sokongan terhadap hak saudara baru...

10
SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU MENURUT SYARAK Nabilah Huda Zaim & Zuliza Mohd Kusrin Abstrak Turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w menyebabkan Islam diterima oleh masyarakat pada zaman tersebut berdasarkan kepada pemelukan Islam para sahabat. Golongan muallafatun qulubuhum sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran ini adalah golongan yang perlu diberi sokongan bagi memastikan hak mereka sebagai saudara baru terjamin. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti bentuk- bentuk sokongan hak saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Metodologi kajian mengaplikasikan pendekatan analisis kandungan dengan merujuk kepada kitab-kitab sirah bagi mendapatkan data dan maklumat berkenaan sokongan dan jaminan terhadap mualaf di zaman Rasulullah s.a.w. Hasil kajian mendapati bahawa sokongan dan jaminan terhadap hak saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu hak mendapatkan sokongan spiritual dan hak mendapatkan sokongan fizikal. Sokongan dari aspek spiritual adalah pembinaan dan pengukuhan akidah, pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah, pengetahuan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat, pembentukan akhlak dan adab-adab di dalam Islam serta sokongan moral. Manakala dari aspek fizikal pula, sokongan terhadap saudara baru dilaksanakan melalui pemberian zakat, sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci: saudara baru, sokongan, zaman Rasulullah s.a.w, spiritual, fizikal Pendahuluan Islam merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Penyebaran dakwah Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w selepas penurunan wahyu di Makkah diterima dengan baik berdasarkan pemelukan Islam para sahabat dari hari ke hari. Mereka yang baru memeluk Islam dikenali sebagai mualaf atau saudara baru. Jika dilihat dari aspek sejarah dakwah Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu, golongan mualaf atau saudara baru yang memeluk Islam telah mendapat sokongan dan jaminan daripada pemerintah dan masyarakat tidak kira dalam bentuk spiritual atau pun fizikal. Hal ini tidak dapat tidak menyumbang kepada pengukuhan dan pemeliharaan akidah Islam yang baru berputik dalam jiwa saudara baru. Kertas kerja ini melaporkan sebahagian daripada kajian yang dilakukan berkenaan dengan Sokongan Terhadap Hak Saudara Baru menurut syara’ dan perundangan di Negeri Sembilan. Kertas kerja ini menfokuskan kepada bentuk-bentuk sokongan hak saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Bentuk-bentuk sokongan ini penting untuk diketahui dan difahami oleh masyarakat khususnya pihak berkuasa di institusi yang terlibat, agar menjadi panduan dalam menambahbaik sokongan sedia ada terhadap saudara baru.

Upload: lynga

Post on 06-Feb-2018

223 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU MENURUT SYARAK

Nabilah Huda Zaim & Zuliza Mohd Kusrin

Abstrak

Turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w menyebabkan Islam diterima oleh

masyarakat pada zaman tersebut berdasarkan kepada pemelukan Islam para sahabat.

Golongan muallafatun qulubuhum sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran ini

adalah golongan yang perlu diberi sokongan bagi memastikan hak mereka sebagai

saudara baru terjamin. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti bentuk-

bentuk sokongan hak saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w.

Metodologi kajian mengaplikasikan pendekatan analisis kandungan dengan merujuk

kepada kitab-kitab sirah bagi mendapatkan data dan maklumat berkenaan sokongan

dan jaminan terhadap mualaf di zaman Rasulullah s.a.w. Hasil kajian mendapati

bahawa sokongan dan jaminan terhadap hak saudara baru yang dilaksanakan pada

zaman Rasulullah s.a.w dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu hak

mendapatkan sokongan spiritual dan hak mendapatkan sokongan fizikal. Sokongan

dari aspek spiritual adalah pembinaan dan pengukuhan akidah, pembelajaran al-Quran

dan al-Sunnah, pengetahuan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat, pembentukan

akhlak dan adab-adab di dalam Islam serta sokongan moral. Manakala dari aspek

fizikal pula, sokongan terhadap saudara baru dilaksanakan melalui pemberian zakat,

sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan.

