pihak berwajib

5
3.0 PIHAK BERWAJIB Pihak berwajib seperti kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga mempunyai peranan tersendiri dalam pembangunan lestari negara. Kerajaan merupakan aktor utama yang memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara di mana mereka inilah yang menggubal dasar-dasar negara, mengeluarkan perbelanjaan untuk membangunkan ekonomi negara dan menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyatnya. Oleh yang demikian, kerajaan juga merupakan aktor utama dalam memastikan pembangunan yang dijalankan tidak menjejaskan keperluan generasi akan datang di mana, pembangunan yang dijalankan itu haruslah mengambil kira penggunaan sumber yang cekap dan terurus. Dengan kata lain, proses ini dikenali dengan pembangunan lestari iaitu pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa mengabaikan kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan mereka. Titik tolak kesedaran terhadap pembangunan lestari di Malaysia bermula pada tahun 1987 di mana konsep tersebut dicerap dari Perhimpunan Bangsa- bangsa Bersatu. Our Own Common atau Bruntland Report dari United Nations World Commission on Environment and Development (WCED) diumumkan bagi membincangkan isu alam sekitar dalam agenda politik di mana perbincangan alam sekitar dan pembangunan dibincang dalam satu isu. Salah satu mandat dalam Bruntland Report ini adalah memeriksa semula isu-isu alam sekitar dan pembangunan yang kritikal dan merangka cadangan tindakan yang inovatif, konkrit, dan realistik untuk mengatasinya. Bruntland Report ini merupakan asas bagi mengadakan Earth Summit (Sidang Kemuncak Bumi) 1992 dan penerimaan Agenda 21, Persidangan Rio De Janeiro dan dengan penubuhan Commission on Sustainable Development (CSD). Selain itu, kerajaan Malaysia juga tertarik dengan Agenda 21 yang telah dibincangkan semasa Persidangan Rio De Janeiro atau dikenali sebagai United Nation Commission on Environmental Development (UNCED) pada 3 hingga 14 Jun 1992. Persidangan ini merupakan persidangan yang popular dan membincangkan isu-isu terkini berkaitan alam sekitar. Persidangan ini merangkumi Agenda 21 yang dihadiri oleh pemimpin setiap negara. Malaysia diwakili oleh Tan Sri Razali Ismail bagi mengetuai delegasi negara dalam persidangan tersebut. Agenda 21 merupakan satu plan tindakan alam sekitar yang menyeluruh untuk menghadapi alaf 21 yang lebih mencabar dan hebat khususnya berkaitan dengan isu alam sekitar global. Malaysia telah mengambil inisiatif menyokong Agenda 21 ini iaitu pelan tindakan ke arah pembangunan mampan untuk abad ke-21. Dari situ, kerajaan merancang dasar-dasar kerajaan yang mengambil kira pembangunan lestari. Usaha untuk menjayakan pembangunan lestari telah timbul semenjak pelancaran Rancangan Malaysia Ketujuh pada tahun 1996 hingga 2000.

Upload: chris-phoebe

Post on 30-Sep-2015

215 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

pendidikan alam sekitar

TRANSCRIPT

3.0PIHAK BERWAJIB

Pihak berwajib seperti kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga mempunyai peranan tersendiri dalam pembangunan lestari negara. Kerajaan merupakan aktor utama yang memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara di mana mereka inilah yang menggubal dasar-dasar negara, mengeluarkan perbelanjaan untuk membangunkan ekonomi negara dan menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyatnya. Oleh yang demikian, kerajaan juga merupakan aktor utama dalam memastikan pembangunan yang dijalankan tidak menjejaskan keperluan generasi akan datang di mana, pembangunan yang dijalankan itu haruslah mengambil kira penggunaan sumber yang cekap dan terurus. Dengan kata lain, proses ini dikenali dengan pembangunan lestari iaitu pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa mengabaikan kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan mereka.

