288 bab lima 5.0 pengenalan bab ini membentangkan rumusan

42
288 BAB LIMA RUMUSAN DAN PERBINCANGAN 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan kajian, perbincangan dapatan kajian, dan cadangan kajian selanjutnya. Berdasarkan kepada sorotan kajian, penyelidikan tentang penaakulan moral dalam kalangan pelajar telah menunjukkan perubahan dari segi tumpuan penyelidikan. Pada peringkat awal, penumpuan kajian lebih kepada aspek peringkat penaakulan moral pelajar, bagaimanapun kebelakangan ini, penumpuan turut diberi kepada aspek orientasi moral pelajar. Kajian ini secara khususnya bertujuan untuk menentukan orientasi moral dalam kalangan pelajar tingkatan empat. Selain tujuan tersebut, kajian ini juga meneliti sebarang persamaan atau perbezaan jenis orientasi moral yang wujud antara pelajar salah laku dan tidak salah laku dari kedua-dua jantina. Secara ringkasnya kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis orientasi moral pelajar dengan menggunakan Teori Penakulan Moral Kohlberg. Teori ini menekankan sifat kesejagatan dengan menjelaskan bahawa prinsip keadilan mendasari penaakulan moral individu tanpa mengira jantina. Bagaimanapun, isu kesejagatan yang dititikberatkan oleh teori ini adalah berlandaskan vignet dilema klasik sebagai instrumen kajian, dan ini telah dikritik oleh sebilangan pengkaji yang memperoleh dapatan berbeza setelah menggunakan vignet dilema sebenar (Gilligan, 1982).

Upload: tranminh

Post on 26-Jan-2017

243 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

288

BAB LIMA

RUMUSAN DAN PERBINCANGAN

5.0 Pengenalan

Bab ini membentangkan rumusan kajian, perbincangan dapatan kajian,

dan cadangan kajian selanjutnya. Berdasarkan kepada sorotan kajian,

penyelidikan tentang penaakulan moral dalam kalangan pelajar telah

menunjukkan perubahan dari segi tumpuan penyelidikan. Pada peringkat awal,

penumpuan kajian lebih kepada aspek peringkat penaakulan moral pelajar,

bagaimanapun kebelakangan ini, penumpuan turut diberi kepada aspek orientasi

moral pelajar. Kajian ini secara khususnya bertujuan untuk menentukan

orientasi moral dalam kalangan pelajar tingkatan empat. Selain tujuan tersebut,

kajian ini juga meneliti sebarang persamaan atau perbezaan jenis orientasi

moral yang wujud antara pelajar salah laku dan tidak salah laku dari kedua-dua

jantina.

Secara ringkasnya kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis

orientasi moral pelajar dengan menggunakan Teori Penakulan Moral Kohlberg.

Teori ini menekankan sifat kesejagatan dengan menjelaskan bahawa prinsip

keadilan mendasari penaakulan moral individu tanpa mengira jantina.

Bagaimanapun, isu kesejagatan yang dititikberatkan oleh teori ini adalah

berlandaskan vignet dilema klasik sebagai instrumen kajian, dan ini telah dikritik

oleh sebilangan pengkaji yang memperoleh dapatan berbeza setelah

menggunakan vignet dilema sebenar (Gilligan, 1982).

Page 2: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

289

Secara khususnya, tiga soalan kajian telah dibentuk untuk mencapai

tujuan kajian ini. Pertama, apakah pandangan peserta kajian tentang masalah

moral?. Soalan ini dikemukakan untuk mendapatkan respons peserta tentang

makna masalah moral menurut pemahaman mereka. Soalan kajian kedua pula

bertujuan untuk mengenal pasti orientasi moral peserta kajian apabila memberi

respons kepada vignet dilema sebenar yang terdiri daripada Vignet Dilema

Sebenar Kendiri Moi Moi, Vignet Dilema Sebenar Keluarga Lim, Vignet Dilema

Sebenar Rakan Sebaya Raju, dan Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling

Kabir. Soalan ini dikemukakan untuk mengenal pasti jenis-jenis orientasi moral

yang digunakan oleh peserta. Seterusnya soalan kajian yang ketiga akan

membandingkan orientasi moral antara peserta. Respons yang diberi kepada

soalan ini akan menunjukkan sejauhmana kesejagatan teori seperti yang

dikemukakan oleh Kohlberg (1963) diterima oleh kajian ini.

Seramai 12 orang peserta kajian daripada tiga buah sekolah telah dipilih

bagi menjawab vignet dilema sebenar. Untuk mendapatkan data yang dapat

menjawab kesemua soalan kajian, kaedah kualitatif dengan teknik temu bual

telah dijalankan. Dua peringkat temu bual telah dilakukan, dengan temu bual

peringkat pertama bertujuan mendapatkan latar belakang peserta, masalah

serta dilema yang sedang dialami oleh mereka. Manakala temu bual peringkat

kedua adalah berdasarkan empat vignet dilema sebenar bagi tujuan mengenal

pasti orientasi moral peserta kajian. Kaedah penganalisisan data pula,

didasarkan pada teknik yang disyorkan oleh Miles dan Huberman (1984). Bab

Page 3: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

290

akhir ini akan merumus dan membincangkan dapatan kajian yang akan

membawa kepada implikasi kajian serta cadangan kajian lanjutan.

5.1 Rumusan dan Perbincangan Dapatan Kajian

Kajian ini merumuskan dan membincangkan beberapa dapatan penting

berdasarkan tiga soalan kajian yang telah dibina. Rumusan dan perbincangan

dapatan kajian meliputi perbincangan mengenai pandangan peserta kajian

terhadap masalah moral, orientasi moral peserta kajian serta persamaan dan

perbezaan antara peserta tidak salah laku dan peserta salah laku bagi kedua

jantina.

5.1.1 Masalah Moral daripada Perspektif Pelajar

Pendidikan secara jelas telah mentakrifkan konsep akhlak secara

komprehensif supaya aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku

dititikberatkan. Usaha ini telah dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran

Pendidikan Moral secara khususnya dan mata pelajaran lain secara amnya.

Pendidikan Moral dilihat sebagai mata pelajaran yang mampu membantu dan

melahirkan pelajar yang ‘tahu apa yang baik, menginginkan yang baik serta

melakukan yang baik’.

Amalan pendidikan pada ketika ini tidak berfokus hanya pada domain

intelek sebaliknya domain penting dalam pembentukan akhlak iaitu emosi juga

ditingkatkan. Domain emosi dilihat sebagai aspek yang sangat penting kerana

peranannya menghubungkan pertimbangan dan tindakan yang bakal dilakukan.

Page 4: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

291

Pelajar tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu baik dari segi intelek ataupun

emosi tetapi kadang kala mereka masih gagal menterjemahkan pertimbangan

dan perasaan moral itu ke dalam amalan moral.

Bertitik tolak daripada isu yang disebut ini, pada dasarnya soalan kajian

pertama membantu kita mengetahui pandangan serta makna yang difahami oleh

peserta mengenai masalah moral. Sejajar dengan itu, tahap pemahaman

mereka mengenai isu masalah moral juga dapat diketengahkan. Seiring dengan

itu, terdapat kajian yang telah membuktikan bahawa pandangan pelajar

terhadap sesuatu isu sering berbeza antara satu sama lain dengan merujuk

kepada perkembangan moral serta kematangan berfikir mereka (Warr & Stafford,

2007).

Pandangan ini juga dipersetujui oleh sarjana tenpatan yang menjelaskan

pelajar tidak salah laku sering kali dilihat mampu mengulas dan menghurai

sesuatu isu di peringkat sintesis berbanding pelajar salah laku yang hanya

mampu menjelaskan sesuatu isu di peringkat pengetahuan dan pemahaman

sahaja (Habibah & Noran Fauziah, 2006). Bagaimanapun, dapatan kajian ini

secara keseluruhannya, menunjukkan pandangan peserta terhadap masalah

moral adalah terlalu umum dan tidak dijelaskan dengan kritis dan terperinci.

Ianya dapat dilihat dengan jelas sama ada dalam kalangan peserta tidak salah

laku ataupun peserta salah laku.

Persoalan yang ditimbulkan menunjukkan ramai peserta masih tidak

yakin dengan apa yang ingin disampaikan, ramai antara mereka masih tercari-

cari makna serta kurang pengetahuan dan kefahaman untuk menjawab

Page 5: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

292

persoalan tentang masalah moral. Majoriti peserta walaupun berupaya

membincangkan maksud masalah moral namun ianya tidak dapat diperjelaskan

dengan baik dan mendalam. Segelintir peserta menghadapi kesukaran

memberikan maksud masalah moral secara tepat dan berfokus, apa yang

mampu mereka lakukan hanya memberikan contoh-contoh pelakuan yang

menunjukkan masalah moral. Melalui temu bual yang dilakukan, kesukaran

memberi maksud masalah moral telah dihadapi oleh tiga orang pelajar

perempuan, iaitu seorang pelajar tidak salah laku dan dua orang pelajar salah

laku .

Dalam konteks memberi makna kepada masalah moral, peserta

menjelaskan masalah moral sebagai masalah yang berkaitan dengan disiplin

atau masalah yang berkaitan dengan peraturan sekolah. Selain itu, beberapa

orang peserta lagi menggolongkan masalah moral sebagai masalah yang

berkaitan dengan akhlak dan tingkah laku, dan seramai dua orang peserta

mengaitkannya dengan kedua-dua sekali.

Dapatan dalam kajian ini menunjukkan pengertian peserta tentang

masalah moral tidak menyamai definisi yang dikemukakan oleh para sarjana.

