kependudukan siam di kedah

Upload: hernaninene

Post on 07-Jul-2015

225 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

http://www.memori-kedah.com/page_pengenalan.php? p=2&idstopic=33&idskandungan=141&id=492&mtopic=4 Kependudukan Siam di Kedah - Latarbelakang Masyarakat Siam Di Kedah Latarbelakang

Memandangkan keseluruhan imigran Siam di Kedah berasal dari Selatan Thailand. Berdasarkan laporan Straits Times pada bulan Jun 1948, ternyata jalan yang digunakan oleh orang Siam untuk datang ke Kedah adalah melalui jalan-jalan hutan dan tidak melalui jalan-jalan biasa yang berhampiran dengan bandar-bandar berdekatan dengan sempadan seperti Padang Besar (terletak di sempadan Perlis - Thailand). Dengan itu didapati ramai orang Siam di Kedah menetap di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan sempadan Thailand. Jika menggunakan jalan laut, kawasan pesisir pantai lebih diutamakan. Jalan laut yang digunakan oleh orang Siam tidak meluas seperti jalan darat. Dilaporkan bahawa penduduk di Narathiwat dan Setul sering datang ke pelabuhan-pelabuhan di bahagian utara dengan menggunakan perahu-perahu kecil. Oleh yang demikian, penggunaan kedua-dua jalan darat dan laut telah menjadi laluan kemasukan pelarian-pelarian Patani dan mereka yang terlibat dengan krisis ekonomi pada abad ke 19 untuk masuk ke Kedah. Walaubagaimanpun cara yang kedua jarang digunakan. Kenyataan ini diasaskan kepada fakta bahawa mereka adalah pelarian politik yang masuk ke Tanah Melayu tanpa melalui prosedur yang sah. Tempoh yang diperlukan untuk sampai ke Utara Semenanjung juga hanya mengambil masa tidak lebih dari dua minggu bagi pejalan kaki. Bagi mereka yang datang ke Kedah semasa berlakunya peperangan antara Kedah dan Siam dahulu juga melalui jalan darat. Sewaktu terjadinya peperangan di awal abad ke 19, Tanah Melayu masih belum mempunyai sistem jalan raya yang baik bagi menghubungkan kawasan-kawasan selatan Thailand dengan negeri-negeri di utara Tanah Melayu. Jalan kereta api hanya dibina di akhir abad ke 19 sahaja. Merujuk kepada ciri-ciri penempatan masyarakat Siam di Kedah khasnya dan di Tanah Melayu amnya, satu sifat yang paling ketara ialah penempatan meraka yang terlalu tertumpu kepada satu-satu tempat dan daerah (localized). Hampir 95% daripada mereka menetap di empat buah negeri di Utara Semananjung (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu). Manakala sebilangan kecil terdapat di Perak dan Selangor. Lebih unik lagi, di keempat-empat buah negeri di utara, masyarakat siam lebih ramai terdapat di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan sempadan Thailand. Penempatan mereka di Kedah adalah di sepanjang sempadan Kedah dan Thailand iaitu seperti di daerah-daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Baling dan Sik serta di daerah Kota Star. Di bahagian selatan negeri Kedah, penempatan mereka tidak pernah melebihi had Krian.

