vodppl.upm.edu.myvodppl.upm.edu.my/uploads/docs/contoh makalahbahasa... · web viewpada peringkat...

23
CONTOH MAKALAH INDIVIDU BAHASA WAHANA PEMIKIRAN oleh Che Ibrahim Salleh, PhD Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Abstrak Bahasa dan pemikiran amat erat hubungannya, rumit dan abstrak serta tidak dapat dipisahkan. Bahasa menjadi wahana pemikiran dan perasaan yang paling ampuh. Hal ini diperjelas oleh analisis dari aspek hubungan situasi, hubungan lingkungan, hubungan pelbagai situasi (peribahasa, sinonim, antonim, hiponim, polisem, homonim, bahasa kiasan, bahasa terbalik, teka-teki, dan penterjemahan), hubungan waktu, hubungan tempat dan hubungan tanggapan indera. Pengenalan Hubungan antara bahasa dengan pemikiran amat abstrak dan rumit. Setiap konsep (gambaran mental daripada objek, proses atau apa- apa pun yang ada di luar bahasa, yang digunakan oleh akal budi untuk memahami hal lain) yang kita bina terbentuk daripada pengalaman, idea, hubungan dan proses. Semua elemen inilah yang telah membentuk pengetahuan duniawi kita. Mengikut kajian Psikolinguistik, bahasa luaran ialah bentuk bahasa yang tidak sempurna kerana bentuk bahasa luaran itu telah dijelmakan daripada bentuk bahasa dalaman/nurani. Fungsi utama bahasa luaran ialah untuk menyampaikan idea dan hasrat hati kita kepada orang lain. Ada waktunya kita tidak dapat menyampaikan idea dan hasrat hati sepenuhnya kerana tiada kata untuk menyampaikan idea dan hasrat hati itu dengan tepat. Walau bagaimanapun, setakat ini semua manusia mengakui bahawa tiada kata secantik bahasa”. Ini menunjukkan bahawa proses berbahasa itu berjalan dengan baik. Oleh sebab proses berbahasa itu bersifat dua hala, maka berlakulah pertukaran fungsi antara penutur dengan pendengar. Seorang penutur kemudiannya akan menjadi pendengar, dan seorang pendengar kemudiannya menjadi penutur. Demikianlah proses pertuturan itu terjadi secara silih berganti, yang secara teorinya berlaku dalam waktu yang singkat dan cepat. 1

Upload: dodieu

Post on 08-Jun-2019

229 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

CONTOH MAKALAH INDIVIDU

BAHASA WAHANA PEMIKIRAN

olehChe Ibrahim Salleh, PhD

Fakulti Bahasa Moden dan KomunikasiUniversiti Putra Malaysia

Abstrak

Bahasa dan pemikiran amat erat hubungannya, rumit dan abstrak serta tidak dapat dipisahkan. Bahasa menjadi wahana pemikiran dan perasaan yang paling ampuh. Hal ini diperjelas oleh analisis dari aspek hubungan situasi, hubungan lingkungan, hubungan pelbagai situasi (peribahasa, sinonim, antonim, hiponim, polisem, homonim, bahasa kiasan, bahasa terbalik, teka-teki, dan penterjemahan), hubungan waktu, hubungan tempat dan hubungan tanggapan indera.

Pengenalan

Hubungan antara bahasa dengan pemikiran amat abstrak dan rumit. Setiap konsep (gambaran mental daripada objek, proses atau apa-apa pun yang ada di luar bahasa, yang digunakan oleh akal budi untuk memahami hal lain) yang kita bina terbentuk daripada pengalaman, idea, hubungan dan proses. Semua elemen inilah yang telah membentuk pengetahuan duniawi kita. Mengikut kajian Psikolinguistik, bahasa luaran ialah bentuk bahasa yang tidak sempurna kerana bentuk bahasa luaran itu telah dijelmakan daripada bentuk bahasa dalaman/nurani. Fungsi utama bahasa luaran ialah untuk menyampaikan idea dan hasrat hati kita kepada orang lain. Ada waktunya kita tidak dapat menyampaikan idea dan hasrat hati sepenuhnya kerana tiada kata untuk menyampaikan idea dan hasrat hati itu dengan tepat. Walau bagaimanapun, setakat ini semua manusia mengakui bahawa “tiada kata secantik bahasa”. Ini menunjukkan bahawa proses berbahasa itu berjalan dengan baik.

Oleh sebab proses berbahasa itu bersifat dua hala, maka berlakulah pertukaran fungsi antara penutur dengan pendengar. Seorang penutur kemudiannya akan menjadi pendengar, dan seorang pendengar kemudiannya menjadi penutur. Demikianlah proses pertuturan itu terjadi secara silih berganti, yang secara teorinya berlaku dalam waktu yang singkat dan cepat. Semua proses ini dikendalikan oleh otak yang merupakan alat pengatur dan pengendali pergerakan semua aktiviti manusia.

Kaedah Kajian

Perbincangan dalam makalah ini merupakan hasil kajian yang berasaskan kaedah kepustakaan dan analisis kandungan teks serta pemerhatian yang tertumpu pada aspek hubungan bahasa dengan pemikiran.

Hubungan Situasi

Makna sesuatu bentuk bahasa ialah situasi pengucap mengeluarkan ujaran dan sambutan yang ditimbulkannya kepada pendengar. Ini juga bermakna bahawa makna sesuatu bentuk bahasa itu ialah situasi yang berhubungan dengan bentuk bahasa itu. Kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa memang wujud hubungan antara situasi dengan makna, yang juga mencerminkan cara kita berfikir. Contohnya percakapan antara dua orang berikut:

1

A : Berapa harga lukisan ini?

B : Seratus lima puluh ringgit.

A : Eh! Mengapa mahal sangat? Lukisan saya seperti ini, harganya taksampai lima puluh ringgit.

