peningkatan kes jenayah juvana membimbangkan

3

Click here to load reader

Upload: aishahbintialamudin

Post on 14-Dec-2015

83 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Petikan akhbar berita harian berkaitan isu jenayah juvana

TRANSCRIPT

Peningkatan kes jenayah juvana membimbangkanJohan Jaaffar2014/05/04Tan Sri Lee Lam Thye berhak berasa kecewa. Sebagai Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), beliau melihat kes jenayah membabitkan juvana bertambah daripada tahun ke tahun. Beliau mengesan trend yang semakin membimbangkan.

Menurut statistik, pada tahun lalu terdapat 7,816 kes jenayah juvana. Lebih merisaukan lagi ialah kes yang membabitkan pelajar sekolah. Tahun lalu menyaksikan 1,632 kes yang membabitkan golongan ini berbanding dengan 1,042 kes tahun sebelumnya. Itu merupakan peningkatan lebih 57 peratus.

Pada tahun lalu juga terdapat peningkatan sebanyak 47 peratus kes membabitkan remaja di antara umur 12 hingga 17 tahun. Kes jenayah berat atau ganas di kalangan mereka yang berada pada usia persekolahan juga meningkat 542 kes tahun lalu berbanding 368 kes tahun sebelumnya.

Bagi remaja yang bukan berada pada usia persekolahan pula angka jenayah berat meningkat 137 peratus menjadi 2,011 kes pada tahun 2013 berbanding 849 kes tahun sebelumnya. Ada di antara mereka yang terbabit dalam kes bunuh dan rogol.

Beliau juga kesal bahawa terdapat mereka yang berusia semuda 12 tahun yang terbabit dalam kegiatan jenayah termasuk dadah, judi dan pelbagai pesakit sosial.

Angka-angka ini tidak boleh dipandang ringan. Ini isu yang membabitkan semua pihak dari sekolah, ibu bapa, masyarakat, pihak polis, juga orang ramai. Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya sesuatu tidak dilakukan dengan segera.

Lee mahukan bukan sahaja dicari jawapan pada masalah itu tetapi penyelesaian yang jelas dan tuntas.

Dinamisme masyarakat telah berubah

Hakikatnya ialah dinamisme masyarakat telah berubah. Ini sesuai dengan keadaan perubahan yang berlaku secara drastik di dunia. Dunia menjadi semakin kecil. Langit terbuka memberikan ruang untuk pelbagai pengaruh positif dan negatif. Dunia siber telah mencorakkan cara kita berkomunikasi malah bermasyarakat. Tiada siapa yang boleh mengawal apa yang dibaca atau dilihat oleh anak-anak di dunia siber termasuk keganasan dan pornografi.

Sistem nilai dalam masyarakat tradisional yang selama ini dianggap luluhur tidak lagi penting. Masyarakat tidak lagi disatukan oleh nilai bersama. Sistem sosial menjadi kelam kabut. Peraturan yang menjadi sebahagian proses sosialisasi yang penting tidak lagi penting. Apa yang dianggap sebagai sanction sebagai proses kawalan sosial tidak lagi diutamakan. Ikatan masyarakat semakin longgar dan terungkai.

Hal ini ditambah dengan tekanan hidup ibu bapa. Banyak yang harus bertarung untuk survival. Mereka tidak ada masa untuk mendekati anak-anak. Ruang untuk berkomunikasi sesama seisi rumah amat terbatas. Anak-anak pulang ke rumah yang kosong kerana ibu bapa bekerja. Soal disiplin diserahkan pada sekolah.

Sekolah juga tidak dapat menampung semua tuntutan yang diharapkan oleh masyarakat dan ibu bapa. Ada batasan bagi kemampuan sekolah bagi mendisiplinkan pelajar. Malah bagi sesetengah pelajar, disiplin hanya dalam ruang dan pagar sekolah. Di luar sekolah mereka mengisytiharkan kebebasan dari disiplin.

Sistem sekolah kita terlalu menekankan prestasi peperiksaan dan sekaligus meminggirkan mereka yang kurang baik daripada segi pencapaian akademik. Ada di antara mereka yang berasa mereka sengaja disisih kerana kelemahan mereka. Ada pula yang dipengaruhi oleh persekitaran yang kurang baik.

Ada pandangan yang mengatakan agama atau kepercayaan boleh menyelesaikan banyak masalah sosial. Memang agama mengajar yang terbaik. Tetapi nilai agama juga belum tentu dapat dihayati oleh semua. Pendekatan pimpinan agama juga perlu diubah bagi menangani gejala baharu ini.

Peranan ibu bapa, penjaga

Kita boleh mencari seribu satu alasan untuk mewajarkan fenomena jenayah juvana yang meningkat ini. Perdebatannya boleh jadi panjang dan akademik. Tetapi satu hal tidak dapat dinafikan: Peranan ibu bapa dan penjaga. Anak-anak perlukan didikan, tugas ibu bapa bukan sekadar memberi makan dan pakai, tapi turut membentuk peribadi anak-anak.

Moral ceritanya ialah ibu bapa dan penjaga harus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mendekati anak-anak ini. Mereka ibarat buluh yang perlu dibentuk dari rebung. Masa berkualiti yang diperuntukkan kepada anak-anak sahaja tidak cukup. Mereka perlukan bimbingan dan didikan sepanjang masa usia pembentukan mereka.

Lee mengingatkan semua pihak tentang pentingnya pemimpin, ibu bapa, para guru dan orang dewasa menunjukkan contoh yang baik. Akhlak dan kelakuan mereka sepatutnya boleh diteladani. Mereka harus menunjukkan contoh yang baik dengan menghormati undang-undang dan menghargai sesama manusia.

Jangan sampai kita menjadi ketam yang cuba menyuruh anak berjalan betul.

Hak Cipta Terpelihara Berita Harian 2012Emelkami untuk sebarang maklum balas.