SOKONGAN TERHADAP HAK SAUDARA BARU MENURUT SYARAK
Nabilah Huda Zaim & Zuliza Mohd Kusrin
Abstrak
Turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w menyebabkan Islam diterima oleh
masyarakat pada zaman tersebut berdasarkan kepada pemelukan Islam para sahabat.
Golongan muallafatun qulubuhum sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran ini
adalah golongan yang perlu diberi sokongan bagi memastikan hak mereka sebagai
saudara baru terjamin. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti bentuk-
bentuk sokongan hak saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w.
Metodologi kajian mengaplikasikan pendekatan analisis kandungan dengan merujuk
kepada kitab-kitab sirah bagi mendapatkan data dan maklumat berkenaan sokongan
dan jaminan terhadap mualaf di zaman Rasulullah s.a.w. Hasil kajian mendapati
bahawa sokongan dan jaminan terhadap hak saudara baru yang dilaksanakan pada
zaman Rasulullah s.a.w dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu hak
mendapatkan sokongan spiritual dan hak mendapatkan sokongan fizikal. Sokongan
dari aspek spiritual adalah pembinaan dan pengukuhan akidah, pembelajaran al-Quran
dan al-Sunnah, pengetahuan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat, pembentukan
akhlak dan adab-adab di dalam Islam serta sokongan moral. Manakala dari aspek
fizikal pula, sokongan terhadap saudara baru dilaksanakan melalui pemberian zakat,
sedekah, hadiah atau ganjaran serta sumber perlindungan.
Kata kunci: saudara baru, sokongan, zaman Rasulullah s.a.w, spiritual, fizikal
Pendahuluan
Islam merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Penyebaran dakwah
Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w selepas penurunan wahyu di Makkah
diterima dengan baik berdasarkan pemelukan Islam para sahabat dari hari ke hari.
Mereka yang baru memeluk Islam dikenali sebagai mualaf atau saudara baru.
Jika dilihat dari aspek sejarah dakwah Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu, golongan
mualaf atau saudara baru yang memeluk Islam telah mendapat sokongan dan jaminan
daripada pemerintah dan masyarakat tidak kira dalam bentuk spiritual atau pun
fizikal. Hal ini tidak dapat tidak menyumbang kepada pengukuhan dan pemeliharaan
akidah Islam yang baru berputik dalam jiwa saudara baru.
Kertas kerja ini melaporkan sebahagian daripada kajian yang dilakukan berkenaan
dengan Sokongan Terhadap Hak Saudara Baru menurut syara’ dan perundangan di
Negeri Sembilan. Kertas kerja ini menfokuskan kepada bentuk-bentuk sokongan hak
saudara baru yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Bentuk-bentuk
sokongan ini penting untuk diketahui dan difahami oleh masyarakat khususnya pihak
berkuasa di institusi yang terlibat, agar menjadi panduan dalam menambahbaik
sokongan sedia ada terhadap saudara baru.
97
Sokongan Dan Saudara Baru
Sokongan menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 membawa erti sesuatu perbuatan yang
menyatakan persetujuan, memberi perangsang dengan bantuan kebendaan (seperti
wang dan lain-lain) atau tanpa bantuan kebendaan dan juga pertolongan. (Dewan
Bahasa & Pustaka 2005).
Sokongan boleh didefinisikan melalui pelbagai cara dan berasaskan pendekatan yang
subjektif, iaitu dengan memberi definisi berasaskan tanggapan individu mengenai
sesuatu sokongan. Sokongan juga turut didasarkan kepada jenis, kategori, perilaku,
kesan atau hasil sokongan itu. Secara umumnya, sokongan boleh dikatakan merujuk
kepada suatu jaringan perhubungan yang dianggap boleh memberi sokongan,
tindakan, sikap mahupun persekitaran emosi yang bersifat menyokong seseorang
kepada orang lain. (Abd Halim 2011)
Oleh yang demikian, sokongan boleh disimpulkan dengan sesuatu perbuatan atau
tindakan yang menunjukkan rangsangan dan pertolongan tidak kira dari sudut
spiritual atau fizikal. Dengan itu, sokongan dari kedua-dua bentuk ini dikaji
perlaksanaannya terhadap golongan mualaf pada zaman Rasulullah s.a.w.
