teori realisme

14
ISI KANDUNGAN MUKA SURAT 1.0 PENGENALAN 1 2.0 CIRI-CIRI DAN PERSONALITI REALISME 2 3.0 REALISME DALAM SISTEM ANTARABANGSA. 3-4 4.0 PANDANGAN TERHADAP REALISME 5-6 5.0 RUMUSAN 7 6.0 RUJUKAN 8 0

Upload: peningla

Post on 22-Jun-2015

120 views

Category:

Documents


8 download

DESCRIPTION

teori

TRANSCRIPT

Page 1: TEORI REALISME

ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

1.0 PENGENALAN1

2.0 CIRI-CIRI DAN PERSONALITIREALISME

2

3.0 REALISME DALAM SISTEMANTARABANGSA.

3-4

4.0 PANDANGAN TERHADAP REALISME5-6

5.0 RUMUSAN7

6.0 RUJUKAN8

0

Page 2: TEORI REALISME

1.0 PENGENALAN

Teori hubungan antarabangsa merupakan pemikiran atau andaian terhadap tingkah laku negara dalam melaksanakan hubungan luar mereka. Para sarjana menggunakan teori ini untuk menganalisis fenomena sebenar yang berlaku dalam sistem antarabangsa. Komponen penting dalam teori ini ialah konsep, andaian dan hubungan di antara konsep itu. Sehingga hari ini terdapat 3 teori yang dominan dalam hubungan antarabangsa yakni Realisme, Idealisme dan Konstruktivisme. Ketiga-tiga teori ini mempunyai andaian dan ciri-ciri yang berbeza.

Menurut Mahfudzah Mustafa (1999), pendekatan terhadap ketiga-tiga teori tersebut melahirkan pelbagai bentuk negara sama ada mereka condong kepada persaingan kuasa atau kedamaian atau juga mengutamakan idea dan kerjasama. Prinsip tersebut bergantung pada pengaruh teori yang di dokong masing-masing. Oleh itu, para pemikir telah menggunakan ketiga-tiga andaian ini dalam mengkaji tingkah laku negara terhadap sistem antarabangsa.

Realisme merupakan salah satu teori yang berpengaruh dalam hubungan internasional. Menurut Leifer (2002) pendapat dan teori Realisme ini paling terkenal kerana telah wujud sekian lama. Teori ni dikatakan telah mula digunakan sejak zaman empayar Greek dan Yunani lagi melalui karya Thucydidas iaitu “A History of Philoponnesian War” yang telah menganalisis perang di antara Sparta dan Athens pada zaman kegemilangan Greek. Realisme kemudian telah memuncak semasa Perang Dunia Pertama iaitu antara tahun 1914 sehingga tahun 1918. Huru-hara peperangan kemudian menyedarkan masyarakat dunia tentang keburukan Realisme sehingga membawa kepada kemunculan Idealisme. Namun begitu, Idealisme tidak berjaya mengelakkan perang daripada berlaku untuk kali kedua yakni Perang Dunia Kedua. Hal ini kemudiannya memberi peluang kepada teori Realisme untuk muncul semula selepas Idealism gagal menangani isu global. Antara peristiwa yang membuktikan kekuatan Realism dalam sistem antarabangsa ialah Perang Tiga Puluh Tahun (1618–1648) Jerman, Perang Dunia I & II, Konflik Di Laut China Selatan, serangan Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan. Menerusi penulisan ini, saya akan membincangkan konsep Realisme dan aplikasinya dalam sistem antarabangsa.

2.0 CIRI-CIRI DAN PERSONALITI REALISME

2.1 Andaian Realisme

Realisme mempunyai andaian atau ciri-ciri yang negatif. Menerusi penulisan Muhamad Faisol Keling (2012) terdapat beberapa ciri Realisme. Pertama, realis mengandaikan dunia bersifat anarki dan hura-hara. Sifat anarki tersebut menggambarkan bahawa negara memerlukan keupayaan militari yang kukuh bagi mengharungi medan antarabangsa yang lasak. Kekuatan pertahanan sangat penting bagi menghadapi serangan musuh dan meluaskan pengaruh dalam sistem antarabangsa. Misalnya fenomena persaingan senjata nuklear hari ini telah mendesak negara-negara di dunia membina pangkalan nuklear di negara masing-masing. Mereka juga akan memastikan kuasa yang dimiliki setanding dengan kuasa negara jiran. Apabila sesebuah negara berjaya untuk menggunakan kuasa sehingga menimbulkan rasa gerun kepada

1

Page 3: TEORI REALISME

negara lain terhadap negaranya maka ia dipanggil sebagai “The Ultimate Defence”. Oleh itu perlumbaan senjata adalah perkara lazim bagi mereka.

