perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah jenayah: konsep dan amalan di negara-negara barat

33
PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT TERHADAP PESALAH JENAYAH: KONSEP DAN AMALAN DI NEGARA-NEGARA BARAT Arifah Rahimah Ismail & Mohd Al Adib Samuri ABSTRAK Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat telah mula dilaksanakan sejak dari kurun ke-19 lagi dalam sistem keadilan jenayah dunia. Walaupun setelah hampir dua dekad pelaksanaannya, perintah khidmat masyarakat ini masih menerima pelbagai kritikan dan dukungan daripada para sarjana yang menjalankan kajian terhadap konsep pelaksanaannya. Hal ini wujud disebabkan perbezaan pandangan di kalangan sarjana dalam membahaskan beberapa aspek teoritikal berkaitan konsep perintah ini dengan merujuk kepada amalan-amalan di beberapa buah negara Barat. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan untuk membahaskan konsep perintah khidmat masyarakat menurut pandangan Barat dari aspek teoritikal serta dari aspek kerangka perundangan seperti yang telah diamalkan di beberapa buah negara. Ia adalah untuk melihat sejauh mana perintah ini berpotensi untuk dilaksanakan terhadap pesalah jenayah di Mahkamah Syariah Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif menerusi reka bentuk analisis kandungan. Hasil kajian mendapati kebanyakan daripada sarjana Barat menyokong pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini kerana ia dilihat mampu memberi implikasi positif dalam memulihkan pesalah. Ini adalah berasaskan bukti pengalaman pelaksanaan perintah ini di negara-negara terbabit. Kajian ini signifikan kerana ia dapat menyumbang kepada satu pembentukan kerangka perundangan yang khusus berkaitan perintah ini untuk diimplementasikan kepada pesalah-pesalah jenayah di Mahkamah Syariah Malaysia. Ini adalah kerana masih belum ada kajian khusus yang membahaskan pelaksanaan perintah ini dari sudut perundangan Islam. Justeru, kajian lanjutan boleh dijalankan dengan menilai pelaksanaan perintah ini dari sudut perundangan Islam dalam konteks hukuman takzir.

Upload: arifah-rahimah

Post on 28-Jan-2016

83 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT TERHADAP PESALAH JENAYAH:

KONSEP DAN AMALAN DI NEGARA-NEGARA BARAT

Arifah Rahimah Ismail & Mohd Al Adib Samuri

ABSTRAK

Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat telah mula dilaksanakan sejak dari kurun ke-19 lagi dalam sistem keadilan jenayah dunia. Walaupun setelah hampir dua dekad pelaksanaannya, perintah khidmat masyarakat ini masih menerima pelbagai kritikan dan dukungan daripada para sarjana yang menjalankan kajian terhadap konsep pelaksanaannya. Hal ini wujud disebabkan perbezaan pandangan di kalangan sarjana dalam membahaskan beberapa aspek teoritikal berkaitan konsep perintah ini dengan merujuk kepada amalan-amalan di beberapa buah negara Barat. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan untuk membahaskan konsep perintah khidmat masyarakat menurut pandangan Barat dari aspek teoritikal serta dari aspek kerangka perundangan seperti yang telah diamalkan di beberapa buah negara. Ia adalah untuk melihat sejauh mana perintah ini berpotensi untuk dilaksanakan terhadap pesalah jenayah di Mahkamah Syariah Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif menerusi reka bentuk analisis kandungan. Hasil kajian mendapati kebanyakan daripada sarjana Barat menyokong pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini kerana ia dilihat mampu memberi implikasi positif dalam memulihkan pesalah. Ini adalah berasaskan bukti pengalaman pelaksanaan perintah ini di negara-negara terbabit. Kajian ini signifikan kerana ia dapat menyumbang kepada satu pembentukan kerangka perundangan yang khusus berkaitan perintah ini untuk diimplementasikan kepada pesalah-pesalah jenayah di Mahkamah Syariah Malaysia. Ini adalah kerana masih belum ada kajian khusus yang membahaskan pelaksanaan perintah ini dari sudut perundangan Islam. Justeru, kajian lanjutan boleh dijalankan dengan menilai pelaksanaan perintah ini dari sudut perundangan Islam dalam konteks hukuman takzir.

PENGENALAN

Perintah khidmat masyarakat pada asasnya hanya dilaksanakan sebagai satu eksperimen sahaja

di beberapa buah daerah sekitar United Kingdom setelah pihak perundangan dan mahkamah

mengalami masalah kesesakan di penjara serta menelan kos pemenjaraan yang terlalu tinggi.

Pada awalnya, ia dilihat sebagai hukuman alternatif kepada hukuman pemenjaraan, namun hasil

kejayaan kepada eksperimen tersebut telah menyebabkan ia menjadi satu rujukan kepada

negara-negara lain sehinggalah ke hari ini. Hal ini telah menyebabkan para sarjana Barat mula

membahaskan konsep pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini dari segenap aspek meliputi

aspek teoritikal dan kerangka perundangan bagi menilai sejauh mana perintah ini memberi

kesan positif kepada pesalah, masyarakat awam dan badan perundangan.

Ekoran perbahasan tersebut, para sarjana berbeza pandangan dalam setiap aspek

teoritikal yang dibahaskan meliputi konsep definisi hukuman, sejarah pelaksanaan hukuman,

tujuan hukuman dan juga teori-teori yang menjadi dasar kepada pelaksanaan hukuman ini.

Perbezaan pandangan ini turut berlaku dalam perbahasan berkaitan aspek kerangka

perundangan perintah ini seperti kredibiliti pesalah, tempoh pelunasan hukuman, aktiviti

hukuman dan model-model pelaksanaan hukuman. Perbezaan pandangan ini berlaku disebabkan

kajian yang dijalankan oleh para sarjana tersebut adalah berdasarkan kepada hasil penilaian

mereka terhadap amalan pelaksanaan perintah ini di pelbagai buah negara. Secara lazimnya,

bagi setiap negara tersebut mempunyai kerangka perundangan yang berlainan di antara satu

sama lain. Keadaan ini telah melahirkan dua aliran pemikiran di kalangan sarjana tersebut iaitu

golongan yang mendukung dan golongan yang mengkritik terhadap pelaksanaan perintah ini.

Oleh yang demikian, penulisan artikel ini akan menilai kembali pandangan-pandangan

yang dikeluarkan oleh para sarjana tersebut dalam membahaskan konsep pelaksanaan perintah

khidmat masyarakat ini. Seterusnya, kajian ini akan menilai sejauh mana perintah khidmat

masyarakat ini berpotensi untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah Malaysia terhadap pesalah-

pesalah jenayah.

KONSEP TEORTITIKAL PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT

Beberapa aspek teoritikal yang menjadi perbahasan di kalangan sarjana adalah seperti definisi

hukuman, sejarah pelaksanaan hukuman, tujuan hukuman dan teori-teori yang menjadi dasar

kepada pelaksanaan perintah ini.

