sejarah silat gayong
TRANSCRIPT
TAJUK: SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SILAT SENI GAYONG DI
TERENGGANU
PENGENALAN
Seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan
bangsa Melayu sebagai perisai diri. Perguruan seni silat adalah satu institusi pendidikan di
mana manusia dibentuk dan dididik untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang
maksimum. Dulu, hanya segelintir sahaja yang dapat menamatkan pengajian seni silat
mereka dengan sempurna kerana mereka ini memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang
tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan
kepentingan diri sendiri. Pada zaman ini wujud beratus-ratus perguruan seni silat. Pada
umumnya, asas seni silat ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'. Seni
bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan.
Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan
lawan. Tetapi ada perguruan yang tidak menghiraukan seni bunga dan hanya mengajar buah,
contohnya seperti Seni silat Cekak. Anak muridnya dikehendaki berdiri tegak menghadapi
lawan, pukul balas digunakan hanya ketika diserang dan itupun apabila pukulan sudah berada
seinci dua dari badan. Setiap perguruan mempunyai sejarah dan perkembangannya yang
tersendiri. Silat Seni Gayong mempunyai kronologi penubuhan yang tiada tolak bandingnya
dengan seni silat yang lain.
PERKEMBANGAN SILAT SENI GAYONG
Selepas merdeka, terdapat ratusan aliran Perguruan Silat di Malaysia. Satu arahan telah
dikeluarkan agar pengamal silat mewujudkan persatuan silat dan didaftarkan dengan tujuan
untuk membina dan meyusun pengurusan silat menjadi lebih baik. Oleh itu, wujud pelbagai
nama aliran penguruan silat kerana setiap pendaftar mestilah mempunyai nama kumpulan
masing-masing. Pada tahun 1978, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia ketika
itu berusaha untuk mewujudkan satu badan atau gabungan peringkat negara yang boleh
membangunkan silat secara lebih berkesan, maka wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia
(1983). Kemudiannya ditukar kepada nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan
Malaysia atau PESAKA Malaysia, dan lulus pendaftarannya pada 1986. Pesaka malaysia
telah dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri Pesaka Malaysia iaitu Seni
Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak
Malaysia. Lain-lain perguruan silat menjadi anggota PESAKA Negeri yang diwujudkan di
setiap negeri di Malaysia. Bermakna seluruh silat telah bersatu di bawah PESAKA Malaysia.
Pada 11hb Mac, 1980, Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) telah
rasmi ditubuhkan sebagai badan induk silat di peringkat antarabangsa dan Jakarta, Indonesia
menjadi ibupejabat PERSILAT. Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura telah diiktiraf
sebagai anggota pendiri PERSILAT. Badan induk kebangsaan untuk silat dikenali sebagai
Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) di Indonesia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA)
di Malaysia, Persekutuan Silat Brunei (PERSIB) di Brunei dan Persekutuan Silat Singapura
(PERSISI) di Singapura. Pencak Silat telah diiktiraf sebagai Seni Bela Diri Asli bangsa
Indonesia. Manakala di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf bahawa Silat sebagai
Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan dibawah Akta Warisan Negara semasa
Konvensyen Silat yang dianjurkan pada 3hb hingga 4hb Disember 2006. Pada 23hb hingga
24hb September, 1979, ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan
Olahraga Pencak Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat
sekarang adalah secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara.
Kini, Silat seni gayong adalah pertubuhan silat paling popular dan menjadi pemangkin
kepada silat lain, kerana memiliki cawangan PSSGM di seluruh negara, seperti di Amerika
Syarikat, England, Perancis, Sepanyol, Kuwait dan Australia. Maka cabaran yang dihadapi
pada hari ini, tidak lagi domestik sifatnya, bahkan juga di peringkat antarabangsa. Dengan
perkembangan ini, pentadbiran pertubuhan perlu berwibawa untuk menangani isu-isu yang
timbul dengan bijak dan berkesan. Malah, selain memiliki cawangan di seluruh negara, Silat
Seni Gayong juga diambil sebagai kurikulum di hampir semua institusi pengajian tinggi
awam (IPTA). Sistem pengajaran dan pembelajaran dijalankan selaras dengan pendidikan
masa kini. Bahkan, seni silat kini bukan sahaja diaplikasikan untuk mempertahankan diri atau
dipelajari di gelanggang-gelanggang tertentu semata-mata, namun seni silat juga dijadikan
sebagai seni persembahan di majlis-majlis keraian tertentu seperti Hari Kemerdekaan, majlis
penyampaian anugerah, perkahwinan dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga pertandingan-
pertandingan seni silat yang dianjurkan tidak kiralah diperingkat dalam mahupun di luar
negara. Dalam pada itu, sistem organisasi yang teratur dan sistematik melancarkan lagi
pengurusan persatuan Silat Seni Gayong.
