1
Perkara
Teks Ucaptama
YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM
Program
Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah 2017 -
60 Tahun Pasca Kemerdekaan: Menelusuri
Cabaran Melestari Masa Hadapan
Di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa
(IAIS)
Jalan Ilmu Off Jalan Universiti 59100 Kuala
Lumpur
Tarikh
29 Ogos, 2017 (Selasa)
2
بسم هللا الرحمن الرحيم
السالم عليكم ورحمة هللا وبركاته
العالمين والصالة والسالم على أشرف األنبياء والمرسلين وعلى ءاله وصحبه الحمد هلل رب
أجمعين
- Yang Berbahagia,
Pengerusi Majlis
- Yang Amat Berbahagia,
Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Pengerusi IAIS Malaysia dan IKIM
- Yang Berbahagia,
Prof. Mohammad Hashim Kamali.
Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia,
- Dif-dif jemputan.
- Tan Sri / Puan Sri, Dato’ Seri/Datin Seri/Datuk-Datuk/Datin
serta hadirin hadirat yang dihormati sekalian
3
1. PENGENALAN
Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan
dan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah,
Pengerusi IAIS selaku penganjur kerana sudi menjemput saya
untuk menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian seminar
yang sungguh bermakna pada hari ini.
Bagi diri saya secara peribadi pula, seminar ini sungguh
bermakna di mana saya telahpun berada di institusi kehakiman
syariah ini sejak lebih 30 tahun yang lalu dan telah melalui
pelbagai pengalaman dan cabaran. Sebagai seorang warga
Mahkamah Syariah, saya amat bersyukur di atas kejayaan dan
kemajuan yang telah dicapai oleh institusi ini sehingga ke hari ini.
Sekian lama Mahkamah-mahkamah Syariah di Negeri-negeri
telah menempah dan mengharungi pelbagai permasalahan kes
dan rintangan serta cabaran semasa menguruskan kes dan hal
ehwal syariah masyarakat Islam di Malaysia. Begitu banyak
khidmat bakti dan jasa-jasa pegawai Mahkamah Syariah sejak
dahulu dalam menangani isu-isu kekeluargaan dan kehakiman
Islam di Malaysia. Namun apabila berlaku sedikit kekhilafan atau
isu-isu kecil yang terpencil, isu-isu tersebut menjadi viral dan
diperbesar-besarkan sehingga menjadi fitnah dan Mahkamah
Syariah diberi gambaran yang berat sebelah.
4
Yang Amat Berbahagia Tun, hadirin hadirat yang dimuliakan,
2. SEJARAH RINGKAS INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH
Saya percaya ramai di kalangan rakyat kita kini sudah maklum
akan sejarah panjang mengenai perkembangan institusi
Mahkamah Syariah dan kini dijadikan satu topik khusus bagi
kuliah perundangan di institusi pengajian tinggi di negara ini. Oleh
yang demikian, saya tidak berhasrat untuk menghuraikannya di
sini. Namun sejarah begitu penting bagi membincangkan sesuatu
isu kerana ianya berupa landasan ke arah kita merancang suatu
jalan penyelesaiannya. Tanpa merujuk sejarah, bermakna kita
telah meletakkan kekeliruan kepada generasi akan datang yang
bertindak lebih pantas akibat kesan kemajuan dan globalisasi.
Pada suatu ketika dulu, banyak pihak yang menganggap
Mahkamah Syariah di negara ini sebagai satu “kangaroo court".
Ini kerana mengikut persepsi umum, institusi itu tidak ada
struktur yang betul dan tidak ada prosedur yang lengkap dan
mantap. Pakar dalam hal ini Allayarham Tan Sri Prof. Ahmad
Ibrahim berpendapat bahawa gerhana Mahkamah Syariah
berlaku pada 1948, bila kedudukannya diletakkan di bawah
Mahkamah Sivil.