Saudara baru merupakan satu istilah yang lazim digunapakai di Malaysia yang
difahami atau ditujukan kepada orang yang baru memeluk Islam atau dikenali juga
sebagai mualaf. Perkataan mualaf berasal daripada Bahasa Arab. Kata akarnya ialah
allafa-yu’allifu- ta’lif, yang membawa maksud jinak. Dari sudut bahasa, perkataan
mualaf didefinisikan sebagai orang-orang yang baru memeluk Islam atau saudara baru
(Kamus Dewan 2005). Menurut Lisan al-‘Arab (Ibn Manzur TT:180) pula, perkataan
mualaf berasal dari al-lafa yang membawa maksud menghimpunkan sesuatu dengan
sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu.
Jika dilihat dari sudut istilah pula, perkataan mualaf merujuk dan berasal daripada
perkataan wal-mualafatu qulubuhum seperti yang termaktub dalam Surah al-Tawbah
ayat 60. Ayat ini turut dikenali sebagai ayat al-Sadaqat.
Maksudnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir,
dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang
muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak
memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk
(dibelanjakan pada) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir (yang
keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah)
sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah)
Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksana (al-Tawbah 9: 60).
Menurut Kamus Istilah Fiqh, muallafatun qulubuhum adalah mereka yang dipujuk
hatinya atau mereka yang baru memeluk Islam dan iman mereka masih lemah.
98
Berdasarkan ayat di atas, mereka tergolong dalam lapan asnaf iaitu golongan yang
berhak menerima zakat. (Abdul Mujieb, et. al. 1994:211). Mualaf merupakan
golongan asnaf keempat menurut turutan yang berhak menerima zakat atau sedekah.
Hal ini bertujuan untuk melunakkan, merapatkan serta menyatukan hati mereka
terhadap Islam terutamanya pada peringkat awal pemelukan Islam (al-Razi 1997:
6,85).
al-Qurthubi (2008) dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam Al-Quran mendefinisikan
mualaf sebagai segelintir orang yang hidup pada masa awal kemunculan Islam, yang
baru memeluk Islam secara lahiriah akan tetapi keyakinan mereka sangat lemah.
Manakala menurut az-Zuhri pula, mualaf adalah orang-orang Yahudi atau orang-
orang Nasrani yang baru saja memasuki Islam, walaupun mereka sebenarnya adalah
orang-orang yang mampu atau kaya (al-Qurthubi 2008:434).
Manakala dari sudut perundangan pula, mualaf adalah seseorang yang memeluk
agama Islam dan menjadi seorang orang Islam sebaik sahaja selesai mengucapkan dua
kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 107 iaitu
mengucapkannya dalam Bahasa Arab, difahami maksudnya serta di atas kerelaan
sendiri dipenuhi. (Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Negeri Sembilan)
2003, Bahagian IX Memeluk Islam, Seksyen 107-108)
Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa mualaf adalah segolongan manusia yang meliputi
orang yang baru memeluk Islam tetapi iman mereka masih lemah.Sebagai orang yang
masih baru di dalam Islam, golongan ini seharusnya diberikan sokongan yang
sewajarnya bagi memastikan keimanan dan keislaman mereka terus terpelihara. Hal
ini kerana pertukaran agama melibatkan proses transformasi pelbagai aspek termasuk
minda, emosi, budaya dan kepercayaan. Seseorang yang baru melangkah ke dunia
Islam amat memerlukan bimbingan dan sokongan daripada elemen-elemen luaran
termasuklah persekitaran (Kareelawati 2002:2). Keseriusan dalam memberi sokongan
dan jaminan keamanan serta keselamatan kepada saudara baru termasuk memberi
bimbingan, bantuan moral dan material hendaklah dititikberatkan (Ibrahim 1993:97).
Sokongan Terhadap Hak Saudara Baru Menurut Syarak
Berdasarkan pengamatan terhadap sorotan sejarah, golongan mualaf atau saudara baru
didapati mendapat sokongan dan jaminan yang sewajarnya pada zaman Rasulullah
s.a.w. Sokongan dan jaminan oleh pemerintah dan masyarakat terhadap hak saudara
baru terbahagi kepada dua iaitu mendapat sokongan spiritual dan mendapat sokongan
fizikal.