- Asal Usul Orang Siam

Asal Usul

Semua penulisan yang ditemui menyatakan bahawa orang Siam berasal dari kawasan tengah Asia yang membentuk negara Mongolia dan Cina hari ini. Phararajphongsawadarn oleh Phararajhatlekha (TB 2245:TM 1912), Phongsawadarnchattai oleh Phra Boriharnthepthani dan Sejarah Asia Tenggara (1971) oleh D.G.E. Hall sepakat mengisahkan perihal tanah asal orang Siam di Asia Tengah. Dipercayai bahawa sekitar 7000 tahun dahulu mereka mendiami kawasan pergunungan Atlai (Mongolia) dan sekitar 2500 tahun kemudian mereka berkembang ke selatan yang lebih subur dan membina penempatan kekal di lembangan sungai Hwang Ho dan Yang Tze Kiang. Selain sebagai penternak nomad, mereka juga petani berkebolehan. Penempatan kekal telah mewujudkan puluhan negara kota orang Siam seperti Sze Chuan, Cheang Tu, Hu Pe, Hu Nan, Auhui di wilayah Sze Chuan dan Kwang Ghao di negara China hari ini. Sama ada disebabkan bilangan penduduk semakin ramai atau pergolakan sesama sendiri atau tekanan orang Cina dalam rentetan sejarah yang panjang, orang Siam mulai bergerak turun ke selatan dari penempatan besar mereka di Chungking. Orang Cina sebelum ini hidup secara nomad mulai membina kekuasaan dan menekan pengaruh ke atas orang Siam. Pada beberapa peringkat dengan diketuai oleh raja-raja mereka, orang siam dapat memperlahankan penghijrahan mereka ke selatan. Orang cina menggelar nama kerajaan mereka sebagai "Syamkok" atau "Ailao". Dari nama ini barangkali kita mengenali mereka sebagai orang Siam atau Lao. Antara tahun 757 Masehi, kerajaan Siam Nancao di wilayah Yunan, selatan Cina telah wujud sebagai sebuah empayar yang luas hingga ke Syam dan hulu sungai Irrawadi. Pada masa yang sama lembah Menam Chao Phraya masih di bawah pengaruh Khmer mulai didatangi oleh beberapa gerombolan Siam dari Muang Se, Tong King dan Annam. Mereka menjajah Lembangan Mekong dan menjadi penduduk tetap Angkor Wat. Pada abad-abad seterusnya, Lembangan Sungai Ping, Wang, Yom dan Nan mulai menerima pendudukan Siam. Beberapa kerajaan kecil yang merdeka wujud dan Phayao salah sebuah wilayah di Thailand hari ini telah wujud sejak TM 1096, diikuti dengan negeri kota di Cengrai, Ciensen, Ciengmai, Sua (Luang Prabang) dan lain-lain. Penaklukan ke atas Nancao oleh Kublai Khan (TM 1253) telah merubah taburan penempatan orang Siam di kerajaan kecil di selatan. Sukhotai (wujud sejak TM 1238) dan Luang Prabang di Lembah Sungai U mulai berkembang membentuk empayar Lannathai, walaupun akhirnya Sukhotai lebih dikenali. Kehancuran Nancao turut mengecilkan perkembangan kerajaan Siam Ahom di Assam (India) tetapi menyemarakkan perkembangan mereka di Sipsong Panna dan Sipsong Cuthai. Sukhothai dianggap mencapai zaman keemasan semasa pemerintahan Rama Khamheng (TM 1283-1317) dan orang Siam mengingatinya sebagai pengasas huruf tulisan bangsa ini. Perluasan

empayar Sukhothai dipercayai hingga ke Hujung Tanah (Johor-Singapura) wapaupun tidak ada bukti kukuh. Namun begitu, kerajaan Lavo, Khamphengphet hingga ke Caiya dan Ligor di Segenting Kera di anggap sebagai sebahagian empayar tersebut. Sewaktu Sukhothai meniti zaman kemerosotan Raja U Thong (nama Kerajaan) membina kota baru "Dvaravati Sri Ayudhya" di sebuah pulau di Sungai Chao Phera. Di sebelah Luang Prabang pula, Fa Ngum berusaha membina empayar Sejuta Gajah (Lan Cang).

