perkembangan peristilahan sebagai bidang ilmu: teori dan
TRANSCRIPT
1
SEMINAR PERISTILAHAN KEBANGSAAN 2019
Perkembangan Peristilahan Sebagai Bidang Ilmu: Teori dan Amalan
Oleh
Prof. Dr. Puteri Roslina Abdul Wahid
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
PENDAHULUAN
Di Malaysia, peristilahan atau terminologi ialah unsur penting dalam perancangan bahasa sebagai
korpus bagi pengembangan dan pengayaan khazanah perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Peristilahan atau terminologi merupakan satu disiplin ilmu yang meneliti antaranya,
perkembangan istilah dan hubungan istilah dalam domain khusus. Kerja peristilahan sering dirujuk
sebagai terminografi (terbit daripada bidang terminologi) melibatkan kajian konsep, sistem
konseptual dan label (istilah); yang berbeza daripada leksikografi (terbit daripada bidang
lesikologi) yang mengkaji perkataan dan maknanya. Perancangan bahasa dan peristilahan dalam
komuniti akademik seharusnya saling berhubungan agar ilmu pengetahuan daripada luar dapat
dipindahkan ke dalam bahasa ibunda. Istilah ialah kata atau gabungan kata atau ungkapan
multikata merujuk kepada makna khusus yang berkaitan dengan bidang tertentu, dan juga bersifat
kajian tentang kata khusus dan penggunaannya. Kata khusus ini mungkin menyimpang daripada
makna dalam konteks dan bahasa sehari-hari.
Dua bidang yang amat berkaitan dengan kajian tentang kata ialah terminologi dan
leksikologi, manakala kerjanya ialah terminografi dan leksikografi. Penggunaan kedua-dua istilah
saling berpasangan. Leksikologi merupakan sains yang mengkaji kata, manakala leksikografi ialah
penulisan kata dalam bentuk konkrit, iaitu kamus. Kedua-dua bidang ini mempunyai hubungan
yang sangat rapat dengan kata. Jumlah kata daripada keseluruhan bahasa membentuk sistem
2
perbendaharaan kata atau leksikal sesuatu bahasa. Dalam leksikologi kata dikaji sebagai
sebahagian daripada sistem, manakala leksikografi pula melihat kata dikaji sebagai satu unit
individu dalam hubungan dengan makna dan digunakan dari sudut praktikal, iaitu pengguna
kamus, pembelajaran bahasa atau pemahaman teks. Berdasarkan Rajah 1 di bawah, terminologi
atau peristilahan ialah pengajian atau ilmu tentang kata. Terminografi pula merupakan aktiviti
yang memberikan tumpuan kepada pengumpulan, penghuraian, pemprosesan, dan penyampaian
istilah, iaitu butir leksikal yang penggunaannya khusus dalam satu atau beberapa bahasa. Dari segi
matlamatnya, terminologi amat rapat dengan bidang leksikologi yang menggabungkan dua
matlamat, iaitu pengumpulan data tentang leksikon suatu bahasa dengan memberikan maklumat,
kadang-kadang nasihat dan perkhidmatan kepada pengguna bahasa1. Tafsiran ini membolehkan
terminologi sejajar dengan leksikologi, iaitu sains/pengajian/ilmu leksikon atau butir leksikal.
Bidang ini juga dikenali sebagai SAINS TERMINOLOGI/SAINS PERISTILAHAN.
Rajah 1 : Bidang Ilmu Peristilahan dan Perkamusan
Terminologi sebagai satu sains menggabungkan beberapa unsur daripada pendekatan
teoritikal yang berkaitan dengan penghuraian, penyusunan, dan pemindahan ilmu. Objek, konsep,
1 Sager J.C. 1995 Kursus Amali Pemprosesan Istilah Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Peristilahan
Terminologi
(Ilmu)
Terminografi
(Amali)
3
designasi, dan definisi merupakan asas terminologi. Bidang terminologi bersifat multidisiplin dan
didukung oleh beberapa disiplin lain (misalnya logik, epistemologi, sains falsafah, linguistik, sains
maklumat dan sains kognitif) dalam kajian konsep dan perwakilannya dalam bahasa khusus.