Dalam kalangan ahli pendidikan, konsep masalah moral ditakrifkan sebagai

tingkah laku atau sikap yang tidak dapat diterima oleh masyarakat kerana nilai

moral dan norma tidak selari dengan pembentukan moral yang positif seperti

yang dikehendaki oleh ahli masyarakat (Ang, 2007; Habibah & Noran Fauziah,

2006). Dapatan kajian ini tidak dapat menunjukkan sebarang corak yang jelas

perbezaan antara peserta salah laku dan tidak salah laku bagi kedua jantina.

Page 6: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

293

Walaupun dalam kalangan sarjana pendidikan telah membuktikan bahawa

terdapat perbezaan perkembangan moral antara pelajar salah laku dan tidak

salah laku terutama dalam membincangkan persoalan semasa (Bradley, 2006).

Apa yang diperhatikan, kesukaran peserta memberi tafsiran kepada

makna masalah moral menunjukkan terdapat kepincangan dalam sistem

pendidikan kita dalam melahirkan pelajar yang berkeupayaan membincangkan

dan menjelaskan makna sesuatu isu yang sepatutnya mampu dikuasai dan

dihujahkan oleh peserta berusia 16 tahun.

Kegagalan peserta membincang dan menghuraikan isu-isu semasa

secara kritis dan analitis sedikit sebanyak memberi impak kepada hasrat

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melihat sistem pendidikan holistik

dan bersepadu. Hasil kajian yang diperoleh membuktikan mata pelajaran yang

berperanan membincangkan isu-isu semasa terutama yang berkaitan dengan

soal akhlak dan moral tidak berupaya melahirkan pelajar yang matang dalam

berfikir. Sedangkan pendidikan pada umumnya mempunyai dua matlamat utama

iaitu, pertama, membantu pelajar menguasai kemahiran literacy dan numeracy,

dan kedua membantu mereka membina akhlak yang baik. Oleh kerana

masyarakat kini menekankan aspek pembinaan akhlak maka sistem pendidikan

kita bukan sahaja perlu mementingkan aspek intelek tetapi juga aspek akhlak,

bukan saja kemahiran dan ilmu pengetahuan tetapi juga nilai-nilai. Oleh yang

demikian teknik pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikkan di sekolah

perlu berlandaskan ke arah usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang

bermoral tinggi.

Page 7: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

294

Kini ahli falsafah dalam bidang pendidikan menekankan peranan kritikal

Pendidikan Moral untuk pembentukan akhlak (Tajul Ariffin, 1996; Wan Zahid,

1994). Para pendidik juga berpadu suara dalam membuat andaian bahawa

orang dewasa, baik ibu bapa atau guru memainkan peranan penting dalam

membina akhlak mulia dalam kalangan golongan muda (Ahmad Muhammad,

2009). Perkara ini dipandang serius demi menjamin pelajar-pelajar yang

dilahirkan oleh sistem pendidikan negara adalah pelajar seimbang dan harmonis

dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Perbincangan mengenai maksud masalah moral juga sedikit sebanyak

telah memberi ruang kepada peserta membincangkan juga faktor-faktor yang

membawa kepada isu masalah moral atau salah laku. Perbincangan isu ini

menunjukkan setiap peserta berupaya memberikan pendapat. Menurut peserta

terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi salah laku pelajar iaitu faktor

pengaruh rakan sebaya dan kekurangan kasih sayang ibu bapa. Penekanan

kepada faktor-faktor tersebut merupakan penyebab utama pelajar-pelajar

terjerumus dalam masalah moral (Mok, 2009; Abdul Ghani & Abd. Rahman,

2009). Haberrtick et al. (2005), Loeber dan Stouthamer-Loeber (2006) serta

Rozimah dan Siti Nor (1999) juga menunjukkan kekurangan kasih sayang ahli

keluarga menyebabkan anak-anak berpaling kepada rakan sebaya sebagai

tempat meluahkan perasaan.

Bagaimanapun, dua orang peserta lelaki salah laku tidak menyebut

pengaruh rakan sebaya sebagai salah satu faktor penglibatan pelajar dalam

masalah moral, sebaliknya mereka lebih menekankan faktor kurang kasih

Page 8: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

295

sayang dan kurang bimbingan ibu bapa sebagai punca utama yang

menyebabkan pelajar terbabit dengan masalah moral. Pendapat ini dilihat

berkait dengan latar belakang peserta yang merasakan diri mereka kurang

mendapat kasih sayang secukupnya daripada kedua ibu bapa dan lebih berminat

memilih rakan sebaya sebagai tempat berbincang dan meluahkan perasaan.

Pendapat ini juga hampir sama dengan kesemua peserta perempuan

yang memberikan faktor pengaruh rakan sebaya serta kekurangan kasih sayang

dan didikan ibu bapa sebagai penyebab utama seseorang pelajar terlibat

dengan masalah moral. Menurut Kendler, et al., (2007) dan Noraini (2002), kasih

sayang yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka mampu

membendung anak-anak daripada terlibat dengan masalah moral. Belaian kasih

sayang serta kemampuan ibu bapa berkomunikasi secara berkesan dengan

anak-anak juga mampu membantu anak-anak bergaul dan memilih rakan

sebaya yang baik (Ahmad Muhammad, 2009).

Kajian ini juga membuktikan bahawa peserta didapati berkecenderungan

menyalahkan ibu bapa, diri sendiri atau kedua-duanya sekali apabila

perbincangan mengenai penglibatan pelajar dengan masalah moral dilakukan.

Walaupun begitu, masih terdapat pelajar, iaitu dua orang peserta perempuan

tidak salah laku serta seorang peserta perempuan salah laku bertindak

menyalahkan ibu bapa sahaja apabila terbukti ada penglibatan pelajar dengan

masalah moral. Sebaliknya, seorang peserta perempuan tidak salah laku dan

dua orang peserta perempuan salah laku pula menyalahkan diri sendiri apabila

pelajar terlibat dengan masalah moral. Menurut Fang “ayah dan mak pentingkan

Page 9: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

296

duitkan..duit itu untuk mereka (anak-anak) juga, mungkin mereka fikir mak

kerja…mak ayah tak fikir mereka,..tapi ibu bapa sayang jugak tapi terlupa apa

yang anak hendakkan.. iaitu bincang dan cakap…so anak fikir mak ayah

pentingkan diri sendiri.. seperti mak lahirkan anak lepas itu biarkan sendiri…”

(sesi 3: 31-36).

Sikap menyalahkan ibu bapa ini secara tidak langsung menunjukkan

bahawa pelajar tidak salah laku berfikiran dan membuat generalisasi bahawa

setiap pelajar pada hakikatnya mampu mengawal diri dan tingkah laku daripada

pujukan atau pengaruh rakan sebaya. Tetapi sekiranya terdapat seseorang

pelajar terlibat dengan masalah moral, maka tuduhan akan dilemparkan kepada

ibu bapa sebagai punca kepada penglibatan pelajar dalam kes salah laku atau

masalah moral ini. Rozimah & Siti Nor (1999) juga bersetuju bahawa anak-anak

melihat kedua ibu bapa sebagai contoh teladan maka sekiranya anak-anak

terlibat dengan gejala tidak sihat maka mereka berpotensi menyalahkan ibu

bapa.

Pandangan sebaliknya pula berlaku kepada pelajar salah laku yang

sering terdedah dan terpengaruh dengan rakan sebaya, mereka menjelaskan

bahawa diri sendiri harus dipersalahkan kerana terpengaruh dengan pujukan

rakan sebaya.

Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat persamaan pendapat antara

peserta daripada latar belakang keluarga yang hampir sama. Didapati

kebanyakan peserta yang menghadapi dilema dengan keluarga

berkecenderungan menyalahkan ibu bapa apabila membincangkan soal

Page 10: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

297

penglibatan pelajar dengan masalah moral. Kajian ini telah membuktikan

bahawa peserta yang menyalahkan ibu bapa berasal sama ada daripada

keluarga yang tidak mesra sesama mereka atau keluarga yang berpecah belah.

Temu bual antara peserta sebelum ini juga telah membuktikan bahawa

terdapat peserta yang sering kecewa dengan sikap ibu bapa apabila mereka

menyedari wujudnya sikap pilih kasih dalam keluarga seperti kata Devi “…tak

layan masalah saya, masalah sekolah saya, pelajaran saya....mereka tak

peduli....saya cuma cerita dengan mak cik dan ayah saya...tapi saya marah mak

saya...suruh belajar...tapi tak nak layan saya, (atau) tanya pelajaran

saya...abang pun tak peduli... (Devi, 2:220-224). Peserta seperti Fang, Kristina,

Devi, Yap dan Siva melalui temu bual telah menunjukkan sikap pilih kasih ibu

bapa hanya akan membawa kepada kerenggangan hubungan kekeluargaan. Ini

akan berakhir dengan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan

anak-anak yang beranggapan diri mereka tidak dipedulikan oleh ibu bapa seperti

kata Fang, “Saya sebenarnya geram dan sakit hati sebab mak pertahankan adik”

(Fang, 1:161). Haberrtick, et al., (2005) serta Crosnoe dan Elder (2004) melalui

kajian mereka telah membuktikan remaja yang sedar serta merasakan

wujudnya sikap pilih kasih dalam keluarga sering berasa kecewa dengan sikap

ibu bapa mereka.

