teks ucapan - utama - kementerian pendidikan malaysia … ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari...

10
1 TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD.YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA INDUK BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011 DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011 PADA 13 OKTOBER 2011; PUKUL 9.00 PAGI BERTEMPAT DI UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. 1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011. Bersempena dengan majlis ini, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya YAB Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka, yang sudi menjadi tuan rumah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang telah melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di setiap daerah. Ini adalah satu inisiatif yang amat baik dalam usaha kita untuk menyemarakkan semangat cinta kepada bahasa Kebangsaan di segenap lapisan masyarakat di negara kita.

Upload: truongmien

Post on 27-Apr-2018

221 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

1

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD.YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA INDUK BULAN BAHASA

KEBANGSAAN 2011

DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011

PADA 13 OKTOBER 2011; PUKUL 9.00 PAGI

BERTEMPAT DI UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan

Salam 1Malaysia.

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat

Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun

bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011.

Bersempena dengan majlis ini, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk

Bulan Bahasa Kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan

terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya YAB Datuk Seri

Mohd. Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka, yang sudi menjadi tuan rumah

sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya juga

mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang telah

melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di setiap daerah. Ini adalah satu

inisiatif yang amat baik dalam usaha kita untuk menyemarakkan semangat

cinta kepada bahasa Kebangsaan di segenap lapisan masyarakat di negara

kita.

Page 2: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

2

2. Bulan Bahasa Kebangsaan yang kita raikan saban tahun bukan

sekadar satu acara tahunan. Lebih dari itu, sambutan Bulan Bahasa

Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang

dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara

kita. Saya katakan satu perjuangan kerana bahasa Melayu tidak akan

berada pada darjat yang semulia ini tanpa perjuangan para pejuang bangsa

kita yang terdahulu.

3. Ketika negara kita masih di bawah penjajahan Inggeris, bahasa

Inggeris berada pada kedudukan yang amat tinggi. Ianya digunakan dalam

segala urusan rasmi dan juga sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah

Inggeris. Mereka yang mengikuti pendidikan Inggeris biasanya mendapat

peluang pekerjaan dan peluang ekonomi yang lebih baik berbanding

mereka yang bersekolah aliran Melayu dan aliran bahasa ibunda yang lain.

4. Namun, di luar lingkungan pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah

Inggeris, bahasa yang digunakan secara meluas bukanlah bahasa Inggeris,

tetapi bahasa Melayu dan juga bahasa ibunda kaum-kaum lain. Oleh kerana

peluang ekonomi dan status sosial dikaitkan dengan kemahiran berbahasa

Inggeris, maka hanya seglintir sahajalah yang mendapat peluang untuk

memajukan diri dengan menguasai bahasa Inggeris. Sebahagian besar

penduduk Tanah Melayu ketika itu terus dicengkam kemunduran.

5. Apabila negara kita mencapai kemerdekaan, para pemimpin kita

yang terdahulu telah bersepakat menjadikan bahasa Melayu sebagai

bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sementara bahasa-bahasa

Page 3: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

3

ibunda yang lain boleh digunakan di luar urusan rasmi. Dalam konteks

Tanah Melayu sebagai sebuah negara pasca-kolonial pada ketika itu,

penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilihat amat

penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum dan membina sebuah

negara bangsa yang bersatu padu. Bermula dengan termaktubnya Fasal

152 Perlembagaan Persekutuan, diikuti dengan penggubalan Akta Dewan

Bahasa dan Pustaka pada tahun 1959, kemudiannya Akta Bahasa

Kebangsaan pada tahun 1967, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan dan bahasa rasmi telah terpahat kukuh dalam perlembagaan

dan undang-undang negara.

6. Namun, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak terhenti

setakat itu sahaja. Kedudukan bahasa Melayu kemudiannya dimantapkan

lagi dengan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan

Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar

utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekolah-sekolah yang

dahulunya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar telah

diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Manakala sekolah-

sekolah vernakular dibenar menggunakan bahasa ibunda masing-masing

dengan harapan suatu hari nanti sekolah-sekolah ini juga akan

menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

7. Pada peringkat awalnya, terdapat suara-suara yang tidak yakin

dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Ada yang menganggap bahasa Melayu adalah bahasa yang mundur. Bagi

mereka bahasa Melayu tidak akan mampu mengungkapkan konsep-konsep

ilmu moden yang diperlukan oleh bangsa kita untuk maju.