Kata kunci: saudara baru, sokongan, zaman Rasulullah s.a.w, spiritual, fizikal

Pendahuluan

Islam merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Penyebaran dakwah

Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w selepas penurunan wahyu di Makkah

diterima dengan baik berdasarkan pemelukan Islam para sahabat dari hari ke hari.

Mereka yang baru memeluk Islam dikenali sebagai mualaf atau saudara baru.

Jika dilihat dari aspek sejarah dakwah Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu, golongan

mualaf atau saudara baru yang memeluk Islam telah mendapat sokongan dan jaminan

daripada pemerintah dan masyarakat tidak kira dalam bentuk spiritual atau pun

fizikal. Hal ini tidak dapat tidak menyumbang kepada pengukuhan dan pemeliharaan

akidah Islam yang baru berputik dalam jiwa saudara baru.

Kertas kerja ini melaporkan sebahagian daripada kajian yang dilakukan berkenaan

dengan Sokongan Terhadap Hak Saudara Baru menurut syara’ dan perundangan di

Negeri Sembilan. Kertas kerja ini menfokuskan kepada bentuk-bentuk sokongan hak

saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Bentuk-bentuk

sokongan ini penting untuk diketahui dan difahami oleh masyarakat khususnya pihak

berkuasa di institusi yang terlibat, agar menjadi panduan dalam menambahbaik

sokongan sedia ada terhadap saudara baru.

Page 2: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

97

Sokongan Dan Saudara Baru

Sokongan menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 membawa erti sesuatu perbuatan yang

menyatakan persetujuan, memberi perangsang dengan bantuan kebendaan (seperti

wang dan lain-lain) atau tanpa bantuan kebendaan dan juga pertolongan. (Dewan

Bahasa & Pustaka 2005).

Sokongan boleh didefinisikan melalui pelbagai cara dan berasaskan pendekatan yang

subjektif, iaitu dengan memberi definisi berasaskan tanggapan individu mengenai

sesuatu sokongan. Sokongan juga turut didasarkan kepada jenis, kategori, perilaku,

kesan atau hasil sokongan itu. Secara umumnya, sokongan boleh dikatakan merujuk

kepada suatu jaringan perhubungan yang dianggap boleh memberi sokongan,

tindakan, sikap mahupun persekitaran emosi yang bersifat menyokong seseorang

kepada orang lain. (Abd Halim 2011)

Oleh yang demikian, sokongan boleh disimpulkan dengan sesuatu perbuatan atau

tindakan yang menunjukkan rangsangan dan pertolongan tidak kira dari sudut

spiritual atau fizikal. Dengan itu, sokongan dari kedua-dua bentuk ini dikaji

perlaksanaannya terhadap golongan mualaf pada zaman Rasulullah s.a.w.

Saudara baru merupakan satu istilah yang lazim digunapakai di Malaysia yang

difahami atau ditujukan kepada orang yang baru memeluk Islam atau dikenali juga

sebagai mualaf. Perkataan mualaf berasal daripada Bahasa Arab. Kata akarnya ialah

allafa-yu’allifu- ta’lif, yang membawa maksud jinak. Dari sudut bahasa, perkataan

mualaf didefinisikan sebagai orang-orang yang baru memeluk Islam atau saudara baru

(Kamus Dewan 2005). Menurut Lisan al-‘Arab (Ibn Manzur TT:180) pula, perkataan

mualaf berasal dari al-lafa yang membawa maksud menghimpunkan sesuatu dengan

sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu.

Jika dilihat dari sudut istilah pula, perkataan mualaf merujuk dan berasal daripada

perkataan wal-mualafatu qulubuhum seperti yang termaktub dalam Surah al-Tawbah

ayat 60. Ayat ini turut dikenali sebagai ayat al-Sadaqat.

Maksudnya:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir,

dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang

muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak

memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk

(dibelanjakan pada) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir (yang

keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah)

sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah)

Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksana (al-Tawbah 9: 60).

Menurut Kamus Istilah Fiqh, muallafatun qulubuhum adalah mereka yang dipujuk

hatinya atau mereka yang baru memeluk Islam dan iman mereka masih lemah.