Dalam konteks perbincangan tulisan ini, istilah yang digunakan ialah peristilahan/terminologi dan
terminografi.
ISU DAN PERMASALAHAN
Bidang Peristilahan atau Terminologi ialah satu bidang profesionalisme yang menuntut
kemahiran bukan sahaja dalam satu bahasa tetapi lebih daripada satu bahasa. Seorang ahli
peristilahan atau terminologi perlu mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi dan menguasai
kaedah penggubalan istilah dengan baik. Penguasaan mekanisme penciptaan istilah yang tidak
terikat kepada satu kaedah dapat membuka ruang yang lebih besar bagi mengangkat bahasa
Melayu ke persada antarabangsa. Pengetahuan dwibahasa atau multi bahasa dapat membantu
perkembangan peristilahan dalam bahasa Melayu kerana banyak konsep asas dalam bidang ilmu
kebiasaannya lahir dalam bahasa individu atau kelompok manusia yang melahirkannya. Malahan,
yang paling penting dia mestilah menguasai mekanisme bahasa sasaran dengan sebaik-baiknya.
Sebenarnya kekurangan inilah yang menjadi masalah besar dalam masyarakat kita hari ini.
Kurangnya keterampilan penguasaan dwibahasa atau multibahasa dalam kalangan mereka yang
terlibat dalam bidang khusus, sehinggakan penghasilan istilah dalam bahasa Melayu
dikesampingkan kerana mereka lebih banyak didedahkan kepada bahasa kedua dalam kehidupan
seharian.
Hal ini amat berkaitan dengan masalah kefahaman masyarakat memupuk bahasa Melayu
sebagai asas budaya ilmu. Banyak kecelaruan timbul hari ini tentang kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu sehinggakan kita kembali mengagungkan bahasa Inggeris atas alasan bahasa
4
Melayu sudah tidak mempunyai nilai komersial dan istilah dalam bahasa Melayu kurang difahami,
atau kurangnya penerbitan buku dalam bahasa Melayu kerana penulis tidak dapat menulis apabila
kurang atau tidak ada istilah dalam bahasa Melayu yang sesuai untuk mendukung konsep baru
dalam ilmu yang datangnnya dari Barat. Pandangan sempit ini tidak harus dibiarkan berterusan
kerana sikap ini akan menjadi duri dalam daging yang kelak akan menghancurkan bahasa Melayu
sendiri. Sekiranya golongan cendekia zaman dahulu dapat menyepadukan bahasa dan ilmu untuk
melahirkan istilah baharu maka tidak ada sebab golongan cendekia hari ini menolak penggunaan
bahasa Melayu atas alasan yang kurang praktis. Istilah dalam bahasa Melayu dapat dihasilkan
sekiranya ada kesedaran penulis untuk menulis dalam bahasa Melayu dan menjana ilmu tersebut
untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Penyebaran ilmu dalam bahasa Melayu akan menjadi lebih
mudah sekiranya golongan cendekia memahami kaedah penggubalan istilah dalam bahasa Melayu
dan menggunakan sepenuhnya kaedah ini untuk menjana ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu.
Bahasa Inggeris ialah bahasa menimba ilmu tetapi bukan bahasa ibunda. Bahasa Inggeris perlu
dipelajari kerana fungsinya tetapi bukan untuk mengambil status bahasa Melayu yang sedia
termaktub dalam perlembagaan.
Pengetahuan tentang teori atau pendekatan dalam peristilahan juga amat penting. Sebagai
seorang ahli peristilahan, kita seharusnya membuka minda untuk melihat kaedah penggubalan
istilah yang dilakukan di luar negara. Pendekatan tradisional yang diamalkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka perlulah digarap semula agar membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam dunia
peristilahan antrabangsa yang diamalkan sama ada oleh ahli akademik atau badan pengurusan
istilah. Kebanyakan pengikut teori tradisional terminologi memetik buku “The General Theory of
Terminology” sebagai tulisan terbaik yang mewakili pemikiran Wüster dan sering merujuk kepada
penerbitan tersebut apabila memberi pandangan atau rujukan. Amalan Dewan Bahasa dan Pustaka
5
sejak sebelum dan selepas merdeka memperlihatkan perkembangan peristilahan bergerak ke arah
penstandardan sejajar dengan keperluan perkembangan pendidikan di negara kita. Hal ini amat
penting demi kepentingan anak bangsa khususnya dalam dunia pendidikan dan sewajarnya
diteruskan agar soalan-soalan peperiksaan tidak bermasalah. Namun selepas 62 tahun merdeka,
kita perlu membuka mata kepada amalan peristilahan di luar konteks penstandardan atau
pembakuan agar bahasa Melayu terus kekal relevan sebagai bahasa ilmu dalam era masa kini.