Hak Mendapatkan Sokongan Spiritual
Sokongan dari aspek spiritual yang diperolehi saudara baru meliputi pembinaan dan
pengukuhan dalaman iaitu akidah. Menurut Muhammad Abdul Wahab dalam
kitabnya Syarah Kitab al-Tauhid telah mendefinisikan akidah sebagai perkara yang
berhubung dengan kepercayaan atau perkara yang berkaitan dengan keyakinan yang
berpusat di hati. Dengan keyakinan, seseorang itu akan bebas daripada was-was, syak
dan wasangka. Keyakinan yang kuat dan teguh akan membawa kepada penghayatan
dalam segenap aspek kehidupan sebagai ibadat yang diyakini. Keyakinan ini
merangkumi keyakinan kepada enam rukun iman iaitu keimanan kepada Allah,
Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat, Qada’ dan Qadar-Nya (Muhammad 1989:7).
99
Dalam erti kata lain, akidah adalah keyakinan dan kepercayaan yang erat, kukuh,
teguh dan unggul di dalam jiwa. Dengan keyakinan yang utuh, seseorang itu akan
mempunyai pegangan dan pendirian yang tegas, tidak terurai dan berubah dalam
semua keadaan, ketika dan tempat. Ia merupakan kekuatan maknawi yang kukuh dan
teguh, antara manusia, dengan hakikat yang teragung iaitu Allah s.w.t. Tiada pemisah
antara manusia dengan-Nya (Mustafa 1996:22).
Pengukuhan akidah yang sejahtera merupakan hak terpenting yang perlu diberikan
kepada individu yang baru memeluk Islam. Analisis terhadap sejarah Rasulullah s.a.w
membuktikan akidah merupakan intipati pertama dan utama dalam pembentukan jiwa
seorang muslim yang baru. Penerapan dalam mengenali dan mengimani Allah s.w.t
sebagai Tuhan yang sebenar-benarnya, meyakini berlakunya hari akhirat, beriltizam
dengan akhlak yang baik bagi menyucikan jiwa serta mengambil iktibar daripada
kisah-kisah ummat terdahulu berdasarkan wahyu yang diturunkan ketika itu disuntik
ke dalam jiwa golongan Sabiqun Awwalun (mereka yang awal-awal memeluk Islam).
Hasilnya terbukti berkesan dalam melahirkan dan menyediakan para sahabat sebagai
orang yang teguh kepada agama. (al-Ghazali 2010:148-150).
Pembinaan dan pengukuhan spiritual terhadap golongan yang baru mengenali Islam
ini dilaksanakan menerusi pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah, pengetahuan hukum
hakam dalam ibadat dan muamalat, pembentukan akhlak dan adab-adab di dalam
Islam serta sokongan moral.
Pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah
Seseorang yang memeluk agama Islam diajar membaca al-Quran dan memahami al-
Sunnah. Peringkat permulaan dakwah Islam memperlihatkan rumah al-Arqam bin Abi
Arqam dijadikan institusi untuk pertemuan harian bagi mempelajari kitab suci ini.
Rasulullah s.a.w menjadi penafsir dan penterjemah ayat-ayat yang turun supaya
mereka dapat menghafaz, memahami seterusnya menterjemahkan al-Quran dalam
kehidupan. Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud adalah sahabat pertama yang
telah membaca al-Quran melalui Surah al-Rahman secara kuat di Mekah sehingga
didengari oleh puak Musyrikin Mekah (Ibn Hisham 2009:351, al-Ghadban).
Selain itu, Rasulullah s.a.w turut mengajar hal-hal berkaitan agama menerusi hadith-
hadith serta amalan sunnahnya. Perkataan-perkataan dan perbuatan Rasulullah s.a.w
direkodkan di dalam ingatan dan tulisan sebagai panduan amalan. Dengan itu,
sahabat-sahabat yang memeluk Islam lebih memahami pengajaran-pengajaran agama
yang disampaikan dan serba baru bagi mereka.
