pantun melayu

16
PANTUN MELAYU: MENELUSURI WAJAH DIRINYA Oleh: Azmi Rahman Pengenalan Satu daripada genre puisi yang popular dalam tradisi lisan orang Melayu ialah pantun Melayu. Malahan tradisi berpantun masih hidup subur dan dikembangkan melalui sayembara mengarang pantun dan pesta berbalas pantun yang dianjurkan sama ada di peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi, negeri, nasional atau antarabangsa . Ada pula pantun Melayu baru yang mengungkapkan tema dan isu semasa diterbitkan, misalnya 808 Pantun Baru (Khadijah Hashim, 1997), dan 1001 Pantun Baru (Khadijah Hashim, 1999). Pantun-pantun yang diungkapkan kini ada yang bertujuan untuk bersuka-sukaan sahaja tanpa memikirkan aspek keindahannya dan ada yang mengambil kira kedua-dua aspek tersebut. Namun begitu, makalah ini akan mendekati wajah diri pantun; makna pantun, asal penciptaan pantun, ciri umum, dan jenis pantun Melayu. Pengetahuan tentang wajah diri pantun Melayu akan membantu peminat, pengkaji dan pencipta menyelami wajah diri luaran dan dalaman pantun. Makna Pantun Dalam kesusasteraan Melayu, pantun, syair, seloka, gurindam dan sajak dikelompokkan dalam genre puisi. Kata puisi itu pula berasal daripada bahasa Belanda iaitupoezie. Ia bererti bentuk pantun dan syair, serta pancaran perasaan dan fikiran (Harun Aminurrashid, 1968, hal. 1). Manakala Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu (1965, hal. 218) pernah menulis bahawa puisi itu juga disebut ’karangan berangkap’.

Upload: osman-hj-mohamed

Post on 19-Jan-2016

38 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: PANTUN MELAYU

PANTUN MELAYU: MENELUSURI WAJAH DIRINYA

 

Oleh: Azmi Rahman 

 

Pengenalan

            Satu daripada genre puisi yang popular dalam tradisi lisan orang Melayu ialah pantun Melayu. Malahan tradisi berpantun masih hidup subur dan dikembangkan melalui sayembara mengarang pantun dan pesta berbalas pantun yang dianjurkan sama ada di peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi, negeri, nasional atau antarabangsa . Ada pula pantun Melayu baru yang mengungkapkan tema dan isu semasa diterbitkan, misalnya 808 Pantun Baru (Khadijah Hashim, 1997), dan 1001 Pantun Baru (Khadijah Hashim, 1999). Pantun-pantun yang diungkapkan kini ada yang bertujuan  untuk bersuka-sukaan sahaja tanpa memikirkan aspek keindahannya dan ada yang mengambil kira kedua-dua aspek tersebut. Namun begitu, makalah ini akan mendekati wajah diri pantun; makna pantun, asal penciptaan pantun, ciri umum, dan jenis pantun Melayu. Pengetahuan tentang wajah diri pantun Melayu akan membantu peminat, pengkaji dan pencipta menyelami wajah diri luaran dan dalaman pantun.

 

Makna Pantun

            Dalam kesusasteraan Melayu, pantun, syair, seloka, gurindam dan sajak dikelompokkan dalam genre puisi. Kata puisi itu pula berasal daripada bahasa Belanda iaitupoezie. Ia bererti bentuk pantun dan syair, serta pancaran perasaan dan fikiran (Harun Aminurrashid, 1968, hal. 1). Manakala Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu (1965, hal. 218) pernah menulis bahawa puisi itu juga disebut ’karangan berangkap’.

            “Dalam Bahasa Melayu adalah beberapa macam Karangan Berangkap itu dinamakan pantun, syair, bait, gurindam, dan seloka iaitu mengikut masing-masing sifatnya dan jalan rangkapnya. Di antara lima itu pantun dan syair itulah yang lebih mashyur dan selalu dibuat orang”

            R. J. Wilkinson dan R. O. Winstedt, dalam Pantun Melayu (1961, hal. 111) pula menegaskan pantun kuat hubungannya dengan hati nurani dan fikiran orang Melayu. Melalui pantun kita dapat mengenali peribadi orang Melayu. Mereka menyatakan bahawa:

Page 2: PANTUN MELAYU

            “Orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar.” 

