sejarah negeri terengganu

Upload: cik-ross

Post on 20-Jul-2015

502 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Sejarah negeri terengganu

Menurut cerita yang dikatakan dapat didengar daripada Marhum Baginda (Sultan Umar, Sultan Terengganu yang ke sembilan memerintah 1839-1875, kononnya pada zaman dahulukala sebelum negeri ini dikenali dengan Terengganu, ada suatu rombongan dari negeri Pahang mengembara di sebelah Ulu Terengganu kerana memburu. Apabila angkatan itu sampai ke sungai Terengganu Mati, seorang daripadanya ada berjumpa sebatang taring, kata seorang di antara mereka; "Taring apakah?, jawab seorang lain " Taring anu" kerana tidak ingat hendak menyebut namanya, dan kisah perbualan antara mereka habis begitu sahaja.

Selang beberapa hari kemudian, kumpulan itu ada berjumpa pula dengan seekor rusa dan dapat dibunuhnya.

Apabila orang-orang yang berjumpa rusa itu membawa balik perburuannya ke tempat perhentian mereka, maka bertanyalah masing-masing "di manakan dapat rusa itu? Jawab mereka yang berburu " di tempat taring anu". Ada pula di antara kumpulan itu berjumpa kayu gaharu, apabila ditanya; jawabnya di tepi sungai taring anu", lama kelamaan lekatlah dipanggil nama"Terengganu". Penulis ada juga mendengar cerita-cerita lain menyebabkan dinamakan "Terengganu". Seumpama cerita yang menyatakan asalnya daripada "Terang-nya-ganu"dan "terangnya anu" dan ada pula cerita yang menyatakan menurut kata orang tua-tua, pada zaman dahulukala, pada suatu masa, ada kelihatan"cahaya kilat yang memancar, di kaki langit" kejadian itu berlaku pada suatu malam kononya ramai orang duduk di tepi pantai di negeri Kelantan, kerana hendak memerhatikan cahaya kilat yang amat terang benderang di angkasa langit berhadapan dengan mereka disertai dengan bunyi yang terlalu dahsyat sebagai petir membelah bukit, sinar cahayanya terang-benderang itu sampai ke Kuala

Terengganu, oleh kerana hendak memperingati had sempadan terangnya cahaya yang ganjil itu maka dinamakan tempat itu "Terang Ganu" kemudian manakala sudah menjadi negeri, dinamakan negeri itu "Negeri Terengganu" (terang hingga ke sana). Sama ada cerita ini benar atau tidak, belumlah dapat penyusun mengesah-kannya. Menurut cerita yang dikemukakan oleh Dato' Kamal Wangsa Jafar bin Mampak seperti berikut pula: "Ada satu taring yang besar tidak sampai gading gajah tetapi lebih besar dari taring-taring binatang liar yang didapati di sebuah pulau yang berhampiran dengan kuala sungai iaitu Pulau Duyong. Kerana berlainan sangat rupa taring itu, maka ketua pulau itu pun menyembahkan taring tersebut kepada Raja. Apabila Raja bertanyakan taring apa itu, dengan tergesa-gesa mereka menyembahkan "Taring anu Tuanku". Oleh kerana pulau itu di seberang sungai Terengganu yang berhampiran dengan kualanya, maka sungai itu pun dipanggil orang sungai "Taring Anu" hingga orang-orangnya pergi ke hulu sungai pun memanggilnya sungai Taring Anu. Satu cerita lagi mengatakan pada satu masa dahulu, satu rombangan dari Kelantan ada belayar sampai di Kuala Sungai Taring Anu(Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di waktu petang, hari pun sangat redup dan gelap serta hujan renyai-renyai. Kebetulan di waktu itu ada cahaya terang di awan-awan langit dipanggil orang " Ular Mayang" orang Kelantan kata "Pelangi". Mereka pun bertanya : Di sini orang panggil apa? Jawab orang negeri ini: "Kami panggil ganu". Kata mereka:"terang sungguh ganu di sini". Apabila mereka itu balik ke Kelantan, mereka pun bercerita "Negeri jiran kita bukan main terang ganu di sana serta diterangnya erti ganu itu. Suatu kemungkinan mengenai nama Terengganu terbit dari nama sungai "Terengan timbulnya pendapat ini, setelah penulis dan rombongan Persatuan Sejarah Cawangan Terengganu, membuat lawatan ke kawasan itu pada 5 hingga 11hb. Julai 1975 serta memerhati keadaan di sekelilingnya dan letak pecahan sungai itu. Muara sungai Terengan berpecah dua, sebelah kanan mudik menghala ke sungai Kerabat dan di sebelah kirinya Kuala Terengan dan sungai Terengganu. Terengan pada masa dahulu telah menjadi sebuah kampong di Ulu Terengganu, jaraknya dari Kuala Terengganu Mati lebih kurang 24 km atau 40 km dari Kuala Berang mengikut sungai. Oleh kerana keadaan pecahan anak sungai sedemikian kemungkinan pada zaman dahulu orang ada bertanya dengan soalan ini: hendak ke mana? Ke Terengannu (sana) atau ke Terenganni (ini) bererti ke sungai Terengan atau ke sungai