Titik tolak kesedaran terhadap pembangunan lestari di Malaysia bermula pada tahun 1987 di mana konsep tersebut dicerap dari Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Our Own Common atau Bruntland Report dari United Nations World Commission on Environment and Development (WCED) diumumkan bagi membincangkan isu alam sekitar dalam agenda politik di mana perbincangan alam sekitar dan pembangunan dibincang dalam satu isu. Salah satu mandat dalam Bruntland Report ini adalah memeriksa semula isu-isu alam sekitar dan pembangunan yang kritikal dan merangka cadangan tindakan yang inovatif, konkrit, dan realistik untuk mengatasinya. Bruntland Report ini merupakan asas bagi mengadakan Earth Summit (Sidang Kemuncak Bumi) 1992 dan penerimaan Agenda 21, Persidangan Rio De Janeiro dan dengan penubuhan Commission on Sustainable Development (CSD).

Selain itu, kerajaan Malaysia juga tertarik dengan Agenda 21 yang telah dibincangkan semasa Persidangan Rio De Janeiro atau dikenali sebagai United Nation Commission on Environmental Development (UNCED) pada 3 hingga 14 Jun 1992. Persidangan ini merupakan persidangan yang popular dan membincangkan isu-isu terkini berkaitan alam sekitar. Persidangan ini merangkumi Agenda 21 yang dihadiri oleh pemimpin setiap negara. Malaysia diwakili oleh Tan Sri Razali Ismail bagi mengetuai delegasi negara dalam persidangan tersebut. Agenda 21 merupakan satu plan tindakan alam sekitar yang menyeluruh untuk menghadapi alaf 21 yang lebih mencabar dan hebat khususnya berkaitan dengan isu alam sekitar global. Malaysia telah mengambil inisiatif menyokong Agenda 21 ini iaitu pelan tindakan ke arah pembangunan mampan untuk abad ke-21.

Dari situ, kerajaan merancang dasar-dasar kerajaan yang mengambil kira pembangunan lestari. Usaha untuk menjayakan pembangunan lestari telah timbul semenjak pelancaran Rancangan Malaysia Ketujuh pada tahun 1996 hingga 2000. Namun penerimaan terhadap konsep ini masih belum jelas. Konsep pembangunan lestari dalam dasar kerajaan ini lebih kepada undang-undang seperti pemeliharaan sumber air, pemeliharaan hutan, pemeliharaan marin, pemeliharaan perikanan, pemeliharaan binatang liar, pemuliharaan tanah, kawalan pencemaran, dan penilaian kesan ke atas alam sekitar. Menurut Nor Azizah Mohd Salleh et. al. (2000), undang-undang sangat perlu dalam usaha mengawal keseimbangan alam sekitar daripada dicerobohi seperti Undang-undang Perindustrian dan Undang-undang penerokaan tanah atau hutan pertanian. Walaupun kerajaan telah berusaha untuk menerapkan konsep pembangunan lestari ini dalam pembangunan ekonomi negara, namun usaha tersebut ternyata masih tidak memuaskan kerana masih lagi terjadi pencemaran, kemerosotan tanah, dan penggunaan sumber alam yang berlebihan. Keadaan ini terjadi kerana pendekatan yang dibuat masih lagi di tahap kurang memuaskan dan tidak berkesan.

Agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kemapanan alam sekitar demi menjamin keperluan generasi yang akan datang. Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) pada tahun 2002. Ia telah diwujudkan bagi meneruskan kemajuan ekonomi, sosial dan budaya serta peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia menerusi kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari. Dasar ini adalah bertujuan untuk menjamin alam sekitar yang bersih, selamat, sihat dan produktif bagi generasi masa kini dan masa hadapan dan pemuliharaan kebudayaan dan warisan semulajadi yang unik dan pelbagai dengan penyertaan berkesan semua sektor masyarakat. Terdapat lapan prinsip di bawah DASN untuk mengharmonikan matlamat pembangunan ekonomi dengan kepentingan alam sekitar iaitu pengawasan alam sekitar, pemuliharaan ketahanan dan kepelbagaian alam, peningkatan berterusan kualiti alam sekitar, penggunaan mapan sumber-sumber asli, membuat keputusan bersepadu, peranan sektor swasta, komitmen dan kebertanggungjawapan dan penyertaan aktif dalam masyarakat antarabangsa. Bawah DASN ini terdapat Strategi Hijau Malaysia yang menggalakkan kesejahteraan alam sekitar menerusi penyelidikan dan pembangunan, keberkesanan ekonomi, keadilan sosial, kewajiban dan kebertanggungjawaban. Strategi ini dijalankan di sekolah seperti Program Sekolah Lestari dan institusi pengajian tinggi.

