cabaran wawasan 2020
Post on 05-Dec-2014
117 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
1.0 PENGENALAN
Negara kita Malaysia dikenali di mata dunia sebagai sebuah negara membangun yang
mempunyai masyarakat majmuk yang berjaya mengekalkan kestabilan politik sendiri.
Ramuan kejayaan ini menjadi teladan negara-negara lain terutamanya yang bergolak
meskipun tidak mempunyai masyarakat majmuk. Tragedi pembunuhan dan perang
saudara tercetus sehingga melumpuhkan kegiatan ekonomi tersebut. Bangsa Malaysia
merupakan satu cita-cita murni ke arah mewujudkan sebuah negara yang stabil dan terus
maju ke hadapan. Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia pernah
menjelaskan bahawa Bangsa Malaysia adalah bangsa yang mampu mengenalpasti diri
mereka dengan negara, bertutur dalam bahasa Malaysia dan menerima Perlembagaan
Persekutuan ( "as people being able to identify themselves with the country,speak Bahasa
Malaysia and accept the Federal Constitution." )
Persoalan negara bangsa dan Bangsa Malaysia menarik perhatian pelbagai pihak
selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakannya pada tahun 1991. Dalam
ulasannya terhadap Wawasan 2020, beliau menegaskan bahawa dalam usaha menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kita perlu berusaha ke arah
membentuk sebuah masyarakat yang liberal dan bertolak ansur tetapi pada masa yang
sama bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan pegangan agama masing-masing.
Walaupun begitu, rakyat Malaysia perlu meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi
kepada negara. Reaksi masyarakat terhadap konsep negara bangsa mahupun bangsa
Malaysia kerap menimbulkan pelbagai perbahasan yang menarik. Dari segi konseptual,
ada yang menganalisis ‘bangsa Malaysia’ secara legalities dengan menghubungkannya
dengan konsep ‘warganegara’ manakala ada yang melihatnya sebagai ‘ras’. Abdul
Rahman Embong ( 2006 ) dalam Negara-Bangsa: Proses dan Perbahasan mendefinisikan
bangsa sebagai satu komuniti politik yang terbentuk dalam sejarah yang ditautkan
melalui perkongsian wilayah, budaya dan bahasa serta perasaan sebangsa. Beliau turut
membicarakan perbezaan pengalaman pembinaan negara bangsa di Eropah dengan
Malaysia. Namun begitu, pembentukan negara bangsa di Malaysia bukanlah sesuatu yang
baru.
Proses ke arah itu, dikatakan telah bermula sejak era penjajahan British.
Perubahan dasar British selepas Perang Dunia Kedua dilihat sebagai titik tolak apabila
Malayan Union diperkenalkan pada tahun 1946. Di mana salah satu objektif Malayan
Union ialah mewujudkan satu bangsa yang kewarganegaraan berlandaskan prinsip ‘jus
soli’ iaitu kerakyatan berdasarkan tempat kelahiran diperkenalkan. Hal ini membolehkan
semua warga asing yang dilahirkan di Tanah Melayu atau Singapura serta mereka yang
berusia 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di sana untuk tempoh 10 daripada 15
sebelum 15 Februari 1942 mendapat kerakyatan mereka secara automatik. c. Dalam
kompromi Inggeris – Melayu, British bersetuju dengan pembentukan sebuah kerajaan
pusat yang kuat dan dipertanggungjawabkan ke atas semua perkara yang penting
termasuklah soal pembangunan, kebajikan , kerakyatan dan sebagainya.
Namun begitu, kuasa serta kedaulatan raja-raja Melayu dikembalikan dan
kepentingan orang Melayu terus dilindungi oleh British. Ia bertujuan mengelakkan orang
Melayu menentang British secara kekerasan dan pada masa yang sama timbul
kekhuatiran akan tersebar pengaruh komunis di kalangan orang Melayu. Pembentukan
Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mendapat reaksi negatif daripada masyarakat
imigran termasuklah AMCJA yang telah melancarkan hartal kerana beranggapan
perlembagaan baru itu menafikan hak golongan tersebut. Ia menyaksikan wujudnya
kerjasama antara kaum yang pertama dalam politik negara. AMCJA telah membentuk
pakatan dengan PUTERA, sebuah parti haluan kiri yang dianggotai oleh parti-parti
radikal seperti PKMM, API dan Awas. Perlembagaan Rakyat yang terdiri daripada 10
prinsip telah diluluskan pada April 1947 (James P. Ongkili. 1985, 63). Ia menampilkan
konsep bangsa iaitu bangsa Malaya yang terdiri daripada semua kaum yang mengaku
Tanah Melayu sebagai tanah airnya serta menunjukkan taat setia terhadapnya. Namun
begitu, British enggan berunding mahupun mengiktiraf kerjasama AMCJA-PUTERA
yang didalangi oleh PKM. Lantaran itu, British kekal dengan persetujuan yang dicapai
hasil rundingan dengan UMNO dan Raja-Raja Melayu. Perlembagaan Persekutuan 1948
yang dilaksanakan pada Februari 1948 dan kemerdekaan Tanah Melayu menjelang 31
Ogos 1957 telah merancakkan lagi usaha ke arah pembentukan Negara bangsa.
Permuafakatan politik yang terbentuk antara UMNO – MCA – MIC bukan
sekadar mempercepatkan lagi proses kemerdekaan tetapi telah berjaya membentuk satu
gandingan yang mantap dan seterusnya menerajui negara ke satu dimensi politik yang
baru. Pembentukan Perlembangan Tanah Melayu 1957 hasil daripada tolak ansur kaum
membuktikan bahawa Tanah Melayu berada di landasan yang tepat dalam usaha
membentuk sebuah negara bangsa yang dikongsi bersama. Penggubalan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah mengambil kira pelbagai aspek yang melibatkan
kepentingan kaum yang berbeza. Di mana konsep negara bangsa turut didefinisikan
dalam Perlembagaan 1957 yang menekankan sekurang-kurangnya tiga elemen utama
yang dapat menjelaskan sfat dan ciri ‘bangsa Malaysia’ iaitu berkaitan dengan
kewarganegaraan, taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara serta penguasaan
terhadap Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan (Berita. Harian. 12 Nov. 2008 ).
Suruhanjaya Reid telah dipertanggungjawabkan dalam merangka sebuah perlembagaan
baru untuk Tanah Melayu. Ia telah menerima pelbagai pandangan, cadangan serta
bantahan dari pelbagai pihak dan memberi penekanan kepada beberapa aspek yang
penting termasuklah soal kewarganegaraan, kedaulatan sultan Melayu, kedudukan agama
Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.