Kedua, pengamal Realisme tidak menjunjung nilai moral dalam perjuangannya. Prinsip ini dapat dilihat dengan jelas apabila tokoh Realisme sendiri, Machiavelli menggunakan motto “matlamat menghalalkan cara” dalam menegakkan misinya dan mencapai kepentingan nasional. Walaupun mereka memilih jalan yang bertentangan dengan fitrah dan mencabuli negara lain, tindakan mereka dianggap benar.

Ketiga, manusia dianggap bersifat tamak dan kejam secara semula jadi. Menurut Ghazali Mayudin (2002) pendokong Realisme mengandaikan sifat dasar manusia adalah serakah dan rakus. Oleh itu, manusia sendiri mencetuskan kekacauan dan konflik yang berterusan. Lantaran itu, peperangan akan menjadi jalan terbaik dalam menyelesaikan konflik. Pendapat beliau juga sehaluan dengan Rashila Ramli (2002) yang mendakwa manusia adalah secara semula jadi pentingkan diri dan bersaing sesama sendiri.

Keempat, Realisme mementingkan kuasa dan keseimbangan kuasa negara masing-masing. Mereka mendukung konsep “political power” yang mana kuasa politik dianggap sebagai paksi kuasa yang besar dan berpengaruh. Holsti, K.J. (1991) sendiri ada menyatakan dalam penulisannya bahawa hanya kuasa yang menjamin sesuatu hubungan antarabangsa itu untuk kekal terjalin. Kuasa pula boleh bersumberkan daripada kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan. Oleh itu, wujud persaingan kuasa dalam sistem antarabangsa. Menurut Viotti & Kauppi (1987), realis akan bersaing memiliki kuasa untuk menjamin keselamatan negara. Contohnya, Amerika Syarikat yang menyandang gelaran unipolar selama ini mula bersaing dengan China, Russia dan Iran untuk mengekalkan kedudukan dalam sistem antarabangsa. Keseimbangan kuasa pula boleh dicapai apabila negara menyertai pakatan ketenteraan yang berpengaruh seperti NATO dan Warsaw Pact.

Kelima, golongan Realisme berpegang pada prinsip “states-centric”, iaitu negara merupakan ‘actor’ utama dalam sistem antarabangsa. Bagi golongan ini, pelaku bukan negara seperti NGO diletakkan di ‘central’ ataupun di pertengahan. Oleh itu, negara adalah unit analisis yang berpengaruh menyuarakan matlamat mereka dari satu suara yang sah yakni suara pemerintah di negara tersebut. Dalam keadaan ini pandangan pemerintah akan diletakkan sebagai pandangan negara. Organisasi antarabangsa lain pula akan dianggap hanya memiliki pengaruh yang sangat kecil.

Keenam, pendukung Realisme berpegang pada realiti. Mereka memiliki corak politik yang rasional atau “real politic”. Realitinya, dunia penuh huru-hara dan masing-masing mencari kepentingan sendiri. Oleh itu, mereka menganggap keselamatan negara sendiri dan “self help” lebih utama berbanding membantu negara jiran atau berinteraksi dengan mereka. Mereka juga tidak mempercayai negara lain. Oleh itu, kepentingan nasional negara adalah paling utama dalam mencapai kedudukan selesa di arena antarabangsa.

