transformasi pendidikan vokasional dalam konteks pembangunan negara malaysia : isu dan cabaran

17
1 TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN Oleh : Hawati Hasan & Md Yusoff Daud Fakulti Pendidikan UKM ABSTRAK Perkembangan dan kemajuan sesebuah negara diukur dalam pelbagai bidang dalam kerangka menuju kepada sebuah negara maju. Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun telah melaksanakan pelan transformasi yang mencakupi semua aspek termasuk pendidikan. Selaras dengan program transformasi sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Transformasi Pendidikan Vokasional dirangka bertujuan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan berdaya saing yang diiktiraf oleh industri dan diterima dalam pasaran kerja. Kertas kerja ini membincangkan mengenai transformasi pendidikan vokasional dalam pembangunan negara. Namun begitu, timbul perdebatan dari segi kemampuan sistem pendidikan bagi menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran dan nilai murni yang menyumbang ke arah pembangunan negara abad ke-21. Antara isu yang diperdebatkan ialah dari segi tahap kesediaan guru, kesedaran kerjaya pelajar dan kebolehpasaran sumber tenaga yang memenuhi kehendak industri. Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai cabaran mendepani sistem pendidikan vokasional sedia ada. Justeru itu, pelbagai pendekatan dan strategi dirangka dalam penambahbaikan sistem yang ada. Antaranya ialah pengukuhan kerjasama dengan rakan industri bagi

Upload: hawati-hasan

Post on 08-Aug-2015

616 views

Category:

Documents


10 download

DESCRIPTION

Perkembangan dan kemajuan sesebuah negara diukur dalam pelbagai bidang dalam kerangka menuju kepada sebuah negara maju. Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun telah melaksanakan pelan transformasi yang mencakupi semua aspek termasuk pendidikan. Selaras dengan program transformasi sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Transformasi Pendidikan Vokasional dirangka bertujuan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan berdaya saing yang diiktiraf oleh industri dan diterima dalam pasaran kerja. Kertas kerja ini membincangkan mengenai transformasi pendidikan vokasional dalam pembangunan negara. Namun begitu, timbul perdebatan dari segi kemampuan sistem pendidikan bagi menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran dan nilai murni yang menyumbang ke arah pembangunan negara abad ke-21. Antara isu yang diperdebatkan ialah dari segi tahap kesediaan guru, kesedaran kerjaya pelajar dan kebolehpasaran sumber tenaga yang memenuhi kehendak industri. Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai cabaran mendepani sistem pendidikan vokasional sedia ada. Justeru itu, pelbagai pendekatan dan strategi dirangka dalam penambahbaikan sistem yang ada. Antaranya ialah pengukuhan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa kerja kepada pelajar, meneruskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan mewujudkan laluan kerjaya yang menarik.

TRANSCRIPT

Page 1: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

1

TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS

PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

Oleh :

Hawati Hasan & Md Yusoff Daud

Fakulti Pendidikan UKM

ABSTRAK

Perkembangan dan kemajuan sesebuah negara diukur dalam pelbagai bidang dalam

kerangka menuju kepada sebuah negara maju. Malaysia, sebagai sebuah negara yang

sedang pesat membangun telah melaksanakan pelan transformasi yang mencakupi semua

aspek termasuk pendidikan. Selaras dengan program transformasi sistem pendidikan yang

dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Transformasi Pendidikan Vokasional

dirangka bertujuan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan,

berinovatif dan berdaya saing yang diiktiraf oleh industri dan diterima dalam pasaran kerja.

Kertas kerja ini membincangkan mengenai transformasi pendidikan vokasional dalam

pembangunan negara. Namun begitu, timbul perdebatan dari segi kemampuan sistem

pendidikan bagi menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran dan nilai

murni yang menyumbang ke arah pembangunan negara abad ke-21. Antara isu yang

diperdebatkan ialah dari segi tahap kesediaan guru, kesedaran kerjaya pelajar dan

kebolehpasaran sumber tenaga yang memenuhi kehendak industri. Bagi mencapai matlamat

tersebut, pelbagai cabaran mendepani sistem pendidikan vokasional sedia ada. Justeru itu,

pelbagai pendekatan dan strategi dirangka dalam penambahbaikan sistem yang ada.