            Kata pantun terdapat dalam berbagai-bagai bahasa di Nusantara, misalnya, “tuntun” (bahasa Pampanga), “tonton” (bahasa Tagalog, Filipina), “tuntun”, “atuntun”, “matuntun” (bahasa Jawa Kuno) dan “pantun” (bahasa Toba) di Sumatera (Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985, hal. vi). R. Brandstetter, ahli bahasa Swiss berpendapat bahawa akar kata pantun ialah “tun”.

            “tuntun” bererti teratur.

            “tonton” bererti bercakap secara teratur.

          “tuntun”, “atuntun”, “matuntun” bererti benang, teratur, memimpin.

           “pantun” bererti kesopanan, kehormatan.

 

            Makna kata pantun yang diberikan ini semuanya menjurus kepada “satu yang teratur sama ada ucapan, pimpinan, didikan, atau kesopanan” (Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985, hal. vi). Jika diteliti, sifat pantun memang rapi susunannya dengan memancarkan ketelitian pencipta yang mencipta pantun Melayu.

            Dalam bahasa sastera lama, kata pantun membawa erti:

a.                   seperti atau umpama

b.                  peribahasa

c.                   bentuk puisi lama (pantun)

Misalnya

a.                   Kami sepantun anak tiram,

Kasihan ombak maka mandi;

(sepantun bererti seumpama atau seperti)         

b.                  Seperti kata sepantun Melayu,

Dititik belah, dipalu belah,

Tembikar juga akan sudahnya.

Page 3: PANTUN MELAYU

c.                   Maka Hang Jebat dan Hang Kasturi pun berpantun demikian bunyinya:

Hang Jebat Hang Kasturi,

           Budak-budak Raja Melaka;

Jika hendak jangan dicuri,

  Mari kita bertentang mata.

 

Omardin Haji Asha’ari (1961, hal. 3) pula menyimpulkan bahawa pantun  ialah karangan berangkap. Dan karangan itu pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu sampiran dan maksud. Pantun-pantun berikut menjelaskan penyataan tersebut.

 

        a)      Sebab dulang kayu serpih,

        b)      Mengata orang awak yang lebih.

        a)      Tak tumbuh tak melata,

b)                  Tak sungguh orang tak kata.

        a)      Sudah gaharu cendana pula,

b)                  Sudah tahu bertanya pula.

 

Baris (a) dalam pantun dua kerat di atas disebut sampiran atau pembayang. Maksud pula terlihat dalam baris (b) setiap pantun di atas.

 

        a)      Sorong papan, tarik papan,

b)                                Papan kemudi dalam perahu;

c)                  Suruh makan saya makan,

d)                                Suruh  mengaji saya tak tahu.

 

Page 4: PANTUN MELAYU

        a)      Yang kurik kundi,

b)                        Yang merah saga;

c)                  Yang baik budi,

d)                        Yang indah Bahasa.

        a)      Nasi lemak buah bidara,

b)                       Sayang selasih saya lurutkan;

c)                  Buang emak buang saudara,

d)                       Sebab kasih saya turutkan.

 

Baris a dan b bagi setiap pantun empat kerat di atas, dinamakan sampiran atau pembayang Manakala baris c dan d pula dinamakan maksud pantun. Pada dasarnya pantun terbina oleh empat baris sestanza. Setiap  baris pula umumnya mempunyai empat kata dengan rima hujung barisnya dikesan abab. Kadangkala terdapat pantun yang mempunyai rima dalaman.

“The most striking characteristic of the pantun, however, is the relationship between the first and the second complete. By its sound and / or its significance. Symbolic or ortherwise the first complete alludes to the second pair of lines in which the posts meaning is clearly revealed. It is largely this relationship between the two halves of the stanza which has stimulated the interest of researchers and translator” (A. Teeuw, 1965).