Salah satu dapatan yang menarik untuk dinyatakan di sini dan harus

dipandang serius ialah, dapatan kajian ini berjaya menunjukkan bahawa

kesemua peserta salah laku mempunyai pengalaman dipelihara oleh ahli

keluarga selain ibu bapa mereka. Sebagai contoh, Dila tinggal bersama abang-

Page 11: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

298

abangnya, Kristina dipelihara oleh nenek sehingga berusia 10 tahun, Devi pula

dibesarkan oleh keluarga angkat, Shah menjadi cucu harapan dan kesayangan

neneknya, Yap dipelihara oleh nenek sejak bayi dan Siva tinggal bersama pak

ciknya. Dapatan yang diperoleh secara kebetulan ini tidak harus

digeneralisasikan tetapi ia harus dipandang serius oleh ibu bapa,

memandangkan dalam zaman kesibukan mengejar masa dan kerjaya,

kebanyakan ibu bapa lebih gemar menyerahkan anak-anak ke bawah jagaan

ahli keluarga yang lain. Kekurangan didikan dan kasih sayang secara terus

daripada kedua ibu bapa dikhuatiri mengundang sikap salah laku anak

dikemudian hari seperti yang terbukti dalam kajian ini.

Walaupun kajian ini telah menunjukkan sikap pilih kasih serta kurang

didikan secara terus daripada kedua ibu bapa mengundang perasaan marah dan

sikap salah laku anak, tetapi dapatan kajian juga berjaya menunjukkan status

sebagai ibu bapa juga mendorong anak menghormati dan menghargai peranan

mereka seperti kata Nor, “sebab mak susah nak cari duit...jadi rasa nak

tolong...dalam hati ini kan, cakap.. kena tolong..kesian mak, mak susah nak cari

duit...jadi rasa nak tolong...sebab dia yang lahirkan kita susah payah, besarkan

kita…” (Nor, 2: 223-225). Pernyataan peserta perempuan tidak salah laku ini

menunjukkan masih wujud rasa hormat, simpati dan menghargai pengorbanan

kedua ibu bapa. Peserta lelaki salah laku iaitu Siva juga menunjukkan sikap

menyayangi ibunya seperti katanya, “aku ada bagi tahu sama emak, kenapa

engkau tinggal jauh, tak tinggal dekat Kajang…saya kerja dan bayar rumah

sewa, tapi dia kata tak mahu tengok muka bapa saya, nanti dia bising, mabuk..”

Page 12: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

299

(Siva, 1:200-202) walaupun ibunya tidak menyukai bapa Siva dan Siva sendiri

pernah bergaduh dengan bapanya namun Siva melahirkan hasrat “kalau aku nak

baik…aku nak baik dengan bapak” (213). Hasrat ini menunjukkan Siva masih

menyayangi bapanya. Chan pula melahirkan niat untuk belajar dengan rajin

agar “keluarga hidup dengan lebih senang, sebab jika jadi akauntan, gaji lebih

tinggi” (37).

Kesemua penyataan di atas menunjukkan masih ada nilai-nilai murni

yang diamalkan oleh pelajar pada masa ini. Pengajaran nilai yang berfokus

pada Model Insan Menyeluruh yang meliputi tiga dimensi moral iaitu pemikiran

moral, perasaan moral dan tingkah laku moral sedikit sebanyak telah berjaya

dipamerkan oleh pelajar kita walaupun ada antara mereka merupakan pelajar

salah laku. Lahirnya nilai-nilai positif terhadap kedua ibu bapa berkemungkinan

kerana didikan dan penerapan nilai moral telah berjaya ditanam dijiwa pelajar-

pelajar. Penerapan nilai kasih sayang terhadap keluarga dan taat kepada kedua

ibu bapa mungkin menjadi faktor anak-anak masih menghargai pengorbanan

kedua ibu bapa. Kenyataan ini memberi makna kepada institusi kekeluargaan

bahawa peranan ibu bapa adalah sangat penting di mata peserta.

Menurut Noraini (2002), Walker dan Taylor (1991), Bretherton dan Waters

(1985), Hart (1988), serta Powers (1988), kualiti perhubungan yang terjalin

antara ibu bapa dan anak mendorong anak-anak menurut kehendak dan

mendengar pesanan ibu bapa. Kualiti perhubungan menyentuh mengenai

kemesraan, penglibatan serta sokongan yang mampu melahirkan anak-anak

yang mendengar kata (Smetana, 1999). Bagaimanapun, ibu bapa yang sering

Page 13: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

300

memberikan tekanan emosi dan mental kepada anak-anak akan mengundang

perasaan marah ke dalam jiwa anak-anak dan keupayaan anak memfokus

kepada perasaan lain bertambah terutama perasaan berorientasi kepentingan

diri (Eisenberg et al, 1988) yang akhirnya akan mengundang masalah institusi

kekeluargaan itu sendiri.

5.1.2 Pola Orientasi Moral Pelajar

Satu daripada soalan kajian ini ialah untuk mengenal pasti orientasi moral

yang digunakan oleh peserta. Secara umumnya ia bertujuan untuk melihat

orientasi moral yang digunakan serta mengambil kira elemen atau kategori yang

menjadi pilihan pelajar sebagai alasan kepada penyelesaian masalah.

Walaupun terdapat beberapa kategori untuk setiap orientasi moral, namun kajian

menunjukkan alasan yang diberi oleh kebanyakan peserta sering berfokus

kepada kategori yang sama bagi setiap vignet dilema sebenar sehingga

membentuk pola persamaan yang dapat dilihat dengan jelas. Pola pemilihan

orientasi moral yang berfokus kepada orientasi yang sama ini menunjukkan

keunikan dapatan. Walaupun instrumen kajian terdiri daripada empat vignet

dilema sebenar telah mengemukakan isu yang berbeza, iaitu berkaitan masalah

kendiri, masalah dengan keluarga, masalah dengan rakan sebaya dan masalah

dengan orang sekeliling, namun orientasi moral pelajar lebih berfokus kepada

orientasi keadilan tanpa mengira jantina dan kumpulan pelajar.

Menurut kajian, persamaan dalam penggunaan kategori dan orientasi

moral ini ada kaitannya dengan kematangan usia seseorang. Pada usia muda

Page 14: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

301

respons yang diberi adalah hampir sama, cuma pengalaman serta konflik harian

yang dilalui memberi peluang kepada individu menggabungkan beberapa

orientasi untuk penyelesaian masalah (Walker, 1980). Menurut Walker (1980)

dan Walker et. al (1987) perkara ini hanya dilalui oleh golongan dewasa

berbanding golongan muda.

Setelah empat vignet dilema sebenar dengan isu berbeza digunakan

dalam menentukan orientasi moral dalam kalangan pelajar tingkatan empat,

dapatan secara keseluruhannya telah membuktikan penggunaan beberapa

orientasi moral sama ada yang terkandung dalam Teori Penaakulan Moral

Kohlberg atau yang telah dikenal pasti dalam kajian pengkaji lain turut

digunakan dalam kajian ini. Pola orientasi moral peserta akan dibincangkan satu

persatu berdasarkan vignet dilema sebenar ini dalam perenggan di bawah.

Dapatan dalam kajian ini menunjukkan respons yang diberikan terhadap

vignet-vignet dilema sebenar mempunyai banyak persamaan. Berdasarkan

Vignet Dilema Sebenar Kendiri Moi Moi, dapatan kajian menunjukkan alasan

yang diberikan oleh peserta kajian lebih menjurus kepada orientasi keadilan. Ini

ialah kerana penekanan telah diberikan kepada dua alasan iaitu A5

menyalahkan atau tidak menyalahkan dan A4 iaitu menurut perintah atau

mendapatkan persetujuan. Pemilihan kategori A5 menunjukkan peserta sering

mengetengahkan pihak yang menimbulkan masalah terutama apabila sesuatu

penyelesaian masalah perlu dilakukan. Dapatan ini seolah-olah menunjukkan

peserta mengamalkan mekanisma bela diri. Mekanisme ini sering dipamerkan

oleh seseorang apabila timbulnya masalah kendiri bagi tujuan mempertahankan

Page 15: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

302

diri sendiri (Shahabuddin Hashim & Rohizani Yaakub, 2003). Dapatan kajian ini

dilihat pada kedua-dua jantina dan kumpulan pelajar.

Pemilihan alasan A5 iaitu menyalahkan atau tidak menyalahkan oleh

peserta lelaki dan perempuan secara tidak langsung menunjukkan persamaan

ketika perbincangan faktor-faktor yang menyebabkan pelajar terlibat dengan

masalah moral dalam temu bual peringkat pertama. Sikap suka

mengetengahkan pihak yang harus dipersalahkan telah digunakan dalam

kehidupan sebenar dan turut dibawa dalam penyelesaian masalah vignet dilema

sebenar. Ini menunjukkan sikap dan tindakan pelajar sama ada lelaki atau

perempuan dalam dunia sebenar telah dipraktikkan dalam penyelesaian vignet

dilema sebenar.

Pemilihan orientasi moral peserta yang kedua ialah orientasi

pertimbangan kendiri. Penggunaan orientasi ini menunjukkan penekanan diberi

kepada K3 iaitu perasaan peribadi kepada watak utama. Peserta telah

mengaitkan soal kekecewaan, kerisauan, kesunyian serta kesedihan sebagai

alasan kepada tindakan watak utama dalam vignet dilema sebenar.

Bagaimanapun respons peserta kepada orientasi keprihatinan adalah

terlalu sedikit bagi kedua-dua kumpulan serta jantina. Ini kerana peserta tidak

melihat dilema yang dialami oleh watak utama dalam Vignet Dilema Sebenar

Kendiri Moi Moi sebagai isu yang perlu dikasihani, ditunjukkan simpati atau kasih

sayang kerana masalah tersebut dicari sendiri oleh watak utama.