Kerbat. Ataupun terbit dari sebutan panggilan atau pertanyaan dari penduduk-penduduk asli yang datang atau mengembara dari sebelah jalan Ulu Pahang atau Ulu kelantan yang sampai ke pecahan Ulu Sungai Terengan itu, lalu mereka pun bertanya : Ke mana hendak pergi atau hendak tuju? Ke Terengan ni atau ke Terengan.nu. Adalah dikatakan menurut pendapat ahli-ahli kajibumi yang melawat ke sebelah Ulu Terengganu, bahawa di bahagian Ulu itu asalnya boleh dikatakan laut atau sungai besar dengan berpandukan kepada kesan-kesan dan tanda-tanda yang dijumpai, maka haruslah keadaan itu kembali masanya beribu-ribu tahun dahulu. Peta Semenanjung Tanah Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek yang terkenal, hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi, lahir di negeri Mesir. P) yang dipercayai diperbuat di Iskandariah ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan "Kole" Maka pelabuhan "Perimula itu dipercayai ialah "Kuala Sungai Terengganu" dan pelabuhan "Kole" ialah "Kemaman". Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah". Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "TING CHIA HSIA LU"(Teng Ka Ha Lo di dalam bahasa Hokkein) dan TING KA HA LOU"dalam bahasa Kantonis. Dalam peta Wu Pei Chih, yang diperbuat di antara tahun 1511M, dan 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu di kurun Masehi yang kelima belas ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten tahun 1623M, Negeri Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang. Meskipun Linschoten ada menunjukkan Calntao (Kelantan) dan Patani (Petani), Padram (Batu Pahat) Muar, tetapi tidak ada dimasukkannya Pahang atau Johor.

Di dalam syair jawa yang bernama"Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka (kedua-dua yang akhir ini ialah daerah dalam Terengganu). Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu

dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang.

Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M ada menyebut beberapa nama di dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou,Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo, nama-nama bagi Negeri Terengganu. Kemungkinan boleh berlaku juga, Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan"Terenggani" dari bahasa Tamil bererti 'Tanah Berbukit', dan nama itu diberi oleh pelawat India yang mungkin sampai di Terengganu pada zaman dahulu kala ,kerana dilihatnya negeri ini di sepanjang pantainya dari laut banyak berbukit. Batu bersurat yang dijumpai di kampong Buloh, Kuala Berang, kira-kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H(1891M) ejaannya "Terkanu". Maka di antara nama-nama itu didapati Terengganu ditulis TERIANGGANO. Bilakah Terengganu digelar"Darul-Iman" tidaklah dapat penyusun menentukan dengan sah, tetapi semasa pemerintahan Sultan Umar(Marhum Baginda 1893-1879) ada dikatakan gelarannya "Darus-Salam".

Petikan : Sejarah Darul Iman Oleh : Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha)

Geografi

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu sekarang adalah kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu. Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. Daerah dalam Negeri Terengganu dikurangkan kepada enam Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Besut. Kemudiannya pada 1 Januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadi daerah ketujuh di negeri Terengganu. Tiap-tiap daerah ini ditadbirkan

oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut :-

1. Kuala Terengganu 60,654.3 hektar 2. Kemaman 253,559.9 hektar 3. Dungun - 273,503.1 hektar 4. Marang - 66,654.3 hektar 5. Hulu Terengganu 387,462.6 hektar 6. Setiu - 130,436.3 hektar 7. Besut - 123,367.8 hektar

Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942. Pada tahun 1963 berjumlah 339,816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlahnya terus meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini ( 1998 ) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India. Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil petrolium menguatkan lagi ekonomi negeri.

Jata Kebesaran Jata atau Lambang Kebesaran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman yang ada sekarang telah diwujudkan pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III hasil ciptaan beberapa orang pembesar di negeri ini. Menurut cerita, orang yang melukis Jata tersebut ialah Encik Mohamad bin Abdul Rahim iaitu saudara kepada Dato' Nara Wangsa (Dato' Mata-Mata) dan hasil ciptaannya telah disahkan dalam Majlis Mesyuarat Jumaah Negeri bagi kegunaan rasmi pada tahun 1932.

1. Bulan Bintang menunjukkan Negeri Islam. 2. Mahkota menandakan Pemerintahan Diraja. 3. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula Merupakan Alat Kebesaran Negeri. 4. Al-Quran di sebelah kanannya melambangkan Agama Islam, agama rasmi Negeri. 5. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan Keadilan . 6. Wali / Selampai menandakan Alatan Istiadat Kebesaran. Semua alat-alat ini dilingkungi oleh garisan bulat dan di dalamnya ada tertulis huruf Melayu sebanyak tiga patah perkataan dengan huruf Melayu yang bercerai-cerai hurufnya iaitu "Jawatan Kerajaan Terengganu". Pada masa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, satu lagi alat kebesaran iaitu cokmar telah ditambah dan perkataan "Jawatan Kerajaan" dihapuskan manakala perkataan "Terengganu" dikekalkan.

Bendera Bendera Negeri :

KETERANGAN Latar belakang berwarna Putih maksudnya D.Y.M.M Sultan. Ia melingkungi Tanah Hitam yang bermakna Rakyat. Oleh itu bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Baginda. Anak Bulan dan Bintang tanda Agama Islam, agama Negeri.