Dalam kata pengantar, Shair Ken Tambuhan, A, Teeuw (1966 : viiii), menyatakan bahawa “hanya ada dua jenis puisi Melayu yang umum diketahui dan digemari dalam seluruh dunia Melayu, iaitu pantun dan syair”.Pantun ialah puisi rakyat yang terbina dalam sebuah untaian yang ringkas, biasanya empat baris, memberi kesatuan bentuk dan makna yang bulat. Sifatnya yang terpenting ialah hubungan istimewa antara bait pertama dan bait kedua; bait pertama umumnya tidak mustahak kerana ertinya yang nyatakan, tetapi harus difahami. Sebagai pembayangan bait yang kedua, baik kerana bunyinya, mahupun kerana ertinya, perlambangan dan lain-lain. Dengan kata lain pantun bersifat sindiran. Pantun tercipta untuk semua golongan tanpa mengira batas usia kanak-kanak, orang muda, dan orang tua (dewasa).

 

Page 5: PANTUN MELAYU

Asal Penciptaan Pantun Melayu

            Suatu karya tradisi masyarakat itu seharusnya mempunyai penciptaan. Begitu jugalah dengan pantun Melayu. Dalam membongkar dan mengesan persoalan ini, para sarjana Barat dan Melayu telah mengemukakan pendapat masing-masing. Misalnya, Van Ophuijsen berpendapat bahawa orang Mandailing di Sumatera, Indonesia yang menggunakan daun-daun sebagai lambang (simbol) untuk menyatakan perasaan hati. Pendapat Van Ophuijsen ini ditolak oleh Wilkinson (dalam Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985, hal. vi).

            Wilkinson dan Wintedt (1961) berpendapat bahawa kelahiran pantun adalah daripada kebiasaan masyarakat Melayu menggunakan bahasa berirama atau bersajak. Tradisi atau kebiasaan itu berkembang secara lisan, sebelum dipindah kepada bentuk pantun sedia ada. Wilkinson melahirkan pendapatnya berdasarkan masyarakat yang umum. Beliau tidak merujuk kepada mana-mana masyarakat Melayu seperti yang disuarakan oleh Van Ophuijsen dan R. Hoessein Djadjaningrat (1933/34, hal. 16).

            Mengikut Za’ba,  pantun tercipta berdasarkan sesuatu peristiwa seharian, misalnya peristiwa pertemuan dua sahabat karib di tepi ladang atau sawah. Kebetulan rumput di sawah lebih tinggi daripada padi.

Pertanyaan :      Dari mana hendak ke mana?

Jawapan     :    Hendak melihat sawah. Rumput lebih tinggi   daripada padi.

 

 

Maka terciptalah pantun:   

       

Dari mana hendak ke mana,

     Tinggi rumput dari padi;

Hari mana bulan yang mana,

     Dapat kita bertemu lagi.

 

Ciri-ciri Pantun Melayu

Page 6: PANTUN MELAYU

            Masyarakat Melayu di Nusantara memiliki banyak warisan kebudayaan dan sastera yang menjadi kebanggaan zaman berzaman. Meskipun begitu, para sarjana kesusasteraan Melayu klasik berpendapat bahawa pantun menjadi kepunyaan dan hasil ciptaan asli orang Melayu. Kajian oleh Harun Mat Piah (1981) dengan melihat  perbandingan pendapat sarjana-sarjana Barat, misalnya Winstedt, A. Teeuw dan Overbeck menyimpulkan bahawa tiada unsur dan aktiviti penyaduran dalam pantun Melayu. Genre sastera Melayu klasik/ tradisional selain pantun, misalnya syair, mantera, dan gurindam terdapat unsur-unsur saduran.

            Ciri-ciri umum yang dimiliki oleh pantun Melayu itu cukup unik dan membezakannya daripada genre sastera yang lain. Ciri-ciri tersendiri pantun yang dimaksudkan ialah:

(a)            Memiliki rangkap-rangkap yang berasingan.

(b)             Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris atau kerat-kerat, misalnya pantun dua kerat, pantun empat kerat, enam kerat, lapan kerat, sepuluh kerat, dua belas kerat, enam belas kerat dan pantun berkait (Lihat contoh dalam Lampiran B).