Proses pembentukan negara bangsa itu, tidak terhenti di situ tetapi terus
dimantapkan dengan pembentukan Malaysia pada September 1963 dengan kemasukkan
Singapura, Sabah dan Sarawak. Penggabungan tersebut telah membawa kepada satu
perkembangan politik yang tegang dan diwarnai oleh sentimen-sentimen perkauman yang
teramat sempit. Pemimpin PAP yang lantang memperjuangkan konsep negara ‘Malaysia-
Malaysian’ dan secara terus terang mengkritik kedudukan orang Melayu serta kuasa raja-
raja Melayu ternyata mengenepikan kontrak sosial yang telah dipersetujua sebelum ini. Ia
terterusnya mengakibatkan penyingkiran Singapura pada tahun 1965 namun begitu, bibit-
bibit perkauman yang tercetus masih belum mampu diredakan. Pilihan Raya Umum 1969
yang menyaksikan kehadiran DAP dan Gerakan terus meniup sentimen perkauman
apabila meneruskan perjuangan PAP yang mendesak persamaan politik, ekonomi dan
sosial bagi semua. Senario politik negara yang tidak menentu serta sarat dengan unsur-
unsur perkauman telah mencetuskan rusuhan kaum sejurus Pilihan Raya Umum 1969
yang mengakibatkan parlimen digantung dan undang-undang darurat diisytiharkan.
Tragedi berdarah itu dilihat merencatkan proses pembentukan negara bangsa di Malaysia.
Di mana kepentingan diri serta sikap curiga antara satu masa lain dilihat melebihi
kepentingan negara dan seterusnya membantutkan usaha pembentukan negara bangsa
mahupun bangsa Malaysia.
Kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 yang kemudian
dimantapkan lagi dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang
menyaksikan penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak gagal
merealisasikan konsep ‘ Satu Negara Satu Bangsa’. Ia jelas apabila kita masih dihantui
pelbagai permasalahan yang bersifat perkauman walaupun setelah negara mencapai
kemerdekaan yang ke-51. Di mana masyarakat masih terikat dengan identiti kaum
masing-masing dan tidak wujud sebarang usaha yang proaktif ke arah mewujudkan satu
kesamaan di kalangan rakyat pelbagai kaum. Lantaran itu, isu negara dan bangsa
Malaysia masih menjadi wadah yang kerap didebatkan oleh ahli politik dan juga
golongan akademik. Namun begitu, kesamaran terhadap kontroversi tersebut masih gagal
dirungkai. Justeru itu, ia hanyalah dilihat sebagai retorik semata-mata memandangkan
tiada usaha yang berterusan atau yang benar-benar ikhlas bagi menjayakan wawasan
tersebut. Isu negara dan bangsa Malaysia kerap dilihat dengan penuh prejudius di mana
wujud tanggapan bahawa ia merupakan kesinambungan daripada aspirasi perjuangan
Parti PETIR ( PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang perjuangkan konsep ‘Malaysian-
Malaysia’ dan menuntut persamaan hak politik, ekonomi serta sosial bagi semua kaum
tanpa mengira kaum. Dasar tersebut jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan
menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum. Kesinambungan perjuangan itu
diteruskan oleh Parti Tindakan Demokratik ( DAP ) selepas penyingkiran Singapura dari
Malaysia pada tahun 1965. Oleh yang demikian konsep bangsa Malaysia dianggap
sebagai satu muslihat yang bertujuan merampas hak serta keistimewaan orang Melayu
dan ia ditentang kerana mencabuli Perlembagaan Malaysia yang telah dipersetujui semua
pihak semasa kemerdekaan. Hal ini seterusnya membawa kepada cadangan bahawa
pembentukan negara bangsa perlu selaras dengan perlembagaan negara yang secara jelas
memperuntukkan beberapa keistimewaan kepada orang Melayu dan ia seharusnya tidak
boleh dipertikai atau dipinda tanpa persetujuan 2/3 ahli parlimen serta perlu mendapat
keizinan Majlis Raja-Raja Melayu. Perkara-Perkara yang termaktub dalam fasa 153 yang
menyentuh kedudukan serta kebesaran Raja-Raja Melayu, hak keisitmewaan oarng
melayu, agama Islam serta peranan Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu
dihormati (Utusan Malaysia. 17 Oktober 2008 ).
Ia penting bagi memastikan asas pembentukan negara terpelihara dan tidak
menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat jelata. Dalam mengulas
gagasan Bangsa Malaysia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak yakin
usaha ke arah itu mampu menjadi kenyataan sekiranya rakyat bersedia mengubah
persepsi dan minda mereka ( Berita Harian. 26. Mei 2008). Ia bakal menjadi kenyataan
kalau semua rakyat mengenepikan soal warna kulit, agama, keturunan dan budaya
sebaliknya menekankan pentingnya kerjasama serta perpaduan demi kemajuan serta
kestabilan bersama. Pembentukan negara bangsa dan bangsa Malaysia merupakan satu
perjuangan yang masih belum selesai. Pelbagai persoalan yang perlu diungkai dan ia
memerlukan komitmen dari semua pihak bagi menjayakan wawasan tersebut. Namun
begitu, ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan kewujudan masyarakat majmuk
dan budaya politik perkauman yang masih mengongkong perkembangan negara.
2.0 DAMPAK YANG SEDANG DIHADAPI
Dalam usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 menerusi pembudayaan struktur
pemikiran minda masyarakat baru Malaysia yang berorientasikan elemen keterbukaan
dan ketelusan, telah digariskan dengan jelas bahawa terdapat sembilan cabaran yang
harus ditempuhi. Antara cabaran yang paling sukar ditangani adalah agenda untuk
membina satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu baik dari segi wilayah mahupun etnik.
Ini juga bermakna bahawa kita tidak boleh memperkecil-kecilkan kepentingan
pelbagai isu yang berkait rapat dengan perpaduan kaum di kalangan rakyat keseluruhan.
Negara hanya mempunyai lebih kurang suku abad untuk merealisasikan cabaran ini.
Adakah kita mampu memikul cabaran ini menjelang tahun 2020 dan menyediakan satu
masyarakat madani dan Bangsa Malaysia yang diimpikan untuk menghadapi era baru
dekad Asia Pasifik yang sedang giat mengambil tempat kini? Rasanya mungkin sedikit
mustahil. Terutama dengan terdapatnya dampak yang tidak positif dalam hubungan kaum
itu sendiri. Berikut adalah antara cabaran utama yang harus dihadapi dalam mewujudkan
negara bangsa.