Perbincangan seterusnya adalah pada vignet kedua iaitu merujuk kepada

respons yang diberi kepada Vignet Dilema Sebenar Keluarga Lim. Vignet ini

Page 16: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

303

juga menggunakan alasan yang menjurus kepada orientasi keadilan. Daripada

lima kategori alasan yang dikenal pasti, kesemua peserta telah memilih A4 iaitu

menurut perintah sebagai alasan yang utama bagi vignet ini. Vignet ini yang

mempamerkan hubungan anak dengan ibu bapa, menunjukkan penemuan yang

jelas tentang sikap mentaati kehendak ibu bapa dengan pemilihan A4.

Walaupun dalam kehidupan sebenar sebahagian peserta didapati tidak

mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa namun pemilihan A4

menunjukkan mereka telah menasihati watak utama di dalam vignet agar

mentaati kehendak kedua ibu bapa mereka. Tiada sebarang alasan yang

diberikan oleh peserta yang mencadangkan agar watak utama mengkasari atau

membantah kehendak ibu bapa walaupun dalam kehidupan sebenar sebahagian

peserta menunjukkan sikap memberontak dan tidak mempunyai hubungan yang

baik dengan keluarga mereka.

Pola yang dihasilkan ini menunjukkan peserta seolah-olah memberi

jawapan kepada tindakan yang patut dibuat oleh watak utama dalam vignet

dilema sebenar, bagaimanapun tindakan yang serupa tidak semestinya

dipraktikkan kepada kedua-dua ibu bapa dalam kehidupan sebenar. Alasan yang

diberikan oleh peserta bertujuan menunjukkan tindakan ideal yang harus

dilakukan berdasarkan nilai-nilai yang telah dipelajari di sekolah. Tingkah laku

seumpama ini sedikit sebanyak mencabar sistem pendidikan yang melahirkan

pelajar yang tahu memberi alasan berdasarkan nilai-nilai murni sebaliknya

kurang mempraktikkannya dalam kehidupan.

Page 17: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

304

Di samping itu kesemua peserta lelaki tidak salah laku juga memberikan

alasan yang menjurus kepada A1 iaitu tugas dan tanggungjawab apabila

memberi respons kepada Vignet Dilema Sebenar Keluarga Lim. Pemilihan

alasan ini menunjukkan peserta lelaki tidak salah laku telah menekankan isu

tugas dan tanggungjawab keluarga atau diri sendiri sebagai isu yang penting

dalam menangani sesuatu dilema. Pemilihan A1 sememangnya

menggambarkan sikap dan tingkah laku peserta lelaki tidak salah laku dalam

kehidupan sebenar. Contohnya Reza, Chan dan Raj, mereka telah menjalankan

tugas sebagai pelajar, ketua kelas dan pengawas yang bertanggung jawab.

Vignet ketiga yang digunakan iaitu Vignet Dilema Sebenar Rakan Sebaya

Raju juga mempamerkan pemilihan alasan yang berorientasikan keadilan bagi

kesemua peserta lelaki dan 5 orang peserta perempuan. Bagaimanapun,

daripada 5 kategori alasan yang diberi, A3 iaitu timbal balik dan A4 iaitu menurut

perintah menjadi alasan pilihan peserta.

Timbal balik merupakan alasan utama mungkin kerana masalah yang

ditimbulkan dalam vignet merupakan masalah rakan sebaya maka peserta

merasakan membalas dendam atau melakukan tindakan yang serupa ke atas

apa yang dilakukan oleh rakan sebaya adalah tindakan yang wajar. Namun

dalam satu-satu keadaan lain, menurut perintah pihak autoriti juga diambil kira.

Dapatan ini menunjukkan peserta hanya akan bertindak membalas

dendam kepada mereka yang sebaya kerana perasaan hormat terhadap rakan

sebaya masih kurang. Alasan berdasarkan A3 tidak digunakan terhadap orang

dewasa dalam mana-mana vignet mungkin kerana perasaan dan sikap

Page 18: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

305

menghormati golongan ini masih menebal atau nilai moral yang dipelajari telah

menekankan sifat menghormati golongan dewasa. Sifat ini sedikit sebanyak

telah mengelakkan peserta menggunakan alasan timbal balik terhadap orang

dewasa sama ada ibu bapa mahupun orang dewasa di sekeliling mereka.

Alasan yang berorientasikan pertimbangan kendiri pula menjadi pilihan

kedua bagi pelajar salah laku dan tidak salah laku untuk kedua-dua jantina.

Namun alasan yang diberi tidak spesifik kepada satu kategori sahaja. Ia lebih

menyeluruh dengan mengambil kira tiga kategori, pertama, PK1 iaitu kesan

fizikal atau kesan terus kepada watak utama, kedua, PK3 iaitu perasaan peribadi

kepada watak utama dan ketiga, PK2 iaitu manfaat dan kebaikan kepada watak

utama. Alasan yang diberi ini menunjukkan dalam memberi respons kepada

Vignet Dilema Sebenar Rakan Sebaya Raju, peserta berupaya menyelami

dilema yang dialami oleh watak utama, penyelesaian kepada dilema ini

menunjukkan penekanan kepada kesan fizikal, perasaan serta keuntungan

watak telah diambil kira.

Respon yang diberi terhadap Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling

Kabir pula menunjukkan orientasi keadilan dan orientasi pertimbangan kendiri

digunakan oleh peserta lelaki dan perempuan. Peserta lelaki tidak salah laku dan

salah laku memberikan orientasi keadilan sebagai pilihan utama kecuali Chan.

Ini kerana Chan telah menggunakan orientasi pertimbangan kendiri sebagai

pilihan pertama. Kesemua peserta perempuan salah laku telah menggunakan

orientasi keadilan sebagai pilihan utama dalam memberi alasan kepada tindakan

pilihan penyelesaian masalah. Bagaimanapun, hanya seorang peserta

Page 19: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

306

perempuan tidak salah laku (Nor) menggunakan orientasi keadilan manakala

dua orang lagi (Fang dan Guna) menggunakan orientasi pertimbangan kendiri

sebagai pilihan utama. Bagi orientasi keadilan alasan yang diberi lebih

cenderung kepada A4 iaitu menurut perintah atau mendapatkan persetujuan

serta A5 menyalahkan atau tidak menyalahkan digunakan oleh peserta terutama

peserta lelaki tidak salah laku. Pemilihan kategori ini membuktikan peserta tanpa

mengira kumpulan dan jantina memberi penekanan kepada isu mendapatkan

persetujuan pihak autoriti atau menurut sahaja perintah pihak autoriti.

Penemuan dapatan ini menunjukkan bahawa peserta masih mengekalkan

rasa hormat dan mentaati pihak autoriti pada usia 16 tahun. Ini berkemungkinan

kerana sistem pendidikan kita serta norma masyarakat yang meletakkan ibu

bapa serta pihak autoriti sebagai pihak yang perlu dihormati dan ditaati. Orientasi

pertimbangan kendiri pula menunjukkan penggunaan PK3 iaitu perasaan

peribadi kepada watak utama dititikberatkan oleh peserta tidak salah laku bagi

kedua-dua jantina. Perasaan peribadi pula menjurus kepada penerapan emosi

moral dalam kalangan peserta tidak salah laku. Pola ini menunjukkan peserta

tidak salah laku daripada kedua-dua jantina dapat menyelami perasaan yang

dialami oleh watak utama dan perasaan empati ini dilahirkan dengan pemilihan

PK3.

Setelah perbincangan mengenai pola orientasi moral peserta dilakukan,

kesimpulan yang boleh dibuat ialah hanya sedikit perbezaan ke atas pemilihan

kategori berdasarkan empat vignet dilema sebenar dapat dilihat. Pemilihan

orientasi moral pula adalah berfokus kepada orientasi keadilan dan orientasi

Page 20: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

307

pertimbangan kendiri. Dapatan ini mungkin kerana peserta lebih suka melihat

kepada pihak yang bertanggungjawab memberi masalah kepada watak utama.

Sifat menghormati hanya ditunjukkan kepada golongan lebih dewasa seperti ibu

bapa, guru dan orang sekeliling sebaliknya jika masalah ditimbulkan oleh rakan

sebaya atau diri sendiri, kategori yang dipilih lebih menyalahkan diri sendiri atau

rakan sebaya. Kadang kala sikap timbal balik iaitu sikap ingin membalas

kejahatan juga ditunjukkan terutama yang melibatkan masalah yang ditimbulkan

oleh rakan sebaya.

Dapatan kajian ini yang menunjukkan peserta lelaki dan perempuan,

salah laku atau tidak salah laku telah menggunakan empat jenis orientasi moral.

Orientasi tersebut ialah orientasi keadilan, orientasi pertimbangan kendiri,

orientasi keprihatinan dan orientasi gabungan. Orientasi pilihan utama ialah

orientasi keadilan bagi kebanyakan peserta walaupun adakalanya orientasi

pertimbangan kendiri dijadikan pilihan dalam vignet tertentu oleh beberapa

orang peserta. Penggunaan orientasi keadilan tidak terbatas kepada peserta

lelaki sahaja tetapi juga menjadi orientasi pilihan peserta perempuan. Selain itu

orientasi keprihatinan dan gabungan juga masih digunakan walaupun dalam

jumlah yang kecil.

Justeru itu, kajian ini berjaya membuktikan bahawa pandangan Gilligan

(1982) mengenai kewujudan dua jenis orientasi sahaja iaitu keprihatinan dan

keadilan, tidak dapat diterima. Dapatan kajian yang diperoleh ini didapati hampir

sama dengan kajian Chang (1998) yang menunjukkan kehadiran orientasi-

orientasi selain orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan contohnya orientasi

Page 21: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

308

pertimbangan kendiri dan orientasi gabungan. Penggunaan orientasi

pertimbangan kendiri didapati hampir sama dengan dapatan kajian Mennuti dan

Creamer (1987), Yeh dan Creamer (1995), dan Eisenberg et. al (1991) yang

menyentuh mengenai orientasi kendiri dan hedonistik. Orientasi gabungan pula

sama seperti kajian Gilligan dan Attanucci (1988), Walker et al (1987), Wark dan

Kreb (1996) serta Yeh dan Creamer (1995).