Bendera Daerah :

KUALA TERENGGANU Melambangkan Ibu Negeri Terengganu dan Bandar Di Raja dan Daerah Utama negeri ini KEMAMAN Melambangkan bahawa warna ini memberi kekuatan yang berkaitan dengan pertumbuhan industri yang berasaskan petroleum dan gas

MARANG

SETIU

Melambangkan Melambangkan pengemblingan tenaga pemulihan penyatuan rakyat untuk pembangunan rakyat penempatan

HULU TERENGGANU Melambangkan keberanian dan kesungguhan bekerja

BESUT Melambangkan pembangunan tanah dan insrastruktur teknologi tenaga

DUNGUN Melambangkan bahawa ianya memberi hasil dari perusahaan perikanan dan perusahaan pelancongan yang terkenal dengan Penyu Belimbing

Sejarah Menteri Besar Terengganu Y.A.B . Dato' Seri Amar Di Raja (Haji Ngah Muhammad bin Yusof, MBE) dari 21.04.1925 - 28.06.1940 Y.B.M. Tengku Seri Setia Raja (Tengku Omar bin Othman, OBE) dari 15.07.1940 - 9.12.1941 Y.A.B Dato' Jaya Perkasa (Encik Da Omar bin Mahmud, CMG, MBE) dari 10.12.1941 - 01.12.1947 Y.B.M. Tengku Panglima Perang (Tengku Muhamad bin Al-Marhum Sultan Ahmad (Pahang), MBE) dari 17.12.1945 - 26.12.1949 Y.A.B. Dato' Perdana Menteri Di Raja Dato' Seri Setia Di Raja (Haji Kamaruddin bin Haji Idris, PPT., MBE,.MCS.) dari 27.12.1949 - 31.05.1957 Y.A.B. Encik Daud bin Abdul Samad dari 29.06.1959 - 08.11.1961 Y.A.B. Tan Sri Dato' Ibrahim Fikri bin Mohamad PMN,. SPMT,. PPT,. dari 09.11.1961 - 30.09.1970 Y.A.B Dato' Mahmood bin Sulaiman DPMT. dari 01.10.1970 - 04.09.1971 Y.A.B Dato' Haji Nik Hassan bin Haji Wan Abdul Rahman SPMT,. PSD,. KMN,. dari 05.09.1971 - 31.08.1974 Y.A.B Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, SSMT,. PSM,. SPMT,. DA,. DPMJ,. KMN,. JP,. PJK,. dari 01.09.1974 - 29.11.1999

Y.A.B. Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang dari 30.11.1999 - 21.03.2004 Y.A.B Dato' Seri Idris bin Jusoh dari 22.03.2004 - 22.03.2008

Y.A.B Dato' Ahmad bin Said dari 23.03.2008 - sekarang

RIWAYAT HIDUP DULI YANG MAHA MULIA AL WATHIQU BILLAH SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUN SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH SULTAN TERENGGANU KE-16 Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada 22 Januari 1962 di bandar Kuala Terengganu. Duli Yang Maha Mulia telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Duli Yang Maha Mulia kemudian telah berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar di Melbourne, Australia pada tahun 1988, Duli Yang Maha Mulia menamatkan pengajian di Universiti U.S. Interntional University-Europe di London dan mendapat ijazah at Bachelors of Arts Degree dalam jurusan Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988. Duli Yang Maha Mulia telah mengikuti kursus tentera PRE SMC ( E ) 33 di Army School of Languages mulai 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983. Baginda seterusnya mengikuti kursus tentera SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhust, England mulai 3 Mei 1983 dan menamatkan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Duli Yang Maha Mulia telah ditauliahkan pangkat Leftenan Kehormat pada 1 Mac 1984 dan berkhidmat dalam Kor Kavalri Diraja. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Yang DiPertuan Muda bagi Negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik menjadi pemangku Sultan Terengganu bagi kali pertama pada 20 Oktober 1990 sehingga 8 November 1990. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai penolong pemungut hasil tanah pada 15 September 1981. Duli Yang Maha Mulia sempat berkhidmat selama setahun di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus tentera di England. Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 dan ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. selain bertugas di UPEN, Duli Yang Maha Mulia juga bertugas di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mulai 1 Jun 1991 hingga Disember 1995. Duli Yang Maha Mulia telah berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu. Baginda dikurniakan seorang puteri dan seorang putera. Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zaharah telah diputerakan pada 18 Disember 1996 manakala Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998. Dengan kehendak Allah Yang Maha Berkuasa, pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419, Duli Yang Maha Mulia telah di masyhurkan sebagai Sultan yang memerintah bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya. Duli Yang Maha Mulia telah dianugerahkan dengan bintang kebesaran Darjah Utama Kerabat Terengganu ( D.K.T. ) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah yang Pertama ( D.K. ) pada 9 Mac 1981. Bintang-bintang darjah kebesaran yang lain yang dianugerahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan ialah Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji ( S.S.M.T ) pada 12 Febuari 1989, Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati ( S.P.M.T.) pada 6 Mac 1982, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed

Putra Jamalulail ( D.K.) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati ( D.K. ) dan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor ( S.P.M.J. ) pada 8 April 1986. Duli Yang Maha Mulia telah dianugerahkan dengan bintang kebesaran Darjah Seri Mahkota Negara ( DMN ) pada 27 Febuari 1999. Kegemaran Duli Yang Maha Mulia ialah bermain golf, bola sepak dan scuba diving.