Page 4: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

4

8. Andaian golongan ini ternyata meleset. Semenjak bahasa Melayu

digunakan sebagai pengantar dalam sistem pendidikan kita, termasuk pada

ketika itu di Universiti Malaya dan kemudiannya Universiti Kebangsaan

Malaysia, berbondong-bondong pelajar dari segenap ceruk rantau berjaya

memasuki universiti. Peluang melanjutkan pelajaran ke universiti bukan

lagi menjadi milik ekslusif anak-anak golongan bangsawan dan hartawan,

tetapi juga menjadi milik anak-anak petani, anak-anak nelayan, pekebun,

peniaga kecil, pekerja estet, buruh kasar, guru, kerani dan lain-lain. Mereka

mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya

menguasai bahasa Inggeris.

9. Mereka inilah kemudiannya menjadi generasi awal rakyat tempatan

yang mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor profesional. Dengan

mendapat peluang pendidikan yang berkualiti dalam bahasa kebangsaan,

anak-anak bangsa kita telah berjaya memajukan diri dan menyumbang

kepada pembangunan dan kemajuan negara yang pesat.

10. Jelasnya, pemeluasan kelas menengah secara besar-besaran dan

kemajuan pesat negara kita dicapai selepas bahasa kebangsaan

menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem

pendidikan kita. Bukankah ini satu bukti yang terang lagi nyata tentang

kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

Janganlah kerana ketaksuban kita kepada bahasa asing menyebabkan kita

mempunyai pandangan yang juling terhadap bahasa kebangsaan kita

sendiri.

11. Sebetulnya juga, banyak negara-negara yang telah maju, atau yang

sedang berkembang maju, berjaya menempa kemajuan tanpa

Page 5: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

5

meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing. Negara-negara ini

mementingkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi tidak sekali-kali

menggantikan tempat bahasa kebangsaan mereka dengan bahasa Inggeris.

Malah, daripada lapan ekonomi gergasi dunia, iaitu negara-negara G7 dan

China, hanya tiga buah negara sahaja, iaitu Amerika Syarikat, United

Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Malah rakyat

Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis, manakala di United

Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

12. Dalam kalangan negara-negara Brazil, Russia, India dan China atau

BRIC, iaitu negara-negara yang sedang berada pada tahap kemajuan

ekonomi paling rancak, hanya India sahaja tidak mengekalkan bahasa

sendiri. Kebanyakan negara-negara Nordik yang maju juga mengekalkan

bahasa masing-masing. Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian

Baru di Asia Timur, hanya Singapura sahaja yang tidak mengekalkan

bahasa ibunda.

13. Jika kita meneliti perkembangan di negara-negara yang sudah maju,

atau yang sedang berkembang maju, kita akan dapati bahawa bahasa

Inggeris adalah satu bahasa yang penting, tetapi bukanlah satu-satunya

bahasa yang menjamin kemajuan. Negara China tidak menjadikan bahasa

Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-

mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa

kebangsaan negara mereka, malah menghormati bahasa kebangsaan

negara-negara lain.

14. Ketika saya melawat negara China baru-baru ini, mereka meminta

saya supaya bertutur dalam bahasa Melayu yang kemudiannya

Page 6: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

6

diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, walaupun mereka boleh berbahasa

Inggeris. Ini menunjukkan betapa sebuah negara yang telah menempa

kemajuan, sebuah negara yang telah berjaya membina peradaban sejak

ribuan tahun lampau, menghormati bahasa kebangsaan.

15. Saya percaya, yang penting ialah sikap kita terhadap bahasa

kebangsaan. Kita perlu yakin dengan kemampuan bahasa kebangsaan kita

sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kerana itu, Dasar

Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahasa kebangsaan adalah bahasa

pengantar utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bayangkan

sekiranya bahasa kebangsaan tidak lagi digunakan di sekolah dan di

universiti. Perkembangan bahasa kebangsaan pastinya akan terbantut dan

tamatlah riwayat bahasa kita sebagai bahasa ilmu.

16. Apabila bahasa kita tidak lagi mempunyai apa-apa nilai yang

dikaitkan dengan ilmu dan kemajuan, lama-kelamaan ianya akan menjadi

bahasa pasar atau bahasa jalanan sahaja. Lebih malang sekiranya bahasa

kita tidak lagi dipertuturkan orang dan pupus begitu sahaja. Pupus bahasa,

pupuslah bangsa. Saya menimbulkan kebimbangan ini bukan kerana mahu

bersikap pesimis terhadap nasib masa depan bahasa kebangsaan. Tetapi

bak kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak

berguna.

17. Sebagai Menteri Pelajaran, saya memikul satu amanah yang berat

untuk terus mempertahan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan

Kebangsaan yang memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa

pengantar utama. InsyaAllah, dengan sokongan anda semua, amanah ini

akan saya galas sedaya upaya saya.