MENELUSURI PENDEKATAN DALAM PERISTILAHAN DI MALAYSIA – APAKAH
YANG TELAH KITA LAKUKAN?
Sepanjang tahun 1959 hingga 1975, tiga pedoman pembentukan istilah telah dihasilkan, iaitu
Pedoman Membentuk Istilah Baharu (1961), Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk Istilah
Baharu Bahasa Melayu DBP (1971) dan Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya (1971).
Pedoman Membentuk Istilah Baharu (1961) telah dikelolakan oleh DBP dan diterima secara
meluas dalam usaha pembentukan istilah bahasa Melayu. Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk
Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP (1971) disusun oleh DBP dengan mengemukakan beberapa
perbaikan serta perincian mengikut kaedah linguistik. Namun begitu, pedoman ini kurang
sempurna disebabkan kekangan dari segi morfologi, pengejaan kata atau istilah pinjaman.
Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya (1971) telah disusun oleh Asmah Haji Omar
untuk kegunaan penggubalan istilah di Universiti Malaya. Ketika ini, setiap universiti perlu
menubuhkan jawatankuasa istilah masing-masing bagi menampung keperluan sendiri dalam
semua bidang akademik. Pada akhir tahun 1973, dasar pendidikan negara mula berubah dan
pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah
rendah, menengah dan hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Selanjutnya, dalam tahun 1980-an, Dewan Bahasa dan Pustaka mengorak langkah
menerapkan pembentukan istilah berdasarkan teori Wuster yang bergerak ke arah penstandardan.
6
Hal ini membawa kepada pergerakan akif dalam MBIM dan MABBIM. Sebenarnya matlamat
akhir MABBIM ialah menjadikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia berdiri sama tinggi dengan
bahasa-bahasa moden lain, khususnya dalam pengungkapan dalam bidang industri dan teknologi.
MABBIM mempunyai agenda yang lebih penting, iaitu mengembangkan bahasa Melayu sejajar
dengan agenda pembangunan masing-masing negara. Pemantapan dan peluasan pengembangan
bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa merupakan agenda utama abad ke-21. MABBIM
sudah bergerak lebih daripada persoalan peristilahan tetapi juga soal-soal kebahasaan lain.
Peristilahan sekadar menjadi bahan pertukaran antara tiga buah negara tanpa ada lagi kegiatan
penstandardan.
Pada tahun 2004, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM) Edisi
Baharu telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pedoman ini telah dinilai dan dipinda
oleh ketiga-tiga negara anggota MABBIM dan disahkan dalam Sidang ke-43 MABBIM, di Kuala
Lumpur pada 10 hingga 12 Mac 2004. PUPIBM (2004) merupakan versi baru bagi pedoman yang
sedia ada PUPI (1975). Penerbitan PUPIBM (2004) adalah berdasarkan pendapat dan penilaian
daripada pakar-pakar yang menggunakan PUPI (1975) secara langsung sebagai pedoman dalam
pembentukan istilah. Segala pandangan dikumpulkan dan telah dimasukkan ke dalam pedoman
versi baru, iaitu Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM) Edisi Baharu
(2004).
Terdapat nilai tambah dalam teks PUPIBM (2004) berbanding pedoman asal. Pertama, teks
PUPIBM (2004) menggunakan gaya wacana yang lebih mesra pengguna, iaitu menerapkan
penghuraian yang lebih jelas serta menitikberatkan proses pembelajaran (learning process) dalam
pembinaan bahasa yang akan dilalui oleh penggubal istilah. Kedua, tajuk-tajuk serta butir-butir
peraturan disertai dengan contoh yang relevan bagi konteks penggunaan bahasa dalam wacana
7
ilmu di Malaysia. Ketiga, contoh-contoh yang diberikan adalah contoh yang autentik, iaitu contoh
yang sememangnya wujud dalam penggunaan bahasa di Malaysia, khususnya dalam bidang ilmu.
