dalam
ekonomi (Rancangan Malaysia Kesembilan). Maka, Perkara 153 wajar digunakan untuk
mencapai tujuan ini. Antaranya, ialah memberi kemudahan lesen perniagaan dan
premis perniagaan yang strategik. Jika langkah ini tidak dilaksanakan, usaha untuk
mewujudkan MPPB hanya akan tinggal impian. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Tun
Abdul Razak sewaktu memberi ucapan dalam Persidangan Khas UMNO pada 9 Mei
1971 iaitu:
"Kita perlu mewujudkan satu golongan pengusaha dan pedagang dalam
kalangan orang Melayu clan ahli Bumiputera daripada semua lapisan dengan cara
'estructurinq atau menyusun semula masyarakat Melayu di luar bandar yang semata-
mata bergantung pada pertanian dan mengubah menjadi masyarakat moden yang
berlandaskan perusahaan dan perdagangan di samping pertanian."
Pendek kata, faktor pembahagian kekayaan dan agihan pendapatan yang tidak
adil dan tidak seimbang dalam kalangan rakyat merupakan faktor yang paling kuat
mempengaruhi hubungan etnik di Malaysia (Sanusi Osman, 1987). Dengan itu,
wajarlah Perkara 153 memperuntukkan bahawa orang Melayu mendapat keistimewaan
dalam bidang ekonomi agar jurang perbezaan ekonomi dapat dihapuskan.
Pendidikan
Penjajah British telah meninggalkan sistem pendidikan yang terus mengekalkan
orang Melayu dalam keadaan tertindas. Sistem pendidikan British pada masa itu
sekadar untuk menjadikan petani Melayu yang lebih baik daripada ibu bapa mereka.
Hal ini diburukkan lagi dengan keadaan sekolah Melayu yang begitu teruk tanpa
perabot yang cukup, kekurangan buku teks dan bahan bacaan serta ibu bapa Melayu
sudah mula hilang kepercayaan terhadap sekolah Melayu (Laporan Barnes, 1951).
Merujuk kepada bilangan pelajar peringkat ijazah pertama di institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) dalam negara pada tahun 1970, bagi Bumiputera ialah 40.2 peratus
(3084 pelajar) berbanding bukan Bumiputera iaitu 56.2 peratus (4311 pelajar). Keadaan
ini tidak begitu baik dalam konteks hubungan etnik di Malaysia kerana terdapat jurang
perbezaan golongan profesional antara etnik. Sebagai contoh, golongan profesional
Bumiputera (arkitek, akauntan, jurutera, doktor, juruukur can peguam) pada tahun 1970
ialah 4.9 peratus (225 orang) berbanding bukan Bumiputera iaitu 84.3 peratus (3859
orang) dan sehingga kini masih lagi ketinggalan.
Jika diteliti sehingga sekarang, Perkara 153 masih perlu diteruskan ke arah
mencapai matlamat yang dikehendaki. Namun, pada masa yang sama, pelbagai
kemudahan dan keistimewaan turut diberikan kepada etnik bukan Melayu dalam aspek
pendidikan. Sebagai contoh, apabila negara mencapai kemerdekaan, Kerajaan pada
masa itu tidak terus menghapuskan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan
Tamil. Sebaliknya, kerajaan tetap mempertahan kewujudan sekolah¬sekolah tersebut
walaupun Penyata Razak 1956 mahu mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan
seperti yang terkandung dalam perenggan 12 iaitu:
"Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud untuk menyatukan
budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu
peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan
dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur."
Begitu juga dengan kewujudan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan
matrikulasi yang dikhususkan kepada orang Melayu. Dengan tujuan merapatkan lagi
hubungan etnik dan perpaduan dalam kalangan pelajar, keistimewaan ini turut diberikan
kepada orang bukan Melayu apabila Kerajaan membenarkan mereka memasuki MRSM
dan matrikulasi dengan kuota 10 peratus. Pada masa yang sama juga, kemasukan
pelajar ke IPTA melalui sistem kuota juga telah ditukar kepada sistem meritokrasi iaitu
pemilihan pelajar berdasarkan prestasi akademik tanpa mengira golongan etnik.