- Empayar Siam Ayudhya

Kota Ayudhya berkembang pesat dan mula dikenali sebagai "Kota Siam" di kawasan sekitar dan barat. Pengaruhnya jauh ke selatan mengambil alih peranan Sukhothai, Kerajaan Siam di Perak (Gangga Negara), Johor (Khlangkeo) dan Pahang (Inderapura) yang mempunyai kaitan rapat dengan Ayudhya. Kerajaan Melayu (TM1612) karangan Tun Seri Lanang menyebut bahawa negeri Ganggayu (Khlangkeo) dibina oleh orang Siam asli terletak di hulu sungai Johor. Kotanya diperbuat daripada batu hitam dan pemerintahnya, Raja Chulan sebagai raja besar, segala "raja di sebelah timur ini boleh dikatakan kesemuanya tertakluk kepada baginda". Kerajaan Siam Gangga Negara dan Khlangkeo telah ditakluki oleh Raja Benua Hindi dan kerajaannya di Pahang telah ditewaskan oleh Melaka. Walaupun gagal memberikan tarikh sebagai satu fakta sejarah, Tun Seri Lanang menegaskan bahawa Ganggayu ialah negeri Siam asli dan kotanya masih wujud semasa beliau menyiapkan buku tersebut. Buku undang-undang Siam Kot Monthienraban (TM 1360) menyebut bahawa kerajaan taklukan Siam, dikenali sebagai kerajaan Wurawari terletak di Johor Tua Ganggayu/Khlangkeo. Para pengkaji sejarah hanya berbeza pendapat tentang nama kerajaan tersebut tetapi tidak menafikan tentang kewujudan kerajaan Siam asli di Johor. Ini membuktikan bahawa orang Siam telah lama berada di Semenanjung Tanah Melayu, menjalani kehidupan berkerajaan secara aman dan berperang dengan pihak lain, terutama Melaka. Kehidupan mereka juga bercampur baur dengan kerajaan Melayu lain seperti Pattani, Kelantan, Kedah dan lain-lain sama ada di bawah pengaruh Ayudhya atau tidak

- Zaman Bangkok

Ayudhya, kota besar dengan penduduknya hampir sejuta orang telah dibakar oleh tentera Burma (TM 1767) tidak mampu dibangunkan semula oleh Phya Taksin ataupun Cakri (Thomgduang). Dari Chanthaburi, kemudiannya Thonburi, saki baki tentera Ayudhya melancarkan perang gerila hingga menyebabkan tentera Burma berundur 10 tahun kemudian. Kejatuhan Ayudhya meningglkan kesan amat parah kepada Siam. Kemusnahannya dasyat dan Siam kehilangan kuasa pusat. Kerajaan naungan dan jajahan mula berdiri bebas. Usaha penyatuan semula oleh Phya Taksin menyebabkan ramai yang terkorban. Kebijaksanaan dan kecekapan menyusun strategi ketenteraan dalam peperangan telah menyatukan semula Siam dan wilayah Ayudhya.

Siam Di Tanah Melayu

Kerajaan Siam zaman Rattanakosin (Bangkok) memperlihatkan pengaruh lebih jelas ke atas negeri-negeri Melayu di Selatan seperti Pattani, Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu. Penghantaran bunga emas, setiap dua atau tiga tahun sekali ke Bangkok sebagai tanda persahabatan dan kesetiaan. Selain itu, perlantikan seseorang raja di negeri tersebut (kecuali Terengganu) harus disahkan oleh "Maharaja Benua Siam". Surat pengesahan dengan gelaran tertentu diberikan oleh Bangkok. Contohnya, setiap Raja/Sultan Kedah akan bergelar Phya Rithisongkramramphakdi Sri Sultan Kedah Ratnarathmunintrasurinthra Wiwongsa, Phya Saiburi dan Raja Perlis pula Phya Visedsongkram Ramwicidwillismara Phya Palis. Sultan Kelantan sebagai Phya Phipidphakdi Willismara Phya Kalantan. Terdapat beberapa pegawai Siam ditempatkan di beberapa negeri tersebut dan bagi rakyat jelata Siam, negeri-negeri melayu ini adalah negeri mereka juga. Mereka datang dalam kumpulan petani mencari kawasan subur untuk menetap dan meneroka kawasan pertanian. Sebagai rakyat biasa mereka tidak tertarik dengan urusan politik atau "kerja raja-raja" walaupun kita pernah juga mendengar beberapa penglibatan penduduk Siam ini dalam perang saudara di Kelantan. Serangan tentera Phya Taksin ke atas nakon Si Thammarat dua tahun selepas Phya nakon (nu) mengishtiharkan kerajaan merdeka (TM 1770) memungkinkan rakyat jelata Siam melarikan diri ke negeri Selatan dan terus menetap di sana. Hidup di bawah perlindungan raja-raja Melayu. Ada yang mendapat sedikit sebanyak kedudukan atau kurniaan. Umpama Tok Merah Chu Ding dijadikan Ketua Siam di Besut oleh Tengku Muda, Raja Besut (Terengganu) dengan gelaran Tok Helang Merah. Kerajaan Siam zaman Bangkok menyaksikan tekanan perluasan kolonialisme Barat dari segenap penjuru sempadannya. Siam mula kehilangan wilayahnya seperti Sipsong Panna, Sipsong Cuthai,