Ketiga-tiga ciri ini, iaitu jelas, relevan dan autentik merupakan nilai tambah kepada PUPIBM
(2004) berbanding dengan pedoman yang asal. Oleh itu, dalam kegiatan peristilahan rutin yang
sama diteruskan saban tahun dengan penambahan jumlah bidang sebagai bahan pertukaran pada
peringkat antarabangsa dan juga penambahan bidang bagi peringkat kebangsaan.
APAKAH TEORI-TEORI YANG BOLEH DITERAPKAN DALAM PERISTILAHAN
MELAYU?
Seorang pengkaji yang melihat perkembangan peristilahan tradisional yang menggunakan
The General (Classic or Traditional) Theory of Terminology –GTT– (Eugene Wüster) dan The
Extended Theory of Terminology, iaitu Myking telah mengemukakan soalan-soalan. Antaranya:
1. Apakah wajar mengenal pasti terminologi tradisional berdasarkan preskritivisme?
(Myking 2000 : 63) Menurut beliau, “Tidak” bagi pengikut setia Wuster.
2. Apakah objektif preskriptif merangkumi halangan kepada terminologi yang baik?
Myking mengatakan bahawa walaupun beliau menyedari tentang wujudnya
konteks tertentu dalam perancangan bahasa (merujuk kepada bahasa Perancis),
dimensi sosiolinguistik tidak diberikan penilaian yang sewajarnya dan penyatuan
itu lebih diperkukuhkan.
3. Apakah terminologi tradisional telah terputus daripada masyarakat? Dari sudut
pandangan pengikut setia, jawapannya ialah “Tidak”. Walaupun beliau menyedari
bahawa hubungan ini belum dihuraikan dengan mencukupi ataupun telah
diintegrasikan dengan memuaskan dalam teori terminologi.
8
Akibatnya, hal ini memberikan kesan imej terminologi hanyalah merupakan satu “alat
teknikal” semata-mata. Hal ini amat berkait rapat dengan peristilahan Melayu. Oleh itu, kita perlu
mengetahui perkembangan teori peristilahan di luar negara dan menimbangkan pendekatan yang
sesuai bagi keperluan negara dan keperluan serantau.
Salah satu yang dapat dipertimbangkan ialah teori sosioterminologi, iaitu satu cabang ilmu
terminologi. Sosioterminologi diperkenalkan sebagai usaha menangani kekurangan yang wujud
dalam aliran Wuster. Kerja-kerja yang dilakukan dalam sosioterminologi dikenali sebagai
sosioterminografi. Kerja-kerja terminografi meliputi pengumpulan, penghuraian, pemprosesan
dan penyampaian kosa kata milik penggunaan yang khusus dalam sesuatu bahasa (Sager, 1995,
p.7). Sosioterminologi ditakrifkan berdasarkan hubungannya dengan terminologi dan
sosiolinguistik. Sosioterminologi ialah rangka kerja untuk membina teori yang melihat terminologi
sebagai sistem kompleks dari aspek epistemologi dan metodologi yang beriringan bagi
penggunaan istilah dalam konteks sosial tertentu. Pendekatan ini menerapkan perspektif
sosiolinguistik yang menumpukan kepada "mana-mana aspek masyarakat (termasuk norma
budaya, harapan, dan konteks) dalam bahasa yang digunakan, dan kesan penggunaan bahasa
kepada masyarakat”. Pendekatan ini diperkenalkan oleh Gaudin dari Perancis. Pendekatan
sosioterminologi mengambil kira bahawa terminologi dipengaruhi oleh perubahan sosial
masyarakat penuturnya dan mempunyai pertalian dengan jati diri budaya penutur bahasa itu
sendiri. Berdasarkan pendekatan sosioterminologi, istilah dilihat sebagai sebahagian daripada
bahasa, bukan sekadar simbol atau tanda malah, merupakan sebahagian daripada kebudayaan.
