teori dan kritikan: penilaian dan wacana dinamika …

34
1 TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA DALAM SASTERA MELAYU Mana Sikana Pendahuluan Usia teori sastera tempatan sudah mencecah 30 tahun, jika dianalogikan kepada manusia ia sudah dewasa dan hampir sempurna perwatakannya. Bermula dengan gagasan keperluan teori tempatan 1970-an, mula dicipta teori dekad 1980-an, kemudian ia menjadi kukuh dan teguh pada dekad-dekad seterusnya. Malah dalam suatu ketika sastera Melayu dibanjiri dengan gagasan, pendekatan dan teori sastera sendiri. Dan, subjek wacana teori sastera, adalah persoalan yang paling banyak dibincangkan dalam korpus sastera Melayu kontemporari. Wacana penteorian itu, seolah-olah ada tarikan dan keajaibannya, justeru setiap orang yang bergelar sarjana sastera, mempunyai keinginan untuk mencipta dan memperkenalkan teori sastera masing-masing, seolah-olah ia menjadi mercu tanda kesarjanaannya. Dalam kertas kerja ini, penulis cuba melakukan penilaian terhadap teori sastera tempatan itu, dan mewacanakannya dengan beberapa pandangan dan fikrah ke arah perkembangannya. Membicarakan konsep sastera, kedudukannya dengan kepengarangan, kritikan sastera dan hubungannya dengan penulisan akademik. Dibicarakan juga cara-cara untuk mencipta teori, semoga dapat dijadikan panduan kecil ke arah melahirkan teori sastera yang baru. Hakikat Teori Teori sastera membincangkan tentang definsi, konsep dan prinsip sastera. Deskripsinya secara teoretis membicarakan tentang skop, corak dan falsafah sastera yang dibinanya. Teori sastera juga, memformulakan hubungan pengarang dengan karya.

Upload: others

Post on 16-Oct-2021

21 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

1  

TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA DALAM SASTERA MELAYU

Mana Sikana

Pendahuluan

Usia teori sastera tempatan sudah mencecah 30 tahun, jika dianalogikan kepada manusia ia

sudah dewasa dan hampir sempurna perwatakannya. Bermula dengan gagasan keperluan teori

tempatan 1970-an, mula dicipta teori dekad 1980-an, kemudian ia menjadi kukuh dan teguh

pada dekad-dekad seterusnya. Malah dalam suatu ketika sastera Melayu dibanjiri dengan

gagasan, pendekatan dan teori sastera sendiri. Dan, subjek wacana teori sastera, adalah

persoalan yang paling banyak dibincangkan dalam korpus sastera Melayu kontemporari.

Wacana penteorian itu, seolah-olah ada tarikan dan keajaibannya, justeru setiap orang yang

bergelar sarjana sastera, mempunyai keinginan untuk mencipta dan memperkenalkan teori

sastera masing-masing, seolah-olah ia menjadi mercu tanda kesarjanaannya.

Dalam kertas kerja ini, penulis cuba melakukan penilaian terhadap teori sastera

tempatan itu, dan mewacanakannya dengan beberapa pandangan dan fikrah ke arah

perkembangannya. Membicarakan konsep sastera, kedudukannya dengan kepengarangan,

kritikan sastera dan hubungannya dengan penulisan akademik. Dibicarakan juga cara-cara

untuk mencipta teori, semoga dapat dijadikan panduan kecil ke arah melahirkan teori sastera

yang baru.

Hakikat Teori

Teori sastera membincangkan tentang definsi, konsep dan prinsip sastera. Deskripsinya

secara teoretis membicarakan tentang skop, corak dan falsafah sastera yang dibinanya. Teori

sastera juga, memformulakan hubungan pengarang dengan karya.

Page 2: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

2  

Menjadi tugasnya, meneliti peranan konteks sejarah, sosial, pendidikan dan ekonomi

untuk mendekati sesebuah teks. Lazimnya, setiap teori menyediakan dimensi baru dalam

memahami sastera. Teori sastera juga menyediakan ruang untuk kajian signifikasi bangsa,

kelas dan gender dalam aspek kedudukan pengarang.

Ia juga sebagai alat untuk memahami perjalanan sastera, dan menguasai

perkembangan aliran dan sejarahnya. Malah, perjalanan budaya dan kepengarangan di

bawah susunan kriteria teori. Karya pun berada di bawah penakkulan teori. Sesukar mana pun

karya tidak ada teori yang tidak boleh memahaminya. Dengan itu, teori menjadi alat

pemahaman terhadap pencapaian artistik teks. Jiwa karya di tangan teori, Segala hakikat

kesenian dan estetiknya diterokai. Teori sastera sesungguhnya ialah wacana pemikiran

tentang ilmu dan metode untuk membaca sastera, bagi mengenal fitrah pengarang dan batin

sesebuah tradisi sastera.

Dalam usia 30 tahun, elok dipertanyakan, apakah teori sastera tempatan selama ini

dapat memenuhi tuntutan kehadirannya? Apakah sumbangan teori tempatan terhadap

perkembangan sastera Melayu? Sejauh mana signifikasi teori dalam menggerakkan dan

mendinamiskan kepengarangan. Atau masih relevankah teori itu dengan suasana persasteraan

sekarang?

Salah satu sebab utama diperlukan teori tempatan, ialah kerana selama ini teori

diimport daripada Barat, ia tidak sesuai dengan iklim sastera tanah air. Sistem nilai dan

kriteria teori Barat hanya selari dengan dunia Barat. Timur mempunyai tradisi, budaya dan

pandangan hidupnya yang berbeza, yang harus dianalisis mengikut ukuran dan ideologi

tempatan. Bagaimana pun teori Barat yang sudah disaring, dipersesuaikan dan selari dengan

budaya sastera tempatan masih boleh diaplikasikan. Ada sejumlah teori Barat yang masih

relevan. Dan menurut hukum agama pun, kedudukan sedemikian adalah mubah, selagi ia

tidak bertentangan dengan akidah Islami.

Page 3: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

3  

Daripada segi kuantiti, tidak kurang 15 buah teori tempatan atau yang masih

berbentuk gagasan telah diciptakan. Ini adalah sebuah bilangan yang besar untuk sebuah

tradisi sastera Melayu yang kecil ini. Daripada bilangan itu terdapat tujuh buah teori yang

telah diterima, matang dan hampir sempurna penciptaannya. Teori tersebut ialah taabudiyyah,

puitika sastera Melayu, pengkaedahan Melayu, teksdealisme, takmilah, konseptual kata-kunci

pemikiran SPB4K dan estetika bersepadu.

Sistem hidup, nilai budaya, citra masyarakat dan neraca sastera secara arbitrari, dapat

dibuktikan wujud dalam konsep dan prinsip teori sastera tempatan itu. Muhammad Haji

Salleh merujuk sastera tradisional Melayu, dengan tujuan menghijrahkan mutiara dan

permatanya untuk dimanfaatkan oleh sastera Melayu moden. Hashim Awang dalam

menyusun pengkaedahan Melayu, dengan tegas menjelaskan bahawa teori itu dibina atas

dasar budaya Melayu, dan bertunjangkan pemikiran sejarah tempatan. Taabudiyyah disusun

berdasarkan pegangan hidup masyarakat dan amalan ahli Sunnah wa al-Jamaah yang

diwarisi daripada Nabi Junjungan dalam konteks akidah, syariah, akhlak dan mujtamak

Islami. Ia selari dan sejajar dengan kepercayaan dan tasyrik Islami yang dianuti oleh umat

Islam tempatan. Teori estetika bersepadu, mengangkap definisi dan konsep penteoriannya

dengan mengambil iktibar daripada kejadian manusia seperti yang difirmankan Allah di

dalam al-Quran. Estetikanya adalah wujud dalam diri manusia itu sendiri.

Teori teksdealisme pula menukil daripada sastera klasik Melayu Hikayat Hang Tuah,

yang dikombinasikan dengan prinsip-prinsip cemerlang yang telah disaring daripada pelbagai

teori Barat. Kaedah yang sama dilakukan oleh teori konseptual kata kunci yang dikiaskan

kepada kekuatan teksp-teks tempatan. Sedikit sebanyak peranan untuk menggantikan teori

Barat itu, telah dapat dicapai oleh teori sastera tempatan itu.

Bagaimana pun bidang penciptaan teori sastera tempatan ini, masih dalam relatif baru.

Dan ia adalah suatu sifat istimewa berbanding dengan negara Nusantara yang lain, yang

Page 4: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

4  

walaupun tradisinya lebih tua daripada kita, Indonesia misalnya, tetapi masih gagal mencipta

teori sasteranya sendiri. Dalam perbincangan penteorian ini, ada yang menyatakan, bahawa

penciptaan itu sebagai tanda satu mercu pencapaian dalam tamadun atau peradaban sastera

Melayu. Sesungguhnya penciptaan teori dekat hubungannya dengan falsafah dan budaya

sesuatu bangsa itu.

Kemunculan teori tempatan, sebenarnya di tengah-tengah kepesatan dan kekuasaan

teori Barat. Dalam konteks wacana ini, untuk gambaran umum, perlu kita ketahui latar dan

perkembangan teori Barat, kerana di situlah induk teori sastera.

Sejarah teori sastera dunia bermula dengan munculnya teori moral, ciptaan Plato;

diikuti oleh teori dramatik kontruksi oleh Aristotle pada 360BC. Berlaku kelompangan,

sehingga munculnya strukturalisme pada 1920. Pada 1930-an Barat banyak melahirkan teori

seperti formalisme, kritikan baru, sosiologi dan sejarah, diikuti dengan teori stilistik,

marxisme, psikoanalisis dan arketaipal. Tahun 1960-an munculnya teori semiotik,

pascastrukturalisme, dekonstruksi, pascamodenisme, dialogisme, intertekstualiti, feminisme

dan teori resepsi, 1970 pula diciptakan teori hermeneutiks dan fenomenologi, 1980 muncul

teori new historisisme dan teori budaya. Pada 1990 lahir teori pascakolonialisme, perjalanan

dan autobiografi. Tahun 2013 muncul teori genre sastera.