Antaranya ialah pengukuhan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan

semasa kerja kepada pelajar, meneruskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan

mewujudkan laluan kerjaya yang menarik.

Kata kunci : Transformasi; Pendidikan Vokasional; Pembangunan Negara

Page 2: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

2

1.0 PENDAHULUAN

Perkembangan arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat (ICT) membawa impak

yang besar dalam kehidupan seharian. Malaysia berjaya menjadi negara maju,

berpendapatan tinggi serta mempunyai peranan yang penting dalam ekonomi global, satu-

satunya pilihan ialah menggerakkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat

Malaysia secara aktif malah kualiti sumber manusia mestilah dipertingkatkan untuk

menambah kecekapan dan daya pengeluaran negara (Sahila Suadi et.al 2012) menjelang

abad ke-21. Kemahiran-kemahiran abad ke-21 adalah penting kerana ia mencakupi literasi

era digital, pemikiran inventif, komunikasi berkesan, produktiviti yang tinggi serta

mempunyai norma dan nilai kerohanian. Penguasaan kemahiran ini akan melahirkan rakyat

yang mampu mengaplikasikan segala kecanggihan ICT, mampu berfikir secara kritis dan

kreatif, berdaya saing dan mempunyai sahsiah diri dan interpersonal yang tinggi (Zamri

Mahamod 2011).

Tenaga pekerja mahir merupakan syarat asas untuk menjamin perkembangan dan

pembangunan ekonomi negara menjelang tahun 2020. Ini kerana latihan kemahiran dikenal

pasti menjadi tonggak kejayaan sektor ekonomi di negara-negara seperti Jepun, Korea

Selatan dan Jerman. Negara tersebut mempunyai sistem latihan yang mantap serta mampu

menghasilkan tenaga kerja yang kompeten serta memenuhi keperluan sektor industri.

Sistem pendidikan Malaysia telah diangkat di arena antarabangsa malah secara tidak

langsung dapat menambah modal insan yang berkemahiran untuk membantu pembangunan

negara dan individu tersebut (Noor Azreen dan Sulaiman 2012). Justeru, fokus

pembangunan tenaga manusia di Malaysia adalah untuk meningkatkan seramai mungkin

sumber tenaga kerja melalui pendidikan dan latihan (Mohd Ghazali 2007).

Sistem pendidikan di Malaysia juga telah berubah dan tidak ketinggalan perubahan

yang begitu ketara berlaku dalam pendidikan vokasional seiring perkembangan arus

globalisasi. Semenjak mencapai kemerdekaan 55 tahun yang lalu, sistem Pendidikan

Vokasional di Malaysia telah mengalami pelbagai inovasi dalam menentukan

perkembangan potensi individu. Hal ini sejajar dengan cabaran globalisasi baru ke atas

pendidikan vokasional masa kini yang memerlukan paradigma yang lebih berinovasi agar

mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama (Siti Nor Atiqah et.al, 2011).

Page 3: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

3

Perkara ini turut dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh oleh Perdana

Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru transformasi besar-besaran

berasaskan inovasi dilakukan secara menyeluruh bagi membolehkan negara terus berdaya

saing, membangun secara mampan dan terselamat daripada belenggu berpendapatan

pertengahan (Rancangan Malaysia Ke Sepuluh-RMK10 2010). Justeru, pendidikan

vokasional dilihat sebagai pemangkin untuk menjana tenaga mahir yang berupaya

menghadapi cabaran ekonomi baru, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing

ekonomi yang diperlukan untuk mencapai status negara maju.

2.0 DEFINISI ISTILAH :

i. Transformasi

Transformasi bermaksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa, keadaan dan

sebagainya. Transformasi sistem pendidikan di Malaysia direncanakan untuk

tempoh 15 tahun akan datang bermula 2013-2025. Transformasi pendidikan ini

bermatlamat melengkapkan setiap murid di Malaysia dengan segala kemahiran

baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran

abad ke-21.

ii. Pendidikan Vokasional

Vokasional ialah pendidikan dan latihan yang akan menyediakan individu untuk

pekerjaan tertentu atau berkaitan dengan pembelajaran berasaskan amali (hands-on).

