sejarah mahkamah johor

Upload: izzah-zahin

Post on 09-Jan-2016

168 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

Sejarah penubuhan Mahkamah di Johor.

TRANSCRIPT

  • 1

    SEJARAH MAHKAMAH JOHOR

    ERA JOHOR MODEN

    Kalangan sejarawan berpendapat bahawa kerajaan Johor adalah kesinambungan kerajaan Melayu Melaka dari susur galur pemerintahan. Organisasi dan pentadbiran di Johor termasuklah sistem kehakiman dan perundangan telah pun bertapak kukuh mengikut tradisi dan sifat-sifatnya tersendiri sebelum kedatangan koloni Inggeris. Berbeza dengan zaman penjajahan Portugis dan Belanda, sistem pengadilan tempatan masih lagi diamalkan kerana kedua-dua kuasa tersebut tidak berminat mencampuri hal ehwal pentadbiran masyarakat tempatan.

    Sejarah penubuhan mahkamah di negeri Johor bermula apabila Maharaja Abu Bakar yang menjalinkan hubungan diplomasi dengan pegawai Inggeris di Negeri Selat. Seterusnya, Baginda serta beberapa pegawai kanan negeri telah melawat England. Lawatan itu telah menjalinkan hubungan rapat Istana Johor dengan Istana Ratu England.

    Seorang pengkaji sejarah menyatakan kesan baik dari jalinan tersebut,

    his close association with the men of Straits Settlements bureaucracy and the European members of merchantile community of Singapore and other prominent men like lawyers not only sharpened his outlook but also increased his knowledge of the officials business and legal world.

    Ini ternyata merupakan satu langkah baginda mendapatkan pengiktirafan rasmi,

    his eligibility for the throne of Johore.2

    Maharaja Johor ini sedar akan kekuatan kerajaan baginda terletak kepada kemajuan

    negerinya. Baginda menggalakkkan pelaburan modal asing di Johor. Selain bumi Johor yang subur, kedudukan Johor yang hampir dengan pasaran Singapura merupakan satu lagi faktor yang dapat mengukuhkan kedudukan ekonomi Johor serta dapat menarik pelabur-pelabur. Baginda juga telah melantik William Napier dari sebuah firma guaman di Singapura menjadi Penasihat Undang-undang .

    Kemajuan ekonomi Johor dinyatakan dalam Singapore and Straits Directory,

    yet by the security of its position in the close neighbourhood of Singapore and through its settled Government, Johore has attained some prominence and exceptional among the native states of the Peninsula.

    Menurut seorang sejarawan:

    Arakian adalah hal perjalanan kerja-kerja berkenaan dengan Johor dari sehari ke sehari bertambah-tambah besar, maka terbukalah mata saudagar-saudagar yang ada di Singapura memandang akan Johor serta cuba memasukkan wang dalam berbagai-bagai perkara. 4

  • 2

    Dalam menjalankan pemerintahan negeri, Baginda dibantu oleh Majlis Mesyuarat Pembesar-Pembesar yang lebih dikenali sebagai Ahli Mesyuarat Johor. Tiada rekod yang mencatatkan tarikh penubuhan rasmi mesyuarat ini. Namun, berasaskan Undang-undang Gambir Lada yang dikeluarkan dalanm tahun Hijrah 1285 bersamaan tahun Masihi 1868 membuktikan bahawa Mesyuarat Johor telahpun wujud pada 1868.

    Maklumat awal mengenai senarai Ahli Mesyuarat hanya dapat didapati bagi tahun 1873. Kerajaan Johor kemudian menamakannya sebagai Mesyuarat Kerajaan (The Council of State). Di samping menjadi badan penasihat pemerintah, ia juga telah diberi tanggungjawab sebagai badan perundangan. Mesyuarat inilah yang meluluskan peraturan-peraturan dan Undang-Undang Negeri Johor. Seorang sejarawan tempatan menjelaskan:

    Maka segala perintah dan hukuman yang dijalankan iaitu diturut aturan bermoden yang diambil dari Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Inggeris yang demikinan berjalanlah segala aturan dan hukuman negeri serta kerja-kerja sama lebih kurang dengan aturan Inggeris zahirnya tetapi sebelah dalmannya tujuannya kepada Islam. Maka sangatlah diperkenan orang-orang sekelian aturan-aturan yang tersebut hingga memujilah masing-masing akan dia.5

    STRUKTUR PENTADBIRAN NEGERI JOHOR MODEN

    Dalam tahun 1895, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor digubal di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar yang mana ia memperuntukkan ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dilantik oleh Sultan atau nasihat Jemaah Menteri. Bilangan ahli Mesyuarat Kerajaan Johor ini dihadkan tidak kurang dari 16 orang. Tugas dan kuasa mesyuarat ini ditetapkan dalam Fasal 49 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor antaranya membantu Raja dan Jemaah Menteri dalam hal-hal mentadbir negeri dan meminda undang-undang.