(c)              Jumlah suku kata dalam setiap baris antara lapan hingga sepuluh.

(d)               Setiap rangkap ada bahagian  pembayang (sampiran) dan bahagian maksud..

(e)               Skima rima hujung baris  a, b, a, b.

(f)                Setiap rangkap pantun memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna.

(g)                Pantun memiliki lambang atau simbol yang sesuai dengan norma dan nilai (tatasusila) masyarakat setempat.

(h)                Terdapat hubungan makna antara pembayang atau sampiran dengan bahagian maksud pantun.  (Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985, hal. viii).

 

Berhubung dengan ciri terakhir itu, timbul polemik di kalangan sarjana atau pengkaji pantun. Persoalan ini pernah ditimbulkan oleh Van Ophuijsen

Page 7: PANTUN MELAYU

(1984, hal. 9-10) dalam satu pidatonya tentang pantun Melayu. Pantun berikut dijadikan contoh perbincangan.

 

             Belayar ke Pulau Bekal,

                 Bawa siraut dua tiga;

             Kalau kail panjang sejengkal,

                 Jangan laut hendak diduga.

 

            Sepintas lalu apabila pantun di atas dibaca, kita akan terasa begitu ganjil. Maksud pantun itu cukup jelas dan mudah difahami oleh pendengar atau pembaca. Tetapi persoalannya, apakah kaitannya antara sampiran dengan maksud pantun itu? Ternyata sampiran tidak mempunyai kaitan makna dengan maksud. Pembayang atau sampiran dicipta hanya sekadar untuk menyesuaikannya dengan maksud pantun itu.

            Manakala Pijnappel (dipetik dalam Harun Mat Piah, 1989, hal. 138) pula cuba mencari perhubungan antara sampiran dengan maksud pantun. Pada pandangannya, bahagian sampiran pantun seolah-olah kiasan, lukisan atau gambaran sesuatu yang dinyatakan oleh bahagian maksud. Contoh pantun yang diberikan olehnya ialah:

 

                   Telur itik dari Sanggora,

                      Pandan terletak dilangkahi;

                   Darahnya titik di Singapura,

                      Badannya terlantar di Langkawi.

 

            Pijnappel mentafsirkan pengertian pantun itu begini: Sanggora merupakan sebuah kerajaan yang terletak di Siam.  Telur itik itu dinyatakan berasal daripada Sanggora. Kemudian dinyatakan  pula ialah (p) Pandan terletak terlalu berdekatan sehingga boleh dilangkahi/diseberangi. Jika difahami demikian, ternyatalah bahawa peristiwa pembunuhan itu terjadi di Singapura. Tetapi kuburnya terletak jauh dari tempat dia dibunuh iaitu di

Page 8: PANTUN MELAYU

Langkawi. Isi pantun ini merujuk kepada peristiwa pembunuhan Jana Khatib dalam cetera 10, Sejarah Melayu (Shellabear, 1983). Dalam teks tersebut diceritakan bahawa Seri Maharaja murka apabila Jana Khatib yang memiliki ilmu tinggi; dengan melihat pokok pinang terbelah dua pokok itu. Jana Khatib diperintah supaya dibunuh. Darahnya menitik di Singapura, kemudian dia ghaib dan dikatakan jasadnya disemadikan di Langkawi. Jika diteliti dari segi kedudukan geografi, Pulau Langkawi terletak di utara Semenanjung Malaysia (di Kedah), manakala Singapura pula terletak di selatan Semenanjung Malaysia. Manakala Sanggora dan Pandan itu letaknya juga terletak berjauhan.

            Dalam hal ini, memang timbul kerumitan untuk mencari perhubungan antara sampiran dengan maksud pantun itu. Justeru kerumitan itulah, Van Ophuijsen (1984, hal. 10) pernah menyuarakan pendapatnya.

            “Pada hemat saya mencari perhubungan kedua bagian pantun itu tiadalah akan faedahnya. Barangkali terdapat dengan beberapa daya upaya kita boleh mencari perhubungan kedua-dua bahagian yang termakan oleh akal tetapi perhubungan itu tiadalah sengaja membuatnya”.

