teori kependudukan

35
HGM 3033- GEOGRAFI PENDUDUK 1.0 PENGENALAN Pada tahun 1960-an, satu daripada isu penting yang hangat dibincangkan adalah mengenai aspek kependudukan. Isu ini menjadi topik penting perbahasan para ahli sains sosial, ahli politik, pegawai tinggi kerajaan dan badan dunia yang menjalankan aktiviti kependudukan. Terdapat tokoh-tokoh terkemuka yang memberikan pendapat masing-masing tentang baik buruknya sesebuah negara yang mempunyai penduduk yang ramai. Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Robert Malthus, Esther Boserup dan Julian Simon. Melihat kepada populasi penduduk dunia pada tahun 1650, hanya kira-kira 500 juta penduduk yang menghuni dunia ini. Jumlah tersebut meningkat pula kepada 1000 juta pada tahun 1850, 2000 juta pada tahun 1930 dan sebanyak 4432 juta orang pada tahun 1980. Masalah pertambahan penduduk yang pesat ini menjadi rumit disebabkan kerana penumpuan penduduk yang tidak seragam. Secara umumnya, konsep asas pertumbuhan penduduk dipengaruhi dengan perubahan saiz penduduk, sama ada meningkat atau menurun melalui beberapa penunjuk iaitu kadar kelahiran, kadar kematian, kadar kesuburan dan migrasi. Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, kadar kematian di negara membangun semakin menurun. Semasa penurunan kadar ini, didapati bahawa kesuburan masih tinggi. Penurunan kadar kematian adalah disebabkan oleh kemajuan dalam teknologi perubatan, kesihatan awam, sanitasi dan kebersihan alam sekitar. Hasilnya, negara membangun menghadapi masalah pertumbuhan penduduk yang pesat. Oleh itu, ledakan penduduk 1

Upload: norlidabonat

Post on 05-Sep-2015

243 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

Teori-teori kependudukan

TRANSCRIPT

HGM 3033- GEOGRAFI PENDUDUK

HGM 3033- GEOGRAFI PENDUDUK

1.0 PENGENALAN Pada tahun 1960-an, satu daripada isu penting yang hangat dibincangkan adalah mengenai aspek kependudukan. Isu ini menjadi topik penting perbahasan para ahli sains sosial, ahli politik, pegawai tinggi kerajaan dan badan dunia yang menjalankan aktiviti kependudukan. Terdapat tokoh-tokoh terkemuka yang memberikan pendapat masing-masing tentang baik buruknya sesebuah negara yang mempunyai penduduk yang ramai. Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Robert Malthus, Esther Boserup dan Julian Simon. Melihat kepada populasi penduduk dunia pada tahun 1650, hanya kira-kira 500 juta penduduk yang menghuni dunia ini. Jumlah tersebut meningkat pula kepada 1000 juta pada tahun 1850, 2000 juta pada tahun 1930 dan sebanyak 4432 juta orang pada tahun 1980. Masalah pertambahan penduduk yang pesat ini menjadi rumit disebabkan kerana penumpuan penduduk yang tidak seragam. Secara umumnya, konsep asas pertumbuhan penduduk dipengaruhi dengan perubahan saiz penduduk, sama ada meningkat atau menurun melalui beberapa penunjuk iaitu kadar kelahiran, kadar kematian, kadar kesuburan dan migrasi. Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, kadar kematian di negara membangun semakin menurun. Semasa penurunan kadar ini, didapati bahawa kesuburan masih tinggi. Penurunan kadar kematian adalah disebabkan oleh kemajuan dalam teknologi perubatan, kesihatan awam, sanitasi dan kebersihan alam sekitar. Hasilnya, negara membangun menghadapi masalah pertumbuhan penduduk yang pesat. Oleh itu, ledakan penduduk yang berlaku di negara membangun ini pada dasarnya boleh dikaitkan dengan taraf kesihatan yang semakin baik dan pengetahuan tentang kawalan penyakit. Walau bagaimanapun, pertumbuhan populasi penduduk mempunyai hubung kait dan pengaruh terhadap aspek pembangunan sesebuah negara. Pada umumnya, pembangunan adalah suatu proses perubahan. Perubahan tersebut tidak hanya berlaku terhadap penduduk tetapi juga keadaan sosial dan ekonominya. Perubahan dari satu tahap ke tahap yang lain dapat dijelaskan dengan penunjuk tertentu. Salah satu penunjuk yang mudah digunakan ialah data penglibatan tenaga buruh dalam berbagai-bagai sektor ekonomi. Teori perubahan sektor ekonomi yang dikemukan oleh Clark dan Fisher menyatakan bahawa struktur ekonomi akan berubah daripada yang mudah dengan sebahagian besar penduduk terlibat dalam sektor sara diri kepada yang kompleks. Justeru, dapat disimpulkan bahawa pertumbuhan penduduk yang pesat di sesebuah negara dapat mempengaruhi aspek pembangunan dalam negara tersebut. Hal ini kerana, untuk mengerakkan sesuatu sektor ekonomi, bilangan atau populasi penduduk yang ramai sangat diperlukan. Namun, perlu diingat bahawa tidak semua penduduk dalam sesebuah negara mampu digunakan dalam pembangunan negara tersebut.2.0 SEJARAH DASAR KEPENDUDUKAN Di masa lampau, kadar pertumbuhan penduduk adalah perlahan dan masa yang diambil untuk penduduk berganda atau meningkat adalah lama. Pertumbuhan penduduk kadang-kadang diganggu oleh wabak penyakit, peperangan, kebuluran dan bencana alam yang mengorbankan nyawa. Untuk menambah bilangan penduduk, pengguguran, pembunuhan anak dan penggunaan kontraseptif adalah dilarang. Perkahwinan sangat digalakkan dan bantuan diberikan kepada keluarga yang mempunyai ramai anak. Secara umumnya, motif saiz penduduk yang besar adalah dari segi keagamaan, ketenteraan dan ekonomi. Ahli falsafah Greek iaitu Plato dan Aristotle menganjurkan agar dikekalkan saiz penduduk yang sesuai dengan bandar dan negara. Suatu dasar kependudukan yang terkenal terdapat di Rom semasa pemerintahan Augustus. Dasar tersebut terkandung dalam Lex Julie et Papia-Poppea dan dikuatkuasakan di antara sebelum Masihi 8 sehingga selepas Masihi 9. Menurut dasar ini, amalan calibasi tidak dibenarkan dan orang yang tidak mempunyai anak akan dihukum. Oleh itu, penduduk atau rakyatnya digalakkan berkeluarga untuk mewariskan harta. Negara Perancis dan Sepanyol juga adalah pro kelahiran. Di Sepanyol, tujuan utama mereka mengalakkan kelahiran adalah untuk menggantikan penduduk yang telah mati. Cukai juga dikecualikan bagi orang yang berkahwin muda dan berkeluarga besar. Manakala di Perancis pula, cukai turut dikecualikan bagi orang yang berkahwin pada usia muda dan pencen turut diberikan kepada seorang bapa yang mempunyai lebih daripada 10 orang anak. Negara lain di Eropah yang turut pro kelahiran pada abad ke-17 dan 18 ialah Savoy, Austria, Rusia dan Jerman. Rusia dan Jepun menunjukkan sikap menggalakkan pertumbuhan penduduk. Walau bagaimanapun, tekanan penduduk mula dirasai apabila kadar kematian menurun. Justeru, jelas bahawa kebanyakan negara Eropah pada abad ke-17 dan 18 adalah pro kelahiran. Hal ini bertujuan untuk memastikan agar penduduk dapat menyumbang kepada pembangunan dan keselamatan negara. Dengan jumlah penduduk yang besar, maka sesebuah negara dapat mempertahankan serangan luar dan dihormati oleh semua pihak.