    Di samping fungsi-fungsi tersebut, Mesyuarat Kerajaan juga menjadi Dewan Keadilan atau (The Highest Court of Justice and Appeal). Kadang-kadang disebut juga sebagai The Most Exalted Court of Justice and Appeal. PENUBUHAN SISTEM KEHAKIMAN JOHOR

    Sistem kehakiman di Johor Bahru bermula dengan Mahkamah Polis berdasarkan kuatkuasa Kanun Polis Johor 1873. Mahkamah Tinggi (Supreme Court) diwujudkan pada tahun 1883. Seorang ulama iaitu Haji Muhamad Salleh dilantik sebagai Hakim dibantu oleh Mufti Kerajaan Syed Salim al-Attas sebagai Penasihat Undang-Undang Islam.

    Pentadbiran harian Mahkamah dijalankan oleh Mubin Ibrahim sebagai Pendaftar Mahkamah serta beberapa orang kerani dan juga seorang jurubahasa Cina bernama Eoo Joo Guan. Berikutan kemasukan buruh-buruh dari India, pada tahun 1888 kerajaan mengambil Tambi Sabr Ali sebagai Jurubahasa Tamil. Dipercayai kitab-kitab Hukum Syarak digunakan sebagai panduan Hakim berikutan Undang-undang Keadilan Johor berteraskan Hukum-hukum Islam seperti Kitab Perhimpunan Hukum-hukum Syarak al-Islam.

  • 3

    Sistem kehakiman di Johor sehingga tahun 1911 dikendalikan oleh pegawai Bumiputera manakala pegawai Inggeris khususnya Penasihat Undang-Undang diwartakan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi bagi membicarakan hal kes yang melibatkan orang Eropah sahaja.

    Selaras dengan Islam sebagai agama negeri, Hakim Besar ialah Datuk Haji Abdullah

    Musa; yang juga merupakan Mufti Johor. Malah bekas Penolong Kadi Johor Ungku Omar Ahmad, dilantik sebagai Majistret Endau di samping tugasnya sebgai Timbalan Pesuruhjaya Kerajaan Endau. Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim, Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Uthmaniyyah Turki pada kurun ke-19 telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kod tersebut lebih dikenali sebagai Majalah Ahkam Johor serta dijadikan panduan rasmi bagi hukum syara di Johor pada tahun 1913.6 CAMPUR TANGAN INGGERIS

    Dalam tahun 1914, Inggeris terasa sukar untuk bertapak di Johor kerana Sultan Ibrahim tidak menunjukkan sikap bekerjasama dalam membawa masuk lebih ramai lagi pegawai Eropah. Dipetik kata-kata daripada seorang sejarawan,

    it is very clear that the status of the Sultan of Johore is entirely different from and jurisdically much higher than that of any Indian Prince or any other Malay States.7

    Johor amat sedar bahawa di negeri-negeri Melayu yang lain, nasib orang Melayu tertekan di bawah kuasa Inggeris, peluang menjadi Pentadbir Negeri masih samar-samar. Daripada amalan yang berlaku di Johor, ia mahu memerintah rakyatnya sendiri dan tidak tertarik dengan birokrasi Inggeris. Campur tangan Inggeris tidak menghapuskan pentadbiran tradisi Johor sebaliknya Inggeris hanya memperbaiki sistem pentadbiran di Johor; tidak sepertimana campur tangan Residen Inggeris dalam sistem pentadbiran negeri Melayu lain.

    Semenjak kehadiran D.G. Campbell (Penasihat Am) di Johor, nilai-nilai Barat dan sikap kolonial Inggeris semakin terserlah berikutan usahanya menyamakan pentadbiran negeri di Johor seperti di Negeri-Negeri Melayu bersekutu. Sistem Suruhanjaya Kehakiman yang dijalankan sebelumnya telah dibubarkan. Jawatan Hakin yang dipegang oleh Mufti telah dibubarkan. Berikutan itu, Mufti hanya dirujukkan jika ada kes dan hukuman berkaitan dengan agama Islam; sebaliknya undang-undang Inggeris mula dilaksanakan sepenuhnya.

    M.H Whitley yang menjadi Ketua Pentadbiran Kehakiman selaku Penasihat Undan-Undang juga menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Selain daripada Mahkamah Tinggi, terdapat juga Mahkamah Majistret dan Mahkamah Rayuan. Perubahan yang berlaku adalah pada struktur paling atas. Sebaliknya di peringkat pertengahan dan bawah tiada perubahan. Bilangan Majistret Melayu adalah besar. Pendaftar Mahkamah Tinggi dan lain-lain jawatan pentadbiran dipegang oleh anak-anak tempatan.