Page 7: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

7

Angin berputar ombak bersahut

Membujur lalu melintang patah

Usahlah kita kelam kelibut

Amanah bangsa dijulang megah

18. Dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranan

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu diperluaskan ke peringkat

pengajian tinggi. Ketika berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia

baru-baru ini, saya menegaskan tentang peri pentingnya Universiti

Kebangsaan Malaysia, yang ditubuhkan di atas semangat dan keringat para

pejuang bahasa, supaya mempertahankan peranan dan fungsi asalnya

sebagai insitusi keilmuan yang memartabatkan penggunaan bahasa Melayu

sebagai bahasa ilmu. Sehubungan itu, saya menyarankan supaya UKM terus

melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu,

termasuk dalam bidang sains dan teknologi, serta menggalakkan para

pensyarah menerbitkan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Usaha

ini perlu juga dicontohi oleh universiti-universiti lain.

19. Kita memahami bahawa penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah

penting untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat

antarabangsa. Tetapi ini tidak bermakna kita harus meminggirkan

penerbitan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Adalah lebih baik

sekiranya karya-karya ilmiah, terutamanya dalam bidang sains dan

teknologi diterbitkan dalam bahasa Melayu untuk tatapan rakyat

terbanyak. Dengan itu akan berlakulah limpahan ilmu yang lebih luas

dalam kalangan masyarakat yang pastinya akan mendorong lebih banyak

cetusan kreativiti dan inovasi rakyat.

Page 8: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

8

20. Pada masa kini, daripada hampir 15,700 judul buku yang diterbitkan

di negara kita, hanya terdapat sekitar 3,900 judul buku sains dan teknologi.

Jumlah buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi yang bertaraf ilmu

tinggi dalam bahasa Melayu adalah amat sedikit. Sekiranya kita benar-

benar mahu menyebarluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,

terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, maka jumlah buku-buku

ilmiah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan.

21. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan kerajaan melalui

Dewan Bahasa dan Pustaka, akan mewujudkan dana berjumlah 2 juta

ringgit bermula tahun 2012 untuk menggalakkan penerbitan buku-buku

ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Setiap

penulis yang menghasilkan buku-buku ini yang diterbitkan oleh Dewan

Bahasa dan Pustaka akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain

bayaran royalti yang biasa diterima. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka akan

menentukan karya-karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip

yang dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis yang berjaya.

22. Selain memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,

fungsinya sebagai bahasa rasmi, khususnya dalam pentadbiran dan urusan

rasmi kerajaan, perlu dimantapkan. Sehubungan itu, kabinet telah

bersetuju supaya semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa

kebangsaan dalam segala urusan rasmi sama ada mesyuarat, surat-

menyurat, seminar dan lain-lain. Untuk memastikan arahan ini dipatuhi,

Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa

Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan

Perkhidmatan Awam.

Page 9: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

9

23. Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di

tempat-tempat awam juga perlu diberikan perhatian utama oleh pihak-

pihak berkuasa tempatan. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan

penghargaan kepada dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis

Perbandaran Melaka Bandar Raya Bersejarah dan Dewan Bandar Raya

Kuala Lumpur yang telah mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan

yang betul pada papan-papan iklan di tempat awam. Syabas dan tahniah

saya ucapkan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini atas

komitmen yang ditunjukkan dalam usaha untuk menguatkuasakan

penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

24. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga perlu turut sama

menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam organisasi

masing-masing. Saya menyeru syarikat-syarikat berkaitan kerajaan supaya

turut memainkan peranan penting dalam usaha memperkasa bahasa

kebangsaan dalam segala urusan syarikat. Sewajarnya syarikat-syarikat

berkaitan kerajaan mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk

memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang-bidang berkaitan

perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain

perkhidmatan. Sama-samalah kita berganding bahu dalam menjayakan

usaha memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan di negara kita.

25. Anggota masyarakat juga perlu sentiasa mempunyai sikap yang

positif terhadap bahasa kebangsaan. Ini bermakna, kita perlu memupuk

rasa cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan. Ungkapan “Bahasa

Jiwa Bangsa” perlu benar-benar dijiwai oleh kita semua supaya kita

merasakan bahawa bahasa kebangsaan adalah milik kita bersama. Justeru,

Page 10: TEKS UCAPAN - Utama - Kementerian Pendidikan Malaysia … Ucapan … ·  · 2016-10-18mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya ... Janganlah kerana ketaksuban

10

saya amat berharap agar kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini dapat

memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan.

26. Akhir kata, saya selaku pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa

Kebangsaan 2011 merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak

yang terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada

tahun ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan

setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh

Bahasa Melayu Antarabangsa, Professor Wu, di atas sumbangan besar

beliau terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu di peringkat

antarabangsa, khususnya di negara China. Mudah-mudahan dengan

sumbangan yang beliau curahkan ini, bahasa Melayu akan terus unggul di

persada dunia.

Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” saya dengan sukacitanya

melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi

wabarakatuh.