Pertumbuhan teori sastera itu dibahagi kepada tiga zaman, iaitu klasik, moden dan

pascamoden. Klasik bagi teori Plato dan Arostotle, zaman moden untuk teori 1920 hingga

1930-an. Selepas itu, iaitu pada 1960-an bermulalah zaman teori pascamoden.

Teori sastera tempatan baru bermula 1986, iaitu sastera Barat sudah berada pada

zaman teori pascamoden. Bagaimana pun kebanyakan teori tempatan, lebih cenderung

menghasilkan teori moden berbanding pascamoden. Jiwa teori moden cenderung pada

membezakan antara analisis dalaman dan luaran; justeru itu istilah intrinsik dan ekstrinsik

menjadi pakaian rasmi teori waktu itu. Instrinsik bererti teks berdiri sendiri dengan nyawa

Page 5: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

5  

dan maknanya sendiri. Teori Aristole dramatik konstruksi, yang kemudian dikenal dengan

nama Poetics itu, yang sangat mementingkan aspek estetik disebut sebagai teori intrinsik

atau struktural. Kemudiannya ia melahirkan zuriat: teori strukturalisme, fomalisme, new

critic, analitikal, stilistik dan formalistik.

Teori tempatan lebih cenderung bersaudara dengan teori struktural itu, seperti putika

sastera Melayu, pengkaedahan Melayu dan takmilah yang sistem karya dalam dirinya sendiri.

Dunianya bagaikan tetutup, segala-galanya dalam dirinya, maknanya juga tersembunyi

dalam sanubarinya. Prinsip-prinsip teori disusun berdasarkan kaedah intrinsik. Falsafah

utama yang menjadi kunci penteoriannya, ialah menganalisis aspek keindahan. Keindahan

dalam puitika sastera Melayu ialah bersifat didaktik, mencitra kehidupan. Takmilah

keindahannya selari dengan al-jamal sifat Allah yang sempurna lagi menyempurnakan.

Sebaliknya, teori konseptual kata kunci dan pemikiran SPB4K bertujahkan ekstrinsik

sebagai jajaran teori sosiologi, moral dan sejarah. Konsep dan prinsipnya ialah memegang

kepada bahawa sastera adalah produk sosial dan mencitrakan konteks budaya dan moraliti

zaman. Sastera diciptakan dalam rangkaian refleksi luaran, ia sebagai cermin masyarakat dan

citra pergolakan budaya.

Dikotomi teori antara intrinsik dan ekstrinsik atau dalaman dan luaran ini, adalah

warisan sastera dunia yang diketuai oleh Plato dan Aristotle. Kedua-duanya senantiasa

bertembung, mencari kekuatan dan berbentuk hegemonial antara satu sama lain. Dalam

sejarah yang sama, sastera Melayu mengalami pertembungan ini, sejak polemik “sastera

untuk masyarakat” dan “sastera untuk seni”.

Kelahiran teori sastera pascamoden, menjadi tugas utamanya ialah menyingkirkan

dikotomi itu, dan menganggap kedua-dua sudut pandangan inrtinsik dan ekstrinsik itu,

sama penting dan perlu dihormati; lalu ia berikhtiar mengkombinasikannya. Sebagai contoh,

analisis teori intertekstualiti membahaskan teks berdasarkan analisis dalaman, tetapi

Page 6: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

6  

menghubungkannya dengan bahan-bahan luaran yang menghuni teks tersebut. Terdapat

teknik gabungan antara prinsip struktural dengan sosiologi.

Teori semiotik mencari tanda daripada dalaman teks, tetapi mencari petanda dan

penandanya daripada sudut luaran. Seandainya seseorang itu terbatas ilmunya dalam ilmu

tekstual dan kontekstual, sukar baginya untuk menguasai intertekstualiti dan semiotik.

Begitulah juga teori-teori pascamoden yang lain, seperti dekonstruksi, feminisme, new

historisisme, teori budaya dan pascakolonialisme, kerana semua teori itu meminjam kaedah

analisis kedua-dua teori itu.

Membentuk Kepengarangan

Teori sastera secara genesisnya, adalah bertujuan sebagai memberi bimbingan kepada para

pengarang untuk menghasilkan karya sastera. Mengikut nalurinya, teori sastera akan

mengandungi kaedah dan cara-cara menghasilkan teks. Justeru itu, setiap teori sastera itu

berdiri di atas aspek definisi dan konsep sastera, yang dibina untuk memenuhi tuntutan

kepengarangan itu.

Teori konseptual kata kuci mentakrifkan sastera sebagai terdiri daripada konsep-

konsep, dan ia menyediakan cara bagaimana pengarang menguasai segala konsep untuk

tujuan membina sesebuah karya. Proses konseptualisasi itu, berlaku sepanjang neurosis

kepengarangannya. Proses ini, sama seperti dalam teori semiotik, proses mengarang melalui

penanda ikon, indeks dan simbol, yang terus menerus menggoda jiwa pengarang. 

 Pengarang, mengikut teori Mohd Mokhtar Hassan ini, harus mempertajam sensitiviti

dan kepekaan terhadap gejala hidup dalam segala sudut sosial, semuanya itu nanti ia akan

membina konsep-konsep. Setiap pengarang mempunyai konsepsi yang tersendiri terhadap

sesuatu idea, perkara, hal, objek dan sebagainya. Konsepsinya itu boleh jadi sama dengan

individu yang lain, dan boleh jadi juga berbeza. Perbezaan atau persamaan itu bergantung

Page 7: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

7  

kepada latar belakang, pendidikan, lingkungan masyarakat, kepercayaan, adat budaya,

ideologi, pertubuhan yang diperjuangkan dan sebagainya. Semuanya akan mempengaruhi

pengarang dalam menulis karya. Pengarang yang berjaya, adalah yang bijak membina

konsep, menurunkannya dengan cermat dan hidup di dalam karya yang dihasilkannya.

Teori pengakedahan Melayu, berteraskan kepada budaya, cara dan sikap hidup,

pandangan dunia, perspektif alam semesta dan agama Islam orang-orang Melayu, yang

memiliki ciptaan-ciptaan karya sastera mereka yang tinggi lagi unik. Dalam pendekatan

firasat, salah satu cabang teori pengkaedahan Melayu, ia ditunjangi di atas tanggapan,

bahawa sastera adalah suatu kejadian alam yang menghasilkan pengalaman hidup; seperti

mimpi yang berkaitan dengan kejiwaan. Hashim Awang berpendapat, karya yang baik ialah

yang dapat menguasai budaya dan siratan rahsia hidup seperti dalam takbir mimpi. Mimpi

mempunyai makna. Makna ditakbirkan menerusi tafsiran lambang dan isyarat tertentu.

Hashim Awang beranggapan, bahawa sastera menyerupai mimpi. Untuk sampai

kepada makna, ia perlu mengalami proses pemaknaan, dan makna itu ada yang tersurat dan

tersirat. Peringkat awal, makna yang tersurat terlebih dahulu ditanggapi, kemudian beralih

kepada makna yang tersirat. Ilmu firasat Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa

dalam sejarahnya. Ilmu firasat sebenarnya adalah sebahagian daripada mistik, dan merupakan

simbol kekuatan kejiwaan dan mental sesuatu bangsa itu. Sesuatu yang akan terjadi atau

tersembunyi itu akan dicuba diberi jawapannya.

Dunia firasat sebenarnya dunia ghaib. Dan bukan sebarang orang memilikinya. Kita

pernah membaca bahawa Hang Tuah mempunyai ilmu firasat, yang menjadi ciri kewiraannya

dan ciri keluarbiasaannya. Dalam konteks ini, teori firasat dalam pengkaedahan Melayu,

menyediakan kaedah bagaimana pengarang harus menguasai metode penulisan yang bercorak

kejiwaan. Telah terbukti karya yang menguasai aspek kejiwaan diterima sebagai teks kanon.

Rahsia kejayaan drama Shakespeare, adalah atas keberjayaanya membina watak yang kukuh

Page 8: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

8  

dan hidup selari dengan id, ego dan superego psikoanalisis. Dengan pendekatan firasat ini

sebenarnya, Hashim Awang hendak membuktikan bahawa sastera seanalogi dengan mimpi,

yang terdapat sastera Barat seperti dalam psikoanalisis Freud itu, sesungguhnya sedia wujud

dalam sastera Melayu.

Teori zaman klasik pun membina kepengarangan penulis. Plato menyediakan metode

dan arahan, bagaimana pengarang melahirkan warga negara yang berjiwa besar melalui teori

moralnya; kerana zaman Greek itu terkenal dengan dunia intelektual dan kulturalistik. Plato

melarang pengarang, supaya jangan menggambarkan dewa-dewa berkonflik atau bergaduh;

secara tidak langsung menjatuhkan taraf dewa berkenaan. Tema haruslah menerangkan yang

baik dan mengalahkan yang buruk.

Plato orang yang pertama, mengajar pengarang menulis tentng peranan dan fungsi

sastera dalam masyarakat. Sastera sangat berkesan membentuk manusia, Plato tidak mahu

masyarakat menjadi mangsa kepada teks-teks yang buruk. Ia mementingkan falsafah atau isi

yang bermoral, serta yang bersifat ideologikal. Plato banyak berminat pada mendidik belia,

memahami budaya hidup dan membentuk kewarganegaraan. Sastera tidak boleh dipiciskan

sebaliknya dimoralisasikan.