  • 4

    PENGENALAN PRINSIP COMMON LAW ENGLAND

    Dalam usaha untuk memperkenalkan prinsip Common Law England di Tanah Melayu, Inggeris telah melaksanakan proses yang terancang dan teratur untuk mengenepikan undang-undang Islam dan adat orang tempatan. Pengisytiharan Piagam Keadilan (Charter of Justice) dan campur tangan dalam sistem pentadbiran negeri adalah sebahagian dari usaha Inggeris untuk mencapai matlamat tersebut. Akhirnya, penggubalan Enakmen Undang-Undang Sivil 1937 dianggap telah merasmikan pemakaian undang-undang Inggeris di Tanah Melayu.

    Kesannya, Inggeris telah menginstitusikan sistem kadi di Tanah Melayu bertujuan untuk menyempitkan bidang kuasa institusi-institusi pengadilan Islam terbatas hanya kepada institusi kekeluargaan, matrimoni dan harta pusaka sahaja.

    Perang Dunia II meletus pada tahun 1939. British dikalahkan dengan mudah oleh tentera Jepun. Jepun menduduki Johor dari tahun 1941 hingga tahun 1945. Selepas tamatnya peperangan, British kembali ke Johor dan pada tahun 1946, Johor menjadi sebahagian daripada Malayan Union.

    Sejurus mengusai Tanah Melayu, Mahkamah yang mentadbir hal ehwal orang Islam iaitu Mahkamah Kadi (Court of Kathi) telah dijadikan sebahagian daripada struktur Mahkamah Awam berdasarkan Ordinan Mahkamah 1946. Nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

    Dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 yang mana Johor merupakan salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan tersebut, maka sebuah Persekutuan yang didasarkan kepada prinsip-prinsip pengasingan kuasa telah terbentuk. Kedudukan Mahkamah Kadi ini seterusnya menjadi terasing dari hierarki mahkamah-mahkamah di Tanah Melayu apabila Inggeris memperkenalkan sistem kehakiman yang baru mengikut Ordinan Mahkamah 1948 yang meminda Ordinan Mahkamah 1946. Ordinan tersebut hanya memperuntukkan Mahkamah Agung (Supreme Court), Mahkamah Sesyen (Sessions Court), Mahkamah Majistret (Magistrates Court) dan Mahkamah Penghulu (Penghulus Court) dalam hierarki Mahkamah Persekutuan.

    Hasilnya, wujudlah dua struktur dan sistem kehakiman yang berbeza di Malaysia

    hingga kini. (Maklumat lanjut mengenai Mahkamah Syariah Johor > http://syariah.johor.gov.my/profil/sejarah_penubuhan).

    Mahkamah-mahkamah sivil di Malaysia secara umumnya dibahagikan kepada

    beberapa jenis mengikut undang-undang penubuhannya. Misalnya, Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen. Manakala Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pula memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Pembahagian Mahkamah sebegini adalah kerana masing-masing adalah tertakluk kepada bidangkuasa tersendiri.

  • 5

    Berhubung dengan prosiding pula, setiap Mahkamah mempunyai prosiding yang tersendiri dan diseliakan melalui peraturan-peraturan yang berasingan. Prosedur perbicaraan jenayah di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi ditentukan berdasarkan Kanun Acara Jenayah. Pada bulan Ogos 2012, suatu peraturan baru iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 telah digubal bagi menggabungkan peraturan-peraturan berhubung prosiding kes sivil di Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

    Bangunan Mahkamah ini sebagaimana juga beberapa bangunan utama kerajaan negeri Johor seperti Masjid Abu Bakar dan Istana Besar; diletakkan berhadapan dengan Selat Tebrau Johor. Ini meningkatkan lagi imejnya sebagai bangunan sivik kerajaan. Ciri-ciri bangunan berbentuk ala kolonial sememangnya menjadi tarikan pelawat yang berkunjung ke negeri Johor. Senibina bangunan jelas memperlihatkan pengaruh dari Itali dan Greek. Pengaruh seni bina Renaissance Itali dapat dilihat pada reka bentuk tingkap dan dinding bangunan. Pengaruh Greek kuno pula jelas dilihat dari penggunaan tiang dengan rekaan Doric dan Ionic.

    SEJARAH BANGUNAN MAHKAMAH

    >Pelan bangunan ini direkabentuk dalam susunan yang simetri. Rekabentuk bangunan ini disertai dengan hiasan simbol. Contohnya, ikatan daun zaitun melambangkan keamanan sesuai dengan fungsi utama bangunan ini.