2

Page 4: TEORI REALISME

Selain itu, Realisme juga tidak asing dengan istilah “survival”. Menurut Mohamad Faisol Keling (2012) konsep “survival of the fittest” menjadi pendorong misi mereka. Negara yang kuat akan berkuasa dan negara yang lemah akan ditindas. Lantaran itu, wujud pelbagai kerencaman dan penindasan seperti yang berlaku kepada Afghanistan dan Palestine yang ditindas oleh penzaliman Amerika dan Israel. “Survival” juga mendesak golongan ini membina blok-blok di bawah pengaruh mereka. Misalnya Amerika dan Soviet Union yang membentuk Blok Kapitalis dan Blok Komunis dalam melebarkan pengaruh dan untuk menjamin kedudukan kekal dalam sistem antarabangsa.

Konsep “law of the jungle” juga sering kali dianalogikan dalam perspektif Realisme ini. Hubungan internasional diandaikan sebagai sebuah hutan dengan sistem anarki di dalamnya. Setiap binatang yang ada di dalam hutan bersaing mencari mangsa untuk meneruskan hidup. Begitulah dalam arena politik antarabangsa, setiap negara akan menggunakan kekuatan dalam mencapai kepentingan nasional masing-masing. Oleh itu, mereka berusaha mengumpul kuasa dan menjamin keselamatan negara untuk kelangsungan negara. kedaulatan negara lain tidak menjadi percaturan mereka lantas menyebabkan pencerobohan dan penaklukan berlaku. Kesimpulannya, realisme menganggap actor adalah negara. mereka juga mementingkan kuasa, pengaruh, keselamatan negara dan kelangsungan hidup dalam menghadapi sistem antarabangsa yang penuh anarki.

2.2 Tokoh - Tokoh Realisme.

Realisme diasaskan dari pemikiran zaman klasik seperti Thucydides (471-400 S.M), Machiavelli (1429-1527) dan Thomas Hobbes (1588-1679). Ketiga-tiga tokoh ini menggunakan kuasa sebagai asas yang mendasari pendekatan Realisme.

Thucydides disebut bapa pengajian realisme politik. Teks klasiknya masih lagi diajar di akademi tentera lanjutan di seluruh dunia. Karya agungnya adalah History of the Peloponnesian War di mana beliau percaya bahawa kuasa terletak pada negara bandar (City State) seperti Athens dan Sparta. Negara yang paling berkuasa akan mencapai kemenangan. Oleh itu, perang merupakan langkah rasional dan masuk akal untuk mencapai keamanan dan kelangsungan hidup.

Nicolo Machiavelli pula dalam karya beliau ‘The Prince’ kuat mengatakan bahawa konsep “matlamat menghalalkan cara” perlu digunakan dalam memperoleh kepentingan nasional dan misi negara. Walaupun dengan apa cara, negara sebagai aktor perlu bertindak zalim untuk memperoleh kemenangan dalam dunia yang penuh anarki dan huru-hara. Oleh itu, tidak ada terma salah ataupun benar bagi sesebuah pemerintahan sekiranya ia adalah untuk tujuan mengekalkan kuasa. Pemerintah mesti menggunakan cara kekerasan dan kekejaman untuk mengekalkan kuasa.

Thomas Hobbes menguraikan tentang tiga konsep utama realisme dalam bukunya yang berjudul Leviathan (1651) iaitu, manusia adalah sama, manusia berinteraksi dalam lingkungan

3

Page 5: TEORI REALISME

yang anarki. Manusia dipengaruhi oleh persaingan dan kemuliaan yang membawa kepentingan nasional.

Hans J. Morgenthau berpendapat bahawa “enam prinsip realisme politik” mendasari teori ini yakni, Politik berakar dari sifat dasar manusia yang mementingkan diri sendiri. Politik antarabangsa adalah arena bagi konflik kepentingan-kepentingan negara. Etika hubungan antarabangsa tidak wujud. Manusia terbatas dan tidak sempurna.