3.0 TEORI-TEORI KEPENDUDUKAN Kepesatan pertumbuhan penduduk di beberapa bahagian dunia menyebabkan jumlah penduduk secara keseluruhan meningkat dengan sangat cepat. Di beberapa bahagian dalam dunia ini, kemiskinan merupakan perkara lazim terjadi. Keadaan ini berpunca daripada kekurangan sumber makanan. Fenomena ini telah menarik minat beberapa ahli mengemukakan teori-teori tersendiri mengenai dengan perkara ini yang mana mereka berusaha untuk mencari faktor-faktor yang menyebabkan masalah kemiskinan tersebut. Antara ahli atau tokoh yang mengemukakan tentang teori-teori kependudukan ini ialah Thomas Robert Malthus, Esther Boserup dan Julian Simon. 3.1 Thomas Robert Malthus (1766-1834)

Gambar 3.1 Thomas Robert Malthus(Sumber: http://geography.about.com/od/populationgeography/a/malthus.htm)

Teori yang dikemukakan oleh tokoh ini dikenali sebagai aliaran Malthusian. Thomas Robert Malthus (gambar 3.1) merupakan seorang pendeta Inggeris yang hidup pada tahun 1766 sehingga tahun 1834. Tokoh ini menyatakan bahawa terdapat pertalian di antara pembangunan ekonomi dan pertumbuhan penduduk. Teori Malthus mengenai penduduk adalah ilham daripada keadaan negara Inggeris pada masa itu. Pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, negara Inggeris ditimpa bencana dan kemelaratan. Pengangguran terdapat di bandar-bandar akibat migrasi penduduk luar bandar. Tenaga buruh yang berlebihan telah menurunkan upah buruh di industri. Malthus yang bersimpati dengan keadaan ini berpendapat bahawa kemelaratan yang menimpa penduduk adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan antara pertumbuhan penduduk dengan bahan makanan.

Rajah 3.1 menunjukkan teori asas kependudukan Malthus (Sumber: http://www.buzzle.com/articles/thomas-malthus-theory-of-population.html)

Dalam bukunya yang bertajuk An Essay on the Principle as It Affects the Future, menyatakan bahawa penduduk (seperti juga tumbuhan dan binatang) apabila tidak ada pembatasan atau pengawalan akan berkembang biak dengan cepat dan memenuhi dengan cepat di beberapa bahagian dari permukaan bumi ini. Tingginya pertumbuhan penduduk ini adalah disebabkan kerana hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang tidak boleh dihentikan. Oleh itu, Malthus berpendapat bahawa untuk terus hidup manusia amat memerlukan bahan makanan. Namun, pertumbuhan makanan adalah jauh lebih lambat jika dibandingkan dengan kelajuan pertumbuhan penduduk, seperti yang dapat dilihat pada rajah 3.1. Justeru, apabila tidak diadakan kawalan terhadap pertumbuhan penduduk, maka manusia akan mengalami kekurangan bahan makanan. Inilah yang menyebabkan berlakunya kebuluran dan kemiskinan manusia. Menurut tokoh ini, penduduk bergantung kepada subsistens dan sekiranya jumlah penduduk tidak dikawal, maka ia akan berganda setiap 25 tahun. Malthus menegaskan bahawa kadar pertumbuhan penduduk adalah lebih cepat daripada pertumbuhan cara menyara diri. Walau bagaimanapun, pendapat Malthus (1798) tentang pertambahan penduduk dunia telah disangkal banyak kali. Namun begitu, pertambahan penduduk di sesetengah kawasan di dunia adalah lebih pesat berbanding keupayaan negara di kawasan tersebut menyediakan makanan yang diperlukan. Keadaan ini seolah-olah menyokong pandangan Malthus yang menyatakan bahawa penduduk dunia akan bertambah secara berganda. Penduduk jika tidak dikawal akan bertambah mengikut geometri (1,2,4,8,16,32,64),manakala sara diri bertambah menurut kadar aritmetik (1,2,3,4,5,6,7,8,..). Malthus juga berpendapat bahawa selain peperangan dan ancaman wabak penyakit, masalah kekurangan makanan boleh menjadi penghalang utama proses pertumbuhan penduduk yang pesat di dunia, khususnya di negara yang sedang membangun. Walau bagaimanapun, andaian bahawa penduduk yang kekurangan makanan boleh menahan keberahian jantina, melambatkan perkahwinan atau mengurangkan jumlah anak, tidak dapat dipertahankan. Oleh itu, untuk keluar daripada permasalahan kekurangan makanan tersebut, pertumbuhan penduduk harus dibatasi dan dikawal. Menurut Malthus, pembatasan atau kawalan tersebut dapat dilaksanakan dengan dua cara iaitu Preventive Checks dan Positive Checks. Preventive Checks adalah merujuk kepada pengurangan penduduk melalui kelahiran. Manakala, positive checks pula adalah pengurangan penduduk melalui proses kematian. Apabila di suatu kawasan mempunyai jumlah penduduk yang melebihi jumlah bahan makanan, maka tingkat kematian akan meningkat yang disebabkan oleh kelaparan/ kebuluran, wabak penyakit dan sebagainya. Proses ini akan terus berlaku sehingga jumlah penduduk seimbang dengan jumlah bahan makanan yang ada.