Page 3: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

98

Berdasarkan ayat di atas, mereka tergolong dalam lapan asnaf iaitu golongan yang

berhak menerima zakat. (Abdul Mujieb, et. al. 1994:211). Mualaf merupakan

golongan asnaf keempat menurut turutan yang berhak menerima zakat atau sedekah.

Hal ini bertujuan untuk melunakkan, merapatkan serta menyatukan hati mereka

terhadap Islam terutamanya pada peringkat awal pemelukan Islam (al-Razi 1997:

6,85).

al-Qurthubi (2008) dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam Al-Quran mendefinisikan

mualaf sebagai segelintir orang yang hidup pada masa awal kemunculan Islam, yang

baru memeluk Islam secara lahiriah akan tetapi keyakinan mereka sangat lemah.

Manakala menurut az-Zuhri pula, mualaf adalah orang-orang Yahudi atau orang-

orang Nasrani yang baru saja memasuki Islam, walaupun mereka sebenarnya adalah

orang-orang yang mampu atau kaya (al-Qurthubi 2008:434).

Manakala dari sudut perundangan pula, mualaf adalah seseorang yang memeluk

agama Islam dan menjadi seorang orang Islam sebaik sahaja selesai mengucapkan dua

kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 107 iaitu

mengucapkannya dalam Bahasa Arab, difahami maksudnya serta di atas kerelaan

sendiri dipenuhi. (Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Negeri Sembilan)

2003, Bahagian IX Memeluk Islam, Seksyen 107-108)

Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa mualaf adalah segolongan manusia yang meliputi

orang yang baru memeluk Islam tetapi iman mereka masih lemah.Sebagai orang yang

masih baru di dalam Islam, golongan ini seharusnya diberikan sokongan yang

sewajarnya bagi memastikan keimanan dan keislaman mereka terus terpelihara. Hal

ini kerana pertukaran agama melibatkan proses transformasi pelbagai aspek termasuk

minda, emosi, budaya dan kepercayaan. Seseorang yang baru melangkah ke dunia

Islam amat memerlukan bimbingan dan sokongan daripada elemen-elemen luaran

termasuklah persekitaran (Kareelawati 2002:2). Keseriusan dalam memberi sokongan

dan jaminan keamanan serta keselamatan kepada saudara baru termasuk memberi

bimbingan, bantuan moral dan material hendaklah dititikberatkan (Ibrahim 1993:97).

Sokongan Terhadap Hak Saudara Baru Menurut Syarak

Berdasarkan pengamatan terhadap sorotan sejarah, golongan mualaf atau saudara baru

didapati mendapat sokongan dan jaminan yang sewajarnya pada zaman Rasulullah

s.a.w. Sokongan dan jaminan oleh pemerintah dan masyarakat terhadap hak saudara

baru terbahagi kepada dua iaitu mendapat sokongan spiritual dan mendapat sokongan

fizikal.

Hak Mendapatkan Sokongan Spiritual

Sokongan dari aspek spiritual yang diperolehi saudara baru meliputi pembinaan dan

pengukuhan dalaman iaitu akidah. Menurut Muhammad Abdul Wahab dalam

kitabnya Syarah Kitab al-Tauhid telah mendefinisikan akidah sebagai perkara yang

berhubung dengan kepercayaan atau perkara yang berkaitan dengan keyakinan yang

berpusat di hati. Dengan keyakinan, seseorang itu akan bebas daripada was-was, syak

dan wasangka. Keyakinan yang kuat dan teguh akan membawa kepada penghayatan

dalam segenap aspek kehidupan sebagai ibadat yang diyakini. Keyakinan ini

merangkumi keyakinan kepada enam rukun iman iaitu keimanan kepada Allah,

Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat, Qada’ dan Qadar-Nya (Muhammad 1989:7).

