syair tunjuk ajar melayu
TRANSCRIPT
SYAIR TUNJUK AJAR MELAYU (NASIHAT IBU BAPA KEPADA ANAKNYA) Oleh : Tenas Effendy
TENTANG MENGHORMATI GURU
Wahai ananda dengarlah amanat Terhadap gurumu hendaklah hormat Ilmunya banyak memberi manfaat Menyelamatkan hidup dunia akhirat
Kepada guru hendaklah sopan Tunjuk ajarnya ananda dengarkan Penat letihnya jangan dilupakan Supaya hidupmu dirahmati Tuhan
Kepada gurumu janganlah durhaka Jangalah pula berburuk sangka Tunjuk ajarnya ananda jaga Supaya manfaatnya dapat dirasa
Kepada gurumu eloklah perangai Apabila disuruhnya janganlah lalai Tunjuk ajarnya selalu dipakai Supaya hasratmu cepat tercapai
Apabila gurumu selalu kau tantang Ditujuk diajar engkau membangkang Akibatnya buruk bukan kepalang Ilmu dituntut berkahnya hilang
Kepada guru jangan menista Bercakap kasar bermasam muka Orang benci Allah pun murka Hidupmu akan terlunta-lunta
Kepada gurumu nampakkan minat Petuah didengar petunjuk diingat Supaya belajar beroleh manfaat Membawa berkah dunia akhirat
Kepada gurumu hendaklah patuh Ditunjuk diajar jangan mengeluh Belajarlah dengan bersungguh-sungguh Supaya hidupmu menjadi senonoh
Anggaplah guru sebagai ibu bapa Tempat merunjuk tempat bertanya Memudahkan ananda memahami ilmunya Supaya pelajaranmu tak sia-sia
Jadikan gurumu contoh teladan Minta nasihat untuk pegangan Apa masalahmu boleh disampaikan Supaya bebanmu menjadi ringan
Kepada gurumu berterus terang Jangan bercakap main belakang Supaya belajar hatimu lapang Guru mengajar hatnya senang
Kepada gurumu berterima kasih Kerana mengajarmu berpenat letih Sampaikan dengan hati yang bersih Semoga menjadi amalan soleh
Wahai ananda permata bunda Gurumu itu juga manusia Tentulah ada lebih kurangnya Maafkan olehmu bila ada salahnya
Kepada guru jangan mendendam Orang pendendam imannya padam Budi yang baik jadi tenggelam Hari depanmu menjadi suram
Budi gurumu janganlah dilupakan Penat letihnya jangan diabaikan Ilmu diterima engkau amalkan Semoga pahalanya sama dirasakan
Budi gurumu selalu dikenang Jasanya besar bukan kepalang Engkau dididik menjadi orang Ditunjukan pula jalan yang terang