3.2 Esther Boserup (1910- 1999)

Gambar 3.2 Esther Boserup(Sumber: http://bigpictureeducation.com/search/esther%20boserup)

Penulis teori kependudukan lain yang kemudian selepas Malthus iaitu Boserup (gambar 3.2), menyangkal pendapat yang mengatakan bahawa makanan bertambah secara perlahan. Pada pendapat tokoh ini, pertambahan penduduk tidak semestinya diikuti dengan kebuluran dan kekurangan makanan, sebaliknya ia menggalakkan perubahan teknik pengeluaran (rajah 3.2), khususnya dalam bidang pertanian dan pembahagian kerja bagi meningkatkan kecekapan daya penghasilan. Oleh itu, pertambahan penduduk akan diikuti oleh pembangunan dalam bidang pertanian dan seterusnya peningkatan bekalan atau sumber makanan untuk penduduk.

Rajah 3.2 menunjukkan teori kependudukan Boserup (Sumber: http://bigpictureeducation.com/search/esther%20boserup)

Sejak awal penulisannya, Boserup (1981) mengatakan bahawa manusia pada saat ini hidup dalam sebuah tempoh yang mana pertumbuhan penduduk dan perubahan teknologi berjalan secara seiring dan pesat. Dalam konteks ini, para pakar melakukan kajian mengenai perubahan jumlah penduduk dan perubahan teknologi pertanian. Terdapat dua fenomena yang saling berhubungan dalam konteks ini. Yang pertama ialah, perkembangan jumlah penduduk mempengaruhi perubahan teknologi. Yang kedua, perubahan teknologi mempengaruhi perkembangan jumlah penduduk. Atas dua fenomena ini, kecenderungan Boserup lebih kepada fenomena yang pertama iaitu perkembangan jumlah penduduk yang mempengaruhi perubahan teknologi. Boserup juga menyatakan tentang hipotesis tekanan penduduknya seperti berikut:Production increasing inventions may occur independently of the prior rate of population growth, the adoption of new knowledge depends upon population push hypothesis, population growth is necessary for there to be a change in productive techniques. Pada perspektif pemikirannya, Boserup memulai analisisnya dengan meninjau tentang sejarah kehidupan manusia terutamanya dari aspek perkembangan teknologi yang berlaku. Ada beberapa tahap penting yang boleh dicatat iaitu ketika ditemukan penggunaan api yang telah menyebabkan munculnya kaedah penyediaan makanan. Penggunaan api ini telah mengurangi jumlah kadar mortaliti atau kematian, mencegah gangguan atau ancaman daripada binantang buas dan menambah keselesaan dalam kehidupan terutamanya di kawasan yang mempunyai suhu dan iklim yang dingin. Berkurangnya jumlah kematian telah mempercepatkan perkembangan jumlah penduduk. Daripada teori yang dikemukan oleh Boserup ini, boleh dikatakan bahawa penggandaan penduduk dunia adalah mustahil tanpa dipengaruhi oleh kejayaan dalam perubahan teknologi tersebut. Pada dasarnya, hubung kait antara perkembangan jumlah penduduk dan perubahan teknologi adalah sangat kompleks. Dalam konteks ini, apa yang dimaksudkan oleh Boserup tentang teknologi ialah kaedah pengolahan tanah dan cara menjaga kesihatan. Daripada teori ini, menunjukkan bahawa meningkatnya jumlah penduduk akan dapat membantu kehidupan manusia kerana berfungsi sebagai pengeluar. Namun, peningkatan dalam jumlah penduduk juga akan menyebabkan masalah atau kesulitan dalam kehidupan manusia kerana penurunan nisbah antara sumber daya alam dengan manusia. 3.3 Julian Simon Lincoln (1932- 1998)

Gambar 3.3 Julian Simon Lincoln(Sumber: http://bigpictureeducation.com/search/julian%20simon

