perkara teks ucaptama yaa ketua pengarah/ketua hakim ... · pdf fileintipati doktrin...

19
1 Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Program Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah 2017 - 60 Tahun Pasca Kemerdekaan: Menelusuri Cabaran Melestari Masa Hadapan Di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Jalan Ilmu Off Jalan Universiti 59100 Kuala Lumpur Tarikh 29 Ogos, 2017 (Selasa)

Upload: trandung

Post on 06-Feb-2018

240 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

1

Perkara

Teks Ucaptama

YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM

Program

Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah 2017 -

60 Tahun Pasca Kemerdekaan: Menelusuri

Cabaran Melestari Masa Hadapan

Di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa

(IAIS)

Jalan Ilmu Off Jalan Universiti 59100 Kuala

Lumpur

Tarikh

29 Ogos, 2017 (Selasa)

Page 2: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

2

بسم هللا الرحمن الرحيم

السالم عليكم ورحمة هللا وبركاته

العالمين والصالة والسالم على أشرف األنبياء والمرسلين وعلى ءاله وصحبه الحمد هلل رب

أجمعين

- Yang Berbahagia,

Pengerusi Majlis

- Yang Amat Berbahagia,

Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi

Pengerusi IAIS Malaysia dan IKIM

- Yang Berbahagia,

Prof. Mohammad Hashim Kamali.

Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia,

- Dif-dif jemputan.

- Tan Sri / Puan Sri, Dato’ Seri/Datin Seri/Datuk-Datuk/Datin

serta hadirin hadirat yang dihormati sekalian

Page 3: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

3

1. PENGENALAN

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan

dan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah,

Pengerusi IAIS selaku penganjur kerana sudi menjemput saya

untuk menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian seminar

yang sungguh bermakna pada hari ini.

Bagi diri saya secara peribadi pula, seminar ini sungguh

bermakna di mana saya telahpun berada di institusi kehakiman

syariah ini sejak lebih 30 tahun yang lalu dan telah melalui

pelbagai pengalaman dan cabaran. Sebagai seorang warga

Mahkamah Syariah, saya amat bersyukur di atas kejayaan dan

kemajuan yang telah dicapai oleh institusi ini sehingga ke hari ini.

Sekian lama Mahkamah-mahkamah Syariah di Negeri-negeri

telah menempah dan mengharungi pelbagai permasalahan kes

dan rintangan serta cabaran semasa menguruskan kes dan hal

ehwal syariah masyarakat Islam di Malaysia. Begitu banyak

khidmat bakti dan jasa-jasa pegawai Mahkamah Syariah sejak

dahulu dalam menangani isu-isu kekeluargaan dan kehakiman

Islam di Malaysia. Namun apabila berlaku sedikit kekhilafan atau

isu-isu kecil yang terpencil, isu-isu tersebut menjadi viral dan

diperbesar-besarkan sehingga menjadi fitnah dan Mahkamah

Syariah diberi gambaran yang berat sebelah.

Page 4: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

4

Yang Amat Berbahagia Tun, hadirin hadirat yang dimuliakan,

2. SEJARAH RINGKAS INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH

Saya percaya ramai di kalangan rakyat kita kini sudah maklum

akan sejarah panjang mengenai perkembangan institusi

Mahkamah Syariah dan kini dijadikan satu topik khusus bagi

kuliah perundangan di institusi pengajian tinggi di negara ini. Oleh

yang demikian, saya tidak berhasrat untuk menghuraikannya di

sini. Namun sejarah begitu penting bagi membincangkan sesuatu

isu kerana ianya berupa landasan ke arah kita merancang suatu

jalan penyelesaiannya. Tanpa merujuk sejarah, bermakna kita

telah meletakkan kekeliruan kepada generasi akan datang yang

bertindak lebih pantas akibat kesan kemajuan dan globalisasi.

Pada suatu ketika dulu, banyak pihak yang menganggap

Mahkamah Syariah di negara ini sebagai satu “kangaroo court".