5
Kedudukan ini berterusan selepas merdeka, apabila bidang
kuasa Mahkamah Syariah terus di kekang di paras 3:5:6 (iaitu
hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah tidak
boleh melebihi penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali
sebatan). Kini walaupun negara sudah tidak lagi dijajah selama
lebih 50 tahun, dan Mahkamah Syariah di negara ini sudah
dikatakan “dewasa", had dan batasan yang dikenakan oleh
Parlimen itu masih lagi berterusan. Kita amat berharap agar rang
undang-undang Akta 355 akan dapat diluluskan oleh Parlimen
tidak lama lagi sebagai pembuka jalan ke arah era baru
memperkasa institusi Mahkamah Syariah.
Setelah kerajaan Malaysia membuat dasar mewajibkan semua
warga Mahkamah Syariah di negara ini menjalani kurus teori dan
amali tentang kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa
(mulai awal tahun 80an) dan selepas itu Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan, proses transformasi yang
dinanti-nantikan akhirnya dapat dilaksanakan.
Beberapa undang-undang baru diluluskan (mengenai struktur dan
bidangkuasa Mahkamah Syariah, mengenai prosedur mal,
mengenai prosedur jenayah, mengenai kesalahan jenayah
syariah, mengenai undang-undang keterangan dan sebagainya)
menggantikan undang-undang rojak yang lama.
6
Proses penstrukturan Mahkamah (kepada tiga tingkat -
Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan)
juga dilakukan, serentak dengan proses mengasingkan
Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam Negeri dan Pejabat
Mufti.
Ini sejajar dan selaras dengan doktrin pengasingan kuasa,
bahawa tiga organ kerajaan (badan perundangan, badan
kehakiman dan badan eksekutif) mesti diasingkan dan tidak
dibenarkan duduk sebumbung. Intipati doktrin pengasingan kuasa
ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh
atau tekanan dari mana-mana pihak.
Kemuncak proses memartabatkan Mahkamah Syariah di negara
ini berlaku apabila Perkara 121 dipinda dengan memasukkan
klausa (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Jun 1988. Mulai
tarikh pindaan itu, sekiranya satu-satu kes itu terletak dalam
bidangkuasa Mahkamah Syariah, kes itu tidak boleh didengar
(dibicarakan) di Mahkamah Sivil di negara ini. Ringkasnya
pindaan menyebut: (Mahkamah sivil) “…….tidaklah mempunyai
bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang
kuasa mahkamah Syariah.” ( Akta A704, seksyen 8,
berkuatkuasa mulai 10 Jun 1988. Pindaan itu hanya tertumpu
kepada “apa-apa perkara” (“any matter”) dalam bidang kuasa
7
mahkamah syariah. Jika perkara itu terletak dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah seperti hak jagaan anak dalam kes itu, maka
Mahkamah Sivil tidak ada bidang kuasa mengenainya.
Penggubal Perkara 121(1A) tidak menduga keadaan seperti itu
akan berlaku. Ia digubal atas asas dalam sesuatu kes cuma ada
isu undang-undang sivil atau isu-isu hukum syarak dan orang
bukan Islam (termasuk perbadanan) tidak terlibat dalam kes yang
di dalamnya terdapat isu-isu syariah. Ia juga tidak menduga
bahawa dalam kes di Mahkamah Syariah, mungkin timbul isu
perlembagaan seperti dalam kes Jumaaton Awang & Satu Lagi
lwn. Raja Hizaruddin Nong Chik [2004] sedangkan bidang kuasa
mentafsir Perlembagaan terletak di bawah mahkamah sivil.