Julian Simon Lincoln (gambar 3.3) adalah seorang Professor Ekonomi dan bidang tumpuannya ialah Ekonomi Populasi. Simon telah menulis beberapa buah buku mengenai populasi penduduk antaranya ialah The Ultimate Resource pada tahun 1981. Pada dasarnya, Simon tidak setuju dengan pendapat akan terjadinya bencana akibat pertambahan jumlah penduduk dalam teori Malthus yang mana peningkatan populasi akan memberikan kesan negatif terhadap ekonomi kerana peningkatan tersebut akan mengurangkan sumber daya alam. Menurut Simon, penduduk sebaliknya adalah penyelesai terhadap kekurangan sumber makanan kerana manusia boleh berinovasi. Hal ini bermaksud bahawa bekalan sumber daya alam adalah tidak terbatas. Ketika sumber daya alam berkurang, maka manusia akan melakukan pelaburan dengan melakukan inovasi. Dalam teori ini, manusia digalakkan untuk mencari lebih banyak potensi sumber bahan mentah selain yang telah sedia ada. Hal ini bermaksud bahawa manusia perlu mencari sumber alternatif yang boleh menggantikan sumber yang ada dengan penciptaan cara atau kaedah lain agar tidak terlalu bergantung kepada sumber tersebut. Secara ringkasnya, ketiga-tiga teori kependudukan yang dikemukan oleh tokoh-tokoh di atas masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri dan ia terus menjadi bahan perbincangan sehingga ke hari ini. Satu kesimpulan yang dapat dibuat ialah, penduduk akan terus berkembang selagi ianya diimbangi oleh pengeluaran bahan makanan. Ahli kaji penduduk menjangka perkembangan penduduk akan menjadi perlahan selepas proses perkembangan ekonomi melalui pembangunan yang tidak lagi cekap kerana penduduk terlalu ramai. Selepas tahap tersebut, pertambahan penduduk dengan sendirinya akan menjadi perlahan. Namun, di sebalik pandangan para pengkaji penduduk ini, proses pertambahan penduduk dunia terus berlaku. 4.0 HUBUNG KAIT ANTARA POPULASI DAN PEMBANGUNAN NEGARA Kependudukan merupakan faktor penting dalam proses pembangunan sosioekonomi sesebuah negara. Perubahan demografi akan memberi kesan kepada kemampuan sesebuah negara menepati hala tuju yang dirancang. Setiap individu memerlukan keperluan asas seperti makanan, air dan sebagainya untuk hidup yang mana secara langsung akan memberi tekanan kepada alam sekitar. Cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memenuhi keperluan dan kehendak penduduk yang semakin bertambah tanpa mejejaskan keperluan generasi masa hadapan. Cabaran ini dapat dipenuhi dengan mengambil kira pada peringkat makro iaitu pengintegrasian faktor-faktor kependudukan dalam proses perancangan dan dalam peringkat mikro iaitu pemahaman mengenai hubung kait di antara penduduk, alam sekitar dan pembangunan mapan di semua peringkat. Sehubungan dengan itu, sesebuah negara haruslah memantau aliran pertumbuhan penduduk di negara mereka. Perubahan yang berlaku terutamanya dari aspek struktur umur, kesuburan dan taburan adalah perkara yang harus dipandang serius kerana ia boleh memberi implikasi yang besar kepada pembangunan negara secara menyeluruh. Berasaskan kepada maklumat dan indikator mengenai isu-isu semasa berkaitan kependudukan akan membantu dalam perancangan pembangunan negara di masa hadapan. Justeru, tidak dinafikan bahawa populasi memberi kesan terhadap pembangunan sesebuah negara. Populasi yang dimaksudkan di sini adalah pertumbuhan penduduk yang semakin pesat dari hari ke hari. Namun, tidak semua kawasan di dunia ini mengalami peningkatan atau pertambahan penduduk yang berlebihan. Keadaan ini lazimnya dialami oleh negara-negara sedang membangun yang masih mempunyai kadar kelahiran yang tinggi. Lantaran itu, keadaan sebegini akan memberikan kesan kepada pembangunan negara tersebut. Implikasi yang dihadapi boleh dilihat dari dua sudut pandangan iaitu kesan negatif dan kesan positif. 5.0 KESAN PERTUMBUHAN PENDUDUK Pertumbuhan penduduk memberi kesan terhadap pembangunan sesebuah negara. Pertumbuhan penduduk yang pesat iaitu bilangan penduduk terlalu ramai berbanding dengan sumber alam akan memberikan pelbagai implikasi kepada sesebuah negara. Keadaan ini wujud kerana pertambahan penduduk yang amat pesat, kemerosotan bekalan sumber alam yang boleh dimajukan, kemerosotan permintaan untuk tenaga kerja atau gabungan kesemua faktor ini. Jika pertumbuhan penduduk tidak diikuti dengan pembangunan sumber alam dan perkembangan sektor perkhidmatan, maka pelbagai implikasi akan berlaku. Namun, dalam memperkatakan tentang pertumbuhan penduduk, tidak semua negara di dunia ini mengalami peningkatan dalam pertumbuhan penduduknya. Ada juga keadaan di mana pertumbuhan penduduk adalah optimum dan kekurangan penduduk. Konsep penduduk optimum boleh dikatakan sebagai bilangan atau saiz penduduk yang memungkinkan pengeluaran per kapita maksimum. Keadaan penduduk optimum boleh diperhatikan di negara maju seperti di Eropah Barat dan Amerika Utara. Manakala, keadaan kekurangan penduduk pula merujuk kepada bilangan penduduk yang terlalu kecil untuk mengusahakan dan menggunakan sumber alam yang banyak. Sumber alam yang ada masih boleh menampung jumlah penduduk yang ramai tanpa menjejaskan aras kesejahteraan penduduk yang ada seperti di negara Kanada. Walau bagaimanapun, dalam dunia sebenar, keadaan lebihan penduduk atau pertambahan penduduk yang pesat lebih lazim ditemui dan berlaku. Oleh itu, perbincangan lebih berfokuskan kepada kesan pertumbuhan penduduk yang pesat. 5.1 KESAN NEGATIF 5.1.1 Kemiskinan Masalah kemiskinan umumnya boleh dikaitkan dengan hasil keluaran yang rendah. Kemiskinan sering berlaku ekoran daripada saiz penduduk yang terlalu ramai di sesebuah negara. Hal ini kerana, negara atau kerajaan tidak mampu menampung kesemua penduduk yang ada dalam negara tersebut. Berlaku lebihan penduduk dan ini mengakibatkan penduduk yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan mengalami masalah menampung perbelanjaan hidup yang seterusnya menyebabkan kemiskinan berleluasa. Saiz keluarga yang besar turut merumitkan lagi keadaan penduduk. Negara membangun adalah negara yang dominan dengan keadaan sebegini. Ekonomi di kebanyakan negara sedang membangun bergantung pada sektor pertanian. Pada tahun 1970, kira-kira 80% penduduk di Laos dan Kampuchea terlibat dalam sektor pertanian. Manakala di Malaysia sebanyak 60%, Filipina 54% dan Indonesia 70%. Pendapatan per kapita petani di negara ini tidak melebihi AS$100. Nilai pendapatan per kapita ini adalah rendah ini jika dibandingkan dengan pendapatan di negara maju yang rata-ratanya melebihi daripada AS$1000 (Jadual 5.1.1).Jadual 5.1.1 Jumlah petani, pengeluaran dan pendapatan di negara maju dan membangun pada 1960, 1980 dan 2000196019802000

Negara Maju Negara MembangunNegara MajuNegara MembangunNegara MajuNegara Membangun