B : Itu bergantung pada kualitinya. Lukisan yang berkualiti tentulah harganya mahal sedikit.

A : Betul juga cakap awak tu. Berapa banyak koleksi lukisan awak sekarang?

B : Tak banyak. Sesetengah lukisan tu dipinjam kawan, tak dikembalikan hingga hari ini.

A : Ini mengingatkan saya pada Rosini. Dia berhanji hendak memulangkan lukisan saya petang ini. Saya mesti pulang sekarang.

Dalam ayat pertama, lukisan yang disebut oleh A itu benar-benar wujud pada masa itu, sedangkan lukisan yang disebut kemudiannya oleh A dan B tidak wujud. Yang jelas ialah enam perkataan lukisan dalam percakapan di atas mempunyai situasi yang tersendiri, luas dan berbeda. Penutur dan pendengar dapat membedakan situasi tersebut kerana dalam fikiran kedua-duanya telah tersimpan situasi berkenaan berdasarkan penggunaan bahasa yang sama. Percakapan di atas itu juga menunjukkan bahawa struktur luaran (permukaan) perkataan adalah sama tetapi struktur dalaman perkataan itu berbeda. Ini menunjukkan bahawa wujudnya hubungan yang erat antara bahasa yang diucapkan dengan fikiran manusia.

Dalam memberikan makna terhadap sesuatu, kita biasanya menggunakan kata lain berdasarkan pengetahuan, penguasaan bahasa dan situasi perkataan itu. Ini terjadi kerana wujudnya fikiran kita tentang sesuatu perkara yang hendak diberikan makna. Misalnya, jika kita hendak memberikan makna universiti, maka banyak kata lain yang terpaksa ditarik masuk dalam definisi universiti melalui peranan fikiran.

Universiti ialah institusi pengajian tinggi, tempat pelajar mendapat pendidikan tinggi melalui kuliah dan buku. Pelajarannya pula disampaikan oleh pensyarah dan profesor yang berkelayakan. Pelajar lelaki dinamakan mahasiswa dan pelajar wanita dinamakan mahasiswi. Pelajar dikehendaki membuat penyelidikan dan kajian tentang pengajian mereka. Universiti dilengkapi dengan perpustakaan, makmal, pusat sumber, studio dan alat pembelajaran lain. Kawasan universiti dinamakan kampus dan tempat kediaman pelajar dinamakan kolej kediaman, desasiswa atau komsis. Universiti diketuai oleh naib canselor dan dibantu oleh timbalan naib canselor. Pegawai utama yang lain ialah pendaftar, bendahari dan ketua pustakawan. Universiti juga mempunyai fakulti dan pusat. Fakulti diketuai oleh dekan dan pusat diketuai oleh pengarah. Fakulti mempunyai beberapa jabatan, dan jabatan diketuai oleh ketua jabatan.

Kekompleksan makna juga terjadi dalam bentuk yang lain. Antaranya ialah yang neutral dan yang tidak neutral. Hal ini terlihat jelas dalam ayat berikut:

2

a. How tall is your girlfriend?

b. How short is your girlfriens?

c. Saudara pendengar Radio Putra FM...

d. Saudari pendengar Radio Putra FM...

Perkataan tall dalam ayat (a) ialah kata sifat yang neutral, iaitu tidak memberikan bias apa pun, sama ada teman wanitanya itu tinggi atau rendah. Namun, perkataan short dalam ayat (b) telah memberikan pengertian bahawa teman wanitanya itu rendah. Yang bertanya ingin mengetahui berapa rendahnya sahaja. Perkataan saudara dalam ayat (d) juga bersifat neutral yang merangkumi semua pendengar sama ada lelaki atau wanita. Sebaliknya ayat (e) jelas merujuk wanita. Kekompleksan dalam fikiran merangkumi konsep neutral dan tidak neutral seperti itu. Dalam keadaan biasa, orang akan bertanya berapa tinggi seseorang dengan tidak mengambil kira dampak yang wujud daripada pertanyaan itu. Namun, orang akan berfikir dengan rinci dan mendalam untuk menanyakan fakta yang sama apabila dia memilih short bukan tall seperti contoh ayat di atas.

Hubungan Lingkungan

Masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan atau lingkungan tertentu. Setiap lapisan atau lingkungan itu menggunakan perkataan sesuai dengan kehidupan dalam lingkungannya. Perkataan dalam lingkungan itu akan berubah maknanya jika perkataan itu digunakan dalam lingkungan yang lain. Perubahan makna itu wujud dalam fikiran masyarakat dalam lingkungan itu sahaja. Contohnya, kata layar berbeda maknanya jika perkataan itu hadir dalam lingkungan tertentu. Dalam lingkungan nelayan atau pelaut, layar bermakna kain penampung angin. Dalam lingkungan suri rumah tangga, layar bermakna tirau, penutup jendela atau langsir, dan dalam lingkungan artis, layar bermakna kain tempat menayang filem.

Begitu juga dengan perkataan operasi yang dalam lingkungan kedoktoran bermakna bedah, bedel atau belah. Dalam lingkungan polis, operasi bermakna taktik dalam gerakan penghapusan jenayah untuk menjamin keselamatan. Dalam lingkungan tentera, operasi bermakna taktik perang, dan dalam lingkungan ahli ekonomi, operasi bermakna tindakan ekonomi.

Perkataan mengupas dalam lingkungan petani bermakna membuang kulit, seperti mengupas kelapa atau mengupas benda berkulit. Dalam lingkungan cendekiawan, megupas dapat dihubungkan dengan persoalan sesuatu perkara, usul, pendapat, idea, dan sebagainya. Demikian juga dengan perkataan menabur yang selalu digunakan oleh masyarakat Melayu. Orang Melayu secara automatik dapat mengesan perbedaan makna perkataan itu dalam konteks yang berbeda. Contohnya, kata menabur dalam ayat berikut:

a. Halimah menabur benih betik di halaman rumahnya

b. Sudah puas menabur budi, emas juga dipandang orang

3

Demikianlah beberapa contoh yang menunjukkan bahawa perbedaan makna perkataan tersebut terdapat dalam fikiran masyarakat yang menggunakan perkataan itu.