SEJARAH SILAT SENI GAYONG
Silat Seni Gayong dikatakan telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu
sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi
(Portugis) pada tahun 1511, hulubalang Melaka yang diketuai oleh Tun Biajid (anak
Laksamana Hang Tuah) telah berundur ke dalam hutan dan seterusnya melakukan serangan
gerila terhadap angkatan Portugis. Ilmu Silat Seni Gayong inilah yang telah digunakan oleh
Tun Biajid dan orang-orangnya ketika menentang Portugis. Walaupun terpaksa berundur ke
dalam hutan, hulubalang-hulubalang Melaka ini masih mampu menyusun suatu barisan
penggempur (boleh disamakan dengan gerakan gerila) yang berpegang kepada tekad iaitu
"berimau-rimau, berimba-rimba dan bergayong". Disebabkan kedudukan Portugis terlalu kuat
ketika itu, Tun Biajid dan orang-orangnya terpaksa berundur hingga ke negeri Pahang, untuk
mencari perlindungan. Di Pahang, ilmu Silat Seni Gayong ini terus hidup diwarisi oleh
generasi demi generasi sehinggalah ke Tuan Syed Zainal Al-Attas, iaitu seorang hulubalang
Pahang yang hidup sezaman dengan Dato’Bahaman dan Mat Kilau.
Terdapat suatu kisah yang menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Portugis
di Melaka, telah diadakan majlis keramaian tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh segenap lapisan
masyarakat. Pemerintah Portugis telah mengadakan satu pertandingan seni persembahan
budaya setempat dan memberikan ganjaran yang besar kepada pemenangnya. Bagi
persembahan silat, pesilat yang menunjukkan persembahan yang dikira membahayakan telah
dikumpulkan setempat dan diasingkan daripada pesilat yang mempersembahkan silat pulut
yang diiringi oleh bunyi-bunyian seperti gendang. Pesilat-pesilat yang dianggap membuat
persembahan secara bahaya tadi telah ditangkap secara sembunyi dan dirantai lalu dibawa ke
tengah laut untuk dibunuh. Dengan izin Allah dan berkat ilmu Silat Seni Gayong, rantai tadi
berjaya diputuskan dan hulubalang-hulubalang Melaka ini melawan dan berjaya
menumpaskan pengawal Portugis yang mengawal mereka. Oleh kerana bimbang akan
keselamatan mereka selepas itu, hulubalang Melaka ini mengambil keputusan untuk belayar
ke serata tempat gugusan kepulauan Melayu untuk mencari perlindungan. Sesetengah
daripada hulubalang Melaka ini telah mendarat di Makasar lalu menetap di situ. Di Makasar
ini, ilmu Silat Seni Gayong telah berkembang dengan meluas, terutamannya dalam kalangan
bangsawan Bugis. Orang-orang Bugis inilah yang bertanggungjawab menghidupkan semula
kesenian lama ini di Tanah Melayu.
Dalam pada itu, terdapat suatu riwayat yang masyhur berkenaan tujuh orang anak raja
tanah Bugis yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan
juga pulau-pulau yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada
tolok bandingnya ketika itu. Mereka telah belayar meninggalkan tanah Bugis dan menjelajah
ke serata kepulauan Melayu untuk mencari kawasan penempatan yang baru. Salah seorang
dari putera Bugis itu ialah Almarhum Daeng Kuning atau lebih dikenali sebagai Panglima
Hitam. Daeng Kuning ialah moyang kepada Dato' Meor Abdul Rahman, Mahaguru Silat Seni
Gayong. Syed Zainal mempelajari ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok,
seorang pahlawan berketurunan Bugis dan mempunyai tali persaudaraan dengan Daeng
Kuning.
Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Syed Zainal telah diperintahkan oleh Sultan Ahmad
Pahang untuk mencari buah keras di Pulau Bangka, Riau, Indonesia. Di Pulau Temiang, yang
terletak berdekatan dengan Pulau Bangka, mereka telah bertemu dengan Daeng Ambok
Solok. Daeng Ambok Solok telah bermurah hati untuk menurunkan ilmu Gayong kepada
pahlawan Pahang tersebut agar dapat digunakan untuk mempertahankan tanah air mereka
kelak. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka mengikat janji untuk kembali lagi ke Pulau
Temiang setelah selesai urusan yang diamanahkan oleh Sultan. Dalam perjalanan pulang ke
Pahang, Mat Kilau diarahkan untuk membeli senapang kopak di Singapura. Mat Kilau, Syed
Zainal dan Dato’ Bahaman telah belayar kembali ke Pulau Temiang seperti yang dijanjikan.
Mereka telah menuntut ilmu Gayong selama kira-kira dua tahun daripada Daeng Ambok
Solok. Syed Zainal Al-Attas ialah nenda kepada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman Daeng
Uda Hashim. Dato' Meor Abdul Rahman mempelajari Silat Seni Gayong daripada nendanya
sendiri, Tuan Syed Zainal Syed Idris Al-Attas ketika berusia 12 tahun.
Gayong Tersebar di Nusantara
Apabila pemerintahan Jepun tamat sekitar tahun 1945, Meor Abdul Rahman kembali semula
ke Singapura. Tidak beberapa lama kemudian, beliau telah menjadi Penghulu Besar di Pulau
Sudong dan seterusnya pulau itu menjadi pusat Seni Silat Gayong. Dari Pulau Sudong inilah
Seni Silat Gayong berkembang, sehingga merebak ke pulau-pulau lain seperti Pulau Seking,
Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang, Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau
Damar. Apabila berita tentang kehebatan Seni Silat Gayong sampai ke pengetahuan orang-
orang di kepulauan Indonesia, mereka telah menghantar seorang wakil mereka yang bernama
Wak Simong, untuk menjemput Meor Abdul Rahman mengembangkan Seni Silat Gayong di
sana. Kebetulan pada ketika itu penduduk di sana sedang diancam oleh lanun. Meor Abdul
Rahman pergi ke Pulau Terong dengan empat orang muridnya iaitu Naning, Mersad, Bendol
(penghulu Pulau Sudong selepas Meor Abdul Rahman) dan seorang lagi yang tidak dapat
dipastikan namanya. Maka dengan ini, Seni Silat Gayong pun berkembang dengan pesat di
Pulau Terong, Pulau Geranting dan seterusnya beberapa pulau yang lain, termasuklah di
kepulauan Riau.
Sekitar tahun 1947, kerajaan British telah menawarkan Meor Abdul Rahman jawatan
sebagai pegawai dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (Malayan Secret
Service). Ketua Polis Singapura telah mendapat tahu rahsia akan kehebatan Mahaguru Meor
Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat sebagai Guru Kombat di Gillman Barrack. Setelah
empat bulan, beliau memohon dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah (CID). Permohonan
beliau diluluskan dan beliau telah ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan dan
ditugaskan menyiasat sebarang penipuan dalam timbangan. Tidak lama kemudian beliau
ditugaskan pula di bahagian kepolisan yakni di Balai Polis Central, Singapura sebagai
seorang pegawai berpangkat Sarjan.
Pada tahun 1947 juga, atas jasa-jasa beliau menentang keganasan tentera Jepun, beliau
telah dikurniakan pingat keberanian King George VI oleh kerajaan Inggeris. sekitar tahun ini
juga beliau giat mengembangkan ilmu Seni silat Seni Gayong di tanah besar Singapura.
Menjelang tahun 1948, jumlah anak murid Gayong sudah mencapai 100,000 orang, dengan
50,000 daripadanya adalah dari kepulauan Indonesia. Seni silat Seni Gayong mula
berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid pertama yang
menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan,
Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim. Sinwan, Joned Hanim dan Salim merupakan anggota
Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Seni
Silat Gayong dalam tahun 1950an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah. Dalam
tahun 1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki Gayong di Singapura.