2.1 Globalisme (Endless World)
Jaringan maklumat global sebabkan sempadan negara bangsa berakhir pembentukan
bangsa yang kuat dan cergas lagi dinamik boleh mencetuskan serta mencorakkan
globalisasi. Sebaliknya pula globalisasi boleh meninggalkan kesan yang positif dan juga
negatif ke atas pembentukan bangsa. Interaksi antara pembentukan bangsa dan
globalisasi memang perlu dikaji dan difahami dengan mendalam kerana natijahnya tidak
semestinya dapat dilihat dan dirasai dengan segera. Kajian itu perlu demi
mempertahankan usaha-usaha pembentukan bangsa Malaysia daripada serangan unsur-
unsur negatif globalisasi kontemporari sebelum sempat meraih manfaat daripada unsur-
unsur positifnya. Berdasarkan pengalaman silam yang diperkukuhkan dengan kajian
ilmiah seperti itu, adalah diharapkan kita akan dapat meramalkan trend-trend baru dalam
globalisasi yang boleh meninggalkan kesan berpanjangan terhadap pembentukan bangsa
kita. Seterusnya kita dapat mengambil langkah-langkah jangka panjang untuk
membendung trend-trend yang negatif.
Isu-isu yang perlu dianalisis juga banyak. Antaranya, isu erti dan konsep
globalisasi itu sendiri, isu asal usul globalisasi, isu penilaian globalisasi bagi menentukan
buruk baiknya dan urutan keutamaan dimensi-dimensinya, dan isu bagaimana globalisasi
harus dihadapi dan ditangani. Ambil contoh isu asal usul sejarah globalisasi. Dari
perspektif Barat, kerana pembentukan bangsa Baratlah yang telah mencetuskan fenomena
dan proses globalisasi buat pertama kalinya dalam sejarah dunia. Setengah pihak di Barat
yang berpendapat bahawa globalisasi adalah fenomena khusus zaman kontemporari
sudah tentu menonjolkan dunia Barat sebagai pencetus dan penggerak utama fenomena
itu. Tetapi pihak lain yang mahu melihat globalisasi sebagai fenomena dunia yang telah
berlaku jauh lebih awal dalam sejarah akan mengesan puncanya kepada dunia Barat juga,
iaitu sekitar tahun 1500 apabila kuasa-kuasa baru muncul Barat menjelajahi dunia untuk
menguasai ekonomi dan politik dunia. Pandangan seperti ini tidak boleh dianggap
sebagai pandangan global kerana ia tidak menepati hakikat sejarah dunia yang
sebenarnya. Itu pandangan “western-centric.” Natijahnya, harus dibimbangkan,
pemikiran globalisme yang seterusnya menyuburkan “western-centric” secara tidak sedar
menyerap dalam bangsa yang cuba kita wujudkan sekali gus menolak usaha untuk
membentuk acuan sendiri.
2.2 Pelbagai Kaum
Kepelbagaian kaum di Malaysia selalu dilihat sebagai rahmat kerana mewujudkan
pelbagai elemen kebudayaan yang kaya dan unik. Namun jika dilihat dari sisi yang lain,
fenomena ini juga sebenarnya mewujudkan masalah yang rumit dan tersendiri.
Kepelbagaian kaum yang harmonis dalam negara ini selalu sahaja diganggu dengan
tuntutan bertentangan dari pihak yang berkepentingan. Meskipun sudah diakui oleh
undang-undang dan tulis dalam perlembagaan, masih ada sesetengah pihak yang cuba
mempersoalkan keistimewaan yang sudah termaktub milik satu-satu kaum.
Masalah yang besar sebenarnya bukan berkaitan dengan perbicaraan itu tadi. Tapi
masalah tentang kepelbagaian kaum berkisar tentang superioriti dan penyisihan kaum
yang lain. Hal ini berlaku apabila generasi demi generasi disogokkan dengan aliran
pemikiran stereotaip yang berlandaskan sikap prejudis terhadap bangsa lain. Polarisasi
dan sistem segregasi yang ditinggalkan penjajah di rantau ini sebenarnya berperanan
penting dalam memisahkan masyarakat mengikut kaum sehingga menyebabkan negara
yang sudah merdeka masih mengalami pandemik yang berlarutan sehingga kini. Sikap
dan anggapan yang berbeza sesama kaum ini sebenarnya boleh dielakkan meskipun
terdiri daripada pelbagai kaum dengan penerapan dalam pendidikan dan toleransi yang
tinggi.
2.3 Liberalisme
Dari segi kaum, fahaman liberalisme ini dianggap amat merbahaya, terutamanya bagi
Melayu yang majoritinya Islam. Konsep liberal berhubung kait dengan kebebasan untuk
memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional
seseorang. Agama dilihat sebagai hak peribadi, dan orang lain tidak boleh
menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu,
perspektif kemasyarakatan tidak menjadi teras pegangan. Prinsip untung rugi menjadi
sandaran, dan kerana itulah sesuatu tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut.
Melalui pemahaman itulah kita dapat kata-kata yang sengaja diadakan bagi
menghalalkan apa yang dilakukan. Umpamanya, sedikit masa dahulu kita diperkenalkan
dengan ungkapan “seks sebagai sedekah”, “dosa dan pahala tidak bercampur, ianya
seperti lapisan minyak dan air”, “seseorang itu boleh melakukan dosa kerana selepasnya
boleh bertaubat,”, “dosa masing-masing”, “orang berzina tidak boleh dihukum, ia
dilakukan berdasarkan suka sama suka”, “duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak
menyalahi peraturan sampai bila-bila selagi tidak berlaku pergaduhan” dan sebagainya.
Prinsip itu berkembang dan membudayakan masyarakat Malaysia. Lebih
membimbangkan, unsur-unsur liberal ini lebih mudah meresap masuk ke dalam
masyarakat di Malaysia apabila pertembungan pelbagai fahaman sehingga menimbulkan
kecelaruan identiti kebangsaan. Lantas melahirkan generasi muda yang kurang akalnya
dengan cenderung untuk berkiblatkan budaya hedonisme yang ikut-ikutan. Berdasarkan
perkembangan dan pertembungan budaya melalui pendidikan, proses sosialisasi dan
teknologi maklumat, faham liberal dalam masyarakat semakin mengambil tempat.
Keluarga yang mempunyai kawalan mutlak terhadap kebebasan anak-anak mula terhakis
apabila merasakan anak-anak perlu diberikan kebebasan. Anak-anak yang berkerjaya
menjadikan ikatan kekeluargaan semakin longgar atas desakan kesibukan masa dan
keperluan profesional.
Jika dilihat dari segi perlakuan sumbang dan keruntuhan moral misalnya, kita
dapat membuat ukuran mengenai prinsip liberalisme dalam masyarakat Islam. Seseorang
yang memangnya nakal dan melanggar peraturan akan terus dibela sehingga
menampakkan dirinya tidak bersalah. Perjuangan untuk “membersihkan diri” itu
dilakukan secara bersungguhnya, sehingga mengetepikan tuduhan asal melalui
percanggahan teknikal. Undang-undang seolah-olah bukan lagi bertujuan untuk
memberikan pengajaran kepada manusia untuk tidak melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan kepentingan ramai. Undang-undang akan dicabar dari segala aspek,
sehingga yang mentafsirkan undang-undang itu sendiri tidak mempunyai kata sepakat
tentang sesuatu perkara. Masing-masing melihat dalam perspektif untuk mendapatkan
kemenangan dan kecekapan mencari kesilapan teknik.