Hubungan Pelbagai Situasi

Masyarakat pengguna bahasa memiliki kebolehan untuk menyamakan sesuatu perkara dengan suatu perkara yang lain. Hal ini dapat dilakukan kerana adanya hubungan yang erat antara bahasa dengan pemikiran. Ini terlihat jelas dalam bentuk penggunaan bahasa seperti peribahasa, sinonim, antonim, hiponim, polisem, homonim, bahasa kiasan, bahasa terbalik, teka-teki, penterjemahan, dan sebagainya.

Peribahasa

Peribahasa ialah hal atau peri yang dinyatakan dengan bahasa dan merupakan lambang pemikiran orang Melayu. Peribahasa mula digunakan apabila manusia mengenal peradaban, ketika peraturan hidup perlu diatur dan batas etika perlu dibentuk. Daripada perkataan hati, wujudlah peribahasa seperti Hati Batu, Mata Hati, Jatuh Hati, Buah Hati, Jantung Hati, Hati Ayam, Hati Berbulu, Hati Berdetus, Hati Berlian, Hati Budi, Hati Celaka, Hati Gajah, dan sebagainya. Daripada perkataan kaki, wujudlah peribahasa Kaki Bukit, Kaki Bangku, Kaki Langit, Kaki Judi, Kaki Ampu, Kaki Angau, Kaki Belit, Kaki Borak, Kaki Kipas, Kaki Perempuan, dan sebagainya.

Struktur lahir menunjukkan bahawa hati ialah salah satu daripada organ dalam tubuh manusia dan kaki ialah salah satu daripada anggota badan manusia. Struktur dalaman setiap peribahasa yang menggunakan perkataan hati adalah berlainan. Begitu juga dengan peribahasa yang menggunakan perkataan kaki. Pengguna bahasa itu akan memahami perbedaan makna peribahasa Hati Batu dengan Buah Hati atau Kaki Bukit dengan Kaki Langit. Pengguna bahasa memahami bahawa kaki bukit dan kaki langit ialah bahagian paling bawah dan sama halnya dengan kedudukan kaki pada anggota badan manusia. Pengguna juga akan memahami bahawa kaki bangku sebagai orang yang tidak tahu bermain bola. Proses pemahaman ini terjadi kerana adanya proses pemikiran pada manusia yang dikaitkan dengan pengetahuan sedia.

Andainya seseorang berkata, “segala usaha saya seperti mencurah air ke daun keladi”, kepada seseorang yang bukan ahli masyarakatnya, maka orang itu akan berfikir tentang air yang tidak melekat jika dicurahkan ke daun keladi, kerana daun keladi itu licin. Keadaan ini tidak terjadi jika orang yang mendengar itu ialah ahli masyarakat yang sama dengan penutur. Ia akan menggambarkan makna dalam fikirannya tentang nasihat yang diberi tidak melekat di hati pendengar nasihat, sama seperti yang ada dalam fikiran penutur.. Contoh peribahasa lain adalah seperti yang berikut:

a. Ular menyusur akar tak kan hilang bisanya

b. Lembu punya susu sapi punya nama

c. Menanam tebu di bibir mulut

Peribahasa (a) bermaksud orang yang kaya, mulia atau berilmu itu jika ia bersikap merendah diri kepada orang lain, tidak akan hilang kekayaan, kemuliaan atau ilmunya itu. Malah ilmunya itu kalau disebarkan akan lebih melimpah. Peribahasa (b) bermaksud orang lain yang

4

bersusah payah membuat sesuatu kerja, maka orang lain pula yang mendapat nama atau pujian. Peribahasa (c) pula bermaksud orang yang bercakap dengan lemah lembut dan menggunakan bahasa yang manis, tetapi hatinya busuk dan berniat jahat atau khianat. Ketiga-tiga peribahasa di atas jelas menunjukkan bahawa struktur luaran berbeda dengan struktur dalaman. Ini bermakna kebudayaan Melayulah yang mencipta maknanya sedemikian rupa. Kemudian otak memainkan peranannya untuk menyimpan dan mengeluarkannya semula untuk dimanfaatkan apabila keperluan wujud.

Terdapat juga peribahasa Melayu yang hampir sama maknanya dengan peribahasa Inggeris, tetapi dituturkan dalam bentuk struktur luaran yang berbeda. Contohnya:

a. Enggang sama enggan, pipit sama pipitBirds of a feather flock together

b. Daripada cempedak, baiklah nangkaHalf a loaf is better than no bread

c. Tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiriWashing one”s dirty linen in public

d. Sambil menyelam minum airTo kill two birds with one stone

e. Beri betis hendakkan pehaGive him an inch and he will take an all

f. Kaduk naik junjungA begger on horseback

g. Mencurahkan garam ke lautTo bring the charcoal to the new Castle

Contoh peribahasa di atas menunjukkan bahawa masa, tempat dan situasi mempengaruhi makna, dan seterusnya makna itu disimpan dalam otak pendengar untuk digunakan semula apabila keperluan timbul.