Siamreap, Batthabong kepada Perancis. Kok Song di Tenaserim, kepada Inggeris dan pada TM 1909 melalui Perjanjian Bangkok, Siam menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Inggeris. Namun rakyat jelata Siam terus menetap di negeri naungan British ini walaupun ada cerita lisan mengatakan hampir semua keluarga Siam di Bukit Tempurong, Besut pulang ke wilayah Narathiwat, antara TM 1912-1915.

- Faktor-Faktor Kedatangan Orang Siam Ke Kedah Faktor Kedatangan

Kedatangan orang Siam ke Tanah Melayu amnya dan ke Kedah khasnya tidaklah seperti kedatangan kaum-kaum imigran yang lain seperti India ataupun Cina. Kaum India dan Cina telah di bawa masuk secara sistematik oleh pemerintah Inggeris pada akhir abad ke 19. Manakala kedatangan masyarakat Siam ke Kedah bukanlah kedatangan yang dirancang untuk memenuhi keperluan kuasa kolonial pada masa itu. Kedatangan golongan ini lebih merupakan lanjutan dari peristiwa yang telah wujud sebelumnya seperti peperangan ataupun krisis ekonomi yang teruk yang memaksa mereka melakukan penghijrahan. Pada tahun 1813, ramai rakyat Patani telah melarikan diri ke Perak, Kelantan, Kedah dan Perlis akibat serangan yang dilakukan oleh Rama II (1809-1824) kerana keengganan pemerintah Patani, Datuk Kun Pengkalan tunduk dan mengakui kedaulatan Siam ke atas Patani. Setelah Patani dikalahkan oleh Siam pada tahun 1813, ia telah menjadi sebuah wilayah di bawah naungan Siam dan pemerintah Patani terpaksa menghantar Bunga Mas ke Bangkok. Patani bukan saja diletakkan dibawah naungan Siam malah wilayag itu terus ditindas. Penindasan ini telah membawa akibat yang buruk kepada orang Thai Islam. Pada tahun 1813, orang Siam dari daerah Songkla (Singora) dan Nakhorn Srithammarat telah masuk ke Kedah secara beramai-ramai. Kedatangan mereka ke sini disebabkan terdapatnya satu krisis ekonomi yang serius. Untuk mendapatkan taraf hidup yang lebih baik menyebabkan mereka berhijrah ke Kedah. Kemasukan orang Siam ke Kedah secara beramai-ramai pada abad ke 19 adalah berdasarkan polisi yang dijalankan oleh Rama III (1824-1851). Pada masa pemerintahannya, Rama III telah menjalankan polisi meluaskan tanah jajahannya ke bahagian selatan negaranya iaitu di bahagian-bahagian Utara Tanah Melayu. Pada ketika itu Kelantan, Terengganu dan Patani telahpun ditakluki olehnya, yang tinggal hanyalah Kedah belum ditakluki. Dengan dasarnya ini Rama III telah menyebabkan pertambahan orang Siam di Kedah. Bilangan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Tidak kurang juga penduduk Siam yang masuk ke Kedah akibat dari aktiviti-aktiviti jenayah yang dilakukan di negara asal mereka (Thailand). Oleh itu, mereka melarikan diri ke Kedah kerana takutkan tindakan dari pemerintah Thailand. Keadaan ini berlaku kerana pada masa itu undangundang keluar masuk orang asing ke Kedah masih belum dikuatkuasakan lagi. Dengan itu kemasukkan orang asing dipandang ringan sahaja oleh pihak pemerintah sehinggalah tahun 1932. Namun begitu sehingga tahun 1940an masih lagi terdapat kemasukan secara haram oleh orang