RIWAYAT HIDUP DULI YANG MAHA MULIA PEMAISURI NUR ZAHIRAH Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disember 1973. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Nicholas Convent, Alor Setar dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah St. Nicholas Convent, Alor Setar, Kedah. Duli Yang Maha Mulia telah diijab kabulkan dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dan seorang putera. Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah diputerakan pada 18 Disember 1996 manakala Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Ismail pula diputerakan pada 1 Mac 1998. Duli Yang Maha Mulia telah dimasyurkan sebagai Permaisuri pada 12 Julai 1998. Duli Yang Maha Mulia dikurniakan Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah yang Pertama ( D.K.) pada 16 Januari 1999. Duli Yang Maha Mulia juga telah dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji ( S.S.MT. ) pada 9 Julai 1998. Kegemaran Duli Yang Maha Mulia ialah membaca, memasak, melancong, snorkelling dan bermain badminton.

MASJID ABIDIN, KUALA TERENGGANU Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah suatu simbol agama yang dipandang mulia dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat. Negeri Terengganu Darul Iman berasa bangga dengan adanya sebuah masjid bersejarah yang sekarang dikenali dengan nama Masjid Abidin yang tersergam dengan di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Dahulunya masjid ini dikenali dengan nama Masjid Besar atau Masjid Puteh. Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II ( Marhum Masjid 1793 1808 ) kemudian dalam tahun 1269H/1852M, Almarhum Baginda ( Sultan Umar ) telah mendirikan bangunan baru daripada batu. Bangunan masjid ini telah diperbesarkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, kira-kira dalam tahun 1319H (1901M ). Menurut cerita, masjid ini pada mulanya didirikan tanpa tiang di tengah-tengah bahagian dalam bangunan. Dindingnya hanya sekerat dan melengkung berlubang-lubang bagaikan pintu gerbang. Terdapat sebuah binaan kayu yang beratapkan kayu berlian. Terdapat juga enam buah kolah pada masa itu dan setiap satunya berukuran kira-kira dua depa panjang dan 1 depa lebar. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan itu dibaiki dan diperbesar seperti mana yang ada sekarang ( sebelum tambahan baru ) dengan ditambah tiang-tiang di ruang tengah bahagian dalam, dinding tembok simen, diadakan sutuh dan tiga buah menara. Pembinaannya pada masa itu dikelolakan oleh Tengku Muda Kemaman ( Tengku Panglima Besar ), dan tukangnya pula terdiri daripada orang-orang Melayu dan juga Cina. Tulisan-tulisan kasar yang terdapat di pintu masuk utama telah ditulis oleh Tengku Abdul Kadir bin Salim, manakala lukisan-lukisan kecil pula dilukis oleh Tuan Haji Abdul Rahman. Mimbar yang ada sekarang dibuat oleh Encik Badul Kadir. Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perubahan besar telah dibuat dengan tambahan baru yang hampir sekali ganda luasnya dari bangunan asal dan penambahan alat-alat baru. Selain daripada tempat untuk beribadat, masjid ini juga digunakan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti keagamaan.

MASJID TENGKU TENGAH ZAHARAH, TELUK IBAI, KUALA TERENGGANU Gagasan pembinaan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Teluk Ibai, Kuala Terengganu merupakan cetusan idea Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Nama masjid tersebut sempena nama Al-Marhumah bonda baginda dan baginda telah berkenan menyumbangkan sebahagian daripada dana pembinaannya. Pemilihan lokasi di Teluk Ibai adalah sesuatu yang cukup tepat dan indah dengan kombinasi warna langityang terbuka, air yang memantulkan replikasi yang amat ceria dan putihan pasir pantai yang sekaligus memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang. Masjid ini telah dibina di atas tanah yang ditebusguna seluas 5 ekar di Teluk Ibai. Ia dapat menampung ahli qariah dan jemaah dari beberapa perkampungan sekitarnya serta juga para pengunjung dan juga musafir. Kedudukannya di tepi Jalan Sultan Mamud, 7 kilometer ke Kuala Terengganu cukup memikat para pelancong untuk menunaikan ibadat dan menghilangkan penat. Dengan landskap yang diilhamkan secara seni dan perkongsian idea senibina yang cukup harmoni, tambahan pula kelihatan diapungi air tasik yang jernih, Masjid Tengku Tengah Zaharah adalah jelmaan suatu gagasan yang amat padu, wajar dan berkomposisi secara saksama dan profesional. Masjid yang bernilai RM 6.977 juta ini dimulakan pembinaannya pada September 1991 dan siap sepenuhnya pada pertengahan Februari 1994. Rekabentuk masjid ini diilhamkan oleh arkitek muda yang cukup berwibawa, Yang Mulia Raja Bahrin Shah dari Seni Bahri . Masjid ini telah dibina oleh Syarikat Sri Terukun Sendirian Berhad dibawah pengendalian Jabatan Kerja Raya Terengganu. Rekabentuknya menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dengan kombinasi ciri-ciri senibina tempatan. Ia terbentuk daripada sebuah kubah utama dan beberapa kubah kecil serta sebuah menara yang merupakan mercu tanda setinggi 125 kaki. Keluasan lantainya ialah 25,282 kaki persegi dan mampu menampung antara 800 hingga 1,000 jemaah pada suatu masa. Dewan solat utama di tingkat bawah khusus bagi jemaah lelaki sementara jemaah wanita pula dikhaskan di tingkat atas. Masjid ini mempunyai kemasan yang sederhana dengan ceramic tiles dan marmar pada ruang laluan dan halaman, ikatan mosaic di tempat berwuduk dan 'bomanite paving' di bahagian anjung. Ia teradun dalam suatu bentuk komposisi yang mampu melahirkan nilai estetika yang mempesonakan. Selain daripada ruang solat, terdapat juga lain-lain kemudahan seperti Bilik Rehat Di Raja, Mini Perpustakaan, Bilik / Pejabat Imam, dua buah setor, tempat wuduk serta diserikan dengan pelantar pada ruang laluan dan halaman.