Walau apa pun natijahnya, sesuatu usaha penambah baikan
kepada pindaan ini perlu diteruskan dengan lebih halus supaya
suasana harmoni dapat dikekalkan di antara bidang kuasa
Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
3. INTIPATI PERKARA 121 FASAL (1A) PERLEMBAGAAN
PERSEKUTUAN
Pada pandangan saya, pindaan Perkara 121 (1A) ini sekali pun
hanya menyebut Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah mempunyai
bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang
8
kuasa Mahkamah Syariah maka bukanlah bermakna hanya
Mahkamah Sivil sahaja yang perlu menghormati akan kedudukan
Mahkamah Syariah, akan tetapi pemisahan bidangkuasa
kehakiman ini juga perlulah turut sama dihormati oleh semua
pihak termasuk badan-badan dan agensi-agensi Kerajaan yang
lain yang menguruskan hal perundangan Mahkamah Syariah
termasuk juga pihak Jabatan Peguam Negara.
Pihak berwajib perlu mengambil langkah-langkah proaktif bagi
mengharmonikan kedua-dua bidang kuasa mahkamah agar
masyarakat Islam tidak keliru, kecewa atau rasa terancam. Jika
pertindihan dan bertembungan bidang kuasa kedua-dua
mahkamah terus berlaku, ini bermakna hasrat pindaan Perkara
121(1A) tidak berjalan atas paksi yang sewajarnya. Oleh itu,
kedudukan, kepentingan dan urus tadbir hal ehwal Islam
termasuk hal ehwal Mahkamah Syariah perlu dizahirkan kerana
kedudukannya telah diperuntukkan dengan jelas dan terpelihara
di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
4. MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH
Saya percaya bahawa tanggungjawab memperkasa Mahkamah
Syariah tidak terletak pada satu-satu pihak, individu atau pihak
kerajaan semata-mata. Saya juga percaya bahawa
9
memperkasakan Mahkamah Syariah tidak hanya tergantung
kepada satu atau dua faktor sahaja. Banyak factor-faktor lain
yang perlu dikenalpasti dan dilaksanakan untuk memperkasakan
Mahkamah Syariah dan warganya. Antara faktor tersebut adalah
memperkasa organisasi, sumber manusia, kompetensi dan
struktur Mahkamah Syariah secara menyeluruh di semua
peringkat. Ini kerana memperkasakan aspek-aspek berkenaan
merupakan faktor utama yang menjadi asas justifikasi serta
autoriti penting bagi membolehkan gred perjawatan ditingkatkan
dan saiz sumber manusia ditambah berdasarkan keperluan
mendesak di negeri-negeri. Faktor ini akan memberi impak besar
bagi membolehkan Mahkamah Syariah mendepani permasalahan
kes-kes yang semakin bertambah dan kompleks.
Yang Amat Berbahagia Tun, hadirin hadirat sekalian,
5. PENYELARASAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI
NEGERI/WILAYAH
Penyelarasan undang-undang Syariah di antara negeri-negeri
merupakan satu cabaran utama dalam usaha memperkasakan
institusi Mahkamah Syariah. Sekali pun rakyat jelata begitu
mengharapkan penyelarasannya dapat direalisasikan namun
hingga setakat ini jelas masih belum berjaya. Dalam hal ini, pada
10
pandangan saya, adalah lebih baik kita melihat kepelbagaian
undang-undang di kalangan negeri-negeri itu sebagai suatu
hikmah dan kita perlulah berusaha sebaik mungkin
merapatkannya dengan cara yang berkesan daripada kita
berterusan mengeluh tanpa penghujung.
Dalam awal era 90-an sudah terlihat penyelarasan undang-
undang itu telah berjaya apabila lima undang-undang yang
digunapakai Mahkamah Syariah di kebanyakan negeri-negeri
telah mengikut peruntukan yang sama dengan undang- di undang
Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan. Namun
malangnya pada era tahun 2000 dan sekarang ini kita dapat lihat
undang-undang di Wilayah Persekutuan pula didapati telah jauh
ketinggalan daripada undang-undang di negeri-negeri. Ini
menunjukkan kepada kita, bidangkuasa bukanlah hanya
bergantung kepada faktor prerogatif Raja-raja Melayu di negeri-
negeri semata-mata malahan ianya turut menyentuh aspek
pengurusan dan pentadbiran Majlis Agama Islam itu sendiri.