Walaupun kedudukan istimewa mengenai pendidikan telah termaktub dalam
Perlembagaan, namun pelbagai sikap akomodatif antara Melayu dan bukan Melayu
telah diwujudkan dalam usaha ke arah memantapkan lagi hubungan etnik di Malaysia.
RASIONAL PERKARA 152
Para pemimpin negara menyedari bahawa perlu diwujudkan bahasa kebangsaan
sebagai wadah komunikasi atau bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara
bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Hasil permuafakatan
perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara
152 Perlembagaan Malaysia. Persefahaman menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan tidak menjejaskan penggunaan bahasa ibunda kaum lain; malah
adalah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Rasional pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah kerana
bahasa Melayu menjadi lingua franca di Nusantara sejak berabad-abad lamanya, lebih
mudah dipelajari dan bersifat lebih tekal dari segi istilah dan sebutan berbanding
bahasa lain. Menyentuh bahasa Melayu sebagai lingua franca, William Mars ada
menjelaskan (Mohd. Salleh Abas, 1985):
"Bahasa Melayu yang dianggap berasal dari Semenanjung Tanah Melayu dan
telah berkembang melalui kepulauan timur dan menjadi lingua franca di dunia tersebut,
dituturkan di mana-mana di sepanjang pantai Sumatera dan digunakan tanpa campuran
apa-apa di negara Kepulauan Minangkabau dan tanah jajahannya dan difahami ke
setiap bahagian pulau."
Sebelum Perang Dunia Kedua. bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi
tujuan rasmi seperti mesyuarat, surat-menyurat, perundangan dan kehakiman di
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Jabatan Polis, dan sebagainya bagi
memudahkan urusan pentadbiran kerana kakitangannya terdiri daripada pelbagai kaum
(Mohd. Salleh Abas, 1985). Keadaan ini diperkuat lagi oleh hakikat bahawa bahasa
Melayu diterima sebagai bahasa rasmi apabila Johor menerima Penasihat Inggeris
pada tahun 1914. Sebagai contoh, dalam surat bertarikh 11 Mei 1914, Sultan Ibrahim
(Sultan Johor) menulis surat kepasa Sir Arthur Young, Gabenor Singapura (Maxwell
and Gibson 1924; dalam Mohd. Salleh Abas, 1985):
"Beta juga perlu meminta penerimaan Yang Dipertua terhadap prinsip bahawa
bahasa Melayu dan Inggeris harus diterima sebagai bahasa rasmi untuk digunakan
dalam mahkamah keadilan beta dan dalam semua jabatan kerajaan beta. Berhubungan
dengan penulisan bahasa Melayu huruf Jawi perlu diberikan pengiktirafan rasmi."
Begitu juga, pegawai-pegawai Eropah yang memegang lebih 95 peratus jawatan
Kumpulan Bahagian I perlu mempelajari bahasa Melayu, mengambil ujian berbahasa
Melayu dan dikehendaki lulus, barulah boleh ditempatkan di Persekutuan Tanah
Melayu pada ketika itu (Mohamed Suffian Hashim, 1987). Keadaan ini menunjukkan
bahawa bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa perantaraan rasmi walaupun
pada zaman penjajahan Inggeris. Hal ini telah diperakukan oleh Tan Siew Sin dalam
Majlis Perundangan Persekutuan, 10 Julai 1957, iaitu
"Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan yang besar terhadap kebudayaan
dan bahasa mereka. Biar saga nyatakan, sebagai contoh, Perlembagaan Reid
sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan
mengembang bahasa Cina dan Tamil, ataupun bahasa-bahasa lain. Apabila
dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan
eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan
Tamil hendaklah digalakkan dan dipelihara, mereka bersetuju. Saya sebutkan
kejadian ini untuk menunjukkan kepada mereka di luar bulatan bahawa pemimpin
Melayu pada asasnya adalah adil dan berpandangan luas."