Pendidikan vokasional menyediakan murid kepada kerjaya yang memerlukan

kepakaran teknikal yang khusus. Aliran vokasional lebih berorientasikan kerjaya

dan berupaya menghasilkan tenaga kerja mahir dan usahawan.

iii. Pembangunan Negara

Pembangunan Negara bermaksud menjadikan negara Malaysia maju dengan

mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan

prinsip pentadbiran yang adil serta kecemerlangan ekonomi.

Transformasi pendidikan vokasional yang dilancarkan awal tahun 2012 membuka

tirai kepada program transformasi sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian

Page 4: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

4

Pelajaran Malaysia. Program ini adalah selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam

Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan

Latihan Vokasional (Mohd Fuad Razali 2012). Sebanyak RM150 juta diperuntukkan dan

seramai 20,000 pelajar tercicir mendapat manfaat (RMK10 2010). Kerajaan Malaysia

mensasarkan 33% tenaga kerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang

tahun 2015 dan 40% menjelang tahun 2020.

Dalam memenuhi aspirasi ini, Pendidikan Vokasional adalah laluan penting ke arah

melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu

menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta relevan dengan

keperluan semasa. Dalam hal ini, penekanan terhadap penambahbaikan kualiti pendidikan

vokasional adalah sangat penting seterusnya menyumbang kepada mencapai hasrat negara

Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi (Tan Sri Muhyiddin Yassin 2012).

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV)

Kementerian Pelajaran Malaysia, Ahmad Tajudin Jab berkata, pengarusperdanaan

pendidikan vokasional mampu menjana bakat-bakat yang kreatif dan inovatif serta

membantu ke arah mempercepat proses melahirkan tenaga kerja mahir yang mempunyai

nilai-nilai insaniah, kebolehpasaran dan kemahiran yang mencapai standard dunia.

Transformasi ini melibatkan kurikulum teknik dan vokasional, tempoh pengajian,

pengiktirafan persijilan, tenaga pengajar, infrastruktur dan yang paling utama penjenamaan

semula sekolah-sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional.

Pendidikan Vokasional di Malaysia pada masa kini sedang menuju ke arah konsep

Pendidikan Untuk Semua (Education For All) seperti yang digariskan oleh UNESCO

(United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization). Pelancaran

pelaksanaan transformasi Pendidikan Vokasional telah disempurnakan oleh Menteri

Pelajaran Malaysia pada 6 Januari 2012 dan salah satu tindakan yang digariskan dalam

Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional ialah mewujudkan program

Pendidikan Asas Vokasional peringkat menengah rendah bermula Tingkatan 1 hingga 3.

Ahmad Tajudin (2012) berpendapat, pelaksanaan Pendidikan Asas Vokasional bertepatan

dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga muda berkemahiran tinggi

Page 5: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

5

memandangkan tidak semua pelajar cenderung ke arah akademik yang berorientasikan

peperiksaan.

Program Pendidikan Asas Vokasional yang dibentuk bertujuan untuk memberi

pilihan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan

berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengah rendah (Mohd Fuad Razali

2012). Matlamat kurikulum Pendidikan Vokasional adalah ke arah pembinaan jati diri,

pengembangan kompetensi keusahawanan dan pembangunan kompetensi kemahiran

vokasional pada aras Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2.

Ketika menjelaskan mengenai kepentingan transformasi pendidikan vokasional,

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa hasrat

yang terkandung dalam Model Baru Ekonomi Malaysia adalah untuk melahirkan modal

insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang baharu bagi menjana

kekayaan negara. Modal insan sedemikian adalah faktor kritikal bagi menentukan

pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Oleh itu,

pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang

vokasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin 2012).

3.0 LAPORAN AWAL PELAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

2013-2025

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 (PPP

Malaysia 2013-2025) diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui kajian dan

penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas pihak awam. Berdasarkan kedudukan

pencapaian sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dan cabaran yang bakal ditempuhi,

pelan ini bermatlamat mengukuhkan visi dan aspirasi sistem pendidikan Malaysia sehingga

tahun 2025. Pelan ini juga menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang

direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang

dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua serta memenuhi pasaran global.