Jumlah Petani (juta)115850751230501480

Keluaran Pertanian (billion AS$)784312577186135

Pendapatan Per Kapita (AS$)68052166063372091

(Sumber: Katiman Rostam, 2002) Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kira-kira 85% kemiskinan mutlak berlaku di luar bandar. Selain itu, pertambahan penduduk yang pesat menyebabkan kesesakan ruang dan pemecahan tanah pertanian terutamanya disebabkan tradisi pembahagian harta pusaka seperti yang berlaku di Malaysia. Ini bermakna, semakin ramai orang yang bekerja di kawasan pertanian, semakin sempit kawasan tersebut ditambah pula dengan pendapatan yang lebih rendah dan ini menyebabkan pengangguran yang ketara. Pendapatan petani yang kecil dan tidak mencukupi menyebabkan petani terpaksa berhutang. Kegagalan mereka untuk menjelaskan hutang pula akan mengakibatkan tanah mereka tergadai atau terjual. Para petani yang tidak bertanah pula terpaksa menyewa daripada tuan tanah yang biasanya mengenakan sewa yang tinggi. Keadaan penduduk yang miskin juga tidak memungkinkan mereka membuat pelaburan bagi membangunkan kegiatan pertanian yang lebih moden. Walaupun kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk memajukan sektor pertanian, namun kegiatan pertanian di negara membangun masih ketinggalan. Faktor lain yang turut menyebabkan hasil keluaran dan pendapatan petani rendah ialah jenis kegiatan atau cara pengeluaran petani itu sendiri. Cara pertanian utama yang dijalankan oleh petani ialah pertanian kebun kecil dan sara diri yang tidak cekap serta kurang menguntungkan. Penduduk luar bandar juga terlibat dalam pekerjaan sebagai nelayan, pelombong dan pembalak yang rata-ratanya berpendapatan rendah. Disebabkan pendapatan yang rendah, sebahagian besar penduduk luar bandar khususnya di negara membangun berada dalam kemiskinan. 5.1.2 Buta huruf dan tahap pendidikan yang rendah Taraf pendidikan yang rendah adalah kesan yang turut berlaku akibat daripada pertumbuhan penduduk yang pesat. Kerajaan telah memperuntukkan sebahagian besar belanjawan untuk menghapuskan buta huruf. Walaupun demikian, masih ramai penduduk luar bandar yang buta huruf. Ini disebabkan kekurangan sekolah, yuran persekolahan yang tinggi dan sikap negatif petani terhadap pelajaran anak-anak mereka. Sikap penduduk atau masyarakat yang mementingkan tenaga kanak-kanak untuk menolong ibu bapa di rumah atau di ladang menyebabkan kanak-kanak tidak dihantar ke sekolah sehingga akhirnya kanak-kanak keciciran dalam pelajaran. Keciciran boleh juga dikaitkan dengan tingkat pencapaian akademik yang rendah akibat pemakanan yang kurang berzat. Kanak-kanak juga tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka disebabkan kemiskinan. Keadaan buta huruf yang dialami ini menyebabkan usaha memperkenalkan teknologi moden dan inovasi dalam bidang pertanian untuk meningkatkan hasil tani di kawasan luar bandar menghadapi berbagai-bagai masalah. Kebanyakan petani masih lagi berpegang pada idea konservatif dan bersikap negatif terhadap perubahan. Hal ini kerana, mereka telah terbiasa dengan belenggu kemiskinan yang dihadapi.

Jadual 5.1.2 Peratus penduduk buta huruf di wilayah Kalimantan, Indonesia Tahun 2010-2013Provinsi/Tahun2010 (%)2011 (%)2012 (%)2013 (%)

Kalimantan Barat9.7410.369.288.66

Kalimantan Tengah2.523.342.572.07

Kalimantan Selatan4.064.543.802.96

Kalimantan Timur2.953.322.662.49

(Sumber: Badan Pusat Statistik Indonesia) Berdasarkan kepada jadual 5.1.2 menunjukkan peratusan penduduk buta huruf di wilayah Kalimantan, Indonesia pada tahun 2010 sehingga 2013. Daripada data ini, dapat dilihat bahawa masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat di sana masih berlaku. Di wilayah Kalimantan Barat misalnya, pada tahun 2010, kadar buta huruf penduduknya ialah 9.74%, tahun 2011 meningkat kepada 10.36%, tahun 2012 menurun semula kepada 9.28% dan tahun 2013 terus menurun kepada 8.66%. Meskipun terdapat penurunan dalam kadar atau peratusan buta huruf di wilayah tersebut, namun masalah buta huruf dalam kalangan penduduknya masih wujud sehingga ke hari ini. Hal ini disebabkan kerana negara Indonesia secara keseluruhannya mempunyai bilangan penduduk yang sangat ramai dan ini mengakibatkan kerajaan tidak mampu menyediakan asas pendidikan kepada semua rakyatnya. Tambahan pula, keluasan dan taburan penduduk negara Indonesia turut mempengaruhi ketidakseragaman kemudahan pendidikan di negara berkenaan.5.1.3 Penghijrahan penduduk desa ke bandar Penghijrahan atau aliran perpindahan penduduk dari luar bandar ke bandar adalah masalah besar di kebanyakan negara yang mempunyai pertumbuhan penduduk yang pesat khususnya di negara-negara membangun. Keadaan di luar bandar seperti kemiskinan, kekurangan tanah pertanian, kekurangan infrastruktur dan kekurangan pekerjaan adalah faktor penolak kepada perpindahan penduduk luar bandar ke bandar. Faktor penarik yang terdapat di bandar pula adalah peluang pekerjaan yang banyak dan kemudahan asas yang baik. Walau bagaimanapun, perpindahan penduduk ini memberikan beberapa implikasi atau masalah kepada negara tersebut. Masalah pertama yang wujud akibat penghijrahan ini ialah sektor pertanian telah kehilangan tenaga muda yang berpelajaran. Keadaan ini boleh mengancam perusahaan atau kegiatan pertanian di luar bandar. Kedua, sebahagian penduduk yang berhijrah dari desa terdiri daripada golongan yang berpendidikan rendah, kurang berpengetahuan dan tidak mempunyai cukup pengalaman tentang bidang ekonomi di bandar. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menjawat pekerjaan yang boleh memberikan pendapatan yang mencukupi. Kebanyakan mereka hanya menceburi bidang perindustrian dan perkhidmatan yang rendah daya pengeluarannya. Selain itu, penduduk yang ramai di bandar juga akan menimbulkan masalah perumahan. Menurut Laporan ECAFE pada tahun 1979, antara 60 hingga 70% penduduk bandar di negara Asia tidak mempunyai tempat kediaman sendiri disebabkan pendapatan yang rendah dan harga rumah yang tinggi. Laporan Bank Dunia pula menganggarkan bahawa antara 35 hingga 68% penduduk di 6 buah bandar di Asia tidak mampu membeli rumah, meskipun rumah yang paling murah di pasaran bandar berkenaan. Oleh itu, keadaan ini mendorong kepada kewujudan kawasan setinggan yang didirikan oleh penduduk yang tidak berkemampuan tersebut. 5.1.4 Pertambahan penduduk yang pesat Pertambahan penduduk yang pesat adalah disebabkan oleh kadar kelahiran yang tinggi khususnya di kawasan luar bandar. Dalam tempoh 1920 hingga 1960, kadar pertumbuhan penduduk di negara sedang membangun khususnya ialah kira-kira 3%. Sebahagian besar penduduk yang tinggal di luar bandar tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, malah masih ramai yang buta huruf. Pemikiran mereka yang tradisional di samping pegangan kepercayaan agama yang kuat menyebabkan mereka sukar untuk menerima idea baru seperti pembaharuan cara hidup dan perancangan keluarga. Sebilangan daripada mereka lebih cenderung untuk mempunyai keluarga yang besar dan ramai anak. Pelbagai masalah yang timbul akibat pertambahan penduduk yang pesat.