Sinonim

Bahasa Melayu mempunyai banyak kata yang bersinonim, iaitu dua kata atau lebih kata yang pada asasnya mempunyai makna yang sama, tetapi berlainan bentuk luarannya. Untuk membedakan makna perkataan tersebut, dan menentukan tempat penggunaannya yang sesuai mengikut makna dan konsep, maka fikiran terpaksa digunakan secara tuntas. Contohnya, perkataan membawa bersinonim dengan perkataan memikul, membimbit, mengelek, menggalas dan menjunjung. Perkataan tersebut mempunyai fungsi tersendiri dalam ayat berikut:

a. Siti membawa wangnya ke kedai

b. Izam memikul seguni padi

c. Adik membimbit ikan

5

d. Mak Jah mengelek buyung air

e. Nenek menggalas cucunya

f. Wanita itu menjunjung sebakul durian

Pada peringkat struktur dalaman, perkataan tersebut adalah sama, iaitu bermaksud membawa, tetapi apabila dijelmakan dalam struktur luaran, maka maknanya berbeda mengikut konteks ayat. Perbedaan itu hanya dapat dikesan apabila otak penutur dan pendengar menelaah ucapan itu mengikut konteks. Peerkataan lain yang bersinonim dengan membawa ialah menyebabkanb, mendatangkan, dan mengakibatkan.

Demikian juga dengan perkataan mati, meninggal dunia, pulang ke rahmatullah, mangkat, wafat, mampus, kejang, kojol, gugur, korban, ajal, maut, berhenti, hilang, lenyap, padam, pergi, punah, pupus, reda, dan sebagainya. Semua perkataan itu bermaksud tercabutnya nyawa daripada badan. Dalam penggunaaan, mati digunakan untuk orang biasa atau binatang, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain yang bukan manusia. Meninggal dunia dan pulang ke rahmatullah untuk orang biasa (bahasa halus dan sopan dalam lingkungan agama), mangkat untuk raja, wafat untruk nabi dan rasul, mampus, kejang dan kojol ialah percakapan kasar yang bermakna mati, gugur atau kurban untuk orang yang mati dalam konteks perjuangan. Penulis dan sasterawaan lebih gemar menggunakan ungkapan menghembuskan nafas yang terakhir. Contoh seterusnya tergambar dalam ayat yang berikut:

a. Bangkainya telah ditanam

b. Mayatnya telah ditanam

c. Mayatnya telah dikebumikan

d. Jenazahnya telah dikebumikan

e. Jenazahnya telah dimakamkan

Kelima-lima ayat di atas jelas menggambarkan perihal pengebumian orang yang telah mati. Wujudnya kelima-lima ayat tersdebut kerana lingkungan pengguna yang berbeda. Ayat (a) tidak dapat digunakan kepada manusia, hanya digunakan kepada binatang. Ini disebabkan oleh adanya nilai rasa dalam fikiran pengguna bahasa.. Ayat (b), (c), (d), dan (e) memang digunakan kepada manusia dalam lingkungan masyarakat bahasa yang berbeda. Perbedaan ini wujud kerana nilai rasa berhubung rapat dengan pemikiranm masyarakat. Oleh itu, masyarakat yang menggunakan bahasa itu sahajalah yang mengerti bila masanya ia patut menyebut jenazahnya telah dikebumikan atau jenazahnya telah dimakamkan.

Perkataan rice dalam bahasa Inggeris mempunyai banyak sinonimnya dalam bahasa Melayu, iaitu:

nasi : beras yang telah dimasak

padi : selepas dituai daripada tangkai

6

beras : kulit padi dikupas

melukut : beras yang sudah hancur

sekam : kulit padi

dedak : kulit padi yang halus

emping : padi muda yang direndam hingga kembang, digoreng dan

ditumbuk hingga nipis dan berwarna putih

Dalam bahasa Melayu juga terdapat perkataan lain yang bersinonim dengan rumah, iaitu pundung, bangsal, pondok, teratak, dangau, balai, asrama, banglo, bangunan, cungkup, dewan, flat, gedung, iglu, istana, kabin, kandang, kediaman, khemah, kondominium, mahligai, panti, pura, pusat, ran, reban, sarang, sangkar, sanggar, vila, wisma, dan sebagainya. Wujudnya perkataan bersinonim di atas disebabkan oleh hasil budaya dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional yang rapat hubungannya dengan alam sekeliling.

Orang Inggeris menyebut sesuatu kejadian berbeda daripada orang Melayu kerana mereka memandang sesuatu jkejadian itu dengan cara yang berbeda. Contohnya, sesuatu yang ada hubungannya dengan cahaya yang bergerak disebut flare, flame, flicker, dan cahaya yang tidak dapat bergerak disebut glow, glare, glos, gloom, clash, crash, dash, flash dan splash. Oleh sebab itu, kesanggupan kita menterjemah bergantung pada pengalaman kita tentang kebudayaan bahasa itu, Dengan perkataan lain, kita perlu mempunyai pengetahuanh tentang cara orang yang menggunakan bahasa itu berfikir. Dalam konteks ini, kita perlu berfikir dalam bahasa sasaran untuk membuat penterjemahan yang tepat. Contohnya:

characteristicCiri

featurerule peraturanlaw undang-undang

Bahasa Inggeris juga mempunyai bentuk sinonim. Ini terlihat dalam contoh berikut:

a. Sam, a friend of mine, died last night

b. The boy with the red shirt, passed away yesterday

c. Ahmad, our boss has kickeck the bucket

Struktur dalaman untuk perkataan died, passed away dan kicked the bucket ialah mati. Struktur luarannya berbeda, iaitu died – mati, passed away – sudah berlalu, dan kicked the bucket – menyepak tong. Ini jelas menunjukkan betapa fikiran memainkan peranan penting dalam menentukan bentuk bahasa.

Contoh yang lain ialah perkataan motokar atau kereta, pemandu dan drebar. Dalam ayat motokar Ali cantik, dan ayat kereta Ali cantik jelas menunjukkan persamaan makna perkataan motokar dan kereta. Ayat kereta lembunya sudah lama tidak boleh disebut motokar lembunya sudah lama. Begitu juga dengan ungkapan pemandu bas dan drebar bas, maknanya sama, tetapi ungkapan pemandu pelancong tidak boleh disebut drebar pelancong. Ini

7

menunjukkan bahawa motokar dengan kereta dan pemandu dengan drebar tidak sama maknanya. Oleh itu, fikiranlah yang memainkan peranan dalam menentukan penggunaan perkataan tersebut.