2.4 Neo Feudalisme
Salah satu masalah yang sedang kita hadapi dalam menjadi sebuah negara bangsa yang
total ialah neo feudalisme. Secara jelas, hal ini adalah tentang penggunaan kuasa untuk
menindas golongan yang lebih rendah. Seperti kebanyakan negara membangun, kuasa
politik adalah struktur yang paling dominan. Kerana itu, golongan ini dilihat lebih
mempunyai pengaruh yang besar dalam iklim masyarakat dalam negara.
Kesan buruk daripada perkara ini sudah pasti akan menjejaskan keharmonian
negara sekali gus membantutkan usaha-usaha memperbaiki keharmonian masyarakat
yang semakin membimbangkan. Kuasa yang dimiliki oleh golongan elit setrusnya akan
mewujudkan jurang kemiskinan semakin tinggi, pemusatan kuasa dan penindasan
kemanusiaan yang teruk jika tidak dibendung segera.
2.5 Pluralisme
Pluralisme adalah pemikiran yang memperjuangkan persamaan untuk semua agama. Dari
strukur Malaysia, perkara pokok yang menjadi masalah ialah kandungan dalam
pluralisme itu sendiri yang bertentangan dengan agama Islam sebagai agama utama yang
syumul. Kepelbagaian suku kaum yang wujud dalam Malaysia hari ini sebenarnya
menjadi salah satu punca pluralisme senang merebak. Perbezaan agama adalah elemen
utama yang memangkin pluralisme ini.
Fahaman pluralisme ini kebanyakan dipelopori oleh orang bukan Islam kerana
beranggapan ia adalah sumber keadilan dengan menyamaratakan semua agama. Hakikat
ini sebenarnya bertentangan undang-undang dan perlembagaan dalam negara ini yang
secara jelas menyatakan Islam yang didukung oleh Sultan sebagai ketuanya. Entiti di
dalamn pluralisme itu juga sebenarnya bertujuan sama seperti fahaman liberal yang mahu
dunia Timur yang masih terjaga untuk dilompangi dengan pemikiran ala Barat yang
cenderung kepada kebebasan dan meminggirkan norma-norma manusia yang beragama
dan berTuhan.
3.0 CABARAN-CABARAN
Jika kita melihat kebelakang bagaimana perkembangan yang dilalui oleh Malaysia dalam
membina “Bangsa Malaysia”, terlalu banyak cabaran pernah dihadapi dalam membentuk
Malaysia hari ini. Walau bagaimanapun, pembentukan Bangsa Malaysia yang sebenar
belum lagi tercapai. Banyak lagi cabaran-cabaran yang masih belum mempunyai jalan
penyelesaian yang sempurna. Malah cabaran-cabaran baru dalam mencapai pembentukan
Bangsa Malaysia yang sebenar sentiasa wujud dari semasa ke semasa. Dalam
perbincangan sebelum ini telah disentuh secara tidak langsung sedikit sebanyak tentang
cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pembentukan “Bangsa Malaysia”.
Salah satu daripada cabaran pembentukan Bangsa Malaysia ini ialah sikap
perkauman dikalangan rakyat Malaysia yang masih belum lagi dapat dihakis sehingga
kini. Fenomena masa kini memperlihatkan, setiap kaum yang terdapat di Malaysia cuba
untuk meninggikan taraf hidup kaum masing-masing. Perkara ini sememangnya satu
perkara yang baik dan berfaedah kerana setiap kaum berusaha memajukan dan membela
suku kaum masing-masing. Namun demikian, sering kali berlaku perkara yang tidak
diingini. Antaranya ialah sikap yang terlalu mengangung-angungkan kaum masing-
masing sehingga memandang rendah dan serong terhadap kaum-kaum lain. Sudah
dikatakan sebelum ini bahawa masih lagi wujud perasaan kekitaan dikalangan kaum di
Malaysia, masalah politik perkauman masih lagi tersemat dalam diri masyarakat. Perkara
ini yang menjadi salah satu masalah dalam pembentukan “Bangsa Malaysia” yang
sebenar. Sebagai contoh gerakan politik etnik Cina, mereka lebih cenderung untuk
menyokong kerangka negara-bangsa Malaysia yang bercirikan pluralisme budaya
(cultural pluralism) yang dapat menjamin kewujudan kepelbagaian budaya di Malaysia
dan paling penting ‘survival’ identiti etnik Cina. Kepada Mereka walau apa jua bentuk
identiti nasionalis atau identiti ‘Bangsa Malaysia’ yang ingin diwujudkan, identiti Cina
tidak harus tergugat atau terhakis. (Mohamed Mustafa Ishak. 2000). Pada dasarnya,
perkara ini sama sahaja kepada kaum-kaum lain. Terlalu mengutamakan kaum masing-
masing.
Usaha-usaha kearah memupuk dan menjana intergasi nasional dan pembentukan
negara-bangsa yang bersatu padu sering dianggap, terutamanya oleh kalangan bukan
Melayu sebagai percubaan untuk meningkatkan tahap hegemoni Melayu di Malaysia.
Projek dan program-program pembentukan bangsa yang dijana menerusi beberapa dasar
nasional sejak 1957 seperti dasar bahasa dan pendidikan, dasar kebudayaan dan dasar-
dasar ekonomi sering dianggap oleh bukan Melayu sebagai projek etnik Melayu yang
kuat dipengaruhi oleh unsur-unsur nasionalisme Melayu yang mungkin membawa kepada
berlakunya proses asimilasi bukan Melayu ke dalam arus perdana masyarakat Melayu.
Mereka binmbang sekiranya anggapan ini benar, maka ia akhirnya membawa kepada
kelunturan dan kecairan identiti etnik mereka. (Mohammed Mustafa Ishak.2000).
Jesteru itu cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam membentuk satu Bangsa
Malaysia yang sebenar-benarnya ialah dalam mewujudkan rakyat Malaysia yang tidak
hanya mementingkan kaum masing-masing tetapi turut mengambil berat tentang tentang
kaum-kaum lain. Sebagai contoh, orang yang paling dekat untuk melakukan perkara ini
ialah pemimpin-pemimpin masyarakat yang mewakili kaum masing-masing. Pemimpin-
pemimpin tidak seharusnya hanya membantu dalam memajukan kaum masing-masing
tetapi seharusnya berperanan membantu kaum-kaum lain. Mereka hendaklah menjadi
contoh dan tauladan kepada orang-orang yang dipimpinnya. Sudah masanya setiap rakyat
dan pemimpin di Malaysia menukar cara pemikiran mereka daripada sikap hanya
berfikiran memajukan suku kaum mereka sendiri kepada sikap memajukan bangsanya
iaitu “Bangsa Malaysia”. Mohamed Mustafa Ishak (2000) menerangkan, bahawa peranan
utama parti-parti politik yang mewakil kelompok etnik bukan Melayu ialah memastikan
projek pembentukan Bangsa Malaysia, walau apa jua matlamatnya tidak akan sekali-kali
menghilangkan identiti etnik mereka.