    >Bangunan Mahkamah Court House di Jalan Dato Onn telah dibina pada tahun 1928 di bawah pengawasan firma arkitek Stark and Neil dan pernah dikenali sebagai Johore Bahru Supreme Court. Kawasan tanah rata ini pada asalnya adalah padang bola sepak Johore Football Association dan Johor Sports Club.

  • 6

    Mahkamah Tinggi

    Mahkamah Sesyen

    Mahkamah Majistret

    Seiring dengan perkembangan semasa, terdapat perancangan untuk pembinaan sebuah Kompleks Mahkamah Johor di Kota Iskandar, Nusajaya. Pada masa kini, bangunan lama mahkamah di Jalan Dato Onn menempatkan Mahkamah Tinggi (Jenayah) dan Unit Lelong. Bersebelahan dengan bangunan tersebut adalah bangunan kompleks 5 tingkat yang menempatkan Mahkamah Rendah (Jenayah). Manakala, Mahkamah Rendah (Sivil) dan Mahkamah Tinggi (Sivil) ditempatkan di Menara MSC Cyberport di Bukit Meldrum berdekatan dengan Tambak Johor.

    > Bangunan MSC Cyberport yang menempatkan Mahkamah Sivil di tingkat 23, 23A dan 25

    >Setiap Mahkamah juga dilengkapi dengan Court Recording and Transcription System (CRT), yang membolehkan pengguna mengakses rakaman audio dan visual prosiding Mahkamah. Selain daripada itu, Mahkamah disediakan dengan Vulnerable Witness System, yang membolehkan keterangan saksi diberikan dari bilik khas dan boleh diakses oleh Hakim, Pendakwa Raya dan Peguam dari Mahkamah Terbuka.

    >Anak panah berwarna merah menunjukkan lokasi Mahkamah Sivil di Bukit Meldrum manakala anak panah berwarna biru menunjukkan kedudukan Mahkamah Jenayah di Jalan Ayer Molek/Jalan DatoOnn

  • 7

    >Peta menunjukkan lokasi-lokasi mahkamah di sekitar Johor

    RUJUKAN 1 P.S Sundram, The Economic Development of Johore, 1862-1895, (Latihan Ilmiah Sejarah, Universiti Malaya, Singapura, 1958), hal. 9 2 R.O Winstedt, Bendahara and Temenggung, JMBRAS, XX(1), 1932, hal. 65. 3 Singapore Daily Times, 5 September 1881 4 Haji Musa Yusof, Johor Bahru Seratus Tahun, hal. 14 5 Muhamad Said, Hikayat Johor 1, hal. 12. Kerajaan Johor dalam tahun 1868 telah meminjam dari Raja Ali Haji Riau Kitab Muqaddimah fi Intizam al Waza'if al-Mulk dan Kitab Thamaratul Muhimati dziafatan li Umarai Wal Kubarai Lil ahlil Mahkamati, iatu mengenai peraturan kerajaan, kaedah melantik raja, wazir, kadi dan undang-undang mahakamh. Kitab lain ialah undang-undang pada zaman Sultan Abdul Ghaffar Mahyudin Syah di negeri Pahang dan kitab kanun dan adat yang diatur pada zaman Sultan Sulaiman Johor. 6 Arahan untuk menggunakan kod undang-undang ini dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Johor pada 29 November 1913. Sultan Ibrahim telah bertitah supaya Majalah Ahkam Johor dijadikan salah satu bahan rujukan oleh para hakim dan majistret serta pegawai perundangan di johor. 7 R. Bradell, The Legal Status of the Malay States, (Singapura: Malaya Publishing House, 1931). hal 26.

  • 8

    A. Ghafar Ahmad. and Kamarudin Bin Ab. Razak. (2001). Seni Bina Bangunan Bersejarah Negeri Johor. Johor Bahru, Johor: Yayasan Warisan Johor.

    Abdul Monir Yaacob (1997), "Shariah Courts in Malaysia: Past, Present and Future", dalam Ahmad Ibrahim et.al. (ed), The Administration of Islamic Law, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia

    Ahmad Fawzi Mohd Basri . (1982). JOHOR 1855 - 1917: Perkembangan Dalam Pentadbirannya. Ijazah Sarjana Sastera. Universiti Malaya.

    Amalina Othman. (1990). Johor Bahru : Sejarah dan Senibina 1868 - 1959. Diploma Senibina. Institut Teknologi MARA.

    Pembentangan Kertas Kerja Sejarah Perkembangan Undang-Undang Islam di Johor oleh Hanif Md Lateh@Junid, Izziah Suryani Mat Resad@Arshad & Ermy Azziaty Rosli. Nadwah Ulama Nusantara IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara pada 25-26 November 2011.

    Arkib Negara Malaysia, Cawangan Johor Bahru

    http://tanggam.com/kalamutm/measured-drawing/2003-2004/bangunan-mahkamah-tinggi-johor-bahru/