sp psk kbsm edited

12
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sukatan Pelajaran PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

Upload: zaba

Post on 09-Mar-2016

235 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

 

TRANSCRIPT

Page 1: Sp psk kbsm edited

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah

Sukatan Pelajaran

PENDIDIKAN SIVIK

DAN KEWARGANEGARAAN

Page 2: Sp psk kbsm edited

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah

Sukatan Pelajaran

PENDIDIKAN SIVIK DAN

KEWARGANEGARAAN

PUSAT PERKEMBANGAN KURIKULUM

Page 3: Sp psk kbsm edited

iii

RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak

mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;

memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil

di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan

saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi

kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu

masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga

dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas

prinsip-prinsip berikut :-

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Page 4: Sp psk kbsm edited

iv

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah

lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh

dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan

harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,

berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha

ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia

yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,

bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan

diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan

kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Page 5: Sp psk kbsm edited

v

KATA PENGANTAR Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penggubalan kurikulum mata pelajaran ini bertujuan memantapkan Akta Pendidikan, memenuhi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan murid menghadapi cabaran pendidikan pada abad 21. Penggubalan kurikulum mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini, memberi penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyediakan murid untuk memainkan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, beretika tinggi, hidup dalam semangat perpaduan dan berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan bijaksana. Diharapkan kurikulum ini dapat membentuk peribadi murid yang berkeyakinan dan tabah dalam mengatasi segala rintangan dan cabaran hidup. Mata pelajaran ini ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah menengah. Kandungan Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merangkumi aspek-aspek pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai sivik. Adalah diharapkan guru akan menghayati dan melaksanakan kehendak-kehendak sukatan pelajaran ini agar matlamat dan objektif yang telah ditetapkan akan tercapai. Kementerian Pelajaran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sumbangan kepakaran, masa dan tenaga sehingga terhasilnya sukatan pelajaran ini.

(TAN SRI ABDUL RAFIE BIN MAHAT) Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia

Page 6: Sp psk kbsm edited

SUKATAN PELAJARAN PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

PERINGKAT SEKOLAH MENENGAH

Pendahuluan

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting

dalam kurikulum kebangsaan sekolah menengah bagi melahirkan z masyarakat dan negara. Justeru,

unsur-unsur patriotisme dan perpaduan menjadi intipati dalam perancangan kurikulum Pendidikan Sivik

dan Kewarganegaraan peringkat menengah. Mata pelajaran ini membolehkan murid memperoleh

pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan melalui pengajaran dan pembelajaran

yang berinteraktif dan berpusatkan murid.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menekankan empat prinsi pendidikan yang penting iaitu belajar

untuk mengetahui (learning to know) belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup

bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Belajar

untuk mengetahui dapat mengembangkan kebolehan murid menguasai ilmu dan membantu

mempengaruhi perasaan dan tingkah laku sivik. Belajar untuk bertindak merujuk kepada aplikasi

pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan menerusi aktiviti di

dalam dan di luar bilik darjah. Prinsip ini membolehkan murid menguasai kemahiran untuk kerjaya masa

depan dan kemahiran menghadapi serta menangani cabaran Belajar untuk membentuk peribadi penting

bagi perkembangan menyeluruh setiap individu yang merangkumi aspek rohani, fizikal, intelek, emosi

dan sosial Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakan asas dalam mengekalkan keamanan dan

keharmonian dan amat bersesuaian dengan latar masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui

prinsip ini, unsur perpaduan dalam keluarga komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah

menengah. Selaras dengan ini, pihak sekolah bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid

dengan pengetahuan kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan

tanggungjawab sivik dan kewarganegaraan. Murid perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan kreatif

serta kesedaran sivik dan kewarganegaraan untuk melahirkan warganegara yang patriotik dan dapat

memainkan peranan yang konstruktif dalam pembangunan negara.

Matlamat

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan,

hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat

dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan

masyarakat, negara dan dunia.

Page 7: Sp psk kbsm edited

Objektif

Objektif mata pelajaran ini merangkumi tiga aspek iaitu pengetahuan kemahiran dan nilai.