Sosioterminologi lahir daripada aliran sosiolinguistik yang tidak bersetuju dengan universaliti dan
mempertahankan kepelbagaian bahasa. Sosioterminologi membahaskan terminologi sebagai satu
fenomena “keberkesanan dalam perkhidmatan masyarakat” (Rey, 1988).
9
Practical guidelines for socioterminologi (ISO TR 22134: 2007), telah menggariskan
beberapa aspek penting dalam sosioterminologi, iaitu:
1. Sosioterminologi mengkaji kaedah budaya mencipta konsep, dan proses untuk
menggubal dan menyesuaikan istilah dalam bahasa tradisi bahasa-bahasa yang ada
dan komuniti linguistik yang disasarkan dalam persekitaran sosiobudaya (ISO TR
22134, 2007). Sosioterminologi melihat aspek diakronik, iaitu melihat penggunaan
bahasa dua zaman atau dua tempat (Temmerman, 2000).
2. Segala sesuatu yang diucapkan, walaupun dalam bidang teknikal atau saintifik,
merupakan suatu lakuan bahasa. Setiap lakuan bahasa didasarkan kepada cara
persepsi, cara apropriasi dan dalam keadaan sebenar, semuanya termasuk ciri-ciri
kebudayaan dan sosiolinguistik. (ISO TR 22134, 2007).
3. Sosioterminologi dilahirkan untuk menyatukan konsep khusus kepada komuniti
penutur. Sosioterminologi mengambil berat tentang penyebaran dan
perkembangan istilah serta melihat istilah teknikal dan saintifik dari sudut
pandangan komunikasi (ISO TR 22134, 2007).
4. Bahasa tidak sesuai untuk distandardkan kerana bahasa merupakan struktur abstrak
yang mengalami perubahan berterusan. Penggunaan bahasa menggambarkan
pengetahuan pengguna, pendapat, status sosial dan profesional serta hubungan
antara unsur-unsur tersebut (Pihkala, 2006).
5. Bahasa memainkan peranan pembinaan konsep dan kategori (Temmerman, 2000,
p.3). Satu konsep tidak bersifat satu entiti sahaja, iaitu melibatkan wacana yang
melihat perubahan dalam sosial dan pemboleh ubah dalam sejarah. Konsep dan
definisi sentiasa berubah mengikut perubahan masa (Campo, 2012, p.148).
10
6. Polisemi dan sinonim merupakan sesuatu yang semula jadi terbentuk dalam bahasa
kerana ahli terminologi membentuk konsep yang berkait rapat terminologi dan asal-
usul ciptaan (Temmerman, 2000).
7. Konsep dan takrif tidak statik. Takrif berubah menurut evolusi bahasa kerana
maklumat dan teori yang berkaitan dengannya juga berubah (Temmerman, 2000).
Menurut ISO/TR22134:2007 (Practical Guidelines for Sociotermiology) (2007:4)
menjelaskan bahawa pendekatan sosioteminologi, ‘…mengkaji kaedah budaya mencipta konsep,
dan proses untuk menggubal dan menyesuaikan istilah dalam bahasa tradisi bahasa-bahasa yang
ada dan komuniti linguistik yang disasarkan dalam persekitaran sosiobudaya…”. Pengumpulan
istilah dalam kajian ini berdasarkan sosioterminologi dan kerja pengumpulan menurut
sosioterminografi. Masyarakat Melayu mencipta istilah berdasarkan pengalaman mereka
berinteraksi dengan alam. Dalam hal ini, istilah terkumpul merangkumi pengetahuan dan budaya
yang ada dalam bahasa. Aspek diakronik termasuk dalam prinsip ini yang menekankan
penggunaan bahasa dua zaman atau dua tempat (Temmerman, 2000).
Temmerman membawa pendekatan sosiokognitif dalam peristilahan dengan tumpuan
kepada bahasa untuk tujuan khas atau language for special purpose. Belia menumpukan kajian
peristilahan kepada kajian kes pengkategorian dan penamaan dalam sains hayat sepeerti biologi,
genetic, mikrobiologi, genetic molekul, biokimia, bioteknologi dan sains sosial. Apa yang
menjadikan istilah sosiokognitif berbeza daripada yang teori lain adalah penekanannya kepada
organisasi konseptual dan fokusnya kepada struktur kategori dari perpektif linguistik kognitif.