Melalui pendidikan, kerajaan merancang suatu tindakan untuk menerapkan pembangunan lestari di peringkat sekolah iaitu memupuk kesedaran tentang pentingnya pendidikan alam sekitar dalam menjaga alam sekitar. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memikul tugas yang berat bagi memupuk kesedaran ini dalam kalangan pelajar. Kementerian Pendidikan merancang beberapa dasar, program dan pendekatan yang sesuai bagi menerapkan pendidikan alam sekitar ini di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Di sekolah, pendidikan ini akan diajar bermula dari pra sekolah kerana penyampaian sesuatu ilmu tersebut adalah sebaik-baiknya bermula dari akar supaya lebih berkesan untuk masa akan datang seperti peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, pendidikan formal di sekolah berkaitan alam sekitar penting bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan pembangunan yang berteraskan alam sekitar bagi menjamin sumber untuk generasi akan datang.

Menurut Azizi Muda et. al. (2012), Agenda 21 turut mencadangkan supaya menggunakan pelbagai kaedah dalam pendidikan untuk meningkatkan lagi kepekaan dan keprihatianan orang ramai terhadap alam sekitar. Justeru itu, KPM memperkenalkan pendidikan alam sekitar dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Pendidikan alam sekitar diserapkan secara merentas kurikulum iaitu dalam KBSR menerusi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni, Pendidikan Islam, Muzik dan Matematik. Manakala KBSM pula menerusi subjek Geografi dan Sains di mana unsur pendidikan alam sekitar ini dimasukkan dalam sukatan pelajaran subjek tersebut. Dalam matapelajaran lain seperti Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni, unsur-unsur pendidikan alam sekitar digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, KPM juga melancarkan Program Sekolah Lestari pada 27 Januari 2005 dan merupakan program anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar dengan sokongan teknikal daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini dicetuskan semasa Simposium Pendidikan Alam Sekitar untuk Pengetua-Pengetua Sekolah Peringkat Kebangsaan pada 27 hingga 30 Ogos 2001 di Melaka, yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) dengan kerjasama Maktab Perguruan Teknik, KPM. Sekolah Lestari atau dikenali sebagai Anugerah Alam Sekitar bertujuan untuk membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan sekolah. Objektif Sekolah Lestari ini adalah untuk memupuk nilai murni alam sekitar dalam kalangan warga sekolah. Selain daripada itu juga, ia dapat meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Dalam pada itu, sebuah IPTA iaitu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mewujudkan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan atau dikenali LESTARI diberi mandat untuk meningkatkan keupayaan institusi kebangsaan dan serantau bagi menangani isu berkaitan pembangunan lestari melalui penyelidikan dan latihan. LESTARI telah diwujudkan dua tahun selepas Persidangan Rio De Janeiro iaitu pada tahun 1994. Pada awal penubuhannya, LESTARI banyak memberi tumpuan kepada penyelidikan bersifat pelbagai disiplin dalam empat bidang tujahan iaitu kelestarian dalam konteks ekosistem bandar, ekosistem pesisiran, kepelbagaian biologi dan interaksi manusia dengan alam sekitar. LESTARI pernah menjalankan penyelidikan bagi pihak Bahagian Keselamatan Negara dan menjadikan mereka sebagai penasihat saintifik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sabah untuk menentukan hala tuju pembangunan Sipadan. Kejayaan LESTARI yang menarik perhatian umum pada peringkat kebangsaan dan global adalah semasa LESTARI bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk membangunkan kawsaan Langkawi sebagai Geopark Global. Pencapaian dan kejayaan LESTARI dalam kerjasamanya dengan pihak lain menunjukkan bahawa penyelidikan yang mereka lakukan amat berkesan dalam mengambil kira pembangunan lestari.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga memainkan peranan penting dalam pembangunan lestari. JAS yang ditubuhkan pada 1975 merupakan jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. JAS berfungsi mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawah Dasar Alam Sekitar Negara (DASN). Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 penting dalam menyelaras semua aktiviti yang berkaitan dengan pelupusan bahan buangan, mengawal pencemaran, menjaga kualiti alam sekitar dan sebagainya. Sebagai contoh, seandainya terdapat kilang-kilang atau premis-premis yang didapati melakukan pencemaran sungai, maka mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 iaitu denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali. JAS juga melakukan rondaan bagi memantau aktiviti-aktiviti pihak berkaitan dan memastikan pihak yang melanggar akta dapat dikenakan tindakan undang-undang.