MASJID AL-MUKTAFI BILLAH SHAH, KUALA TERENGGANU Masjid Al-Muktafi Billah Shah telah dibina di atas tapak seluas 3.3 ekar di tepi Jalan Sultan Mahmud bersebelahan dengan Hospital Kuala Terengganu. Tapak masjid ini asalnya tapak dewan orang ramai dan juga tanah perkuburan Hospital Kuala Terengganu. Perletakan batu asas Masjid Al-Muktafi Billah Shah telah dilakukan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, pada awal bulan Julai 1978. Masjid ini dibina dengan rasminya pada 2 Mei 1981 dan telah siap sepenuhnya pada 2 November 1984 dengan menelan belanja sebanyak 8.2 juta. Masjid ini telah digunakan pada 23 November 1984 yang dimulai dengan solat Jumaat. Hasrat penduduk di sekitar Kampung Ladang untuk mendirikan sebuah masjid yang selesa telah dikemukakan kepada pihak berkenaan pada tahun 1967 lagi melalui UMNO Cawangan Ladang, kerana Masjid Abidin, Kuala Terengganu tidak lagi dapat menampung ahli jemaah yang semakin meningkat. Pada tahun 1977, satu Jawatankuasa Penyelaras Pembinaan Masjid Ladang ( ketika itu ) telah ditubuhkan bagi mendesak dan merayu pihak kerajaan supaya pembinaan Masjid Ladang dipercepatkan. Rekabentuk bangunan masjid ini dibuat oleh Encik Wan Shahriman dan pembinaannya dilaksanakan oleh Gabungan Pemborong Quarry Sendirian Berhad. Ukiran Awan Larat dan Khat Mimbar yang menghiasi

masjid ini telah dihasilkan dan diusahakan oleh Balai Seni Ukir Wan Su, Besut. Di sebelahan mihrab bangunan masjid ini terletak Makam DiRaja Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang ke-15. Al-Marhum baginda telah di makamkan di sini pada hari Jumaat, 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419. MASJID AL-IKHLAS, BANGGOL TUAN MUDA, KUALA TERENGGANU Hasrat murni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang sentiasa bercita-cita mahu mengabadikan rumah Allah terpamer dengan terbinanya Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu apabila Al-Marhum berkenan membiayai dana pembinaan masjid tersebut. Masjid ini menjadi kebanggaan kepada lebih 1,000 orang penduduknya kerana berupaya menjadi pusat ibadat dan penjana budaya Islam sekaligus menggambarkan keprihatinan Al-Marhum dalam usaha meningkatkan keagungan Syiar Islam di kalangan rakyat. Kedudukan masjid yang strategik, iaitu di tepi laluan utama Kuala Terengganu Kota Bharu turut meletakkannya sebagai pusat ibadat dan penyebaran ilmu di mata masyarakat setempat dan ia juga tidak sunyi dari kunjungan pelawat yang singgah untuk beribadat. Kos pembinaan masjid ini ialah sebanyak RM 1.65 juta termasuk kos penambunan semula tapak. Kerjakerja pembinaannya dimulakan pada 22 Julai 1997 setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang bersidang pada 7 Safar 1417 bersamaan 23 Jun 1996. Kerja-kerja pembinaan yang siap sepenuhnya pada 1 September 1998. Kontraktor yang mengendalikan kerja ini ialah Syarikat Pembinaan Rafarjawan Sdn.Bhd. di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu. Bangunan masjid yang tersergam indah di atas tapak seluas 2.1 ekar ini mampu memuatkan 500 600 orang jemaah pada satu masa. Malah ia sentiasa diimarahkan oleh penduduk setempat pada setiap waktu solat dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian. Kehadiran jemaah juga amat membanggakan. Pembinaan Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu ini memperlihatkan wujudnya kesinambungan usaha antara pemimpin, kerajaan negeri dan masyarakat tempatan dalam pengembangan syiar Islam dengan memanafaatkan fungsi masjid sebagai insitusi pemangkin ketamadunan ummah sejagat.

Alat kebesaran negeriAlat-alat Kebesaran Diraja Terengganu Darul Iman terbahagi kepada empat bahagian iaitu :

Alat Tubuh Raja Yang Dipakai Pada Hari Kemahkotaan Alat-alat Kebesaran Yang Semuanya Diperbuat Daripada Emas Alat-alat Penjawat Raja Alat-alat Perarakan Bagi Kegunaan Istiadat Sambut Menyambut