Page 4: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

99

Dalam erti kata lain, akidah adalah keyakinan dan kepercayaan yang erat, kukuh,

teguh dan unggul di dalam jiwa. Dengan keyakinan yang utuh, seseorang itu akan

mempunyai pegangan dan pendirian yang tegas, tidak terurai dan berubah dalam

semua keadaan, ketika dan tempat. Ia merupakan kekuatan maknawi yang kukuh dan

teguh, antara manusia, dengan hakikat yang teragung iaitu Allah s.w.t. Tiada pemisah

antara manusia dengan-Nya (Mustafa 1996:22).

Pengukuhan akidah yang sejahtera merupakan hak terpenting yang perlu diberikan

kepada individu yang baru memeluk Islam. Analisis terhadap sejarah Rasulullah s.a.w

membuktikan akidah merupakan intipati pertama dan utama dalam pembentukan jiwa

seorang muslim yang baru. Penerapan dalam mengenali dan mengimani Allah s.w.t

sebagai Tuhan yang sebenar-benarnya, meyakini berlakunya hari akhirat, beriltizam

dengan akhlak yang baik bagi menyucikan jiwa serta mengambil iktibar daripada

kisah-kisah ummat terdahulu berdasarkan wahyu yang diturunkan ketika itu disuntik

ke dalam jiwa golongan Sabiqun Awwalun (mereka yang awal-awal memeluk Islam).

Hasilnya terbukti berkesan dalam melahirkan dan menyediakan para sahabat sebagai

orang yang teguh kepada agama. (al-Ghazali 2010:148-150).

Pembinaan dan pengukuhan spiritual terhadap golongan yang baru mengenali Islam

ini dilaksanakan menerusi pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah, pengetahuan hukum

hakam dalam ibadat dan muamalat, pembentukan akhlak dan adab-adab di dalam

Islam serta sokongan moral.

Pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah

Seseorang yang memeluk agama Islam diajar membaca al-Quran dan memahami al-

Sunnah. Peringkat permulaan dakwah Islam memperlihatkan rumah al-Arqam bin Abi

Arqam dijadikan institusi untuk pertemuan harian bagi mempelajari kitab suci ini.

Rasulullah s.a.w menjadi penafsir dan penterjemah ayat-ayat yang turun supaya

mereka dapat menghafaz, memahami seterusnya menterjemahkan al-Quran dalam

kehidupan. Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud adalah sahabat pertama yang

telah membaca al-Quran melalui Surah al-Rahman secara kuat di Mekah sehingga

didengari oleh puak Musyrikin Mekah (Ibn Hisham 2009:351, al-Ghadban).

Selain itu, Rasulullah s.a.w turut mengajar hal-hal berkaitan agama menerusi hadith-

hadith serta amalan sunnahnya. Perkataan-perkataan dan perbuatan Rasulullah s.a.w

direkodkan di dalam ingatan dan tulisan sebagai panduan amalan. Dengan itu,

sahabat-sahabat yang memeluk Islam lebih memahami pengajaran-pengajaran agama

yang disampaikan dan serba baru bagi mereka.

Pengetahuan hukum dalam ibadat dan muamalat

Selain al-Quran, golongan saudara yang baru memeluk Islam juga diberikan

pengetahuan dan pembelajaran syariat di dalam Islam. Sejarah menunjukkan

Rasulullah saw telah mengutus para sahabat untuk mengajar agama kepada penduduk-

penduduk yang baru memeluk Islam. Sahabat yang diutus termasuklah Mus’ab bin

Umair yang diutuskan ke Madinah untuk mengajar Al-Quran dan ilmu-ilmu berkaitan

ibadat dan muamalat di dalam Islam. Begitu juga Muadz bin Jabal telah diutuskan ke

Yaman atas tujuan yang sama. Selain itu, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah turut dihantar ke

Najran dan proses pembelajaran ini diteruskan juga oleh Amr bin Hazm Al-Ansari

(Azami 1994). Hal ini menunjukkan pembelajaran ilmu agama dijalankan secara

Page 5: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

100

berterusan sehinggalah saudara baru tersebut mempunyai kefahaman yang luas dan

dalam berkaitan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat.