Aristotle pula, menggesa pengarang menghasilkan karya yang bermutu dan melalui

teorinya ia mengemukakan formalisme karya. Baginya sastera mempunyai diri sendiri, seni

yang merdeka, mempunyai logik sendiri dan menekankan aspek formasi atau pembentukan

teks, menghasilkan karya mengikut aspek formal dan struktural seperti tema, plot,

perwatakan, bahasa, pemikiran, kekaguman dan pendramatikan. Ia mementingkan kekreatifan

seseorang penulis. Sensitiviti dan ketajaman pengarang menggarap persoalan dan

melahirkannya dalam karya yang tinggi daya kreatifnya, dianggap karya bermutu. Pengarang

sangat perlu menguasai cara menguatkan aspek estetik dan keberkesanan teks.

Page 9: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

9  

Kesan daripada kehadiran teori Plato dan Aristotle itu, dalam kurun-kurun berikutnya

implikasinya melahirkan zaman keemasan kesusasteraan Greek. Dan hayat sastera Greek itu

melampaui ke zaman munculnya empayar Byzantine, yang meninggalkan klasisisme ke

zaman aliran romantisisme.

Mekanisme dan falsafah kepengarang zaman klasik itu, dapat dikesan dalam teori

puitika sastera Melayu ciptaan Muhammad Haji Salleh. Teori ini berkonsepkan sastera

sebagai ucapan bermakna dan menekan aspek keindahannya, terutamanya pada bahasa yang

sedap didengar dan dibaca’ kerana memiliki magis dan kehalusan susunannya, yang

dilayangkan pada hikayat dan pantun, dua genre yang sebati dalam jiwa orang-orang

Melayu. Stail yang sempurna, yang tidak janggal dan mempunyai imbangan dan kontras

menjadi ciri utama pramasastera, terutamanya yang terbayang pada pantun, syair dan hikayat.

Teori ini menurunkan aspek keindahan itu, supaya para pengarang dapat mengaplikasikannya

dalam penulisan teks-teks mereka.

Dibuktikan bahawa orang-orang Melayu mengistimewakan pemilihan kata, susunan

dan ungkapan-ungkapan yang cantik dan bermakna tajam pula. Bermula dengan teks lisan,

lipur lara dan caranya memilih cerita dan melisankannya kepada ciri-ciri tekstualismenya;

Muhammad Haji Salleh menekankan bahawa dalam sastera Melayu cerita dan

tekstualismenya menjadi dasar dan asas kepada pengarang.

Teori teksdealisme atau teori keunggulan mendefinisikan teks sebagai susunan idea

dan pengalaman yang mengandung makna berlapis-lapis dengan mempunyai sifat-sifat

keunggulannya. Keunggulan bererti teks mempunyai nilai dan mutu yang tinggi. Setiap teks

juga mempunyai sifat-sifat keunggulannya yang tersendiri.

Falsafahnya bahawa setiap pengarang itu mempunyai hasrat untuk meletakkan teksnya

supaya mencapai suatu tahap keunggulan. Dia akan berusaha dengan bakat, kebolehan,

intelektual dan ketrampilannya bagi menghasilkan sebuah karya yang lebih baik daripada apa

Page 10: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

10  

yang telah dihasilkannya, dan mengatasi apa yang telah dihasilkan oleh pengarang lain

sebelumnya. Idealisme atau sifat keunggulan sebagai sebuah teks sastera kreatif, selalu

berada dalam pemikiran pengarang sewaktu dia berkarya.

Untuk mencipta sebuah teks yang unggul, pengarang harus memiliki sifat-sifat berani

dan bijaksana. Berani mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran baru, dan bersedia untuk

melakukan inovasi dan pembaharuan. Bijaksana pula, merupakan sifat yang mendorong

pekerjaan teks itu supaya dilakukan dengan penuh kesedaran dan bergerak dalam landasan

keilmuan. Tanpa sifat tersebut teks-teks yang dihasilkan, hanya akan bergerak dalam

lingkungan tradisinya dan tidak memecah kepada teks-teks yang unggul.

Seandainya pengarang, terutamanya penulis muda berpegang dengan definisi dan

konsp sastera teksdealisme itu akan dapat mendorongnya ke arah melahir karya yang unggul,

yang akhirnya akan menyampaikannya ke tahap pencapaian individualisme.

Begitulah, setiap teori tempatan itu, memiliki konsep-konsep sastera, yang menjadi

salah satu tunjang tujahannya ialah menyediakan mekanisme, supaya para pengarang dapat

menghasilkan karya menurut kepercayaan dan tatacara naratif dan puitikanya. Memberi jalan

dan laluan supaya pengarang menjadi aktif, dinamis dan progresif dalam berkarya.

Teori sastera tempatan sedar tanggungjawabnya kepada para pengarang. Kesemua

teori itu, tidak sahaja menyediakan konsep sastera dan cara penulisan teks kreatif, juga

meletakkan dasar-dasar kepengarangan supaya dapat menjadi sasterawan.

Menulis teks di zaman moden dan pascamoden ini mempunyai perbezaan besar. Para

pengarang moden, berkarya untuk menyampaikan sesuatu yang difikirkan mempunyai

signifikan kepada khalayak. Fiksyen lebih menumpukan kepada penyampaian cerita, puisi

kepada penampilan curahan perasaan dan drama gambaran situasi masyarakatnya. Tanggapan

ini meletakkan, bahawa fiksyenis haruslah seorang tukang cerita yang mahir dan khalayak

membaca teksnya untuk mengetahui apakah akhiran ceritanya. Penyair memanifestasikan

Page 11: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

11  

perasaannya yang sensitif terhadap sesuatu dan memberi reaksi akliah. Dramatis pula

menjadikan dirinya mata dan hati masyarakatnya. Dalam zaman pascamoden, pengarang

sebagai tukang cerita sudah berakhir, jika mahu juga terikat dengan cerita, biarlah sebelah

kaki sahaja yang diikat, sementara sebelah kaki lagi melangkah ke hadapan.

Kesemua pengatahuan itu sangat berguna kepada pengarang. Jalannya disediakan

oleh teori sastera. Pengarang perlu sedar hakikat kepengarangan ini, dan dituntut belajar

menguasai teori sastera, bagi meningkatkan mutu kepengarangannya. Akhir-akhirnya,

terpulanglah kepada para pengarang sendiri, bagi mengenal, menguasai dan mengaplikasikan

teori sastera, terutamanya teori sastera tempatan dalam penulisannya.

Teori dan Kritikan Sastera

Salah satu fungsi teori sastera ialah menjadi alat kepada kritikan sastera. Kritikan sastera

adalah bidang berbeza dengan teori sastera, tetapi kedua-duanya mempunyai hubungan akrab.

Dalam sejarahnya sejak zaman klasik, teori Plato dan Aristotle bertugas sebagai bimbingan

pengarang. Ia dilanjutkan oleh Longinus dan Horace, hinggga ke zaman renaisanse tokoh-

tokohnya seperti Vida, Daniello, Giraldi Cintio, J.C. Scaliger dan Castelvetro. Kritikan

sastera hanya mendapat makna dan posisinya pada zaman moden, apabila bermulanya aliran

realisme yang mendokong subjek sosiologikal.

Kritik sastera ialah satu disiplin ilmu tentang penghayatan, penganalisisan dan

penilaian terhadap sesebuah karya kreatif. Penghayatan bermaksud apresiasi, pengamatan,

pemahaman, tanggapan, perasaan serta pemikiran yang terjelma dari reaksi pembacaan

Penganalisisan sebagai menghurai, membincang, membedah atau mendalami aspek

penghayatan itu. Penilaian pula, adalah hasil daripada pengamatan, pentafsiran,

penganalisisan, untuk memberi pertimbangan dan penghakiman yang rasional, tepat, adil dan

meyakinkan.

Page 12: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

12  

Kunci kritikan zaman moden, bergantung kepada teori-teorinya seperti formalistik,

moral, sejarah, sosiologikal, psikologi dan stilistik untuk menganalisis dan membelah teks.

Namun, fungsi ajaran kepada pengarang masih tidak digugurkan, malah lebih fokus dan

sofistikatif. Yahaya Ismail, meski melakukan pembedahan teks dengan baiknya, tetapi ia

tidak lupa mengajar pengarang cara menghasilkan karya yang bermutu. Kassim Ahmad

menyediakan peralatan, bagaimana menulis teks yang progresif dan dinamis menurut kaca

mata realisme sosialis.

Dalam zaman pascamoden, kritikan sudah dianggap saintifik kerana wajib

menggunakan teori dan mengaplikasikan metodologi analisis. Ia mementingkan huraian dan

hujahan dengan dapatan yang konkrit dan jitu serta bersifat objektif. Rasionaliti di atas cita

rasa dan emosi. Kritikan pascamoden tidak lagi memiliki zuriat dikotomi intrinsik dan

ekstrinsik, malah kedua-duanya bergabung secara eklektikal, analisisnya lebih rinci dan

terbuka. Begitu juga sudah membuang kepercayaan binari oposisi yang diyakini dalam

kritikan moden, menjadikan hujahannya tidak terikat pada batasan perbezaan teks.

Aspek terpenting bagi seseorang pengkritik ialah membuat penilaian. Berdasarkan

penghayatan dan penganalisisannya, seseorang itu dapat memberikan pandangan, bahasan

dan keputusan sama ada karya itu berjaya, bermutu atau sebaliknya. Wibawa pengkritik

terletak pada tangan penilaian dan penghakiman itu, bagi menyerlahkan kedudukan dan

hakiki teks dan pengarang.