Siam ke Kedah. Pada bulan April 1948 pasukan polis dan tentera Bangkok telah menyerbu sekumpulan penduduk Patani yang sedang membuat ibadat di daerah Dusun Nyior Benghara. Dalam serbuan itu seramai 266 orang telah mati dan beribu-ribu yang lainnya telah lari masuk ke Tanah Melayu. Di samping krisis ekonomi, tindakan pemerintah Siam terhadap penduduk di bahagian Selatan Thai dan juga peperangan yang berlaku antara Siam dan Kedah terdapat satu golongan orang Thai yang dikenali sebagai Sam-Sam Siam sengaja dibawa masuk ke Kedah semasa berlakunya peperangan. Golongan Sam-Sam ini dipercayai berasal dari tawanan-tawanan perang Siam yang terdiri orang-orang Melayu yang ditangkap semasa Perang Kedah Siam pada abad ke 14. Mereka ini di bawa balik ke Siam dan kemudian keturunan mereka inilah di bawa balik ke Kedah semula pada abad ke 19, iaitu semasa Kedah berperang dengan Siam. Mereka dikatakan sebagai golongan Sam-Sam kerana mempunyai darah campuran Thai dan Melayu atau Cina. Pada masa sekarang golongan ini terdapat di Kubang Pasu, Padang Terap, Baling dan Kroh.

Hubungan Kedah-Siam

Peperangan yang tidak henti-henti antara Burma dengan Siam, yang bermula pada tahun 1785 di bahagian utara Kedah disempadani oleh Trang dan dianggap oleh Siam sebahagian daripada wilayah Siam. Sultan Abdullah (1760-1797) melakukan apa jua yang boleh untuk menghindarkan negeri baginda daripada konflik tersebut dan menyelamatkannya daripada kebinasaan perang tetapi baginda tidak berupaya berbuat demikian. Kedua-dua belah pihak meletakkan tekanan kepada baginda mengakui pertuanan masing-masing. Peperangan berlansung lebih daripada seratus tahun, dan dalam tempoh itu Phuket (Junk Ceylon) diserang oleh Burma tidak kurang daripada tiga kali. Serangan pertama ialah pada tahun 1785, apabila Burma berhasrat untuk merampas Kedah dan Segenting Kra daripada tangan Siam. Mujur bagi Tanah Besar Kedah kerana serangan Burma itu dapat ditangkis. Di bawah kepimpinan tegas oleh seorang wanita Kedah iaitu isteri Gabenor yang baru meninggal dunia, penduduk Phuket memberi tentangan yang hebat. Pada Januari 1786, Burma terpaksa meninggalkannya kerana bekalan mereka kehabisan. Pada tahun yang sama, Raja Burma, Bodawpaya (1781-1819) mengancam untuk menyerang Siam sekali lagi dan lantaran daripada itu, Raja Rama I (1782-1809) menghantar perintah kepada Sultan Abdullah supaya membantunya mempertahankan Phuket. Tiada sebarang serangan dari Burma sehinggalah pada tahun 1802, tetapi Burma masih gagal untuk menduduki Phuket. Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843) telah diminta untuk menyediakan tenaga tentera, bot dan bahan makanan oleh Siam bagi menghadapi serangan Burma di masa hadapan. Pada tahun 1810, kerajaan Burma berjaya menyerang dan menduduki Phuket. Setahun kemudian tentera dari Kedah menyerangnya semula. Serangan ketiga ke atas Phuket daripada Burma berlaku pada tahun 1818. Pada kali ini Siam telah bersiap sedia dengan 10,000 orang tenteranya dan dibantu pula oleh 2500 orang tentera dari