Untuk lebih jelas, perhatikan pantun-pantun berikut:

 

Jenderal majlis mati di Bali,

                        Berkubur di tanah lapang;

                  Apa diharap kepada kami,         

                        Emas tiada bangsa pun kurang.

 

                   Satu, dua, tiga, enam,

                         Enam dan satu jadi tujuh;

                   Buah delima yang ditanam,

                         Buah berangan yang tumbuh.

 

Dalam pantun di atas yang jelas ialah hubungan bunyi atau rima sahaja. Hubungan semantik bukan semuanya ada pada pantun.  Hooykaas

Page 9: PANTUN MELAYU

menyatakan “Mungkin ada pantun yang tak ada hubungan antara kedua pasangannya tapi hubungan ini pasti ada pantun yang baik”.

 

Penjenisan Pantun

            Dalam Kumpulan Pantun Melayu (Zainal Abidin Bakar, 1983, hal. 23-31), dinyatakan secara mudah bahawa pantun dapat dibahagikan kepada tiga jenis jika dilihat dari sudut audien/ khalayak, sudut bentuk, dan  sudut tema (persoalan).

 

Dari sudut khalayak

            Khalayak pantun adalah mengikut peringkat usia. Tiga jenis khalayak yang dimaksudkan ialah:

a.                   Kanak-kanak

b.                  Orang muda

c.                   Orang tua

 

Contoh pantun bagi penjenisan berkenaan adalah:

a.                   Anak rusa Nani,

Baharu kembang ekor;

Apa dosa kami,

Lalu tidak tegur.

b.                  Kapal belayar dari Jedah,

Hendak menuju ke negeri China;

Siang malam berhati gundah,

Hendak memetik setangkai bunga.

c.                   Ke hulu memotong pagar,

Page 10: PANTUN MELAYU

Jangan terpotong batang durian;

                             Cari guru tempat belajar,

                         Supaya jangan sesat kemudian.

 

Dari sudut bentuk

Dari sudut bentuk, pantun terbahagi kepada lapan bentuk iaitu;

a.                   Pantun empat baris (dikenali juga pantun     kwatrain).

b.                  Pantun enam baris.

c.                   Pantun dua baris (dikenali juga pantun kilat).

d.                  Pantun lapan baris.

e.                   Pantun sepuluh baris.

f.                    Pantun dua belas baris.

g.                   Pantun empat belas baris, dan

h.                   Pantun enam belas baris.

 

Secara mudah, pantun terbahagi kepada 4 bentuk iaitu;

a.                   Pantun dua baris

b.                  Pantun empat baris

c.                   Pantun lebih dari empat baris

d.                  Pantun berkait

 

Dari segi bentuk , Za’ba (1965, hal. 211-213) berpendapat bahawa pada peringkat awal penciptaan pantun, tercipta jenis pantun dua baris sahaja. Hal ini mugkin disebabkan oleh jenis yang juga disebut pantun kilat

Page 11: PANTUN MELAYU

mudah dicipta dan cepat diterima oleh khalayak pada zaman dahulu. Kemudian baharulah perubahan waktu yang menjadikan pantun-pantun itu dibina oleh banyak baris yang lebih kompleks sifatnya. Perubahan pemikiran dan budaya masyarakat pada waktu itu  kuat mencorakwarnakan isi dan bentuk pantun.

Untuk membuktikan yang kemungkinan bentuk pantun terawal hanya terdiri dari dua baris, kemudian pantun itu berkembang menjadi empat baris, kita perhatikan contoh pantun berikut:

 

Timang tinggi-tinggi sampai cucur atap,

Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab.

 

Dalam bentuk empat keratnya begini:

 

                        Timang tinggi-tinggi,

                            Sampai cucur atap;

                        Belum tumbuh gigi,

                            Sudah pandai baca kitab.

 

            Pada pendapat saya, bukan semua pantun terutamanya pantun empat kerat asalnya terbina oleh dua baris atau pantun dua kerat. Contoh pantun yang dikemukakan oleh Za’ba didapati boleh berkembang dan dibina sama ada menjadi pantun dua kerat atau empat kerat.