Melalui program ini, murid boleh memperoleh Sijil Asas Vokasional Tahap 2 iaitu

Sijil Kemahiran Malaysia pada usia yang lebih muda bermula 15. Kemasukan pada usia

Page 6: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

6

yang lebih muda adalah selari dengan sistem global negara lain seperti di Austria dan

Jerman yang mempunyai sistem pendidikan vokasional yang mantap. Gabungan kurikulum

yang baharu iaitu 70% melibatkan latihan kemahiran vokasional manakala 30% tertumpu

pada pendidikan akademik turut diperkenalkan.

Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melakukan penambahbaikan program

pendidikan vokasional peringkat menengah atas dengan menukarkan Sekolah Menengah

Vokasional kepada Kolej Vokasional. Kolej ini menawarkan kurikulum yang disusun

semula dan akreditasi diploma melalui Diploma Vokasional Malaysia. Diploma ini diiktiraf

untuk mendapatkan kredit di bawah Standard Kebangsaan yang diperkenalkan oleh

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kurikulum diploma yang baharu ini mengandungi

70% latihan kemahiran praktikal dan 30% pendidikan akademik. Kurikulum ini juga

melibatkan tujuh bulan penempatan praktikum. Pelbagai rakan industri dirujuk bagi

memastikan keselarasan dengan piawai dan amalan industri (PPP Malaysia 2012).

4.0 ISU DAN PERMASALAHAN

Pertambahan jumlah institusi pendidikan vokasional adalah perlu bagi memenuhi keperluan

tenaga kerja tempatan. Peratusan pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di bidang

vokasional masih kurang berbanding jumlah peluang yang sepatutnya dibuka (Siti Syahirah

2011). Walau bagaimanapun, baru-baru ini, sistem pendidikan negara sering menjadi

perhatian dan bahan perdebatan. Polemik ini berbangkit disebabkan jangkaan ibu bapa

semakin meningkat, manakala majikan pula menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan

sistem pendidikan negara dalam menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu,

kemahiran, dan nilai murni untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi abad ke-21

(PPP Malaysia 2012). Antara isu atau permasalahan yang dibangkitkan dalam

melaksanakan transformasi pendidikan vokasional adalah seperti berikut :

i. Tahap Kesediaan Guru

Guru-guru di sekolah vokasional mempunyai latar belakang akademik yang berbeza.

Sesetengah daripada mereka datang dari sekolah harian biasa dan tidak mempunyai

kemahiran dalam aspek pengajaran dan penyampaian serta pengalaman. Siti Syahirah

(2011) menyatakan Jabatan Teknik dan Vokasional menghadapi cabaran dalam mengatasi

Page 7: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

7

masalah guru yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mengajar walaupun terdapat

guru lepasan Pendidikan Teknik dan Vokasional, Universiti Tun Hussien Malaysia

(UTHM). Guru-guru baru ini kurang berpengalaman dan ilmu untuk mengajar mata

pelajaran vokasional. Selain itu, guru-guru di sekolah vokasional juga mempunyai sejarah

latar belakang akademik yang berbeza misalnya mereka datang daripada sekolah harian

biasa. Ini akan menimbulkan masalah terutama dalam aspek pengajaran dan penyampaian

kerana kurangnya pengalaman iaitu tidak mencakupi keperluan kemahiran yang diperlukan.

ii. Kesedaran kerjaya pelajar rendah

Pada masa kini, semakin ramai pelajar yang keliru dengan minat mereka. Menurut

Hairunnaja (2006), terdapat pelajar yang tidak tahu peluang kerjaya bagi kursus yang

mereka sedang duduki. Masalah pemilihan bidang kerjaya banyak dipengaruhi oleh

pelbagai faktor. Antara faktor yang dikenal pasti adalah minat dan kebolehan seseorang

pelajar dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka. Pelajar sewajarnya tahu ke mana arah

tujuan pendidikan dan kerjaya mereka sejak awal persekolahan menengah lagi.