3.0 REALISME DALAM SISTEM ANTARABANGSA.

Sistem antarabangsa pada asasnya dinamik dan tidak bercorak anarki sepanjang masa. Namun, bagi golongan realis, dunia dibayangi dengan sifat anarki dan huru-hara. Tiada mana-mana kerajaan yang paling berkuasa yang dilantik menjadi ketua. Lantaran itu, wujud persaingan antara negara-negara yang cuba mendapatkan kedudukan sebagai ketua di dunia. Fenomena ini telah wujud sejak berkurun lamanya. Buktinya jelas terpamer dalam sejarah dunia yang tidak pernah sunyi dengan peperangan, penaklukan dan penjajahan dari era kuno sehingga hari ini. Oleh itu, saya sertakan beberapa contoh konflik bagi membuktikan negara Realis wujud dalam sistem antarabangsa dan bagaimana aplikasi teori ini berjaya mengangkat kedudukan mereka.

Menurut Viotti & Kauppi (1987), kuasa dari perspektif Realis merujuk kepada keupayaan negara untuk mengawal dan mempertingkatkan pengaruh ke atas pihak lain. Proses mengawal dan melebarkan kuasa pula dilakukan secara kekerasan. Hal ini kerana mereka berpendapat bahawa kekerasan adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan sesuatu isu kerana hasilnya akan menyebelahi satu pihak sahaja dengan kata lain konsep “Zero Sum Game” menjadi sokongan mereka. Antara contoh kekerasan mereka adalah seperti perang bersenjata dan tanpa bersenjata, pembalasan atau sekatan ekonomi.

Peperangan di dunia telah lahir berabad lamanya sehingga mencecah ratusan siri. Antaranya adalah Perang Peloponnesia 431–404 SM. pada Era Yunani Kuno. Begitu juga dengan Era Rom Kuno yang terkenal dengan Perang Samnium dari 343-290 SM. Selain itu, perang terkenal lainnya adalah Perang Salib, Perang Candu, Perang Teluk, Perang Saudara, Perang dunia Pertama dan Kedua, Perang Dingin, Perang Arab-Israel, Perang Saudara Vietnam, Perang Iran-Iraq dan Perang Palestin-Israel. Hal ini membuktikan bahawa kebanyakan negara di dunia memilih jalan kekerasan sebagai penyelesaian konflik.

Amerika Syarikat adalah contoh negara Realisme yang mahir menggunakan kaedah kekerasan dalam mencapai matlamatnya. Berdasarkan bukti-bukti konflik yang diceburi mereka, jelas menunjukkan bahawa, mereka sanggup menggunakan apa saja jua cara bagi mengejar kepentingan nasional mereka. Keterlibatan Amerika dalam sistem antara bangsa tidak pernah lekang dari Perang Dunia II sehingga hari ini.

Contohnya, Perang di Vietnam (1964-1975) dimulakan dengan konspirasi serangan terhadap kapal tentera mereka di Teluk Tonkin. Sebagai balasan, Amerika menyerang dan

4

Page 6: TEORI REALISME

melepaskan (Agent Orange) sehingga menyebabkan kematian dan kecacatan genetik. Begitu juga dengan Perang Grenada (1983) yang dimulakan dengan tuduhan ke atas negara itu yang kononnya membina pangkalan komunis, dan diakhiri peperangan. Matlamat utama Amerika adalah untuk menamatkan pengaruh komunis di Utara Vietnam dan di Pulau Caribbean sekali gus mendominasi pengaruhnya.

Selain pengaruh, Amerika juga berperang untuk mendapatkan keuntungan ekonomi. Misalnya, Perang di Panama (1989). Amerika mahu merebut terusan Panama yang strategik dan mula meletakkan kawalan di sana. Oleh itu, Amerika campur tangan ke atas isu presiden Manuel Noriega yang dituduh mengedar dadah. Bagi melebarkan pengaruh ke negara Timur Tengah yang kaya minyak, Amerika mula menceroboh Afghanistan dan Iraq. Lalu pelbagai konflik direka sehingga mencetuskan Perang Afghanistan (2001), Perang Iraq (1991) dan Perang Iraq (2003). Somalia juga antara negara yang kaya hasil bawah tanah. Amerika telah menyerang Somalia (1993) dan mengekalkan negara itu dalam huru-hara.