Kaedah kritikan biasanya disediakan dalam prinsip teori. Teori klasik tidak

menyediakan prinsip ini, kerana ia lebih fokus kepada ajaran kepada pengarang dalam

membina teks. Sebaliknya, teori moden menjadikan prinsip teori sebagai wajib, justeru itu ia

disediakan secara kronologi dan sistematis.

Kebanyakan teori moden menyediakan empat buah prinsip kritikannya. Pertama,

membicarakan latar pengarang daripada sudut kelahiran, pendidikan, kerjaya, status sosial

Page 13: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

13  

dan dorongan kepengarangan. Kedua, membicarakan isi karya menurut tujahan teori:

sosiologi menghuraikan isu kemasyarakatan, moral permasalahan pendidikan, sejarah dengan

subjek pensejarahannya, psikologi dengan kejiwaan teks dan stilistik membicarakan diksi,

sintaksis dan semantik karya. Ketiga, mewacanakan aspek nilai karya, menurut tata neraca

yang dikriteriakan oleh teori, sama ada nilai rendah, separa atau tinggi. Keempat,

membahaskan sudut kesan dan pengaruh karya terhadap konteks khalayak, sosial,

kesusasteraan, dan hubungannya dalam pembinaan peradaban manusia.

Dalam teori puitika sastera Melayu, Muhammad Haji Salleh mempunyai empat

prinsip: pertama, pemilihan bahan, kedua, teknik penulisan, ketiga, aplikasi bahasa, dan

keempat, analisis fungsi teks. Sebagai contoh prinsip pertama, menganalisis bagaimana

pengarang memilih dan mengangkat bahan-bahan penulisannya, yang nilainya bergantung

kepada konsep mengajar dan membimbing. Aspek nilai ini juga berhubungan dengan makna

yang kuat dan padat. Ertinya sebuah karya yang berestetika Melayu ialah yang datangnya

daripada pengalaman beroientasi pengajaran dengan mengandung makna teks yang kuat dan

kukuh. Makna yang kuat bererti karya-karya yang memiliki dasar pemaknaan dan signifikasi

yang bermanfaat untuk khalayak; di sini juga wujud hubungannya dengan perasaan,

pemikiran dan intelektual khalayak. Sastera yang kuat adalah sastera yang membina, dan

terkandung dalam makna-makna teks yang disampaikan secara tersurat atau tersirat. Analisis

prinsip pertama ini untuk melihat kadar nilai teks, bagi memperlihatkan aspek keindahan

yang diutarakan pengarang.

Empat prinsip juga disediakan dalam teori teksdealisme, iaitu kehadiran,

perlanggaran, pengukuhan dan individualisme. Kehadiran ialah proses kedatangan segala

idea dan pengalaman yang berkumpul di rumah pengarang untuk dicerna bagi membina

subjek, pemikiran dan subjektiviti teks.

Page 14: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

14  

Perlanggaran suatu proses penciptaan dinamik untuk mencari pembaharuan dalam

berkarya. Seorang pengarang yang sedar konsep kepengarangannya akan cuba

memperbaharui setiap teks yang dihasilkannya. Sifat pembaharuan, eksperimental dan

pemantapan inilah yang mendukung kelahiran teks-teks moden, pascamoden, avant-garde,

arrirre-garde dan sebagainya. Prinsip perlanggaran menganalisis yang dikekalkan dan

dirubah dalam setiap aspek yang berhubungan dengan dunia penciptaan dalam usaha bagi

mencapai keunggulan teks.

Pengukuhan usaha pendewasaan pengarang untuk memperbaiki teks yang dihasilkan,

suatu proses pematangan, pengejapan dan penyempurnaan dalam berkarya. Daripada

dorongan kejiwaan, pengarang akan melakukan penyelidikan semula terhadap teks-teks yang

telah dihasilkannya selama ini, dan akan sentiasa melakukan pula pembetulan demi

pembetulan, pengejapan demi pengejapan terhadap teks yang sedang dikerjakan.

Individualismme ialah prinsip analisis pencapaian kemuncak pengarang. Melalui

subjek pengarang ia membentuk individualistic idealism, yang menjadi pembeza ciri antara

seorang pengarang dengan pengarang yang lain. Proses individualisasi akan membawa

seseorang pengarang mencapai taraf individual author, ia suatu tahap jati diri pengarang

unggul. Individualisme dapat dikesan melalui empat kriteria iaitu reka cipta individu,

kedirian individu, gaya individu dan tindakan individu.

Reka cipta individu individual in design merujuk kepada teknik, metode, dan

mekanisme penciptaan. Bagaikan seorang artikek mempunyai ciri keperibadiannya melalui

bangunan yang direkabentuknya, seorang pengarang pun akan dikenal jati dirinya melalui

karya yang dihasilkannya. Cara penyusunan teks menggambarkan peribadi penulisan.

Kedirian individual individual-self mengidentifikasi perwatakan pengarang.

Sepanjang hayatnya berkarya akan memperlihat kecenderungan dan sinonim pengarang,

seperti Shahnon Ahmad dengan dunia Malay Power, Azizi Haji Abdullah dunia orang tua,

Page 15: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

15  

dan A.Samad Said dunia wanita. Usaha pengukuhan daripada teks ke teks adalah perlu dalam

pembinaan kedirian individual yang mempamerkan sifat individualisme pengarang dan

memiliki taraf idealisme individualistik.

Gaya individual individual style, merujuk kepada aspek bahasa, yang berhasil

mencapai stailnya tersendiri. Ia menjadi trade-mark kepada gaya peribadi atau stail

individualisme pengarang. Sama dengan peribadi pelukis pada keunikan gaya pewarnaannya,

bahasa adalah lambang kekuatan kepengarangannya.

Tindakan individu individual action menjelaskan kegiatan tindakan kepengarangan

sepanjang berkarya supaya terlihat sifat keluarbiasaan dan keistimewaaanya. Usahanya

supaya karyanya meninggal kesan dan mempunyai pengaruh yang kuat. Hasil tindakannya

juga, supaya karyanya mencapai taraf kanon, agung dan hidup sepanjang zaman.

Prinsip-prinsip yag disediakan dalam setiap teori sastera, diaplikasikan secara

kronologi atau terpisah, menurut cara berhujah yang dipilih pengkritik untuk membenarkan

tanggapan atau dapatannya. Teori sastera tempatan, tidak banyak memberi huraian yang rinci

terhadap kaedah penilaian, sehingga banyak meminta kepada pengkritik menggunakan

kebijaksanaan sendiri. Hal ini sama dengan teori sastera pascamoden, yang lebih banyak

berbicara dalam konteks konseptual daripada praktis analisisnya. Stephens Greenblatt

menulis tiga buah buku menjelakan konsep new historisisme atau Edward Said menjelaskan

dengan detail kerangka kolonial dan pascakolonialisme; tetapi apabila sampai ke peringkat

análisis, kedua-keduanya lebih senang menyatakan meminjam sahaja kaedah feminisme.

Ada petanda bahawa terdapat sebilangan pengkritik kita yang menggunakan teori-teori

tempatan. Bagaimana pun, daripada sudut kuantitatifnya masih sederhana. Pengkritik yang

sedia ada, masih kekal dengan teori Barat. Itu adalah pilihan pengkritik. Mereka bebas untuk

memilih mana-mana teori. Menutup diri dan tidak mahu berhijrah ke teori tempatan,

barangkali masih mempercayai kuasa dan mitos Barat.

Page 16: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

16  

Suatu hakikat yang perlu disedari, teks-teks sastera sudah berlapis-lapis

menyembunyikan makna, naluri dan nubari sastera. Makna sudah beranjak. Kini terdapat

kepelbagaian teks, seperti karya intertekstual, semiotik, metafiksyen, pascakolonial,

travelog, idealistik dan autobiografikal, di samping teks khas pascamodenisme seperti pastis,

lotta, kits dan parodi. Menurut data teori genre sastera, zaman mutakhir ini mendekati dua

puluh teks baru diciptakan. Antaranya ialah usaha gabungan pelbagai teks, yang dinamakan

sebagai hibrid, antara ialah realisme magis, struktural genetik, psiko-sosiologikal dan

feminin-kolonial.

Teori sastera tempatan diharapkan dapat melakukan penghayatan, penganalisisan dan

penilaian terhadap pelbagai teks tersebut, yang kini di Malaysia sudah ada tanda-tanda

digemari oleh penulis muda. Dengan itu akan dapat memperkukuh tradisi kritikan sastera,

dan berfungsi secara keseluruhannya untuk mengangkat martabat kesusasteraan bangsa.

Berperanan sebagai penilai ada pisau di tangan, untuk berlaku adil bersikaplah dengan

positif, saksama dan merenung diri sendiri. Seadainya sesuatu hukuman itu dikenakan pada

diri sendiri, kita sendiri tidak menggemarinya, bagaimana kalau ia dijatuhkan kepada orang

lain. Pengkritik asli tidak terperangkap kepada emosi yang selalu dirondong oleh kerana

kawan. Berapa ramai cendekiawan, yang terpedaya apabila mengkuhum kerja sang kroninya.

Banyak memilih kerana sahabat bukannya sastera.

Sesiapa sahaja boleh menjadikan pengkritik asalkan menggunakan mana-mana teori

dan metodologi yang sesuai; namun sebaik-baikanya ialah pilihlah teori sastera tempatan.

Penulisan Akademik

Teori sastera sangat besar kedudukannya dalam penulisan akademik. Istana bagi teori sastera

sebenarnya ialah di menara gading, bermukimnya penulisan akademik seperti projek, latihan

Page 17: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

17  

ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran. Fungsinya sebagai alat penyelidikan dan wacana

penulisan ilmiah, meletakkannya sebagai ilmu yang wajib dipelajari. 