Sewaktu Duli Yang Maha Mulia Al- Sultan berangkat ke majlis bersemayam di Singgahsana Takhta Kerajaan untuk Majlis Penghadapan, maka Alat-alat Kebesaran ini diaturkan menurut tertibnya seperti berikut :i) Cogan Negeri dipikul oleh para pembawa yang terdiri daripada anak baik-baik yang menyelampai Tetampan pada bahu kanan. ii) Dua orang Bentara pembawa Cokmar yang terdiri daripada anak-anak Raja yang menyelampai Tetampan. iii) Dua orang Biduanda yang menyelampai Tetampan, disebelah kanan membawa pedang manakala disebelah kiri pula membawa keris panjang. iv) Dua orang Biduanda yang menyelampai Tetampan, disebelah kanan membawa Puan ( Tepak Sirih ) manakala yang disebelah kiri membawa ketul. Keempat orang Biduanda ini terdiri daripada anak-anak Raja yang muda. v) Di hujung deretan ini, Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Terengganu berangkat ke Singgahsana Takhta Kerajaan dan diikuti oleh dua orang Juru Iring dan Setiausaha Sulit kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan. vi) Apabila tiba di hadapan Singgah sana pembawa Cogan Negeri, pembawa-pembawa Cokmar dan lain-lain penjawat berhenti dan menepi ke kiri dan ke kanan untuk melapangkan jalan bagi Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Terengganu berangkat bersemayam di Singgahsana. Sementara itu pembawa-pembawa Cokmar dan lain-lain penjawat turut naik ke perbalaian untuk mengambil tempat masing-masing di kiri kanan Singgahsana. Bentara pembawa Cokmar berdiri di sebelah kanandan kiri setimbang dengan Singgahsana, diikuti sebelah kanan pembaea pedang dan di sebelah kiri pembawa keris. Ini diikuti pula oleh pembawa Puan di sebelah kanan dan pembawa Ketur disebelah kir. Sewaktu Duli Yang Maha Mulia Al- Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Terengganu bersemayam di Singgahsana, pembawa Cogan Negeri beredar kebelakang iaitu ke tempat yang dikhaskan baginya di hadapan Singgahsana. vii) Alat-alat Kebesaran Di Raja tersebut digunakan bagi Duli Yang Maha Mulia Al- Sultan sahaja. viii) Dalam istiadat sambut menyambut Raja-Raja,perakan ini didahului oleh pembawa Lembing Tunggal yang menyelampai Tetampan, dan diikuti pula oleh 16 orang pembawa lembing, 8 orang sebelah di belakang mereka terdiri 8 orang pembawa payung Ubor-ubor putih dan 8 orang pembawa Ubor-ubor

kuning, 4 orang sebelah yang menyelampai Wali. Di tengah-tengah iaitu di antara payung-payung berkenaan terdapat alat-alat Keberangkatan Diraja. Alat-alat ini digunakan juga semasa istiadat perkahwinan.

Istana2 di terengganuISTANA MAZIAH Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri, kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri. Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1918 ). Manakala catatan Dato Seri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.

ISTANA BADARIAH Istana Badariah telah didirikan pada hari Isnin, 22 Januari 1940 bersamaan dengan 12 Zulhijjah 1358H pukul 8:00 pagi. Istana ini dibina di atas tanah Lot. No. 41 di Padang Seri Negara Mukim Batu Buruk seluas 41.844 ekar atau 16.933 hektar. Istana ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah iaitu Sultan Terengganu yang ke 13 ( 1920 1942 ). Walau bagaimanapun, Baginda tidak sempat bersemayam di istana ini kerana Baginda mangkat terlebih awal. Namun demikian, jenazah Al-Marhum telah dibawa dari istana ini pada hari kemangkatan Baginda. Istana ini dijadikan Renca-Consol semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Istana Badariah telah menjadi tempat bersemayam rasmi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan yang ke 14, ( 1945 1979 ). Baginda mangkat di istana ini dan jenazah Al-Marhum telah dibawa dari istana ini ke Permakaman DiRaja di kawasan Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Istana ini kemudiannya telah dijadikan tempat bersemayam rasmi kepada Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang ke 15. Beberapa pindaan telah dilakukan kepada istana ini. Istana yang mempunyai reka bentuk yang menarik dan indah telah menjadi warisan kebangsaan dan pusaka negeri. Di istana inilah menjadi tempat sambutan lawatan tetamu agung mahupun negeri.

ISTANA NUR NADHIRAH Setakat yang diketahui, istana ini telah didirikan pada tahun 1920-an iaitu selepas termeterainya perjanjian Terengganu Inggeris pada tahun 1919 yang antara lain kandungannya mengkehendaki Kerajaan Terengganu menyediakan sebuah rumah sebagai kediaman rasmi Penasihat Inggeris. Semasa pemerintahan Jepun, istana ini dijadikan tempat kediaman Gabenornya Shuchiji Kakha ( Shu Chokan Kakha ) manakala semasa pemerintahan Siam pula ia telah dijadikan tempat kediaman Gabenornya. Selepas Perang Dunia Kedua, istana ini dijadikan tempat tinggal Penasihat Inggeris sehingga Disember 1956. Apabila negara mencapai kemerdekaan, istana ini menjadi tempat kediaman rasmi Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Terengganu. Istana ini telah ditukarkan namanya kepada Istana Nur Nadhirah pada tahun 1998.