Pengetahuan hukum dalam ibadat dan muamalat
Selain al-Quran, golongan saudara yang baru memeluk Islam juga diberikan
pengetahuan dan pembelajaran syariat di dalam Islam. Sejarah menunjukkan
Rasulullah saw telah mengutus para sahabat untuk mengajar agama kepada penduduk-
penduduk yang baru memeluk Islam. Sahabat yang diutus termasuklah Mus’ab bin
Umair yang diutuskan ke Madinah untuk mengajar Al-Quran dan ilmu-ilmu berkaitan
ibadat dan muamalat di dalam Islam. Begitu juga Muadz bin Jabal telah diutuskan ke
Yaman atas tujuan yang sama. Selain itu, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah turut dihantar ke
Najran dan proses pembelajaran ini diteruskan juga oleh Amr bin Hazm Al-Ansari
(Azami 1994). Hal ini menunjukkan pembelajaran ilmu agama dijalankan secara
100
berterusan sehinggalah saudara baru tersebut mempunyai kefahaman yang luas dan
dalam berkaitan hukum hakam dalam ibadat dan muamalat.
Rasulullah s.a.w dilihat menitikberatkan kelangsungan pendakwah yang dapat
membimbing saudara baru dalam hal berkaitan hukum-hakam ini ketika awal
pemelukan Islam. Malah baginda turut mengadakan institusi pembelajaran yang
dinamakan al-Suffah bagi menyediakan daie-daie yang terlatih (Azami 1994:83) yang
boleh dihantar di seluruh pelusuk daerah bagi menyampaikan Islam dan ajarannya
kepada penganut-penganut yang baru.
Pembentukan akhlak dan adab-adab
Seterusnya, saudara yang baru memeluk Islam juga mendapat hak diajar dan dibentuk
dengan akhlak-akhlak dan adab-adab Islamiyah. Jelas didapati dalam intipati dakwah
Rasulullah s.a.w ayat-ayat yang menyatakan prinsip akhlak dan hak sosial anjuran
Islam. Prinsip-prinsip ini dapat menyucikan jiwa manusia yang beriman dengan
beriltizam melakukan ibadah-ibadah tertentu yang telah disyariatkan. Selain itu,
prinsip ini juga berjaya menanggalkan amalan-amalan jahiliyyah yang telah sebati
dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu.
Rasulullah s.a.w telah megajak manusia berbuat baik kepada ibu bapa, tidak
membunuh manusia dan anak-anak serta menjauhi zina. Selain itu, baginda juga
menyeru manusia supaya menunaikan hak anak yatim dengan baik dan berlaku adil
dengan sesiapa sahaja termasuklah dalam urusan jual beli. Ini dapat dilihat dalam al-
Quran, ayat 151-153 Surah Al-An’am:
Maksudnya:
Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh
Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah
sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan
janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya)
101
Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan
janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya
dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah
diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang
dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan
kamu, supaya kamu memahaminya. "Dan janganlah kamu hampiri harta anak
yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan
mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus
hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan
dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan
melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu
(semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil,
sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian
(perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang
demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat
(mematuhiNya)". Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam)
yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu
menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang
lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian
itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa (Al-An’am 6 : 151-
153).
Sokongan Moral
Sorotan sejarah lalu menunjukkan saudara yang baru memeluk Islam diberikan hak
persamaan taraf dengan mereka yang telah lama menganuti Islam. Tiada perbezaan di
antara seseorang manusia dengan manusia lain walaupun seseorang itu memegang
jawatan khalifah mahupun panglima perang.
Rasulullah s.a.w. juga telah memberikan teladan dalam memberikan sokongan moral
kepada saudara baru. Antaranya dengan mengiktiraf bakat saudara baru tersebut.
Buktinya dapat dilihat melalui hak kepimpinan tentera Muslim dalam banyak
peperangan yang diberikan kepada Khalid al-Walid, walaupun ramai sahabat yang
lebih mengetahui al-Quran daripadanya dan memeluk Islam bertahun-tahun lebih
awal daripadanya. Malah, walaupun terdapat situasi di mana Khalid mengambil
tindakan yang salah kerana kekurangan pengetahuannya seperti yang berlaku ketika
beliau diutuskan ke Bani Jadzimah, hal ini tidak menjatuhkan kedudukannya serta
tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. merendahkan kebolehannya dan sumbangannya
kepada umat Islam (Ibn Hisyam 2009:473).