RASIONAL PERKARA 3
Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia
juga tidak membimbangkan kaum lain kerana kebebasan beragama dijamin dalam
Perlembagaan. Islam dipilih sebagai agama rasmi kerana telah bertapak lebih 600
tahun lampau dan banyak mempengaruhi cara hidup dan pemikiran orang Melayu
sehingga sekarang berbanding agama lain. Begitu juga, semasa penjajahan British,
kedudukan agama Islam langsung tidak diganggu dan mereka menyerahkan urusan
agama Islam kepada Raja-Raja Melayu.
Islam juga diterima sebagai agama Persekutuan kerana sesuai dengan takrif
"Melayu" seperti didefinisikan dalam Perkara 160 Perlembagaan Malaysia. Begitu juga
pada zaman penjajah melalui perjanjian damai dan persahabatan dengan Raja-Raja
Melayu, walaupun mereka berjaya mendapatkan hak untuk memberi nasihat yang
bersabit dengan pentadbiran negara, namun agama Islam dikecualikan. Sebagai
contoh, Perkara 2 perjanjian antara Negeri-Negeri Selat dan pembesar-pembesar
memerintah Negeri Sembilan bertarikh 20 Jun 1895 telah dipersetujui bahawa mereka
mengaku janji untuk menurut nasihat Residen British dalam semua hal ehwal
pentadbiran selain soal yang menyentuh agama Islam (Mohd Salleh Abas,1985). Hal
yang sama juga bagi perjanjian antara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak
Bersekutu dengan pihak British. Raja-Raja Melayu mesti menerima nasihat British
dalam pentadbiran negeri kecuali adat istiadat dan agama Islam. Perlembagaan
Malayan Union 1946 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menukar
peranan Inggeris daripada penasihat kepada pentadbir Persekutuan Tanah Melayu
secara langsung. Namun demikian, adat istiadat orang Melayu dan agama Islam tidak
disentuh oleh British.
Di negeri-negeri Melayu sebelum penjajahan British, penggunaan
undang¬undang Islam telah diperkenalkan dan diiktiraf seperti dalam kes Ramah lawan
Laton, Mahkamah Rayuan Selangor memutuskan bahawa undang-undang Islam ialah
undang-undang negeri dan mahkamah hendaklah mengiktiraf dan menggunakan
undang-undang tersebut (Ahmad Mohamed Ibrahim, 1997).
Hubungan Etnik
Sebagaimana yang kita sedia maklum, perlembagaan berfungsi untuk
mewujudkan satu bentuk pemerintahan negara yang adil dan mampu untuk memenuhi
tuntutan dan kehendak rakyatnya. Perlembagaan akan membolehkan pemimpin atau
pentadbir menjalankan tugasnya tanpa berlakunya penyalahgunaan kuasa. Seterusnya,
kita akan melihat sejauhmana kepentingan perlembangaan dalam konteks hubungan
etnik di Malaysia.
Menurut Hasnah Husin (2007), kewujudan perlembagaan adalah bertujuan untuk
mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil dan tidak menjurus kepada
sesetengah kaum sahaja. Sebagai contoh, Perkara 152 dalam Perlembagaan
Malaysia mewartakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Namun begitu,
kewujudan bahasa rasmi atau kebangsaan tidak menjejaskan bahasa ibunda kaum lain
malah bahasa ibunda mereka di jamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Perlembagaan juga bertujuan mengawal pergerakan kerajaan dan
rakyat.Sebagai contoh, Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan kuasa
kepada seseorang pemerintah ataupun kerajaan agar dasar-dasar yang dijalankan oleh
kerajaan mengikut tuntutan perlembagaan. Keadaan ini secara tidak langsung akan
membentuk pembahagian kuasa dan dapat mengelakkan dominasi kuasa oleh
sesuatu pihak atau kaum. Di samping itu, Perlembagaan Persekutuan Malaysia turut
memperuntukkan kuasa kepada rakyat melalui kebebasan asasi yang termaktub pada
Perkara 5-13 dalam perlembagaan Malaysia. Hal ini menyatakan perkara yang boleh
dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh, Perkara 5(1), Tiada
seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali
menurut undang-undang. Oleh hal demikian, pergerakan atau tingkah laku rakyat akan
dapat di kawal dan keharmonian serta kesejahteraan negara akan terjamin.