Boleh dikatakan setiap pusat pengajian tinggi yang memiliki jurusan pengajian

Melayu, akan menjadikan teori sastera sebagai kursus wajib. Sebelum ia berdiri sebagai

kursus yang memiliki modul sendiri, teori sastera diajarkan dalam kursus kritikan. Setiap sesi

ada sahaja kursus kritikan yang dijudulkan dengan pelbagai nama seperti apresiasi sastera,

kajian teks, metodologi dan penyelidikan dan lain-lainnya; yang intipati dan amalinya adalah

mengajar teori dan melakukan kritikan sastera. Dalam setiap kursus itu, teorilah menjadi

induknya, kerana ia menjadi alat analisis. 

Semenjak penulisan akademik dan kritikan dianggap ilmuan saintifik, teori sastera

berpisah dengan kritikan, lalu ia berdiri sendiri sebagai disiplin ilmu yang mandiri. Tidak

secara langsung, menandakan kedudukan dan fungsi teori menjadi spesifik. Kursus teori

sastera diajarkan di awal pengajian seperti pada sesi pertama atau kedua, sebagai persediaan

bagi membantu pelajar melakukan penyelidikan, bacaan teks dan interpretasi karya. Dengan

sendirinya teori menjadi wahana dan wacana penulisan akademik. 

Sesebuah penulisan akademik, bertolak daripada fakta yang disandarkan pada hasil

penyelidikan, sama ada sandaran rujukan atau pengalaman sendiri. Ia juga bersifat objektif,

kerana berdasarkan fakta dan kajian, bukannya agakan atau ramalan. Penulisannya

berdasarkan isi, huraian dan kejapan. Prosedurnya faktual, konseptual dan bersistematik

Penulisan akademik bertolak pada suatu gagasan atau tesis. Dan yang lebih penting lagi ialah

hujahan dan argumentasinya.

Penulisannya akademik tidak bersifat emosional dan tidak memperlihatkan unsur-

unsur prejudis. Tegasnya ia bersifat rasional. Sesuatu fakta bersebab dan logik.

Membayangkan adanya tradisi berfikir kritis sesuai sebagai para ilmuwan. Oleb karena itu,

Page 18: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

18  

penulisan akademik membawa ciri kritis, yang sekaligus dapat berfungsi sebagai wahana

penyampaian kritik timbal balik yang berkaitan dengan masalah yang dipersoalkan.

Sesebuah penulisan akademik bergerak pada sebuah subjek utama, atau gagasan yang

terhasil daripada pengamatan terhadap sesuatu fenomena, isu atau pemikiran. Subjek dan

gagasan itu dihujahkan, juga diargumentasikan bagi meyakinkan, membenarkan dan

mengunggulkan supaya ia dipercayai dan diterima serta kognitif sifatnya. Biasanya subjek

dan gagasan itu disokong oleh beberapa persoalan yang lainnya, tetapi ia berkaitan dan

berpusat.

Teori-teori sastera tempatan, telah diterima, diyakini dan dipercayai dapat menggalas

tugasan sebagai alatan wacana penulisan akademik. Kita telah memiliki puluhan, malah

ratusan dalam penulisan kritikan dan esei sastera dalam memenuhi tututan tugasan kursus-

kursus di pusat pengajian tinggi, menggunakan teori sastera tempatan. Lazimnya, sebagai

kerja kursus, pelajar dilehendaki memilih mana-mana teks sastera untuk dinilai,

kebanyakannya pelajar itu memilih teori tempatan untuk melakukan kerja penilaiannya. Di

peringkat prasiswazah ini, menunjukkan, bahawa kecenderungan pemilihan teori tempatan di

paras tinggi, berbanding suatu masa dahulu, lebih kepada teori Barat. Kenyataan ini, tidak

ditolak bahawa teori Barat masih ada yang menggemarinya.

Di dalam pengajaran teori sastera di universiti, biasanya semua teori baik yang klasik,

moden dan pascamoden semuanya diajarkan, supaya para pelajar itu dapat menguasai

keilmuan teori sastera. Pada umumnya selama tiga tahun di peringkat prasiswazah, pelajar

sudah ada kemahiran dan keyakinan dalam menggunakan teori sastera.

Lazimnya pada tahun akhir pengajian, pelajar dikenakan menulis projek sastera atau

memilih latihan ilmiah. Hanya sebuah teori sahaja yang diminta daripada pelajar. Pelajar juga

boleh memilih hanya beberapa prinsip sahaja daripada sebuah teori itu. Misalnya, dalam teori

takmilah, pelajar hanya memilih tiga prinsip daripada tujuh prinsipnya; iaitu prinsip

Page 19: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

19  

ketuhanan bersifat akmal, prinsip kerasulan bersifat kamil, dan prinsip keislaman bersifat

akmal. Atau, prinsip analisis isu sosial dan kesan teks kepada khalayak, dua buah prinsip

daripada teori sosiologi. Teori Barat masih relevan, namun lebih cenderung pemilihan kepada

teori moden. Pengalaman saya, sudah ramai para pelajar tahun tiga, atau semester enam,

memilih teori tempatan.

Teori dalam penulisan ijazah sarjana, memerlukan pengaplikasian prinsip yang penuh.

Pada peringkat ini penilaian ditujukan kepada sejauh mana teori dikuasai sepenuhnya,

berjaya mengemukakan dapatan yang menjadi akar penyelidikannya. Ia hendaklah ditulis

dalam beberapa bab yang disusun dalam satu susunan yang sistematik, yang merangkumi bab

pengenalan, kajian kosa ilmu, metodologi, pemaparan dan penganalisisan data serta

perbincangan dan kesimpulan.

Persembahan tesis dibuat dengan teratur, kemas, logik dan terserlah perbahasannya.

Dengan itu tesis yang dihasilkan harus dapat mencapai dan menunjukkan bahawa pengkaji

menguasai bidang secara meluas. Teori yang digunakan difahami cukup berkesan dan

berkemampuan mengaplikasikannya dengan baik.

Penguasaan mana-mana teori hendaklah cukup mendalam, luas dan sempurna.

Daripada pengamatan, banyak pelajar tesis sarjana juga menggunakan teori tempatan.

Jikalau di bawah kendalian saya dahulu, semunya saya wajibkan menggunakan teori sastera

tempatan.

Daripada kalangan pelajar sarjana itu, ada yang meneruskan ke peringkat kedoktoran.

Penulisannya terarah kepada pengembangan ilmu, dan menemukan dapatan baru yang belum

pernah dikerjakan orang. Memberi sumbangan besar kepada bidangnya dan epistemologinya.

Tegasnya, ia memberi sumbangan baru kepada ilmu pengetahuan. Tesis atau disertasi di

peringkat kedoktoran adalah sebuah penulisan akademik yang tinggi darjah ilmiahnya. Skop

Page 20: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

20  

kajiannya menuntut kedalaman, menjelaskan kekhususan dan subjeknya spesifik. Menanti di

hadapannya adalah analisis atau penghujahan yang kukuh, bagi membuktikan penemuannya.

Lazimnya teori tidak sahaja berperanan sebagai pengaplikasian, tetapi sebaliknya

sebagai timbang tara terhadap teori itu sendiri. Oleh kerana itu, penulisan tesis kedoktoran

di dalamnya ada pertimbangan, nilai, normatif, pandangan, wawasan, dan yang terpenting

membentuk penemuan baru, atau membina ilmu baru atau memberi sumbangan mutakhir

terhadap perilmuan, teorinya tidak cukup hanya sebuah; sebaliknya memerlukan dua atau tiga

teori yang dilakukan secara gabungan, kombinasi, integrasi atau eklektikal. Dengan itu,

seorang calon doktor harus menguasai banyak teori sastera.

Seperti yang dikatehaui umum dalam keilmuan akademik ini, aspek pengaplikasian

teori dalam dunia kesarjanaan, bukanlah ukuran mutlak keunggulan sesebuah teori. Penulisan

akademik boleh sahaja dibina kerangka teorinya yang berasal daripada gagasan, model, koda

atau disiplin ilmu di luar sastera.

Sebagai contoh, terdapat tesis kedoktoran yang membicarakan peranan sastera dalam

pemantapan ekonomi, mengaplikasikan pemikiran Anders Chydenius daripada bukunya The

National Gain, yang menerangkan idea kemerdekaan perdagangan dan industri dalam

menyelidiki hubungan antara ekonomi dan masyarakat liberal. Sepatutnya tesis ini

mengaplikasikan teori marxisme, yang sudah menyediakan prinsip mantapnya dalam

membicarakan sastera, ekonomi dan masyarakat. Tegasnya, tidak bererti apabila sesebuah

teori itu telah digunakan untuk penulisan akademik, keabsahannya sebagai teori sudah

diterima secara mutlak.

Dapatlah disimpulkan, kedudukan teori dalam penulisan akademik sangatlah penting

Dalam aspek pengaplikasian teori, diperlihatkan perbezaannya oleh ketiga-tiga peringkat

penulisan akademik itu. Di peringkat latihan ilmiah, sesuai dengan namanya tarafan latihan,

teori yang dipilih menunjukkan kemampuan calon memahami teori dan mengaplikasi mana-

Page 21: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

21  

mana aspek teori yang relevan dengan objek. Ertinya yang dipentingkan ialah penguasaan

dan pengaplikasiannya. Dalam peringkat sarjana pula, bukan sahaja teori dikuasai dan

diaplikasi, juga dapat menunjukkan kemampuan teori itu dalam operasinya; tegasnya

kebolehannya dalam mengaplikasi keseluruhan aspek dan prinsip teori.