 

Dari Sudut Tema

 

            Dari sudut tema dalam pantun Melayu, ia terbahagi kepada

 

Page 12: PANTUN MELAYU

Manakala Harun Aminurrashid dalam bukunya Kajian Puisi Melayu (1968, hal. 13) membahagikan pantun kepada lima (5) jenis:

1.                  Pantun untuk kanak-kanak.

2.                  Pantun untuk orang muda.

3.                  Pantun untuk orang tua

4.                  Pantun untuk berjenaka.

5.                  Pantun untuk teka-teki.

 

Wajah Diri Pantun yang Baik dan Cantik

            Mendekati dan menyelami wajah diri pantun Melayu, menemukan kita dengan pelbagai wajah dirinya; dari segi bentuk, bahasa tersurat dan tersirat, yang baik dan cantik, serta yang bertahan sepanjang zaman.  Berdasarkan penelitian, terhadap pantun Melayu dalam pelbagai koleksi yang diterbitkan, terkesan di minda wajah diri pantun yang unik dan tersendiri. Wajah diri pantun yang terhasil menyerlahkan jati diri dan peribadi/ minda Melayu. Meskipun pantun terbina dalam dunia bentuknya yang kecil, namun pemikirannya besar dan bernilai, misalnya pemikiran budi dan bahasa Melayu.

            Sebelum mendekati dan menyelami wajah diri pantun Melayu, kita hendaklah memahami dunia pantun terlebih dahulu, misalnya makna pantun, asal usulnya, ciri-ciri pantun, jenis-jenis pantun dan unsur binaan dalaman pantun Melayu.  Pada pandangan saya, pantun Melayu yang baik dan cantik seharusnya mempunyai lapan ciri seperti yang dikemukakan dalam makalah ini. Jika pantun dipersembahkan dalam bentuk tulisan, akan lebih jelas dari segi bentuk fizikal dan bentuk dalamannya. Namun begitu, jika pantun dipersembahkan dalam bentuk lisan, audien (pendengar) akan lebih berhati-hati menangkap makna, dan memahami terutamanya aspek penggunaan bahasa tersurat dan tersirat yang digunakan oleh pemantun. Seharusnya pemantun memahami setiap simbol/ lambang atau citra yang digunakan sama ada di bahagian sampiran dan maksud.

            Dalam dunia pantun Melayu, setiap penggunaan simbol dan citra atau imej, jika diteliti ada makna tersurat, dan lebih jauh dari itu ialah makna tersirat yang tersembunyi di sebalik kata-kata. Pencipta pantun Melayu tradisional bukan sekadar mencipta tetapi mereka ingin melontarkan fikir rasa dan berkongsi idea dan pengalaman. Dunia pantun adalah dunia Melayu yang hampir dengan reality kehidupan Melayu. Perkara lain yang perlu diberi

Page 13: PANTUN MELAYU

tumpuan ialah kesatuan fikiran antara baris pembayang dan baris maksud. Sekali imbas, dunia pembayang dan dunia maksud nampak terpisah tetapi dalam dunia yang kecil, kedua-dua dunia ini bersatu. Pantun yang berwajah beginilah yang dikatakan yang baik dan cantik. Selain itu, pemantun dengan kebijaksanaannya memerdukan pantun dengan unsur bunyi pada skima rima baris awal, tengah dan hujung baris.

 

Rumusan

    Makalah ini telah menjelaskan tentang makna pantun, asal usul pantun, jenis dan bentuk pantun, ciri-ciri pantun Melayu , dan yang baik dan cantik bagi pantun Melayu. Berdasarkan subtopik yang dibicarakan dapatlah dirumuskan bahawa pantun merupakan genre puisi Melayu tradisional yang unik dan tersendiri dari aspek bentuk fizikal dan dalamannya yang tiada terjelma pada genre puisi sastera dunia lain. Fungsi pantun Melayu tetap utuh sebagai wahana modal moral, hiburan, menyerlahkan kreativiti

dan kini dipertandingkan di peringkat sekolah, negeri, nasional dan internasional.