Definisi Perintah Khidmat Masyarakat

Walgrave & Geudens (1996) mentakrifkan perintah khidmat masyarakat sebagai satu hukuman

oleh institusi kehakiman terhadap pesalah dengan memerintahkannya untuk melakukan satu

bentuk pekerjaan tanpa upah yang memberi manfaat kepada institusi awam atau swasta. Baer

(1991), melanjutkan pentakrifan ini dengan menghuraikan perintah khidmat masyarakat ini

sebagai hukuman pilihan kepada hukuman denda dan hukuman bersyarat kepada sistem parol di

Amerika Syarikat. Manakala, Stortini (1978) mendefinisikan perintah khidmat masyarakat

sebagai hukuman yang berbentuk bukan tahanan (non-custodial), iaitu perintah daripada

mahkamah yang menghendaki pesalah berkhidmat kepada masyarakat tanpa sebarang bayaran

dalam tempoh yang ditetapkan.

Selanjutnya, perintah khidmat masyarakat seperti yang ditakrifkan oleh Pease (1985)

ialah sebagai satu hukuman terhadap pesalah dengan memerintahkan pesalah untuk melakukan

kerja-kerja kebajikan tanpa upah dengan agensi awam atau agensi yang tidak berasaskan

keuntungan dalam tempoh masa yang ditetapkan sebagai pilihan atau syarat kepada hukuman

yang dikenakan pada awalnya. Takrifan yang dibawa oleh Pease ini dilihat agak jelas

berbanding takrifan oleh sarjana-sarjana lain dengan merungkaikan beberapa aspek persoalan

iaitu kepada siapa perintah ini dilaksanakan, pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya,

bentuk hukuman dan tempoh hukuman.

Berdasarkan kepada definisi yang dibawa oleh para sarjana tersebut, secara ringkasnya

perintah khidmat masyarakat ini dapat difahami sebagai satu bentuk hukuman daripada

mahkamah yang menghendaki pesalah untuk melakukan kerja-kerja kebajikan tanpa sebarang

bayaran kepada pihak komuniti dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan. Ia dilihat sebagai

satu hukuman alternatif kepada pemenjaraan atau denda, di samping sebagai hukuman bersyarat

kepada sistem parol atau hukuman dalam tempoh percubaan (probation).

Sejarah Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat

Perbincangan berkaitan sejarah pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat ini telah

dikaji oleh sarjana-sarjana Barat. Terdapat sebahagian daripada mereka mendakwa bahawa

pelaksanaan hukuman ini telah bermula di Amerika Syarikat dan terdapat sebahagian lagi

mendakwa ia mula diperkenalkan di England. Namun, perbezaan pandangan ini bukanlah

menjadi satu permasalahan yang perlu dibahaskan oleh mereka kerana pelaksanaan hukuman di

setiap negara pasti mempunyai perubahan aspek perundangan mengikut masa dan situasi

masyarakat tertentu. Sementara itu, hampir kebanyakan pengkaji bersetuju bahawa pelaksanaan

hukuman itu telah muncul sekitar tahun 1960-an dan mula berkembang dengan formalnya

sekitar tahun 1970-an sehingga menjadi satu hukuman yang diperakui keberkesanannya oleh

kebanyakan negara-negara lain pada hari ini.

Menurut Flack (2006) dan Hudson & Galaway (1990), hukuman perintah khidmat

masyarakat ini mula diperkenalkan secara formal oleh Mahkamah Almeda County iaitu sebuah

daerah di California, USA pada tahun 1966. Hukuman ini pada asasnya dilaksanakan terhadap

pesalah-pesalah wanita yang disabitkan bersalah atas kesalahan trafik dan boleh dijatuhkan

hukuman pemenjaraan sekiranya mereka tidak mampu membayar denda. Hukuman

pemenjaraan ini dilihat agak keras dan sangat membebankan pesalah-pesalah miskin, maka

mahkamah melihat hukuman perintah khidmat masyarakat ini merupakan satu hukuman

alternatif terbaik bagi menggantikan hukuman pemenjaraan tersebut. Seterusnya, hukuman ini

mula mendapat perhatian dan bukan hanya dilaksanakan terhadap pesalah wanita malah kepada

pesalah lelaki atas kesalahan-kesalahan kecil dan juga pesalah kanak-kanak. Setelah melihat

perkembangan hukuman ini, ia mula menjadi perintis dan rujukan kepada mahkamah-

mahkamah sekitar California pada tahun 1970 sebagai hukuman alternatif kepada denda dan

pemenjaraan.

Pandangan yang berbeza dikeluarkan oleh Perrier & Pink (1985) yang mendakwa

bahawa perintah khidmat masyarakat ini mula diperkenalkan di United Kingdom. Cadangan

pertama pelaksanaan hukuman ini dikeluarkan pada tahun 1970 melalui laporan Majlis

Penasihat Sistem Keseksaan (Advisory Council on the Penal System) yang dipengerusikan oleh

Baroness Barbara Wootton. Laporan ini dikenali sebagai Laporan Wootton. Pada tahun 1973,

rancangan pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat ini telah dilaksanakan di enam

buah pusat hukuman percubaan sebagai eksperimen asas. Setelah itu, hasil daripada eksperimen

tersebut telah menunjukkan hasil keberkesanannya. Maka dengan itu, pada Ogos 1974,

Kementerian Dalam Negeri (Britain) telah meluluskan cadangan ini dan membenarkannya ia

dilaksanakan di lain-lain pusat hukuman percubaan serta pusat-pusat komuniti. Akhirnya,

sekitar tahun 1975, hukuman perintah khidmat masyarakat ini hampir-hampir dilaksanakan di

seluruh England dan Wales (Reddy 1991). Kesan daripada itu, sekitar lewat tahun 1970,

hukuman ini mula mendapat perhatian di seluruh United Kingdom, Kanada, Australia, New

Zealand dan United State. Seterusnya, pada sekitar tahun 1980, hukuman ini mula dilaksanakan

di beberapa negara Eropah termasuklah Denmark, Jerman, Perancis, Belanda, Norway dan

Portugal (Hudson & Galaway 1990).

Hasil daripada rentetan sejarah pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini, dapat

disimpulkan bahawa walaupun terdapat percanggahan di kalangan sarjana dalam membahaskan

asal pelaksanaan hukuman ini sama ada di Eropah atau di Amerika Syarikat, namun ia bukanlah

menjadi permasalahan yang besar untuk diperbahasakan oleh para sarjana. Ini adalah kerana

setelah melihat hasil keberkesanan pelaksanaan hukuman ini di beberapa buah negara, maka ia

telah mendapat tempat di seluruh mahkamah dunia untuk melaksanakannya sebagai satu

hukuman alternatif kepada pemenjaraan atau sebagai syarat kepada perintah percubaan.