Sementara di peringkat kedoktoran teori berperanan lebih luas. Hasil kajiannya

berjaya mencapai penguasaan dan pengaplikasian teori yang tinggi, juga dituntut perluasaan

dan pengembangan teori yang digunakan. Tegasnya, berlaku apa yang diistilahkan sebagai

retheoristic, pembinaan penteorian atau melakukan rekonseptualisasi dan modifikasi terhadap

teori tersebut. Ertinya pengaplikasinya, mengenal kekuatan dan keberdayaan teori di samping

mengenal-pasti kelemahannya. Begitu juga seandainya teori lama yang digunakan, pengkaji

dapat memperbaharui atau memodenisasikannya. Namun, harus difahami semuanya itu dilakukan

dalam lingkungan etika ilmu.

Apa pun penguasaan teori sama ada sedikit atau banyak, tetap diperlukan dalam penulisan

akademik.Tidak ada pilihan, dalam penulisan akademik penguasaan teori adalah wajib.

Setiap langkahnya, semasa melakukan penyelidikan, merangka kertas proposal, menulis

tesisnya, semua bergantung kepada kebijaksanaan mengaplikasi teori. Dalam konteks ini,

pilihlah teori sastera tempatan, dalam beberapa hal, jiwa dan roh teks yang menjadi objek

kajian berjiwa tempatan. Ingatlah aforime ini: teori menjadi raja dalam penulisan akademik.

Penciptaan Teori Sastera

Teori tidak seperti dunia politik, pemimpin boleh datang dan pergi. Dalam dunia teori, yang

datang akan terus hidup kekal, di samping yang baru akan mencari tempat dan ruang. Seperti

di Barat, teori sastera sentiasa sahaja datang, ada sahaja yang baru. Dalam masa terdekat ini

lahir teori perjalanan, autobiografi dan teori genre sastera. Teori-teori yang lama terus wujud,

Page 22: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

22  

meskipun ada waktunya ia kehilangan suara. Ada juga teori yang kehilangan jejak dan kuasa;

tetapi muncul dengn nama baru. Semangatnya masih dikekalkan.

Sesiapa sahaja boleh menjadi penteori. Beberapa syarat dan rukun perlu dipenuhi.

Biasanya penteori, terdiri daripada ilmuwan sastera. Ia telah bergelomang dengan dunia

sastera dalam hayat yang lama, menguasainya secara holistik, komprehensif  dan konsisten.

Sejarahnya dimulai dengan mempelajari teori sastera, mempraktiskannya dan terkenal

sebagai pengkritik sehingga mencapai taraf sebagai pemikir dan penguasa sastera.

Kemunculan teori baru, lazimnya dimulai dengan wujudnya fenomena sastera. Para

ilmuwan sastera bersetuju secara konsensus, bahawa fenomena itu wajib, menjadi alasan

pemangkin kehadiran teori baru. Bagaimana pun fenomena sastera tidak pernah sama,

mungkin sama dari segi koda dan pola, tetapi berbeza pada sebab dan tujahannya.

Pertama, seseorang itu dapat mengesan fenomena baru dalam kesusasteraan. Derianya

berkeupayaan menghidu kehadiran sesebuah fenomena, yang kemudiannya diangkat menjadi

janin teorinya. Tegasnya, menjadi faktor utama, teori dalam sepanjang sejarahnya,

dimunculkan oleh kehadiran fenomena teks sastera. Sebagai contoh, banyak dikaryakan

sesuatu corak atau bentuk pengkaryaan, termasuklah kelahiran aliran dan kecenderungan baru

oleh ramai pengarang dalam sesuatu keadaan dan zaman. Setelah begitu banyak teks sastera

yang berfenomena, maka diperlukan sesebuah teori untuk berdepan dengan teks-teks tersebut.

Perkembangan mutakhir sastera pascamoden, berselerat dengan kelahiran pelbagai

genre dan jenis teks-teks, antaranya yang sedia maklum seperti yang beraliran surealisme,

eksistensialisme, absurdisme, realisme magis, ethnologisme, semiotikal, intertekstual dan

pascakolonial. Ditambah pula dengan banyaknya corak karya seperti parodi, pastis, kits, lotta,

metafiksyen, metahistoriografik, metasejarah, dan lain-lainnya. Justeru banyaknya

kepelbagaian teks, ada yang jelas, remang, bertindih, kabur dan berbaur, maka diperlukan

Page 23: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

23  

sebuah teori yang dapat menjernihkan definisi dan konsep-konsep teks tersebut, maka pada

tahun 2013 di Barat lahirlah teori genre sastera.

Teori genre sastera berfungsi dalam konteks sebagai tipa dan kelas karya sastera, juga

menggalakkan pengarang supaya mencipta genre yang baru. Tegasnya, dengan munculnya

pengisytiharan kelahiran teori sastera genre sastera, bentuk dan jenis sastera itu tidak sahaja

sebagai wahana pengkaryaan, juga pewacanaan ilmiah sebagai epistemologi sastera.

Suatu masa dahulu, karya bersilang seli dengan segala pertandaannya, sehingga lahir

aliran simbolisme, maka diperlukan teori baru untuk mendekatinya: semiotik. Karya sejarah

baru dengan historisisme, metafiksyen historiografik dan meta sejarah menjadi kesukaan baru

khalayak, teks bercorak fotokopi menjadi jumud, lalu diperlukan teori new historisisme.

Teori sastera teksdealisme dicipta disebabkan fenomena kelembapan berkarya.

Sastera kita tidak banyak berubah, bergerak dalam lingkaran yang sama. Diharapkan ia dapat

membangunkan kesedaran terhadap kebangkitan sastera Melayu yang unggul. Dalam

sejarahnya, sastera Melayu pernah memiliki sejumlah teks besar seperti Hikayat Hang Tuah,

Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis dan lain-lainnya, sejarah ini ingin diulang oleh teksdealisme.

Dengan kemunculan pelabagi teks pembaharuan, mencari kelainan, avant-garde, arrier-garde,

menggeledah ke pelbagai aliran, kecenderungan dan tujahan. Pengarang lebih komited

terhadap nilai-nilai interogratif dan bekerja untuk melahirkan karya bermutu. Teksdealisme

berdiri atas fenomena untuk mendirikan idealogi sastera Melayu itu sendiri sebagai suatu

kesedaran falsafah Melayu.

Kedua, seseorang itu dapat mengesan adanya kelompangan dalam aspek penilaian,

dan cuba mengisi situasi tersebut dengan memetakan teori baru. Karya sastera ibarat sebuah

kek, yang mempunyai ruang pelbagai, selari dengan pencitraan budaya dan tamadun manusia

yang merangkumi segala keperihalan di dalamnya. Ada kerencaman dimensi dan sudut,

malah dikatakan ada berpuluh-puluh komponen secara implisit dan eksplisit tidur dan

Page 24: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

24  

tersembunyi di dalam teks. Teori-teori sastera yang ada, tidak dapat mengesan kesemua

komponen itu. Dengan ketajaman deria, seseorang itu dapat menanggapi wujudnya

kelompangan, dan harus dicipta cara berbeza untuk memahami teks tersebut.

Pernah terjadi suatu perbalahan yang amat luas di antara teori struktural dengan

sosiologi. Malah, Stalin pernah mengeluarkan perintah karya dan kritikan struktural mesti

dihapuskan. Perjuangannya ialah ingin mendaulatkan masyarakat sama rata sama rasa seperti

dalam falsafah sosiologi yang ditata oleh Marxisme. Dalam situasi konflik dan intrik ini,

muncul seseorang untuk mendamaikan kedua-dua teori yang berperang ini. Caranya, dengan

melahirkan sebuah teori baru mengkombinasikan kedua-duanya. Karya yang baik ialah yang

kukuh daripada segi strukturnya dan membawa isi yang dapat membina masyarakatnya. Teori

itu bejaya meredakan perselisihan, kedua-duanya berdamai, dan kerajaan Rusia akur dengan

usaha mulia itu. Teori baru itu ialah struktural genetik yang dijana oleh Lucien Goldmann,

professor sastera Romania yang menetap di Paris.

Situasi politik dan ekonomi negara kita, terutamanya orang-orang Melayu terkini,

disimpulkan dalam banyak penyelidikan dan penulisan dalam keadaan perpecahan, membawa

suasana naif dan daif. Perpaduan harus dilakukan untuk kebangkitan ummah Melayu. Ini

adalah sebuah fenomena. Dan sastera boleh memainkan peranannya. Sebuah teori sastera

baru, mungkin diperlukan untuk merevolusikan sastera bagi menggerakkan ummah Melayu

ke arah penyatuan dan membina tamadunnya. Sejarah telah membuktikan sastera boleh

menjadi alat yang sangat fungsional. Situasi ini, menjelaskan wujudnya kelompangan yang

perlu diisi oleh teori sastera baru.

Ketiga, mengisi teori yang hilang. Teori yang telah tercipta akan kekal dalam

lembaran sejarahnya, tetapi kekuasaannya boleh menurun, kerana teks-teks yang lahir

kemudinnya berbeza dengan aspek teoretisnya. Teori marxisme termasuk dalam kelompok

dalam grand theory, teori besar, dengan kejatuhan kerajaan-kerajaan komunis dan sosialis,

Page 25: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

25  

maka teori ini turut menghilang. Namun, semangatnya masih bernyawa, ia dijelmakan semula

dalam penciptaan teori baru seperti dalam teori sastera budaya, new historisisme dan ekologi

sastera. Teori baru itu mengambil alih kekuasaan bagi mengisi teori yang hilang. Dalam

pertumbuhan dan perkembangan teori sastera tempatan setakat ini belum berlaku ada teori

yang kehilangan kuasa.