Rasulullah s.a.w dilihat menitikberatkan kelangsungan pendakwah yang dapat

membimbing saudara baru dalam hal berkaitan hukum-hakam ini ketika awal

pemelukan Islam. Malah baginda turut mengadakan institusi pembelajaran yang

dinamakan al-Suffah bagi menyediakan daie-daie yang terlatih (Azami 1994:83) yang

boleh dihantar di seluruh pelusuk daerah bagi menyampaikan Islam dan ajarannya

kepada penganut-penganut yang baru.

Pembentukan akhlak dan adab-adab

Seterusnya, saudara yang baru memeluk Islam juga mendapat hak diajar dan dibentuk

dengan akhlak-akhlak dan adab-adab Islamiyah. Jelas didapati dalam intipati dakwah

Rasulullah s.a.w ayat-ayat yang menyatakan prinsip akhlak dan hak sosial anjuran

Islam. Prinsip-prinsip ini dapat menyucikan jiwa manusia yang beriman dengan

beriltizam melakukan ibadah-ibadah tertentu yang telah disyariatkan. Selain itu,

prinsip ini juga berjaya menanggalkan amalan-amalan jahiliyyah yang telah sebati

dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu.

Rasulullah s.a.w telah megajak manusia berbuat baik kepada ibu bapa, tidak

membunuh manusia dan anak-anak serta menjauhi zina. Selain itu, baginda juga

menyeru manusia supaya menunaikan hak anak yatim dengan baik dan berlaku adil

dengan sesiapa sahaja termasuklah dalam urusan jual beli. Ini dapat dilihat dalam al-

Quran, ayat 151-153 Surah Al-An’am:

Maksudnya:

Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh

Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah

sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan

janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya)

Page 6: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

101

Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan

janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya

dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah

diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang

dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan

kamu, supaya kamu memahaminya. "Dan janganlah kamu hampiri harta anak

yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan

mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus

hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan

dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan

melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu

(semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil,

sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian

(perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang

demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat

(mematuhiNya)". Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam)

yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu

menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang

lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian

itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa (Al-An’am 6 : 151-

153).

Sokongan Moral

Sorotan sejarah lalu menunjukkan saudara yang baru memeluk Islam diberikan hak

persamaan taraf dengan mereka yang telah lama menganuti Islam. Tiada perbezaan di

antara seseorang manusia dengan manusia lain walaupun seseorang itu memegang

jawatan khalifah mahupun panglima perang.

Rasulullah s.a.w. juga telah memberikan teladan dalam memberikan sokongan moral

kepada saudara baru. Antaranya dengan mengiktiraf bakat saudara baru tersebut.

Buktinya dapat dilihat melalui hak kepimpinan tentera Muslim dalam banyak

peperangan yang diberikan kepada Khalid al-Walid, walaupun ramai sahabat yang

lebih mengetahui al-Quran daripadanya dan memeluk Islam bertahun-tahun lebih

awal daripadanya. Malah, walaupun terdapat situasi di mana Khalid mengambil

tindakan yang salah kerana kekurangan pengetahuannya seperti yang berlaku ketika

beliau diutuskan ke Bani Jadzimah, hal ini tidak menjatuhkan kedudukannya serta

tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. merendahkan kebolehannya dan sumbangannya

kepada umat Islam (Ibn Hisyam 2009:473).

Selain itu, hak saudara baru dari sudut sokongan moral menurut sejarah dakwah

Rasulullah s.a.w. dapat dilihat melalui pemberian perhatian yang istimewa kepada

saudara baru tersebut. Hal ini sebagaimana yang dapat dirasai oleh Amr bin Al-Asr

yang kagum dengan perhatian khas Rasulullah s.a.w. kepadanya sehingga menyangka

bahawa beliau adalah sahabat yang paling dikasihi oleh Baginda. Beliau pernah

bertanya pada suatu hari siapakah insan yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w.

lalu baginda menjawab Aisyah. Lalu ditanyakan sekali lagi insan yang paling dicintai

daripada kalangan lelaki lalu baginda menjawab bapanya (Abu Bakar), kemudian

Umar dan seterusnya beberapa nama sahabat lain menyebabkan beliau tidak bertanya

lagi dikhuatiri nama beliau diletakkan di hujung senarai (Al-Bukhari). Hal ini

menunjukkan Rasulullah s.a.w. memberikan perhatian dan kesan yang mendalam

Page 7: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

102

kepada semua sahabat yang berada di sekelilingnya terutamanya mereka yang baru

memeluk Islam sehingga membuatkan seseorang saudara baru benar-benar

menyangka beliaulah sahabat yang paling rapat di sisi Baginda.