Ini kerana mengikut persepsi umum, institusi itu tidak ada

struktur yang betul dan tidak ada prosedur yang lengkap dan

mantap. Pakar dalam hal ini Allayarham Tan Sri Prof. Ahmad

Ibrahim berpendapat bahawa gerhana Mahkamah Syariah

berlaku pada 1948, bila kedudukannya diletakkan di bawah

Mahkamah Sivil.

Page 5: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

5

Kedudukan ini berterusan selepas merdeka, apabila bidang

kuasa Mahkamah Syariah terus di kekang di paras 3:5:6 (iaitu

hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah tidak

boleh melebihi penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali

sebatan). Kini walaupun negara sudah tidak lagi dijajah selama

lebih 50 tahun, dan Mahkamah Syariah di negara ini sudah

dikatakan “dewasa", had dan batasan yang dikenakan oleh

Parlimen itu masih lagi berterusan. Kita amat berharap agar rang

undang-undang Akta 355 akan dapat diluluskan oleh Parlimen

tidak lama lagi sebagai pembuka jalan ke arah era baru

memperkasa institusi Mahkamah Syariah.

Setelah kerajaan Malaysia membuat dasar mewajibkan semua

warga Mahkamah Syariah di negara ini menjalani kurus teori dan

amali tentang kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa

(mulai awal tahun 80an) dan selepas itu Jabatan Kehakiman

Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan, proses transformasi yang

dinanti-nantikan akhirnya dapat dilaksanakan.

Beberapa undang-undang baru diluluskan (mengenai struktur dan

bidangkuasa Mahkamah Syariah, mengenai prosedur mal,

mengenai prosedur jenayah, mengenai kesalahan jenayah

syariah, mengenai undang-undang keterangan dan sebagainya)

menggantikan undang-undang rojak yang lama.

Page 6: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

6

Proses penstrukturan Mahkamah (kepada tiga tingkat -

Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan)

juga dilakukan, serentak dengan proses mengasingkan

Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam Negeri dan Pejabat

Mufti.

Ini sejajar dan selaras dengan doktrin pengasingan kuasa,

bahawa tiga organ kerajaan (badan perundangan, badan

kehakiman dan badan eksekutif) mesti diasingkan dan tidak

dibenarkan duduk sebumbung. Intipati doktrin pengasingan kuasa

ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh

atau tekanan dari mana-mana pihak.

Kemuncak proses memartabatkan Mahkamah Syariah di negara

ini berlaku apabila Perkara 121 dipinda dengan memasukkan

klausa (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Jun 1988. Mulai

tarikh pindaan itu, sekiranya satu-satu kes itu terletak dalam

bidangkuasa Mahkamah Syariah, kes itu tidak boleh didengar

(dibicarakan) di Mahkamah Sivil di negara ini. Ringkasnya

pindaan menyebut: (Mahkamah sivil) “…….tidaklah mempunyai

bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang

kuasa mahkamah Syariah.” ( Akta A704, seksyen 8,

berkuatkuasa mulai 10 Jun 1988. Pindaan itu hanya tertumpu

kepada “apa-apa perkara” (“any matter”) dalam bidang kuasa

Page 7: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

7

mahkamah syariah. Jika perkara itu terletak dalam bidang kuasa

Mahkamah Syariah seperti hak jagaan anak dalam kes itu, maka

Mahkamah Sivil tidak ada bidang kuasa mengenainya.

Penggubal Perkara 121(1A) tidak menduga keadaan seperti itu

akan berlaku. Ia digubal atas asas dalam sesuatu kes cuma ada

isu undang-undang sivil atau isu-isu hukum syarak dan orang

bukan Islam (termasuk perbadanan) tidak terlibat dalam kes yang

di dalamnya terdapat isu-isu syariah. Ia juga tidak menduga

bahawa dalam kes di Mahkamah Syariah, mungkin timbul isu

perlembagaan seperti dalam kes Jumaaton Awang & Satu Lagi

lwn. Raja Hizaruddin Nong Chik [2004] sedangkan bidang kuasa

mentafsir Perlembagaan terletak di bawah mahkamah sivil.