Keempat, memenuhi permintaan penulisan akademik untuk kesarjanaan. Dalam

wacana sebelum ini telah ditunjukkan dunia penulisan akademik adalah ruang utama

pengembangan teori tempatan. Oleh kerana penulisannya sentiasa berkembang dengan

timbulnya permasalahan dan hipotesis baru, maka ia menuntut penyelidikan baru dan kaedah

pemecahan yang baru dan teori baru. Semua teori sastera tempatan dilahirkan di pusat

pngajian tinggi. Ini adalah tugas khas kepada professor dan pensyarah teori sastera.

Dalam konteks pembinaan teori baru ini, perlu disedari, salah satu syarat penteorian

ialah tugas wajib menurunkan ciri-ciri teori yang ditanggap daripada teks atau teks-teks yang

mencapai taraf kanon yang menjadi teras penteoriannya. Penteori harus berusaha untuk

memiliki teks yang mempunyai percirian teks itu. Dalam teks kanon, unggul dan agung,

biasanya tersembunyi ciri-ciri khas karya yang boleh dinukil aspek teoretisnya.

Sebagai contoh, Aristotle mengkaji karya Homer, dijadikannya sumber untuk

membina aspek tekstualisme. Aristotle juga mengkaji tragedi Aeschylus, Sophocles dan

Euripides, yang kemudiannya dibinanya teori drama seperti dalam bukunya The Poetics, iaitu

menganalisis konsep sastera, definisi tragedi, aspek plot; dan tahap plot yang membentuk

aksi. Ia juga melakukan penilaian terhadap teks-teks sastera zaman awal Greek, kemudian

melahirkan konsep dramatik tiga kesatuan: aksi, masa dan tempat (action, time and place),

yang berkembang hingga ke zaman pertengahan dan romantisisme sebelum dilanggar oleh

Shakespeare.

Page 26: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

26  

Penteori merujuk ciri teoretis daripada teks yang selari dengan jiwa dan roh teori yang

hendak dibinanya. Tabudiyyah mengambil teks-teks Islam zaman Umaiyyah dan Abasiyyah,

puitika sastera Melayu menurunkan ciri-ciri estetika pantun dan keistimewaan Hikayat Isma

Yatim, Pengakaedahan Melayu dengan Tajul Muluk dan teksdealisme dengan Hikayat Hang

Tuah.

Syarat kedua, setiap teori mempunyai tugas mengemukakan definisi, konsep dan

prinsip sastera, seperti yang dikonseptualisasikan dalam rukun pembinaannya. Semua

wacana dan huraian terhadap definisi, konsep dan prinsip teori itu, akan membentuk apa

yang disebut sebagai naluri sastera. Jasmani dan rohani teori terbungkus dengan kejap dalam

naluri sastera itu.

Sebagai contoh, naluri teori taabudiyyah kesusasteraan adalah proses pengabdian

hamba kepada Khaliqnya, teori teksdealisme teks sebagai susunan idea dan pengalaman yang

mengandung makna berlapis-lapis dengan mempunyai sifat-sifat keunggulannya yang

menjadi cita-cita setiap pengarang untuk mencapainya. Naluri sastera boleh berbeza menurut

tanggapan, kepercayaan dan ideologi sesebuah teori.

Teori juga tidak boleh terpisah daripada falsafah bangsa yang telah termaktub dalam

tradisi dan sejarahnya zaman berzaman. Teori sastera tempatan, harus berjiwa dan sebati

dengan falsafah orang-orang Melayu. Dengan itu seorang penteori, wajib mahir dengan

budaya, pemikiran dan falsafah orang-orang Melayu.

Keselariannya dengan akidah, syariat dan tasawuf juga dituntut, kerana ia menjadi

paksi segala kehidupan termasuk sastera. Di dalam Al-Quran tidak banyak ayat yang

menyentuh sastera, hanya di sekitar empat lima ayat sahaja, itu pun merujuk kepada

penolakan bahawa Nabi Muhammad SAW bukannya penyair dan Al-Quran adalah kitab

peringatan bukannya karya sastera, seperti tuduhan sebagai ‘asatir awwalin’. Hanya Surah

Al-Syuarak Ayat 224-227 dengan maksud:

Page 27: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

27  

“Penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di setiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mampu mengerjakannya kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman, dan kelak orang yang zalim itu mengetahui ke tempat mana mereka kembali” Ayat-ayat itu patut diulang-ulang supaya ia menjadi tazkirah dan ibrah kepada dunia

sastera sepanjang zaman. Begitu juga tidak banyak Hadis nabi yang mewacanakan sastera.

Situasi ini sebenarnya meminta umat Islam sendiri mencari dan melakukan ijtihad, sesuai

kedudukannya sastera sebagai ilmu keduniaan dan selari dengan Hadis Junjungan “Antum

a’lamu bi umur dunyakum’ Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu’.

Setiap orang berhak melakukan penyelidikan dan menggerakkan segala minda

fikirannya untuk mencipta teori sastera. Apabila berbeza darjah keilmuan dan penguasaan

keagamaan, maka berbezalah fahaman dan aliran teori ciptaannya; yang di dalam ilmu syariat

disebut sebagai mazhab. Perbezaan mazhab atau khilaf ulamak bererti perbezaan tanggapan,

namun ia tidak lari daripada pokok atau induknya tauhid

Tentu sekali sebuah mitos kalau ada seseorang menyatakan bahawa teorinya adalah

wahyu dari Tuhan. Hanya teorinya yang benar, yang lain semuanya salah. Tidak ada mazhab

yang menyalahkan mazhab yang lain. Setiap satunya mempunyai kekuatan, dan tidak

terhindar dari kelemahan.

Begitulah beberapa pandangan dasar pembinaan teori sastera. Dengan memahami

syarat dan rukun penteorian itu, membolehkan seseorang untuk mencipta teori sastera baru.

Tanpa pemenuhannya, biasanya apa yang dikatakan teori itu hanya di peringkat gagasan atau

pendekatan. Terdapat teori tempatan yang berlegar di ruang gagasan, yang perlu dipenuhkan

syaratnya untuk menjadi sebagai sebuah teori sastera. Para cendekia dan ilmuwan sastera

Melayu dijemput mencipta teori sastera yang baru.

Page 28: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

28  

Tanggapan dan Rumusan

Sastera Melayu telah membuktikan ia mempunyai sejarah, yang tidak pernah terduga dengan

memiliki beberapa teori sastera tempatan. Bermula dengan impian dan harapan ditahun 1970-

an, dan dapat direalitikan satu dekad kemudian. Perjalanan teori sastera tempatan itu, bermula

dengan segala kerumitan telah terbukti dapat dipecahkan. Sistem hidup, nilai neraca dan

falsafah bangsa terintegrasi dalam teori-teori sastera tersebut.

Meski kadang-kadang muncul gangguan sejarah, seperti kurang keyakinan dan

mencari-cari kelemahannya, namun semua pandangan dan persepsi bersifat sampah itu, dapat

dihindarkan. Untuk beraku adil, jangan menjadi pelampau, yang beria-ria mencari

kelemahan, atau memuji-muji terlalu tinggi menunjukkan kekuatannya. Tidak tertolak ada

teori yang dapat memenuhi semua syarat dan rukun, ada yang masih dalam pengemasan.

Namun ada juga teori sastera yang palsu.

Apa pun kehadiran teori sastera tempatan sudah diterima; malah mendapat kedudukan

istimewa. Semakin ramai penteori yang mencuba memperkenalkan gagasannya, indikasi teori

sastera mendapat tempat dan kehormatan.

Malah, gelanggang para pesilat teori sentiasa terbuka. Sesiapa sahaja boleh

mengemukakan langkah dan gerak silatnya. Sebuah teori sastera yang baru, mempunyai

sudut pandangan, memiliki sasaran pengarang, sisiran pengkritik dan susuran pembaca, yang

relevan dan penuh tuntutannya, ibarat persiapan untuk menyambut ketibaan sebuah

pengantin baru.

Pengarang, pengkritik, pelajar kesarjanaan dan pembaca umumnya, secara selektif

digesa menguasai teori yang dekat dengan keperluan, kemampuan dan kegemaran masing-

masing. Kini sudah ada buku-buku teori diterbitkan. Telah dibuktikan, pengarang yang peka

dengan teori dapat meningkatkan mutu kepengarangannya. Pengkritik pula, dapat

memperkukuh analisis dan hujahan secara tekstual dan kontekstual. Pelajar kesarjanaan yang

Page 29: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

29  

menguasai dan bijak mengaplikasi teori, dapat menghasilkan penulisan akademik yang

bermutu. Masyarakat pembaca pula dapat meningkat deria dan kefahaman bagi menikmati

karya sastera.

Terdahulu, pengarang boleh berbangga dengan bakat fitrahnya, tetapi kini tanpa diasah

oleh teori, pengarang akan kehilangan kedudukan dan keistimewaannya. Pusat segala teori

ialah menyerlah kaedah penulisan canggih, bijak dan terlatih. Pengarang dianjurkan

berfahaman eklektisisme, iaitu mengumpulkan segala perilmuan teori untuk dasar penciptaan.

Pengarang juga dituntut berpendirian interdisiplin, interpraktikal, intertekstual dan pelbagai

teknik, supaya dapat menghasilkan karya kanon.

Teori sastera tempatan menyediakan pelbagai kaedah penghasilan karya sastera.

Puitika sastera Melayu mewacanakan, karya yang indah dan menarik ialah yang mengikut

warna dan tata yang sudah dilazimi sejak zaman lipur Melayu. Takmilah berhasrat untuk

membina teks yang sempurna dan tawaduk sifatnya. Pengarang yang bermodelkan

konseptual kata kunci, karyanya akan mantap dan kaya dengan pemikiran bernas seperti yang

dibuktikan dalam karya Usman Awang. Taabudiyyah meluruskan hakikat dan syariat

manusia selari dengan konsep pengabdian dan sastera junjungan. Untuk menghasilkan karya

yang bermutu dan membina tamadun bangsa pula, disediakan caranya oleh Teori

Teksdealisme.