Selain itu, kajian ini juga menyamai dapatan Mennuti dan Creamer (1987)

serta Yeh dan Creamer (1995) mengenai orientasi pertimbangan kendiri.

Bagaimanapun, orientasi pertimbangan kendiri merupakan orientasi pilihan

kedua bagi keempat-empat vignet dilema sebenar kerana orientasi keadilan lebih

diutamakan. Dapatan ini menyokong Teori Perkembangan Moral Kohlberg yang

menyatakan walaupun penaakulan moral menggunakan orientasi moral yang

berbeza namun prinsip keadilan mendasari penaakulan moral setiap individu

(Colby dan Kohlberg, 1987).

Menurut Colby dan Kohlberg (1987) terdapat empat jenis orientasi moral

iaitu orientasi normatif, orientasi kesaksamaan, orientasi kesempurnaan dan

orientasi utilitarian. Elemen-elemen yang terkandung dalam orientasi ini telah

dikenal pasti digunakan oleh peserta kajian ini. Ini bermakna walaupun Kohlberg

tidak menggunakan orientasi keprihatinan namun, elemen-elemen yang

digunakan menunjukkan kehadiran nilai-nilai keprihatinan, cuma ia dikenali

sebagai orientasi normatif dan orientasi kesaksamaan dalam skema Colby dan

Kohlberg (1987). Manakala Gilligan melalui kajiannya membuktikan terdapat dua

orientasi moral iaitu orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan. Kajian-kajian

Page 22: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

309

seterusnya seperti Lyon (1983), Gilligan dan Attanucci (1988) juga menunjukkan

kehadiran dua jenis orientasi iaitu keadilan dan keprihatinan. Walker, de Vries

dan Trevethan (1987) menunjukkan terdapat tiga orientasi iaitu keadilan,

keprihatinan dan gabungan antara keadilan dan keprihatinan. Bagaimanapun

kajian oleh Eisenberg (1991), Menutti dan Creamer (1987), Yeh dan Creamer

(1995) menunjukkan kehadiran orientasi kendiri yang menjurus kepada

pertimbangan mengenai diri sendiri. Dapatan kajian ini menyokong dapatan

kajian Eisenberg (1991), Menutti dan Creamer (1987), Yeh dan Creamer (1995)

kerana kehadiran orientasi pertimbangan kendiri juga wujud dalam kajian ini.

Walau bagaimanapun, orientasi keadilan paling diutamakan dalam tiga

daripada empat vignet dilema sebenar dalam kajian ini. Manakala orientasi

pertimbangan kendiri merupakan orientasi yang kedua paling diutamakan oleh

peserta kajian. Orientasi keprihatinan dan orientasi gabungan pula kurang

dititikberatkan. Secara keseluruhannya orientasi pertimbangan kendiri dan

orientasi keadilan lebih banyak digunakan oleh peserta kajian.

Sebagai kesimpulan, kajian ini jelas menunjukkan Teori Penaakulan

Moral Kohlberg diterima bersifat sejagat kerana orientasi keadilan menjadi

pilihan setiap peserta tanpa mengira jantina atau kumpulan pelajar. Penggunaan

vignet dilema sebenar serta isu yang diutarakan di dalam dilema juga tidak

menghalang peserta menggunakan orientasi keadilan sebagai pilihan utama.

5.1.3 Jantina dan Orientasi Moral Pelajar

Page 23: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

310

Bahagian ini akan membincangkan perhubungan antara jantina dan

orientasi moral dengan memberi perhatian kepada soalan kajian ketiga iaitu

mengenal pasti persamaan atau perbezaan orientasi moral peserta salah laku

dan peserta tidak salah laku mengikut jantina.

Kajian ini secara jelasnya menunjukkan majoriti peserta sama ada lelaki

atau perempuan menggunakan orientasi yang sama dan ianya tidak berbeza

walaupun isu dalam vignet dilema sebenar adalah berbeza. Kajian ini

menunjukkan peserta lelaki dan perempuan sama ada salah laku atau tidak

salah laku lebih berfokus kepada orientasi keadilan apabila memberi respons

kepada empat jenis vignet dilema sebenar iaitu Vignet Dilema Sebenar Kendiri

Moi Moi, Vignet Dilema Sebenar Keluarga Lim, Vignet Dilema Sebenar Rakan

Sebaya Raju dan Vignet Dilema Sebenar Orang Sekeliling Kabir.

Adalah jelas bahawa orientasi keadilan merupakan orientasi moral yang

dititikberatkan dalam kajian penaakulan moral oleh Kohlberg (Gilligan, 1982).

Dapatan ini secara tidak langsung membuktikan vignet dilema sebenar dengan

isu yang berbeza tidak mempengaruhi orientasi moral pelajar. Walaupun,

orientasi pertimbangan kendiri menjadi pilihan dalam kajian Mennuti dan

Creamer (1987) dan Yeh dan Creamer (1995), namun dengan penggunaan

vignet dilema sebenar dapatan menunjukkan orientasi pertimbangan kendiri

menjadi orientasi pilihan kedua oleh majoriti peserta lelaki dan perempuan

dalam kajian ini.

Selain daripada itu, dapatan kajian ini hampir sama dengan kajian

Gilligan dan Attanucci, (1988); Walker et al, (1987); Wark dan Kreb, (1996); serta

Page 24: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

311

Yeh dan Creamer, (1995) di mana terdapat gabungan orientasi pertimbangan

kendiri-keprihatinan, gabungan orientasi pertimbangan kendiri-keadilan dan

gabungan orientasi keprihatinan-keadilan. Namun dapatan menunjukkan cuma

seorang peserta perempuan sahaja yang mampu menggunakan orientasi

gabungan dengan baik apabila membuat penyelesaian dilema.

Dapatan kajian juga menunjukkan perbezaan isu yang diketengahkan

dalam vignet dilema sebenar tidak bermakna membawa kepada penggunaan

orientasi moral yang berbeza dalam kalangan peserta mengikut jantina. Ini

berbeza dengan dapatan Chang (1998) yang telah menggunakan dua vignet

hipotetikal yang berbeza dalam kajiannya. Beliau telah menggunakan vignet

dilema hipotetikal klasik dan vignet dilema hipotetikal praktikal, dan dapatan

Chang (1998) menunjukkan perbezaan vignet mempengaruhi jenis orientasi

yang digunakan oleh peserta.

Walaupun keempat-empat orientasi iaitu orientasi keadilan, orientasi

pertimbangan kendiri, orietasi keprihatinan dan orientasi gabungan telah

digunakan oleh peserta kajian tetapi ia hampir sama antara kaum, jantina,

peserta salah laku dan peserta tidak salah laku di mana fokus mereka lebih

kepada orientasi keadilan. Orientasi keprihatinan serta orientasi gabungan paling

sedikit digunakan dalam keempat-empat vignet dilema sebenar oleh kedua-dua

jantina.

Orientasi pertimbangan kendiri juga telah digunakan dalam keempat-

empat vignet dilema sebenar tanpa perbezaan yang ketara antara jantina.

Kajian ini membuktikan penaakulan moral pelajar bukan sahaja berfokus

Page 25: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

312

kepada orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan seperti saranan Gilligan

(1982), sebaliknya kajian ini membuktikan kehadiran orientasi pertimbangan

kendiri dan orientasi gabungan turut digunakan oleh kedua-dua jantina. Dapatan

kajian ini sama seperti yang diperoleh oleh Chang (1998); Gilligan dan Attanuci,

(1988); Walker et al, (1987); Wark dan Krebs, (1996) serta Yeh dan Creamer,

(1995).

Bagaimanapun, orientasi yang menjadi keutamaan adalah berbeza-beza

dalam kajian orientasi sebelum ini. Chang (1999) dalam kajiannya mendapati

orientasi keprihatinan lebih digunakan oleh pelajar Pendidikan Moral apabila

memberi respons kepada vignet dilema hipotetikal. Gilligan (1982) menunjukkan

orientasi keprihatinan lebih digunakan oleh peserta perempuan apabila memberi

respons kepada dilema sebenar.

Kajian orientasi moral terhadap peserta lelaki dan perempuan salah laku

dan tidak salah laku dengan menggunakan vignet dilema sebenar ini

menunjukkan orientasi keadilan dan orientasi pertimbangan kendiri lebih

dititikberatkan berbanding orientasi keprihatinan dan orientasi gabungan. Tiada

perbezaan ketara orientasi moral peserta salah laku dan peserta tidak salah laku

bagi kedua-dua jantina. Di samping itu, isu kontektual yang diketengahkan oleh

Gilligan (1982) tidak mempengaruhi orientasi moral peserta bagi kedua jantina.

Yang jelas, pemilihan orientasi utama yang digunakan oleh peserta agak

berbeza dengan salah satu hasil kajian sarjana tempatan iaitu Chang (1998).

Kajian beliau ke atas pelajar Pendidikan Moral tingkatan empat mendapati

peserta lebih mengutamakan orientasi keprihatinan dan orientasi pertimbangan

Page 26: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

313

kendiri apabila memberi respons kepada vignet dilema hipotetikal klasik dan

vignet dilema hipotetikal praktikal. Beliau telah berjaya membuktikan jenis

dilema yang berbeza memberi kesan kepada penggunaan orientasi moral.