Peranan fikiran dapat juga dilihat melalui penggunaan kata yang lebih tepat dan lebih sopan. Ini demikian kerana bahasa Melayu mempunyai nilai rasa bagi setiap perkataan. Umpamanya perkataan makan mempunyai nilai rasa yang berlainan seperti makan, santap, mengayap, muntah kedarah, mencekek, bedal, melahap, meluluh, rasa, kecap, jamah, telan dan ratah. Begitu juga dengan perkataan berikut sekalipun sinonim, tetapi terdapat shades of meaning yang ditentukan penggunaannya melalui fikiran: potong, pangkas, tetak, tetas, tutuk, belah, larik, turis, toreh, tarah, pancung, sembelih, bantai, kelarm, tebas, pancah, tebang, kerat, siang, cantas, takuk, takik, kopek, kupas, dan lainnya.

Antonim

Pertentangan makna yang dinamakan antonim juga dapat menunjukkan hubungan erat antara bahasa dengan fikiran. Antonim ialah ciri semula jadi bagi perkataan dalam sesuatu bahasa. Dalam bahasa Melayu, terdapat perkataan besar-kecil, lebar – sempit, muda – tua, baharu – lama, jaga – tidur, jantan – betina, dan sebagainya. Perkataan tersebut sebenarnya berbeda mengikut keadaan benda atau perkara yang diterangkan itu. Sebuah istana kecil jauh lebih besar daripada sebuah buku besar. Daun yang lebar jauh lebih kecil daripada sungai yang sempit. Muda menang lawannya tua, tetapi dalam ayat anak muda itu berjalan seorang diri dan ayat anaknya yang tua sedang menuntut di UPM, jelas menunjuukkan bahawa tua dalam ayat itu bukanlah lawannya muda, tetapi bermakna anak remaja dan anak yang sulung.

Demikian juga dengan perkataan baharu – lama, jaga – tidur, dan sebagainya. Perkataan baharu membawa dua pengertian, iaitu benda yang baharu dibeli dan benda lama tetapi baharu dibeli. Jaga juga membawa dua membawa dua pengertian, iaitu jaga daripada tidur (tersedar setelah terlena) dan jaga (kerja sebagai jaga / pengawal). Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut:

a. Dia membeli kerta baharu itu semalam

b. Kereta terpakai itu baharu dibelinya semalam

c. Izwan terjaga daripada tidur kerana bunyi bising di luar rumahnya

d. Pak Ali menjadi jaga Sekolah Menegah Kebangsaan Jalan Reko, Bandar Baru Bangi sejak dua tahun yang lalu

Hiponim

Hiponim ialah kata yang maknanya terangkum dalam makna kata lain yang lebih luas, iaitu superordinatnya. Misalnya dalam bahasa Inggeris terdapat kata sheep. Perkataan sheep ini terbahagi kepada tiga, iaitu ram (biri-biri jantan), ewe (biti-biri betina), dan lamb (anak biri-biri). Bagi orang Inggeris, sheep membawa konsep yang sama dalam fikirannya, tetapi pembahagian perkataan itu secara yang lebih rinci telah merujuk pada struktur luaran dan struktur dalaman yang berbeda dari segi bunyi dan makna. Perkataan seperti inilah yang membuktikan bahawa eratnya hubungan bahasa dengan perkataan. Demikian juga halnya dengan bahasa lain, termasuk bahasa Melayu. Contoh lain adalah seperti yang berikut:

meat - rump - daging bahagian punggung

8

veal - daging anak lembu

loin - daging antara rusuk dengan punggung

layar - bubutan - layar dekat layar agung

bulu ayam - layar pengimbang

cucur - layar segi tiga

dastor - layar kecil sebagai pembantu layar besar

gap - layar pada canggah tiang kapal

padau - layar ketika angin ribut

pengapuh - layar terbawah

penyorong - layar tiang belakang

pucuk jala - layar di belakang jip

sabang - layar tiang perahu kecil

terbang - layar segi empat

topang - layar tiang hadapan

Polisem

Polisem ialah kata yang mempunyai makna yang berbeda tetapi berkaitan menurut konteks penggunaannya. Perbedaan makna itu wujud kerana penafsiran kata yang berbeda akibat daripada pemikiran manusia yang juga berbeda. Perkataan kepala boleh digunakan untuk orang, jawatan, sarung, lutut, dan sebagainya. Perkataan pokok boleh digunakan untuk hujan, kelapa dan percakapan. Perkataan telur boleh digunakan untuk burung, markah, bengkak / benjol dan idea (menelurkan idea). Begitu juga dengan perkataan bunga, boleh digunakan untuk ros, bank, telur dan kertas. Contoh yang lain adalah seperti yang berikut:

a. badan : Badan saya terasa sakit (badan bererti tubuh)Kita perlu menubuhkan badan kebajikan (lembaga atau yayasan)

b. luka : Tangannya luka terkena pisau (cedera)Luka hatinya dibawa mati (tersinggung)

c. beradu : Mereka beradu tenaga di gelanggang tinju (berlawan)Baginda sedang beradu dengan nyenyaknya (tidur)

d. pasang : Dia membeli sepasang subang (penjodoh bilangan)Air sungai ada pasang surutnya (naik/bertambah banyak)

9

Homonim

Homonim ialah kata yang sama ejaan dan / atau lafaznya, tetapi yang menerangkan makna yang berbeda berasal daripada sumber yang berlainan. Homonim terbahagi kepada dua, iaitu homograf dan homofon. Homograf ialah kata yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berbeda lafaznya. Contohnya semak (e pepet), semak (e taling), berevolusi (evolusi, revolusi). Homofon ialah kata yang mempunyai lafaz yang sama, tetapi berlainan ejaan. Contohnya masa (waktu) dan massa (media), bit dan beat, nigh dan knight, sit dan seat, meet dan meat, write dan right. Homograf disampaikan dalam bentuk tulisan dan homofon disampaikan dalam bentuk ucapan. Kedua-duanya memerlukan peranan fikiran untuk membedakan makna perkataan tersebut.