Selain itu, hak saudara baru dari sudut sokongan moral menurut sejarah dakwah
Rasulullah s.a.w. dapat dilihat melalui pemberian perhatian yang istimewa kepada
saudara baru tersebut. Hal ini sebagaimana yang dapat dirasai oleh Amr bin Al-Asr
yang kagum dengan perhatian khas Rasulullah s.a.w. kepadanya sehingga menyangka
bahawa beliau adalah sahabat yang paling dikasihi oleh Baginda. Beliau pernah
bertanya pada suatu hari siapakah insan yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w.
lalu baginda menjawab Aisyah. Lalu ditanyakan sekali lagi insan yang paling dicintai
daripada kalangan lelaki lalu baginda menjawab bapanya (Abu Bakar), kemudian
Umar dan seterusnya beberapa nama sahabat lain menyebabkan beliau tidak bertanya
lagi dikhuatiri nama beliau diletakkan di hujung senarai (Al-Bukhari). Hal ini
menunjukkan Rasulullah s.a.w. memberikan perhatian dan kesan yang mendalam
102
kepada semua sahabat yang berada di sekelilingnya terutamanya mereka yang baru
memeluk Islam sehingga membuatkan seseorang saudara baru benar-benar
menyangka beliaulah sahabat yang paling rapat di sisi Baginda.
Ketika Abu Sufyan bin Harb memeluk Islam, hak dari sudut sokongan moral juga
didapati dalam tindakan Rasulullah s.a.w. Abu Sufyan bin Harb merupakan seorang
yang senang dan sukakan dengan kebanggaan lalu Rasulullah s.a.w. memasukkan
rumahnya dalam senarai yang diberi jaminan. Ini dapat dibuktikan melalui hadith
baginda yang terkenal sebelum Penaklukan Mekah iaitu, “ Barangsiapa memasuki
rumah Abu Sufyan bin Harb, ia aman. Barangsiapa yang menutup pintu rumahnya, ia
aman. Dan barangsiapa memasuki Masjidil Haram, ia aman.” Tindakan Rasulullah
s.a.w. kepada Abu Sufyan bin Harb ini merupakan satu pengiktirafan yang boleh
dibanggakannya walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam (Ibn Hisyam 2009:448).
Dari sudut moral juga, hak saudara baru dapat dilihat melalui perubahan sedikit demi
sedikit pada akhlak manusia pada peringkat permulaan. Rasulullah s.a.w. ketika mana
diberitahu oleh Qabilah Thaqif untuk bersetuju memeluk Islam namun dikatakan
bahawa mereka tidak akan melakukan kebajikan dan berperang di jalan Allah,
Baginda menerimanya lalu berkata kepada sahabat di sisinya, “Mereka akan (dengan
rela) melakukan kebajikan dan berjihad apabila mereka memeluk Islam." (Abu
Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani). Selain itu, terdapat juga sahabat yang
meminta untuk mendirikan solat tanpa ruku’ dan terus sujud (Ibn Rajab 2011). Di
sini, penting untuk dilihat bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengubah ajaran Islam
untuk golongan baru seperti mereka, bahkan Baginda menganggapnya sebagai
peringkat permulaan yang diberikan kepada orang-orang tertentu dalam perjalanan
baru mereka kepada Islam (Hakeem 2014).
Hak Mendapatkan Sokongan Fizikal
Sejarah dakwah Rasulullah s.a.w turut tidak meninggalkan sokongan dari aspek
fizikal kepada golongan mualaf atau saudara baru. Dari aspek fizikal, sokongan
terhadap hak saudara baru dilaksanakan melalui pemberian zakat, sedekah, hadiah
atau ganjaran serta sumber perlindungan.
Zakat dan Sedekah
Firman Allah s.w.t. telah meletakkan mualaf atau saudara baru di dalam senarai
golongan yang berhak mendapat zakat. Hak dari sudut material ini merupakan suatu
tuntutan yang boleh diperolehi kerana ia merupakan salah satu kefardhuan Islam yang
telah ditentukan. Hak zakat ini diberikan kepada saudara baru bertujuan supaya
mereka berpegang teguh dengan agama Islam lebih-lebih lagi jika mereka ditentang
dan rezeki-rezeki mereka dihimpit kerana keIslaman mereka (Sayyid Qutb 2000:493).