Walau apa pun natijahnya, sesuatu usaha penambah baikan

kepada pindaan ini perlu diteruskan dengan lebih halus supaya

suasana harmoni dapat dikekalkan di antara bidang kuasa

Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

3. INTIPATI PERKARA 121 FASAL (1A) PERLEMBAGAAN

PERSEKUTUAN

Pada pandangan saya, pindaan Perkara 121 (1A) ini sekali pun

hanya menyebut Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah mempunyai

bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang

Page 8: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

8

kuasa Mahkamah Syariah maka bukanlah bermakna hanya

Mahkamah Sivil sahaja yang perlu menghormati akan kedudukan

Mahkamah Syariah, akan tetapi pemisahan bidangkuasa

kehakiman ini juga perlulah turut sama dihormati oleh semua

pihak termasuk badan-badan dan agensi-agensi Kerajaan yang

lain yang menguruskan hal perundangan Mahkamah Syariah

termasuk juga pihak Jabatan Peguam Negara.

Pihak berwajib perlu mengambil langkah-langkah proaktif bagi

mengharmonikan kedua-dua bidang kuasa mahkamah agar

masyarakat Islam tidak keliru, kecewa atau rasa terancam. Jika

pertindihan dan bertembungan bidang kuasa kedua-dua

mahkamah terus berlaku, ini bermakna hasrat pindaan Perkara

121(1A) tidak berjalan atas paksi yang sewajarnya. Oleh itu,

kedudukan, kepentingan dan urus tadbir hal ehwal Islam

termasuk hal ehwal Mahkamah Syariah perlu dizahirkan kerana

kedudukannya telah diperuntukkan dengan jelas dan terpelihara

di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

4. MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH

Saya percaya bahawa tanggungjawab memperkasa Mahkamah

Syariah tidak terletak pada satu-satu pihak, individu atau pihak

kerajaan semata-mata. Saya juga percaya bahawa

Page 9: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

9

memperkasakan Mahkamah Syariah tidak hanya tergantung

kepada satu atau dua faktor sahaja. Banyak factor-faktor lain

yang perlu dikenalpasti dan dilaksanakan untuk memperkasakan

Mahkamah Syariah dan warganya. Antara faktor tersebut adalah

memperkasa organisasi, sumber manusia, kompetensi dan

struktur Mahkamah Syariah secara menyeluruh di semua

peringkat. Ini kerana memperkasakan aspek-aspek berkenaan

merupakan faktor utama yang menjadi asas justifikasi serta

autoriti penting bagi membolehkan gred perjawatan ditingkatkan

dan saiz sumber manusia ditambah berdasarkan keperluan

mendesak di negeri-negeri. Faktor ini akan memberi impak besar

bagi membolehkan Mahkamah Syariah mendepani permasalahan

kes-kes yang semakin bertambah dan kompleks.

Yang Amat Berbahagia Tun, hadirin hadirat sekalian,

5. PENYELARASAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI

NEGERI/WILAYAH

Penyelarasan undang-undang Syariah di antara negeri-negeri

merupakan satu cabaran utama dalam usaha memperkasakan

institusi Mahkamah Syariah. Sekali pun rakyat jelata begitu

mengharapkan penyelarasannya dapat direalisasikan namun

hingga setakat ini jelas masih belum berjaya. Dalam hal ini, pada

Page 10: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

10

pandangan saya, adalah lebih baik kita melihat kepelbagaian

undang-undang di kalangan negeri-negeri itu sebagai suatu

hikmah dan kita perlulah berusaha sebaik mungkin

merapatkannya dengan cara yang berkesan daripada kita

berterusan mengeluh tanpa penghujung.

Dalam awal era 90-an sudah terlihat penyelarasan undang-

undang itu telah berjaya apabila lima undang-undang yang

digunapakai Mahkamah Syariah di kebanyakan negeri-negeri

telah mengikut peruntukan yang sama dengan undang- di undang

Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan. Namun

malangnya pada era tahun 2000 dan sekarang ini kita dapat lihat

undang-undang di Wilayah Persekutuan pula didapati telah jauh

ketinggalan daripada undang-undang di negeri-negeri. Ini

menunjukkan kepada kita, bidangkuasa bukanlah hanya

bergantung kepada faktor prerogatif Raja-raja Melayu di negeri-

negeri semata-mata malahan ianya turut menyentuh aspek

pengurusan dan pentadbiran Majlis Agama Islam itu sendiri.

