8097012 ilmu jarah wal tadil

Upload: ahmad-soleh

Post on 14-Jul-2015

96 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

PENGAJIAN HADISILMU AL-JARH WA AL-TA`DIL

1.0 Pengenalan 2.0 Definisi dan konsep al-jarh 3.0 Definisi dan konsep al-ta`dil 4.0 Pensyariatan ilmu ini 5.0 Keperluan kepada ilmu al-Jarh wa al-Ta`dil 6.0 Syarat-syarat bagi ulama al-jarh wa al-ta`dilPertama: Amanah ilmiah

Kedua: Mengetahui sebab jarh dan ta`dil Ketiga: Mengetahui penggunaan bahasa Arab7.0 Syarat-syarat penerimaan perawi 8.0 Al-`Adalah atau keadilan perawi10.0 Syarat-syarat keadilan 11.0 Bagaimana al-ta`dil terbukti

12.0 Definisi al-Dhabt 13.0 Bagaimana Jarh Dikenakan Kepada Perawi

14.0 Adakah Ta`Dil Dan Tajrih Diterima Tanpa Alasan

1.0 PengenalanIlmu ini adalah salah satu cabang ilmu rijal hadis. Ia merupakan neraca untuk menimbang perawi-perawi hadis. Siapakah di kalangan mereka yang boleh diterima hadisnya atau ditolak. Ia adalah satu disiplin yang menjadi tiang dan tonggak kepada al-Sunnah. Muhammad Abu al-Laith mendefinisikan ilmu al-jarh wa al-ta`dil sebagai suatu ilmu yang mengkaji tentang para perawi dari segi ta`dil yang mengelokkan mereka atau tajrih yang memburukkan keadaan mereka[1]. Muhammad Anwar a-Badakhsyani mengatakan ilmu al-jarh wa al-ta`dil ialah ilmu yang membahaskan tentang mentajrihkan perawi atau menta`dilkan mereka dengan lafaz-lafaz tertentu dan juga tentang tingkatan lafaz-lafaz tersebut[2].2.0 Definisi dan konsep al-jarh

Al-jarh atau tajrih merupakan kecaman terhadap seseorang perawi yang menyebabkan keadilan dan penjagaannya (dhabt) hilang atau cacat. Keadilan seseorang perawi hilang sama sekali seperti apabila dia keluar Islam. Manakala keadilannya boleh menjadi cacat atau rendah disebabkan fasiq, melakukan maksiat dan dhabtnya menjadi cacat kerana sering kali melakukan kesilapan dalam periwayatan hadis.

3.0 Definisi dan konsep al-ta`dil

Al-ta`dil bermaksud memberi kepujian kepada seorang perawi dengan menunjukkan kepada keadilannya dan dhabtnya. Jelas daripada kenyataan di atas keadilan dan dhabt perawi merupakan unsur yang penting dalam menentukan penerimaan ulama hadis akan periwayatan seseorang perawi.4.0 Pensyariatan ilmu ini

Mengikut prinsip asal, membicarakan tentang kedudukan peribadi orang lain dari segi keburukan dan kejahatannya tidak dibolehkan. Bagaimanapun dalam hal periwayatan hadis, perkara ini adalah sesuatu yang sangat penting dan tidak boleh dielakkan. Ini kerana, ulama hadis tidak akan dapat menentukan kesahihan sesuatu sanad hadis tanpa membicarakan siapakah perawi-perawi di dalam rantaian sanad tersebut. Adakah beliau seorang yang dipecayai atau sebaliknya. Menyembunyikan mana-mana sifat yang tidak baik yang ada pada perawi akan menjadikan usaha menilai hadis tergendala. Oleh kerana itu, ulama menyatakan membicarakan hal orang lain dalam ilmu al-jarh wa al-ta`dil termasuk di dalam maksud hadis Rasulullah s.a.w.:

Agama itu adalah nasihat (menginginkan kebaikan). Hal ini jelas difahami apabila kita meneliti firman Allah s.w.t.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, Yahya bin Sa`id al-Qattan berkata: Saya pernah bertanya kepada Sufyan al-Thauri, Syu`bah, Malik bin Anas dan Sufyan bin `Uyainah tentang seorang lelaki yang ditohmah atau dhaif, adakah patut saya berdiam diri atau saya menjelaskan tentang keadaannya? Mereka menjawab: Hendaklah anda terangkan! Imam al-Tirmizi di dalam Jami` al-`Ilal berkata: Ada satu golongan mencela ahli hadis kerana mereka memperkatakan tentang para perawi. Sesungguhnya kami mendapati bukan seorang dari kalangan para imam membicarakan tentang perawi-perawi hadis. Antara mereka ialah al-Hasan al-Basri dan Tawus, mereka berdua mempertikaikan Ma`bad al-Juhani, Sa`id bin Jubair mempertikaikan Talq bin Habib, Ibrahim al-Nakha`i dan `Amir al-Sya`bi pula mempertikaikan al-Harith bin al-A`war. Sebenarnya yang mendorong mereka itu berbuat demikian ialah nasihat mereka untuk kerana orang-orang menurut Islam. Janganlah mahu disangkakan mereka itu hanya mahu mengecam para perawi dan mengumpatkan kami, mereka menjelaskan kedhaifan perawi-perawi tersebut supaya dapat diketahui. Sebahagian mereka yang didhaifkan itu merupakan ahli bid`ah, ada yang dituduh berdusta dalam periwayatan mereka, ada juga yang lalai dan banyak melakukan kesilapan. Oleh kerana itu, para imam tersebut mahu menyatakan kedudukan mereka itu demi rahmat untuk agama dan keteguhannya kerana persaksian di dalam agama lebih patut diperkemaskan dan dititik beratkan berbanding dengan persaksian tentang urusan hak-hak dan kehartaan.[3]

Imam al-Nawawi berkata: Hendaklah diketahui bahawa sesungguhnya jarh terhadap perawi adalah harus kerana ada darurat dan kemestian yang mendorong kepadanya, demi menjaga syariat yang mulia dan ia bukanlah mengumpat yang diharamkan. Bahkan ia termasuk dalam nasihat untuk Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin. Para imam yang utama dan juga ahli warak tetap terus melakukan jarh terhadap perawi.[4] Di dalam Riyadh al-Salihin, Imam al-Nawawi menulis: Ketahuilah sesungguhnya mengumpat itu diharuskan kerana ada tujuan yang betul di sisi syara` yang tidak mungkin dicapai tanpanya. Antaranya ialah jarh terhadap perawi yang dituduh (berdusta) dan juga para saksi. Itu adalah harus berdasarkan kepada ijma` bahkan satu perkara yang wajib kerana ada keperluan.[5] Syu`bah sering kali berkata: Marilah sebentar, kita sama-sama mengumpat kerana Allah. Maksudnya mari kita menyebut al-jarh wa alta`dil.[6]5.0 Keperluan kepada ilmu al-Jarh wa al-Ta`dil

Ilmu al-Jarh wa al-Ta`dil merupakan satu ilmu yang sangat penting untuk menilai para perawi-perawi hadis atau lebih dikenali dengan rijal al-hadith. Dengan itu, kita dapat menentukan kedudukan sesuatu hadis atau riwayat itu sama ada boleh diterima atau ditolak. Tidak mungkin seseorang pengkaji dapat menyelidiki sanad hadis tanpa berpandukan kepada prinsip al-jarh wa al-ta`dil yang telah digariskan oleh ulama di dalam bidang ini. Begitu juga mengetahui syarat perawi yang diterima, kaedah membuktikan keadilan dan dhabt perawi dan perbahasan-perbahasan lain yang berkaitan dengan ilmu ini. Walaupun seseorang pengkaji itu menelaah bermacam-macam kitab rijal, dia

tidak

akan

memperolehi

hasil

kajiannya

di

dalam

bidang

ini

sehinggalah dia benar-benar menguasai prinsip-prinsip al-jarh wa alta`dil, istilah-istilahnya dan tingkatan-tingkatannya.6.0 Syarat-syarat bagi ulama al-jarh wa al-ta`dil