Selain homonim perkataan terdapat juga homonim ayat. Contohnya ayat berikut akan memberikan lima pengertian yang berbeda jika diucapkan dengan intonasi tertentu. Perbedaan pengertian itu hanya dapat dikesan dan difahami melalui pemikiran yang serius.

Menurut ibu si anak perempuan yang datang malam kelmarin sedih

Pengertiannya:

a. Menurut ibu si anak perempuan yang dating malam / kelmarin itu sedih

b. Menurut ibu / si anak perempuan yang dating malam kelmarin itu / sedih

c. Menurut ibu si anak perempuan / yang dating malam kelmarin itu / sedih

d. Menutrut ibu si anak perempuan yang dating / malam kelmarin itu sedih

e. Menuerut ibu asi anak / perempuan yang dating malam kelmarin itu sedih

Bahasa Kiasan

Masyarakat Melayu tetap mempertahankan sopan santun dan mempunyai cara tertentu untuk mencurahkan perasaan, maksud, nasihat dengan cara yang tidak langsung. Hal ini merupakan ungkapan umum, tetapi mempunyai kiasan dan suggestive yang dalam dan simbolik. Pernyataan ini membuatkan orang itu berfikir. Jika perasaan, maksud dan nasihatnya itu disampaikan secara langsung, maka ia akan dianggap orang yang kurang sopan dan tidak beradab. Oleh itu, fikiranlah yang akan menelaah dan mencari maksud yang sebenar daripada kata yang dilafazkan itu. Contohnya:

kemenyan hantu : kentuk

bapa budak : suami

hendak ke sungai : buang air

bersalin : melahirkan anak

10

datang bulan : haid

tuk nenek : penunggu / hantu

Bahasa Terbalik

Bahasa terbalik ialah bahasa yang menggunakan perkataan yang berlawanan dengan maksud yang dikehendaki. Misalnya seorang kawan memperli seorang kawannya yang datang lewat ke pejabat, “awal datang hari ni”, atau seorang ibu yang memarahi anaknya yang sedang memanjat pohon jambu, “inilah contoh yang baik, nak lagi, naik tinggi lagi!” Si anak yang mendengar suruhan ibunya itu akan segera turun, kerana ia mengetahui bahawa ibunya menyuruh ia turun bukannya menyuruh ia naik lebih tinggi. Dengan perkataan lain, si anak memahami struktur dalaman ayat yang berbeda daripada struktur luaran.

Begitu juga halnya apabila si ibu memarahi anaknya yang tangannya luka terkena pisau. Kata ibu itu, “eloklah tu, lain kali main lagi pisau, kalau putus jari tu, lagi bagus!” Dalam suasana lain, seorang teman mengundang kawannya makan, “jemputlah mkakan, tak ada lauk,” Pada hal lauk yang dihidangkan pelbagai sehingga memenuhi meja. Seorang yang lain pula berkata, “Jemputlah datang ke pondok saya”, pada hal pondok yang dimaksudkan itu ialah sebuah banglo. Seorang yang berjalan berhampiran dengan tandas, tiba-tiba berkata pula, “wau, harumnya!” Orang yang mendengarnya pasti memahami bahawa yang dimaksudkan dengan harum itu adalah busuk. Contoh yang lain adalah seperti yang berikut:

a. Siapa yang hantar kertas kerja lewat, maka markahnya akan ditambah

b. Kalau tak malu, datanglah selalu ya...

Bahasa terbalik yang digunakan di atas itu menunjukkan peranan fikiran penuturnya, dan peranan pendengar pula ialah untuk membedakan ayat larangan, suruhan, merendah diri atau keadaan yang sebaliknya dan lain lagi.

Teka-Teki

Teka teki ialah bentuk bahasa yang jelas menggunakan fikiran pendengar untuk mencari jawapannya. Dalam bahasa Melayu, terdapat pantun kilat yang mementingkan irama atau sajak yang mewakili fikiran yang mudah diteka. Contohnya:

Dahulu parang, sekarang besi

(Dahulu sayang, sekarang benci)

Sudah gaharu, cendana pula

(sudah tahu bertanya pula)

Pinggan tak retak, nasi tak dingin

(orang tak hendak, aku pun tak ingin)

Selain jenis pantun, terdapat teka-teki yang diberikan bias jawapan, tetapi pendengar masih perlu menggunakan fikirannya untuk mentafsir dan mencari jawapan yang dimaksudkan itu. Contohnya:

11

Pagar di dalam gua (gigi)

Kalau dipakai ia dibuang, kalau tidak dipakai ia diambil (sauh)

Sebaik-baik keluar terus menerajang rusuk ibunya (anak mancis)

Membakar diri menerangi orang lain (lilin)

Penterjemahan

Aspek penterjemahan daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain juga menunjukkan adanya hubungan antara bahasa dengan fikiran. Dalam bahasa Inggeris terdapat ungkapan “to take a sit”, dan kalau diterjemahkan ada dua kemungkinan, iaitu:

a. Bawa kerusi ke mana-mana

b. Sila duduk

Terjemahan yang betul bergantung pada corak pemikiran penterjemah terhadap bahasa sasaran. Begitu juga dengan perkataan “to carry”, yang dalam bahasa Melayu mungkin bermakna bawa, angkut, angkat, tanggung, kandar, ambil, kelek, bimbing, galas, pikul, heret, dan sebagainya. Pengetahuan penterjemah yang mendalam terhadap bahasa sumber dan bahasa sasaran melalui pemikirannya akan memastikan bahawa penterjemahan dapat dilaksanakan dengan tepat. Contoh yang lain terdapat dalam ayat berikut:

a. Get kondo”s chocolate

b. He gets through with flying colours

Penterjemah yang tidak mengetahu cara orang Inggersi berfikir akan menterjemahkan ayat (a) sebagai “dapatkan coklat kandos”, dan ayat (b) sebagai “Dia lulus dengan warna terbang”. Sedangkan orang yang mengetahui cara orang Inggersi berfikir akan menterjemahkan ayat (a) sebagai “Belilah coklat kandos” dan ayat (b) sebagai “Dia lulus dengan cemerlang”.