Hasil kajian yang diterajui oleh Yusri (2010) di dalam Graduate Employability

graduan UTHM siri 1-2010, berkenaan dengan persediaan sebelum memasuki alam

kerjaya. Dapatan analisis menyatakan bahawa hanya 22% responden berbincang dengan

kaunselor, 52% mengikuti kerjaya dan hanya 57% menghadiri latihan temu duga. Ini

menunjukkan bahawa pelajar secara keseluruhannya kurang mengikuti program-program

dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti. Ini jelas membuktikan bahawa

kajian perlu dilakukan untuk mengetahui tentang kefahaman hala tuju pelajar-pelajar sedari

alam persekolahan dalam aspek perkembangan pendidikan dan kerjaya. Hala tuju ini

penting sebagai panduan dan rujukan dalam diri pelajar.

iii. Kebolehpasaran graduan yang rendah

Secara sejarahnya pendidikan tinggi dan pendidikan vokasional wujud dengan arah yang

bertentangan. Pengajian tinggi seperti universiti lebih menekankan ilmu saintifik yang

bersistematik manakala pendidikan vokasional menuntut kepada latihan untuk pekerjaan

tertentu. Hasilnya, keluaran universiti dinilai berdasarkan sumbangan pelajar pada sains

manakala keluaran pendidikan vokasional lebih menekankan kepada keupayaan untuk

mendapatkan pekerjaan yang berguna. Ini menyebabkan sumber tenaga yang dihasilkan

Page 8: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

8

tidak menepati kehendak pasaran global dan tidak memenuhi permintaan majikan yang

mementingkan pelbagai kemahiran (Sahila Suadi 2011).

Pengangguran dalam kalangan graduan bukanlah suatu isu yang baru. Dilema dalam

isu pengangguran sudah menjadi agenda utama perbincangan di seluruh negara (Sahila

Suadi 2011). Menurut kajian yang dilaporkan oleh Rasul (2007), peratus graduan Melayu

yang menganggur ialah sebanyak 96.33 peratus berbanding graduan kaum lain. Ini

dibuktikan melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2012)

menyatakan bahawa pertambahan mereka yang menganggur adalah seramai 385,600 orang.

Kadar ini agak membimbangkan kerana secara tidak langsung akan memberi impak kepada

pembangunan negara.

Isu dan cabaran yang dikenal pasti dalam merealisasikan pembangunan tenaga kerja

mahir bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia negara maju di peringkat global

adalah ketidaksepadanan kemahiran di antara pelajar dengan industri, pekerja yang kurang

kompeten dan kurang penekanan kepada kemahiran kerja teras seperti kemahiran

penyelesaian masalah, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.

5.0 CADANGAN DALAM PPP MALAYSIA 2013-2025

i. Tahap Kesediaan Guru

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah telah memperlihatkan peningkatan dari segi standard

kemasukan. Peratus pemohon berkelayakan tinggi yang telah ditawarkan tempat dalam

program ini meningkat daripada 7% pada tahun 2010 kepada 13% pada tahun 2012.

Langkah-langkah yang diambil ini merupakan amalan sistem berprestasi tinggi seperti di

Singapura, di Korea Selatan dan di Finland yang membenarkan hanya 10% hingga 30%

daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan.

Guru adalah tunjang kepada sistem pendidikan negara. Mereka merupakan

golongan pelaksana dasar dan matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan

Malaysia. Sehubungan dengan itu, guru-guru sedia ada perlu didedahkan dengan program

latihan sangkutan industri. Ini penting bagi memastikan tenaga pengajar bidang vokasional

mengetahui keperluan supaya dapat diadaptasikan dalam pengajaran.

Page 9: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

9

ii. Kesedaran kerjaya pelajar rendah

Guru bimbingan dan kaunseling perlu membantu murid merancang laluan pendidikan dan

seterusnya memilih hala tuju kerjaya. Menjelang penghujung tahun 2013, Kementerian

Pelajaran Malaysia menyatakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling akan dimasukkan

dalam jadual waktu persekolahan menengah. Semua guru bimbingan dan kaunseling dilatih

bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemudahan untuk membimbing

murid dengan berkesan. Menjelang tahun 2015, sebanyak 35% murid sekolah menengah

rendah akan membangunkan laluan pendidikan dan profil kerjaya masing-masing. Profil ini

akan merekodkan minat, sejarah akademik serta pencapaian lain setiap murid, semuanya

dibangunkan untuk membantu murid membuat pilihan laluan pendidikan yang bersesuaian

pada peringkat menengah rendah.