Cabaran seterusnya yang dihadapi oleh Malaysia dalam mewujudkan satu
“bangsa Malaysia” yang sebenarnya ialah merubah persepsi atau pandangan telah
tersemat dalam pemikiran dalam setiap rakyat Malaysia mengenai apa itu bangsa
Malaysia. Fenomena hari ini, masih ramai lagi rakyat Malaysia tidak tahu apa itu “bangsa
Malaysia”. Tidak tahu atau kurang kefahaman tentang definisi bangsa Malaysia. Jika kita
tanyakan kepada rakyat Malaysia apakah bangsa mereka, kita akan mendengar salah satu
jawapannya ialah bangsa mereka sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban
atau pun lain-lain bangsa. Ini yang biasanya jawapan yang diberikan. Kita lihat betapa
kurangnya pengetahuan rakyat Malaysia tentang apa itu ‘Bangsa’. Kita mengharapkan
jawapan yang diberikan jika ditanya mengenai apakah bangsa mereka, mereka akan
menjawab bahawa bangsa mereka ialah bangsa Malaysia. Seperti wujudnya bangsa
Amerika, bangsa Jepun, bangsa Thailand, bangsa Indonesia dan beberapa bangsa lain.
Bagi golongan tertentu, istilah bangsa Malaysia mungkin baru didengar lebih-lebih lagi
apabila gagasan Wawasan 2020 dicetuskan hanya pada awal tahun 1991. Tafsiran dan
konsepnya tidak dijelaskan sehingga konsep bangsa dalam pembinaan negara disamakan
dengan konsep bangsa sebagai ras, masyarakat atau kaum. Kata masyarakat mungkin
terlalu sempit untuk kita seertikan dengan bangsa kerana masyarakat Malaysia tidaklah
sama dengan Bangsa Malaysia. Konsep bangsa dalam erti kesatuan dan persatuannya
perlu dihayati oleh seluruh warga Malaysia.(A.Aziz Deraman. 2001). Dalam bukunya
yang bertajuk Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia, A. Aziz Deraman
(2000) menyatakan bahawa Konsep masyarakat sering sahaja dikelirukan dengan konsep
bangsa. Masyarakat Malaysia tidak mungkin dapat disamakan dengan Bangsa Malaysia.
Bangsa bukannya kaum atau terhad kepada satu-satu masyarakat. Bangsa harus dilihat
dalam perspektif kenegaraan (nationhood).
Jika diteliti dengan lebih mendalam, perkara ini bukanlah satu perkara yang boleh
diambil mudah. Sudah masanya kerajaan atau badan-badan yang berkaitan mengambil
langkah dalam membendung fenomena ini. Fenomena dimana rakyat Malaysia salah
memberikan jawapan jika ditanya apakah bangsa mereka. Sebagai contoh, kesilapan
dalam mengisi jawapan semasa mengisi borang. Sama ada borang memohon kerja,
memohon pinjaman, borang memasuki sekolah atau borang-borang lain yang ada
menanyakan tentang butir-butir peribadi. Apabila sampai dibahagian yang menanyakan
tentang bangsa, maka mulalah mereka meletakkan jawapan suku kaum mereka. Ada yang
menjawab Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau, Bugis dan sebagainya mengikut kaum
masing-masing.
Perkara ini sungguh menyedihkan kerana itu sebenarnya bukanlah bangsa mereka,
itu adalah kaum mereka. Bangsa mereka adalah bangsa Malaysia. siapakah yang perlu
disalahkan dalam hal ini. Adakah mereka yang menyediakan borang atau pun mereka
yang menjawab borang tersebut. Dalam hal ini tidak perlu saling menyalahkan. Kedua-
dua pihak seharusnya mengambil langkah yang bijak dalam mengatasi masalah ini. Bagi
mereka yang menyediakan borang, mereka seharusnya berhenti menyediakan borang
yang menanyakan bangsa, mereka seharusnya menggantikan soalan bangsa tersebut
dengan suku kaum. Jika ingin meletakkan soalan tersebut hendaklah meletakkan begitu
saja bukannya dengan menyertakan dengan pilihan jawapan sekali sebagai contoh
bangsa, pilihan jawapan yang diberikan, Melayu, Cina , India, Bumiputera dan lain-lain.
Ini dengan jelas menunjukkan betapa naifnya rakyat kita. Perkara yang paling
menyedihkan dalam hal ini ialah dalam sijil kelahiran rakyat Malaysia hari ini, juga
menunjukkan satu kesilapan yang cukup besar. Jika kita lihat teliti dalam bahagian
bangsa, apa yang diletakkan adalah jawapan kepada suku kaum.
Selain dari segi cabaran pemikiran, cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam
mencapai matlamat mewujudkan Bangsa Malaysia ialah cabaran dari sudut ekonomi.
Bangsa Malaysia yang dicita-citakan tidak akan tercapai jika masih wujud perbezaan
taraf ekonomi setiap suku kaum di Malaysia. Perbezaan dari segi ekonomi ini ada
disebutkan dalam sembilan cabaran wawasan 2020. Berdasarkan artikel yang dikeluarkan
oleh laman web Jabatan Penerangan Malaysia yang bertajuk Perspektif Wawasan 2020,
cabaran kelapan dalam sembilan cabaran wawasan 2020, Memastikan masyarakat yang
adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan
negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap
rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika
masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran
ekonomi berdasarkan kaum.
Perkara ini sememangnya menjadi salah satu cabaran dalam menyatupadukan
setiap kaum di Malaysia di bawah satu nama Bangsa Malaysia. Ini kerana disebabkan
ketidak seimbangan dalam ekonomi dan taraf hidup rakyat, maka perasaan saling dengki
mendengki akan tetap wujud dikalangan masyarakat. Tidak dinafikan bahawa untuk
merubah sesuatu kaum itu adalah atas tanggungjawab kaum itu sendiri. Namun demikian
kaum yang sedia maju seharusnya tidak lepas tangan dalam membantu memajukan kaum
lain. Perkara ini adalah salah satu cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam
membentuk satu Bangsa Malaysia dimana setiap suku kaum yang terdapat dalam
kelompok Bangsa Malaysia ini saling sokong menyokong dalam bidang ekonomi dan
sosial. Perkara yang sering berlaku seperti pengambilan pekerja-pekerja oleh majikan
yang mengutamakan kaum masing-masing terlebih dahulu dan bukannya berdasarkan
kepada kelayakkan sebenar seharusnya dihapuskan dengan segera. Hanya dengan
wujudnya perasaan satu bangsa sahaja yang dapat membendung masalah ini. Dalam
Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir
terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil,
sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak
adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini telah diterjemahkan ke
dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan
projek Rancangan Malaysia Keenam.