Secara ringkas, syarat-syarat yang dikehendaki ada pada ulama yang melibatkan diri dalam menta`dilkan dan mentajrihkan perawi dapat dibahagikan kepada tiga: Pertama: Amanah ilmiah Imam al-Zahabi berkata: Perbincangan tentang rijal tidak diharuskan kecuali bagi ulama yang sempurna pengetahuan dan kewarakan. AlHafiz Ibn Hajar pula berpandangan: Sepatutnya jarh dan ta`dil tidak diterima kecuali daripada ulama yang adil dan mutyaqqiz (mempunyai daya kepekaan yang kuat). Al-Laknawi berkata: Bagi mereka yang terlibat di dalam jarh dan ta`dil disyaratkan berilmu, taqwa, wara` , benar, dan menjauhi taksub. Sesiapa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut, jarh dan ta`dilnya tidak diterima. Ringkasnya, sifat amanah ilmiah memberi maksud sifat-sifat benar, wara, taqwa dan ilmu yang dapat menjamin seseorang yang terlibat dalam jarh dan ta`dil memberi kritikan yang adil dan jauh daripada taksub.[7]Kedua: Mengetahui sebab jarh dan ta`dil

Ulama jarh dan ta`dil perlu mempunyai sebab-sebab yang kukuh apabila mereka memperkatakan tentang seseorang perawi. Sebagai contoh, janganlah seorang perawi itu ditajrihkan hanya kerana dia seorang yang panas baran atau perawi itu dita`dilkan hanya kerana dia

memakai pakaian tertentu atau hanya kerana dia bersembahyang jemaah di masjid. Sebab-sebab seperti ini adalah sesuatu yang kabur dan boleh mengelirukan. Oleh kerana itu, Hafiz Ibn Hajar berkata: Pernyataan yang memuji diterima daripada orang yang mengetahui sebabsebabnya bukan daripada orang yang tidak mengetahuinya. Tujuannya supaya perawi itu tidak dita`dilkan semata-mata kerana penampilan yang pertama kali dilihat tanpa diuji atau diperiksa.[8]Ketiga: Mengetahui penggunaan bahasa Arab

Berapa banyak perkataan yang tidak memberi maksud tajrih telah dianggap sebagai tajrih. Ada kalanya perkataan tajrih disangkakan ta`dil. Oleh kerana itu, seorang ulama mestilah menguasai penggunaan bahasa Arab. Makna sesuatu perkataan tidak sepatutnya digunakan bukan pada tempatnya. Oleh kerana itu, ulama mestilah mengetahui pengertian lafaz-lafaz terutamanya lafaz uruf iaitu lafaz yang bersifat semasa dan setempat yang berubah dengan sebab perubahan masa dan tempat. Kemungkinan, pada satu masa ia merupakan satu pujian dan pada masa lain ia satu celaan. [9] Ini hanya akan diperolehi bagi mereka yang mempunyai kesabaran dan sentiasa melatihkan diri dengan ilmu rijal.7.0 Syarat-syarat penerimaan perawi

Ulama-ulama

hadis

dan

fiqh

sependapat

bahawa

perawi

yang

riwayatnya dijadikan hujah mestilah mempunyai dua syarat asas: keadilan dan dhabt.8.0 Al-`Adalah atau keadilan perawi