Objektif Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat

Hasil kajian oleh Leibrich et. al (1986) terhadap beberapa orang pesalah, hakim dan pegawai

percubaan berkaitan dengan pencapaian matlamat pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini

telah mengenal pasti beberapa objektif hukuman ini terhadap masyarakat, pesalah dan badan

kehakiman. Perintah khidmat masyarakat ini dilihat dapat memberi manfaat kepada masyarakat

dengan pelaksanaan kerja-kerja komuniti oleh pesalah sebagai satu simbolik pembayaran

semula. Selain itu, perintah ini mempunyai objektif yang khusus kepada pesalah seperti untuk

mendisiplinkan pesalah, meningkatkan kemahiran kerja dan komunikasi di kalangan pesalah

serta memupuk semangat integrasi pesalah dengan masyarakat awam. Perintah ini juga cuba

memenuhi objektifnya kepada badan perundangan iaitu berfungsi sebagai satu hukuman

alternatif kepada hukuman pemenjaraan.

Ini telah dilanjutkan oleh Brennan dan Mason (1983), yang berpandangan bahawa

perintah khidmat masyarakat dilihat sebagai satu hukuman alternatif kepada pesalah, organisasi

tertentu dan masyarakat awam. Hukuman ini merupakan tawaran kepada pesalah untuk

membayar kembali hutang mereka kepada masyarakat dengan melakukan kerja-kerja khidmat

komuniti. Ia juga dilihat cuba menawarkan alternatif kepada organisasi awam dan swasta untuk

melibatkan diri bersama masyarakat dengan mengambil peserta program ini sebagai

sukarelawan selain dapat memberi peluang pekerjaan kepada mereka untuk melakukan kerja-

kerja yang berfaedah. Di samping itu, hukuman perintah khidmat masyarakat ini juga memberi

tawaran kepada badan kehakiman untuk menjadikannya sebagai satu hukuman alternatif

tambahan yang sesuai dilaksanakannya sebagai syarat kepada hukuman perintah pengawasan

dan hukuman pelepasan bersyarat.

Maka dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa perintah khidmat masyarakat ini adalah

satu bentuk hukuman alternatif kepada pemenjaraan. Ini adalah kerana ia bertujuan untuk

mengurangkan kepadatan pesalah di dalam penjara, mengurangkan kos pentadbiran sistem

keadilan jenayah di samping untuk mengurangkan kadar pengulangan jenayah (recidivism)

(Baer 1992 dan Hudson & Galaway 1990). Ini dapat dilihat melalui kenyataan daripada

Presiden Suruhanjaya Penguatkuasaan Undang-undang dan Pentadbiran Keadilan apabila

perintah khidmat masyarakat ini mula diperkenalkan pada tahun 1966 menyatakan bahawa

matlamat utama perintah ini adalah untuk memastikan keadaan masyarakat sentiasa selamat

dengan cara menghalang pengulangan jenayah di kalangan pesalah setelah mereka dibebaskan

(Maher & Dufour 1987). Di samping itu, hukuman ini juga bertujuan untuk meningkatkan atau

membina hubungan sosialisasi yang baik di antara pesalah dengan masyarakat (Spaans 1998).

Teori Asas Perintah Khidmat Masyarakat

Setiap hukuman atau perintah yang akan dijatuhkan kepada pesalah pastinya mempunyai

justifikasi atau matlamat yang tertentu. Reddy (1991), telah menggariskan beberapa teori

penghukuman yang sering digunakan oleh hakim untuk menghukum pesalah jenayah dengan

bersandarkan kepada sistem keadilan jenayah klasik iaitu pembalasan (retribution), pencegahan

(deterrence), penghalangan (prevention) dan pemulihan (rehabilitation). Namun begitu, setiap

daripada teori tersebut telah menimbulkan konflik di antara satu sama lain. Ini adalah kerana

para sarjana berselisih pandangan dalam menetapkan falsafah serta matlamat asas bagi sesuatu

hukuman seperti mana perintah khidmat masyarakat ini (Skeen 1988).

Menurut undang-undang jenayah konvensional, teori pembalasan (retributive)

merupakan teori yang paling utama dan sering kali diterima pakai oleh hakim dalam

mengenakan hukuman terhadap pesalah (Walgrave & Geudens 1996). Teori pembalasan ini

dapat diertikan sebagai satu bentuk keadaan pesalah perlu mendapat balasan yang setimpal

dengan apa yang dialami oleh mangsa sebagai pampasan kepada pelanggaran undang-undang

yang dilakukan oleh pesalah (Pease 1985). Di antara sarjana yang menyokong teori pembalasan

ini sebagai dasar kepada perintah khidmat masyarakat ialah Pease dan Flack. Pease (1985)

berpandangan bahawa perintah khidmat masyarakat ini tidak seperti hukuman-hukuman lain

kerana ia melibatkan kontrak di antara pesalah dan masyarakat untuk membaiki kerosakan yang

berlaku disebabkan perbuatan pesalah. Manakala Flacks (2006) berpendapat bahawa segala

kerosakan yang berlaku terhadap individu dan komuniti perlu dipulihkan melalui hukuman

khidmat masyarakat dengan memaksa pesalah untuk membina kembali sosialisasi yang telah

dimusnahkannya. Maka, teori pembalasan dilihat sebagai satu teori yang asas bagi pelaksanaan

hukuman ini kerana ia memaksa pesalah untuk menerima hukuman yang sewajarnya dengan

kesalahan yang telah dilakukan.

Seterusnya, teori pencegahan (deterrence) dilihat mula mengambil tempat di hati para

hakim dalam mengenakan hukuman setelah melihat teori pembalasan (retributive) kurang

memberi kesan dalam mencegah berlakunya pengulangan jenayah. Teori pencegahan adalah

satu teori yang berbentuk ancaman bagi memastikan pesalah sentiasa patuh kepada undang-

undang (Duff 2003). Matlamat teori ini adalah untuk mencegah berlakunya pengulangan

jenayah di kalangan pesalah (Allen & Treger 1990). Oleh yang demikian, Carter et. al (1987)

berpandangan perintah khidmat masyarakat ini sebagai satu program yang dibangunkan untuk

meningkatkan bentuk hukuman yang sesuai dengan tahap pencegahan kepada jenayah. Perintah

ini menghendaki pesalah membayar kembali kerosakan yang dilakukannya kepada komuniti

dengan melaksanakan kerja-kerja tanpa sebarang upah atau gaji. Selain daripada alternatif

kepada hukuman pemenjaraan, perintah khidmat masyarakat ini dilihat sebagai penghalang

kepada berlakunya jenayah. Ini adalah kerana hukuman ini mempunyai ciri-ciri seperti

menyeksa pesalah, mengenakan pampasan kepada pesalah dan mensosialisasikan pesalah

(Maher & Dufour 1989).