Selain daripada itu, pembinaan Bangsa Malaysia menghadapi cabaran dari segi
pendidikan. Jika kita kembali kepada salah satu definisi Bangsa Malaysia, Tun Dr.
Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia pernah menjelaskan bahawa
Bangsa Malaysia adalah bangsa yang mampu mengenalpasti diri mereka dengan negara,
bertutur dalam bahasa Malaysia dan menerima Perlembagaan Persekutuan. Apa yang
ingin diketengahkan disini ialah mengenai penggunaan bahasa. Salah satu ciri Bangsa
Malaysia ialah mampu bertutur dalam Bahasa Malaysia. namun demikian pada masa kini
jelas kelihatan bagaimana penggunaan Bahasa Malaysia semakin terpinggir. Begitulah
halnya dalam dunia pendidikan hari ini.
Bagaimana pengenalan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains
dan matematik untuk tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah bermula pada
awal sesi persekolah tahun 2003 dan secara berperingkat-peringkat mula mengambil
tempat dalam institusi pendidikan lain seperti politeknik dan matrikulasi. Perkara ini
sememangya menjadi salah satu penghalang kepada pembinaan Bangsa Malaysia yang
sebenar. Mungkin hari ini penggunaan bahasa Inggeris hanya dalam sains dan matematik,
tetapi ditakuti ianya akan merebak kepada penggunaannya dalam mata pelajaran lain
seperti ekonomi, geografi ataupun matapelajarn lain. Jesteru itu, tindakan kerajaan yang
cuba mengembalikan penggunaan Bahasa Melayu dalam matapelajaran sains dan
matematik lantaran hasil kajian yang menunjukan penggunaan bahasa Inggeris dalam
kedua-dua matapelajaran ini tidak begitu berjaya adalah satu langkah yang cukup bijak.
Jesteru itu diharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah ditubuhkan sekian lama
kembali memperjuangan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan kerana
pendidikanlah jalan terbaik untuk menggalakkan penggunaan dan penguasaan Bahasa
Melayu dikalangan Bangsa Malaysia yang berbilang suku kaum.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Bangsa Malaysia turut
terhalang oleh wujudnya bahasa lain sperti India dan Cina. Dalam konteks pembentukan
negara bangsa perlu ditegaskan bahawa kes Malaysia amat ganjil terutamanya sikap
Masyarakat bukan Melayu terhadap bahasa dan pendidikan kebangsaan yang merupakan
engin terpenting untuk mencapai cita-cita murni diatas. Betapa tidak, patutkah bahasa
kebangsaan negara China ( Bahasa Mandirin ) dan bahasa ibunda Tamil Nandu di India
selatan (bahasa Tamil) didaulatkan di Malaysia, walhal mereka (sebagai warganegara
Malaysia) mengaku mencintai dan menumpukan taat setia kepada negara ini. Ini
bermakna mereka terkeluar daripada kerangka pembinaan Bangsa Malaysia yang
digagaskan oleh Dr. Mahathir Mohamad (Tun Mahathir) “pembinaan Bangsa Malaysia
yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama dan
menumpukan taat setia dan pengabadian yang tidak berbelah bahagi terhadap bangsa
tersebut”. (Nordi Achie, 2003)
Seterusnya, bidang pendidikan hari ini memperlihatkan satu ciri yang dirasakan
sedikit sebanyak menghalang pembentukan Bangsa Malaysia. Bukanlah bertujuan untuk
mempertikaikan sistem pendidikan hari ini. Cita-cita kerajaan adalah untuk membina satu
Bangsa Malaysia. Jesteru itu kerajaan hendaklah berusaha mengelak segala halangan
yang boleh membantutkan hasrat tersebut. Walau sekecil mana halangan tersebut ianya
hendaklah dibendung. Sistem yang dirasakan turut menjadi faktor penghalang
pembentukan Bangsa Malaysia ialah sistem persekolahan yang berasingan yang wujud di
Malaysia hari ini. Wujudnya sekolah-sekolah yang berasaskan kaum dapat
membantutkan proses pembinaan Bangsa Malaysia. Jesteru itu menjadi satu cabaran
kepada kerajaan bagi mewujudkan satu sistem persekolahan yang mencerminkan sistem
persekolahan yang dapat membantu mewujudkan Bangsa Malaysia tanpa menyentuh isu-
isu sensitif semua kaum yang tergolong dalam Bangsa Malaysia ini. Kaum Melayu
dengan sekolah madrasah atau sekolah pondoknya, Kaum Cina dengan sekolah jenis
kebangsaan Cina begitu juga kaum India. Jika keadaan ini berterusan maka agak susah
untuk menintergrasikan setiap masyarakat ini. Adakah kita mengharapkan ianya diambil
oleh institusi pengajian tinggi. Dimana apabila golongan pelajar ini melangkah kemenara
gading barulah mereka dapat berinteraksi dengan lebih rapat. Kita bersyukur kerana pada
masa kini tidak ada lagi wujud universiti yang berasaskan kaum di Malaysia.
Lantaran dari itu sistem persekolah yang berasaskan kaum atau etnik ini
seharusnya dikurangkan ataupun disatukan di bawah satu nama. Tidak salah jika sekolah
tersebut mempunyai satu sistem dimana diwujudkan matapelajaran yang berasaskan etnik
masing-masing sebagai matapelajaran tambahan. Berikan peluang kepada semua pelajar
untuk mempelajari budaya dan etnik serta bahasa suku kaum lain. Seperti yang berlaku di
institusi-institusi pengajian tinggi awam dimana pelajarnya diberikan peluang untuk
mempelajari atau memilih bahasa lain sebagai matapelajaran tambahan.
Apakah perlunya dan manfaatnya dalam konteks perpaduan kebangsaan dan
pembentukan Bangsa Malaysia, masyarakat Cina-India masih berkeras mendaulatkan
Bahasa Kebangsaan dan Ibunda asing sedangkan mereka sedar ini negara Malaysia dan
mereka warganegara Malaysia. Kalaupun mereka mahu mempelajarinya (Mandarin dan
Tamil) tidak salah malah digalakkan misalnya untuk tujuan ekonomi dan diplomatik.
Tetapi bukannya dengan cara mendaulatkan bahasa kebangsaan negara dan ibunda asing
itu disekolah jenis kebangsaan. Jesteru keberadaan sekolah perkauman itu sendiri mesti
dinilai semula. Itupun sekiranya kerajaan dan rakyat Malaysia benar-benar bertekad
mencapai cita-cita perpaduan Kebangsaan dan bangsa Malaysia. dan pada masa yang
sama, subjek (kursus) bahasa asing itu pula boleh ditawarkan disekolah kebangsaan dan
pelajar Melayu-bumiputera patut juga digalakkan mempelajari bahasa asing itu.