Keadilan bermaksud perawi adalah seorang muslim, baligh, waras, bersih daripada sebab-sebab kefasiqan dan perkara-perkara yang menjejaskan harga diri (al-muruah). Keadilan merupakan kemampuan dan kelayakan bagi penerimaan saksi dan periwayatan hadis daripada Rasulullah s.a.w. Keadilan juga bermaksud sifat yang ada pada seseorang yang mendorongnya supaya beriltizam dengan ketakwaan dan menjaga harga diri. Takwa pula bermaksud menjauhkan diri daripada amalan-amalan

buruk termasuk syirik, kefasikan dan bid`ah. Ia juga bermaksud menuruti titah perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan perbuatanperbuatan yang ditegahNya. Takwa juga dapat diungkapkan sebagai keadaan yang kuat dan kukuh di dalam jiwa, yang mendorong supaya beriltizam dengan ketakwaan dan muruah sehingga memperolehi kepercayaan diri dengan sebab kebenarannya dan yang diambilkira ialah menjauhi dosa-dosa besar dan sebahagian dosa-dosa kecil.[10] Al-Khatib al-Baghdadi menukilkan daripada Qadhi Abu Bakar

Muhammad Ibn al-Tayyib bahawa keadilan yang dikehendaki pada saksi dan pencerita (perawi) ialah keadilan yang merujuk kepada lurus agamanya (istiqamah), sejahtera pandangannya, tidak ada kefasikan dan seumpamanya yang menyebabkan keadilannya terbatal, seperti perbuatan yang ditegah sama ada anggota tubuh badannya atau hatinya. Kesimpulannya ialah keadilan itu ialah tetap lurus dan istiqmah dalam melaksanakan tuntutan syara` manakala fasiq atau kefasikan itu ialah terkeluar daripada landasan istiqamah dalam mengerjakan hukumhukum syara`.9.0 Syarat-syarat keadilan

Seseorang perawi itu dikatakan adil apabila beliau memenuhi syaratsyarat berikut: Pertama, beragama Islam, bukan seorang yang kafir. Antara nas yang menjadi dalil kepada syarat ini ialah firman Allah s.w.t:

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan dia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Surah al-Tawbah:61 Ayat ini bermaksud Rasulullah s.a.w. mempercayai orang-orang beriman bukan orang munafiq dan bukan juga orang kafir.[11] Orang kafir tidak diterima periwayatan mereka kerana mereka tidak beriman dengan Allah dan RasulNya. Bagaimana dia akan mempercayai hadis Rasulullah s.a.w. sedangkan beliau tidak beriman dengan baginda. Syarat ini mesti ada pada seseorang perawi itu ketika beliau menyampaikan hadis. Adapun semasa menerima hadis, seorang kafir dibolehkan menerima hadis dengan syarat dia menyampaikannya setelah memeluk Islam. Syarat kedua, mencapai usia baligh. Menurut pendapat yang lebih sahih, hadis daripada seorang kanak-kanak tidak boleh diterima. Bagaimanapun kanak-kanak dibenarkan untuk menerima hadis jika dia

sudah mumayyiz dan memahami apa yang didengar tanpa ditentukan pada usia manapun.[12] Syarat keempat, seorang yang waras. Dengan itu hadis tidak diterima daripada orang yang tidak siuman, orang yang tidak siuman pada ketika dan keadaan tertentu serta memberi kesan ketika waras.[13] Syarat kelima, selamat daripada kefasikan dan perkara yang

mencacatkan harga diri. Fasiq ialah melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Dengan menjaga harga diri, seseorang itu akan didorong supaya melazimi akhlak mulia dan adat kebiasaan yang baik. Mengetahui tentang menjaga harga diri ini bergantung kepada uruf iaitu adat setempat dan semasa bagi sesebuah masyarakat. Ia sukar ditentukan kerana boleh berbeza dengan sebab perbezaan individu, negeri dan zaman. Boleh jadi di suatu tempat kelakuan itu menjatuhkan keperibadian seseorang tetapi tidak di tempat yang lain. Secara ringkas harga diri disimpulkan sebagai menjaga cara hidup Islam dan adab-adabnya, mengikuti para salaf yang soleh.[14] Antara tanda kesempurnaan harga diri ialah menjaga kebersihan diri, baik penampilan dan sentiasa tenang.[15]10.0 Bagaimana al-ta`dil terbukti