Pihak Majlis selaku penasihat utama kepada Raja-Raja Melayu
dan Yang Di Pertuan Agong perlulah memainkan peranan aktif
dalam usaha memperkasakan institusi Mahkamah Syariah.
11
6. MEMPERKASAKAN UNDANG-UNDANG KELUARGA
ISLAM
Pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah bukan sahaja perlu
mengutamakan hal bidangkuasa semata-mata malah turut
menyentuh pelbagai aspek terutama aspek sosial. Dalam hal ini,
Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman Islam yang satu-
satunya mengendalikan hal ehwal kekeluargaan Islam, maka
sudah sampai masanya kita perlu menilai keberkesanan undang-
undang keluarga Islam yang digunapakai kini agar sesuai dengan
keperluan kehidupan keluarga Islam masa kini. Umpamanya satu
contoh yang boleh saya nyatakan di sini mengenai kepentingan
nafkah. Ramai para isteri dalam keluarga Islam menghadapi
masalah nafkah yang gagal disempurnakan tanggungjawabnya
oleh para suami masa kini.
Sudah sampai masanya undang-undang mengenai nafkah
keluarga Islam ini diperhalusi supaya seboleh-bolehnya berupaya
menutup sebarang kelompongan yang boleh disalah gunakan
oleh para suami yang sengaja tidak mengambil berat soal nafkah
kepada isteri dan anak-anak.Tempoh masa perbicaraan kes
nafkah perlulah diberikan “limitation” atau had secara undang-
undang supaya tidak berlarutan bertahun-tahun lamanya yang
akhirnya semua pihak menyalahkan Mahkamah Syariah.
12
Undang-undang serta enakmen negeri yang telah digubal sangat
tepat namanya - iaitu Undang-undang Keluarga Islam. Oleh yang
demikian, pertimbangan yang paling penting dalam reformasi
undang-undang ialah kesejahteraan unit kekeluargaan ini. Apa
sahaja peruntukan yang dibuat, dan pelaksanaannya mestilah
menjamin kesejahteraan keluarga, menekankan tanggungjawab
ibu-bapa dalam memimpin dan membimbing keluarga, menjaga
martabat setiap ahli, menggalakkan silaturahim dan memberi
keadilan kepada semua pihak yang terlibat - baik suami, isteri
atau anak-anak.
Setiap ahli keluarga mempunyai hak dan tanggungjawab. Dalam
menjamin hak, tanggungjawab masing-masing perlu juga
diperjelaskan. Hak-hak yang menggugat kestabilan institusi
keluarga perlu dinilai semula untuk memastikan "hak" ini tidak
memudaratkan ahli keluarga lain terutamanya kaum wanita dan
anak-anak. Jangan sekali-kali dibolehkan keadaan di mana satu
pihak digalakkan mendapat hak tanpa tanggungjawab dan pihak
yang lagi satu, biasanya si isteri, diminta memikul berbagai-bagai
tanggungjawab tanpa diberi haknya.
13
7. REFORMASI MEMERLUKAN TINDAKAN YANG
MENYELURUH.
Perwujudan undang-undang sahaja tidak akan menjamin
keadilan. Masyarakat juga perlu mempunyai sikap yang saling
menghargai dan menghormati semua ahlinya, lelaki dan wanita.
Ini bukan perkara yang sukar kerana setiap insan pasti
mempunyai ibu dan bapa, kakak dan abang, isteri dan suami,
anak lelaki dan anak perempuan.
Jadi mengapakah masih terdapat sikap yang meletakkan wanita
ditaraf yang rendah dan amalan menyalahkan wanita bagi semua
masalah yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita? Di
manakah diletakkan nilai perkongsian dan tanggungjawab
bersama dalam keluarga? Di manakah ditekankan
tanggungjawab bapa untuk menunjuk contoh tingkahlaku yang
baik bagi keluarganya?