Sebuah buku panduan yang komprehensif berkaitan akademik dan laluan kerjaya

dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku ini akan digunakan oleh murid,

ibu bapa dan kaunselor sekolah untuk membimbing dan membantu murid membuat

keputusan dan pilihan laluan akademik dan kerjaya bermula dengan murid Tahun 6 hingga

ke peringkat seterusnya. Buku panduan ini akan diterbit dan diagih pada penghujung tahun

2013. Di samping itu, kempen dan promosi kesedaran terhadap pelbagai laluan pendidikan

dan keluwesan laluan tersebut diperhebatkan. Kempen tersebut akan menggunakan radio,

televisyen, artikel surat khabar, portal atas talian, jerayawara dan pelbagai saluran lain.

Kempen ini akan dijalankan bermula pada tahun 2013 sehingga akhir tahun 2015.

iii. Kebolehpasaran graduan yang rendah

Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan sistem pendidikan mempunyai laluan

yang jelas, sesuai dengan minat dan keupayaan murid yang berbeza. Laluan ini akan mudah

dicapai dan menarik dengan memberikan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi

menyediakan murid ke arah profesion pilihan. Menurutnya lagi, fokus akan diberi untuk

mengukuh laluan pendidikan sedia ada untuk menjadikan ia pilihan menarik untuk murid.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan sistem

pendidikan menyediakan beberapa laluan pendidikan yang berbeza untuk memenuhi minat

serta kebolehan murid yang pelbagai. Laluan ini berdaya maju dan menarik bagi

menyediakan peluang pembelajaran yang bermakna dan bersesuaian. Matlamat usaha ini

Page 10: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

10

adalah ke arah perkembangan kemahiran khusus dan ilmu pengetahuan yang relevan

dengan keperluan laluan khusus yang tertentu. Di samping itu, setiap laluan pendidikan

akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh bagi menyediakan murid kepada laluan

yang jelas dan terarah kepada bidang kerjaya pilihan mereka. Penawaran kemasukan ke

laluan ini bersifat inklusif dan dibuka kepada semua murid termasuk murid berkeperluan

khas.

Permintaan industri untuk murid lulusan vokasional adalah tinggi dan akan terus

meningkat. Pada tahun 2008, Kementerian Sumber Manusia melaporkan terdapat

kekurangan sumber tenaga kerja mahir, iaitu melebihi 700,000 orang dalam industri

pembuatan, pertanian dan pembinaan. Permintaan untuk sumber tenaga mahir pada masa

depan akan terus meningkat. Menjelang tahun 2020, daripada 3.3 juta peluang pekerjaan,

sekurang-kurangnya 46% memerlukan kelayakan sijil vokasional atau diploma, berbanding

22% yang memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda universiti. Bagi merapatkan jurang

permintaan ini, terdapat keperluan untuk menyediakan 50,000 tempat tambahan dalam

pendidikan vokasional setiap tahun.

Pelan Transformasi Vokasional memerlukan lebih daripada 220,000 penempatan

praktikum menjelang tahun 2020. Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengukuhkan

kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa kerja kepada pelajar.

Bagi menggalakkan lebih ramai rakan industri yang berpotensi menyertai kerjasama ini,

beberapa insentif disediakan seperti pelepasan cukai dan memberi keutamaan kepada

mereka memilih graduan bagi mengisi peluang kerjaya. Kerjasama ini akan dimeterai

secara formal melalui Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pelajaran Malaysia

dengan rakan industri. Sebanyak 40% kolej vokasional akan menandatangani perjanjian

dengan industri utama pada tahun 2015.

6.0 JUSTIFIKASI

Secara dasarnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memberi impak yang

positif dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak komersil dan

industri. Walaupun hala tuju transformasi ini jelas namun pada pendapat saya, proses

pelaksanaannya masih di peringkat awal dan perlu dibuat penambahbaikan dari semasa ke

Page 11: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

11

semasa. Beberapa perkara yang boleh difikirkan semula dalam melaksanakan transformasi

pendidikan vokasional di sekolah terutama dari segi pelaksanaan program Kolej

Vokasional. Jalinan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa

kerja kepada pelajar perlu diperkukuhkan. Namun begitu, jalinan kerjasama kurang

dilaksanakan. Ini menyebabkan pelajar vokasional tidak menepati pasaran kerja.