Kategori sosiokognitif dikatakan mempunyai struktur prototaip dan perwakilan konseptual pada
mulanya mengambil bentuk daripada model kognitif. Satu lagi perbezaan penting adalah ini
11
merupakan pendekaan pertama untuk benar-benar mengambil dimensi sejarah atau dimensi
diakronik istilah.
Pendekatan kounikatif dalam peristilahan yang memberikan pengesan kepada aspek
komunikatif, iaitu “The communicative theory of terminology is a linguistic approach which
studies terms simultaneously as units of language, of cognition and of social function.” Penekanan
pendekatan ini adalah kepada keadaan pragmatik dari segi komunikasi khusus yang merangkumi
kognitif, komunikatif dan fungsi terminologi. Menurut Cabré, istilah tradisional mempunyai
beberapa prinsip dogmatik , membingungkan prinsip-prinsp dengan fakta dan hasrta yang diubah
menjadi kenyataan. Prinsip ini gagal untuk mewujudkan rangka kerja teori yang menyokong
prinsip dan kaedahnya sendiri. Pada hakikatnya, penyelidikan telah dihalang oleh kepentingan
standardisasi. Hal ini membawa kepada The Communicative Theory of Terminology – The Theory
of Doors (CTT).
Benitez daripada Kumpulan Penyelidikan Leksikon, Universiti Granada di sepanyol pula
melahirkan Peristilahan Berasaskan Kerangka (Frame Based Terminology). Pendekatan ini
merupakan pendekatan kognitif yang banyak berkongsi pendekatan dengan pendekatan
komunikaif dan sosiokognitif. Sebagai contoh, pendekatan ini mengekalkan bahawa usaha untuk
mencari perbezaan abtara istilah dan kata tidak lagi membuahkan hasil atau berdaya maju, malahan
ditegaskan bahawa cara yang terbaik adalah untuk mempelajari unit pengetahuan khusus adalah
dengan mengkaji tingkah laku kata dalam teks. Oleh sebab fungsi umum teks khusus adalah
pemindahan pengetahuan, maka teks cenderung sesuai dengan templat bagi memudahkan
pemahaman dan secara umum dicirikan dengan pengulangan yang lebih besar daripada biasa –
ayat, frasa, istilah dan juga paragraph penuh. Ini adalah sesuatu yang dilakukan oleh pakar bidang
khusus yang memanfaatkan ingatan penterjemahan mereka. Teks saintifik dan teknikal biasanya
12
kaya dengan istilah disebabkan kuantiti unit bahasa khusus didalamnya dan distingtif seiring
dengan pembinaan sintaks. Akibatnya, pemahaman teks yang kaya dengan peristilahan
memerlukan pengetahuan tentang domain, konsep-konsep di dalamnya dalam hubungan dengan
teks serta hubungan konseptual antara konsep dalam lingkungan domain. Hal ini merupakan
langkah pertama ke arah mewujudkan teks bahasa sasaran yang boleh diterima. Semua ini
merupakan unsur-unsur yang disasarkan dalam istilah berdasarkan kerangka.
Dikri-Kidiri dari Afrika pula mencadangkan bahawa peristilahan merupakan cara untuk
melihat dunia bagaimana orang menentukan, mengklasifikasikan, menanggap dunia luar, dan
mengkategorikan segala yang dilihat dan difahami dan sebenarnya merupakan identiti mereka.
Pendekatan ini dikatakan pendekatan budaya dalam peristilahan. Belia menambah bahawa budaya
adalah keadaan cara orang melihat dunia dan bahawa pendekatan kebudayaan untuk peristilahan
mengambil kira bahawa manusia adalah satu-satunya yang mempunyai akses ke dunia nyata
melalui pernyataan mental dan budaya yang terkondisi. Beliau menggambarkan metodologinya
dengan mengambil kira penciptaan neologisme, pengetahuan linguistik dan pengetahuan
kebudayaan. Pendekaan budaya bertujuan untuk menggunakan istilah bagi menyumbang
pengetahuan yang lebih baik dan perkembangan teknologi yang lebih relevan. Caranya adalah
dengan mengubah peristilahan menjadi disiplin untuk penciptaan pengetahuan dan pengagihan
budaya tertentu.