Kajian ke atas peserta dengan menggunakan empat vignet dilema

sebenar ini juga menunjukkan latar belakang peserta kajian yang berbeza dari

segi kaum, pendapatan keluarga, agama, bilangan adik-beradik serta jenis

tempat tinggal tidak banyak mempengaruhi jenis orientasi yang digunakan.

Sebelas daripada dua belas peserta kajian telah menggunakan orientasi

keadilan sebagai pilihan utama apabila memberikan alasan kepada vignet dilema

sebenar.

Kohlberg (1984), Walker (1984) dan Gilligan dan Attanucci (1988)

menyatakan suara-suara keadilan dan keprihatinan sering mendominasi isu-isu

yang berkaitan dengan dilema moral. Namun ada pengkaji berpendapat tiada

perbezaan jantina dalam orientasi moral (Krebs, Vermeulen, Denton &

Carpendale, 1994). Gilligan dan Attanucci (1988) membuat kesimpulan bahawa

“mengambil berat mengenai keadilan dan keprihatinan…kedua-duanya mewakili

pemikiran manusia mengenai konflik moral yang sebenar, tetapi manusia

memberi fokus yang lebih kepada satu suara dan kurang kepada satu lagi

suara”. Walker (1991) melalui kajiannya menunjukkan dilema yang memberi

fokus kepada hubungan peribadi dibincangkan dalam keadaan keprihatinan

manakala dilema yang melibatkan situasi yang tidak peribadi lebih dibincangkan

dalam bentuk keadilan.

Page 27: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

314

Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati orientasi keadilan dan

orientasi pertimbangan kendiri lebih digunakan oleh peserta. Ini terbukti apabila

kedua-dua orientasi ini digunakan dalam kesemua vignet dilema sebenar.

Orientasi keprihatinan pula sangat kurang dititikberatkan oleh peserta kajian

sama ada lelaki mahupun perempuan. Begitu juga dengan orientasi gabungan.

Kajian ini juga menunjukkan tiada perbezaan orientasi moral antara

peserta lelaki dengan peserta perempuan dan ini tidak menyokong pendapat

Gilligan (1982) yang menyatakan terdapat perbezaan antara lelaki dan

perempuan di mana perempuan lebih berfokus kepada orientasi keprihatinan

manakala lelaki lebih kepada orientasi keadilan. Kajian ini juga mendapati

peserta kajian lelaki atau perempuan kurang menggunakan orientasi gabungan

dalam penyelesaian masalah. Ini kerana peserta-peserta didapati kurang mampu

untuk menghurai dan menjelaskan alasan yang diberi dari sudut orientasi yang

berlainan.

Kajian Greenwald dan Banaji (1995) menunjukkan bahawa apabila

penjelasan terhadap alasan dapat dibincangkan dengan panjang lebar, peserta

dilihat mampu memberikan alasan dari sudut pandangan yang berbeza.

Pandangan dari sudut yang berbeza ini membolehkan alasan dikategorikan

kepada orientasi gabungan.

5.3 Implikasi kajian terhadap amalan dan teori Pendidikan Moral dalam

usaha meningkatkan penaakulan moral pelajar

Page 28: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

315

Walaupun kajian ini terbatas kepada aspek penaakulan moral yang

mengkaji orientasi moral dalam kalangan 12 orang pelajar namun dapatan

kajian yang diperoleh hendaklah dilihat dari perspektif yang lebih luas. Salah

satu perspektif yang perlu diberi perhatian ialah usaha meningkatkan tahap

kematangan peserta dalam sesi perbincangan dan penyelesaian masalah.

Sehubungan dengan itu, usaha meningkatkan penaakulan moral pelajar

perlu diberi perhatian demi pemantapan amalan Pendidikan Moral. Usaha ini

tidak harus dipandang remeh kerana salah satu objektif mata pelajaran

Pendidikan Moral ialah meningkatkan tahap penaakulan moral pelajar

(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2000). Bagaimanapun, dapatan yang

diperoleh menunjukkan kemahiran penaakulan moral dalam kalangan pelajar

masih di tahap rendah. Perspektif ini dikenal pasti kerana majoriti peserta kurang

kefahaman, keyakinan dan kemahiran membincangkan persoalan atau isu

dilema yang dikemukakan. Kesannya peserta hanya memberi satu alasan bagi

setiap tindakan yang diambil untuk penyelesaian dilema. Kelemahan peserta

mencurahkan idea serta berbincang secara kritis, sedikit sebanyak mencabar

sistem pendidikan secara amnya dan Pendidikan Moral secara khususnya.

Pembelajaran formal di sekolah telah mendedahkan pelajar kepada

pemikiran dan perbincangan kritis berlandaskan nilai-nilai moral. Kemahiran

memberi pelbagai alasan kepada usaha penyelesaian masalah memberi kesan

kepada penggunaan orientasi moral terutamanya orientasi gabungan. Oleh itu,

orientasi gabungan dilihat amat rendah penggunaannya dalam kalangan peserta.

Page 29: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

316

Justeru itu, langkah meningkatkan kemahiran pelajar melalui teknik pengajaran

dan pembelajaran harus diberi perhatian.

Merujuk kepada kurikulum Pendidikan Moral, pemilihan satu nilai yang

paling tepat perlu dilakukan oleh pelajar dalam proses penyelesian masalah.

Oleh itu, pelajar dilatih memilih nilai moral yang paling tepat ketika menjawab

soalan yang disediakan. Pemilihan nilai moral yang tepat dan khusus ini

dikhuatiri menyekat keupayaan pelajar untuk meneroka pelbagai alasan lain

yang wujud di luar dimensi nilai yang dipelajari di sekolah. Perkara ini dikhuatiri

mengurangkan kemahiran semula jadi yang dipelajari secara tidak formal dalam

menangani dilema peribadi serta masalah rakan sebaya. Perkara ini dilihat

berlaku kepada seorang peserta iaitu Nor di mana rakan-rakan sekelas tidak

akan meminta pendapat atau nasihatnya kerana dia mengakui tiada kemahiran

menyelesaikan masalah sebaliknya bertindak sebagai pendengar sahaja.

Pada dasarnya kelemahan yang dikenal pasti ialah tumpuan pelajar

adalah kepada nilai utama yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan

Moral atau nilai yang dipelajari merentasi kurikulum. Situasi ini menyebabkan

pelajar memilih dan memberikan set jawapan berdasarkan nilai-nilai moral yang

diketahui mengikut kehendak soalan. Tindakan ini seterusnya membawa kepada

penggunaan orientasi moral yang sama apabila menyelesaikan masalah dalam

kalangan peserta.

Tindakan ini akhirnya memberi kesan kepada sistem pendidikan kerana

mencorak pemikiran pelajar berdasarkan set pemikiran yang sama. Sebaliknya,

bukan berusaha ke arah membuka minda pelajar untuk berfikir secara rasional

Page 30: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

317

berdasarkan emosi moral dan pemikiran moral. Akibatnya persoalan asas dalam

Pendidikan Moral seperti pemahaman terhadap masalah moral tidak dapat

dijelaskan dengan baik oleh peserta.

Kesukaran peserta berbincang tentang tindakan penyelesaian dilema

sebenar turut menimbulkan tanda tanya terhadap cara pengajaran guru di dalam

kelas bagi tujuan meningkatkan penaakulan moral pelajar. Untuk membolehkan

pelajar berfikir secara kritikal dan bertindak secara efektif, mereka harus terlebih

dahulu memahami konsep dan prinsip yang berkaitan dengan isu, punca

berlakunya isu, cara-cara menangani dilema, alternatif yang boleh diambil serta

kesan-kesannya. Perbincangan seharusnya meliputi nilai berkaitan dengan

perkembangan diri hingga kepada persoalan etika dan isu moral yang berkaitan

dengan topik-topik seperti kekeluargaan, alam sekitar, patriotisme, hak asasi

manusia, demokrasi, keamanan dan keharmonian. Oleh itu, tiga komponen iaitu

pengetahuan moral, kemahiran moral dan nilai moral haruslah berkaitan.

Pembelajaran di sekolah juga harus berganjak daripada kurikulum yang

bersifat skill-and-drill dan paper-and-pencil kepada sesuatu yang menarik dan

bermakna kepada pelajar. Penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran

aktif seperti pembelajaran koperatif, pendekatan menyelesaikan masalah, projek

berdasarkan pengalaman harus diketengahkan. Kajian Jeevajothi (1997)

terhadap pelajar tingkatan empat menunjukkan terdapatnya peningkatan

penaakulan moral dalam kalangan pelajar apabila perbincangan dilema moral

dilakukan selama 10 minggu berterusan. Menurut Gage & Berliner (1988),

Page 31: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

318

perbincangan dilema moral terbukti berupaya meningkatkan penaakulan moral

pelajar.

Perbincangan dilema moral di dalam kelas haruslah dilakukan oleh guru-

guru yang memahami secara mendalam pendekatan yang digunakan dalam

pengajaran. Kohlberg (1975) mencadangkan agar pelajar sering didedahkan

dengan dilema moral yang berada satu peringkat lebih tinggi daripada peringkat

penaakulan moral pelajar. Pelajar juga hendaklah didedahkan dengan situasi

moral yang berlainan dengan struktur pemikiran mereka, kerana dengan cara ini

akan mencabar pemikiran moral pelajar tersebut. Seterusnya menurut beliau,

usaha menggalakkan penggunaan dialog dan perbincangan di dalam kelas

haruslah dilakukan secara berterusan. Kejayaan meningkatkan penaakulan

moral ini tercapai setelah pendekatan “Just Community Approach” yang telah

dilakukan oleh Kohlberg (1984) terbukti berjaya meningkatkan penaakulan moral

pelajar selepas perbincangan dilema moral dilakukan.