RUMAH LIMAS BUNGKUS ( ISTANA TENGKU LONG ) Rumah ini berbentuk Rumah Perabung Lima. Bumbungnya yang berbentuk sebuah perabung lurus dan diikuti oleh 4 buah perabung menurun kecucuran atap. Rumah ini berunsur campuran senibina Belanda. Menurut catatan Tan Sri Haji Mubin Sheppard istana ini dibina pada tahun 1850M tetapi kalau diteliti pada tarikh yang terdapat pada salah satu ukiran pada istana ini ianya bertarikh 1904M. Keluasannya 27.43m x 21.34m, diperbuat daripada kayu cengal dan dinding dipenuhi ukiran-ukiran yang halus serta indah. Atapnya dari jenis senggora yang diimport dari Pattani, Thailand. Dindingnya pula terdiri dari berbagai-bagai jenis seperti papan berlidah, papan tindih kasih dan janda berhias Ukiran-ukiran yang terdapat pada istana ini juga daripada berbagai jenis seperti awan larat, flora, geomatrik serta kaligrafik. Binaan struktur Istana Tengku Long adalah dari teknik pasang siap, strukturnya berbentuk tigasegi, kerangkanya digunakan pada sistem alang serta sistem tanggam, pasak, pemeting, dan tetupai. Binaan asas sangat berbeza terutama bahagian surung yang lebih tinggi dikhaskan kepada Raja manakala bahagian serambi yang berlantai rendah digunakan untuk orang kebanyakan. Pada November 1984, Badan Warisan Malaysia telah menulis surat kepada PETRONAS supaya bersetuju membeli istana tersebut yang berharga RM150,000.00 daripada Tengku Putera Zainal Abidin. Badan ini juga membuat keputusan untuk menyerahkan Istana Tengku Long dibawah jagaan Muzium Negeri Terengganu. Pada 1988 istana ini telah di pindahkan dan didirikan di kawasan tapak Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, Kuala Terengganu.

DARJAH KEBESARAN NEGERIDarjah-darjah Kebesaran Negeri bagi Negeri Terengganu Darul Iman mula diwujudkan pada tahun 1962 iaitu semasa pemerintahan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah di bawah kuasa Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu 1911, Bad Kedua. Kuasa Undang-undang ini memperuntukkan :Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia yang dikuatkuasa pada 19 Jun 1962. Darjah Kebesaran Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati yang dikuatkuasakan pada 19 Jun 1962. Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia ini terdiri daripada dua peringkat iaitu :Pertama (Panglima Besar) Ahli Darjah kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Pertama. - Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 16 orang dan tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Kalung (rantai) - Bintang - Selempang - Lencana Setiap penerima darjah kebesaran ini hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan lencana yang tergantung pada pita (Selempang) dipakai bersandang di atas bahu kiri ke rusuk kanan. Bagaimanapun pada masa tertentu, lencana itu hendaklah digantungkan pada kalung (rantai). Kedua (Panglima) Ahli Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Kedua. Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 24 orang dan tanda-tanda kebesarnnya mengandungi :- Bintang - Lencana

- Selempang Setiap penerima darjah kebesaran ini hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan lencana yang tergantung pada pita yang dikalungkan ke leher. Keahlian di dalam Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia ini terdiri daripada golongan kerabat yang berdarah raja yang didapati layak dan munasabah serta berjasa atau yang mempunyai kebolehan-kebolehan tertentu, memiliki sifat-sifat mulia, setia serta khidmat-khidmatnya mematutkan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan. Penganugerahan kepada raja-raja atau putera-putera raja asing dan pengurniaan kepada orang-orang asing yang didapati layak dan munasabah untuk diterima sebagai Ahli Kehormat boleh juga diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan walaupun jumlah mereka melebihi had yang telah ditetapkan. Kedua-dua Darjah Kebesaran ini hendaklah digunakan pada setiap masa yang teradat dan memakai huruf D.K. selepas nama masing-masing. Cogan kata bagi Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia ini ialah "Muafakat Itu Berkat". Penganugerahan kepada mana-mana orang yang diterima ke dalam Darjah Kebesaran ini boleh dibatalkan atau dimansuhkan dengan syor-syor yang diberi oleh Jumaah Pangkuan Negeri atas perkenan Duli Yang Maha Mulai Al-Sultan. Apabila seseorang ahli meninggal dunia maka tanda kebesaran yang telah dikurniakan kepadanya hendaklah dipulangkan oleh waris atau wakil ahli itu kecuali diperkenankan dengan limpah kurnian Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan untuk disimpan oleh waris atau waris-waris ahli yang meninggal dunia itu. Waris bagi Ahli-ahli Yang Kehormat dari Darjah Kebesaran ini dikehendaki melaporkan secara bertulis tentang kematian penerimanya dengan seberapa segera kepada Pendaftar Darjah Kebesaran Yang Amat Mulia ini.

Darjah Kebesaran Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati dikurniakan kepada mereka yang berjasa kepada negeri dan Darjah Kebesaran ini terbahagi kepada empat (4) peringkat seperti berikut :Pertama (Penglima Besar) Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 25 orang. Tanda-tandan kebesarannya mengandungi :- Kalung (rantai) - Bintang - Selempang - Lencana (dokoh) Ahli Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai bintang berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan lencana yang tergantung pada pita (Selempang) dipakai bersandang di atas bahu kanan ke rusuk kiri. Walau bagaimana pun pada masa tertentu Lencana ini bolehlah digantung pada Kalung (rantai). Mereka yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini hendaklah mengguna, menyandang panggilan dan gelaran Dato sebelum nama masing-masing manakala isteri-isteri mereka pula hendaklah menggunakan gelaran To Puan pada setiap masa. Kedua