Mereka ialah Che Kalsom bte. Haji Kechik, Paridah bte. Yusope, Asmah (isteri Joned
Hanim), Aisyah ( isteri Mansor Fadal ), Rafeah Fadal, Hendon dan Intan.
SEJARAH DAN PENGASAS SENI SILAT GAYONG DI TERENGGANU
Kedatangan Silat Seni Gayung di Terengganu
Semasa perang Siam-Pattani, Faqih Ali belayar mencari bantuan kerajaan Sulawesi
pada tahun 1632M, dan kembali tetapi singgah dan tinggal di Semenanjung Tanah Melayu.
Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin ( Tok Raja Faqih) adalah saudara
kandung kepada Ibrahim Datu Kelantan IV bergelar Ong Chai Nyek Ong Brohim Po Nrop
(1632-1637M) di Campa. Menjadi raja di Campa pada tahun 1637-1684M. Wan Muhammad,
ayah kepada Faqih ‘Ali juga dikenali sebagai Syeikh Abdul Muzaffar Waliullah di Tanah
Melayu. Keturunan mereka inilah ramai yang menjadi ulama-ulama dan tokoh-tokoh utama
di Kerajaan Pattani, Kelantan dan Terengganu. Keturunan mereka ini termasuklah ulama
Melayu Nusantara seperti Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, juga merupakan Panglima
Besar kerajaan Melayu Pattani di zaman itu. Selain itu nama ulama dan tokoh hebat lain ialah
Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim dari Pattani berhijrah ke Bukit Bayas, Terengganu
yang kemudian juga menjadi Ulama di negeri Terengganu. Syeikh Abdul Muzaffar Waliullah
di Tanah Melayu dikatakan bersaudara kandung dengan Syarif Hidayatullah / Sultan
Babullah yang dikenali sebagai Sunan Gunung Jati di Indonesia. Jadi Ulama-ulama dan
Sultan-sultan Banten di Indonesia adalah keturunan mereka jua. Syeikh Abdul Muzaffar
Waliullah di Tanah Melayu dan Sunan Gunung Jati di Indonesia adalah keturunan Sultan
Abu Abdullah ‘Umdatuddin atau nama lain ialah Wan Abu Alias atau Wan Bo (Bo Teri Teri)
atau nama lain Maulana Israil ( Raja Campa yang memerintah pada tahun 1471M). Ayahnya
ialah ‘Ali Nur Alam.
Pengasas Silat Seni Gayong di Terengganu
Cikgu Haji Omar atau lebih dikenali sebagai Pok Omar oleh Anak Gayong
(PSSPGM) di Terengganu. Beliau merupakan orang nombor satu PSSPGM di Negeri
Terengganu dan berpusat di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.
Ustaz Zubaidillah bin Sulaiman di lahirkan di Terengganu, merupakan salah seorang zuriat
para Guru Silat dahulukala. Bapanya, Datuknya semuanya Tok Guru Silat. Ibunya
Allahyarhamah Rokiah bt Jaafar juga merupakan pendekar. Keluarga Bapa dan Ibunya
mewarisi ilmu daripada Tok Janggut , Jeram, Pasir Puteh, Kelantan (Pejuang Kemerdekaan).
Nenekandanya Mek Kechik bt Wonik mewarisi ilmu Persilatan Puteri Saadong, Cik Siti Wan
Kembang dan Keilmuan Laksamana HangTuah, Panglima Melaka dari Guru Awang Senik
Pendekar Dollah. Datuk sebelah ibunya juga Tok Guru Silat yang menyebar ilmu silat di
Bukit Bading, Bukit Diman, Kuala Berang, Kuala Terengganu, di kenali sebagai Tengku
Putera berasal keturunan Kesultanan Melayu Pattani, Selatan Thailand. Setelah Pendekar
pendekar angkatannya tewas kepada Siam, terus berhijrah ke Terengganu.