Kebanyakan siri peperangan yang melibatkan Amerika Syarikat pasti terdapat muslihat yang ingin dicapai mereka. Tindakan Amerika yang licik mengambil peluang menceroboh hal ehwal negara lain untuk mendapatkan kepentingan nasional mereka dari segi ekonomi dan politik. Sehingga hari ini, kuasa Amerika di sokong oleh sekutu Israel. Dua kuasa ini menjadi gergasi hari ini sehingga gagal dikawal oleh pertubuhan antarabangsa seperti PBB dan OIC.

Antara bukti yang menunjukkan Israel juga Realisme adalah kekejaman yang dilakukan mereka ke atas negara Palestine, Syria dan Lebanon. Para pengkaji berpendapat bahawa Israel berminat terhadap negara terbabit atas faktor sejarah. Oleh itu, Israel yang memusuhi Islam sejak sekian lama itu membuktikan kuasanya ke atas Asia Barat dan kekebalannya terhadap hukuman. Tindakan Israel menjadi lebih kebal apabila di beri lesen kekejaman daripada Amerika Syarikat yang kononnya layak memerangi keganasan khususnya di Asia Barat.

4.0 PANDANGAN TERHADAP REALISME

Teori Realisme ciptaan barat ini menunjukkan kekerasan dan kekejaman berpunca daripada negara Barat. Hal ini kerana hasil analisis ahli sarjana membuktikan bahawa sistem antarabangsa lahir dan memuncak semasa pergolakan di Eropah. Bangsa Eropah yang terkenal dengan sejarah penaklukan, penjajahan dan campur tangan mencerminkan sifat negara mereka yang asli realis dan menganggap dunia penuh anarki. Sungguhpun begitu, keadaan realisme ini juga diguna pakai oleh negara-negara lain dalam waktu-waktu tertentu. Oleh itu, faktor penolak dan penarik akan menjadikan sesebuah negara itu untuk condong kepada Realisme, Idealisme atau Konstruktivisme.

Terdapat beberapa faktor yang menjadikan negara itu Realis. Antaranya adalah faktor kegagalan peranan pertubuhan keamanan dunia. Contohnya kegagalan Liga Bangsa-bangsa dalam menghalang Perang Dunia Kedua. Begitu juga kelemahan PBB dan OIC hari ini menyelesaikan konflik etnik dan perang ke atas umat Islam. fungsi PBB yang terikat kepada

5

Page 7: TEORI REALISME

kuasa veto dari 5 negara besar dunia tidak membawa PBB ke mana-mana. Hal ini menyebabkan dunia terpaksa akur dengan kezaliman yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa.

Selain itu, jalan perdamaian dan rundingan tidak mendapat sokongan masyarakat dunia. Sehingga suatu tahap, mereka yang berkuasa akan memecahkan ikat janji demi mendapatkan kepentingan nasional. Misalnya tindakan Israel yang menceroboh wilayah Palestine dan mencipta Perjanjian Damai Oslo (1993) yang berat sebelah menyebabkan kuasa Palestine semakin terhad ke atas buminya sendiri. Tindakan mereka membina penempatan tambahan Yahudi selepas Oslo di Baitul Maqdis adalah isyarat jelas bahawa Israel mengolok-olokkan Perjanjian Oslo ciptaan mereka sendiri.

Selain itu, Perjanjian Munich (1938) antara Jerman, Inggeris, Perancis, dan Itali juga diingkari oleh Adolf Hitler sehingga kemaruknya ingin menguasai Czechoslovakia dicapai oleh Nazi Hitler. Perjanjian pertama dunia yakni Perjanjian Madinah yang dibuat oleh Rasulullah Sallalahu alaihi Wasallam untuk membentuk sebuah negara Islam bersama golongan Yahudi Madinah juga berakhir dengan pengingkaran bangsa Yahudi. Mereka yang bersetuju memelihara keselamatan negara Islam Madinah dan sama bertanggungjawab mempertahankan daripada serangan musuh akhirnya belot dan bersubahat membentuk tentera al-Ahzab bagi menyerang Madinah di dalam peperangan al-Ahzab.