Al-ta`dil kepada seseorang perawi itu dapat dibuktikan dengan salah satu daripada tiga kaedah berikut: Pertama, al-istifadhah: seseorang perawi yang telah dikenali umum di kalangan ulama hadis sebagai seorang yang adil, banyak pujian diberikan kepadanya sehingga tidak perlu lagi kepada bukti yang

menyaksikan

keadilannya.

Mereka

adalah

seperti

Imam

Malik,

Syu`bah, Sufyan al-Thauri, Sufyan Ibn `Uyainah, `Abdullah IbnalMubarak, Waki`, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain. Mereka ini tidak perlu diselidiki lagi kerana kemasyhuran keadilan mereka itu sendiri lebih kuat lagi daripada persaksian yang diberikan oleh orang lain. Pernah Imam Ahmad disoal tentang Ishaq bin Rahawaih. Beliau menjawab: Tokoh seperti Ishaq dipersoal? Beliau di sisi kami adalah salah seorang daripada imam orang-orang Islam. Kedua, perakuan yang diberikan oleh dua orang ahli ilmu tentang keadilan dan jarhnya. Hal ini disepakati oleh majoriti ulama dengan mengqiaskannnya dengan persaksian yang memerlukan penilaian daripada dua orang. Ketiga, salah seorang ulama jarh wa ta`dil menyatakan tentang keadilan dan jarhnya. Ini adalah pendapat al-Khatib al-Baghdadi, Ibn alSalah dan lain-lain. Mereka berhujah bahawa dalam penerimaan khabar wahid, bilangan perawi tidak syarat. Sebagaimana diketahui, hadis gharib juga boleh menjadi sahih. Di samping tiga cara ini, ada sebahagian ulama menyebut beberapa kaedah untuk membuktikan seorang perawi itu adil atau sebaliknya, antaranya ialah: Ta`dil secara samar, seperti seorang muhaddith berkata: Seorang yang thiqah yang menceritakan sahih kepadaku ta`dil atau seorang ini yang tidak aku tidak menuduhnya dengan berdusta tanpa menyatakan namanya. Pendapat mengatakan seumpama diterima. Berkemungkinan sekiranya beliau menyebutkan nama perawi itu, tentu kita akan mengetahui jarh yang tidak diketahui oleh muhaddith tersebut. Dengan kata lain, ada kemungkinan perawi itu dhaif di sisi ulama lain walaupun di sisinya thiqah.

Menurut kebanyakan ahli hadis, periwayatan seorang yang adil daripada mana-mana perawi, itu bukanlah bermakna sebagai ta`dilnya kepada perawi tersebut. Inilah pendapat yang sahih. Ini kerana imamimam hadis yang besar, meriwayatkan daripada perawi-perawi thiqah dan juga daripada orang lain. Sebagaimana dinukilkan daripada Sufyan al-Thawri, Mu`tamir bin Sulayman dan lain-lain. Sebenarnya mereka meriwayatkan daripada perawi-perawi dhaif kerana hadis-hadis mereka itu boleh dijadikan hujah apabila mempunyai banyak tariq. Apabila seorang ulama mengamalkan dan memberi fatwa berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkannya, itu tidak bermakna beliau mentashihkan hadis tersebut dan mentawthiqkan atau menghukumkan perawi-perawi hadis itu sebagai thiqah. Ada kemungkinan beliau mengamalkan hadis itu secara ihtiyat, secara cermat, atau kerana dalil lain yang selaras dengan hadis itu atau lain-lain sebab. Melainkan beliau dengan jelas mengatakan amalan dan fatwa beliau itu berdasarkan kepada hadis itu. Dengan itu, perbuatan sebagai dikira sebagai mentashihkan hadis itu dan mentawthiqkan perawi-perawinya. Begitu juga sekiranya, beliau meninggalkan sesuatu hadis, itu tidak bererti beliau mendhaifkannya dan mencederakan para perawinya. Boleh jadi beliau meninggalkan hadis tersebut kerana alasan yang kuat atau beliau mempunyai penafsiran yang sendiri. Imam Malik telah meriwayatkan daripada Nafi` daripada Ibn `Umar hadis:

Dua orang melakukan urusan jual beli mempunyai hak khiyar selagi mereka tidak berpisah.