Selanjutnya, Baer (1992) berpandangan bahawa perintah khidmat masyarakat ini

merupakan satu program perantaraan yang efektif sebagai satu bentuk yang berasakan teori

pembayaran semula (reparative) atau sebagai simbolik kepada pampasan. Ini adalah kerana

menurut Carter et. al (1987), pesalah perlu membayar semula kerosakan yang dilakukan oleh

mereka dengan melaksanakan khidmat tanpa bergaji kepada komuniti yang memerlukan tenaga

kerja. Hujah ini turut disokong oleh Perrier & Pink (1985) yang menyatakan bahawa teori

pembayaran semula (reparative) sebagai satu bentuk pembayaran semula dalam bentuk yang

bermanfaat kepada masyarakat awam seperti hukuman khidmat masyarakat ini. Maka, ini jelas

menunjukkan bahawa teori pembayaran semula ini boleh menjadi dasar kepada pelaksanaan

perintah khidmat masyarakat.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini teori pembaikpulihan (restorative) mula menjadi

satu teori yang kerap dipilih oleh hakim setelah mendapati teori retribusi dan teori pencegahan

agak keras kepada pesalah. Teori pembaikpulihan ini dilihat sebagai satu hukuman alternatif

yang beroperasi sepenuhnya (fully-fledge) kerana ia menggabungkan kedua-dua iaitu teori

pembalasan (retributive) dan teori pemulihan (rehabilitative) (Walgrave & Guedens 1996).

Bazemore & Maloney (1994) di antara sarjana yang menyokong teori pembaikpulihan ini

sebagai teori dasar kepada pelaksanaan perintah khidmat masyarakat berpandangan bahawa

matlamat teori ini telah menepati dua objektif utama pelaksanaan hukuman ini iaitu untuk

membayar atau mengembalikan kerugian masyarakat akibat perbuatan jenayah pesalah dan

untuk meningkatkan potensi integrasi pesalah dalam komuniti. Ini adalah kerana, menurut teori

ini, gangguan ketenteraman awam atau ancaman kepada nilai-nilai awam perlu diberi pampasan

melalui satu hukuman yang melibatkan khidmat kepada masyarakat (Walgrave & Guedens

1996).

Selain itu, teori pemulihan (rehabilitative) juga merupakan satu teori yang sering kali

menjadi perbahasan di kalangan para sarjana dalam menetapnya sebagai satu mekanisme dalam

sistem keadilan jenayah. Teori pemulihan ini dilihat sebagai satu teori yang terbaik dalam

memulihkan pesalah. Ini adalah kerana falsafah teori ini mementingkan keperluan kemanusiaan

sebagai satu instrumen yang berkesan dalam memulihkan pesalah (Perrier & Pink 1985). Di

antara sarjana yang menyokong teori pemulihan ini sebagai dasar kepada pelaksanaan perintah

khidmat masyarakat, Umbreit (1981) yang mempercayai bahawa hukuman khidmat masyarakat

ini sebenarnya berasaskan teori pemulihan kerana ia membenarkan pesalah untuk membetulkan

kesalahan mereka dan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pesalah daripada terjebak

kesan negatif daripada hukuman pemenjaraan. Kenyataan ini disokong oleh Perrier & Pink

(1985) yang berpandangan bahawa pelaksanaan hukuman berasaskan komuniti ini bukan sahaja

untuk mengintegrasikan semula pesalah ke dalam masyarakat, malah untuk mencegah dan

memulihkan pesalah serta untuk menyediakan persekitaran yang lebih berperikemanusiaan

daripada suasana penjara yang boleh merosakkan pesalah.

Berdasarkan perbahasan ringkas tersebut, didapati perbezaan pandangan di kalangan

para sarjana turut berlaku dalam menetapkan matlamat asas hukuman atau teori dasar

penghukuman ini sama ada ia sebagai satu pembalasan, pemulihan, pencegahan atau

pembayaran semula sehingga menyebabkan perlu kepada satu perbahasan yang mendalam

untuk menilai kembali teori-teori asas bagi pelaksanaan hukuman ini. Hal ini telah memberi

kesan yang sukar kepada pihak mahkamah untuk melaksanakan hukuman ini kerana tiada

matlamat asas yang kukuh. Namun begitu, teori pemulihan (rehabilitative) dan teori

pembaikpulihan (restorative) dilihat lebih disukai oleh para sarjana kerana kedua-dua teori ini

bersifat agak lembut dalam memulihkan pesalah.

KERANGKA PERUNDANGAN PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT

Setiap negara mempunyai pelaksanaan undang-undang yang tersendiri mengikut kesesuaian

keadaan negara dan masyarakat tertentu. Pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat

dilihat telah dilaksanakan dalam pelbagai kaedah mengikut sistem perundangan negara masing-

masing. Walaupun begitu, isu yang sering menjadi perbincangan oleh para sarjana berkaitan

dengan hukuman ini meliputi beberapa elemen seperti kelayakan pesalah untuk menjalani

hukuman ini, tempoh masa hukuman, aktiviti yang dilakukan pesalah sepanjang tempoh

hukuman dan juga model pelaksanaan bagi perintah ini. Maka, artikel ini akan melihat

perbahasan-perbahasan yang telah dibincangkan oleh para sarjana berkaitan elemen-elemen ini

secara menyeluruh dengan merujuk kepada amalan-amalan di beberapa buah negara tertentu.

Kredibiliti Pesalah

Setiap pesalah yang akan menjalani hukuman perintah khidmat masyarakat perlu mematuhi

kriteria-kriteria yang digariskan oleh pihak tertentu sama ada oleh hakim, pegawai perintah

percubaan atau agensi yang akan menyelia aktiviti pesalah. Kriteria-kriteria tersebut akan dilihat

dari sudut peringkat umur pesalah, kategori kesalahan yang disabitkan dan kecenderungan sikap

pesalah untuk melaksanakan kerja-kerja sukarelawan (Hudson & Galaway 1990). Ini bermakna

kriteria-kriteria ini akan menjadi kayu ukur bagi memilih peserta yang layak untuk menjalani

perintah khidmat masyarakat ini. Selain itu, terdapat juga beberapa elemen penting yang perlu

diambil kira dalam menetapkan bentuk kerja yang sesuai kepada pesalah seperti minat peserta,

kemahiran yang dimiliki, kawasan penempatan peserta, pengangkutan, masa, halangan yang

dihadapi peserta serta rawatan yang diperlukan (Probation Division, US 1989). Kebiasaannya

pelaksanaan perintah ini akan dikenakan terhadap pesalah-pesalah yang terlibat dalam

kesalahan-kesalahan kecil sahaja, namun ia tetap bergantung pada peruntukan undang-undang

negara tertentu (Brown 1977).