Objektif Pengetahuan:

i. Mengenal pasti ciri-ciri peribadi yang boleh menyumbang terhadap pembangunan masyarakat dan

negara.

ii. Menerangkan peranan dan tanggungjawab keluarga terhadap pembentukan masyarakat yang

sejahtera.

iii. Memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat

yang bersatu padu.

iv. Menjelaskan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang progresif dinamik dan patriotik.

v. Menghuraikan peranan dan tanggungjawab warganegara terhadap pembangunan negara.

vi. Mengetahui cara-cara menangani cabaran dan ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan

masyarakat dan negara.

Objektif Kemahiran:

i. Mendisiplinkan diri dalam mencapai wawasan diri dan negara.

ii. Menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keluarga untuk melahirkan keluarga yang bahagia.

iii. Berinteraksi dengan anggota masyarakat pelbagai kaum untuk mewujudkan perpaduan negara.

iv. Menangani konflik diri, keluarga dan masyarakat.

v. Bekerjasama dengan anggota masyarakat untuk kebaikan bersama.

vi. Menyertai aktiviti pembangunan masyarakat dan negara.

vii. Mengambil tindakan wajar dalam menghadapi pelbagai situasi.

Objektif Nilai:

i. Mempunyai wawasan untuk mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

ii. Menghargai sumbangan keluarga dalam membentuk masyarakat yang mapan.

iii. Berbangga terhadap keunikan pelbagai budaya sebagai keistimewaa masyarakat Malaysia.

iv. Menghargai kepentingan alam sekitar dalam meningkatkan kualiti hidup.

v. Bersikap prihatin terhadap anggota masyarakat yang memerlukan bantua demi kesejahteraan bersama.

vi. Menunjukkan kesedaran sivik dan kewarganegaraan sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

vii. Cinta akan negara dan sanggup berkorban untuk negara.

viii. Menunjukkan semangat kekitaan dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara dan sejagat.

Organisasi Kandungan

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi penekanan terhadap penguasaan pengetahuan,

kemahiran dan nilai sivik. Pengetahuan sivik terdiri daripada maklumat dan idea asas yang murid harus

tahu serta menggunakanny a untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan produktif.

Maklumat asas ini merangkumi aspek pencapaian kendiri, hubungan kekeluargaan masyarakat pelbagai

kaum dan budaya di Malaysia, sistem politik dan perundangan, ekonomi dan cabaran masa depan.

Page 8: Sp psk kbsm edited

Kemahiran sivik terdiri daripada kemahiran intelektual dan partisipator Penguasaan kemahiran-kemahiran

ini membolehkan murid membuat keputusan menyelesaikan masalah, meningkatkan kesedaran sivik dan

memberi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Komponen nilai sivik terdiri daripada nilai murni yang perlu untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia

dan warganegara yang bertanggungjawab. Nilai sivik ini, antara lain merangkumi toleransi, menghormati

hak orang lain, adil, saksama patriotisme dan integriti. Nilai sivik juga menekankan komitmen untuk

memelihara proses demokrasi dan menghargai persamaan dan kelainan dalam masyarakat pelbagai

budaya.

1. Kandungan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan

Kandungan mata pelajaran ini digubal secara tematik. Penggubalan tema in mengambil kira dimensi

peribadi dan sosial murid yang berkembang dari diri individu, hubungan dengan keluarga, masyarakat

sekolah, komuniti luar sekolah negara dan cabaran masa depan yang juga merangkumi masyarakat

global.

Dalam konteks ini unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik menjadi fokus pengajaran dan

pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah.

Tema yang ditetapkan adalah seperti berikut:

i. Pencapaian Kendiri

Tema ini menghuraikan tentang perkembangan diri ke arah kecemerlangan yang meliputi aspek

identiti dan wawasan diri, sifat-sifat peribadi mulia, kebolehan membuat keputusan, pemilihan kerjaya

da pendidikan sepanjang hayat. Topik dalam tema ini ialah:

Identiti diri

Penyelesaian konflik

Kecemerlangan diri

Pilihan kerjaya

Keputusan yang bijak dan adil

Wawasan diri

Perkembangan diri yang seimbang

Pendidikan sepanjang hayat untuk pembangunan negara

Perikemanusiaan ke arah kesejahteraan negara

ii. Hubungan Kekeluargaan

Tema ini menghuraikan pembinaan keluarga bahagia, keperluan

berkeluarga dan persiapan hidup berkeluarga. Topik dalam tema ini

ialah:

Keluarga bahagia

Perpaduan dalam keluarga

Tanggungjawab terhadap keluarga

Keperluan berkeluarga

Persiapan membina keluarga ke arah pembentukan masyarakat mapan

Page 9: Sp psk kbsm edited

iii. Hidup Bermasyarakat

Tema ini menghuraikan aspek hubungan individu dengan anggota masyarakat dan alam sekitar, cara

menangani isu-isu sosial dan sumbangan individu terhadap pembangunan masyarakat dan negara

Topik dalam tema ini ialah:

Bangga terhadap sekolah

Penjagaan dan peningkatan imej sekolah

Hormati hak orang lain

Pemupukan semangat kekitaan

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar

Kepekaan dan tindakan terhadap isu dan masalah alam sekitar

Kepekaan dan tindakan terhadap isu dan masalah sosial dalam masyarakat

Peraturan dan undang-undang dalam masyarakat

Sumbangan terhadap pembangunan masyarakat melalui

penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

iv. Warisan Kepelbagaian Budaya Malaysia

Tema ini menghuraikan aspek pengekalan dan penghargaan terhadap

warisan budaya dan pemahaman tentang ajaran dan amalan pelbagai

agama masyarakat Malaysia. Topik dalam tema ini ialah:

Cerita rakyat pelbagai kaum

Warisan kesenian pelbagai kaum

Adat resam dan pantang larang pelbagai kaum

Prinsip-prinsip penting dalam ajaran agama

Kepentingan amalan-amalan tertentu dalam perayaan pelbagai kaum

Sumbangan pelbagai pihak terhadap warisan budaya Malaysia

Mempromosikan warisan budaya Malaysia di dalam dan di luar negara

v. Malaysia Negara Berdaulat

Tema ini menghuraikan unsur patriotik dan kedaulatan negara, sistem pemerintahan negara dan hak dan

tanggungjawab warganegara. Topik dalam tema ini ialah:

Kerajaan demokrasi

Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia

Raja Berperlembagaan

Tugas dan tanggungjawab warganegara dalam kerajaan demokrasi

Jentera pentadbiran Negara Malaysia

Kenali kementerian-kementerian di Malaysia

Kepentingan Perlembagaan Malaysia

Peruntukan utama Perlembagaan Malaysia

Mengekalkan kedaulatan negara

Melengkapkan diri untuk mewarisi negara

Page 10: Sp psk kbsm edited

vi. Cabaran Masa Depan

Tema ini menghuraikan tanggungjawab dan sumbangan masyarakat terhadap negara dan keamanan

sejagat serta kesediaan menghadapi cabaran globalisasi. Topik dalam tema ini ialah:

Kesinambungan kesejahteraan rakyat

Kestabilan dan keberkesanan jentera pentadbiran negara

Bekerjasama dan bersatu padu dalam menghadapi pelbagai cabaran

Mengekalkan keamanan negara dan sejagat

Memastikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipraktikkan

Membina budaya kerja yang cemerlang ke arah kemakmuran negara

Pengguna yang rasional

Menjana pembangunan negara

Menangani cabaran globalisasi

Mengekalkan dan meningkatkan pengiktirafan dunia terhadap negara

Tema dalam mata pelajaran ini tidak terikat dengan urutan dan guru boleh menyesuaikan tema-tema ini

dengan aktiviti dan isu semasa yang berlaku dalam sekolah, masyarakat, negara atau di peringkat

antarabangsa. Misalnya, tema Malaysia Negara Berdaulat boleh diajar dalam konteks sambutan bulan

kemerdekaan agar murid dapat memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai warganegara

dengan lebih berkesan dan bermakna.