Yang pertama ialah, sebahagian besar penduduk terdiri daripada kanak-kanak yang dianggap tidak produktif. Golongan penduduk di bawah umur 15 tahun ini masih di bawah tanggungan ibu bapa dan menjadi beban kepada negara. Kerajaan perlu menyediakan kemudahan asas untuk mereka. Contohnya, kemudahan persekolahan, kesihatan, pekerjaan dan sebagainya yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Di samping itu, pertambahan penduduk yang pesat juga menyebabkan masalah kekurangan makanan dan zat makanan. Pendapatan yang kecil tidak mencukupi untuk menyara sebuah keluarga yang besar. Tenaga yang mereka gunakan bagi kerja yang mereka lakukan jauh melebihi jumlah nilai kalori makanan yang mereka makan. Makanan yang dimakan hanya memadai untuk mengenyangkan tetapi kebanyakannya mengandungi kurang zat makanan. Akibatnya, taraf kesihatan penduduk luar bandar rendah dan mereka mudah dijangkiti oleh berbagai-bagai jenis penyakit. Masalah ini menjadi lebih serius apabila ditambah dengan keadaan bekalan air, pembuangan sampah dan perumahan yang kurang sempurna. Masalah ini boleh meninggalkan kesan negatif terhadap perkembangan ekonomi negara, khususnya akibat daya pengeluaran yang rendah. Selain itu, pertambahan penduduk yang pesat adalah sukar dikawal. Amalan perancangan keluarga tidak dapat diterapkan. Pengaliran idea pembangunan adalah lambat terutamanya jika masyarakat masih buta huruf. Oleh itu, masyarakat luar bandar khususnya di negara membangun amat sukar untuk dimajukan. Tambahan pula, pertambahan penduduk yang tinggal di kawasan pertanian luar bandar tidak disertai dengan perkembangan ekonomi yang sewajarnya menyebabkan berlakunya pengangguran dan taraf kehidupan serta pendapatan yang rendah. Pengangguran di kawasan desa boleh melebarkan lagi jurang pendapatan antara penduduk bandar dengan desa. Hal ini kerana, pendapatan penduduk bandar beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding penduduk desa.

Jadual 5.1.3 Kadar pertumbuhan populasi India dari tahun 2010-2014TahunPopulasiKadar Pertumbuhan (%)

20101 205 624 6481.30

20111 221 156 3191.29

20121 236 686 7321.27

20131 253 221 2341.34

20141 275 214 6601.75

(Sumber: Countrymeters) Jadual 5.1.3 menujukkan kadar pertumbuhan populasi atau penduduk negara India dari tahun 2010 sehingga 2014. Pada tahun 2010, peratus kadar pertumbuhan penduduknya ialah 1.30%. Menginjak ke tahun yang seterusnya iaitu tahun 2011, kadar pertumbuhan menurun kepada 1.29% sahaja dan penurunan ini terus berlaku sehingga tahun 2012 iaitu 1.27%. Namun, pada tahun 2013, kadar pertumbuhan penduduk India mula meningkat semula iaitu kepada 1.34% dan berterusan sehingga tahun 2014 iaitu kepada 1.75%. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa negara India mengalami proses pertambahan penduduk yang tinggi. Hal ini berkait rapat dengan faktor-faktor yang telah dinyatakan di awal perbincangan mengenai dengan pertambahan penduduk yang pesat. 5.2 KESAN POSITIF 5.2.1 Tenaga buruh yang ramai Penduduk atau sumber manusia juga dikenali sebagai buruh. Buruh penting bagi melakukan sesuatu kerja. Bilangan orang, jantina dan umur buruh adalah aspek terpenting kepada kuantiti bekalan buruh di sesebuah negara. Bagi menggerakkan sesuatu kerja yang berat perlu menggunakan tenaga manusia seperti membina bangunan, bilangan buruh lelaki yang ramai dan masih muda amat diperlukan. Namun demikian, taraf kesihatan, kekuatan mental dan ketahanan diri adalah unsur penting kepada kuantiti buruh. Semakin ramai bilangan buruh lelaki muda yang sihat, cergas dan berani, maka semakin tinggi kuantiti dan keupayaannya. Oleh itu, semakin banyak dan pelbagai kerja berat yang dapat dilakukan. Walau bagaimanapun, kepentingan sumber manusia tidak hanya diukur berdasarkan kuantiti dan keupayaannya sahaja, tetapi kualiti buruh juga adalah penting. Oleh itu, sumber manusia di sesebuah negara sebenarnya bergantung pada ciri penduduk negara berkenaan. Penduduk yang ramai, berpendidikan dan berkemahiran tinggi, berakhak mulia, cergas dan terbuka adalah suatu aset kepada negara berkenaan. Aset tersebut penting bagi memajukan negara. Carta 5.2.1 Perangkaan utama tenaga buruh, Malaysia 2010 dan 2011

(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia)