Perlembagaan Malaysia turut menggariskan beberapa perkara untuk Yang di-
Pertuan Agong bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa. Menurut Perkara 34(3),
Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa
perusahaan komersil. Hal ini mengelakkan baginda mengunakan kuasa yang ada untuk
mengaut keuntungan yang bersifat peribadi. Disamping itu, Perkara 40(1A) turut
menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat
Perdana Menteri, yang mengetuai jemaah menteri. Langkah ini juga dapat
mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah iaitu Yang di-Pertuan Agong.
Sistem politik Malaysia adalah warisan sistem politik beraja telah wujud sekian
lama. Justeru itu, sistem politik beraja telah dimaktubkan dalam perlembagaan tetapi
diwujudkan dalam konteks Raja Berpelembagaan. Menurut Shamsul Amri
Baharuddin(2007), perlembagaan bertujuan untuk menjamin kedaulatan institusi
beraja, Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan undang-undang melalui
Perkara 181. Oleh hal demikian, kedaulatan raja-raja melayu akan dipertahankan dan
menjadi simbol taat setia rakyat kepada institusi beraja. Di samping itu, melalui Perkara
10(4) turut menyatakan batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh
kedudukan Raja-Raja, islam, orang melayu, kewarganegaraan dan seumpamanya.
Melalui lunas-lunas perlembagaan ini, kemakmuran negara kita yang mempunyai
pelbagai kaum akan sentiasa terjamin dan menjunjung institusi beraja yang
wujud sekian lama.
Perlembagaan juga menjadi wadah untuk menyelesaikan masalah khususnya
berkaitan undang-undang. Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjadi undang-
undang tertinggi negara dan menjadi rujukan utama dalam penggubalan undang-
undang persekutuan dan negeri. Semua jenis undang-undang yang diluluskan tidak
boleh bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang yang bercanggah
dengan perlembagaan adalah tidak sah. Sebarang masalah dalam penggubalan
undang-undang atau rujukan apa-apa hukuman seseorang warganegara adalah
berasaskan perlembagaan..
Perlembagaan Malaysia juga berperanan dalam memastikan wujudnya keadilan
sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan ini dihadkan.
Hal ini bermakna seseorang itu diberi kebebasan bercakap tetapi kebebasan ini
dihadkan oleb Bab I Perkara 10(2)(a) kerana seseorang itu tidak dibenarkan bercakap
mengenai isu sensitif yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum lain, yang
akan mengakibatkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum serta
mengancam keselamatan negara. Bagi tujuan ini, Parlimen telah meluluskan pindaan
Akta Hasutan pada tahun 1970 yang mengehadkan hak kebebasan seseorang
bercakap. Akta ini tidak membenarkan seseorang itu bercakap dengan sewenang-
wenangnya sehingga menyentuh isu sensitif yang boleh menimbulkan rusuhan kaum.
Dengan ini perlembagaan menjamin keselamatan setiap rakyat daripada dianiaya.