Pengkritik pula mengaplikasikan teori menurut genre, corak dan dinamika teks. Oleh

kerana teks pelbagai dengan struktur berbeza dan konteks yang rencam, menuntut pengkritik

menguasai banyak teori. Tidak memadai hanya dengan dua tiga buah teori sahaja. Teori

klasik, moden, pascamoden, istmewanya tempatan sepatutnya di jari jemari pengkritik.

Apabila pengkritik membaca sesebuah karya, semua teori itu akan bergerak serentak.

Penilaian begini lebih menyeluruh, tepat dan adil. Sekiranya hanya terikat pada sesebuah

Page 30: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

30  

teori, lazimnya analisisnya hanya berlegar pada pola yang sama dan membentuk formula nilai

yang biasa.

Suatu masa dahulu pengkritik dikelaskan sebagai warga sastera kedua. Pengkritik

dikatakan manusia yang gagal berkreatif. Mereka hidup di bawah bayang-bayang pengarang.

Tetapi kini, kritikan yang sudah saintifik itu, memiliki dunianya yang sendiri. Dunia

pengarang dan dunia pengkritik sudah mempunyai sempadan dan berbudaya di dalam negeri

masing-masing. Pengarang mempunyai akal mencipta, pengkritik pula memiliki ilmu

tatasasteranya. Pengkritik yang membentuk teori, menghukum mana-mana teks dan

mempunyai kelengkapan ilmu pelbagai. Nasib pengarang di tangan pengkritik.

Bagaimana pun untuk membentuk seorang pengkritik atau pengkaji, menghadapi

jalan sulit, rumit dan penuh simpang perenang. Mungkin bengkel boleh melahirkan

pengarang, tetapi pengkritik terpaksa dilahirkan di institusi pengajian tinggi.

Khalayak pembaca pula, diharapkan dapat manfaat sebesar-besarnya daripada teori

sastera tempatan, supaya dapat meningkatkan mutu bacaan teks sastera. Teori sastera

tempatan, juga Barat, biasanya akan menyediakan kaedah bacaan khas untuk khalayaknya.

Ada puluhan kaedah membaca teks sastera. Todorov memperkenalkan teknik pembacaan

konstruksi, Fish bacaan strategik, Culler bacaan abstrak, Derrida kaedah bacaan

deskonstruktif, Kristeva bacaan polovalensik, Bloom teknik salah bacaan dan lain-lain lagi.

Teori teksdealisme menyediakan kaedah bacaannya dengan nama bacaan idealistik.

Pembacaan memasuki pengalaman pengarang yang terstruktur dalam sesebuah teks untuk

mencari makna. Langkah yang perlu dilakukan ialah mencari sumber pengalaman pengarang,

dan dari manakah idea dan pengalaman itu dihadirkan. Ini bererti semantik pengalaman

pengarang mempunyai sejarahnya. Pembaca perlu menelusuri sejarah teks untuk membina

dan mengkonkritkan semula pengalaman pengarang yang telah diturunkannya dalam teks itu

untuk sampai kepada hakikat karya.

Page 31: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

31  

Terdapat tiga kategori khalayak. Pertama, membaca demi keseronokan tanpa penilaian.

Kedua, demi penialaian tanpa keseronokan, dan ketiga, demi keseronokan dan demi

penilaian, seterusnya melakukan penghakiman dan menjatuhkan hukuman. Majoriti khalayak

berada di lingkungan pertama, yang mengharapkan sesebuah teks itu dapat memberikan

hiburan dan penambahan pengalaman dan pengetahuan, tanpa berhasrat untuk menempatkan

teks itu dalam mana-mana klasifikasi penciptaan. Sementara yang kedua, justeru terikat

kepada beban peletakan taraf teks yang dibaca, khalayak ini mencari ciri-ciri kekhasan

kesusasteraan melebihi untuk keseronokan bacaan. Khalayak ketiga, bacaannya untuk

memuaskan perasaan, juga memenuhi kehendak pemikirannya. Pembaca elit ini agak langka

tetapi mengamalkan bacaan berwasit.

Penulisan kesarjanaan, tempat utama teori sastera tempatan tumbuh dan berkembang,

menunjukkan teori itu telah mendapat pengiktirafan dan kekuasaan. Ada baiknya dibuat

catatan pendek terhadap kejayaan teori sastera tempatan dalam aspek kesarjanaan. Teori

Takmilah terlebih dahulu dapat mengemuakan dua buah tesis kedoktoran, dan kedua-dua

pemegangnya kini pensyarah di Universiti Putera Malaysia. Pengkaedahan Melayu berjaya

menghasilkan dua orang pemegang ijazah kedoktoran, salah seorang daripadanya ialah

sasterawan negara wanita pertama. Puitika Sastera Melayu pula dipegang oleh seorang

pensyarah Universiti Malaya yang menulis tesis tentang pantun. Kebanyakan tesis tersebut

saya adalah salah seorang daripada penilai luarnya.

Teori Teksdealisme telah menghasilkan lima orang, yang kini telah menjadi

pensyarah yang mengajar teori dan kritikan di pusat pengajian masing-masing. Semasa saya

mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia ada sebelas buah tesis sarjana dikerjakan. Dua

buah tesis sarjana di Singapura, dan banyak kertas projek dan disertasi di Universitas Sumatra

Utara, Medan. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris, antara tahun 2000-2017 sebanyak 25

buah esei kritikan, sembilan buah latihan ilmiah, lapan penulisan tesis sarjana dan sebelas

Page 32: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

32  

penulisan disertasi kedoktoran menggunakan teori teksdealisme. Kini masih ada pelajar

sedang menyiapkan ijazah kedoktoran di Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan di Universiti

Malaya.

Agak menarik terdapat calon yang menggunakan teksdealisme, meneliti sistem

perundangan mahkamah, politik dan kepemimpinan Melayu dan adat istiadat Melayu; ini

menunjukkan teori ini tidak hanya sesuai dengan objek kajian sastera, malah merentas masuk

ke bidang-bidang yang lain. Sementara itu, hanya sebuah tesis kedoktoran yang

mengaplikasikan teori taabudiyah yang mengkaji novel Mahabbah karya Shahnon Ahmad.

Kepada para pelajar, pilihlah mana-mana teori dengan rela hati, seandainya

berhadapanan kesukaran, penderitaan, juga kebingungan lupakan saja teori itu. Jangan

menjadi hamba teori, terbelenggu, teori sepatutnya membebaskan diri. Setiap pengarang dan

karya mempunyai diri sendiri dan aspek berbeza, pilihlah teori yang dapat memurnikannya.

Kejayaan dalam bidang penulisan akademik, adalah kabar baik dan menggembirakan

dalam konteks pembinaan teori sastera tempatan. Bagaimana pun ada kabar buruk, berlaku

konflik dan perseteruan di kalangan penteori itu. Yang benar hanya teorinya, karyanya dan

dirinya. Dia memusuhi semua teori dan pengarang. Menurut Muhammad Haji Salleh, di

dunia sastera tempatan ada anjing kurap. Teorinya pun hanya baru dalam peringkat gagasan,

belum bulat menjadi teori. Kata  Nietzsche, manusia sanggup bertindak mencipta fitnah-

fitnah dan melakukan manipulasi dalam segala hal, kerana keinginannya untuk berkuasa,

yang bersumber pada kuatnya dorongan untuk mengatasi orang lain dan tunduk kepada

kepuasan nafsu.

Dalam usaha pembinaan dan penyempurnaan teori sastera tempatan ini, sepatutnya

perasaan mahabbah dan membantu antara satu sama lain sangat dituntut, selari dengan tasyrik

Islami. Umurnya baru setahun jagung, ia memerlukan pemeliharaan dan pelestarian. Budaya

penteorian Barat, memang wujud watak badut, malah, ada yang sampai bertindak menjadi

Page 33: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

33  

setan teori. Berapa ramai yang menghina Freud dengan mengatakan teorinya hanya agakan

tidak logik, tidak makkul, dan tidak saintifik, mengkaji orang gila dan akhirnya menulis

teori gila menjadikan sastera, karya dan pengarang gila. Dalam dunia teori tidak ada konflik

kepentingan. Menghindarkan penyakit mazmumah adalah tanggung jawab semua.

Banyak usaha dan tenaga yang diperlukan bagi memantapkan teori sastera tempatan

ini. Dengan usianya 30 tahun, memang sudah dewasa, tetapi masih belum cukup matang. 40

tahun adalah tahun matang, Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul di sekitar umur 40

tahun. Berjayakah kita mematangkan teori sastera tempatan sekitaran 10 tahun lagi?

Kita patut bersyukur, sesungguhnya teori sastera tempatan di bumi yang bertuah ini, telah

berjaya melakar sejarahnya yang tersendiri.

Page 34: TEORI DAN KRITIKAN: PENILAIAN DAN WACANA DINAMIKA …

 

34  

BIBLIOGRAFI

Mana Sikana, 2005. Teori dan Kritikan Sastera Malaysia. Bangi: Pustaka Karya.

Mana Sikana, 2016 (edisi ke-14). Teori Sastera Kontemporari. Bangi: Pustaka Karya.

Chandler, David, 2010. An Introduction to Genre Theory. London: Routledge.

Cora, Agatucci, 2003. Genre Theory and Criticism. Oxford: Oxford of University Press.

Duff, David, 2000. Modern and Post-modern Theory. London: Pearson Educational

Limited. Fowler, Alistair, 2012. Kinds of Literature: An Introduction to Theory of Genre and

Modes. Cambridge: Harvard University Press.