Proses mengubah sikap memang mengambil masa yang lama
tetapi boleh dipercepatkan jika kita semua bertekad untuk
mengubah keadaan. Sebagai "opinion leaders" kita harus
berhati-hati memberi pendapat. Jangan terburu-buru dan secara
angkuh mengkritik atau memihak dalam isu-isu kekeluargaan dan
undang-undang keluarga Islam. Tugas kita bukan untuk
bertelingkah dan bertengkar tetapi untuk mencari jalan yang
14
seadilnya bersama-sama untuk membina keluarga Islam yang
bahagia dan produktif.
Kita sekarang berada di ambang abad ke 21. Abad yang dipenuhi
dengan perubahan yang cepat dan menakjubkan. Perubahan-
perubahan ini akan mencabar nilai asas seperti kekeluargaan.
Kita perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini dengan
mempastikan nilai yang kita hargai tidak terkikis.
Seminar seperti ini sangat penting. Dengan mengutamakan
prinsip musyawarah yang disanjung tinggi oleh Islam adalah
diharapkan hasil daripada seminar ini akan memberi peluang
kepada semua untuk mengkaji semula peruntukan yang terdapat
dalam undang-undang keluarga Islam serta pelaksanaannya, dan
mencapai kata sepakat demi melindungi dan membina suatu
keluarga Islam yang bahagia, di mana hak dan martabat setiap
ahli keluarga terpelihara. Usaha ini juga akan membantu
Kerajaan dalam usaha mempergiatkan lagi inisiatif untuk
memperkukuhkan institusi keluarga dan nilai-nilai kekeluargaan.
Kita dengan penuh yakin menyatakan bahawa hukum-hukum
syarak itu baik dan adil, tiada cacat dan cela, sesuai belaka.
Namun demikian, kebaikan dan keadilan akan tercemar,
andainya ia ditadbir dengan sewenang-wenang tanpa mengikut
prosedur dan peraturan. Malah prosedur yang kemas dan
15
peraturan keterangan yang rapi itu akan tidak bermakna jika ia
diketepikan ketika di dalam perbicaraan. Jangan sampai
Mahkamah Syariah pula menjadi bukti kepada kenyataan sinis
"undang-undang Islam yang adil itu dipandang sebagai zalim
apabila ia ditadbirkan dalam keadaan kucar-kacir".
Rasulullah S.A.W. telah dipetik sebagai bersabda:-
"Kamu boleh serah undang-undang yang tidak adil kepada hakim
yang adil, tetapi kamu jangan serah undang-undang yang adil
kepada hakim yang zalim".
Yang Amat Berbahagia Tun, hadirin hadirat sekalian,
Kita amat bersyukur kerana Kerajaan telah sedar bahawa status
Mahkamah Syariah dan hakim-hakimnya perlu dipertingkatkan
agar mereka benar-benar mencerminkan keadilan hukum syarak.
Tetapi sebelum itu, kredibiliti dan ketertiban dalam pentadbiran
hukum syarak hendaklah ditingkatkan bersama. Jika kita boleh
memperkenalkan sistem perbankan Islam sehingga ia diterima
umum, tidak ada sebab kita tidak boleh memperlihatkan
pentadbiran hukum syarak yang tidak akan meragukan sesiapa.
Di samping itu adalah bermanfaat jikalau para hakim Mahkamah
Syariah dapat mengadakan perbincangan secara intensif dengan
16
ahli akademik mengenai semua aspek undang-undang yang
berkaitan dengan mahkamah. Peningkatan daya ilmu dan daya
fikir, pemahaman terhadap isu-isu semasa yang kian rumit adalah
juga perlu.
Prinsip `flexibility' dan kaedah `gradation' dalam perundangan
Islam perlu diberi perhatian yang serius semasa kita menggubal
undang-undang termasuk undang-undang Islam. Kaedah yang
diterima oleh semua ulama fiqah ini memberi peluang praktikal
dalam kita menerapkan nilai-nilai hukum-hukum syarak ke dalam
sistem undang-undang negara. Kaedah ini juga pasti memberi
ruang yang baik kepada perkembangan yang harmonis kepada
hukum syarak di negara kita. Tiada seorang pun daripada
kalangan kita yang ingin melihat pentadbiran hukum syarak
dibuat tanpa peraturan dan secara sambil lewa. Kita semua
benar-benar ingin melihat perkembangannya secara positif,
teratur dan aman.