Pihak Majlis selaku penasihat utama kepada Raja-Raja Melayu

dan Yang Di Pertuan Agong perlulah memainkan peranan aktif

dalam usaha memperkasakan institusi Mahkamah Syariah.

Page 11: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

11

6. MEMPERKASAKAN UNDANG-UNDANG KELUARGA

ISLAM

Pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah bukan sahaja perlu

mengutamakan hal bidangkuasa semata-mata malah turut

menyentuh pelbagai aspek terutama aspek sosial. Dalam hal ini,

Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman Islam yang satu-

satunya mengendalikan hal ehwal kekeluargaan Islam, maka

sudah sampai masanya kita perlu menilai keberkesanan undang-

undang keluarga Islam yang digunapakai kini agar sesuai dengan

keperluan kehidupan keluarga Islam masa kini. Umpamanya satu

contoh yang boleh saya nyatakan di sini mengenai kepentingan

nafkah. Ramai para isteri dalam keluarga Islam menghadapi

masalah nafkah yang gagal disempurnakan tanggungjawabnya

oleh para suami masa kini.

Sudah sampai masanya undang-undang mengenai nafkah

keluarga Islam ini diperhalusi supaya seboleh-bolehnya berupaya

menutup sebarang kelompongan yang boleh disalah gunakan

oleh para suami yang sengaja tidak mengambil berat soal nafkah

kepada isteri dan anak-anak.Tempoh masa perbicaraan kes

nafkah perlulah diberikan “limitation” atau had secara undang-

undang supaya tidak berlarutan bertahun-tahun lamanya yang

akhirnya semua pihak menyalahkan Mahkamah Syariah.

Page 12: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

12

Undang-undang serta enakmen negeri yang telah digubal sangat

tepat namanya - iaitu Undang-undang Keluarga Islam. Oleh yang

demikian, pertimbangan yang paling penting dalam reformasi

undang-undang ialah kesejahteraan unit kekeluargaan ini. Apa

sahaja peruntukan yang dibuat, dan pelaksanaannya mestilah

menjamin kesejahteraan keluarga, menekankan tanggungjawab

ibu-bapa dalam memimpin dan membimbing keluarga, menjaga

martabat setiap ahli, menggalakkan silaturahim dan memberi

keadilan kepada semua pihak yang terlibat - baik suami, isteri

atau anak-anak.

Setiap ahli keluarga mempunyai hak dan tanggungjawab. Dalam

menjamin hak, tanggungjawab masing-masing perlu juga

diperjelaskan. Hak-hak yang menggugat kestabilan institusi

keluarga perlu dinilai semula untuk memastikan "hak" ini tidak

memudaratkan ahli keluarga lain terutamanya kaum wanita dan

anak-anak. Jangan sekali-kali dibolehkan keadaan di mana satu

pihak digalakkan mendapat hak tanpa tanggungjawab dan pihak

yang lagi satu, biasanya si isteri, diminta memikul berbagai-bagai

tanggungjawab tanpa diberi haknya.

Page 13: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

13

7. REFORMASI MEMERLUKAN TINDAKAN YANG

MENYELURUH.

Perwujudan undang-undang sahaja tidak akan menjamin

keadilan. Masyarakat juga perlu mempunyai sikap yang saling

menghargai dan menghormati semua ahlinya, lelaki dan wanita.

Ini bukan perkara yang sukar kerana setiap insan pasti

mempunyai ibu dan bapa, kakak dan abang, isteri dan suami,

anak lelaki dan anak perempuan.

Jadi mengapakah masih terdapat sikap yang meletakkan wanita

ditaraf yang rendah dan amalan menyalahkan wanita bagi semua

masalah yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita? Di

manakah diletakkan nilai perkongsian dan tanggungjawab

bersama dalam keluarga? Di manakah ditekankan

tanggungjawab bapa untuk menunjuk contoh tingkahlaku yang

baik bagi keluarganya?