Kedah berjaya mematahkan serangan tersebut. Sultan Ahmad Tajuddin telah dinaikkan taraf "Chau Phya" (salah satu darjah kemuliaan Siam yang tertinggi) sebagai penghargaan di atas bantuan yang beliau berikan. Malangnya dalam pergelutan kuasa yang terjadi berikutnya, Sultan Ahmad Tajuddin yang bimbang dengan tuntutan Siam yang tidah habis-habis, ditambah dengan pertelingkahan keluarga dan sikap baginda yang bergantung pada janji Inggeris untuk memberi sokongan kepada baginda telah menyebabkan Siam menyerang Kedah pada tahun 1821. Kedah juga telah dibahagikan kepada empat bahagian - Setul, Perlis, Kubang Pasu dan Kedah. Setiap satu daripada bahagian ini diletakkan pemerintah yang berasingan.

- Perayaan Pesta Songkran

Perkataan "Songkran" adalah dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud peralihan atau hijrah dalam bahasa Arab. Hari Songkran merupakan hari peralihan tahun atau tahun baru mengikut kalendar lama Siam. Kebiasaan hari Songkran disambut pada 13 April bersamaan "khen 1 kham dean 5" (mengikut kalendar lama Siam) setiap tahun. Pesta sambutan hari Songkran ini di rai begitu meriah sekali oleh masyarakat Siam di seluruh dunia. Di Malaysia, pesta ini disambut di kawasan penempatan masyarakat Siam iaitu di bahagian Utara Semenanjung Malaysia seperti di negeri Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. Pesta Songkran pernah diiktiraf oleh kerajaan negeri sebagai salah satu kebudayaan Malaysia dan boleh dijadikan daya tarikan pelancong ke Malaysia. Pesta ini juga pernah dicatat dalam kalendar pelancongan di negeri Perlis, Perak dan Pulau Pinang sempena tahun melawat negeri masingmasing. Pesta Songkran memang dinanti-nantikan oleh masyarakat Siam dan menjadi kemestian kepada mereka untuk menyambutnya. Secara tradisi, pesta Songkran di sambut dengan golongan muda termasuk kanak-kanak memohon maaf serta meminta restu terutama daripada ibu bapa, guru dan sami. Sebagai lambang kemaafan, golongan tua akan dimandikan dengan menyiram air bersih dan wangiwangian di atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Bagaimanapun golongan muda perlu meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. Sewaktu dimandikan golongan tua akan mendoakan kebahagian terhadap generasi muda atau anak cucu mereka. Selepas itu golongan tua akan dikenakan pakaian baru dan bersih. Walau bagaimanapun tradisi ini sudah tidak diamalkan lagi hanya memadai meminta maaf serta menyiram air ke tapak tangan dan kaki orang tua terutamanya sami. Penggunaan air dan wangiwangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai "Pesta Air". Lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari ini untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok.

Bagi memeriahkan lagi pesta Songkran, pelbagai acara di susun termasuk pertandingan Ratu Songkran, pertandingan bola sepak, pertandingan seni budaya, gerai jualan serta pertunjukan kebudayaan dengan kemuncak acara ialah perarakan Ratu Songkran. Ratu Songkran terdiri daripada 12 anak gadis bersamaan 12 nama bintang yang dijadikan nama tahun megikut kalendar lama Siam. Sesiapa yang memenangi pertandingan tersebut akan digelar "Ratu Songkran" dan di arak mengelilingi kampung oleh orang ramai dengan kereta berhias.