Pada tahun 2011, kadar penyertaan tenaga buruh mencatatkan peningkatan kepada 64.4% berbanding 63.7% pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2010. Peningkatan 0.7% ini disumbangkan oleh pertambahan penduduk dalam pasaran buruh daripada 12.30 juta pada 2010 kepada 12.68 juta orang pada tahun 2011. Peningkatan tenaga buruh pada tahun 2011 disumbangkan oleh pertambahan penduduk bekerja seramai 384,900 orang daripada 11.90 juta kepada 12.28 juta orang. Manakala, bilangan penganggur menyusut seramai 13,000 orang kepada 391,400 orang. Keadaan ini menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran sebanyak 0.2% kepada 3.1% berbanding 3.3% pada tahun 2010 (carta 5.2.1). Oleh itu, dapat dilihat dengan jelas bahawa terdapat peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 64.4% pada tahun 2011. Melihat kepada negara Malaysia, jumlah penduduk yang ramai merupakan matlamat yang ingin dicapai. Pada prinsipnya, Malaysia telah menggubal dasar kependudukan yang bermatlamat untuk menambahkan jumlah penduduk sehingga 70 juta dalam tempoh 115 tahun. Terdapat sebab-sebab tertentu yang mendorong kerajaan untuk berbuat sedemikian. Ia mungkin berkaitan dengan keperluan tenaga buruh, pertahanan negara dan kepadatan penduduk yang masih rendah dan masih banyak kawasan yang belum dibuka untuk petempatan. Untuk memesatkan pembangunan negara, sesebuah negara itu memerlukan banyak sumber tenaga manusia dan ini hanya boleh dicapai sekiranya saiz penduduk negara besar. Hal ini kerana untuk mengelakkan pengambilan tenaga buruh asing dari negara luar. Malaysia berpendapat dengan pentadbiran yang baik dan cekap serta kadar pengeluaran yang tinggi, 70 juta penduduk ini tidak akan menjadi masalah, malah ia akan menjadi sumber kekuatan untuk mempertahankan negara terutama dari segi memiliki pasukan tentera yang kuat. Dalam jangka panjang, kempen menyeru pasangan berkahwin untuk mempunyai lebih ramai anak akan meninggikan lagi daya pengeluaran negara. Dengan kejayaan seperti ini serta dengan saiz penduduk yang besar dan pemerintahan yang cekap diharapkan negara akan memperoleh national power. Kejayaan dan keyakinan terhadap dasar 70 juta penduduk ini bergantung kepada dasar kependudukan negara yang terancang dan memenuhi keperluan rakyat. Dalam hal ini, rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab moral untuk mempertahankan penurunan kadar kesuburan di masa akan datang. Negara memerlukan saiz penduduk yang besar dan dalam masa yang sama juga negara memerlukan rakyat yang berkemampuan dan sihat agar dapat membantu pembangunan negara supaya terus maju dan bersaing dengan negara jiran dan negara lain di dunia ini. Ini adalah harapan negara untuk menjadi sebuah negara yang dihormati, bukan setakat mempunyai ramai penduduk tetapi rakyat yang rajin bekerja dan bersemangat untuk menaikkan nama negara dalam apa jua bidang sekalipun.

5.2.2 Meluaskan pasaran domestik Selain daripada menyediakan tenaga buruh untuk pembangunan negara, populasi penduduk yang ramai turut menyumbang kepada perluasaan pasaran domestik sesebuah negara. Hal ini kerana, bilangan penduduk yang ramai membantu perkembangan ekonomi negara melalui pengaliran wang yang banyak (aktif) dalam pasaran. Penduduk yang ramai sudah pasti memerlukan bekalan domestik yang boleh menampung bilangan tersebut. Sebagai contoh, negara China merupakan negara yang mempunyai pasaran domestik yang besar dan luas kerana faktor saiz penduduk yang ramai. Meskipun dilihat dari aspek taraf kehidupan masyarakat China adalah tidak sekata kerana perbezaan wilayah, namun ia tetap menyumbang kepada saiz pasaran domestik yang besar di negara berkenaan. Taraf kehidupan tersebut tidak menghalang kepada aliran wang di pasaran kerana penduduk tetap memerlukan sumber makanan dan bahan keperluan asas kehidupan yang lain. Oleh kerana negara tersebut memiliki rakyat yang ramai, maka secara tidak langsung kerajaan akan sedaya upaya menyediakan keperluan rakyatnya dari segi makanan, barangan dan bahan-bahan keperluan mereka yang lain. Tambahan pula, dengan pasaran domestik yang luas, negara terbabit tidak perlu meluaskan pasaran antarabangsanya ke negara lain kerana penduduk di negaranya sendiri sudah mencukupi untuk mengerakkan pasaran tersebut. Justeru, saiz pasaran domestik yang luas dan besar mampu menjana kepada proses pembangunan sesebuah negara. 5.2.3 Keselamatan negara Dari aspek keselamatan negara, saiz penduduk yang besar dan ramai merupakan aset berharga kepada negara tersebut. Hal ini kerana, penduduk yang ramai mampu dijadikan sebagai golongan tentera yang melindungi negara daripada sebarang ancaman luar. Sebagai contoh, negara China merupakan negara yang berpenduduk ramai. Disebabkan oleh penduduk yang ramai itu, golongan rakyat yang boleh dilatih dan seterusnya dilantik sebagai tentera adalah sangat ramai. Keadaan ini menyebabkan tingkat keselamatan negara China adalah tinggi. Ini juga yang mendorong negara China menjadi antara negara militari yang digeruni oleh negara lain. Oleh itu, sebuah negara yang memiliki golongan tentera yang ramai akan dihormati dan digeruni oleh negara lain. Risiko ancaman keselamatan dari pihak luar tidak menjadi masalah yang rumit bagi negara yang mempunyai saiz tentera yang besar seperti China. 5.2.4 Pengaliran wang dalam negara Negara yang memiliki penduduk yang ramai seringkali dilihat sebagai negara yang miskin. Walau bagaimanapun, persepsi ini kian berubah kerana wujudnya inisiatif penduduk sesebuah negara tersebut untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Akibat daripada kesempitan hidup yang dialami, ada dalam kalangan penduduk negara tersebut akan bermigrasi atau berhijrah ke negara lain untuk mencari peluang pekerjaan seterusnya mencari sumber pendapatan yang boleh meningkatkan taraf hidup mereka. Sebagai contoh, penduduk warga Bangladesh berhijrah ke negara kita, Malaysia kerana negara kita sangat memerlukan pekerja asing yang boleh menggerakkan pembangunan negara khususnya dari aspek industri pembinaan. Hasil daripada penghijrahan ini, maka wang gaji yang diterima oleh pekerja asing itu akan dikirimkan ke negara asal iaitu kepada keluarga mereka bagi mengurangkan beban kehidupan di sana. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan pengaliran mata wang asing masuk di negara berkenaan. Keadaan ini turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara yang terbabit. Oleh itu, pertumbuhan penduduk atau populasi di sesebuah negara khususnya di negara sedang membangun memberikan kesan ketara terhadap negara tersebut, sama ada kesan negatif mahupun kesan positif. Pertumbuhan penduduk yang tinggi menyebabkan taraf kehidupan yang rendah, kadar pertumbuhan penduduk yang pesat dan daya pengeluaran yang rendah serta jumlah pengangguran yang tinggi. Selain itu, keadaan infrastruktur, sistem pengangkutan, perhubungan, kemudahan kesihatan dan kemudahan-kemudahan lain masih belum dimajukan dan penggunaan teknologi juga terbatas. Namun, pertumbuhan penduduk yang tinggi juga memberikan kesan positif kepada sesebuah negara. Tenaga buruh yang ramai mampu mempengaruhi pembangunan di negara berkenaan kerana mampu menyumbang kepada daya pengeluaran yang tinggi dan tenaga buruh yang ramai berguna untuk mengerakkan ekonomi negara terbabit. Selain itu, perluasaan pasaran domestik juga akan berlaku dengan adanya penduduk yang ramai yang berperanan sebagai pembeli kepada barang-barang keperluan dan kehendak yang dihasilkan dalam sesebuah negara. Tambahan pula, kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi dan saiz penduduk yang pesat dianggap sebagai sumber kekuatan dan kekayaan negara. Pada umumnya, ramai penulis turut mengakui bahawa saiz dan pertumbuhan penduduk merupakan faktor penting bagi kemajuan sesebuah negara.