Proses mengubah sikap memang mengambil masa yang lama

tetapi boleh dipercepatkan jika kita semua bertekad untuk

mengubah keadaan. Sebagai "opinion leaders" kita harus

berhati-hati memberi pendapat. Jangan terburu-buru dan secara

angkuh mengkritik atau memihak dalam isu-isu kekeluargaan dan

undang-undang keluarga Islam. Tugas kita bukan untuk

bertelingkah dan bertengkar tetapi untuk mencari jalan yang

Page 14: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

14

seadilnya bersama-sama untuk membina keluarga Islam yang

bahagia dan produktif.

Kita sekarang berada di ambang abad ke 21. Abad yang dipenuhi

dengan perubahan yang cepat dan menakjubkan. Perubahan-

perubahan ini akan mencabar nilai asas seperti kekeluargaan.

Kita perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini dengan

mempastikan nilai yang kita hargai tidak terkikis.

Seminar seperti ini sangat penting. Dengan mengutamakan

prinsip musyawarah yang disanjung tinggi oleh Islam adalah

diharapkan hasil daripada seminar ini akan memberi peluang

kepada semua untuk mengkaji semula peruntukan yang terdapat

dalam undang-undang keluarga Islam serta pelaksanaannya, dan

mencapai kata sepakat demi melindungi dan membina suatu

keluarga Islam yang bahagia, di mana hak dan martabat setiap

ahli keluarga terpelihara. Usaha ini juga akan membantu

Kerajaan dalam usaha mempergiatkan lagi inisiatif untuk

memperkukuhkan institusi keluarga dan nilai-nilai kekeluargaan.

Kita dengan penuh yakin menyatakan bahawa hukum-hukum

syarak itu baik dan adil, tiada cacat dan cela, sesuai belaka.

Namun demikian, kebaikan dan keadilan akan tercemar,

andainya ia ditadbir dengan sewenang-wenang tanpa mengikut

prosedur dan peraturan. Malah prosedur yang kemas dan

Page 15: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

15

peraturan keterangan yang rapi itu akan tidak bermakna jika ia

diketepikan ketika di dalam perbicaraan. Jangan sampai

Mahkamah Syariah pula menjadi bukti kepada kenyataan sinis

"undang-undang Islam yang adil itu dipandang sebagai zalim

apabila ia ditadbirkan dalam keadaan kucar-kacir".

Rasulullah S.A.W. telah dipetik sebagai bersabda:-

"Kamu boleh serah undang-undang yang tidak adil kepada hakim

yang adil, tetapi kamu jangan serah undang-undang yang adil

kepada hakim yang zalim".

Yang Amat Berbahagia Tun, hadirin hadirat sekalian,

Kita amat bersyukur kerana Kerajaan telah sedar bahawa status

Mahkamah Syariah dan hakim-hakimnya perlu dipertingkatkan

agar mereka benar-benar mencerminkan keadilan hukum syarak.

Tetapi sebelum itu, kredibiliti dan ketertiban dalam pentadbiran

hukum syarak hendaklah ditingkatkan bersama. Jika kita boleh

memperkenalkan sistem perbankan Islam sehingga ia diterima

umum, tidak ada sebab kita tidak boleh memperlihatkan

pentadbiran hukum syarak yang tidak akan meragukan sesiapa.

Di samping itu adalah bermanfaat jikalau para hakim Mahkamah

Syariah dapat mengadakan perbincangan secara intensif dengan

Page 16: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

16

ahli akademik mengenai semua aspek undang-undang yang

berkaitan dengan mahkamah. Peningkatan daya ilmu dan daya

fikir, pemahaman terhadap isu-isu semasa yang kian rumit adalah

juga perlu.