Ketika Abu Sufyan bin Harb memeluk Islam, hak dari sudut sokongan moral juga

didapati dalam tindakan Rasulullah s.a.w. Abu Sufyan bin Harb merupakan seorang

yang senang dan sukakan dengan kebanggaan lalu Rasulullah s.a.w. memasukkan

rumahnya dalam senarai yang diberi jaminan. Ini dapat dibuktikan melalui hadith

baginda yang terkenal sebelum Penaklukan Mekah iaitu, “ Barangsiapa memasuki

rumah Abu Sufyan bin Harb, ia aman. Barangsiapa yang menutup pintu rumahnya, ia

aman. Dan barangsiapa memasuki Masjidil Haram, ia aman.” Tindakan Rasulullah

s.a.w. kepada Abu Sufyan bin Harb ini merupakan satu pengiktirafan yang boleh

dibanggakannya walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam (Ibn Hisyam 2009:448).

Dari sudut moral juga, hak saudara baru dapat dilihat melalui perubahan sedikit demi

sedikit pada akhlak manusia pada peringkat permulaan. Rasulullah s.a.w. ketika mana

diberitahu oleh Qabilah Thaqif untuk bersetuju memeluk Islam namun dikatakan

bahawa mereka tidak akan melakukan kebajikan dan berperang di jalan Allah,

Baginda menerimanya lalu berkata kepada sahabat di sisinya, “Mereka akan (dengan

rela) melakukan kebajikan dan berjihad apabila mereka memeluk Islam." (Abu

Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani). Selain itu, terdapat juga sahabat yang

meminta untuk mendirikan solat tanpa ruku’ dan terus sujud (Ibn Rajab 2011). Di

sini, penting untuk dilihat bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengubah ajaran Islam

untuk golongan baru seperti mereka, bahkan Baginda menganggapnya sebagai

peringkat permulaan yang diberikan kepada orang-orang tertentu dalam perjalanan

baru mereka kepada Islam (Hakeem 2014).

Hak Mendapatkan Sokongan Fizikal

Sejarah dakwah Rasulullah s.a.w turut tidak meninggalkan sokongan dari aspek

fizikal kepada golongan mualaf atau saudara baru. Dari aspek fizikal, sokongan

terhadap hak saudara baru dilaksanakan melalui pemberian zakat, sedekah, hadiah

atau ganjaran serta sumber perlindungan.

Zakat dan Sedekah

Firman Allah s.w.t. telah meletakkan mualaf atau saudara baru di dalam senarai

golongan yang berhak mendapat zakat. Hak dari sudut material ini merupakan suatu

tuntutan yang boleh diperolehi kerana ia merupakan salah satu kefardhuan Islam yang

telah ditentukan. Hak zakat ini diberikan kepada saudara baru bertujuan supaya

mereka berpegang teguh dengan agama Islam lebih-lebih lagi jika mereka ditentang

dan rezeki-rezeki mereka dihimpit kerana keIslaman mereka (Sayyid Qutb 2000:493).

Sejarah telah merakamkan para sahabat yang merupakan golongan yang baru

memeluk Islam dan dipujuk hatinya lalu mendapat ketetapan kepada agama Islam

menerusi pemberian zakat ini adalah al-Harith bin Hisyam, Hakim bin Hizam,

Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr (al-Qurthubi 2008:437).

Walaubagaimana pun, pada zaman Umar Ibn al-Khattab memerintah pula, bahagian-

bahagian zakat yang diperuntukkan kepada orang-orang yang dijinaki hatinya

Page 8: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

103

(mualaf) dilakukan penilaian berkaitan syarat-syarat pemberian bagi mereka (Shalaby

1981).