2. Khidmat Masyarakat

Khidmat Masyarakat merupakan komponen penting dalam kurikulum Pendidikan Sivik dan

Kewarganegaraan. Khidmat Masyarakat ialah kerja amal yang dijalankan di luar jadual waktu

persekolahan. Murid dikehendaki menjalankan satu projek Khidmat Masyarakat sekurang-kurangnya

10 jam setahun dan menyediakan laporan. Melalui Khidmat Masyarakat ini, murid diharapkan

dapat merealisasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik. Penyertaan murid dalam kerja projek ini

juga dapat menyediakan warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan

negara.

Pihak sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan murid menjalankan kerja projek

mengikut tingkatan dan tema seperti dalam senarai cadangan di bawah. Namun begitu, murid boleh

memilih projek Khidmat Masyarakat lain yang difikirkan sesuai.

Page 11: Sp psk kbsm edited

Tingkatan Tema Cadangan Khidmat Masyarakat

1

Pencapaian

Kendiri

Hubungan

Kekeluargaan

- Projek Learning to Say No

- Projek Kaunseling Rakan Sebaya

- Projek penjagaan kesihatan dan keselamatan diri

- Kajian kehidupan keluarga pada masa depan

- Profil keluarga asas dan kembangan

2

Hidup

Bermasyarakat

- Projek mengindahkan kawasan tempat tinggal

- Projek rekreasi tempat tinggal

- Projek kenali jiran tetangga

- Projek job week

- Projek membantu warga tua di rumah kebajikan

- Projek membersihkan tempat beribadat/ rumah orang tua/rumah kebajikan

- Cadangan meningkatkan kemudahan awam untuk golongan kurang upaya

- Projek khidmat sukarela di rumah anak yatim/kanak-kanak istimewa

3

Warisan

Kepelbagaian

Budaya

Malaysia

- Persembahan kebudayaan pelbagai kaum

- Projek jualan makanan pelbagai kaum

- Pameran pelbagai budaya Malaysia

- Cadangan pemuliharaan bangunan/artifak bersejarah

- Kajian seni bina bangunan bersejarah

- Projek stesen radio sekolah

Page 12: Sp psk kbsm edited

Tingkatan Tema Cadangan Khidmat Masyarakat

4

Malaysia

Negara

Berdaulat

- Kajian tentang sumbangan pemimpin

- Pengumpulan episod menarik dalam sejarah

- Pengumpulan kisah/cerita patriotik

- Pameran maksud/erti Merdeka

- Kajian latar belakang dan maksud bendera/jata negeri dan negara

- Kajian tentang flora dan fauna di Malaysia

- Cadangan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat:

Contohnya:-

- Meningkatkan sistem pengangkutan awam

- Menempatkan semula setinggan

- Membersihkan sungai/jalan/pantai/ kawasan rekreasi

- Menghijaukan kawasan setempat

5 Cabaran Masa

Depan

- Merancang mata pelajaran futuristik untuk sumber manusia masa depan

- Projek merekacipta sistem pengangkutan mesra alam

- Cadangan menyelesaikan masalah perumahan/kesesakan lalu lintas/

pengangkutan

- Kajian punca dan cara mengatasi gejala gengsterisme di sekolah

- Kajian tentang cabaran sistem kekeluargaan masa depan

- Kajian kes isu sosial di kawasan setempat

- Merancang khemah pelarian atau perkhidmatan kecemasan bencana alam

- Merancang projek kerjasama serantau ke arah keamanan sejagat

Strategi Pelaksanaan

Dalam usaha menjadikan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebagai mata pelajaran menarik dan

berkesan, pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran mesti digunakan. Kepelbagaian strategi ini harus

memberi penumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid dan berorientasikan

aktiviti hands-on di dalam dan di luar bilik darjah. Oleh itu strategi yang dijalankan sewajarnya dapat

meningkatkan pengetahuan murid tentang isu sivik dan kewarganegaraan, menerapkan pelbagai

kemahiran dan memupuk nilai sivik dan kewarganegaraan ke arah melahirkan warganegara yang

bertanggungjawab, patriotik dan dapat menyumbang ke arah pembangunan negara.

Penilaian

Untuk mengukur pembelajaran murid dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dari segi pengetahuan,

kemahiran dan nilai, guru digalakka menggunakan pelbagai cara penilaian. Antara cadangan bentuk

penilaian yang boleh dijalankan ialah pemerhatian, senarai semak tingkah laku, ujian, tugasan dan laporan.