Orang Inggeris sering memanggil isterinya atau orang yang disayang dengan perkataan honey. Orang Melayu tidak pernah memanggil isterinya atau orang yang disayang dengan perkataan madu. Ini demikian kerana dalam bahasa Melayu, madu bermakna sesuatu yang manis tetapi dikaitkan dengan perkataan pahit. Sehingga amat jarang wanita Melayu yang sanggup dimadu. Ini menunjukkan bahawa cara berfikir orang Inggeris dan orang Melayu itu berbeda.

Hubungan Waktu

Hubungan waktu dan peristiwa dengan bahasa memainkan peranan penting dalam pemikiran manusia. Waktu dan peristiwa tertentu dapat mewujudkan kata tertentu yang dianggap bersejarah oleh masyarakat berkenaan. Dalam masyarakat lain, kata itu tidak membawa makna apa-apa. Misalnya apabila disebut 31 Ogos, masyarakat Malaysia secara automatik akan mengingati hari pengisytiharan kemerdekaan negara, sedangkan bagi masyarakat Indonesia, 31 Ogos tidak bermakna apa-apa. Demikian juga sebaliknya, bagi masyarakat Indonesia, 17 Ogos ialah hari yang paling penting kerana berkaitan dengan berakhirnya penjajahan, sedangkan bagi masyarakat malaysia, 17 Ogos tidak bermakna apa-apa.

12

Apabila seseorang berkata kepada seseorang yang lain, “Semoga 13 Mei tidak akan berulang lagi”, maka ayat itu dengan mudah dimengerti dan digambarkan dalam fikiran pendengar akan peristiwa ngeri seperti yang dimaksudkan oleh penutur itu. Bagi Masyarakat di luar Malaysia, ayat tersebut tidak memberikan apa-apa kesan dalam pemikiran mereka.

Contoh di atas jelas menunjukkan bahawa hubungan waktu dengan bahasa akan terus dimanfaatkan dalam fikiran dan seterusnya mewujudkan kata tertentu yang hanya difahami oleh masyarakat pengguna bahasa itu.

Berkait dengan perubahan waktu ialah perubahan masa. Dalam bahasa Melayu dini, terdapat perkataan putera-puteri yang digunakan oleh keturunan raja sahaja. Putera untuk lelaki dan puteri untuk perempuan. Hakikat ini disimpan dalam fikiran pengguna bahasa untuk rakyat biasa. Oleh itu, wujudlah asrama putera, asrama puteri, pandu puteri dan sebagainya. Apabila masyarakat bahasa itu telah mengubah penggunaan kata itu, maka perubahan itu juga terjadi dalam fikiean penutur dan pendengar.

Contoh lain ialah penggunaan perkataan lelaki dan perempuan untuk menunjukkan jantina dan perkataan tuan dan puan dalam ucapan dan surat menyurat rasmi. Dalam bahasa Indonesia, digunakan perkataan pria dan wanita untuk menunjukkan jantina dan tuan dan nyonya dalam ucapan dan surat menyurat rasmi. Keadaan ini terjadi kerana perkataan perempuan pada zaman pendudukan Jepun di Indonesia bermakna pelacur.

Begitu juga dengan perkataan kuli yang sering digunakan pada zaman penjajahan. Pada zaman ini, perkataan kuli tidak lagi sesuai digunakan kerana akan mengingatkan orang berkenaan kepada kuli estet atau kuli lombong yang mirip maknanya dengan hamba abdi dan dianggap sebagai satu penghinaan. Anggapan ini bukan disebabkan oleh bunyi perkataan kuli, tetapi kerana asosiasi yang wujud akibat zaman penjajahan. Oleh itu, wujudlah perkataan baharu seperti buruh atau pekerja untuk menggantikan perkataan kuli. Walaupun dalam fikiran penutur dan pendengar, ketiga-tiga perkataan itu sama maknanya tetapi mereka tetap enggan menggunakan perkataan kuli.

Hubungan Tempat

Hubungan tempat dengan bahasa ditandai oleh kewujudan perkataan tertentu dan maksudnya difahami oleh masyarakat berkenaan. Contohnya, jika seseorang berkata, “Saya hendak pergi ke Tanjung Rambutan”, maka pendengar akan menganggap orang itu hendak pergi ke suatu tempat namanya Tanjung Rambutan. Tetapi juia seseorang itu berkata “Saya baru keluar dari Tanjung Rambutan”, maka pendengar akan menggambarkan dalam fikirannya bahawa penutur itu ialah bekas pesakit otak (gila), walaupun pendengar tidak mengenali penutur dan tidak mengetahui latar belakangnya. Ini menunjukkan bahawa konsep hospital sakit otak untuk Tanjung Rambutan telah tertanam dalam fikiran pendengar.

Begitu juga jika seseorang berkata, “Anak saya baru keluar dari Pudu”, pendengar akan terus mengnggap bahawa Pudu itu ialah penjara, walaupun di Pudu itu terdapat pejabat pos, balai polis, emporium Pudu, balai bomba, dan lain lagi. Ini menunjukkan betapa eratnya hubungan tempat, bahasa dan fikiran masyarakat bahasa itu.