Beliau berkahwin dengan Hairani bt Haris, zuriat (piut) kepada Panglima Mamat Che
Tambah, Panglima Bugis, yang terlibat dengan Perang Saudara Klang, Selangor menyebelahi
Raja Mahadi. Setelah Tengku Kudin mendapat bantuan ketenteraan British, Panglima Mamat
dan Nakhoda Taib Andak memasuki Sungai Dinding dan Membuka Perkampungan, Kg
Baharu, Ayer Tawar, Lumut, Perak. Nakhoda Taib Andak pula ke Segari dan diberi hak
mengutip cukai di perairan pelabuhan Manjung- Segari dan Lumut. Panglima Mamat dan
Nakhoda Taib Andak telah berkhidmat kepada Baginda Sultan Perak, telah Berjaya
menghalau lanun-lanun disekitar Sungai Dinding, Perak. Ramai penduduk Kg. Baharu,
Telaga Nenas, Pulau Pangkor dan Segari merupakan zuriat dan keluarga mereka berdua dan
ahli-ahli rombongan pelayaran kapal mereka.
Ustaz Zubaidillah bin Sulaiman Berjaya menggabungkan ilmu persilatan dari sebelah
keluarganya dan sebelah keluarga isterinya lalu mengembangkan khazanah ilmu persilatan
yang dikenali “ Perguruan Pencak Silat Sri Gayong Panglima Ulung” yang baru didaftar
dengan Pesuruhjaya Sukan pada tahun 2010. Walaupun perguruan ini baru didaftarkan secara
berpersatuan dengan Pesuruhjaya Sukan, beliau telah menyebarkan ilmu persilatan dalam
kehidupannya lebih daripada 30 tahun yang lalu. Kini murid-murid silatnya berada di seluruh
Malaysia, di Perak, Selangor,Terengganu, Perlis, Pahang,Kelantan, Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan lain-lain lagi. Semasa beliau belajar di Universiti
Kebangsaan Malaysia, beliau telah diminta oleh Unit Kebudayaan mengajar Seni Silat dan
dibayar elaun pada usia muda, iaitu 20 tahun bersama-sama arwah Cikgu Anuar Wahab
( Guru Utama Persatuan Seni Silat Gayong Fatani). Beliau pernah menjadi AJK Persatuan
Seni Silat Negeri Terengganu (PERSILAT) yang juga sebagai PESAKA Negeri Terengganu
sebelum berhijrah dan menyebar ilmu silat di Negeri Perak. Beliau kini bergiat cergas
mengembangkan silat melalui Kementerian Pendidikan Malaysia di sekolah-sekolah, di
Daerah Manjung, Perak.Kini beliau dilantik sebagai Exco PESAKA PERAK (baru) sebagai
Naib Yang Dipertua 2. Seterusnya beliau dilantik sebagai pensyarah di IPGM bagi
memperkembangkan ilmu silatnya kepada para Guru Pelatih, Kementerian Pelajaran
Malaysia. Beliau juga mempunyai sijil dan pernah bertugas sebagai wasit dan Juri Pencak
Silat di Kementerian Pelajaran Malaysia. Pernah menjadi Pengurus Pasukan Jabatan
Pelajaran Negeri Terengganu dan Negeri Perak ke peringkat Kebangsaan.
Jejak Ulung Chalet, merupakan rumah perguruan Persatuan Pencak Silat Sri Gayong
Panglima Ulung yang dibina dengan modalnya sendiri di Kampong Baharu, Ayer Tawar,
Lumut, Perak, merupakan lokasi strategik untuk membangunkan perguruan ini.
Mengumpulkan anak-anak tempatan, bahkan menjadikan Jejak Ulung Chalet sebagai tempat
berkursus kem pencak silat, tempat penilaian kenaikan bengkung tahunan perguruan, tempat
semua murid ( ahli-ahli Persatuan Pencak Silat Sri Gayong Panglima Ulung) di seluruh
Malaysia berkumpul, berhimpun dan belajar secara “pondok moden bermusim” mampu
membantu pihak kerajaan mendidik para remaja dan menentukan hala tuju strategik
warganegara secara sihat dan berwawasan
LAMPIRAN
ZUBAIDILLAH BIN SULAIMAN
Pengasas seni silat Gayung di Terengganu
Semasa beliau tamat dalam latihan ilmu persilatan (BERLIMAU)
Beliau bersama guru dan anak-anak didik gurunya
Antara majalah seni beladiri yang menjelaskan tentang silat seni gayung
RUJUKAN