Oleh itu, perjanjian damai atau kesepakatan yang dipersetujui oleh golongan berkuasa dan lemah akan mengandungi unsur muslihat yang boleh menjatuhkan pihak lemah. Golongan berkuasa juga berpotensi melanggar isi perjanjian kerana undang-undang antarabangsa tidak cukup kuat untuk mengawal pengaruh mereka. Oleh itu, jalan perdamaian bagi golongan realis adalah tidak relevan dan boleh dinodai apabila kepentingan nasional mendesak mereka.

Kelemahan teori Realisme pula terletak pada andaian mereka yang memandang dunia secara sempit adalah anarki dan mementingkan sistem aktor sebagai pelaku sistem antarabangsa. Selain itu, Realisme juga mengandaikan dunia sentiasa dalam keadaan bahaya. Pemikiran negatif ini meletakkan kedudukan mereka dalam kebimbangan atau sentiasa dalam “security dilemma”. Keadaan ini memberi semangat kepada mereka untuk terus bersaing menjadi antara golongan yang berkuasa. Lantaran itu, usaha mengimbangi kuasa akan dilakukan seperti membina Blok-Blok pengaruh, mengenakan sekatan ekonomi dan membuat tuduhan ke atas negara yang boleh mengancam kedudukan mereka. Contohnya sekatan dan tuduhan Amerika Syarikat ke atas Iran menunjukkan kekhuatirannya ke atas kuasa besar itu yang berpotensi menghasilkan senjata nuklear.

Selain itu, ketidakpercayaan terhadap keamanan menyebabkan hubungan mereka dengan negara lain sentiasa membawa matlamat keuntungan. Amerika Syarikat misalnya tidak berminat untuk campur tangan dalam konflik etnik di Thailand atau di Myanmar, sebaliknya menumpukan campur tangan di negara yang membawa keuntungan kepada mereka seperti negara timur tengah seperti Iraq dan Afghanistan yang kaya hasil minyak.

6

Page 8: TEORI REALISME

Golongan realis yang gemar berperang juga tidak mampu mengekalkan kuasa mereka pada kedudukan yang abadi. Keruntuhan kuasa mereka akan menanti kerana kerugian yang ditanggung kesan daripada peperangan seperti korban nyawa rakyat, kos ketenteraan, kedudukan politik dalam negara sendiri yang tidak ditumpukan sepenuhnya dan keadaan ekonomi negara yang kurang mendapat perhatian akibat pergelutan. Dalam jangka panjang, kehebatan golongan berkuasa akan terhenti dan disambung dengan kuasa besar lain. Seperti yang diutarakan oleh tokoh Idealisme Woodrow Wilson yang menyedari bahawa peperangan akan memusnahkan kedua-dua pihak. Hal ini tidak dinafikan sejarah dunia yang menyaksikan keruntuhan empayar dunia dan kebangkitan empayar silih berganti. Antara Empayar di dunia adalah Amerika Syarikat(1776-sekarang), Empayar Dinasti Qing(1644-1912), Empayar Kolonial Perancis(1605-1960), Empayar Rusia(1721-1917), Empayar Kristian Sepanyol(1402-1899), Empayar Macedonia(336BC-323BC), Empayar Mongol(1206-1368) dan Empayar Rom(27BC-476AD/1453). Keruntuhan empayar ini berpunca daripada perang saudara dan pembunuhan tokoh Empayar. Namun berbeza Empayar British(1583-1997) yang boleh di anggap stabil kerana masih boleh bangkit ketika berperang dengan Nazi Jerman. Sehingga kini tanah jajahan British kekal dalam negara Komanwel dan menggunakan bahasa Inggeris.

Fenomena ini menunjukkan dunia sentiasa bersifat anarki dan konflik tidak dapat dielakkan. Penentu kepada keadaan dunia yang anarki ini pula terletak pada mereka yang berkuasa sama ada untuk mengekalkan kedudukan aman atau mencipta kekacauan.

5.0 KESIMPULAN

Kejayaan aplikasi teori ini terhadap negara yang berkuasa seperti Jermen, Turki, Inggeris, Russia dan Amerika Syarikat menjadikan mereka pernah menyandang sebagai kuasa besar dunia. Namun begitu, keadaan realis juga menawarkan korban nyawa, harta dan maruah bangsa. Hal ini sekali gus menjejaskan keadaan aman, kestabilan politik dan ekonomi negara terbabit. Kesemua keadaan ini membawa keruntuhan kuasa mereka dalam jangka panjang. Namun, perselisihan dan konflik tidak akan pernah sunyi dalam sistem antarabangsa. Hal ini menjadikan Teori Realisme sebagai teori hubungan antarabangsa yang tidak akan luput.