Bouas (1993) turut mencadangkan bahawa seseorang guru haruslah

kreatif dalam pemilihan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran di dalam

kelas, pelbagai teknik yang dilaksanakan dapat meningkatkan penaakulan moral

pelajar selepas pendedahan kepada dilema moral dilakukan. Mengikut Berreth

dan Berman (1997), kemahiran mengambil perspektif juga dapat membantu

pelajar memahami dengan lebih baik masalah yang dihadapi oleh orang lain.

Kemahiran mengambil perspektif yang telah digunakan oleh pelajar dalam

kajian Vishalachi (2002) menunjukkan pelajar dapat menyelami perasaan pihak

Page 32: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

319

lain dan merangsang pemikiran mereka agar penyelesaian masalah terbaik

dilakukan.

Satu dapatan menarik yang dikenal pasti dalam kajian ini ialah peserta

didapati tidak selari dalam memberikan alasan kepada penyelesaian dilema

dengan tindakan yang diambil atau yang dipraktikkan dalam kehidupan sebenar.

Contohnya, kebanyakan pelajar telah menggunakan kategori ‘menurut perintah

dan mendapatkan kebenaran’ bagi penyelesaian masalah Vignet Dilema

Sebenar Keluarga Lim. Kategori ini telah menjadi pilihan peserta seperti Yap,

Siva, Fang, dan Kristina, kerana dipercayai mereka telah menggunakan salah

satu nilai yang dipelajari dalam Pendidikan Moral iaitu nilai berkaitan dengan

kekeluargaan. Sedangkan peserta-peserta ini didapati tidak menghormati dan

menurut perintah kedua ibu bapa atau guru-guru dalam kehidupan sebenar. Oleh

kerana itu, hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melihat pelajar

seimbang pasti sukar dicapai kerana dapatan kajian telah membuktikan bahawa

pendekatan, sikap dan tingkah laku moral kebanyakan pelajar agak berbeza di

dunia sebenar.

Maklumat ini juga dapat diperhatikan seawal ketika pemilihan peserta

kajian dilakukan. Penemuan penting yang diperoleh ialah, peserta tidak salah

laku yang diandaikan bebas daripada aktiviti salah laku akhirnya dikenal pasti

terlibat dengan beberapa kesalahan salah laku tanpa pengetahuan pihak

sekolah. Ini bermakna tidak semestinya pelajar tidak salah laku bebas daripada

aktiviti salah laku dan sentiasa mengamalkan tingkah laku moral dan pemikiran

Page 33: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

320

moral dalam kehidupan. Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak

institusi pendidikan khususnya.

Dapatan kajian ini juga memberi implikasi terhadap teori yang digunakan

dalam kajian. Pelbagai maklumat telah diteroka seperti latar belakang serta

masalah atau dilema yang dihadapi oleh peserta. Melalui kaedah pengumpulan

data yang dilakukan secara kualitatif, kajian ini berjaya mengenal pasti orientasi

moral peserta serta kategori yang diutamakan oleh peserta. Walaupun Teori

Penaakulan Moral Kohlberg telah menggariskan sebanyak 17 elemen, dan

dijadikan panduan dalam kajian ini tetapi peserta didapati menggunakan

beberapa elemen sahaja. Begitu juga dengan orientasi-orientasi moral yang

digunakan. Berdasarkan kepada Teori Penaakulan Moral Kohlberg, empat

orientasi yang dikenal pasti ialah orientasi utilitarian, orientasi kesempurnaan,

orientasi kesaksamaan dan orientasi normatif dan prinsip keadilan dikatakan

mendasari keempat-empat orientasi ini. Dapatan kajian ini pula berjaya

menunjukkan kehadiran empat orientasi iaitu orientasi keadilan, orientasi

keprihatinan, orientasi pertimbangan kendiri dan orientasi gabungan. Orientasi

yang digunakan oleh peserta menunjukkan penggunaan elemen seperti yang

terkandung dalam Teori Penaakulan Moral Kohlberg, dan kategori yang

terkandung dalam kajian Chang (1998).

Kajian oleh pengkaji sebelum ini menunjukkan orientasi keadilan dan

orientasi keprihatinan sering mendapat tempat dalam kajian orientasi moral

namun kehadiran orientasi seperti pertimbangan kendiri dan orientasi gabungan

Page 34: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

321

perlu diberi perhatian terutama apabila berada dalam budaya yang berlainan dan

jenis dilema yang berbeza (Krebs, Vermeulen, Denton & Carpendale, 1994).

Penggunaan Teori Penaakulan Moral Kohlberg, menunjukkan tiada

perbezaan ketara yang wujud antara peserta salah laku dan tidak salah laku

bagi kedua jantina. Kajian ini telah mengukuhkan teori yang digunakan dengan

dapatan yang menunjukkan orientasi keadilan tidak didominasi oleh peserta

lelaki sahaja dan orientasi keprihatinan tidak didominasi oleh peserta perempuan

sahaja. Sebaliknya kedua-dua jantina telah menggunakan orientasi keadilan

apabila memberi respons kepada dilema sebenar.

Kajian ini membuktikan bahawa peserta menyelesaikan masalah dan

memberi alasan yang hampir sama antara satu sama lain tanpa mengira latar

belakang dan jantina pada usia enam belas tahun. Kemampuan mereka

memberikan alasan ke atas tindakan bagi menyelesaikan dilema sebenar

menunjukkan peserta dapat membincangkan setiap soalan dan memberikan

pandangan walaupun pandangan mereka kurang kritis. Sejajar dengan itu,

kajian ini menunjukkan bahawa pendapat Gilligan yang menyatakan perempuan

memberikan alasan yang berorientasi keprihatinan tidak disokong dalam kajian

ini.

Kajian ilmiah ini menunjukkan walaupun pelajar didedahkan dengan

pelbagai isu di dalam vignet dilema sebenar seperti isu kendiri, isu keluarga, isu

rakan sebaya dan isu dengan orang sekeliling namun orientasi peserta tidak

menunjukkan perbezaan yang ketara. Kesemua peserta salah laku dan tidak

salah laku, lelaki mahupun perempuan masih berpegang kepada orientasi

Page 35: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

322

keadilan dan orientasi pertimbangan kendiri apabila memberi alasan kepada

dilema sebenar.

Sehubungan dengan itu, kajian ini juga memberi implikasi terhadap

amalan pendidikan di Malaysia. Kebolehan peserta membincangkan isu-isu

berkaitan masalah moral didapati berada ditahap yang kurang matang. Manakala

alasan kepada tindakan penyelesaian masalah yang diberikan menunjukkan

pelajar kurang membincangkan isu semasa secara kritis di sekolah, apatah lagi

untuk menyelesaikan dilema atau masalah orang lain. Pihak sekolah harus

memastikan bahawa kemahiran penaakulan moral seperti kemahiran berfikir

secara kritis dan kreatif, kemahiran mendengar, kemahiran menahan tekanan

rakan sebaya, kemahiran pembelajaran koperatif, kemahiran penyelesaian

konflik serta kemahiran sosial sentiasa ditekankan kepada pelajar dalam sesi

pembelajaran.

Serentak dengan itu, pihak sekolah harus sensitif dengan masalah-

masalah pelajar agar persediaan yang lebih baik dapat dilakukan demi

menjamin kualiti kehidupan pelajar yang membanggakan. Dengan itu,

keseluruhan sekolah harus menjadi sebuah komuniti moral. Semua staf sekolah

harus berkerjasama dalam menjayakan program Pendidikan Moral dan menjadi

model yang baik kepada pelajar.

Pelbagai kajian telah dilakukan sebelum ini yang telah membuktikan

terdapatnya perbezaan dalam peringkat penaakulan moral antara pelajar salah

laku dan tidak salah laku. Kajian mereka telah membuktikan bahawa pelajar

salah laku yang berada di peringkat yang rendah sering terdorong dengan aktiviti

Page 36: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

323

salah laku. Walaupun terdapat perbezaan dalam peringkat penaakulan moral

namun dapatan kajian ini tidak menunjukkan sebarang perbezaan orientasi

moral antara mereka. Ini menunjukkan walaupun kematangan pelajar berbeza

namun cara penyelesaian yang dipilih adalah hampir sama antara pelajar salah

laku dan tidak salah laku. Dapatan yang diperoleh ini menunjukkan tidak sukar

bagi pihak sekolah mendidik dan membentuk pelajar kerana corak pemikiran

yang sama ini, tetapi kesannya nanti pelajar mungkin tidak kreatif dalam

menghadapi situasi yang bermasalah.

Penggunaan kategori tertentu oleh peserta seperti “menyalahkan pihak

lain atau diri sendiri” menunjukkan pelajar berminat untuk mengenal pasti pihak

yang harus dipertanggungjawabkan bila masalah menimpa diri. Pemilihan

kategori ini menunjukkan pelajar sedar bahawa golongan yang bersalah harus

dipersalahkan, latar belakang pemikiran pelajar seperti ini memudahkan guru

mendidik dan mendisplinkan pelajar.

Kajian ini menunjukkan setiap peserta mempunyai masalah atau

berhadapan dengan dilema dalam kehidupan harian mereka. Walaupun mereka

menggunakan orientasi yang sama ketika menyelesaikan vignet dilema sebenar

namun sebagai pelajar, masalah yang mereka hadapi dalam kehidupan

memberi kesan kepada tingkah laku dan pelajaran mereka.