Sebagai contoh, pelaksanaan perintah khidmat masyarakat di Amerika Syarikat sering

dilaksanakan oleh mahkamah rendah terhadap individu yang disabitkan kesalahan tidak serius

terutamanya kesalahan-kesalahan kecil termasuklah kesalahan lalu lintas. Perintah khidmat

masyarakat juga dilihat cuba memberi opsyen kepada kesalahan-kesalahan yang lebih serius. Ini

kerana menurut Sistem Persekutuan, selain daripada kesalahan-kesalahan yang diletakkan di

bawah Akta Pengawalan Jenayah Komprehensif, hukuman khidmat masyarakat juga

dilaksanakan terhadap jenayah kolar putih, ahli-ahli korporat atau badan-badan korporat yang

disabitkan kesalahan. Namun begitu, hukuman ini tidak akan dilaksanakan terhadap individu

yang mempunyai latar belakang yang buruk seperti penagih dadah atau mempunyai rekod

kesalahan berbahaya seperti memiliki senjata api atau kesalahan berkaitan keganasan (Carter et.

al 1987).

Manakala di England dan Wales, perintah khidmat masyarakat dilaksanakan terhadap

pesalah-pesalah yang dijatuhkan hukuman tahanan atau pemenjaraan di bawah tempoh

percubaan atau pengawasan (Skeen 1988). Di antara beberapa kesalahan yang boleh dikenakan

hukuman ini adalah seperti kesalahan mencuri, menjual barangan curi dan kesalahan memandu

yang dilakukan oleh pesalah-pesalah muda yang berumur 21 tahun dan ke bawah (Vass &

Menzies 1989).

Di Ontario, Kanada, hukuman perintah khidmat masyarakat boleh dilaksanakan terhadap

pesalah-pesalah bujang yang berumur 20 tahun ke bawah, pelajar atau penganggur yang telah

disabitkan kesalahan berkaitan harta benda buat kali pertama. Ia pada dasarnya sering dikaitkan

dengan pesalah-pesalah lemah (shallow-end). Ini mungkin kerana hukuman asal bagi kesalahan

jenayah dilihat terlalu keras dan memberi masalah kepada penyelaras dan pesalah. Maka,

perintah khidmat masyarakat dilihat sebagai alternatif kepada hukuman tahanan untuk

memulihkan pesalah dan lebih murah berbanding hukuman pemenjaraan (Vass & Menzies

1989).

Keadaan yang hampir serupa juga berlaku di New Zealand dalam memilih peserta-

peserta yang akan menjalani perintah khidmat masyarakat ini. Pegawai tempoh percubaan akan

cuba menilai pesalah-pesalah terbabit dari sudut peribadi dan sosial pesalah seperti etika

pekerjaannya sebelum ini, kebolehpercayaannya, hubungannya dengan masyarakat, umur

kematangan, kesediaannya untuk menyertai aktiviti sukarela serta mempunyai tahap motivasi

diri yang agak baik. Seterusnya, hakim akan menilai dari sudut jenis kesalahan yang disabitkan

ke atas pesalah serta rekod kesalahan jenayahnya sebelum ini. Jika pesalah pernah terlibat

dengan kesalahan-kesalahan yang berkait dengan keganasan, kesalahan seks dan ketidakjujuran,

maka secara automatiknya pesalah terbabit akan dikecualikan daripada menjalani hukuman ini

(Leibrich et. al 1986).

Terdapat beberapa perbezaan yang dapat dilihat daripada perbincangan para sarjana

berkaitan pemilihan pesalah yang layak untuk menjalani program perintah khidmat masyarakat

ini. Rata-rata sarjana memilih pesalah yang mempunyai rekod kesalahan yang kecil atau bagi

kesalahan kali pertama. Ini mungkin kerana untuk menjaga keselamatan masyarakat daripada

pesalah-pesalah yang berbahaya seperti pesalah yang disabitkan dengan kesalahan senjata api

atau keganasan. Perbezaan yang agak ketara dalam perbahasan ini adalah berkaitan elemen

umur pesalah yang layak menjalani hukuman ini. Jika dilihat pelaksanaan hukuman ini di

England dan Kanada memilih pesalah-pesalah muda yang berumur 21 ke bawah, manakala di

Amerika Syarikat dan New Zealand tidak menetapkan had umur bagi pesalah dan hanya

menetapkan bentuk kesalahan sahaja. Ini bermakna, secara umumnya pelaksanaan perintah

khidmat masyarakat ini bukan hanya sesuai kepada pesalah juvenil malah ia juga boleh

dikenakan terhadap pesalah-pesalah dewasa.

Tempoh Pelunasan Hukuman

Penentuan jangka masa bagi pesalah menjalani perintah khidmat masyarakat ini perlu

ditetapkan dengan sebaiknya. Ini adalah supaya ia tidak menjadi satu hukuman yang zalim

kepada pesalah di samping dapat mengelakkan berlakunya ketidakadilan dalam sistem

perundangan jenayah. Penentuan jangka masa hukuman ini kebiasaannya akan ditentukan oleh

pihak mahkamah atau badan yang akan menyelia pesalah dengan menilai berdasarkan kepada

nilaian denda yang dikenakan terhadap pesalah atau berdasarkan tempoh pemenjaraan yang

dikenakannya (Hudson & Galaway 1990). Secara umumnya, bagi kesalahan yang dikenakan

hukuman pemenjaraan, penentuan tempoh hukuman adalah sekitar 6-8 jam sehari dan

bergantung pada tempoh pemenjaraan yang dikenakannya. Jika dilihat jangka masa pelaksanaan

perintah ini secara keseluruhannya, ia mungkin mengambil masa dalam tempoh minimum 40

jam sehinggalah ke tempoh maksimum 200 jam bagi pesalah untuk menyelesaikan kerja-kerja

komuniti yang dikenakan terhadapnya (Flacks 2006).

Pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat di Amerika Syarikat dikeluarkan

dalam bentuk nombor yang spesifik dengan menilai bilangan jam bekerja sesuai dengan tempoh

dalam sehari tanpa menilai kepada nilai ganti rugi kerosakan atau nilai gaji (Carter et. al 1987).

Contohnya, satu hukuman khidmat komuniti 400 jam boleh dilaksanakan dalam tempoh satu

hari atau 2 petang dalam seminggu untuk tempoh selama setahun. Tambahan Carter et. al

(1987) lagi, penilaian tempoh minimum bagi hukuman ini adalah 30 jam bersamaan dengan satu

hari seminggu untuk tempoh satu bulan atas kesalahan-kesalahan kecil. Manakala tempoh

maksimum hukuman ini adalah 400 jam dalam tempoh lima tahun, bermakna jumlah

keseluruhannya adalah 2000 jam atas kesalahan yang lebih serius atau bagi kesalahan yang

dikenakan permit hukuman berasaskan komuniti (community-based correction alternative).