Sejarah telah merakamkan para sahabat yang merupakan golongan yang baru
memeluk Islam dan dipujuk hatinya lalu mendapat ketetapan kepada agama Islam
menerusi pemberian zakat ini adalah al-Harith bin Hisyam, Hakim bin Hizam,
Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr (al-Qurthubi 2008:437).
Walaubagaimana pun, pada zaman Umar Ibn al-Khattab memerintah pula, bahagian-
bahagian zakat yang diperuntukkan kepada orang-orang yang dijinaki hatinya
103
(mualaf) dilakukan penilaian berkaitan syarat-syarat pemberian bagi mereka (Shalaby
1981).
Hadiah dan Ganjaran
Sejarah telah menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menghadiahkan 100 ekor
unta betina kepada setiap 12 orang mualaf yang terdiri daripada para tokoh kaum
selepas pulang dari Perang Hunain. Dengan pemberian tersebut, Rasulullah saw ingin
memikat hati mereka dan memikat hati kaum mereka kepada mereka agar terus setia
bersama Islam (Ibn Hisyam 2009:529).
Selain itu, Rasulullah s.a.w juga turut memberikan hadiah yang banyak kepada
delegasi Bani Tamim yang datang berjumpa baginda dan memeluk Islam (Ibn Hisyam
2009:611). Tindakan Rasulullah s.a.w turut bertepatan dengan perintah Allah agar
memberi sedekah dan zakat kepada golongan mualaf. Dengan teguhnya Islam
pembesar-pembesar tokoh kaum tersebut maka lebih kuat dan bertambah besar jumlah
umat Islam ekoran berduyun-duyun pengikut mereka turut menyahut seruan
Rasulullah s.a.w.
Ramadhan tahun kesembilan hijrah mencatatkan pengislaman pembesar-pembesar
kaum Tsaqif. Mereka telah datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbaiah dengan
baginda malah turut berpuasa bersama-sama baginda. Rasulullah s.a.w. telah
mengirim makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mereka melalui Bilal bin
Rabah (Ibn Hisyam 2009:578). Perbuatan Rasulullah s.a.w. ini perlu dicontohi
sebagai suatu sokongan yang seharusnya dipenuhi hak tersebut kepada saudara yang
baru memeluk Islam.
Sumber perlindungan
Perjalanan dakwah Rasulullah saw telah menunjukkan dakwah secara sulit telah
dilakukan pada peringkat awal kemunculan Islam. Dalam tempoh tersebut, dakwah
serta program pengukuhan terhadap mereka yang baru mengalami konversi berjalan
secara sulit atas sebab keselamatan. Dari hari ke hari, ajaran Islam semakin
berkembang dengan pemelukan seorang demi seorang penduduk Makkah sehingga
menimbulkan kemarahan pimpinan Quraisy. Dengan itu, saudara baru didapati
mendapat sokongan fizikal melalui perlindungan yang diberikan. Hal ini dapat dilihat
melalui pembebasan kemerdekaan hamba-hamba dan orang-orang lemah yang disiksa
oleh tuan masing-masing kerana mereka memeluk Islam.
Terdapat sahabat yang baru memeluk Islam disiksa dengan dahsyatnya seperti yang
berlaku terhadap Bilal bin Rabah. Beliau telah dibaringkan dan dijemur di bawah terik
matahari oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf serta diletakkan batu besar di atas
dadanya. Abu Bakar yang menyedari perbuatan zalim tersebut lantas menawarkan
pertukaran hambanya yang lebih kuat dan gagah kepada Umaiyyah dan diterimanya.
Dengan itu, Bilal bin Rabah dapat dibebaskan oleh Abu Bakar (Ibn Hisyam
2009:298). Begitu juga hak saudara baru dalam mendapatkan perlindungan fizikal ini
turut dilihat melalui pembebasan kemerdekaan orang-orang lemah yang lain oleh Abu
Bakar seperti Amir bin Fuhairah, Ummu Ubais, Zinnirah, An-Nahdiyyah beserta
puterinya dan hamba wanita dari Bani Muammal (Ibn Hisyam 2009:299).