Akhirnya perkembangan terkini teori dalam peristilahan ialah pendekatan tekstual (textual
approach). Teori ini lahir daripada kumpulan penyelidik Terminologie et Intelligence Artificillle
(TIA) yang berpangkalan di Perancis di bawah pimpinan Didier Bourigault dan Monique Slodzian
yang menyumbang penjelasan perinci tentang terminologi teks dan mencadangkan metodologi
yang kini digunakan oleh Pusat Rencherche en Ingénierie Multilingue (CRIM) di Perancis. Aspek
13
yang ditekankan ialah penciptaan korpus, eksplorasi korpus untuk pemerolehan istilah, eksplorasi
korpus untuk mencari hubungan antara unit istilah, pengesahan istilah dan hubungan antara istilah
dengan pakar bidang, penerokaan korpus bagi kesetaraan berbilang bahasa dalam bahasa sasaran
dan pengesahan daripada pakar bidang.
Sebagai kesimpulannya, sehingga kini terdapat hampir pendekatan dalam peristilahan
bermula dengan pendekatan tradisional The General Thory of Terminology (GTT) yang dipelopori
oleh Wuster dalam tahun 1930-an, The Extended Theory of Terminology oleh pengikut Wuster,
Sosioterminologi oleh Gaudin, The Comunicative Theory of Terminology oleh Cabre,
Sociocognitive Theory of Terminology oleh Temmermen, Frame Based Theory oleh Benetiz,
Cultural Approach oleh Diki-Kidri dan The Textual Approach oleh Didier. Kehadiran pandangan-
pandangan oleh pengkaji dari Barat ini dapat diterapkan dalam peristilahan di Malaysia walaupun
tidak boleh meninggalkan penstandardan istilah sebagai ciri utama demi kelangsungan sistem
pendidikan di Malaysia tetapi teori-teori ini dapat membantu melihat perkembangan peristilahan
dalam konteks yang lebih luas.
CADANGAN DAN SARANAN
1. Mengangkat istilah kearifan tempatan sebagai kajian utama. Kearifan tempatan merujuk
kepada disiplin ilmu dan kepakaran yang berasal daripada budaya asli tempatan,
berkembang sejak zaman silam, dan telah dipraktikkan sebagai sebahagian daripada cara
hidup masyarakat. Item spesifik budaya (culture specific items) merupakan khazanah
istilah yang perlu diangkat kepada masyarakat pengguna bahasa Melayu. Pendekatan
sosioterminologi dan sosiokognitif dalam peristilahan dalam membuka dimensi yang lebih
luas dalam kajian peristilahan. Dewan Bahasa dan Pustaka sewajar bertindak lebih
daripada menjadi urus setia semata-mata tetapi menggerakkan staf terpilih untuk mengkaji
14
keperluan istilah dalam bidang kearifan tempatan berdasarkan konsep-konsep yang sedia
ada dalam masyarakat setempat. Istilah-istilah ini perlulah distandardkan melalui kaedah
antarabangsa dan sekiranya konsep sedia ada dalam masyarakat Melayu itu tiada namanya,
maka kita ketengahkan istilah bahasa Melayu. Kita tidak seharusnya mencari persamaan
istilah tersebut dengan bahasa lain sekiranya konsep yang berbeza. Malahan, untuk
memudahkan penyebaran istilah ini, definisi boleh disediakan dalam dua bahasa tetapi
istilahnya dikekalkan dalam bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, bahasa Melayu akan
diserapkan dalam penulisan bahasa Inggeris kerana konsep tersebut berasal dari dunia
Melayu. Hal ini dapat dilakukan dalam penyelidikan istilah seni tenun misalnya, seni tenun
pua kumbuh.
2. Dewan Bahasa dan Pustaka perlulah melibatkan diri dalam pendidikan TVET (singkatan
bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. TVET), iaitu proses pendidikan dan
latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan
industri. TVET bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-
bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan
penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan
dalam industri. Penggunaan istilah bahasa Melayu dalam komponan TVET sudah pasti amat
penting kerana bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Melayu. Penyediaan istilah
bahasa Melayu yang terkini dapat membantu kalangan pelajar untuk menguasai kemahiran
teknologi. Walaupun penekanan kepada pendidikan dua bahasa (Dual Language Program)
dilaksanakan tetapi pelajar TVET perlu diajar dalam bahasa Melayu agar memudahkan
kefahaman dan peningkatan kemahiran dapat dilaksanakan.
3. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu menjalankan penyelidikan dengan tenaga akademik di
universiti. Penghasilan kajian tenang peristilahan boleh dilakukan melalui koloborasi
15
dengan ahli akademik dan peruntukan tertentu bagi penyelidikan. Penerapan ilmu
peristilahan ke dalam bidang-bidang tertentu dapat dilaksanakan melalui koloborasi dan
hasilnya boleh diterbitkan dalam bentuk buku kajian ilmiah. Hal ini bermaksud DBP bukan
sekadar menyediakan senarai istilah, kamus istilah, atau glosari istilah tetapi menerbitkan
kajian-kajian tentang peristilahan.
4. Kebanyakan badan-badan peristilahan kajian di luar negara bekerja sama dengan industri,
khususnya industri kecil sederhana yang memerlukan bantuan pemasaran. Penghasilan
produk sudah tentu memerlukan bantuan mendokumenkan proses dan istilah yang
digunakan. Dalam konteks ini DBP dapat menerapkan pendekatan yang dilakukan pada
peringkat antarabngsa dan tidak lagi bersifat preskriptif semata-mata.
KESIMPULAN
Peristilahan merupakan bidang yang mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia dari segi
peranannya mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu. Khazanah perbendaharaan kata bahasa
Melayu khususnya dialek dan juga bahasa sukuan perlulah diterokai dengan lebih aktif serta
bidang kearifan tempatan perlulah diketengahkan melalui kajian dalam peristilahan. Adalah
menjadi harapan saya agar Bahagian Perisitalahan DBP bukan sekadar entiti yang menjalankan
kegiatan keurusetiaan semata-mata tetapi menanggap peristilahan sebagai satu bidang ilmu dan
terus menjalankan penyelidikan yang mencerminkan keintelektualan seorang ahli terminologi baik
pada peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. .
16
Rujukan:
Alain Rey. (1995). Essay on terminology. Philadephia: John Benjamins Publishing Company.
Antia, B.E. (2000). Terminology and language planning. An alternative framework of
practice and discourse. Amsterdam/Philadelphia: John Benjamins Publishing
Company.
Cabré, M. T. (1999). Terminology and language planning: An alternative framework Of
discourse and practice. Philadelphia: John Benjamins Publishing Company.
Cabré, M. T. (1999). Terminology: Theory, method and applications. Philadelphia: John
Benjamins Publishing Company.
Campo, A. (2012). The reception of Eugen Wüster’s work and the development of terminology.
(Tesis PhD tidak diterbitkan). Université de Montréal, Canada.
Didi-Kidiri. (2000).Une approche culturelle de la terminologie. Terminologies Novelles.
Canada, Quebec: Rifal.
Felber, H. (1995). Panduan peristilahan. Diterjemahkan oleh Zahrah Ghafur dan Salamiah
Mat Sah. Teks asal Terminology manual. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Gaudin. (2003). Teories of terminology: Their description, prescription and explanation.
Terminology 9 (22), pp 163-199. Dipetik daripada
https://www.researchgate.net/publication/233586525.
ISO 704. (1978). Principles and methods of Terminology. Dipetik daripada
http:///www.iso.org/standard/4909.html.
Pihkala, T. (2006). Socioterminology. Dipetik daripada
http://www.tsk.fi/fi/ti/ti101_teksti.html.
Pitch, H. dan Draskau, J. (1985). Terminology, an introduction. Wien: K.G. Saur.
Puteri Roslina Abdul Wahid. (2012). Menelusuri Peristilahan Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
Puteri Roslina Abdul Wahid. (2005). Definisi dan konteks dalam terminologi bahasa
Melayu. Jurnal Pengajian Melayu, 16, p.55-71.
Sager, (1995). Kursus Amali Dalam Pemprosesan Istilah. Diterjemah oleh Sulaiman Masri.
Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Temmerman, R. (2000). Toward new ways of terminology description: The sociocognitive
approach. Amsterdam/ Philadelphia: John Benjamins Pub. Co.