Kesimpulannya, teori Realisme yang wujud sejak era Yunani Kuno sehingga kini masih segar dalam sistem antarabangsa. Sungguhpun teori ini mempunyai andaian yang negatif seperti mementingkan kuasa, dunia dianggap sentiasa anarki, dan mengangkat kepentingan nasional negara sendiri, namun kenyataan ini adalah realiti kepada sistem antarabangsa. Sungguhpun begitu, seandainya dunia ingin mengekalkan kedudukan aman, teori realisme ini tidak wajar diaplikasikan oleh mana-mana negara terutamanya negara berkuasa besar. Sebaliknya mereka perlu mengekalkan keadaan idealisme dengan mengubah corak pemikiran mereka sendiri.

Walaupun usaha ini dilihat sebagai suatu yang mustahil, akan tetapi hasrat ini boleh tercapai apabila pihak yang adil memegang tampuk kuasa terbesar. Oleh itu, kesedaran daripada seluruh masyarakat antarabangsa amat penting untuk membentuk sebuah kuasa dunia yang baru

7

Page 9: TEORI REALISME

dan bertanggungjawab ke atas kebajikan masyarakat dunia. Perlantikan terhadap kuasa dunia yang salah dan mementingkan diri sendiri menyebabkan dunia di bawah cengkaman mereka.

Oleh itu, jika sebuah kuasa baru yang adil dapat dibentuk, sudah pasti mereka yang berkuasa terpaksa akur dengan keadilan dan keamanan. Persoalannya, sejauh manakah usaha masyarakat dunia mahu mengekalkan keamanan, sedangkan pertubuhan yang sedia ada seperti PBB, OIC dan LBB sendiri menemui kegagalan dalam memainkan peranan mereka. Demikian itu, masyarakat dunia harus bijak menggunakan kuasa undang-undang dan bijak menegakkan kedaulatan negara mereka.

6.0 RUJUKAN

Mohamad Faisol Keling (2012). Hubungan Antarabangsa dan Isu Terpilih. UUM Press, Universiti Utara Malaysia.

Viotti, P. & Kauppi, M.V. (1993). International Relations Theory. New York. Collier Macmillan Publishers.

Mahfudzah Mustafa (1999). Pendekatan Realis Dalam Perspektif Hubungan Antarabangsa. Dalam Ghazali Mayudin. Teori Sains Politik Pilihan: Aplikasinya dalam Konteks Malaysia. Bangi: Penerbit UKM.

Leifer, M. (2002). Realisme and Constructivism in Southeast Asian Security Today: Review Essay in S. Peoul (2002). The Pacific Review. Dalam Mohamad Faisol Keling (2012). Hubungan Antarabangsa dan Isu Terpilih. UUM Press, Universiti Utara Malaysia.

Holsti, K.J. (1991). Power and Capibilities and Influence in International Politics. Cambridge: Universiti Press. Dalam Mohamad Faisol Keling, (2012) Hubungan Antarabangsa dan Isu Terpilih. UUM Press, Universiti Utara Malaysia.

Rashila Ramli (2002). Perkembangan Teoritis Hubungan Antarabangsa dalam Era Global. Dalam Ghazali Mayudin. Politik Malaysia Perspektif Teori dan Praktik. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rusli Kamaruddin (2002). Realisme, Niccolo Machiavelli dan Al- Ghazali: Suatu Perbandingan. Dalam Ghazali Mayudin. Politik Malaysia Perspektif Teori dan Praktik. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhamad Takiyuddin Ismail. Aliran Neokonservatif Dalam Dasar Luar Amerika Syarikat: Konservatif Atau Nasionalis Idealis. Halaman 123-149. Diperoleh dari http://journalarticle.ukm.my/379/1/1.pdf pada 27 march 2014.

8