sejarah dan perkembangan sukan renang di dunia
DESCRIPTION
NotaTRANSCRIPT
SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SUKAN RENANG DI DUNIA
Seperti yang kita sedia maklum, 70% dari permukaan bumi adalah terdiri
daripada air sama ada air laut, sungai, tasik, paya, kolam atau lombong. Oleh itu
logiknya seseorang manusia itu harus mempunyai kemahiran untuk berenang.
Namun demikian, tidak semua manusia boleh berenang. Ini adalah kerana
kemahiran renang perlukan latihan praktikal untuk menguasainya.
Aktiviti renang adalah sangat menyeronokkan. Bermain dengan air bagaikan
satu hiburan dan terapi . Namun begitu , aktiviti ini sangatlah memberi faedah dan
manfaat kerana ianya bukan sekadar aktiviti yang membina dan mengembangkan
kecerdasan fizikal seperti kekuatan, ketahanan dan kelenturan otot serta ketahanan
kardiovaskular tetapi ia juga membuka pintu kepada banyak lagi aktiviti rekreasi
akuatik. Aktiviti akuatik yang lain adalah seperti berkayak, ski air, belayar,
snorkelling, selam scuba, lunjur ombak dan polo air.
Aktiviti renang bermula sejak zaman pra-sejarah lagi. Terdapat lukisan pada
dinding gua di Wadi Sora, Mesir yang menunjukkan bahawa aktiviti ini telah mula
dilakukan oleh manusia sebelum sejarah dicatatkan lagi. Di Jepun, kemampuan
untuk berenang adalah salah satu dari tujuh kemahiran yang perlu ada pada setiap
samurai. Melalui catatan sejarah, pertandingan renang pertama telah
diselenggarakan oleh Kaisar Suigui pada tahun 36 sebelum Masihi.
Kejohanan renang mula diadakan di Eropah sekitar tahun 1800 yang
menggunakan gaya dada. Pada tahun 1844, dua orang asli Amerika Utara bernama
Flying Gull dan Tobacco dijemput menyertai pertandingan renang di London. Mereka
menggunakan gaya mereka sendiri yang lebih kurang sama dengan gaya bebas
pada hari ini. Gaya bebas atau ‘front crawl’ telah diperkenalkan oleh John Arthur
Trudgen yang telah meniru gaya renangan orang asli Amerika atau lebih dikenali
sebagai ‘Red Indian’ yang berenang menggunakan tangan sahaja. Gaya itu
kemudiannya dikenali sebagai ‘the trudgen’. Gaya tersebut telah ditambah baik oleh
Richard Frederick Cabill, seorang warga Australia pada tahun 1902 dengan
tendangan kaki. Gaya ini juga telah di tiru oleh Richard menerusi pengamatannya ke
atas gaya renangan orang asli kepulauan Solomon yang menggunakan tendangan
mengibas.
Pada zaman dahulu, sukan renang di hargai sebagai satu gaya untuk
mengekalkan daya tahan badan bukannya sebagai satu acara perlumbaan mengejar
masa (Race againts time). Pada zaman tersebut, satu daripada cabarannya ialah
berenang merentasi Selat Inggeris bagi menguji kebolehan dan daya tahan diri
perenang tersebut. Pada tahun 1875, Captain Matthew Webb dari Shropshire,
England menjadi orang pertama berenang merentasi Selat Inggeris. Beliau
berenang dari Dover, England ke Calais, Perancis dalam masa 21 jam 45 minit.
Pada tahun 1956, rekodnya telah dipecahkan oleh seorang warga Mesir yang
bernama En.Hassan Abdul Rahim yang berenang merentasi Selat Inggeris dari
tempat yang sama ke tempat yang sama dalam masa10 jam 50 minit.
Kolam renang pertama telah dibuka di Liverpool, England pada tahun 1828.
Kota London pula merupakan bandar yang pertama memperkenalkan sukan renang
sebagai satu pertandingan pada tahun 1837. Kota itu sendiri mempunyai enam
kolam renang.
Secara amnya, sukan renang telah mula dipertandingkan di Sukan Olimpik
Moden pertama pada 1896 di Athens, Greece. Pada ketika itu hanya 4 acara yang
dipertandingkan iaitu 100 m, 500 m, 1200 m gaya bebas dan 1 acara 100 m untuk
para pelaut. Pemenang pertama pingat emas acara renang sukan Olimpik ialah
Alfred Hajos dari Hungary dalam acara 100 m gaya bebas dengan catatan masa
1:22.20. Sukan Olimpik Moden kedua pada 1900 di Paris, Perancis, 6 acara telah
dipertandingkan iaitu 100 m, 200 m, 1000 m, 4000 m gaya bebas, 200 m gaya dada
dan 200 m berganti-ganti. Namun, Sukan Olimpik Moden ketiga di St. Louis,
Amerika, acara renang yang dipertandingkan telah dipendekkan dan diukur
menggunakan ela. Acara-acara tersebut adalah 50 ela, 100 ela, 220 ela, 440 ela,
880 ela dan 1 batu gaya bebas serta 440 ela gaya dada.