Imam Malik tidak beramal dengan zahir ini hadis dan ini tidak bererti beliau mantajrihkan gurunya, Nafi`. Ibn Hibban berpendapat, perawi yang adil ialah perawi yang tidak diketahui tentang tajrih terhadapnya. Pendapat ini tertolak kerana syarat periwayatan ialah terbukti ada keadilan pada perawi bukan semata-mata tidak kefasiqan, sedangkan Allah s.w.t berfirman:

Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya Di dalam ayat ini Allah s.w.t. mensyaratkan supaya keadilan mereka terbukti, tidak memadai dengan hanya dari kalangan orang-orang Islam sahaja.11.0 Definisi al-Dhabt

Dhabt bermaksud daya hafalan perawi terhadap periwayatnnya jika beliau menyampaikan dari ingatannya dan penjagaannya terhadap catatannya jika beliau menyampaikan riwayatnya dengan catatannya. Di dalam Jami` al-Usul, Ibn al-Athir mentakrifkan dabt sebagai satu ungkapan tentang penjagaan dalam bab ilmu, ia mempunyai dua sudut, pertama memperolehi ilmu ketika mendengar dan menjaga (mengingati) setelah mengetahui ketika menyampaikannya. Dhabt bererti perawi itu tidak buruk hafalan, sering melakukan kesilapan, bercanggah dengan perawi-perawi yang thiqah, tidak banyak waham dan tidak lalai. Berdasarkan kepada definisidefinisi tadi dhabt itu dapat dikelaskan kepada dua bahagian, pertama dhabt sadr iaitu penjagaan hafalan. Ia bermaksud perawi itu mengingati dengan apa apa yang dihafal ketika

menyampaikan hadis berdasarkan ingatannya. Kedua, dhabt kitab iaitu penjagaan dari segi tulisan. Perawi itu menjaga buku catatannya daripada sebarang pengubahan atau penukaran, penambahan atau pengurangan jika beliau menyampaikan hadis (tahdith) daripadanya. Seseorang perawi diketahui sebagai seorang yang dhabit, kemas dengan membandingkan riwayat-riwayatnya dengan riwayat perawiperawi thiqah lain yang terkenal dengan dhabt dan itqan. Sekiranya riwayatnya bertepatan dengan riwayat mereka walaupun dari segi makna, kebanyakannya bertepatan dan jarang ada percanggahan maka perawi itu akan dikatakan sebagai dhabit thabat. Sebaliknya jika banyak percanggahan, sedikit persamaan, dhabatnya cacat dan dia tidak boleh dijadikan hujah pada hadisnya.[16] Seorang perawi itu tidak boleh dikatakan sebagai dhabit selagi tidak memenuhi syarat-syarat berikut: Pertama, yaqazan, sedar bukan seorang yang lalai yang tidak dapat membezakan antara betul dan yang salah seperti orang yang tidur, pelupa. Kedua, mengingati apa yang didengar dan sukar hilang dari ingatannya. Serta boleh mengulangkan kembali hafalannya bila-bila masa sahaja. Ketiga, menguasai dan menjaga buku catatannya dari sebarang pengubahan dan penukaran. Keempat mengetahui perubahan yang berlaku pada lafaz.[17] 12.0 Bagaimana Jarh Dikenakan Kepada Perawi Di dalam Nuzhah al-Nazar Syarh Nukhbah al-Fikar, Hafiz Ibn Hajar menyebutkan sepuluh kecaman terhadap perawi yang menyebabkan hadis-hadisnya tidak boleh dinilai sebagai sahih. Pertama, kerana pendustaan yang dilakukan oleh perawi di dalam hadis Rasulullah