Selain itu, JAS juga menganjurkan beberapa program untuk pelajar sekolah bekerjasama dengan KPM, syarikat swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah. Antara program yang pernah dianjurkan adalah Projek Wira Alam, Projek Riadah Alam Sekitar (PRIAS), Kem Penyelidikan Sains dan sebagainya. JAS juga menerbitkan Siri Modul Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS) pada tahun 1994 yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan kesedaran alam sekitar. Majalah ERA HIJAU, Risalah Bumi Kita dan Risalah Amalan Hijau merupakan majalah yang diterbitkan oleh JAS. JAS juga menerbitkan bahan-bahan lain seperti poster alam sekitar dan bahan audio-visual seperti Animasi Alam Sekitar. Program dan penerbitan bahan-bahan ini dibuat bagi menyedarkan pelajar tentang pentingnya menjaga kemapanan alam sekitar.

Usaha kerajaan dalam memupuk kesedaran tentang pentingnya amalan pembangunan lestari mendapat sokongan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Antara NGO yang terlibat adalah seperti Sahabat Alam Sekitar (SAM), World Wide Fund for Nature (WWF), Persatuan Pencinta Alam Sekitar dan sebagainya. SAM yang ditubuhkan pada tahun 1977 berperanan memperjuangkan kepentingan alam sekitar, membantu menyelesaikan masalah berkaitan alam sekitar dan mengedakan kempen, pameran dan program kesedaran. SAM telah melakukan banyak kerjasama dengan JAS dalam menganjurkan program kesedaran dan kempen. Antara sumbangan SAM adalah membela nasib mereka yang tertindas akibat perlakuan pihak tidak bertanggungjawab yang sering kali menggunakan alasan pembangunan, kemajuan dan kemodenan tetapi tidak mengendahkan akibat perlakuan mereka yang tidak mesra alam.

Manakala WWF pula merupakan nadi kepada persatuan yang kuat menegakkan keadilan tentang alam sekitar. WWF telah menyedarkan orang ramai tentang kepentingan penjagaan alam sekitar. Antaranya kepentingan sungai, hutan dan udara yang segar. WWF telah menyuarakan pendapat tentang kepentingan penggunaan alatan yang mesra alam. Misalnya peti sejuk dan pendingin udara bebas CFC. Selain itu, mereka juga menyarankan pembangunan yang mesra alam seperti menanam pokok-pokok di atas bumbung bangunan dan ruang-ruang kosong kerana tumbuh-tumbuhan penting bagi menyeimbangkan suhu di sesuatu kawasan selain menjadi pelindung apabila berlaku angin kencang. Justeru, NGO berperanan membantu mereka yang di tindas oleh pihak tertentu untuk menyuarakan pendapat mereka kerana melalui NGO, suara keluhan rakyat akan di ketengahkan. Malah NGO juga menguatkan dan mengukuhkan usaha kerajaan dalam menjaga alam sekitar dan pembangunan lestari.

Kerajaan dan NGO telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memupuk kesedaran tentang pembangunan lestari dan pentingnya menjaga alam sekitar. Pelbagai usaha yang telah dilakukan seperti menggubal dasar kerajaan, pendedahan pendidikan alam sekitar di sekolah, penguatkuasaan undang-undang, kempen-kempen kesedaran, pameran yang berkaitan dengan alam sekitar dan sebagainya. Malah, kerajaan dan badan bukan kerajaan ini bekerjasama bagi mengukuhkan usaha tersebut.

Azizi Muda et al (2012). Pendidikan alam sekitar : Melestarikan kesedaran masyarakat di Malaysia. Penerbit Jabatan Geografi dan Alam Sekitar : Tanjong Malim.

Nor Azizah Mohd Salleh et. al (2000). Pendidikan alam sekitar. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia : Bangi.