Di England dan Wales, pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat adalah di

antara 40-240 jam dan kebiasaannya, ia perlu disempurnakan dalam tempoh 12 bulan atau

tertakluk kepada kuasa mahkamah untuk melanjutkan tempoh hukuman (Skeen 1988). Tempoh

pelaksanaan hukuman ini kepada pesalah muda dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu

40-120 jam bagi kesalahan yang tidak dikenakan hukuman pemenjaraan dan 121-240 bagi

kesalahan yang dikenakan hukuman pemenjaraan. Manakala bagi pesalah dewasa, tempoh

hukuman adalah di antara 40-240 jam (Brennan & Mason 1983).

Seterusnya, tempoh pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat di Kanada

adalah antara 10-400 jam pada awalnya kemudian telah dipinda kepada 30-150 jam (Brennan &

Mason 1983). Sementara itu, tempoh pelaksanaan perintah ini di New Zealand dinilai

berdasarkan nilaian denda atau kuantiti tahanan yang dikenakan terhadap pesalah dan

kebiasaannya tempoh perintah tersebut adalah antara 8-200 jam secara keseluruhannya

(Leibrich et. al 1986).

Hasil daripada perbincangan tersebut mendapati penentuan tempoh hukuman bagi setiap

negara tersebut adalah berbeza-beza. Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat di Amerika

Syarikat dilihat lebih keras berbanding negara-negara lain kerana mempunyai tempoh hukuman

yang paling panjang iaitu daripada 40 jam sehingga 2,000 jam dalam tempoh lima tahun.

Manakala, pelaksanaan hukuman ini di England dan Kanada dilihat lebih relevan dengan

menetapkan tempoh hukuman secara spesifik iaitu 40-240 jam dan 30-150 jam dalam tempoh

setahun. Ia juga ditentukan dengan melihat keadaan pesalah sama ada pesalah muda atau

pesalah dewasa.

Aktiviti Perintah Khidmat Masyarakat

Pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat ini dapat dilihat dengan pelbagai aktiviti-

aktiviti yang berfaedah kepada diri pesalah dan kepada masyarakat. Penentuan pelaksanaan

perintah ini terhadap pesalah boleh dilaksanakan secara individu atau secara berkelompok dan

pemilihan kerja tersebut perlulah bersesuaian dengan keadaan pesalah supaya matlamat asas

pelaksanaan perintah ini kepada pesalah sama ada sebagai pemulihan, pencegahan, pembalasan

atau pembaikpulihan boleh dicapai (Hudson & Galaway 1990). Peserta yang menjalani

pelaksanaan perintah ini kebiasaannya akan dikenakan tugasan yang berkaitan dengan

pertukangan seperti membaik pulih pusat komuniti, menyelenggarakan alat pengesan asap

kebakaran, mengecat atau membaiki bangku-bangku di taman, berkebun dan mengecat. Bagi

negara-negara yang sedang membangun, peserta program mungkin akan dikenakan tugasan

seperti membina jambatan, sekolah dan hospital (Flacks 2006).

Antara aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat yang telah dijalankan di sekitar daerah

Wilayah Cocks, Amerika Syarikat adalah seperti mengutip sampah, membaiki atau mengecat

jalan raya, membaiki papan tanda jalan raya, menyelenggarakan mesin jahit, menyapu sampah,

memotong rumput, mengutip tin-tin kosong dan menjaga kanak-kanak di pusat jagaan kanak-

kanak (Brennan & Mason 1983). Pada kebiasaannya, pelaksanaan hukuman ini dilakukan oleh

pegawai agensi percubaan, biro sukarelawan atau agensi-agensi lain yang bertanggungjawab

untuk menguruskan tugasan-tugasan hukuman ini kepada peserta program. Menurut Carter et. al

(1987), tugasan hukuman ini dapat dikategorikan dalam dua bentuk pelaksanaan. Pertama,

pemilihan tugasan khidmat masyarakat ini adalah melalui bakat atau skil yang dimiliki oleh

peserta serta ia diperlukan kepada masyarakat awam seperti seorang pesalah yang mempunyai

kemahiran asas dalam bidang perubatan akan diminta melaksanakan tugasan sebagai pegawai

perubatan di pusat kesihatan awam atau klinik perubatan percuma. Manakala, cara yang kedua

adalah dengan memilih tugasan khidmat masyarakat melalui kesesuaian dengan kesalahan yang

telah dilakukan seperti seseorang yang disabitkan atas kesalahan lalu lintas diminta

melaksanakan tugasan sebagai pemandu pesakit ke bilik kecemasan hospital. Pelaksanaan

hukuman melalui cara yang kedua ini dilihat agak tidak relevan.

Sementara itu, di England dan Wales, pentadbiran pelaksanaan hukuman perintah

khidmat masyarakat ini diletakkan di bawah jawatankuasa tempoh percubaan untuk melantik

organisasi yang bertanggungjawab menguruskan hukuman ini. Aktiviti-aktiviti perintah

khidmat masyarakat ini disusun oleh organisasi tersebut seperti membantu di wad orang tua

(geriatric ward), menolong orang-orang kurang upaya, membina taman permainan kanak-

kanak, dekorasi rumah, membantu dalam memelihara alam sekitar dan membantu dalam kelab-

kelab remaja (Skeen 1988). Manakala di New Zealand, pelaksanaan perintah khidmat

masyarakat ini dikenakan terhadap pesalah-pesalah tahanan berkala. Kebiasaannya, mereka

akan ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja buruh, kerja pemuliharaan seperti

menyelenggarakan jalan raya, membersihkan taman atau apa-apa kerja yang boleh dilakukan

secara berkelompok supaya memudahkan mereka diawasi oleh pihak pegawai tahanan (Leibrich

et. al 1986).

Secara keseluruhannya, kebanyakan aktiviti-aktiviti yang ditugaskan kepada pesalah

dalam perintah khidmat masyarakat ini melibatkan aktiviti pertukangan, perburuhan,

pemuliharaan alam sekitar dan hanya segelintir sahaja yang melibatkan aktiviti kemasyarakatan

seperti yang telah dilaksanakan di England dan Wales. Pada pandangan penulis, kerja-kerja

yang akan ditugaskan kepada pesalah sewajarnya lebih melibatkan aktiviti-aktiviti

kemasyarakatan di samping menilai minat kecenderungan para peserta. Ini adalah kerana,

penglibatan peserta dengan masyarakat ini secara tidak langsung boleh memberi kesan yang

lebih positif kepada pesalah seperti sebagai satu bentuk pemulihan kepada pesalah serta

membina rasa tanggungjawab pesalah untuk membantu anggota masyarakat.