Hadiah dan Ganjaran

Sejarah telah menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menghadiahkan 100 ekor

unta betina kepada setiap 12 orang mualaf yang terdiri daripada para tokoh kaum

selepas pulang dari Perang Hunain. Dengan pemberian tersebut, Rasulullah saw ingin

memikat hati mereka dan memikat hati kaum mereka kepada mereka agar terus setia

bersama Islam (Ibn Hisyam 2009:529).

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga turut memberikan hadiah yang banyak kepada

delegasi Bani Tamim yang datang berjumpa baginda dan memeluk Islam (Ibn Hisyam

2009:611). Tindakan Rasulullah s.a.w turut bertepatan dengan perintah Allah agar

memberi sedekah dan zakat kepada golongan mualaf. Dengan teguhnya Islam

pembesar-pembesar tokoh kaum tersebut maka lebih kuat dan bertambah besar jumlah

umat Islam ekoran berduyun-duyun pengikut mereka turut menyahut seruan

Rasulullah s.a.w.

Ramadhan tahun kesembilan hijrah mencatatkan pengislaman pembesar-pembesar

kaum Tsaqif. Mereka telah datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbaiah dengan

baginda malah turut berpuasa bersama-sama baginda. Rasulullah s.a.w. telah

mengirim makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mereka melalui Bilal bin

Rabah (Ibn Hisyam 2009:578). Perbuatan Rasulullah s.a.w. ini perlu dicontohi

sebagai suatu sokongan yang seharusnya dipenuhi hak tersebut kepada saudara yang

baru memeluk Islam.

Sumber perlindungan

Perjalanan dakwah Rasulullah saw telah menunjukkan dakwah secara sulit telah

dilakukan pada peringkat awal kemunculan Islam. Dalam tempoh tersebut, dakwah

serta program pengukuhan terhadap mereka yang baru mengalami konversi berjalan

secara sulit atas sebab keselamatan. Dari hari ke hari, ajaran Islam semakin

berkembang dengan pemelukan seorang demi seorang penduduk Makkah sehingga

menimbulkan kemarahan pimpinan Quraisy. Dengan itu, saudara baru didapati

mendapat sokongan fizikal melalui perlindungan yang diberikan. Hal ini dapat dilihat

melalui pembebasan kemerdekaan hamba-hamba dan orang-orang lemah yang disiksa

oleh tuan masing-masing kerana mereka memeluk Islam.

Terdapat sahabat yang baru memeluk Islam disiksa dengan dahsyatnya seperti yang

berlaku terhadap Bilal bin Rabah. Beliau telah dibaringkan dan dijemur di bawah terik

matahari oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf serta diletakkan batu besar di atas

dadanya. Abu Bakar yang menyedari perbuatan zalim tersebut lantas menawarkan

pertukaran hambanya yang lebih kuat dan gagah kepada Umaiyyah dan diterimanya.

Dengan itu, Bilal bin Rabah dapat dibebaskan oleh Abu Bakar (Ibn Hisyam

2009:298). Begitu juga hak saudara baru dalam mendapatkan perlindungan fizikal ini

turut dilihat melalui pembebasan kemerdekaan orang-orang lemah yang lain oleh Abu

Bakar seperti Amir bin Fuhairah, Ummu Ubais, Zinnirah, An-Nahdiyyah beserta

puterinya dan hamba wanita dari Bani Muammal (Ibn Hisyam 2009:299).

Page 9: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

104

Saudara yang baru memeluk Islam dan mendapat ancaman juga turut disokong dan

diizinkan untuk berhijrah atau berpindah ke tempat yang lebih selamat. Hal ini

sebagaimana keizinan Rasululullah s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya yang memeluk

Islam untuk pergi berhijrah ke Habsyah demi mempertahankan dan menyelamatkan

akidah. Ramai sahabat telah menyahut keizinan ini sehingga dikatakan seramai lapan

puluh tiga orang lelaki telah berhijrah ke sana (Ibn Hisyam 2009:310). Di Habsyah,

kaum muhajirin mendapat perlindungan yang baik daripada Raja Najasyi dan mereka

bebas mengamalkan agama Islam yang baru dianuti tersebut.