104
Saudara yang baru memeluk Islam dan mendapat ancaman juga turut disokong dan
diizinkan untuk berhijrah atau berpindah ke tempat yang lebih selamat. Hal ini
sebagaimana keizinan Rasululullah s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya yang memeluk
Islam untuk pergi berhijrah ke Habsyah demi mempertahankan dan menyelamatkan
akidah. Ramai sahabat telah menyahut keizinan ini sehingga dikatakan seramai lapan
puluh tiga orang lelaki telah berhijrah ke sana (Ibn Hisyam 2009:310). Di Habsyah,
kaum muhajirin mendapat perlindungan yang baik daripada Raja Najasyi dan mereka
bebas mengamalkan agama Islam yang baru dianuti tersebut.
Rumusan
Berdasarkan sejarah dakwah Rasulullah saw, kita dapat melihat bahawa golongan
saudara baru yang memeluk Islam mendapat sokongan dan jaminan yang begitu baik.
Mereka mendapat sokongan dari sudut spiritual dan fizikal sepanjang peringkat awal
pemelukan Islam sehingga mereka menjadi seorang muslim dan mukmin yang teguh
imannya. Malah, sokongan terhadap hak-hak saudara baru yang diperolehi telah
memberi galakan kepada mereka untuk menyumbang dalam agama Islam. Nama-
nama sahabat besar seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab yang menjadi khalifah
setelah kewafatan Rasulullah s.a.w serta Khalid al-Walid dan Amr bin al-Asr yang
menjadi panglima perang dalam menegakkan Islam menjadi bukti yang boleh
dibanggakan dan dicontohi sepanjang zaman.
Rujukan
Al-Quran al-Kareem.
Abd Halim Ismail. 2011. Kemurungan, Sokongan Sosial dan Pencapaian Akademik
Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Luar Bandar. Tesis Ph.D.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Azami, Muhammad Mustafa. 1994. Hadith Nabawi dan Sejarah Kodifikasinya (terj.
Ali Mustafa Yaqub). Jakarta: PT Pustaka Firdaus.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Bahagian IX. Memeluk
Agama Islam. www2.e-syariah.gov.my
Al-Ghadban, Muhammad Munir. TT. Manhaj Haraki dalam Sirah Nabi s.a.w. Kedah:
Pustaka Darussalam Sdn. Bhd.
Al-Ghazali, Syeikh Muhammad. 2010. Fiqh al-Sirah.(terj. Hazizi Abd Rahman)
Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Ibn Hisham, Abu Muhammad Abd al-Malik. 1999. al-Sirah al-Nabawiyah. Sa’udi :
Dar Al-Mughni lil nasyar wa al-tawzi’.
Ibn. Manzur. t.th. Lisan al -‘Arab. Beirut: Dar al-Sadir
Ibn Rajab. 2011. Jami’ al-Ulum walHikam (Terj. Bahagian Terjemahan dan Editorial
Pustaka Salam Sdn Bhd). Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
105
Ibrahim Che Noh. 1993. Dakwah kepada Non-Muslim (dlm. Dakwah Islamiah
Malaysia Masa Kini). Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamus Dewan. 2005. Ed. ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi’ah Am. 1994. Kamus Istilah Fiqih. Jakarta.
PT Pustaka Firdaus.
Mustafa bin Haji Daud. 1996. Akidah Mukmin. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal
Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Nur Kareelawati Abd Karim. 2002. Metodologi Dakwah kepada Saudara Baru:
Kajian khusus di Darul Arqam Singapura. Tesis Sarjana. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Al-Qurthubi, Syaikh Imam. 2008. Tafsir al-Jami’ li Ahkam Al-Quran (Terj. Budi
Rosyadi, et.al.). Jilid 8. Jakarta: Pustaka Azzam.
Al-Razi, Imam Fakhru al-Razi. 1997. Al-Tafsir al-Kabir. Beirut: Dar al-Ihya’ al-
Thurath al-‘Arabi.
Sayyid Qutb. 2000. Tafsir Fi Zilalil Quran (Terj. Yusoff Zaki). Jilid 7. Kelantan:
Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Shalaby. Ahmad. 1981. Sejarah dan Kebudayaan Islam. (Terj. Muchtar Jahja).
Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD
Shalaby. Ahmad. 2010. Ensiklopedia Sejarah Islam. (Terj. Yusuf Sinaga &
Abdurrahman Saleh Siregar). Selangor: Jasmin Publications
Al- Zuhaily, Wahbah. 1997. Al-Fiqh Islami waAdillatuhu. Dimasyq: Dar Al-Fikr.