al musawah & al syura
TRANSCRIPT
PRINSIP AL-MUSAWAH
Al-Musawah membawa maksud persamaan. Persamaan yang dimaksudkan dalam
konteks ini ialah mengenai persamaan taraf dan kedudukan setiap pentadbir, pengurus
ataupun setiap individu di sisi undang-undang atau peraturan dalam memperolehi hak-
hak asasi dan pada taraf atau status kemanusiaan. Semua manusia berasal daripada satu
keturunan yang sama dan hanya berbeza dari sudut amalan, tanggungjawab dan
ketaqwaan sahaja.
Firman Allah S.W.T.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbilang bangsa dan bersuku-suku
supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sis Allah
adalah orang-orang yang paling bertaqwa.”
Surah Al-Hujurat ayat 13
Ayat ini membawa maksud manusia adalah sama dan terikat di sisi peraturan atau
undang-undang yang syarie, tanpa sebarang pengecualian atau keistimewaan. Tiada
sesiapa yang boleh menjatuhkan taraf dan kehormatan orang lain melainkan jika ianya
dibenarkan oleh undang-undang.. Islam menentang keras kewujudan sistem kasta iaitu
membezakan manusia berdasarkan warna kulit, bahasa, bangsa, budaya, pangkat, asal
keturunan dan sebagainya. Sistem kasta mengundang pelbagai masalah terhadap
masyarakat serta mencetuskan perbalahan dan persengketaan yang mungkin
berpanjangan. Maka, manusia seharusnya diberi persamaan dari segi tanggungjawab
terhadap undang-undang, hukuman serta agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan.
Tanggungjawab Terhadap Undang-Undang
Semua manusia terikat dengan peruntukan undang-undang yang sama tanpa
dibezakan bangsa, keturunan, pangkat, warna kulit dan lain-lain. Undang-undang
tidak boleh digubal hanya untuk dikuatkuasakan kepada golongan atau bangsa
tertentu sahaja.
Tanggungjawab terhadap hukuman
Setiap manusia mesti dipertanggungjawabkan dengan hukuman yang telah
dijatuhkan tanpa mengira kedudukan, taraf, warna kulit, bangsa ataupun
keturunan seseorang. Semua manusia juga terikat dengan undang-undang,
peraturan dan hukuman yang sama. Hukuman tidak boleh dijatuhkan berbeza
dengan mengikut taraf dan darjat seseorang.
Agihan dan Penerimaan Kemudahan-Kemudahan
Harta yang telah diiktiraf sebagai harta awam seperti sekolah, hospital, jalanraya
serta taman permainan dan sebagainya haruslah dikongsi bersama. Penafian
terhadap hak ini akan menimbulkan konflik sosial yang mengakibatkan kesan
negatif seperti rusuhan kaum dan tunjuk perasaan.
PRINSIP AL-SYURA
Syura merupakan proses perbincangan, perundingan dan permesyuaratan untuk
mencapai permuafakatan dan persetujuan bersama dalam membuat keputusan mengenai
sesuatu polisi atau tindakan. Proses ini memberikan peluang kepada mereka yang terlibat
untuk mengemukakan pandangan secara bebas dan pada masa yang sama menghargai
pandangan pihak lain untuk mencapai keputusan yang terbaik melalui partisipasi pelbagai
pihak dalam perkara yang menyangkut kepentingan bersama. Ini sejajar dengan suruhan
al-Quran dan amalan Rasulullah S.A.W. Amalan syura dalam Islam adalah suatu
pendekatan yang perlu diterapkan dalam setiap aspek kehidupan.
Firman Allah S.W.T.
"Dan (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan
menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna;
dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka
pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepadanya".
(Surah al-Syura ayat 38)
"…dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal
keduniaan itu), apabila telah tetap keazaman maka bertawakallah kepada Allah".
(Surah Ali Imran ayat 159)
Mengikut al-Mawardi (1966:43 & 1993:73) terdapat empat pendapat di kalangan
ulama tafsir (ahli al-ta’wil) mengenai suruhan amalan syura, iaitu:
Al-Hassan
Rasulullah S.A.W. disuruh bermesyuarat dengan mereka (para sahabat) dalam
urusan peperangan untuk mendapat pandangan yang bernas (sahih).
Qatadah
Rasulullah S.A.W. bermesyuarat dengan mereka bagi menjalinkan kemesraan
serta mengambil hati mereka.