Kita sebut prinsip `flexibility' dan kaedah `gradation' ini bukanlah
untuk dijadikan alasan apologetik untuk kita tidak memberi apa-
apa perhatian kepada perkembangan hukum syarak. Kita semua
harus memberi perhatian. Cuma kita rasa tidak wajar hukum
syarak ini dilaksanakan secara terpisah daripada perkembangan
aspek-aspek lain seperti sosial, budaya, ekonomi dan politik. Hal-
17
hal ini harus diambilkira agar hukum syarak dapat dihayati
dengan baik dan berjaya.
Saya selanjutnya ingin menyentuh mengenai kedudukan
Mahkamah Syariah. Kita semua maklum bahawa Mahkamah
Syariah berada di luar struktur umum kehakiman negara. Hal ini
disebabkan oleh latarbelakang sejarah dan undang-undang di
negara majmuk dengan kepelbagaian agama. Ia sudah berlaku
demikian. Hal ini tidaklah bermakna bahawa kedudukan
Mahkamah Syariah boleh dipandang rendah dan dibiarkan. Ini
adalah kerana jika ada keaiban pada Mahkamah Syariah,
keaiban itu adalah merupakan keaiban kita dan keaiban umat
Islam di Malaysia. Kerjasama yang rapat di antara Mahkamah
Syariah dengan Mahkamah Sivil perlu dipertingkatkan. Interaksi
antara ahli undang-undang sivil dan undang-undang syarak perlu
dirapatkan. Walaupun kedua-duanya terpisah, perpisahan itu
tidak sepatutnya sehingga bertentangan. Persamaan prinsip dan
matlamat untuk menegakkan masyarakat yang adil perlu
diadakan.
Berkaitan dengan pindaan Akta 164 yang diluluskan oleh Dewan
Rakyat baru-baru ini, pada saya ia merupakan satu penyelesaian
kepada permasalahan yang telah berlaku sekian lama. Pindaan
ini telah dicadangkan sendiri oleh Arkitek Perundangan Syariah
Negara Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dua tahun selepas
18
Akta 164 dikuatkuasakan. Bila mana berlaku satu kes tuntutan
jenazah seorang yang telah memeluk Islam oleh pasangan bukan
Islamnya kerana mereka tidak bercerai, Akta 164 dicadangkan
pindaannya. Pindaan Akta 164 ini telah dibuat dengan berhati-
hati oleh pihak kerajaan sejak 2006 lagi khususnya selepas
timbulnya persoalan berkaitan hak pihak yang memeluk agama
Islam untuk membubarkan perkahwinan.
Mahkamah Syariah memang diberi kuasa yang terbatas oleh
undang-undang. Namun demikian janganlah kita merasa terkilan.
Keadaan dalam negara majmuk dengan penduduk pelbagai
agama memaksa kita menangani soal perundangan dan
pengadilan dengan berhati-hati supaya ketidakadilan tidak
berlaku. Kita berharap Undang-Undang Keterangan dan Prosedur
di Mahkamah Syariah itu dapat dipakai dengan setepat mungkin
dan Mahkamah Syariah perlu membuktikan kecekapannya dalam
mentadbirkan kehakiman syarak setinggi mungkin. InsyaAllah
dengan berkat dedikasi dan keikhlasan semua pihak, Mahkamah
Syariah akan dihormati dan disanjung tinggi kerana
pengadilannya yang tertib dan adil.
Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakaatuh
Terima kasih.
19
YA Datuk Aidi b. Moktar, JP
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM
29 hb. Ogos 2017, IAIS Malaysia, Kuala Lumpur.