Pihak sekolah juga harus mengambil inisiatif dengan menganjurkan

kempen pengamalan nilai-nilai murni atau melaksanakan Minggu Pendidikan

Moral, dengan kempen seperti ini pebagai aktiviti dapat dilaksanakan dan

menggalakkan pelajar mengamalkan nilai-nilai positif. Semasa kempen berjalan,

Page 37: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

324

disiplin induktif seperti cadangan Berk (1989) juga boleh dilaksanakan, pada

ketika itu pelajar-pelajar yang bermasalah moral atau pelajar salah laku

dimaklumkan kesan buruk tingkah laku mereka dengan menekankan kesusahan

yang harus dilalui pihak lain akibat perbuatan mereka. Berk (1989) menjelaskan

pelajar yang dididik dengan disiplin induktif akan bersifat altruistik, bertimbang

rasa serta berupaya menyelami perasaan orang lain.

Kajian ini juga memberikan implikasi kepada sistem kekeluargaan di

negara kita. Pelbagai maklumat telah berjaya diteroka melalui temu bual yang

dilakukan. Maklumat penting yang diperoleh ialah sebahagian besar peserta

yang ditemu bual didapati menghadapi masalah dengan keluarga. Ini

menunjukkan sistem kekeluargaan kita menghadapi sedikit kepincangan dalam

melayari kehidupan dunia moden pada ketika ini. Implikasinya ialah kepada

kesejahteraan hidup pelajar yang sedang menuntut ilmu pada hari ini. Oleh itu,

usaha ke arah memantapkan lagi institusi kekeluargaan perlu difikirkan bersama.

Menurut Hirschi dan Gottfredson (2003) serta Kendler dan Jacobson et. al.,

(2007), kerenggangan hubungan anak dan keluarga akan mendorong kepada

penglibatan dalam masalah moral serta jenayah. Oleh itu, ibu bapa harus

membina hubungan mesra dengan anak-anak agar mereka sentiasa berada di

landasan kehidupan yang betul (Haberrtick, et al., 2005). Ibu bapa dan anggota

komuniti juga harus dilibatkan secara aktif dalam pelaksanaan program

Pendidikan Moral yang efektif. Ibu bapa boleh dijemput untuk menceritakan

pengalaman mereka, di samping mengadakan sesi mewawancara ibu bapa atau

anggota komuniti kerana it takes a whole village to raise a child.

Page 38: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

325

Dalam keghairahan melaksanakan pelbagai pendekatan pengajaran dan

kempen, peranan ibu bapa tidak harus diketepikan. Penting bagi pihak sekolah

dan ahli keluarga menggunakan set pemikiran dan amalan nilai setempat dan

sejagat yang tidak berbeza. Pendidikan moral, nilai dan akhlak di sekolah adalah

pendidikan formal namun ia perlu difahami oleh ibu bapa dan masyarakat. Ibu

bapa dan masyarakat harus peka dengan nilai yang cuba diterapkan oleh

pendidikan formal di sekolah. Perbezaan nilai yang dibawa oleh ibu bapa dan

nilai yang dipelajari di sekolah hendaklah dielakkan. Ibu bapa harus faham

bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah yang bertujuan meningkatkan

penaakulan moral pelajar akan terbantut sekiranya pelajar terdedah kepada nilai

yang berbeza apabila menangani dilema atau masalah sebenar.

Dengan ini sebelum sebarang bentuk peraturan disiplin dilakukan di

sekolah, adalah wajar diteliti semula set pemikiran serta pemahaman pelajar

terhadap isu moral, disiplin dan peraturan sekolah agar kesemua ini dapat

ditangani mengikut acuan atau penerimaan pelajar demi mengelakkan institusi

pendidikan melahirkan pelajar yang menangani masalah kehidupan dengan dua

cara yang berbeza mengikut situasi, sama ada penyelesaian masalah mengikut

apa yang dipelajari di dalam kelas atau yang harus dilakukan di dalam dunia

sebenar. Penyelesaian yang tidak konsisten ini akhirnya melahirkan pelajar yang

tidak ikhlas dan berjiwa hipokrit, seterusnya mampu menggagalkan hasrat

Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

5.4 Cadangan Kajian Lanjutan

Page 39: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

326

Berdasarkan perbincangan dan rumusan yang telah dilakukan, hasil

kajian menunjukkan pelbagai maklumat berjaya diperoleh daripada peserta

kajian apabila perbincangan mengenai dilema dalam kehidupan dilakukan.

Perbincangan seperti ini membantu kita memahami masalah yang dialami oleh

pelajar di sekolah secara umumnya. Sehubungan dengan itu, orientasi moral

pelajar juga dapat dikenal pasti. Untuk mendapatkan keberkesanan kajian

lanjutan beberapa cadangan diberikan untuk meluaskan kajian di masa

hadapan.

Kajian ilmiah ini hanya melibatkan 12 orang peserta kajian, adalah

dicadangkan kajian selepas ini mengambil lebih ramai peserta kajian untuk

mengetahui lebih banyak masalah dan dilema yang dialami oleh pelajar masa

ini. Justeru itu, masalah dan dilema pelajar dapat dilihat secara lebih menyeluruh

dan ini dapat membantu penyelidik menambah isu-isu dilema kepada vignet

dilema sebenar. Bilangan peserta yang mewakili kaum tertentu juga

menyebabkan dapatan yang diperoleh tidak boleh digeneralisasikan kepada

kaum-kaum tersebut, maka dicadangkan kajian pada masa hadapan memfokus

kepada satu kaum sahaja untuk mendapatkan dapatan yang menyeluruh

mengenai kaum tersebut.

Oleh kerana bilangan pelajar yang terlibat dengan kes salah laku

bertambah saban tahun, adalah dicadangkan tumpuan kepada orientasi moral

pelajar salah laku sahaja dilakukan dengan jumlah peserta yang lebih ramai,

agar hasil kajian yang lebih menyeluruh terhadap kumpulan ini dapat dilakukan.

Kajian sebegini dapat meneroka masalah remaja dan memberi sumbangan

Page 40: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

327

kepada pelbagai pihak mengenal pasti punca dan langkah penyelesaian

masalah mereka. Ini seterusnya mampu mempamerkan pola kategori orientasi

moral dengan lebih bermakna.

Untuk kajian di masa hadapan, dicadangkan juga agar peserta kajian

dipilih berdasarkan latar belakang pelajar yang sama seperti faktor

sosioekonomi, bilangan adik beradik, pendapatan keluarga, latar belakang

keluarga, jarak sekolah dari rumah dan sebagainya diambil kira agar orientasi

moral pelajar dapat dilihat secara lebih menyeluruh.

Kaedah yang digunakan untuk memperoleh maklumat dalam kajian ini

adalah temu bual. Adalah dicadangkan trangulasi dalam pengutipan data

digunakan untuk memperkayakan dapatan kajian. Maklumat tambahan dijangka

mampu diperoleh sekiranya pengutipan data juga menggunakan teknik selain

temu bual seperti pemerhatian.

Selain teknik temu bual secara “face-to-face”, kajian juga boleh

menggunakan vignet dilema sebenar sebagai satu cara pengajaran dalam bilik

darjah. Perbincangan dapat dilakukan secara aktif dengan bantuan guru dan

masalah yang dikemukakan dapat dibincangkan dari perspektif yang berbeza

agar penyelesaian masalah dapat dilakukan bersama. Langkah ini juga dijangka

dapat meningkatkan tahap penaakulan moral pelajar. Pelajar juga akan

berpeluang terdedah kepada pelbagai isu yang dihadapi oleh rakan sedarjah. Ini

akan membuka minda pelajar bahawa setiap manusia mempunyai masalah dan

tidak semestinya membawa kepada perubahan tingkah laku atau melibatkan diri

dengan salah laku. Peranan guru menjustifikasikan setiap alasan yang diberi

Page 41: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

328

bagi penyelesaian masalah akan memberi peluang kepada pelajar mempelajari

teknik yang mampu meningkatkan penaakulan moral pelajar.

6.5 Penutup

Kesimpulannya, kajian ke atas pelajar tingkatan empat dengan memberi

tumpuan kepada orientasi moral berdasarkan vignet dilema sebenar didapati

sangat menarik walaupun ianya sangat kompleks kerana melibatkan kemahiran

menemu bual pelajar. Proses yang dimulakan dengan pemilihan peserta kajian,

penerokaan masalah atau dilema pelajar, pembentukan vignet dilema sebenar

dan seterusnya temu bual bagi menentukan orientasi moral pelajar didapati

sangat kompleks. Namun kajian ini mampu melihat corak pemikiran remaja

berusia 16 tahun yang berada dalam dunia pendidikan.

Kajian orientasi moral dalam kalangan pelajar tingkatan empat ini didapati

memberi satu penemuan baru terutama bila melibatkan pelajar-pelajar salah

laku. Didapati pelajar-pelajar mampu untuk memberikan alasan yang tidak

hanya memfokus kepada orientasi keadilan seperti menurut Teori Penaakulan

Moral Kohlberg. Sebaliknya juga tidak memfokus kepada orientasi keprihatian

apabila memberi respons kepada dilema sebenar seperti pendapat Gilligan.

Penumpuan kepada orientasi pertimbangan kendiri juga membuktikan kehadiran

orientasi selain orientasi keadilan dan orientasi keprihatinan. Kajian juga

membuktikan tiada perbezaan ketara orientasi moral pelajar salah laku dengan

pelajar tidak salah laku bagi peserta lelaki dan peserta perempuan apabila

memberi respons kepada dilema sebenar. Kegagalan membuktikan wujudnya

Page 42: 288 BAB LIMA 5.0 Pengenalan Bab ini membentangkan rumusan

329

perbezaan orientasi moral dalam kalangan peserta salah laku dan tidak salah

laku menunjukkan kemungkinan pemikiran dan penaakulan moral pelajar

tingkatan empat adalah hampir sama.