Al-Dahhak
Rasulullah S.A.W. bermesyuarat kerana Allah S.W.T. mengetahui kelebihan serta
faedah yang akan didapati.
Suffian
Rasulullah S.A.W. bermesyuarat bertujuan untuk menjadikannya ikutan bagi
orang-orang lslam. Walaupun ia sebenarnya tidak memerlukan kepada pandangan
mereka.
Nabi Muhammad S.A.W. mengamalkan syura dalam pentadbiran dan pengurusan
seperti berbincang mengenai strategi Peperangan Khandak dan tawanan Perang Badar.
Baginda tidak membuat keputusan secara bersendirian tetapi lebih gemar mengadakan
perbincangan dengan para sahabat. Baginda juga menerima dengan terbuka pendapat
yang dikemukakan oleh sahabat lain yang dirasakan lebih baik daripada pendapat
baginda sendiri. Syura mempunyai kelebihan yang mengatasi keputusan atau pemikiran
secara individu iaitu keputusan yang diambil lebih baik dan tepat, kesilapan dalam
membuat keputusan dapat dielakkan, dapat menggalakkan manusia untuk sentiasa
berfikir dalam membuat keputusan, serta kerjasama dan muafakat dalam setiap urusan
kehidupan dapat diaplikasi oleh setiap manusia.
Al-Quran tidak menggariskan secara terperinci peraturan atau kaedah dan
kelayakan untuk anggota majlis tersebut bagi melaksanakan syura. Ini membawa maksud,
syura boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Pendapat majoriti adalah
keputusan syura. Maka, suara minoriti hendaklah mengikut suara majoriti. Sekiranya
kelompok suara kecil masih terus mempersoalkan keputusan yang telah dicapai melalui
proses syura secara muafakat, ia dianggap tidak wajar.
Rasullullah S.A.W. memperkenalkan sistem syura dengan melakukan berbagai-
bagai perundingan bersama sahabat yang bijak, pandai, kuat iman, warak dan
bersemangat untuk mengembangkan lslam. Majlis penasihat (syura) pada masa itu terdiri
daripada kalangan muhajirin dan Ansar. Mesyuarat dijalankan untuk membincangkan
terutamanya urusan berkaitan politik, pendidikan dan ketenteraan. Dengan kata lain
perbincangan adalah mengenai perkara-perkara teknikal atau mencari kaedah untuk
melaksanakan sesuatu urusan/ projek. Keputusan dibuat hanya untuk mencapai dan
mencari keredaan Allah S.W.T., sesuai dengan hukum-Nya dan sunnah nabi-Nya. Dari
segi keahlian pula berdasarkan keimanan, keilmuan, ketaqwaan, bijak, mahir dan
bersemangat untuk membangunkan Islam.
Walaupun Majlis Syura dari segi perlaksanaannya seakan-akan menyamai dengan
proses demokrasi ala Barat, namun terdapat perbezaannya, amalan demokrasi Barat
menyerahkan kuasa pemutus kepada suara majoriti yang dipilih walaupun suara tersebut
bertentangan dengan kehendak Islam. Demokrasi Barat juga memberikan kuasa yang
amat luas kepada rakyat untuk menentukan segala keputusan. Ia seolah-olah
mendaulatkan rakyat sebagai simbol kekuasaan sedangkan Islam meletakkan Allah
S.W.T. sebagai Yang Memiliki Kuasa Yang Tertinggi. Sistem syura dalam Islam tidak
sama dengan mesyuarat yang menjadi amalan masa kini. Walaubagaimanapun, syura
mempunyai batasan dan limitasi keharusannya iaitu:-
Syura tidak seharusnya diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang
telah dinaskan secara jelas dan pasti melainkan bagi menentukan cara-cara untuk
melaksanakan perkara yang dinaskan tersebut. Contohnya seperti tidak
membincangkan untuk melaksanakan atau tidak undang-undang Islam, tetapi
diharuskan berbincang tentang pendekatan yang boleh diambil untuk
melaksanakan undang-undang tersebut.
Syura tidak boleh diadakan untuk membincangkan perkara yang jelas
bertentangan dengan kehendak nas syarak atau boleh membawa kepada dosa dan
maksiat. Contohnya seperti tidak boleh mengadakan perbincangan dan
perundingan untuk menghalalkan perjudian kerana ia dengan jelas bertentangan
dengan nas syarak yang telah mengharamkannya.