- Agama Buddha & Kepercayaan Masyarakat Siam Agama Buddha

Di Kedah agama Buddha terbahagi kepada dua mazhab iaitu Theravada dan Mahayana. Kedua-dua mazhab tersebut mengamalkan 5 rukun asas agama Buddha iaitu: 1. 2. 3. 4. 5. Dilarang membunuh benda hidup Dilarang berbohong Dilarang mencuri Dilarang berzina Dilarang minum arak atau mengambil dadah

Orang Siam yang beragama Buddha mempercayai adanya hidup dan penjelmaan semula sesudah kematian. Orang yang mati di rumah akan di simpan selama tiga hingga tujuh hari. Dalam kes kematian di luar rumah pula, mayat akan dibawa terus ke kuil dan di bakar dalam masa seminggu. Sesetangah orang Siam membakar mayat dalam binaan mereka yang direka indah. Upacara pembakaran mayat hanya dilakukan oleh golongan yang berada. Selain itu, masyarakat Siam terkenal dengan tukang-tukang tiliknya. Mereka menggunakan satu set 32 kad. Sekeping kad diberikan kepada pelanggannya dan yang lain diletakkan di sekeliling kad itu dan menafsir susunannya. Cara tilik lain ialah membaca tapak tangan. Sekiranya tarikh lahir seseorang (terutamanya masa kelahiran) diketahui dan garis tapak tangan dibaca, masa depan seseorang dapat diramalkan. Garis-garis utama di tapak tangan dipercayai mewakili otak, jantung, hidup, nasib, kejayaan dan sebagainya. Coraknya pula mencerminkan hidup masa kini dan masa hadapan.

- Aktiviti Masa Lapang Aktiviti

Tomoi ialah sejenis sukan tinju dan merupakan seni mempertahankan diri yang popular di kalangan masyarakat Siam di negeri Kedah. Ianya berbeza dengan tinju biasa kerana kaki juga digunakan untuk menendang. Tomoi berasal dari zaman Ayutthya dan merupakan teknik mempertahankan diri. Selain itu, menyabung ayam adalah kegiatan masa lapang yang popular di kalangan masyarakat Siam di negeri Kedah. Ayam sabungan akan diasingkan dari ayam-ayam lain. Ketika berusia lapan bulan, ayam itu akan dilepaskan bersama ayam-ayam jantan yang sudah matang dan dilatih bertarung. Pertarungan lazimnya diadakan di gelanggang bulat yang kecil. Mata ayam ini ditutup dan taji dipasang apabila pertarungan dimulakan. Di negeri Kedah aktiviti menyabung ayam telah diharamkan kerana ia membabitkan kegiatan perjudian.

- KesimpulanDengan berlakunya serangan yang pertama oleh Siam ke atas Kedah pada akhir abad ke 13, maka bermulalah sejarah kedatangan orang Siam ke negeri ini. Sebenarnya di Kedah terdapat dua golongan masyarakat Siam. Golongan yang pertama terdiri daripada masyarakat Siam Buddha dan yang keduanya masyarakat Siam Islam. Kedatangan orang Siam ke Kedah di akhir abad ke 13 diikuti dengan kedatangan beramai-ramai pada abad ke 18 dan 19. Kedatangan mereka ke Kedah adalah disebabkan oleh faktor penolak dan faktor penarik. Antaranya ialah krisis ekonomi yang berlaku di daerah-daerah selatan Thailand dan penaklukan Siam ke atas Kedah dan Patani. Di Kedah masyarakat Siam tertumpu di daerahdaerah yang berhampiran dengan kawasan-kawasan yang berhampiran sempadan KedahThailand. Oleh itu mereka terdiri daripada penduduk-penduduk luar bandar. Penempatan mereka yang sedemikian rupa telah mempengaruhi corak kegiatan ekonomi yang mereka jalankan di Kedah. Hampir 90% orang Siam Kedah terlibat di dalam sektor pertanian. Di dalam sektor pertanian, aktiviti yang paling utama dikerjakan oleh orang Siam ialah menanam padi dan menoreh getah. Daerah-daerah yang didiami oleh masyarakat Siam merupakan kawasan penanaman padi. Oleh itu orang Siam yang sememangnya penanam padi di Thailand tidak menghadapi masalah untuk terus bertani apabila menetap di Kedah. Masyarakat Siam di Kedah telah berassimilasi dengan masyarakat tempatan terutamanya dengan masyarakat Melayu dan Cina. Assimilasi berlaku akibat kerana tiada sistem kelas di dalam masyarakat Siam Kedah yang membezakan kedudukan seseorang individu dengan individu yang lain. Dengan itu taraf kedudukan orang Siam adalah setaraf dengan kedudukan penduduk Melayu di luar bandar. Pergaulan yang bebas dan luas di antara orang Siam dengan masyarakat Melayu serta tiada perbezaan fahaman agama dengan di antara masyarakat Siam dengan masyarakat Cina merupakan faktor yang menggalakkan assimilasi.