Selain dari segi cabaran mewujudkan perasaan satu bangsa Malaysia dalam diri
rakyat Malaysia. Cabaran seterusnya ialah untuk melahirkan setiap rakyat atau bangsa
Malaysia yang mempunyai jati diri Bangsa Malaysia. Jati diri bangsa Malaysia yang
dimaksudkan ialah menjadi rakyat Malaysia yang memenuhi ciri-ciri bangsa Malaysia
yang diinginkan, Bangsa Malaysia adalah bangsa yang mampu mengenalpasti diri
mereka dengan negara, bertutur dalam bahasa Malaysia dan menerima Perlembagaan
Persekutuan, perkongsian wilayah, budaya dan bahasa serta perasaan sebangsa. Idris
Md.Noor yang memetik pendapat Schwartz (1998) menyatakan bahawa bagi negara
yang mempunyai pelbagai kaum, pembinaan jati diri adalah suatu yang agak komplikated
dan ada kalanya problematik.
Pembangunan bangsa sesebuah negara pebagai kaum memerlukan masyarakat
yang boleh menerapkan pembinaan positif individu melalui nilai hormat menghormati
dan nilai penghargaan di antara individu penduduknya. Oleh yang demikian pembinaan
jati diri Bangsa Malaysia hendaklah segera diserapkan dalam setiap individu yang
tergolong dalam kelompok bangsa Malaysia. Jati diri adalah asas dan pokok kepada
kestabilan politik,sosial dan ekonomi negara ( Indris Md.Noor, 2000). Dasar-dasar sosial
negara perlu diterjemahkan kepada program dan aktiviti yang boleh memupuk perpaduan
dan intergrasi serta jat diri bangsa. (A. Aziz Deraman, 2001)
Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh Malaysia dalam membentuk Satu
Bangsa Malaysia ialah untuk melahirkan individu-individu yang cintakan negara dengan
sepenuhnya tanpa berbelah bahagi. Perkara yang dimaksudkan ialah, memupuk semangat
patriotisme dikalangan bangsa Malaysia. Istilah patriotisme umumnya bermakna cintakan
tanah air ataupun tanah tumpah darah. Dalam konteks yang lebih luas, patriotisme adalah
perasaan cintakan sesebuah negara bangsa. ( Mohd.Jamil bin Mukmin, 2005). Dalam kita
menjelaskan semangat patriotisme ini selalunya kita gunakan lambang-lambang yang
abstrak. Seperti bendera, lagu negara, ikrar, slogan atau banyak lagi. Semua simbol-
simbol negara ini seharusnya dihormati. Itulah yang ingin dilahirkan dalam pembinaan
bangsa Malaysia dan menjadi satu cabaran kepada Malaysia untuk menyerapkan nilai-
nilai patriotisme ini. Bangsa Malaysia yang sebenar tidak akan tercapai sekiranya masih
ada rakyat Malaysia yang tidak menghormati simbol-simbol negara seperti bendera dan
lagu. Seperti yang pernah berlaku dimana seorang rakyat Malaysia yang pernah belajar
diluar negara telah menghina lagu Negaraku. Pelajar ini telah mengubah versi lagu
Negaraku kepada lagu berversikan hip hop. Malah pada masa kini masih ramai rakyat
Malaysia yang tidak menghormati lagu Negaraku apabila dinyanyikan dalam majlis-
majlis rasmi. Masih ada yang tidak berdiri dengan tegak dan masih ada yang berborak-
borak tanpa mempedulikan lagu negaraku sedang dinyayikan.
Pembentukkan bangsa Malaysia turut menghadapi cabaran dalam membentuk
golongan generasi baru negara. Generasi baru negara yang dimaksudkan ialah golongan
remaja atau muda mudi yang bakal menerajui perjalanan masa depan negara pada masa
akan datang. Generasi baru Malaysia adalah generasi negara maju, yang maju dalam
pelbagai aspek, kerohanian dan nilai sosial, mengamalkan keadilan sosial, mempunyai
perpaduan nasional dan sosial, menjadi bangsa bermaruah dan penuh keyakinan,
mempunyai hidup yang bermutu, mempunyai sistem kerajaan yang mantap dan
mewujudkan kestabilan ekonomi serta politik. (Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat
Negara)
Namun realiti hari ini sugguh mengecewakan, golongan yang di harap dapat
membentuk bangsa Malaysia yang diharapkan pada masa hadapan, tidak mempunyai
perisai diri yang dapat menangkis segala gejala-gejala negatif yang boleh mempengaruhi
mereka pada bila-bila masa sahaja. Pada masa kini, remaja terlalu mudah terjebak dengan
gejala-gejala sosial seperti penagihan dadah, merempit, gengsterisme yang turut
melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah dan beberapa kejadian gejala-gejala sosial
lain. Satu perkara yang turut merisaukan ialah gejala kecelaruan jantina dikalangan
golongan remaja masa kini. Kita lihat semakin hari semakin ramai golongan lelaki
lembut. Golongan lelaki yang diharap dapat memimpin negara pada masa hadapan tetapi
tidak sedar keadaan diri mereka.tidak sedar siapa diri mereka sebenarnya. Perkara ini
turut berlaku dikalangan wanita yang semakin hari semakin berani menunjukan diri
mereka sebenar. Ada yang turut berani menganggap diri mereka sebagai lelaki.
Perkara lain yang menjadi cabaran kepda pembinaan bangsa Malaysia yang
beracuan Malaysia turut menerima cabaran lantaran wujudnya era globalisasi. Globalisasi
atau dunia tanpa sempadan ini menjadi salah satu ancaman kepada negara dalam
membentuk rakyat yang menolak pengaruh negatif dari luar, seperti cara hidup bebas ala
barat, pemakaian yang tidak mencerminkan gaya ketimuran lagi, dan beberapa pengaruh
globalisasi yang bersifat negatif.