Model Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat

Setelah hampir dua dekad pelaksanaannya, program perintah khidmat masyarakat sering kali

menerima pembaharuan serta pembaikan oleh badan-badan perundangan dan kehakiman negara

tertentu supaya ia sentiasa selari dengan keadaan pesalah dari semasa ke semasa. Pembaikan

dan pembaharuan ini telah menyebabkan lahirnya beberapa model pelaksanaan perintah

khidmat masyarakat ini yang telah diimplementasikan oleh pelbagai negara pada hari ini.

Walaupun ia telah menerima pelbagai pembaharuan dalam pelbagai bentuk model

pelaksanaannya, namun matlamat pelaksanaan ini tetap perlu jelas sama ada untuk memulihkan,

mencegah, membaik pulih atau sebagainya. Model-model pelaksanaan perintah ini boleh dilihat

sama ada sebagai satu-satunya perintah, sebagai perintah tambahan atau sebagai satu perintah

alternatif kepada hukuman lain.

Sebagai contoh, pelaksanaan perintah khidmat masyarakat di Amerika Syarikat pada

asalnya adalah sebagai satu hukuman alternatif kepada hukuman pemenjaraan terhadap pesalah

yang tidak mampu membayar denda atas kesalahan tertentu seperti kesalahan trafik (Maher &

Dufour 1987). Setelah itu, pelaksanaan program ini diperluaskan lagi dalam dua bentuk model

iaitu perintah khidmat masyarakat ini digabungkan dengan perintah lain atau dalam erti kata lain

sebagai perintah tambahan kepada hukuman denda dan pengembalian (restitution). Bentuk yang

kedua adalah sebagai satu-satunya (sole sanction) yang tidak bergabung dengan mana-mana

hukuman lain. Perintah ini kebiasaannya dikenakan bagi kesalahan-kesalahan kecil dan kepada

pesalah-pesalah juvenil (Hudson & Galaway 1990). Seterusnya, setelah beberapa tahun

pelaksanaannya, perintah khidmat masyarakat ini dilihat sebagai sebahagian daripada hukuman

perantaraan (intermediate sanctions). Di antara bentuk hukuman perantaraan ini termasuklah

program penyeliaan intensif, pemantauan elektronik, home confinement, penjara boot camps

dan pusat laporan harian. Hakim-hakim mempunyai pilihan dalam melaksanakan perintah

khidmat masyarakat ini sama ada sebagai satu-satunya perintah seperti syarat kepada percubaan

pembebasan (pre-trial release) dan ganti kepada pendakwaan ataupun dilaksanakan sebagai

syarat kepada sistem parol (Haris & Lo 2011).

Sementara itu, pada asalnya pelaksanaan perintah khidmat masyarakat di England tidak

dilihat sebagai alternatif kepada hukuman pemenjaraan. Walau bagaimanapun, perintah ini

tertakluk kepada permohonan memandangkan garis panduan peruntukan pelaksanaan perintah

ini terletak di bawah bidang kuasa parlimen (Maher & Dufour 1987). Ini adalah kerana perintah

khidmat masyarakat dilihat sebagai satu tawaran alternatif kepada pesalah-pesalah yang hanya

dijatuhkan hukuman tahanan dalam tempoh yang singkat (short custodial sentence) iaitu selama

enam bulan atau kurang daripada itu bagi pesalah dewasa (Spaans 1998). Namun setelah

mengalami beberapa perubahan, perintah ini kemudian dilihat sebagai satu perintah yang boleh

menggantikan tempoh hukuman pemenjaraan dan perintah percubaan atas semua kesalahan

yang boleh dikenakan hukuman pemenjaraan namun ia tertakluk kepada beberapa kriteria

pesalah seperti yang telah digariskan oleh bahagian perintah percubaan (Flacks 2006). Keadaan

yang sama juga berlaku di Canada, pada awalnya ia dilihat sebagai satu hukuman alternatif

kepada pemenjaraan namun pada tahun 1970-an, perintah ini dilaksanakan kepada pesalah-

pesalah yang menjalani perintah percubaan setelah pengurusan pelaksanaan perintah ini

diletakkan di bawah Kementerian Perkhidmatan Tahanan Kanada (Vass & Menzies 1989).

Manakala, pelaksanaan perintah khidmat masyarakat di New Zealand selain daripada

sebagai hukuman alternatif kepada pemenjaraan, ia juga menjadi satu perintah tambahan

kepada hukuman tahanan berkala sama ada yang disediakan kediaman (residential) atau tidak

disediakan kediaman (non-residential). Kebiasaannya hukuman tahanan berkala ini akan

disediakan bersama dengan perintah khidmat komuniti yang menghendaki pesalah untuk

melaporkan diri pada setiap pagi hujung minggu bagi melaksanakan kerja-kerja komuniti

(Leibrich et. al 1986). Perintah khidmat masyarakat juga dilihat sebagai satu hukuman ganti

kepada hukuman denda serta sebagai hukuman tambahan kepada perintah percubaan (Vass &

Menzies 2011).

PROSPEK PERINTAH KHIDMAT MASYAYARAKAT DI MAHKAMAH SYARIAH

MALAYSIA

Hukuman perintah khidmat masyarakat di Malaysia sememangnya telah dilaksanakan oleh

badan-badan perundangan di mahkamah-mahkamah sivil khusus untuk pesalah-pesalah muda

sahaja. Ini dapat dilihat menerusi laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat, maklumat perintah

khidmat masyarakat telah dimuatkan secara terperinci dari aspek pelaksanaannya terhadap

pesalah-pesalah juvenil atau pesalah muda yang terlibat dalam kesalahan-kesalahan jenayah

yang telah diaplikasikan di mahkamah-mahkamah sivil. Sementara itu, di dalam sistem

perundangan jenayah syariah, peruntukan berkaitan hukuman perintah khidmat masyarakat

masih belum diperkenalkan di dalam mana-mana akta atau enakmen jenayah syariah. Walaupun

begitu, terdapat cadangan untuk mengimplementasikan perintah khidmat masyarakat ini sebagai

satu hukuman tambahan di Mahkamah Syariah Malaysia.

Hal ini adalah kerana apabila merujuk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa

Jenayah) (Pindaan) 19841 yang telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya diberi

bidang kuasa jenayah untuk menghukum orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah adalah

penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebat tidak melebihi

enam sebatan atau kombinasi dua atau ketiga-tiga hukuman tersebut. Kesalahan-kesalahan yang

diperuntukkan dalam Akta Jenayah Syariah juga hanyalah berkaitan tentang kesalahan yang

1 Rujuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984.

berhubung dengan akhlak, amalan agama Islam atau kesalahan yang berkaitan dengan

pentadbiran hukum-hukum Islam. Berdasarkan peruntukan tersebut, didapati bahawa

peruntukan-peruntukan ini adalah terlalu kecil skopnya di Mahkamah Syariah dan hanya

berbentuk takzir sahaja (Jasri Jamal 2003). Selain itu, jika ditinjau kembali asas penghukuman

di Mahkamah Syariah, umumnya hukuman yang ditetapkan kepada pesalah-pesalah jenayah

syariah akan didahulukan dengan hukuman denda iaitu hukuman maliyah dan bukannya

hukuman badaniyyah (Abdul Monir 2003). Oleh kerana itu, keadaan ini telah mendorong

hakim-hakim untuk lebih cenderung memilih hukuman denda ini sebagai satu bentuk hukuman

seolah-olah tiada peruntukan lain selain daripada denda (Jasri Jamal 2003). Jika keadaan seperti

ini berlarutan di Mahkamah Syariah, secara tidak langsungnya objektif hukuman dalam Islam

iaitu untuk memberi pencegahan dan pemulihan tidak akan tercapai.