Masyarakat Siam masih lagi berpegang kuat kepada fahaman animisme terutama percayakan hantu-hantu yang menggangu kehidupan mereka. Oleh itu bomoh memainkan peranan penting di dalam kehidupan mereka. Unsur-unsur animisme itu diamalkan bersama-sama dengan amalan agama Buddha yang kuat dipegang oleh orang Siam. Contohnya lelaki Siam dimestikan menjadi sami dan tempoh untuk menjadi sami terpulang kepada seseorang individu. Semasa menjadi sami inilah ajaran-ajaran Buddha betul-betul diamalkan. Kepentingan orang Siam biasanya dipegang oleh Naiban (Ketua Kampung) dan Pegawai Luar Siam, yang berperanan sebagai orang tengah kepada masyarakat Siam. Naiban (Ketua Kampung) bertanggungjawab mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam kepada pihak yang bertangguangjawab. Tetapi pada 1960an terdapat sebuah persatuan yang bertujuan menjaga kepentingan orang Siam di Kedah dan Perlis ditubuhkan. Pada masa yang sama beberapa buah cawangan UMNO ditubuhkan oleh orang Siam Kedah dengan tujuan mengetahui dan memahami selok belok politik Malaysia disamping mendukung tujuan-tujuan yang terdapat di dalam pertubuhan UMNO sendiri. Kerajaan telah melantik Dato Charern Intachat sebagai Ahli Dewan Negara, wakil orang Siam yang pertama pada 1996. Kini pada 30hb Februari 2002 Pn. Chun a/p Eam senator kedua menggantikan Dato Charern.

- Lampiran

Gambar

Sultan Ahmad Tajuddin Shah 1804 1843

King Buddha Loet La Lanabhalai (Rama II) 1809-1824

King Nang Klao (Rama III) 1824 1851

Angkatan laut Siam yang menyerang Kedah dari arah laut

Tentera bergajah Siam yang menyerang Kedah dari arah darat

Bunga Mas dihantar oleh kerajaan Kedah setiap tiga tahun sekali kepada kerajaan Siam sebagai ufti

Kota Kuala Kedah telah dibina pada tahun 1606 1619, merupakan kota yang diserang oleh tentera siam dari arah laut

Meriam Katak Puru digunakan untuk menghalang ancaman tentera Siam dari arah laut.

Meriam Luntung yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam peperangan nenentang Siam (1821 1824)

Sebuah rumah kampung penduduk Siam di Kalai

Menyemat atap merupakan aktiviti masa lapang penduduk perkampungan Siam di Kalai

Dewan Dhamma yang digunakan untuk upacara keagamaan

Sami membaca doa semasa upacara Dhana

Para penganut agama Buddha sedang melakukan upacara Dhana

Tugu peringatan bagi memperingati ketua sami Kedah Perlis yang banyak berjasa kepada agama

Abu mayat penganut agama Buddha disimpan di bahagian bawah patung Buddha

Watt Kampung Kalai, terletaknya sebuah patung Buddha tertinggi di Kedah

Upacara pembakaran mayat golongan atasan penganut agama Buddha

Sabung ayam merupakan salah satu aktiviti masa lapang masyarakat Siam

Menilik nasib dengan membaca tanda atau garis di tapak tangan

Masyarakat Siam menyambut pesta Songkran pada bulan April setiap tahun Tomoi merupakan seni mempertahankan diri masyarakat Siam