Secara keseluruhannya, terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh
Malaysia dalam mengorak langkah untuk mencapai pembentukan Bangsa Malaysia yang
sebenar. Tanggungjawab ini tidak seharusnya jatuh keatas bahu pihak kerajaan semata-
mata, tetapi ianya menajdi tanggungjawab semua pihak yang tergolong dalam kelompok
Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan. Satu hal yang kita tidak harus lupa ialah
memupuk semangat kebersamaan nilai dan norma bangsa Malaysia. kita harus
mempunyai kesepaduan jiwa, sayang pada negara, cinta pada sistem sendiri, dan sentiasa
mempertahankan wibawa sendiri dengan memandang jauh kedepan. Kita patut sudah
lama mengelakkan perbezaan, jika mungkin menghapuskannya dan mengikisnya sama
sekali. Nampaknya kita memang belum terlibat mendungkungi nilai dan norma
keseluruhan yang utuh, kecuali dalam hal tertentu sahaja. Kita masih terikat dengan adat
resam, undang-undang adat, gaya, pantang larang, upacara, etiket kaum atau masyarakat
sendiri. Kita harus memecahkan tembok pemisah itu dan berada disuatu gelangang yang
sama, memupuk nilai bersama dan mengurangkan tekanan nilai kita (yang tidak boleh
diketengahkan itu) bagi diterima oleh orang lain. Nilai sendiri dikekalkan sahaja
diperingkat sendiri. Identiti negara terserlah apabila seluruh rakyatnya yang pelbagai
kaum menghayati nilai dan norma yang dikongsi dan didukungi bersama. ( A. Aziz
Deraman. 2000). Walaupun setelah 49 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, namun
masih terdapat banak isu dan masalah yang perlu dihadapi. Isu perpaduan kaum dan
intergrasi nasional masih belum selesai, jati diri sebagai bangsa Malaysia, semangat
patriotisme juga masih dipersoalkan, semangat kesukarelaan yang rendah lebih-lebih lagi
dikalangan golongan muda untuk menabur bakti kepada masyarakat, masalah kemiskinan
dan jurang ekonomi antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera, tahap pencapaian
akademik yang rendah lebih-lebih lagi dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan,
pengangguran dikalangan garaduan, graduan yang tidak marketable, graduan yang tidak
mempunyai soft skills, competitive skills dan juga hard skills. Masalah sosial termasuk
tingkah laku, anti sosial, gejala penyalahgunaan dadah, pelanggaran udang-undang,
aktiviti militan dan sebagainya. Hampir kesemua isu dan permaslahan uyang dihadapi ini
merupakan ramuan penting sebagai senjata bagi menghadapi cabaran globalisasi. (Ketua
Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara)
PENUTUP
Kesimpulannya, Usaha memantapkan integrasi nasional merupakan satu titik fokal yang
penting dalam proses pembinaan satu negara-bangsa yang terserlah bagi negara majmuk
seperti Malaysia. Semenjak penubuhan Malaysia lebih 30 tahun yang lalu sehinggalah
kini, pelbagai isu yang berkaitan dengan integrasi nasional masih lagi hangat
diperkatakan. Antara isu-isu yang diutarakan termasuktah bagaimana untuk
menyatupadukan rakyat jelata dari segi psikologi, wilayah- wilayah yang terpisah oleh
faktor geografi dan mempunyai latar belakang kebudayaan dan sosio-ekonomi yang
berbeza. Dalam usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 menerusi
pembudayaan struktur pemikiran minda masyarakat baru Malaysia yang berorientasikan
elemen keterbukaan dan ketelusan, telah digariskan dengan jelas bahawa terdapat
sembilan cabaran yang harus ditempuhi. Antara cabaran yang paling sukar ditangani
adalah agenda untuk membina satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu baik dari segi
wilayah mahupun etnik.
Ini juga bermakna bahawa kita tidak boleh memperkecil-kecilkan kepentingan
pelbagai isu yang berkait rapat dengan perpaduan kaum di kalangan rakyat keseluruhan.
Kita hanya mempunyai lebih kurang suku abad untuk merealisasikan cabaran ini. Selain
itu, adakah Bangsa Malaysia yang dimajukan kelak mampu berperanan untuk
menyumbang ke arah kebangkitan semula Asia menerusi proses pertembungan
konfigurasi pelbagai khazanah budaya intelektual untuk mendokong kelahiran satu
ketamadunan baru Asia yang agung dan mulia sifatnya.
Kelahiran budaya pemikiran minda yang terbuka di kalangan Bangsa Malaysia itu
adalah satu prasyarat penting untuk mencetuskan tamadun bangsa itu sendiri. Pada masa
yang sama, konfigurasi pelbagai tamadun dan budaya agung yang pernah bertapak di
tanah air kita dapat digunakan sebagai salah satu kekuatan dalaman bukan sahaja untuk
membangunkan acuan bangsa kita, tetapi budaya intelektualnya agar dapat sama-sama
bergerak ke arah mengembalikan kegemilangan Asia itu. Menyedari tentang
peripentingnya merealisasikan konsep Bangsa Malaysia ini serta keprihatinan untuk turut
serta mengambil bahagian dalam proses pembinaan negara-bangsa Malaysia yang
berwibawa dan unggul, adalah jelas bahawa integrasi nasional secara menyeluruh
bukanlah satu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia harus dilihat dari satu perspektif
yang bersifat holistik.
Malahan, ada sesetengah pihak yang melahirkan rasa kebimbangan bahawa
perkara ini cuma impian orang Malaysia dan mustahil untuk direalisasikan berasaskan
adanya percanggahan perkembangan yang cenderung ke arah perspektif segregasi
daripada integrasi. Oleh itu, gambaran yang benar serta maklumat yang tepat perlu
diketahui untuk memperdalami serta menghargai kefahaman tentang kedudukan proses
integrasi agar proses pembentukan Bangsa Malaysia yang diasaskan pada kepelbagaian
budaya boleh dihalatujukan untuk mendokong agenda mega kebangkitan Asia menerusi
proses pembudayaan pemikiran minda dan keintelektualan yang terbuka.
RUJUKAN
A. Aziz Deraman (2001) Masyarakat dan kebudayaan Malaysia: Satu Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia. dewan Bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur. Ms 176.177.
A. Aziz Deraman.(2000) Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2.
Idris bin Md. Noor.(2000) Jati Diri: Analisis Meta, cabaran dan Peluang. Seminar Penghayatan dan Pengukuhan Kemerdekaan Malaysia. Kuala Lumpr. (ms.8,9)
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (2008) Persfektif wawasan 2020 darihttp://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=255:perspektif-wawasan-2020&catid=88:dasar-dasar-negara
Mohamed Mustafa Ishak (2000) Projek Pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ sesudah 43 Tahun Merdeka: Permasalahan dan Cabaran.Seminar Penghayatan dan Pengukuhan Kemerdekaan Malaysia. Kuala Lumpur. Ms 10, 11.
Mohd. Jamil bin Mukmin (2005) Belia dan Patriotisme Malaysia: Patriotisme dalam Konteks Pembinaan Bangsa Malaysia. Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia. Melaka. Ms 23.
Nordi Achie (2003) Pembentukan Bangsa Malaysia, Perpaduan Kebangsaan dan Ancaman Politik Perkauman: Satu Penilaian awal. Pusat Penataran ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah sempena seminar kebangsaan pembinaan Nasion Malaysia. ms 6. 8.
Osman Bakar. (2008)Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban, Jurnal Peradaban, Kuala Lumpur.
top related