Prinsip `flexibility' dan kaedah `gradation' dalam perundangan

Islam perlu diberi perhatian yang serius semasa kita menggubal

undang-undang termasuk undang-undang Islam. Kaedah yang

diterima oleh semua ulama fiqah ini memberi peluang praktikal

dalam kita menerapkan nilai-nilai hukum-hukum syarak ke dalam

sistem undang-undang negara. Kaedah ini juga pasti memberi

ruang yang baik kepada perkembangan yang harmonis kepada

hukum syarak di negara kita. Tiada seorang pun daripada

kalangan kita yang ingin melihat pentadbiran hukum syarak

dibuat tanpa peraturan dan secara sambil lewa. Kita semua

benar-benar ingin melihat perkembangannya secara positif,

teratur dan aman.

Kita sebut prinsip `flexibility' dan kaedah `gradation' ini bukanlah

untuk dijadikan alasan apologetik untuk kita tidak memberi apa-

apa perhatian kepada perkembangan hukum syarak. Kita semua

harus memberi perhatian. Cuma kita rasa tidak wajar hukum

syarak ini dilaksanakan secara terpisah daripada perkembangan

aspek-aspek lain seperti sosial, budaya, ekonomi dan politik. Hal-

Page 17: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

17

hal ini harus diambilkira agar hukum syarak dapat dihayati

dengan baik dan berjaya.

Saya selanjutnya ingin menyentuh mengenai kedudukan

Mahkamah Syariah. Kita semua maklum bahawa Mahkamah

Syariah berada di luar struktur umum kehakiman negara. Hal ini

disebabkan oleh latarbelakang sejarah dan undang-undang di

negara majmuk dengan kepelbagaian agama. Ia sudah berlaku

demikian. Hal ini tidaklah bermakna bahawa kedudukan

Mahkamah Syariah boleh dipandang rendah dan dibiarkan. Ini

adalah kerana jika ada keaiban pada Mahkamah Syariah,

keaiban itu adalah merupakan keaiban kita dan keaiban umat

Islam di Malaysia. Kerjasama yang rapat di antara Mahkamah

Syariah dengan Mahkamah Sivil perlu dipertingkatkan. Interaksi

antara ahli undang-undang sivil dan undang-undang syarak perlu

dirapatkan. Walaupun kedua-duanya terpisah, perpisahan itu

tidak sepatutnya sehingga bertentangan. Persamaan prinsip dan

matlamat untuk menegakkan masyarakat yang adil perlu

diadakan.

Berkaitan dengan pindaan Akta 164 yang diluluskan oleh Dewan

Rakyat baru-baru ini, pada saya ia merupakan satu penyelesaian

kepada permasalahan yang telah berlaku sekian lama. Pindaan

ini telah dicadangkan sendiri oleh Arkitek Perundangan Syariah

Negara Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dua tahun selepas

Page 18: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

18

Akta 164 dikuatkuasakan. Bila mana berlaku satu kes tuntutan

jenazah seorang yang telah memeluk Islam oleh pasangan bukan

Islamnya kerana mereka tidak bercerai, Akta 164 dicadangkan

pindaannya. Pindaan Akta 164 ini telah dibuat dengan berhati-

hati oleh pihak kerajaan sejak 2006 lagi khususnya selepas

timbulnya persoalan berkaitan hak pihak yang memeluk agama

Islam untuk membubarkan perkahwinan.

Mahkamah Syariah memang diberi kuasa yang terbatas oleh

undang-undang. Namun demikian janganlah kita merasa terkilan.

Keadaan dalam negara majmuk dengan penduduk pelbagai

agama memaksa kita menangani soal perundangan dan

pengadilan dengan berhati-hati supaya ketidakadilan tidak

berlaku. Kita berharap Undang-Undang Keterangan dan Prosedur

di Mahkamah Syariah itu dapat dipakai dengan setepat mungkin

dan Mahkamah Syariah perlu membuktikan kecekapannya dalam

mentadbirkan kehakiman syarak setinggi mungkin. InsyaAllah

dengan berkat dedikasi dan keikhlasan semua pihak, Mahkamah

Syariah akan dihormati dan disanjung tinggi kerana

pengadilannya yang tertib dan adil.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakaatuh

Terima kasih.

Page 19: Perkara Teks Ucaptama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim ... · PDF fileIntipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana

19

YA Datuk Aidi b. Moktar, JP

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM

29 hb. Ogos 2017, IAIS Malaysia, Kuala Lumpur.