(Panglima) Dato Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 50 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Bintang - Lencana (dokoh) - Selempang Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Bintang berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan Lencana yang tergantung pada Pita hendaklah dikalungkan ke leher. Mereka yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini hendaklah mengguna, menyandang panggilan dan gelaran Dato sebelum nama masingmasing manakala isteri-isteri mereka hendaklah menggunakan gelaran To Puan pada setiap masa. Ketiga (Taulan) Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah seramai 100 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Lencana - Selempang - Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Lencana berkenaan yang digantung pada Pita dan dikalungkan ke leher :Keempat (Ahli) Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah seramai 200 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Lencana - Selempang - Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Lencana berkenaan di sebelah dada kiri. Kaum wanita yang menerima Darjah Kebesaran masing-masing hendaklah memakai seperti mana yang ditetapkan kecuali pada masa tertentu apabila mereka dikehendaki mengantungkan lencana berkenaan pada suatu pita yang sama warna dan bentuk rupanya untuk dipakai pada bahu kiri. Penerima yang terdiri daripada bukan anak watan Terengganu disifatkan sebagai Yang Kehormat dan jumlah mereka tidak termasuk dalam bilangan yang ditetapkan. Cogan kata bagi Darjah Kebesaran ini ialah "Bersetia Itu Jasa". Lantikan keahlian ke dalam mana-mana Darjah-darjahKebesaran ini boleh dibatalkan atau dimansuhkan dengan syor-syor yang diberi oleh Jumaah Pangkuan Negeri atas perkenan Duli Yang Maha Mulia AlSultan. Apabila seseorang penerima Darjah Kebesaran meninggal dunia, maka tanda kebesaran yang telah dikurniakan kepadanyan itu hendaklah dipulangkan kepada waris atau wakilnya kecuali diperkenankan dengan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan untuk disimpan oleh waris-waris ahli yang meninggal dunia itu. Bagi seseorang penerima yang mendapat kurnian Darjah Kebesaran yang lebih tinggi, tanda kebesaran yang lebih rendah yang mereka terima sebelumnya hendaklah dikembalikan.

Pada tahun 1982, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, di bawah kuasa Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Bab Kedua, telah mewujudkan Darjah Kebesaran Sultan Mahmud I Terengganu Yang Amat Terpuji. Darjah Kebesaran ini terbahagi kepada tiga peringkat sepertimana berikut :Pertama (Panglima Besar) Ahli Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (S.S.M.T.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 16 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Kalung (rantai) - Bintang - Selempang - Lencana Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat ini di sebelah kiri pakaian luar dan Lencana yang tergantung pada Pita (Selempang) yang dipakai bersandang di atas bahu kiri ke rusuk kanan atau digantung pada kalung (rantai) apabila dikehendaki. Kedua (Panglima) Ahli Dato Setia Sultan Mahmud Terengganu (D.S.M.T.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 32 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Bintang - Selempang - Lencana Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat ini di sebelah kiri pakaian luar dan menggantungkan Lencana pada Pita yang dikalongkan ke leher. Ketiga (Taulan) Ahli Setia Sultan Mahmud Terengganu (A.S.M.) Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 60 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :- Lencana - Selempang

Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Lencana berkenaan pada suatu Pita yang dikalungkan ke leher. Cogan kata bagi penghormatan ini ialah "Ikhlas Asas Keredhaan". Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Kelas Pertama Penghormatan Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu di sebelah kiri pakaian luar mereka dan Lencana yang tergantung pada Selempang yang dipakai bersandang di atas bahu kanan ke rusuk kiri, ataupun digantungkan pada Kalung (Rantai) apabila dikehendaki. Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Kelas Kedua Penghormatan Dato Setia Sultan Mahmud ini di sebelah kiri pakaian luar dan menggantungkan Lencana itu pada Selempang yang dipakai bersandang di atas bahu kanan dan ke rusuk kiri. Seseorang penerima Bintang Kelas Ketiga Penghormatan Ahli Setia Sultan Mahmud Terengganu hendaklah melekatkan Lencana ini pada Pita yang dikalungkan ke leher dengan riben kecil.

Setiap penerima Bintang Kehormatan Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Kelas Pertama, hendaklah sentiasa mempunyai, mengguna dan menyandang panggilan dan gelaran "Dato Seri" sebelum nama asal masing-masing. Bagi mereka yang diterima ke dalam Kelas Kedua Penghormatan ini iaitu Dato Setia Sultan Mahmud Terengganu, mereka hendaklah sentiasa mempunyai, mengguna dan menyandang panggilan dan gelaran "Dato" sebelum nama asal masing-masing manakala isteri mereka pula menyandang panggilan "To Puan Seri" bagi Kelas pertama Penghormatan dan "To Puan" bagi penerima Kelas Kedua Penghormatan ini. Sekiranya seseorang yang menerima penghormatan ini dibatalkan keahliannya, maka beliau hendaklah memulangkan Bintang Kemulian yang diterimanya sebelum ini. Apabila seseorang penerima menerima Bintang Kebesaran yang lebih tinggi, beliau hendaklah menyerahkan kembali Tanda Kemulian bagi kelas yang lebih rendah yang telah diterimanya sebelum itu. Apabila seseorang itu dinaikkan pangkatnya daripada salah satu Kelas-kelas Penghormatan yang rendah kepada Kelas Penghormatan yang lebih tinggi, Tanda Kemulian bagi Kelas yang lebih rendah itu hendaklah dipulangkan. Apabila seseorang penerima Darjah Kebesaran meninggal dunia, maka tanda kebesaran yang telah dikurniakan kepadanya hendaklah dipulangkan oleh waris atau wakilnya kecuali diperkenankan dengan limpah kurnia Duli Yang Maha Al-Sultan untuk disimpan oleh waris-waris ahli yang meninggal dunia itu sebagai satu tanda kasih sayang dan kurniaan Di Raja.