Perlembagaan Malaysia juga menentukan supaya hak keistimewaan orang
Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan oleh
mana-mana pihak. Hal ini kerana keistimewaan ini adalah jaminan awal sebelum
Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan sebelum Sabah dan Sarawak bersetuju
memasuki Malaysia pada tahun 1963. Antara perkara yang dikaitkan dengan hak
keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang melayu ialah Tanah Simpanan
Melayu, kuota dalam perkhidmatan awam,biasiswa kerajaan,pendidikan awam,lessen
perdagangan dan permit (Paimah Atoma,2008) Walau bagaimanapun semua
warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum adalah sama rata di sisi undang-undang
(Perkara 8 (1)), bebas menganut dan mengamal agama masing-masing (Perkara 11(1))
dan berhak memiliki harta (Perkara 13). Selain perkara di atas, terdapat juga
peruntukan mengenai hak pelajaran (Perkara 12 (1)) yang menegaskan bahawa
tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas
sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir untuk kemasukan dan bayaran yuran
ke institusi pendidikan yang diselenggarakan oleb kerajaan. Oleh itu, isu-isu yang
memperjuangkan hak sama rata antara bumiputera dan bukan bumiputera perlu di
ambik perhatian serius kerana ini akan mengancam keharmonian negara. Pihak yang
menuntut hak sama rata ini juga perlu meneliti isu ini daripada sudut perundangan dan
perlembagaan agar peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang.
Bagi menjamin kesetiaan rakyat, Perlembagaan Persekutuan Malaysia turut
menggariskan perkara mengenai unsur taat setia. Perkara 24 menyatakan bahawa
seseorang itu akan diperintah dilucutkan kerakyatannya sekiranya kerajaan Malaysia
berpuas hati bahawa seseorang itu telah memperoleh kerakyatan negara lain.
Manakala Perkara 25 menyatakan bahawa seseorang itu diarahkan dilucutkan
kerakyatannya sekiranya terbukti yang dia tidak setia atau tidak suka kepada negara ini.
Oleh hal demikian, keharmonian serta kemakmuran negara tidak akan tercalar
disebabkan perbuatan tidak setia ataupun belot pada negara dan derhaka kepada Yang
di-Pertuan agong.
Menurut Mustafa Ishak ( 2006), dalam karyanya Politik dan Pemerintahan
Negara, perlembagaan mempunyai peranan penting dalam memastikan keutuhan dan
kestabilan sesebuah negara. Kerajaan adalah unsur yang tidak kekal dalam
pembentukan negara, dan apabila berlaku pertukaran kerajaan maka perlembagaan
akan berperanan untuk memberi panduan dan rujukan mengenai urusan perlantikan
dan pemilihan pemerintah. Oleh hal yang demikian, kestabilan negara akan terus
bertahan kerana kerajaan yang baru akan mengikut lunas undang-undang yang
digariskan dalam perlembagaan. Mustafa Ishak ( 2006) turut menyatakan, kerajaan
yang berpelembagaan dikatakan wujud apabila sesebuah negara diperintah menurut
undang-undang dan prinsip-prinsip perlembagaan dan prosedur pemilihan pemerintah
itu selari dengan peraturan dan panduan perlembagaan
KESIMPULAN
Displin dan persefahaman merupakan elemen yang penting kepada
kesjahteraan dan harmoni sesebuah negara apatah lagi negara tersebut dihuni oleh
pelbagai kaum. Di Malaysia sejak ditubuhkan, perlembagaan persekutuan telah Berjaya
mengekalkan keharmonian dengan menyediakan garis panduan kepada semua rakyat
serta agensi kerajaan yang harus dipikul serta perkara-perkara yang perlu difahami
demi mengekalkan keamanaan yang sefang dinikmati.
Walaupun wujud beberapa isu mengenai kandungan perlembagaan yang sedia
ada namun ia tidak mengugat kepentingannya kepada rakyat dan negara.
Bibliografi
Shuid, Mahdi & Yunus, Mohd. Fauzi (2001). Malaysian Studies, p. 50. Longman. ISBN
983-74-2024-3.
Putra, Tunku Abdul Rahman (1986). Political Awakening, p. 31. Pelanduk Publications.
ISBN 967-978-135-6.
Abdul Aziz Bari (2003) Perlembagaan Malaysia: Asas-Asas Dan Masalah,Dewan bahasa Dan Pustaka ISBN: 9836271856
Kuasa-kuasa Polis Diraja Malaysia (Lembaga Penyelidik Undang-undang)International Law Book Services
Noor Aziah Mohd Awal (2005)Pengenalan Kepada Sistem Perundangan di Malaysia () International Law Book Services
top related