Oleh itu, pendekatan baru harus diambil oleh Mahkamah Syariah dengan melaksanakan

hukuman-hukuman alternatif bagi membendung masalah ini (Siti Zubaidah 2011). Dengan

merujuk kepada peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah2, hakim diberi kuasa budi bicara

dalam memperuntukkan hukuman terhadap pesalah kali pertama, pesalah wanita atas kesalahan

tatasusila, pengakuan salah menafikan rayuan sabitan, mitigasi, pesalah muda atau kanak-kanak,

sabitan terdahulu dan semakan semula di peringkat rayuan. Kesan daripada itu, hakim boleh

menggunakan budi bicaranya untuk meringankan hukuman yang sedia ada ataupun

menggantikan dengan hukuman yang lebih ringan seperti mengeluarkan perintah berkelakuan

baik atau menghantar pesalah ke pusat pemulihan untuk menjalani kerja-kerja kebajikan di

samping untuk memperbaiki akhlak mereka. Kerja-kerja kebajikan yang dimaksudkan ialah

kerja-kerja khidmat masyarakat atau dalam bahasa perundangannya disebut sebagai perintah

khidmat masyarakat

2 Rujuk Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Seksyen 128, Seksyen 129).

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, artikel ini telah membincangkan tentang pelaksanaan perintah khidmat

masyarakat sebagai satu bentuk hukuman dari sudut teoritikal serta dari sudut kerangka

perundangannya. Dari aspek teoritikal, penulisan ini telah membincangkan perbahasan-

perbahasan sarjana tentang definisi perintah khidmat masyarakat, sejarah pelaksanaan, objektif

hukuman, teori-teori dasar perintah khidmat masyarakat dan kesan pelaksanaan perintah

khidmat masyarakat ini. Teori dasar dan kesan pelaksanaan perintah ini dilihat banyak

perbezaan pendapat di kalangan sarjana sehingga menimbulkan percanggahan di antara pro dan

kontra untuk melaksanakan perintah ini sebagai satu hukuman alternatif. Manakala dari aspek

kerangka perundangan, penulisan ini telah membincangkan tentang kredibiliti pesalah yang

layak menjalani perintah ini, tempoh pelaksanaan perintah, aktiviti-aktiviti program, pihak yang

bertanggungjawab mengendalikan program serta bentuk-bentuk model pelaksanaan perintah ini.

Perbincangan ini telah memetik beberapa pengalaman di beberapa buah negara yang telah

mengimplementasikan perintah ini.

Hasil daripada kajian-kajian sarjana Barat, ramai daripada kalangan mereka yang

menyokong pelaksanaan perintah khidmat masyarakat ini. Ini adalah kerana hasil daripada

kajian mereka telah membuktikan bahawa perintah khidmat masyarakat dilihat mampu memberi

implikasi yang positif bukan sahaja terhadap pesalah, malah terhadap masyarakat dan institusi

kehakiman. Ini telah dibuktikan menerusi pengalaman-pengalaman pelaksanaan perintah ini di

beberapa buah negara.

RUJUKAN

Allen G.F & Treger. H. 1990. Community service order in federal probation: Perception of probationers and host agencies. Federal Probation 54: 8-14

Baer, B. F. 1991. When prison isn’t punishment enough: The effective use of home incarceration, community service, curfew parole, and substance abuse testing. Criminal Justice 6: 3–8.

Bazemore, G., & Maloney, D. 1994. Rehabilitating community service toward restorative service sanctions in a balanced justice system. Federal Probation 58: 24–35.

Brennan, B. Y. T. P., & Mason, L. 1983. Community service: a developing concept. Federal Probation 47: 49–57.

Brown, B. 1977. Community service as a condition of probation. Federal Probation 54(41):7-9.

Carter, R.M., Cocks, J., Glaser, D. 1987. Community service: A review of the basic issues. Federal Probation 51(1): 4-10.

Duff, R. A. 2003. Penance, punishment and the limits of community. Punishment & Society 5 (3): 295–312.

Flacks, M. 2006. Combining retribution and reconciliation: The role of community sentencing in transitional justice. Interdisciplinary Journal of Human Rights Law 1(1): 1-26.

Haris, R.J. & Lo, T.W. 2011. Community service: Its use in criminal Justice. International Journal of Offender Therapy and Comparative Criminology 46(4): 427-444.

Hudson, J. & Galaway, B. 1990. Community service: Toward program definition. Federal Probation 54(2): 3-9.

Hurd, J.L.& Miller, K.D. 1981. Community service: What, why, and how. Federal Probation 45(4): 39-41.

Leibrich, J., Galaway, B., Underhill, Y. 1986. Community service sentencing in New Zealand: A survey of users. Federal Probation 50(1): 55-64.

MacDonald

Maher R. J & Dufour H.E. 1987. Experimenting with community service: A punitive alternative to imprisonment. Federal Probation 51: 22-27

Pease, K. 1985. Community service orders. Crime and Justice: An Annual Review ofResearch 6: 51-94.

Perrier, D.C. & Pink, F.S. 1985. Community service: All things to all people. Federal Probation 49(2): 32-38.

Probation Division, A. O. of the U. S. C. 1989. Implementing community service: the referral process. Federal Probation 53: 2–9.

Reddy, B. 1991. Community service order: An alternative sentence. Singapore Academy of Law Journal 3 (2): 230-237.

Skeen, A ST Q. 1988. Community service order. South Africa Criminal Journal (SACJ) 2: 206-237.

Spaans, E.C. 1998. Community service in the Netherlands: Its effect of recidivism and net-widening. International Criminal Justice Review 8: 1-14.

Stortini, R. 1978. Community service orders. Criminal Law Quarterly 21: 503–507.

Umbreit, M. S. 1981. Community service sentencing: Jail alternative or added sanction? Federal Probation 45: 3–14.

Vas, A.A & Menzies, K. 1989. Community service order as a public and private enterprise: A comporative account of practice in England and Ontario, Canada. Britain Journal Criminal 29 (3): 255-272.

Walgrave, L. & Guedens, H. 1996. The restorative proportionality of community service for juveniles. European Journal of Crime, Criminal Law and Criminal Justice 4: 361-380.

(1)