s.a.w. iaitu dia sengaja berdusta di atas nama baginda. Kedua, dia dituduh berdusta kerana dalam percakapan biasa dia berdusta walaupun dia tidak berdusta di dalam periwayatan hadis. Ketiga, kesilapan yang banyak. Keempat, perawi itu seorang yang lalai. Kelima, kefasiqan perawi sama ada dengan ucapan atau perbuatan selagi tidak menyebabkan kufur. Keenam, kerana waham dan kekeliruan perawi. Ketujuh percangan perawi itu dengan perawi-perawi thiqah yang lain, sama ada pada matan atau sanad. Kelapa, perawi itu tidak dikenali tentang dirinya, keadaannya tau namanya. Kesembilan, kerana bid`ahnya dan kesepuluh, hafalan yang buruk sehingga lebih banyak silap dalam periwayatan berbanding ketepatan. 13.0 Adakah Ta`Dil Dan Tajrih Diterima Tanpa Alasan Mengikut pendapat jumhur, ta`dil secara samar atau ringkas diterima sedangkan tajrih tanpa sebab tidak boleh diterima. Ini kerana sebab ta`dil sangat banyak oleh itu sangat sukar untuk dinyatakan. Jika seseorang yang menta`dilkan perawi dibebankan untuk menyebutnya tentulah dia mesti menyatakan segala yang wajib dilakukan dan ditinggalkan oleh perawi itu. Ini amat sukar sekali. Berbeza dengan tajrih, kerana sebabnya terbatas dan sudah dikira tajrih walaupun dengan satu sebab. Begitu juga dalam menentukan sebab-sebab tajrih, para ulama berbeza pendapat. Kemungkinan satu sebab diterima oleh satu pihak tetapi tidak diterima oleh satu pihak yang lain. Dengan menjelaskan sebab tajrih andaian ini akan hilang.[18]

[1]

`Ulum al-Hadith: Asiluha wa Mu`asiruha, 93 al-Syarh wa al-Tafsil fi al-Jarh wa al-Ta`dil, 16

[2]

[3]

lihat al-Ijtihad fi `Ilm al-Hadith wa Atharuhu fi al-Fiqh al-Islami, 72 lihat Qawa`id al-Tahdith, 177 Riyadh al-Salihin, Ibn Rajab, Syarh `Ilal al-Tirmizi, 1/45 al-Raf`` wa al-Takmil fi al-Jarh wa al-Ta`dil, 67 al-Ijtihad fi `Ilm al-Hadith wa Atharuhu fi al-Fiqh al-Islami, 75 Qa`idah fi al-Jarh wa al-Ta`dil, 23-24

[4]

[5]

[6]

[7]

[8]

[9]

lihat Dr. Mahir Mansur, Tuhfah al-Mustafid fi al-Jarh wa al-Ta`dil wa Dirasah al-Asanid, 31-32[10]

Lihat, Syaikh `Abd al-Rahman bin Yhaya al-Ma`lami, al-Istibsar fi Naqd al-Akhbar, 3[11]

Lihat Dr. Mahir Mansur, Tuhfah al-Mustafid fi al-Jarh wa al-Ta`dil wa Dirasah al-Asanid, 31-32[12] [13]

ibid. ibid, 33, lihat juga al-Sakhawi, Fath al-Mughith, abu Lubabah Husain, al-Jarh wa al-Ta`dil, 82 Abu Lubabah, op.cit. 81 ibid

[14]

[15]

[16]

[17]

Al-Khairabadi, Takhrij al-Hadith, Nasyatuhu wa Manhajiyyatuhu, 205206.[18]