Menurut Akhmal (2011) satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Latihan Dual

Nasional (SLDN) yang diperkenalkan perlu diadakan di sekolah vokasional. Sistem ini

bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada keadaan sebenar alam pekerjaan dalam

industri. Konsep SLDN dalam mempersiapkan individu yang berkemahiran tinggi ialah

dengan mendedahkan pelajar kepada 80% latihan perindustrian yang dilakukan dalam

industri itu sendiri dan 20% lagi dipelajari melalui latihan di sekolah dengan mengikut

kurikulum yang telah ditetapkan oleh National Occupational Core Curriculum (NOCC).

7.0 RUMUSAN

Perancangan pendidikan tidak akan berjaya sekiranya dilaksanakan tanpa mengambil kira

kepentingan semua pihak. Perubahan sesuatu dasar dalam tempoh masa yang terlalu cepat

boleh menjejaskan objektif sebenar vokasional diwujudkan. Di samping itu, perubahan

pendidikan yang kerap dalam tempoh masa yang pendek boleh menyebabkan tenaga

pengajar tidak sempat mempelajari dan mempraktikkan pembelajaran dan pengajaran yang

berkesan. Di sini dapat ditegaskan bahawa sesuatu dasar perlu dibuat penelitian menyeluruh

dalam semua aspek demi masa hadapan generasi muda yang akan menjadi pemangkin

kepada perubahan pembangunan negara.

RUJUKAN :

Ahmad Tajudin Jab. (2012). BPTV Laksana Strategi Lahirkan Modal Insan

Terbaik.Pendidik

Akhmal & Amimudin. (2011). Sistem Latihan Kemahiran Dua Hala Di Malaysia :

Satu Perbandingan Dengan Negara Jerman. Journal of Edupres, Vol. 1 September

2011, Pages 214-222

Page 12: TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN

12

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2012). Perangkaan Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Ogos

2012. Jabatan Perangkaan Malaysia.Putrajaya.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2012). Kementerian

Pelajaran Malaysia. Putrajaya.

Laporan Jabatan Pembangunan Kemahiran.2008

Mohd Fuad Razali. (2012). Strategi PIPP Kembangkan Pendidikan Vokasional.Pendidik

Noor Azreen. Sulaiman. (2012). Pentaksiran Alternatif : Menuju Ke Arah Transformasi

Sistem Pentaksiran Di Malaysia. Penerbit : Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.

Rancangan Malaysia Ke Sepuluh. (2010). Ringkasan Eksekutif 2011-2015. Unit Perancang

Ekonomi.Jabatan Perdana Menteri. Putrajaya.

Sahila Suadi, Ahmad Esa. (2012). Tahap Kepuasan Pelajar Terhadap Kualiti

Perkhidmatan Program Kerjaya Di UTHM. Prosiding Seminar Pendidikan Pasca

Ijazah dalam PTV Kali Ke-2, 2012. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Siti Nor Atiqah, Rohana & Amirmudin. (2011). Pendidikan PTV Dalam Membangunkan

Tenaga Manusia Berminda Kelas Pertama. Journal of Edupress, Volume 1

September 2011, Pages 279-286.

Siti Syahirah. (2011). Transformasi PTV, Kesediaan Guru-guru Vokasional Terhadap

Pelaksanaan Kolej Vokasional KPM Aspek Tahap Kemahiran. Fakulti UTHM.

Tan Sri Muhyiddin Yassin. (2012). Majlis Pelancaran SkillMalaysia 2011. Auditorium

Cempaka Sari. Putrajaya.

Yusri. (2010). Graduate Employability UTHM. Siri 1-2010. Fakulti UTHM.

Zamri Mahamod. (2011). Memperkasa guru, Mempercekap Pelajar : Pengajaran Dan

Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21. Ucaptama Seminar Bahasa

Melayu. UKM. Bangi.