Pada tahun 1907, Annette Kellerman dari Australia, seorang penari ballet
telah ke Amerika dan memperkenalkan acara renang berirama. Beliau berenang
dalam kolam kaca dan bergerak seperti seorang penari ballet. Renang berirama
telah dijadikan acara pertunjukkan di Sukan Olimpik Rome pada tahun 1960. Namun
hanya pada Sukan Olimpik Los Angeles pada tahun 1984 acara tersebut telah
dipertandingkan secara rasminya. Hanya dua kategori sahaja dipertandingkan iaitu
duet (2 perenang) dan berpasukan (8 perenang).
Persatuan Renang Antarabangsa (Federation Internationale De Natition De
Amatuer / FINA) telah ditubuhkan pada tahun 1908 bagi menyelaras sukan renang
dengan lebih baik dan teratur.
Sukan Olimpik Stockholm, Belanda pada 1912, acara renang bagi wanita
mula dipertandingkan yang mana sebelum ini hanya dipertandingkan bagi lelaki
sahaja. Jika sebelum ini gaya kupu-kupu adalah salah satu daripada variasi gaya
dada, namun pada tahun 1952 gaya tersebut telah dipisahkan dan dijadikan salah
satu gaya renang dengan acaranya sendiri. Ketika ini terdapat 4 variasi gaya
renangan iaitu gaya bebas, gaya dada, gaya kupu-kupu dan gaya lentang.
SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SUKAN RENANG DI MALAYSIA
Di Malaysia, hampir setiap hari kita akan membaca dalam akhbar atau
mendengar berita di radio dan televisyen tentang kanak-kanak dan orang dewasa
mati lemas. Mereka mati lemas sama ada ketika mandi di laut, sungai, tasik,
lombong, kolam renang atau semasa banjir. Mungkin juga ketika mereka menaiki
sampan atau feri untuk ke sekolah serta ke tempat kerja. Jadi, kebolehan dan
kemahiran untuk berenang akan membolehkan kita menyelamatkan nyawa sendiri
atau nyawa orang lain.
Pada awal abad ini, ramai rakyat di Malaya menunjukkan minat dalam aktiviti-
aktiviti sukan renang terancang (organized swimming activities). Oleh kerana minat
rakyat terhadap renang terancang begitu besar maka beberapa buah kelab renang
telah ditubuhkan tidak lama kemudian, antaranya Penang Swimming Club pada
tahun 1903, Penang Chinese Swimming Club pada tahun 1928, European
Swimming Club pada tahun 1930an di Ipoh, Taiping dan Kuala Lumpur serta Kinta
Swimming Club di Ipoh pada tahun 1936.
Kelab-kelab renang ini sangat aktif. Bagi menaikkan taraf sukan renang di
Malaya, kelab-kelab renang ini telah mengelolakan ‘The Malayan Chinese Olympiad’
pada tahun 1931. Acara tersebut telah diteruskan setiap tahun sehingga 1937,
dengan penyertaan kelab-kelab renang dari Pulau Pinang, Perak, Johor dan Melaka.
Selepas Perang Dunia Kedua, minat rakyat terhadap sukan renang giat dipulihkan.
Banyak pertandingan renang dikelolakan di antara kelab-kelab renang dari
Singapura, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur.
Pada tahun 1955, ‘The Malayan Amateur Swimming Union’ telah ditubuhkan.
Dengan pertubuhan ini, pertandingan antara kelab renang telah digantikan dengan
pertandingan antara negeri. Pada tahun 1956, Malaya buat pertama kalinya
menyertai Suka Olimpik di Melbourne, Australia. Kontigen Malaya ketika itu
menyertai lima jenis acara sukan iaitu olahraga, angkat berat, renang, menembak
dan hoki. Untuk sukan renang hanya dua perenang lelaki dihantar. Mereka ialah
Fong Seow Hor dan Lim Heng Chek.
Sekarang persatuan renang di Malaysia dinamai ‘Amateur Swimming Union
of Malaysia’ (ASUM) yang berpejabat di Pusat akuatik Nasional, Kompleks Sukan
Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. ASUM adalah ahli gabungan badan renang dunia,
‘Federation Internationale De Natation Amateur’ (FINA).
Dalam Sukan SEA XV di Kuala Lumpur pada tahun 1989, Perenang
Malaysia, Nurul Huda Abdullah memungut lapan pingat emas dan mencipta rekod
Sukan SEA untuk acara 200 meter gaya bebas (2:05.75), acara 400 meter gaya
bebas (4:21.98), acara 200 meter rampaian individu (2:22.74) dan acara 400 meter
rampaian individu (4:59.61). Nurul Huda Juga dihadiahkan ‘The Coca-cola
Outstanding Female Athlete of The 15th SEA Games’.
Seorang lagi perenang kita yang cemerlang ialah Jeffrey Ong yang dikenali
sebagai ‘King of Malaysia Pools’. Beliau memungut dua pingat emas untuk acara
400 meter dan 1500 meter gaya bebas lelaki dalam empat Sukan SEA berturut-turut
iaitu pada 1987 di Jakarta, 1989 di Kuala Lumpur, 1991 di Manila dan 1993 di
Singapura. Beliau juga telah memenangi dua pingat perak untuk acara yang sama di
Kejohanan Renang Asia pada 1988 di Beijing dan Sukan Asia 1990 juga di Beijing,
China. Beliau juga cemerlang di World Student Games, Sheffield pada tahun 1991
dengan memungut pingat perak bagi acara kegemarannya iaitu 1500 meter gaya
bebas. Beliau juga telah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik 1988 di Seoul,
Korea Selatan dan Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.