Rumusan

Berdasarkan sejarah dakwah Rasulullah saw, kita dapat melihat bahawa golongan

saudara baru yang memeluk Islam mendapat sokongan dan jaminan yang begitu baik.

Mereka mendapat sokongan dari sudut spiritual dan fizikal sepanjang peringkat awal

pemelukan Islam sehingga mereka menjadi seorang muslim dan mukmin yang teguh

imannya. Malah, sokongan terhadap hak-hak saudara baru yang diperolehi telah

memberi galakan kepada mereka untuk menyumbang dalam agama Islam. Nama-

nama sahabat besar seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab yang menjadi khalifah

setelah kewafatan Rasulullah s.a.w serta Khalid al-Walid dan Amr bin al-Asr yang

menjadi panglima perang dalam menegakkan Islam menjadi bukti yang boleh

dibanggakan dan dicontohi sepanjang zaman.

Rujukan

Al-Quran al-Kareem.

Abd Halim Ismail. 2011. Kemurungan, Sokongan Sosial dan Pencapaian Akademik

Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Luar Bandar. Tesis Ph.D.

Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Azami, Muhammad Mustafa. 1994. Hadith Nabawi dan Sejarah Kodifikasinya (terj.

Ali Mustafa Yaqub). Jakarta: PT Pustaka Firdaus.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Bahagian IX. Memeluk

Agama Islam. www2.e-syariah.gov.my

Al-Ghadban, Muhammad Munir. TT. Manhaj Haraki dalam Sirah Nabi s.a.w. Kedah:

Pustaka Darussalam Sdn. Bhd.

Al-Ghazali, Syeikh Muhammad. 2010. Fiqh al-Sirah.(terj. Hazizi Abd Rahman)

Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Ibn Hisham, Abu Muhammad Abd al-Malik. 1999. al-Sirah al-Nabawiyah. Sa’udi :

Dar Al-Mughni lil nasyar wa al-tawzi’.

Ibn. Manzur. t.th. Lisan al -‘Arab. Beirut: Dar al-Sadir

Ibn Rajab. 2011. Jami’ al-Ulum walHikam (Terj. Bahagian Terjemahan dan Editorial

Pustaka Salam Sdn Bhd). Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Page 10: SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/08-Nabilah-Huda... · sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan. Kata kunci:

105

Ibrahim Che Noh. 1993. Dakwah kepada Non-Muslim (dlm. Dakwah Islamiah

Malaysia Masa Kini). Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamus Dewan. 2005. Ed. ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi’ah Am. 1994. Kamus Istilah Fiqih. Jakarta.

PT Pustaka Firdaus.

Mustafa bin Haji Daud. 1996. Akidah Mukmin. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal

Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Nur Kareelawati Abd Karim. 2002. Metodologi Dakwah kepada Saudara Baru:

Kajian khusus di Darul Arqam Singapura. Tesis Sarjana. Bangi: Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Al-Qurthubi, Syaikh Imam. 2008. Tafsir al-Jami’ li Ahkam Al-Quran (Terj. Budi

Rosyadi, et.al.). Jilid 8. Jakarta: Pustaka Azzam.

Al-Razi, Imam Fakhru al-Razi. 1997. Al-Tafsir al-Kabir. Beirut: Dar al-Ihya’ al-

Thurath al-‘Arabi.

Sayyid Qutb. 2000. Tafsir Fi Zilalil Quran (Terj. Yusoff Zaki). Jilid 7. Kelantan:

Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Shalaby. Ahmad. 1981. Sejarah dan Kebudayaan Islam. (Terj. Muchtar Jahja).

Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD

Shalaby. Ahmad. 2010. Ensiklopedia Sejarah Islam. (Terj. Yusuf Sinaga &

Abdurrahman Saleh Siregar). Selangor: Jasmin Publications

Al- Zuhaily, Wahbah. 1997. Al-Fiqh Islami waAdillatuhu. Dimasyq: Dar Al-Fikr.