6.0 PENUTUP Sejak zaman dahulu lagi, para pendidik dan ahli fikir telah memberi perhatian yang serius kepada masalah penduduk terutama dari segi saiz dan pertumbuhan. Kadar pertumbuhan penduduk penduduk yang pesat adalah punca kepada kemiskinan, peperangan, wabak penyakit, kebuluran dan kekurangan makanan. Namun, jika dilihat pada zaman sekarang, pertumbuhan penduduk yang pesat telah menyebabkan pelbagai kesan negatif iaitu kemiskinan, buta huruf dan taraf pendidikan yang rendah, penghijarahan penduduk desa ke kawasan bandar dan semestinya pertambahan penduduk yang pesat. Walau bagaimanapun, saiz penduduk yang besar turut menjadi kebanggaan sesebuah negara kerana penduduk sebagai sumber kekuatan dan kekayaan negara tersebut. Di samping itu, tenaga buruh yang ramai, pasaran domestik yang besar dan pengaliran wang masuk merupakan antara kesan positif yang boleh dilihat. Lantaran itu, pelbagai teori kependudukan muncul antaranya ialah Teori Malthus, Boserup dan Simon. Secara mudahnya, teori-teori kependudukan merupakan asas dalam menggubal dasar pembangunan dan perancangan sesebuah negara. Justeru, tidak dinafikan bahawa terdapat hubung kait yang rapat antara populasi penduduk dan pembangunan. Populasi penduduk di sesebuah negara mampu memberikan kesan yang buruk dan baik kepada pembangunan sesebuah negara. Namun, kesan atau masalah tersebut boleh diatasi dengan perancangan yang teliti dan rapi oleh kerajaan. Tambahan pula, kemunculan teknologi moden pada masa kini mampu membantu mengimbangi pertumbuhan populasi penduduk yang pesat dengan sumber bekalan makanan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa populasi penduduk dan pembangunan sangat berkait rapat. Hal ini kerana, penduduk merupakan sumber tenaga atau penggerak kepada kegiatan ekonomi di sesebuah negara. Dengan jumlah tenaga buruh yang ramai, maka negara mampu melaksanakan aktiviti pembangunan dengan pesat. Namun, jumlah atau saiz penduduk yang tinggi jika tidak disertai dengan kualiti yang diperlukan akan memberikan kesan yang kurang baik. Lantaran itu, tidak menguntungkan bagi pembangunan sesebuah negara jika hanya bergantung kepada kuantiti penduduk dan tidak kepada kualiti penduduknya.

7.0 RUJUKANAligica, D. P. 2009. Simon and the Limits to Growth Neo- Malthusianism. The Electronic Journal of Sustainable Development, 1(3) 74-77.Clarke, I. J. 1988. Geografi Penduduk dan Negara Sedang Membangun. Rosnah Talib (penterj.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Doddy S. Singgih. 2001. Pangan, Penduduk dan Teknologi Pertanian: Sebuah Perdebatan Teoritis. Masyarakat, Kebudayaan dan Politik, 14 (4), 43 -54.Katiman Rostam. 2002. Prinsip Asas Persekitaran Manusia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Simon, L. J. 1996. The Ultimate Resource 2. New Jersey: Princeton University Press.Usman Yaakob. 1989. Prinsip Kajian Kependudukan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ambika Prasad. (2012, Mac 6).What are the main consequences of population explosion?. PreserveArticles. Retrieved from http://www.preservearticles.com/2012030625147/what-are-the-main-consequences- of-population-explosion.htmlBose, D. 2012, Julai 10. Thomas Malthus: Theory of Population. Retrieved from http://www.buzzle.com/articles/thomas-malthus-theory-of-population.htmlBadan Pusat Statistik Indonesia. 2013. Peratus penduduk buta huruf menurut kelompok umur tahun 2003-2013. Retrieved from http://www.bps.go.id/tab_sub/view.php?kat=1&tabel=1&daftar=1&id_subyek=28&notab=2Countrymeters. 2014. India Population. Retrieved from http://countrymeters.info/en/IndiaJabatan Perangkaan Malaysia. 2013, Januari 29. Analisis Tenaga Buruh di Malaysia, 2010-2011. Retrieved fromhttp://www.statistics.gov.my/portal/images/stories/files/LatestReleases/findings/RINGKASAN_PENEMUAN_PTB2011.pdf"Malthus, Thomas Robert."Complete Dictionary of Scientific Biography. 2008. Retrieved October 20, 2014 from Encyclopedia.com: http://www.encyclopedia.com/doc/1G2-2830902792.html

20