Contoh lain ialah penggunaan perkataan kencing dan berak. Perkataan ini sering digunakan untuk binatang atau untuk anak kecil. Orang dewasa biasa berkata, “Anak kecil itu kencing di atas tilam”. Dalam keadaan biasa, perkataan itu tidak digunakan kerana dianggap kurang sopan. Contohnya dalam suatu pertemuan, orang akan bertanya, “Di manakah tempat buang

13

air kecil? atau “Di manakah tempat buang air besar?” Ini menunjukkan bahawa tempat kecing dan tempat berak dalam fikiran pendengar telah diasosiasikan dengan tempat jijik dan kotor.

Hubungan Tanggapan Indera

Tanggapan indera yang berbeda akan mengubah makna perkataan dalam fikiran. Misalnya indera pendengaran dan penglihatan dalam menanggap sifat bunyi dan warna. Sifat bunyi seperti merdu dan nyaring, dan sifat warna seperti terang dan gelap. Walaupun terang ialah sifat warna, namun ada orang berkata “Suara mahasiswa itu terang”. Ini bermakna penutur menggunakan sifat bunyi untuk menjelaskan apa yang difikirkannya, dan pendengar menerima bahawa terang dalam ayat itu sebagai sifat bunyi yang bermaksud suaranya jelas. Begitu juga halnya dengan perkataan merdu, nyaring dan gelap.

Contoh lain ialah perkataan manis, yang mrrupakan tanggapan indera perasa, seperti dalam ayat “Kuih ini manis rasanya”. Ada juga orang berkata, “Tutur katanya manis sekali” atau “Wajah puteri itu manis menawan”. Ayat pertama, manis ditanggap oleh indera pendengaran dan dalam ayat kedua, manis ditanggap oleh indera penglihatan. Pendengar dapat membedakan maksud perkataan manis dalam kedua-dua ayat tersebut melalui perubahan tanggapan indera yang berlaku dalam pemikirannya.

Begitu juga dengan perubahan tanggapan indera dalam perkataan pedas dan keruh pada ayat berikut:

a. Masakannya itu terlalu pedasAmat pedas tutur katanya

b. Air kolam itu keruhWajahnya kelihatan keruh

Pendengar dapat membedakan maksud perkataan pedas dalam kedua-dua ayat tersebut dan perkataan keruh dalam kedua-dua ayat tersebut melalui perubahan tanggapan indera yang berlaku dalam fikirannya. Jika perubahan itu tidak berlaku dalam pemikirannya, maka sudah tentu pendengar tidak dapat mengesan perbedaan maksud yang tersirat dalam perkataan manis, pedas dan keruh itu.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas jelaslah bahawa bahasa mempunyai hubungan yang erat dengan fikiran manusia kerana bahasa diwujudkan oleh dua komponen utama, iaitu bunyi ucapan dan pengalaman yang mencakup cita, rasa dan makna. Unsur ini mempunyai hubungan langsung dengan fikiran manusia.

Hubungan bahasa dengan pemikiran amatlah rumit dan abstrak. Walau bagaimanapun, analisis dari aspek hubungan situasi, hubungan lingkungan, hubungan pelbagai situasi (peribahasa, sinonim, antonim, hiponim, polisem, homonim, bahasa kiasan, bahasa terbalik, teka-teki dan penterjemahan), hubungan waktu, hubungan tempat dan hubungan tanggapan indera telah menunjukkan hubungan bahasa dengan fikiran yang abstrak dan rumit itu.

14

BIBLIOGRAFI

Abdul Chaer. (2003). Psikolinguistik Kajian Teoretik. Jakarta: RINEKA CIPTA

Aitchison, Jean. (1998). The Articulate Mammal: An Introduction to Psycholinguistics. London: Routledge.

Altman, Gerry T. M. (1997). The Ascent of Babel: An Exploration of Language, Mind, and Understanding. Oxford: Oxford University Press.

Bloch, Bernard & Trager, George, L. (1942). Outline of Linguistic Analysis. Baltimore: Linguistic Society of America

Chomsky, Noam. (1965). Aspects of the Theory of Syntax. Cambridge: The MIT Press.

Chomsky, Noam. (1972). Language and Mind. New York: Harcourt Brace Jovanovich.

Chomsky, Noam. (2006). Language and Mind (third edition). New York: Cambridge University Press.

Clark, Herbert H. dan Eve V. Clark. (1977). Psychology and Language: An Introduction to Psycholinguistics. New York: harcourt Brace and Jovanovich, Inc.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (1997). Kamus Linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Henry Guntur Tarigan. (1985). Psikolinguistik. Bandung: ANGKASA

Kramsch, Claire. (2007). Language and Culture. New York: Oxford University Press.

Lyons, John. (1992). Bahasa dan Linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penterjemah: Ramli Salleh & Toh Kim Hoi)

Mangantar Simanjuntak. (1987). Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Parker, Frank. (1994). Linguistik untuk Bukan Ahli Linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penterjemah Raja Rahawani Raja mamat)

Peaget, Jean. (1924/55). The Language and Thought of The Child. New York: The World Publishing Company.

15

Sapir, Edward. (1970). Language: An Introduction to the Study of Speech. London: A Harvest Book.

Scovel, Thomas., (2004). Psycholinguistics. New York: Oxford University Press.

Slobin, Dan Isaac. (1991). Ilmu Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penterjemah Ton Ibrahim)

Soenjono Dardjowidjojo. (2007). Psikolinguistik. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn Bhd.

Steinberg, Danny D. (1990). Psikolinguistik: Bahasa Akal Budi dan Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penterjemah: Azhar M. Simin).

Vygotsky, L.S. (1962). Thought and Language. Cambridge, MA: The MIT Press.

Widdowson, H.G., (2000). Linguistics. Hong Kong: Oxford University Press.

W. Wojowasito. (12959). Linguistik Sejarah Ilmu Perbandingan Bahasa. Jakarta: Gunung Agung.

16